Product from Adobe

Isnin, Oktober 27

Cinta Si Baju Kebaya Bab 2


Ketukan di pintu telah menjemput Farah Aqilah pulang kembali ke rumah sewanya. Farah Aqilah berpaling ke arah pintu biliknya. Kelihatan Hanim yang sedang menjengah.

“Masuklah Hanim”, jemput Farah Aqilah.

Hanim masuk dan terus melabuhkan punggungnya ke katil Farah Aqilah. Teddy bear yang berada di atas katil tersebut diambil dan dipeluknya.

”Kau ok ke Qila?”

Farah Aqilah yang masih berada di tingkap biliknya mengeluh perlahan. Sudah lama tabiat itu ditinggalkannya. Namun, kemunculan Syamir petang tadi benar-benar menyesakkan jiwa dan dadanya.

”Aku ok je”, jawab Farah Aqilah lesu.

”Betul ke? Aku macam tak percaya je. Ni mesti ada something yang tak kena kan? Kenapa kau tiba-tiba je nangis petang tadi? Mesti fasal mamat kerek yang datang petang tadi tu kan?”, teka Hanim pula. Sungguh. Semenjak kejadian petang tadi, hati Hanim dilanda seribu satu pertanyaan. Harapannya pada malam ini adalah untuk mendapatkan barang satu jawapan daripada temannya ini yang agak perahsia orangnya.

”Mamat kerek?”, berkerut dahi Farah Aqilah mendengarkan kata-kata Hanim itu. Sebuah senyuman menguntum dibibirnya. Baru sekali Syamir muncul di pejabatnya, Hanim telah memberikan gelaran kepadanya. Hanim.. Hanim.. Gemar benar dia memberi nama gelaran kepada orang.

”Yelah. Mamat sepet yang jumpa kau petang tadilah. Apa dia nak? Kenapa tiba-tiba dia blah je mcm tu? Yang kau pulak sampai nangis-nangis. Apa kes?”, soalan bertalu-talu meluncur dari bibir Hanim. Mengalahkan tembakan M16 yang menggunakan auto mode.

Ada-ada sajalah gelagat si Hanim sorang ni. Selagi tak dapat, selagi itulah akan dikoreknya. Namun, kali ni aku mintak maaf Hanim, aku keberatan nak berkongsi cerita dengan kau. Biarlah rahsia ini berkubur sendiri. Tapi bolehkah?

Deringan telefon bimbit Farah Aqilah yang berada di meja kecil yang berada di sisi katilnya itu telah menyelamatkan Farah Aqilah daripada menjawab soalan bertubi-tubi daripada Hanim tadi. Hanim mengambil dan merenung sekilas nama yang terpapar pada skrin telefon tersebut.

”Mummy In”, kata Hanim ringkas sambil menghulurkan telefon tersebut kepada Farah Aqilah. Sebaik sahaja Farah Aqilah menyambungkan talian, Hanim memberikan isyarat kepadanya bahawa dia keluar dulu.

Selamat aku kali ini, desis hati Farah Aqilah sambil melayani Mummy In yang bertanyakan mengenai bajunya ditempah di kedai Ai Yin. Alamak baju mummy..!! Semua ini gara-gara Syamir Mustaqim.

* * *

[Blok MA5 ~ 2007]

”Ok lets go”, kata Syamir kepada Farah Aqilah. Kunci motor Kamal ditangannya dilambung-lambungkan. Farah Aqilah yang masih lagi enggan bersuara hanya mengikuti langkah Syamir menuju ke Markas Palapes yang terletak berhadapan dengan blok MA5.

Farah Aqilah menjeling tajam ke wajah Syamir. Walaubagaimana pun, perbezaan ketinggian antara mereka yang agak ketara menyebabkan Farah Aqilah terpaksa mendongak sedikit.

”What?”, tegur Syamir buat-buat tidak mengerti dengan jelingan mata tersebut.

”Sepatutnya kita jumpa pukul berapa Amir? Kau tahu tak, aku kelam-kabut bergegas dari kelas bila dapat call daripada Stap Usop tadi. Aku ingat apalah yang penting sangat. Rupa-rupanya dia suruh aku tolong kau fasal prosedur paper work ke Pusat Ko-Q. It’s unbelievable! Dah la tu 45 minit aku tercongok sorang-sorang kat bawah blok kau tu. Semua orang pandang semacam je kat aku. Boleh kau tayang muka selamba kau ni kat aku?”, marah Farah Aqilah tidak puas hati. Sungguh hatinya berang tatkala melihat wajah Syamir yang selamba tanpa sedikit pun riak rasa bersalah. Mentang-mentanglah aku selalu beralah dengan dia selama ini. Senang-senang je dia perkotak-katikkan aku. Huh! Tak kisah lah kalau aku memang katik sikit berbanding dia pun, rungut hati Farah Aqilah.

”Sorry.. Sorry.. Aku mintak maaf ye Qila. Aku bukan sengaja. Tiba-tiba je tadi Prof Maznah, lecturer PSM aku call suruh pergi jumpa dia. Terpaksa la aku pergi jumpa dia kejap. Alah kau jangan la marah. Engkau lain la Qila, kos kau ada satu PSM je. Kos aku ada dua PSM. Be consider la ?” panjang berjela Syamir cuba menegakkan benang yang basah.

“Yelah.. Aku tau kau sibuk dengan PSM satu kau but tak boleh ke kau sms aku cakap kau ada hal kejap? Tak adalah aku tercongok kat bawah blok lelaki ni berjam-jam. Semua orang pandang semacam je kat aku. Dah la selalu sangat diorang semua nampak aku kat sini dengan kau. Nanti diorang ingat kita ni dating pulak”, Farah Aqilah masih belum berpuas hati dengan tindakan yang kurang bertanggung jawab dari Syamir itu. Namun, segala bebelannya terpaksa ditelan dahulu apabila mereka tiba di hadapan Stap Usop yang sememangnya menantikan kehadiran mereka berdua semenjak tadi lagi.

”Hai, cantik Qila hari ni..”, tegur Sarjan Usop. Yelah mana tidaknya. Selalunya waktu latihan, mereka semua comot habis. Tak cukup dengan tu, busuk pula. Bak kata Tuan Ridzuan, ’kalau tak busuk tu bukan kadet namanya’. Farah Aqilah hanya tersenyum nipis mendengar pujian daripada Stap Usop. Malu pun ada sebenarnya. Jika diikutkan logik akalnya, tidak mahu dia muncul dihadapan insan-insan yang berada bersamanya kini dengan berpakaian sebegini. Segan. Tak sesuai rasanya. Selalu bukan main comot tetapi kali ini sedikit bergaya. Almaklumlah! Nak ke kelas..

Setelah mendengar sedikit sebanyak arahan dan permintaan daripada Sarjan Usop, bersama dengan hati yang berat Farah Aqilah berjalan beriringan bersama Syamir. Dalam mereka beriringan menuju ke motorsikal tiba-tiba mereka ditegur oleh suatu suara.

”Pheewwiiitt! Dating ke? Nak tengok sikit rupa awek si Syamir ni?”, jerit pemuda itu dan terus berlalu bersama motorsikalnya. Farah Aqilah buat tak tahu sahaja. Namun, dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu betapa tidak selesanya dia. Namun Syamir disebelahnya hanya tertawa kecil sahaja.

”Qila, aku segan sebenarnya nak jalan dengan kau ni”, kata Syamir tiba-tiba. Pantas Farah Aqilah berpaling menghadap Syamir.

”Kenapa pulak?”, tanya Farah Aqilah kehairanan.

”Tak adalah. Baju kau ni glamor sangatlah. Kau tak ada baju kurung ke? Kalau tak ada, mak aku banyak baju kurung. Kau nak tak?”, tegur Syamir sambil memperlawa. Entahkan ikhlas atau sinis? Farah Aqilah tidak dapat memastikannya.

Farah Aqilah menelek pakaian yang tersarung ke tubuhnya kini. Berbaju kebaya berwarna hijau gelap. Tudung berona senada. Namun kain songket yang sepatutnya menjadi padanan baju kebaya tersebut telah digantikan dengan seluar jeans bagi memudahkan pergerakannya yang selalu aktif. Ringkas rasanya. Apa yang glamornya? Farah Aqilah tidak mengerti.

”Apa? Baju kurung? Oh, tak apa terima kasih sajalah Amir. Dalam almari aku tu banyak baju kurung cuma aku saja yang malas nak pakai”, balas Farah Aqilah sekilas.

Mereka kini telah pun tiba di kawasan meletak motor blok MA5. Farah Aqilah menjeling kepada Syamir yang berada disebelahnya. Tak mahu bagi kunci motor ke?

Memahami akan jelingan mata Farah Aqilah itu, Syamir menyerahkan kunci motor Kamal kepadanya. Cubaan demi cubaan telah dilakukan namun motorsikal tersebut gagal untuk dihidupkan. Rintik-rintik peluh sudah mula membasahi dahi dan belakang baju Farah Aqilah. Namun motorsikal tersebut masih lagi begitu. Syamir yang berada di sebelahnya bukan sahaja tidak menolong malah asyik ketawa sahaja kerjanya. Melihat akan perubahan pada wajah Farah Aqilah, akhirnya Syamir merampas kunci ditangannya. Tidak disangka-sangka, dengan hanya sekali cubaan enjin motorsikal tersebut berjaya dihidupkan.

Ketawa Syamir makin galak. Sambil itu mulutnya masih lagi sempat menyindir Farah Aqilah.
”Itulah, kalau kau naik dengan aku tadi tak adalah kau berpeluh-peluh dan busuk macam ni”, usik Syamir sambil ketawa. Ketawa dan ketawa lagi.

”Kau gelak sekali lagi Syamir aku balik. Kau uruslah sendiri urusan kau dengan Pusat Ko-Q nanti”, ugut Farah Aqilah. Hatinya cukup berang mengenangkan Syamir yang begitu galak mentertawakan dia sedari tadi.

”Ops.. Ok.. Ok.. Jangan la Qila, kau kena tolong aku jugak. Kau kan tahu, aku mana pandai bab-bab paper work semua ni. Kau kan handal bab-bab ni. Tolong aku eh?”, pujuk Syamir kembali. Nampaknya ugutan Farah Aqilah tadi membuahkan hasil. Tahu pun takut.

”Yelah-yelah..”, malas Farah Aqilah hendak mendengar pujuk rayu daripada Syamir itu. Farah Aqilah sudah masak dengan sifat Syamir yang satu itu. Bermulut manis! Namun itu semua jika dia berkehendakan sesuatu sahaja. Jika tidak.. hanya Allah sahaja yang tahu. Mulut lepas.

Syamir hanya tersengih mendengarkan persetujuan Farah Aqilah itu. ”Benda senang pun tak boleh buat”, rungut Farah Aqilah di dalam hati.

* * *

Farah Aqilah melangkah bersahaja mengikuti langkah kakinya. Kebiasaannya dirinya akan turun bersarapan berdua bersama Hanim. Namun hari ini, disebabkan oleh kerunsingan yang melanda di hatinya telah menyebabkan Farah Aqilah turun ke bazar seorang diri. Farah Aqilah mendekati suatu meja yang kosong dan terus duduk disitu tanpa memperdulikan keadaan sekeliling. Dirinya masih lagi khusyuk dengan rasa hatinya. Entah ke mana, hilang sudah semangatnya untuk datang ke pejabat pada hari ini. Semua ini disebabkan oleh satu nama. Syamir Mustaqim.
Kelibat seorang lelaki yang duduk dihadapannya telah membuatkan Farah Aqilah tersentak. Belum pun sempat Farah Aqilah bangun, tangannya yang berada di atas meja telah diraih dan dipegang erat oleh jejaka itu.

”Qila, we need to talk”, kata pemuda itu dengan wajah yang penuh harapan.

“Please..”, pujuk pemuda itu lagi tatkala melihat akan keenggangan Farah Aqilah untuk berbincang dengannya. Pegangan pada tangan FarahAqilah juga turut diperkukuhkan. Bimbang wanita itu merentap tangannya kembali untuk melarikan diri.

Setelah berfikir untuk beberapa ketika akhirnya Farah Aqilah akur. Tambahan pula, Farah Aqilah segan dengan insan-insan disekeliling yang khusyuk menyaksikan drama sebabak mereka tadi.

”Thanks..”, kata pemuda itu apabila Farah Aqilah duduk. Namun pegangan tangan tersebut masih belum dilepaskan. Farah Aqilah cuba menarik tangannya kembali. Tetapi kudratnya belum mampu melawan tenaga yang ada pada tangan kekar itu. Wajahnya masih lagi ditundukkan.

”Please Qila. Say something. You make me feel guilty if you terus duduk dan berdiam begini”, rayu pemuda itu lagi. Mendengarkan kata-kata itu, Farah Aqilah terus mengangkat wajahnya. Matanya tajam merenung ke anak mata pemuda itu.

”Apa lagi yang Amir nak dari Qila? Apa lagi yang Amir nak dengar dari Qila? Semuanya dah berakhirkan dan rasanya Amir dah tak ada hak nak sentuh tangan Qila sekarang ini”, kata Farah Aqilah bersama linangan air mata. Masih terasa pedih luka dihatinya akibat perbuatan lelaki dihadapannya ini.

”Qila, I’m sorry. Abang..”

”Huh! Abang..? Kau tak rasa ke kau dah tak layak nak guna perkataan tu pada aku sekarang ini”, potong Farah Aqilah pantas bersama suatu kata-kata yang berbisa.

”Qila.. Qila tak boleh emosi begini. Kalau kita terus beremosi begini sampai bila pun masalah antara kita tak akan selesai. Abang.. er.. Amir tahu ini semua salah Amir tapi Qila kena faham waktu tu Amir tertekan dengan keadaan”, ternyata Syamir cuba sedaya upaya untuk mendapatkan secebis pengertian daripada wanita dihadapannya.

”I don’t think so Amir. Waktu itu bukan sahaja Amir yang berada dalam tekanan. Qila juga. But why Amir sanggup tuturkan kata-kata penghinaan yang sebegitu pada Qila?”, balas Farah Aqilah. Sungguh Farah Aqilah tidak sanggup menghadapi semua ini sekali lagi. Untuk melupakannya sahaja Farah Aqilah perlu mengambil masa hampir empat tahun. Namun disaat dirinya sudah mampu tersenyum dan tertawa kembali, akhirnya Syamir Mustaqim muncul kembali. Apakah ada hikmah disebalik pertemuan ini?

* * *

[Pejabat Agama Johor, Johor Bharu ~ Disember 2008]

”Kau memang perempuan tak ada maruah. Tak ada harga diri. Perempuan tak tahu malu. Aku benci kau..!! Aku benci kau..!!”, herdik Syamir tatkala mereka berdua telah selamat diijabkabulkan. Jelingan matanya sahaja sudah dapat membayangkan betapa dirinya membenci wanita yang sedang galak menangis dihadapannya kini. Pujukan sabar daripada kadi yang menikahkan mereka tadi langsung tidak dihiraukannya.

Farah Aqilah bingung dan bercelaru dengan segala yang berlaku. Semuanya terlalu pantas. Entah dimana silap mereka? Entah siapa yang menganiayai mereka sehingga mereka terperangkap begini. Wajah lelaki yang baru sahaja sah menjadi suaminya itu tidak berani dilihat. Namun begitu Farah Aqilah tahu betapa bencinya lelaki itu padanya ketika ini. Mummy In yang berada disebelahnya dipeluk erat. Hatinya terasa seperti ingin meraung. Namun hanya air matanya sahaja yang mengalir tanpa diiringi sebarang suara. Marah suaminya sedang berapi-api itu menyebabkan dirinya menjadi bisu.

Dapat dirasakan bahawa suaminya itu mendekatinya. Tiba-tiba hatinya terasa kecut lalu Farah Aqilah cuba mengecilkan dirinya. Dengan harapan dia dapat bersembunyi di mana-mana. Sungguh dia gerun dengan keadaan suaminya yang baru menikahinya itu.

”Hei perempuan kau dengar sini”, tegur Syamir kasar sambil dia menunjal kepala wanita yang sedang menangis itu.

”Kau ni memang perempuan murahan yang tak ada harga diri. Kau ni jugak adalah sehina-hina perempuan yang aku pernah jumpa. Malah lebih hina daripada pelacur aku rasa. Sanggup kau perangkap aku begini”, kata Syamir yang masih lagi menurut nafsu amarahnya.

”Amir..”, jerit Farah Aqilah. Tidak disangka, insan yang dahulunya bergelar sahabat itu sanggup memijak-mijak harga dirinya. Sungguh tidak disangka. Sedangkan dirinya juga turut terperangkap. Semua ini bukan rancangannya. Malah tidak pernah pun terfikir oleh akalnya untuk berkahwin dengan cara sebegini hatta dengan sesiapa pun.

”Apa? Hei, kau dengar sini. Tak ingin aku nak berbinikan perempuan murahan yang tak ada maruah seperti kau ini. Oleh itu, semua yang ada kat sini menjadi saksi. Aku ceraikan kau dengan talak satu”, puas rasa hatinya setelah melafazkan kata-kata itu.

Tertegak badan Farah Aqilah mendengarkan lafaz itu. Sekali lagi dalam sekelip mata statusnya berubah. Lima belas minit yang lalu, statusnya tiba-tiba berubah menjadi isteri orang tatkala mereka ditangkap dan dituduh berkhawat dan kini statusnya berubah sekali lagi menjadi janda berhias. Bergelar janda berhias dalam usia 22 tahun. Sungguh tak terjangkau oleh akalnya. Walaupun dirinya tidak mengharapkan apa-apa daripada perkahwinan paksa ini namun kini Farah Aqilah tidak betah lagi untuk bertahan. Akhirnya dia rebah dipangkuan Mummy In.

Syamir meraup wajahnya berkali-kali. Kisah tersebut berlaku hampir tujuh tahun yang lalu. Namun segalanya dirasakan bagi baru semalam. Setiap kali Syamir terkenang akan peristiwa itu, hatinya terasa bagai tersayat pilu. Rasa bersalah jatuh bertimpa-timpa pada dirinya. Kenapalah mulut aku selancang itu dulu? Itulah penyesalannya sedari dulu. Sedari dirinya mengetahui akan hakikat siapa dalang pada malam celaka itu dulu.

***

[Tasik Ilmu, UTM ~ 2008]

”Haha.. Padan muka diorang tu kau tahu. Puas rasanya hati aku bila dapat tengok wajah cuak diorang berdua waktu kena tangkap hari tu. Si Syamir tu ingat orang hadap sangat ke dengan dia”, tiba-tiba Syamir terdengar satu suara yang sedang berborak sambil menyebut akan namanya ketika dia sedang melalui satu pondok rehat di tepi Tasik Ilmu. Pantas Syamir bersembunyi di sebalik rimbunan pokok yang berada disitu. Entah mengapa hatinya bagai tertarik-tarik untuk terus mendengar akan perbualan mereka itu. Dalam kesamaran, Syamir cuba mengamati suara siapakah yang sedang berborak itu.

”Huh! Si Qila tu pun satu. Padan muka dia. Selama ni aku usha-usha dia langsung tak layan. Balik-balik dia berkepit dengan si Syamir tu. Entah apa yang lebihnya Syamir tu aku pun tak tahu”, balas suatu suara yang penuh sarat dengan hasad dengki.

Kamal?!!

“Wahaha.. Padan muka mangkuk berdua tu. Tak sangka rancangan kita nak perangkap budak berdua tu berjaya. Malah lebih dari berjaya sebenarnya. Bukan setakat reputasi budak berdua tu hancur tapi dengar katanya diorang sekarang ni dah bermusuhan pulak. Baru puas hati aku. Seorang berlagak bagus. Seorang lagi pulak berlagak hebat. Hah! Elok sangatlah tu”, kata-kata wanita itu disambut dengan ketawa terbahak-bahak dari Kamal.

Semua ini rancangan Ita dan Kamal?! Sungguh tidak disangkanya. Ita merupakan bendahari malah rakan sekelasnya dan Kamal pula adalah teman sebiliknya. Tiba-tiba segala kata-katanya terhadap Farah Aqilah tempoh hari terngiang-ngiang ditelinganya kembali. Ya Allah.. Bersalahnya aku.. Akhirnya Syamir terduduk di celahan semak itu sambil menangisi rasa berdosa di hatinya. Terasa seperti ingin mencium tangan wanita yang pernah bergelar teman dan isterinya itu demi memohon maaf. Namun apakan daya. Farah Aqilah ghaib tanpa sebarang berita setelah lafaz talak dituturkannya. Dari saat itu, Syamir sedar bahawa dia akan hidup dalam rasa berdosa ini ke mana sahaja dia pergi selagi Farah Aqilah belum dapat ditemuinya.

0 komen yang diterima:

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino