Product from Adobe

Rabu, Oktober 29

Cinta Si Baju Kebaya Bab 6


[Kondominium Bayan Indah, Pulau Pinang ~ 2015]


Syamir memandang suasana sekeliling. Bunyi tepukan yang gemuruh menyebabkan dirinya terasa asing. Dari jauh, tiba-tiba mukanya berasa disuluh oleh suatu cahaya yang sangat terang. Syamir menutup wajahnya menggunakan tangan bagi mengelakkan silauan daripada pancaran cahaya tersebut. Setelah beberapa ketika akhirnya lampu itu disorotkan ke suatu arah. Syamir melihat ke arah sorotan lampu tersebut. Kelihatan seorang wanita yang sedang berjalan sambil memegang sesuatu. Benda tersebut dipeluk rapat didadanya seolah-olah benda tersebut amat berharga baginya. Syamir merenung lagi ke arah wanita berkenaan. Syamir perasan yang wanita itu memakai baju kebaya namun wajahnya pula agak samar-samar. Walaubagaimana pun, figura wanita berkenaan seolah-olah dikenalinya. Syamir cuba mendekati wanita berkenaan untuk mengecam wajahnya. Tapi sayang, semakin Syamir mendekati wanita itu, wanita itu semakin menjauh. Akhirnya Syamir berlari untuk mendapatkan wanita itu namun akhirnya Syamir lelah sendiri apabila wanita itu terus lenyap dari pandangan. Syamir menjerit mengharapkan agar wanita itu tidak terus berlalu tetapi tidak dihiraukan.


“Tunggu..”, jerit Syamir sekuat hati. Tiba-tiba Syamir terjaga.


“Astaghfirullah…”


Syamir meraup wajahnya beberapa kali. Dalam kesamaran cahaya, Syamir mengecilkan matanya. Cuba memfokus pada jam yang berada di meja kecil disebelahnya. Pukul tiga pagi. Syamir cuba mengingati kembali yang baru dialaminya tadi. Seingatnya mimpi tersebut sudah acap kali hadir. Semenjak tujuh tahun yang lalu. Dirinya sendiri tidak tahu maksud akan mimpi tersebut. Dan mimpi tersebut semakin menjadi-jadi semenjak dia pulang ke Malaysia sebulan yang lalu.


* * *


[Balai Cerapan, UTM ~ 2008]


“Amir..”


Panggil Farah Aqilah beberapa kali. Namun Syamir masih juga begitu. Tiada respon diberikan. Tindakan Syamir yang langsung tidak menoleh setelah dipanggilnya beberapa kali mengundang ketawa nipis dibibir Farah Aqilah. Entah mengapa hatinya terasa lucu melihat Syamir begitu. Syamir marahkan aku ke? Tapi sebab apa? Takkan sebab aku ketawakan dia semalam, dia langsung tak nak layan aku hari ini, Farah Aqilah berfikir sendiri.


“Amir..”, panggil Farah Aqilah sekali lagi. Namun rasa lucu dihatinya tidak dapat disorok lagi. Hatinya benar-benar rasa seperti ingin ketawa. Tapi cuba ditahannya. Sungguh dirinya tak faham kenapa Syamir tidak mengendahkan dirinya. Hal semalamkah?


“Amir kau marahkan aku ke? Jangan la macam ni.. Kalau kau marahkan aku cakapla”


Farah Aqilah masih belum berputus asa untuk memujuk Syamir untuk bercakap dengannya. Tangan Syamir yang ralit meraut kayu ditangannya sambil bernyanyi-nyanyi kecil dipandangnya dengan penuh geram. Lantas topi hutan dikepalanya ditarik dan dilibas ke lengan Syamir.


“Amir, kalau kau marahkan aku cakap! Kalau kau diam macam ni macam mana masalah ni yang aku sendiri pun tak tau punca ni nak selesai. Kalau kau buat endah tak endah macam ni dekat aku, macam mana aku nak buat kerja dengan kau?”, nampaknya kesabaran Farah Aqilah sudah semakin menipis.


“Ok Amir aku mintak maaf kalau kau terasa fasal hal semalam. Hehe.. walaupun aku tak nampak kenapa kau nak terasa hati jika sebab hal tu. Kau jangan la diam macam ni. Kalau terus macam ni, susah la aku nak buat kerja dengan kau nanti”, Farah Aqilah cuba menjernihkan keadaan dengan meminta maaf. Namun dalam masa yang sama, Farah Aqilah tidak dapat menghalang dirinya daripada terus ketawa. Tak mungkin Syamir terasa dengannya sebab hal semalam..


“Kalau macam tu tak payah la kau buat kerja dengan aku. Pergi la cari orang lain”, balas Syamir acuh tak acuh.


Berubah wajah Farah Aqilah mendengarkan kata-kata Syamir itu. Dia sedar tak masih banyak lagi tanggung jawab yang masih belum selesai? Senangnya dia bercakap, marah Farah Aqilah di dalam hati. Mulut Farah Aqilah yang becok memujuk Syamir tadi terkunci seketika dek bidasan Syamir tadi. Farah Aqilah dapat merasakan ada air hangat yang bakal menodai wajahnya sebentar lagi. Dicekalkan hatinya agar tidak jatuh dihadapan Syamir. Wajah Syamir dipandangnya dengan rasa yang kecewa.


“Huh! Suka hati kaulah”, kata Farah Aqilah sebelum terus berlalu.

* * *


[MadaJaya Holdings ~ 2015]


Sekejap bangun. Sekejap duduk. Kemudian dia berdiri semula dan memusingkan kerusinya seperti gasing. Itulah yang dilakukan oleh Syamir sejak hampir dua jam yang lalu. Syamir memandang ruang pejabat yang dihuninya semenjak semalam. Cantik. Selesa. Namun semua itu tidak mampu mengisi hatinya yang sedang kebosanan kini. Sudah beberapa kali intercom ditekan untuk menghubungi Hanim bertanyakan mengenai Farah Aqilah. Dan beberapa kali jugalah Hanim memberikan jawapan yang sama kepadanya. Qila sibuk. Itulah jawapan yang diterimanya sejak tadi. Syamir duduk kembali dikerusi empuknya. Benarkah Farah Aqilah sibuk, atau sengaja cuba mengelakkan diri darinya? Syamir mula curiga sendiri. Lalu intercom dihadapannya ditekan lagi.


“Hanim, Qila dah free belum?”


“Err.. Qila tak ada di biliknya sekarang ni”, balas Hanim.


“What? Dia ke mana? Tadi you cakap kalau dia free you akan contact I”, marah Syamir tidak berpuas hati. Pantas dia bangun dan terus meluru ke meja Hanim.


Hanim terkejut bila Syamir meluru ke mejanya secara tiba-tiba. Hanim melurut dadanya perlahan.


“Eh! kau ni kenapa?”, marah Hanim kerana dikejutkan begitu. Entah apalah yang dikejar mamat kerek ni, desis hati Hanim.


“Farah ke mana?”, masih ada sisa marah dalam nadanya.


“Breakfast”, jawab Hanim sepatah. Jika diikutkan hatinya, ingin saja dia terus-terusan memarahi Syamir. Tetapi wajah bengis Syamir benar-benar menggerunkannya.


Mendengarkan jawapan Hanim itu, Syamir terus berpaling dan melangkahkan kaki keluar. Tetapi beberapa langkah dia berhenti. Meja Hanim didekatinya semula.


“Ke mana?”


“Bazar. Pandai-pandailah cari sendiri”

* * *



Farah Aqilah yang baru sahaja selesai membayar harga nasi lemak tiba-tiba kaku. Kelihatan susuk tubuh Syamir yang mendekatinya dengan riak wajah yang marah. Tangan Syamir mencapai tangan Farah Aqilah sebelum Farah Aqilah mampu berfikir untuk berbuat sesuatu. Kekagetannya melihat Syamir dalam keadaan marah sebegitu membuatkan fungsi otaknya lumpuh seketika. Farah Aqilah hanya tersedar setelah terasa dirinya diheret oleh Syamir menuju ke suatu meja yang agak tersorok.


“Aah.. nan.. nanti Syamir”, kata Farah Aqilah sedikit tergagap. Sedaya upayanya dia mengimbangi pinggan nasi lemaknya agar tidak tumpah.


“Duduk..!”, kata Syamir keras sebaik sahaja mereka tiba dimeja. Terkulat-kulat FarahAqilah. Tidak tahu sama ada hendak duduk atau tidak. Namun Farah Aqilah tahu, seandainya dia engkar, perbuatannya itu seolah-olah menuang petrol ke dalam unggun api. Ada yang terbakar juga nanti. Baik aku duduk, kata hati Farah Aqilah.


Serentak dengan kata hatinya itu, Farah Aqilah duduk. Kepalanya ditunduk menekur ke meja. Nasi lemak yang diambilnya juga tidak disentuh. Bimbang dengan perlakuan Syamir seterusnya. Tangannya yang berada di bawah meja, mengusap perlahan pergelangan tangannya yang sakit akibat dicengkam dan diheret oleh Syamir tadi.


Syamir menarik nafas panjang. Setelah dirasakan dirinya hampir bertenang barulah dia duduk berhadapan dengan Farah Aqilah. Farah Aqilah masih lagi menekur ke meja. Kepalanya langsung tidak diangkat. Takut melihat wajah bengis Syamir barangkali.


“Farah, I’m sorry”, pohon Syamir lembut.


Mendengarkan kata maaf itu, Farah Aqilah mengangkat wajahnya. Linangan air mata yang menghiasi pipinya dilap kasar. Mungkin puas hati Syamir sekarang ini kerana berjaya buat dia menangis kembali..


Syamir melepaskan nafas berat setelah melihat manik jernih di wajah Farah Aqilah itu. Sesal muncul lagi dihatinya. Sekali lagi aku gagal mengawal diri, detik hati Syamir. Wajah keruh dan tidak bercahaya Farah Aqilah telah menyebabkan rasa bersalah itu semakin bertimpa dalam jiwa. Perlahan-lahan Syamir mengutuk dirinya.


“Farah, Amir mintak maaf. Amir tak sengaja”, kata Syamir separuh merayu. Air mata masih galak menodai wajah keruh Farah Aqilah.


“Sekarang, dah puas hati Amir? Dah puas hati dapat tengok Farah nangis macam ni? Mungkin tangisan Farah tujuh tahun lalu belum mampu buat hati Amir gembira. Belum mampu untuk membasuh duka dihati Amir. So, sekarang dah puas belum? Atau perlu ditambah sikit lagi dengan penghinaan Amir buat Farah, baru hati Amir boleh betul-betul puas. Gembira?”, tanya Farah Aqilah sinis sambil diiringi dengan esakan yang makin menjadi. Air mata yang makin galak mengalir itu dibiarkan sahaja. Biar Syamir betul-betul puas menyaksikan air matanya. Moga selepas ini Syamir tidak akan mengganggunya lagi.


Kata-kata Farah Aqilah itu terasa ngilu menghiris hati Syamir. Terasa seperti hatinya dihiris halus-halus. Pedihnya rasa hirisan tersebut hingga sampai ke pangkal jantungnya. Pedih dan perit sekali. Akhirnya tumpah jua air mata lelakinya. Air mata kesal yang sering kali menemani dirinya tatkala rasa berdosa itu kembali.


Namun, kehadiran air mata itu tidak ada maknanya buat Farah Aqilah.


“Huh! untuk apa air mata itu? Air mata gembira meraikan kejayaan kau kah?”


“Farah please..”, rayu Syamir supaya Farah Aqilah tidak lagi berkata-kata. Ternyata Syamir semakin lemah dengan apa yang dirasakan itu. Sindiran demi sindiran Farah Aqilah seakan-akan sedang membunuhnya hidup-hidup. Sungguh dia tak tahan.


“Kenapa, tak betulkah apa yang aku kata? Dulu semasa kau menghina dan memijak maruah aku. Semasa aku merayu supaya kau tidak lagi menghina aku. Ada kau peduli dengan rayuan aku masa tu Syamir? Ada?!!”, jerkah Farah Aqilah.


Mungkin inilah masanya untuk Farah Aqilah melempiaskan rasa marah dan kecewanya pada Syamir yang telah disimpannya selama bertahun-tahun.


Rayuan Syamir yang singgah ditelinganya itu benar-benar menerbitkan rasa benci dihatinya. Satu-satu kata penghinaan Syamir singgah semula dibenaknya. Kejadian silam kembali menghantui dirinya.


* * *


[Bilik Gerakan Palapes UTM ~ 2008]


“Aaah..”, jerit Farah Aqilah apabila mendapati Syamir berada dibelakangnya.


Syamir juga turut terkejut melihat keadaan Farah Aqilah yang hanya berbalutkan tuala. Pantas Syamir mengambil kain alas meja yang berada di dalam bilik gerakan itu, lalu dibalutkan ke badan Farah Aqilah biar tertutup dengan lebih sempurna. Kain baju bersama tudung Farah Aqilah yang berada di kaki sofa diambilnya.


“Qila, kenapa ni?”, tanya Syamir kalut. Qila dirogolkah? Teka Syamir.


Keadaan bilik gerakan tersebut diperhatikannya. Masih kemas seperti biasa. Tiada tanda-tanda pergelutan berlaku. Ataukah..? Tidak berani Syamir memikir dengan lanjut kemungkinan yang muncul dibenaknya itu. Farah Aqilah yang masih bingung direnungnya. Antara curiga dan kasihan. Rambut Farah Aqilah yang sedikit berserabut itu disentuhnya. Ketika Syamir cuba untuk membetulkan rambut Farah Aqilah yang serabai itulah, mereka berdua diserbu oleh beberapa pegawai dari Pusat Islam dan pengawal keselamatan UTM. Syamir terperangkap. Farah Aqilah terjerat. Tatkala itu Farah Aqilah dapat merasakan bahawa hidupnya sudah musnah. Gelap. Kosong. Semuanya sudah tiada ertinya. Dirinya jadi seperti insan yang bodoh.


Rayuan dan penjelasan Syamir terhadap pegawai berkenaan hanya singgah bak angin lalu ditelinganya. Dia langsung tidak berkutik disitu. Tidak mengiya atau menafikan tuduhan yang dilemparkan. Semua pertanyaan juga dibiarkan sepi. Ketika dirinya dibawa ke bilik persalinan untuk menukar baju juga dia berada dalam keadaan separuh sedar. Tahu-tahu sahaja dia sudah berada di Pejabat Agama Johor Bharu. Tangisan Mummy In yang menyedarkannya. Dan pada waktu itulah segala caci maki Syamir menjadi habuannya.


”Kau memang perempuan tak ada maruah. Tak ada harga diri. Perempuan tak tahu malu. Aku benci kau..!! Aku benci kau..!!”, herdik Syamir tatkala mereka berdua telah selamat diijabkabulkan.


Masih dapat diingati oleh Farah Aqilah setiap lirikan mata serta kebencian Syamir kepadanya ketika itu. Terasa hina benar dirinya saat itu. Jika tanpa iman dihati, serasanya sudah lama Farah Aqilah mati. Namun, apa yang pasti, sehingga kini dirinya tidak tahu bagaimana dirinya boleh berada di bilik gerakan tersebut dalam berkeadaan yang seperti itu. Dan dirinya juga tidak tahu bagaimana pula Syamir juga boleh berada disitu...


* * *


[Kondominum Bayan Indah, Pulau Pinang ~ 2015]


Kini telah dua minggu kejadian di bazar itu berlaku. Namun, Syamir masih belum mempunyai kekuatan untuk kembali berdepan dengan Farah Aqilah. Selama ini Syamir sedar bahawa bukan mudah laluannya untuk mendapatkan kata maaf daripada Farah Aqilah. Namun segala yang dirasakan kini bukan sahaja payah tetapi terlalu perit untuk dilalui. Kini barulah Syamir tahu bagaimana rasanya hati Farah Aqilah selama ini yang hidup dalam bayangan kata-kata hinanya dulu.


”Farah, maafkan Amir”,


Syamir menangis lagi. Dalam tempoh dua minggu ini sahaja entah berapa banyak air matanya tumpah. Setiap kali solat taubat dilakukannya, setiap kali itu jugalah air matanya tumpah. Tidak kurang juga apabila dirinya melakukan solat hajat agar Allah melembutkan hati Farah Aqilah untuk memaafkannya dan menerima dirinya.


Tiba-tiba Syamir bangkit.


”Aku tak boleh terus begini!”, kata Syamir sebelum melangkah dan mencapai kunci.

------------------------------------------------------------------------------------------------------
maaf andai n3 pd kali ni kurang menarik =(

0 komen yang diterima:

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino