Product from Adobe

Jumaat, November 28

Cinta Si Baju Kebaya Bab 8



[Padang Kawad UTM ~ 2007]


”Ok.. Syamir. Panggil semua masuk baris”, arah Encik Azahari pada Syamir. Pada hari ini, latihan ujian kawad akan dijalankan sebagai persediaan bagi pegawai-pegawai kadet peringkat senior yang bakal menghadapi ujian kawad pada latihan berterusan mereka nanti. Ujian kawad ini merupakan salah satu daripada ujian-ujian yang perlu dilalui oleh semua pegawai kadet sebelum mereka ditauliahkan.


Syamir bergerak ke tengah padang kawad. Berdiri tegak menghadap skuadnya sebelum memberikan arahan.


”Skuad.. dengar sini semua sekali..”, laung Syamir sebagai memberikan amaran kepada skuadnya bahawa arahan akan dikeluarkan. Semua ahli skuad yang sedang melepak dan bersembang di bawah pokok dipinggir padang kawad terus diam dan memberikan tumpuan pada Syamir.


”Apabila mendapat hukuman, tiga baris dihadapan saya, gerak. Skuad dikehendaki berlari, berbaris dalam tiga barisan, dihadapan, ditengah-tengah, di mana tempat saya mengadap. Faham tu skuad?”, Syamir memberikan arahan dengan jelas dan tegas.


”Faham, skuad..”, sambut ahli-ahli skuad yang lain.


”Tiga barisan dihadapan saya, gerak!!”, Syamir memberikan arahannya. Dengan langkah berlari, ahli-ahli skuad membuat tiga barisan dihadapan Syamir sambil menghentakkan kaki, menanti Syamir memberikan arahan supaya berhenti.


”Skuaaaaaad, ti..”, arah Syamir lagi.


”Luruskan barisan..”, pantas skuad menoleh ke kanan dan meluruskan barisan mereka. Setelah barisan diluruskan, barulah gerakan kaki dan kepala mereka semua kembali mengadap Syamir dihadapan.


”Senang diri..”


”Skuad sedia.. Diam, langut dan terus pandang ke hadapan..”, pesan Syamir sebelum bergerak untuk melapor pada Encik Azahari, Pegawai Waran II yang juga merupakan jurulatih peringkat.


Ketika Syamir sedang melapor, kelihatan Tuan Ismadi yang merupakan Pegawai Latih mereka tiba. Tuan Ismadi berkata sesuatu kepada Encik Azahari dan Syamir. Setelah mendapat arahan, Syamir kembali ke skuadnya.


”Qila, bila dapat arahan keluar baris, kau keluar and pergi berjumpa dengan Tuan Ismadi. Ok.. Qila sahaja. Keluar baris..”, Farah Aqilah membuat kawad-kawad untuk keluar baris dan berjalan beriringan bersama Syamir.


”Kenapa Tuan Ismadi nak jumpa aku, Amir?”, tanya Farah Aqilah.


”Entah.. Fasal paper work hari tu kot. Hari tu dia ada jugak cakap kat aku yang dia nak suruh kita present paper work tu kat TK”, jawab Syamir.


”Adoi.. malasnya.. kau pergi sorang tak boleh ke Syamir?”, rungut Farah Aqilah.


”Eh, mana boleh!! Kau kan aku punya savior, aku punya orang kanan, aku punya orang kuat. Lagi pun, semua tu pun memang kau yang buat pun, kan? Aku just sign je.. Kalau TK tanya nanti, aku mana tau nak jawab ape..”, balas Syamir sambil tersengih.


”Huh!! Balik-balik aku jugak yang kena..”, rungut Farah Aqilah di dalam hati.


Syamir memberikan arahan berhenti sebaik sahaja mereka berdua tiba di hadapan Tuan Ismadi. Benar tekaan Syamir tadi, mereka berdua diarahkan untuk pergi berjumpa dengan Timbalan Komandan yang juga merangkap sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UTM untuk melakukan pembentangan kertas kerja. Kertas kerja mereka pada kali ini adalah untuk mendapatkan dana bagi menjalankan latihan intensif sebagai persediaan untuk menghadapi pertandingan antara universiti bagi aktiviti merempuh halangan, merentas desa dan juga kawad sempena pentauliahan mereka nanti.


Setelah mendapat arahan selanjutnya daripada Tuan Ismadi, Farah Aqilah dan Syamir masuk ke dalam kenderaan bersama-sama Tuan Ismadi untuk berjumpa dengan Timbalan Komandan.


* * *


[Villa Cendana Wira, Balik Pulau, Pulau Pinang ~ 2015]


Farah Aqilah turun dari kereta sebaik sahaja Syamir mematikan enjin keretanya. Farah Aqilah memerhatikan suasana persekitarannya. Cantik dan mendamaikan. Di hadapannya terdapat sebuah rumah berbentuk kolonial Inggeris lama. Di sebelahnya pula terdapat sebuah sungai yang mengalir deras. Kelihatan sebuah kayu yang diletakkan merentasi sungai tersebut, memandangkan jambatan masih lagi dalam proses pembinaan. Di seberang sungai itu pula terdapat sebuah pondok kecil yang sangat indah. Bunga-bungaan yang memagari pondok kecil itu, membuatkannya kelihatan sangat istimewa. Pohon-pohon buah-buahan yang merimbun pula menjadikan suasana di sekitar Villa Cendana Wira kelihatan redup dan menyamankan. Farah Aqilah leka dengan suasana disekelilingnya.


”Cantiknya..”, Farah Aqilah berbisik lembut.


Syamir hanya tersenyum melihat keasyikkan Farah Aqilah. Perlahan-lahan Farah Aqilah didekatinya.


”Farah..”, panggil Syamir, lembut.


Farah Aqilah berpaling.


”Jom masuk..”, ajak Syamir. Syamir mendahului Farah Aqilah membuka langkah. Namun langkah Syamir terhenti apabila menyedari bahawa dia hanya berjalan sendiri. Farah Aqilah masih lagi kaku berdiri di tempat tadi. Wajah Farah Aqilah yang masih ragu-ragu direnungnya lembut.


”Farah.. jangan bimbang. Mak Dah ada di dalam..”, ucap Syamir untuk membuang gundah di hati Farah Aqilah. Syamir tahu Farah Aqilah masih lagi fobia dengan kenangan lalu.


”Betul?”, tanya Farah Aqilah bagi mendapatkan kepastian.


”Ya Allah.. betul sayang..”, Syamir berlari menuju ke pintu rumah. Tidak lama kemudian, kelihatan seorang perempuan tua di hadapan pintu. Pantas Syamir menyambar tangan perempuan tua itu lalu menciumnya lembut sebelum berkata sesuatu kepadanya. Perempuan tua tersebut membalas sesuatu, lalu menyarung seliparnya sebelum berjalan mendekati Farah Aqilah dengan diiringi oleh Syamir.


”Apa khabar nak? Marilah masuk..”, ramah wanita tua itu menjemput.


”Hmm.. sekarang Farah dah percaya?”, tanya Syamir.


Farah Aqilah hanya tersenyum kelat.


Perempuan tua itu menampar lengan Syamir.


”Ish.. ada ke cakap macam tu dengan Farah. Dah Farah, jangan dilayan si Mus ni. Mari masuk..”, perempuan tua itu memaut bahu Farah Aqilah dan membawanya masuk ke dalam rumah. Mata Farah Aqilah sekali lagi takjub dengan suasana yang dilihat di dalam rumah itu. Sungguh cantik dan mendamaikan. Hiasan rumah tersebut nampak elegan tetapi cukup menyegarkan dengan pokok serta perhiasannya.


”Nak duduklah dulu ye..”, jemput wanita tua itu sekali lagi.


Farah Aqilah hanya mengangguk lalu menurut. Punggungnya dilabuhkan ke sofa dua berangkai. Sedang Farah Aqilah asyik menikmati keindahan hiasan ruang tamu tersebut, tiba-tiba Syamir menghenyakkan punggungnya disebelah Farah Aqilah. Sengaja dia pergi menyempit disitu. Farah Aqilah terkejut. Hasil tindakan refleks, spontan Farah Aqilah berdiri. Namun belum pun separuh dia berdiri, Farah Aqilah kembali terduduk apabila tangan kekar Syamir pantas menariknya duduk kembali.


”Eh... apa ni Syamir? Lepaslah..!!”, marah Farah Aqilah.


”Duduk dulu sayang. Bagilah peluang pada Amir untuk nyatakan sesuatu..”, pujuk Syamir lembut.


”Yang tadi tu siapa, Amir?”, Farah Aqilah menukar topik.


Syamir melepaskan keluhan berat. Cuba mengumpulkan kembali kesabaran yang semakin menipis. Ikutkan hatinya yang baran, mahu sahaja dia memaksa Farah Aqilah untuk mengikut setiap kata-katanya. Namun, kata-kata serta sindiran yang sering diterimanya, terutamanya daripada Pak Long Fuad benar-benar memberikannya kesedaran. Sikapnya selama inilah yang sering menjadi punca masalah antara dirinya dan Farah Aqilah sukar untuk diselesaikan. Tambahan pula dengan keadaan hati Farah Aqilah yang masih lagi terluka. Semua itu menjadikan keadaan semakin sukar.


”Mak Dah..”, jawab Syamir ringkas.


”Siapa Mak Dah..?”, tanya Farah Aqilah lagi. Entah mengapa hatinya ingin benar tahu apa perkaitannya antara Mak Dah itu dengan Syamir.


”Er..”


”Mus, kau bawakan beg Farah masuk ke bilik tamu..”, Mak Dah bersuara tiba-tiba.


Farah berpaling hairan mendengarkan kata-kata Mak Dah itu.


”Err.. mana dia ada bawak beg, mi..”, jawab Syamir sambil tersengih.


”Lah.. Kenapa pulak macam tu..?”


”Datang sini bukannya planning pun mi. Spontan je Mus bawakkan Farah ke sini. Petang nanti kita orang balik kot..”, jawab Syamir lagi.


”Balik petang ni? Hmm.. Kamu jangan nak ngada-ngada Mus. Tak pe.. nanti suruh aja si Farah ni pakai baju-baju Masyitah kat dalam almari tu..”, tegah Mak Dah.


”Kamu duduk sini dua tiga hari ye, Farah..”, kata Mak Dah pada Farah Aqilah pula. Melihatkan pada raut wajah ikhlas dan mesra dihadapannya, Farah Aqilah tidak sampai hati untuk mengatakan tidak. Perlahan Farah Aqilah memberi persetujuan. Tambahan pula, Hanim tiada dirumah. Daripada tinggal seorang diri di rumah sewanya, lebih baik dia hidup berteman di sini, fikir Farah Aqilah.


Hati Syamir berbunga riang.


”Nasib Mus memang tinggal banyak baju kat sini..”, kata Syamir tiba-tiba. Mak Dah memandang Syamir.


”Hm.. malam ni kamu tidur di Pondok Undang, Syamir”


”Eh.. mana boleh macam tu mi..”, bangkang Syamir sambil menarik muka. Terdiam Farah Aqilah melihat gelagat Syamir yang manja. Siapa Mak Dah pada Syamir ye? Kenapa Syamir memanggil Mak Dah, mi?


”Kamu jangan nak mengada-ngada. Nanti mi tarik telinga baru tahu. Lelaki dan perempuan bukan muhrim mana boleh tinggal sebumbung..”, selar Mak Dah.


”Alah mi.. Mus bukan nak buat apa-apa pun pada Farah. Boleh la mi..”, Syamir masih lagi memujuk. Mak Dah hanya menggeleng.


”No.. Mi cakap Mus tidur Pondok Undang, so tidur Pondok Undang. Jangan merengek-rengek kat sini. Tak malu ke tunjuk perangai depan Farah?”, sengaja Mak Dah berkata demikian. Rimas benar dia dengan rengekan Syamir itu. Orangnya sudah besar panjang, namun manjanya makin menjadi-jadi.


”Erk..”, Syamir menyorokkan wajahnya daripada pandangan Farah Aqilah. Malu. Lupa bahawa Farah Aqilah ada bersama-sama mereka.


”Oklah mi.. tapi lepas pukul dua belas baru Mus duduk sana eh?”, kata Syamir sambil bersuara sayu. Masih lagi cuba untuk mendapatkan simpati Mak Dah.


”Hmm.. yelah..”, Mak Dah memberikan persetujuan.


”Dah.. Mus, kamu hantarkan Farah ni ke bilik. Mungkin dia nak rehat-rehat sekejap. Nanti mi hantarkan baju pada dia..”, kata Mak Dah sebelum bangun dan berlalu.


Farah Aqilah dan Syamir masing-masing membisu.


”Jom.. Amir tunjukkan bilik Farah..”

Khamis, November 27

Makna Kasih Hatiku Bab 2


[You know it is love when all you want is that person to be happy, even if you are not part of their happiness]

Muhammad Azriel Izwan bin Mohd Amir
dengan pasangannya
Aisya Humaira binti Che Sidek

Syafika merenung lama kalender yang berada di dinding biliknya. 8 Mei 2010. Tarikh tersebut ditandanya dengan pen marker warna merah. Tarikh bahagia Azriel dengan pasangannya, Aisya Humaira.

”Semoga berbahagia selalu”, ucapnya perlahan di dalam hati. Memang itu pun doanya sejak dahulu. Agar sahabatnya yang satu itu berbahagia selalu. Walau apa jua keadannya dan di mana jua dia berada. Semoga Allah merahmatinya selalu.

Text Message Recieved
Ika, mlm ni besday Wan tau

Syafika membaca pesanan ringkas yang baru diterimanya tadi. Syafika tersenyum. Syafika melihat jam di telefon bimbitnya. 11.45 malam. Lantas punat-punat telefon bimbitnya ditekan pantas. Membalas pesanan ringkas tersebut.

Ika : Owh ye ke. Hepi besday!! 
Wan : Tq. Tp blm lg la. Blm kol 12.
Ika : xpela.. sja nk wish awl.
Wan : xkan wish je kot. hdiah xde ke? :p
Ika : Hdiah? ala.. mna ika ada duit.. lg pun duit ptptn dh hbs la..huhu..
Wan : eleh.. sja nak bg alasn la tu..
Ika : hmm.. yela2.. ok.. tp sblm tu ika nak wan jwb dlu soalan ni.. dlm byk2 impian.. impian ape yg blm wan cpai lg ?
Wan : awek. Wan xde awek lg smpi skrang.
Ika : Huhu.. blh caya ke ni ? Bkn keliling pinggang ke? :p
Wan : his.. mana ada.. pndai je tduh2 org.  Wan xsgka. Wan igtdlm byk2 kwn wan ika je yg btl2 knl diri wan. rpanya ika pn sma je dgn diorang sume.
Ika : oloh.. terasa ke? :D

Pesanan ringkas Syafika pada kali ini tidak berbalas seperti sebelumnya. Setelah menunggu hampir lima minit dan masih tiada balasan daripada Azriel, akhirnya Syafika menghantar satu lagi pesanan ringkas buat Azriel.

Ika : Wan. Ko mrh ika ke? Sori k. Ika lwk je td. :p
Wan : Hehe.. xla.. Sje je nk test Ika. Tau pn cuak. :p
Ika : His.. wat org suspen jelah. Wan, HEPI BESDAY!! :D
Wan : Hehe.. tq. Ika org 1st yg wish Wan tau.. Hdiah?
Ika : Yeye!! Hdiah? Hm.. Ika doakan agr Wan akn dpt sorang f
yg akn syg wan seikhlas htinya. Smg wan brbhgia slalu di dnia
n di akhirat. 2 je hdiah yg plg mhl yg ika leh bg pd wan. doa
ikhls smg wan hepi slalu wlau di mna wan berada.
Wan : thnx ika. 

Masih terbayang-bayang lagi peristiwa yang berlaku hampir lima tahun yang dulu. Akhirnya doa aku dimakbulkan, desis hati Syafika. Semoga kau berbahagia selalu.

Syafika bingung. Tidak tahu samada hendak menghadiri jemputan tersebut atau tidak. Hatinya keberatan untuk menghadirinya namun gesaan demi gesaan daripada Ezani dan Fakrul telah memaksanya kembali akan keputusannya itu.

Jumaat, November 21

Air Mata Hati Bab 17


“Mak.. abang kirim salam. Dia pesan suruh mak jaga diri, nanti abang balik..”, Mak Cik Limah tersenyum kelat mendengar kata-kata Ezani. Ezani kelihatan semakin ceria semenjak ‘Ayul’ semakin kerap ber’sms’ dengannya. Sungguhpun begitu, hati Mak Cik Limah masih lagi bimbang melihatkan keadaan menantunya itu. Sudahlah anaknya hilang tanpa berita. Sudah hampir dua bulan kini Fakrul hilang. Laporan polis yang dibuat juga masih belum menampakkan hasilnya. Fakrul tetap juga hilang tanpa sebarang jejak.


“Mak.. Zani nak duduk kat buaian depan ye mak. Mana tahu kalau-kalau kerja abang habis awal. Abang mesti suka kalau dia tengok Zani tunggu dia balik..”, kata Ezani sambil tersenyum. Kakinya terus dilangkah menghala ke buaian di laman rumah.


Angin petang yang bertiup lembut, betul-betul mendamaikan hati Ezani. Namun kedamaian yang bertapak seketika dihatinya itu tidak mampu mengubat rasa rindu dijiwa. Bukan damai ini yang hatinya ingini. Kasih dan sayang dari Fakrul yang dirinduinya. Wajah yang ceria kini berubah suram.


“Abang.. Hanna rindukan abang.. Baliklah bang..”, seru Ezani. Gambar persandingan mereka yang sering dibawanya ke mana sahaja dipeluknya erat.


“Hanna rindu sangat pada abang. Abang tahu tak, semua orang risaukan abang? Mak, Abang Ammar, Abang Haikal.. Semua orang risaukan abang. Hanna sendiri risau bang. Abang ke mana? Baliklah bang.. Baby ni dah rindu sangat pada papa dia..”, kata Ezani pada gambar dihadapannya. Itulah yang sering dilakukannya apabila hatinya kerinduan. Gambar itulah saja yang menjadi penawarnya kini.


“Abang.. Abang kata abang sayangkan Hanna, tapi kenapa abang tinggalkan Hanna..? Abang dah tak sayangkan Hanna lagi ye.. Tak mengapalah bang, kalau abang dah tak sayangkan Hanna tapi abang baliklah.. Kesian mak, abang.. Mak rindu sangat pada abang. Kalau abang dah tak sayangkan Hanna lagi, Hanna janji.. Kalau abang balik nanti, Hanna sendiri keluar dari rumah ini.. Baliklah bang..”, tangisan yang tadinya lesu kini makin menjadi-jadi. Esakannya pula makin kuat.


Suara tangisan Ezani yang kuat telah menyebabkan keasyikan Mak Cik Limah pada kerjanya terhenti. Ikan yang sedang dibersihkan, diletakkan. Tangannya dicuci sebelum bergerak ke halaman rumah.


“Ya Allah nak.. Kenapa ni?”, tanya Mak Cik Limah sambil mengusap lembut kepala menantunya. Mencabar sungguh rasanya apabila terpaksa menjaga menantunya yang sedang berbadan dua dalam keadaan begini.


“Mak..”, sebut Ezani dalam esak tangisnya.


“Ye nak.. Kenapa ni? Cuba cakap dengan mak..”, pujuk Mak Cik Limah.


“Zani rindukan abang.. Bila abang nak balik? Abang dah tak sayangkan Zani mak.. Abang dah benci Zani..”, ngongoi Ezani makin menjadi. Mak Cik Limah memeluk kejap bahu Ezani.


“Tidak nak. Mak tahu, Ayul sayang sangat pada Zani.. Jangan fikir bukan-bukan ya.. Nanti Ayul balik..”, pujuk Mak Cik Limah lagi.


“Jom kita masuk dalam rumah ya sayang..”, ajak Mak Cik Limah. Ezani akur pada ajakan mertuanya. Mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam rumah.

***


“Dapat?”, tanya Komeng pada anak buahnya.


“Dapat bos. Macam tahu-tahu je rancangan kita ni. Baik punya scene perempuan tu bagi kat kita..”, jawab Zack dengan muka bangga. Komeng ketawa dengan kuatnya.


“Kalau macam tu, aku yakin. Lepas je dia tengok video ni, confirm dia akan setuju punya..”, Zack tumpang ketawa bersama ketuanya.


“Mari..”, Zack dan Komeng masuk ke gudang lama yang dijadikan sarang operasi mereka. Mereka menuju ke sebuah pintu yang dikunci dan dijaga rapi oleh dua orang konco-konconya. Komeng memberi arahan supaya mereka membuka pintu tersebut. Sebaik sahaja pintu tersebut dibuka, kelihatan seorang lelaki yang sangat daif. Pakaiannya yang compang-camping berserta wajahnya yang kusut masai.


“Hoi..!! Lepaskan akulah..”, jerit lelaki itu.


Komeng hanya ketawa.


“Kau nak suruh kami lepaskan kau? Bodoh..!! Selagi kau tak setuju dengan permintaan kami, jangan harap..!”, kata Komeng bengis.


“Gila..!! Kenapa tiba-tiba kau orang semua nak paksa aku suruh kahwin dengan Nina?!! Kau orang semua memang gila.. Jangan harap..!!”, jerit lelaki itu lagi.


Komeng ketawa lagi. Begitu juga dengan Zack. Gema ketawa mereka benar-benar membingitkan telinga.


“Jangan cakap lebih-lebih. Kau tengok dulu video ni. Aku yakin lepas ni kau mesti setuju..”, kata Komeng angkuh.


“Jangan harap..!!”, tuihh.. lelaki tersebut meludah ke muka Komeng. Komeng berang bila diludah begitu.


Pangg..!! Ringan sahaja tangannya menampar muka lelaki tersebut. Tangannya mencengkap rambut kusut masai lelaki itu.


“Aku nak kau tengok video ni betul-betul..”, kata Komeng sambil mengarahkan kepada Zack untuk menayangkan video tersebut.


“Abang.. Hanna rindukan abang.. Baliklah bang..”, menitis air matanya tatkala mendengarkan seruan Ezani itu.


“Hanna.. Abang juga rindukan Hanna..”, jerit hati Fakrul. Telinganya tidak lagi dapat menangkap butir bicara Ezani. Asyik benar matanya memerhatikan Ezani. Susuk tubuh Ezani yang kurus serta muka Ezani yang agak cengkung benar-benar menjerut tangkai hatinya.


“Abang.. Abang kata abang sayangkan Hanna, tapi kenapa abang tinggalkan Hanna..? Abang dah tak sayangkan Hanna lagi ye.. Tak mengapalah bang, kalau abang dah tak sayangkan Hanna tapi abang baliklah.. Kesian mak, abang.. Mak rindu sangat pada abang. Kalau abang dah tak sayangkan Hanna lagi, Hanna janji.. Kalau abang balik nanti, Hanna sendiri keluar dari rumah ini.. Baliklah bang..”, suara Ezani bersama tangisannya yang mendayu-dayu seolah-olah sedang membunuhnya hidup-hidup. Anggapan serong Ezani pada dirinya juga dirasakan terlalu menyucuk jiwa. Pedih yang tidak terkata.


Argggghhh..!! Jerit Fakrul sambil meronta. Andai sahaja tangannya tidak diikat, pasti saja kamera video tersebut bersama dua wajah dihadapannya kini pecah berderai dibelasahnya.


Komen dan Zack ketawa berdekah-dekah. Reaksi Fakrul yang sebegini yang sudah lama dinantikannya. Ternyata, wanita di dalam video ini adalah kelemahannya. Banyak agenda jahat yang kini sudah terlakar dimindanya. Andai saja Fakrul enggan menuruti kehendak mereka kali ini, tahulah apa akibatnya nanti.


“Kau jangan berani nak apa-apakan dia..!!”, jerit Fakrul memberikan amaran.


“Kita lihat saja nanti..”, kata Komeng sebelum mereka berdua terus berlalu meninggalkan bilik tersebut.

***


“Nah.. ini habuan kau..”, ucap Miss Ice disebalik cermin kereta yang hanya dibuka separuh. Skaf dan cermin mata gelapnya telah menutupi wajahnya daripada kelihatan dengan lebih jelas.


“Baiklah.. terima kasih…”


“Tetapi ingat.. Biar pecah diperut, jangan pecah dimulut.. Jika tidak, kau pula yang bakal diracun dan dituba..”, kata Miss Ice lagi.


“Jangan risau bos.. Pandailah kita orang nak uruskan hal ini nanti..”



-----------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Khamis, November 20

Air Mata Hati Bab 16


“Dia dah setuju belum?”, tanya Komeng pada anak buahnya, Zack.

“Huh!! Degil betul…”, marah Komeng. Berdentum bunyi tin minuman keras yang berserakan di lantai apabila disepak ganas.

“Dah sebulan kita kurung dia, tapi dia masih tak mahu setuju. So, apa kita nak buat sekarang bos?”, tanya Zack lagi. Pisau ditangannya dibelek.

“Nanti.. Biar aku contact tuan dulu. Mana tau dia ada rancangan yang lebih baik untuk buat jantan bodoh tu setuju..”, kata Komeng sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor tuannya didail.

“Hello tuan, Komeng sini..”, Komeng diam seketika mendengarkan balasan daripada tuannya.

“Belum tuan.. Kami dah buat macam mana yang tuan suruh tapi dia still degil jugak..”, jawab Komeng.

“Yes.. ye tuan.. hmm.. baiklah.. ok tuan jangan risau. Biar kami yang uruskan”, terangguk-angguk kepala Komeng mendengarkan arahan selanjutnya daripada tuannya.

“Ok.. Rogger rabbit, sir..”, kata Komeng tegas sebelum menamatkan perbualan.

“So, apa kata tuan, bos? Ada plan baru ke?”, tanya Zack tak sabar-sabar.

“Yes..!! Aku pasti lepas ni confirm dia akan setuju punya..”, kata Komeng sambil ketawa berdekah-dekah. Zack yang melihat ketuanya ketawa turut tumpang ketawa bersama. Walaupun dia tidak tahu kenapa bosnya ketawa. Namun dia tahu, pasti ada rancangan jahat yang telah terlakar buat mereka.

“Begini..”

***

“Assalamualaikum Kak Lina. Bos ada?”, tanya Arifah, yang merupakan salah seorang pegawai pemasaran di Maju Kara Holdings.

“Ada..”, jawab Lina ringkas.

“Mood bos ok ke?”, tanya Arifah lagi. Kini, untuk berjumpa dengan Taufik merupakan suatu azab buat mereka. Taufik telah banyak berubah setelah dia bercerai dengan Puan Nina, isteri kedua Taufik. Tiada siapa yang tahu apa punca dan sebabnya. Tiba-tiba sahaja berita penceraian Taufik, tersebar hangat ke seluruh Maju Kara Holdings.

“Macam tu jugaklah Ipah.. Kadang-kadang dia ok, kadang-kadang tidak. Hmm.. kamu punya kerja ni urgent ke? Kalau tidak, biar akak je yang bawak masuk benda ni. Nanti dah siap akak suruh si Aiman hantarkan pada kamu. Bukan apa, bos kebelakangan ni tak suka diganggu..”, cerita Lina perihal bos mereka kebelakangan ini. Sudah sebulan lebih mereka bercerai, namun keadan bos mereka masih juga begitu.

“Hmm.. oklah kalau macam tu Kak Lina. Akak jelah yang bawak masuk dokumen ni. Tak urgent sangat. Just nak suruh bos review je semua ni..”, kata Arifah sambil menyerahkan beberapa fail kepada Lina.

“Ok. Nanti bila bos dah review, nanti akak suruh Aiman hantarkan pada kamu semula, Ipah..”, kata Lina lagi.

“Ok.. Saya pergi dululah ye kak..”, Arifah meminta diri.

“Yelah..”, balas Lina sebelum menyambung semula tugasannya yang tertangguh sebentar tadi akibat kehadiran Arifah.

***

Tepat jam sepuluh, dokumen yang diminta oleh Taufik pagi tadi telah pun siap. Lina mengetuk pintu bilik Taufik, meminta kebenaran untuk masuk.

“Ada apa Kak Lina?”, tanya Taufik lemah. Dengan penampilan yang tidak terurus, Kak Lina menggeleng kesal sendiri.

“Ini dokumen yang bos mintak pagi tadi. Ini pula fail-fail yang perlu bos review. Not very urgent..”, terang Lina ringkas. Sekarang, tiada lagi usikan dan gurau senda antara dia dan Taufik. Sedih hati Lina mengenangkan perubahan Taufik yang sebegini.

“Bos ok?”, tanya Lina mengambil berat. Wajah Taufik benar-benar menggambarkan rasa serabut yang ada dalam jiwanya.

Terdengar Taufik mengeluh berat.

“Entahlah.. I pun dah rasa penat dan berserabut sangat. I dah tak tahu yang mana betul yang mana salah…”, terang Taufik. Nadanya seolah orang yang telah berputus asa.

“Kenapa pula macam tu?”, tanya Lina lagi sambil menarik kerusi dihadapan Taufik dan duduk. Mungkin Taufik memerlukan seseorang untuk berbicara sekarang ini, fikir Lina.

“Entahlah.. Kadang-kala I rasa memang patut I ceraikan dia macam tu, tapi kadang-kadang sebahagian daripada hati I mengatakan bahawa dia tak bersalah. Ini semua fitnah..”, luah Taufik. Sungguh dia merasakan bahawa dia sudah tidak mampu untuk menanggung beban ini seorang diri. Namun, dirinya tidak tahu pada siapa yang harus dia bercerita. Pada Jamilah? Tidak mungkin rasanya, kerana Jamilah seolah-olah tidak mahu melayan apabila dia bercerita mengenai perihal Nina kepadanya.

“Bos.. I tak tahu apa yang berlaku sebenarnya but I rasa tindakan bos yang menceraikan Puan Nina dengan talak tiga sekali gus itu bukan suatu tindakan yang bijak..”, tangan Taufik yang asyik menconteng kertas dihadapannya terhenti. Matanya merenung tajam Lina.

“Tapi I tak boleh lupa dengan apa yang dia telah lakukan. Dia curang pada I, Lina. Dia bersama lelaki lain dalam rumah I sendiri. Dah la tu, dia mabuk pula.. I tak sangka itulah perempuan yang I cintakan selama ini.. Malah I still cintakan dia sampai sekarang..”

“Astarghfirullah bos..”, kata Lina sambil menggigit bibirnya. Sungguh dia tidak menyangka itu punca penceraian bos mereka, Taufik.

“So, boleh ke you bayangkan apa yang I rasa sekarang ni? Antara rasa cinta dan rasa dikhianati. Rasa tu saling bertingkah dalam jiwa I Lina, I dah tak tahan lagi dah. I dah rasa macam nak gila..”, kata Taufik seolah-olah merintih dan meminta supaya rasa hatinya dimengerti oleh Lina.

“Jadi apa yang bos nak buat sekarang?”, tanya Lina. Dirinya turut buntu memikirkan cara untuk membantu Taufik. Hendak disuruh rujuk, itu mustahil buat masa ini.

“Entahlah Lina.. I pun tak tahu.. But, I terlalu rindukan Nina..”, ucap Taufik. Terharu rasa hati Lina tatkala dia melihat ada butir jernih yang mengalir lesu dilekuk pipi Taufik. Ya Allah..!! Taufik menangis.

“Sabarlah bos. Ingat pada Allah selalu. Mohonlah pada Dia, Insyaallah Dia akan tunjukkan jalannya..”, pujuk Lina. Taufik menyapu air mata yang mengalir dipipinya.

Ketukan dipintu menyebabkan mereka berdua berpaling. Aiman menjengulkan wajah.

“Boleh saya masuk bos? Ada surat urgent untuk bos?”, Aiman meminta kebenaran masuk.

“Masuklah Aiman..”, Taufik memberikan kebenaran.

“Banyak ke surat yang urgent, Aiman?”, tanya Lina pula.

“Adalah jugak.. Hmm.. yang tak berapa nak urgent ni akak nak sort dulu ke surat-surat ni?”, tanya Aiman pula.

“A’ah.. Yang tak berapa nak urgent tu kamu bagi jelah pada akak. Biar akak sort dulu. Lepas tu akak nak record pulak”, Aiman mengangguk tanda faham dan menyerahkan baki surat tersebut kepada Lina. Lina membelek surat yang baru tiba di tangannya. Semua surat-surat biasa. Tiba-tiba matanya tertancap pada suatu sampul biru yang agak mencurigakan. Terpaku sebentar matanya pada surat tersebut. Begitu juga dengan Taufik.

“Aiman, sekejap..!”, jerit Lina. Terkejut juga Aiman dengan panggilan kuat dari Lina yang tiba-tiba.

“Ada apa kak?”, tanya Aiman sambil mengurut dadanya.

“Mana kamu dapat surat ni?”, tanya Lina sambil mengangkat sampul biru itu.

Aiman mengambil sampul biru ditangan Lina. Dia membelek seketika surat tersebut. Depan dan belakang. Tiada alamat atau cop berdaftar dari mana-mana syarikat. Aneh.

“Entahlah kak. Saya pun tak perasan ada surat ni. Akak ambil dari mana ni?”, tanya Aiman sambil mengerut kening.

“Eh, dari ikat surat kamu inilah..”

“Biar betul kak.. Jap saya semak buku log saya..”, Aiman membuka buku lognya sambil mengira jumlah surat yang diterimanya setakat pagi ini.

“25 kak..”, kata Aiman setelah selesai mengira.

“Tapi kat sini ada 26..”, kata Lina lagi. Aiman menggaru kepalanya. Datang dari mana pula surat biru ni? Aku tak pernah tengok pun, Aiman bermonolog sendiri.

“Tak mengapalah, Aiman. Awak boleh keluar sekarang..”, sampuk Taufik yang sejak tadi berdiam diri.

“Thank you bos..”, kata Aiman sebelum berlalu.

Taufik mengalihkan pandangannya pada Lina. Tangannya dihulurkan. Lina mengerti, lalu menyerahkan surat sampul biru tersebut pada Taufik. Dengan perasaan debar, Taufik membuka surat tersebut.

Bunga diracun akar, haus disiram tuba, cinta tiada lagi berakar, jangan berani lagi mencuba..
Semoga berbahagia selalu..

Taufik merenung lama tulisan bertaip dari surat bersampul biru tadi. Ternyata syaknya tadi tepat. Surat itu surat ketiga dari orang yang sama. Apa maksudnya?

“Bos..”, tegur Lina setelah agak lama Taufik merenung dalam surat bersampul biru itu. Taufik tersedar. Surat tersebut diserahkan pada Lina.

“You bacalah.. I tak berapa faham semua ni..”

Lina menyambut surat yang diberikan oleh Taufik lalu membacanya.

“Siapa ni bos?”, Taufik hanya mengangkat bahu.

“Apa yang you faham?”, tanya Taufik kembali.

Lina menggeleng. Taufik mengerutkan dahi.

“You tak faham apa-apa Lina?”, tanya Taufik seakan tidak berpuas hati.

“Bukan.. I faham tapi macam tak faham..”

“Apa maksud you? You buat I peninglah, Kak Lina..”, tanya Taufik. Faham tapi tak faham? Apa tu?

“Macam ni bos. Apa yang I faham, pengirim surat ni macam suka dengan keadaan sekarang ni. Maksudnya bos dah bercerai dengan Puan Nina and mungkin dia bagi amaran untuk bos jangan cuba-cuba untuk mendekati Puan Nina lagi. Agaknyalah bos.. Tap saya tak faham siapa yang nak buat macam ni..?”, terang Lina panjang lebar.

Dumm!!

Terkejut Lina bila Taufik tiba-tiba menghentakkan tangannya ke meja. Habis terbalik cawan kopi yang dihidangkannya buat Taufik awal pagi tadi. Mujur juga kopi tersebut telah habis. Jika tidak, pasti kopi tersebut tumpah dan membasahi meja.

Arrrggghhh!! Jerit Taufik pula.

Kecut hati Lina, melihatkan Taufik yang tiba-tiba menyinga.

“Sabar bos..”, ucap Lina takut-takut.

Taufik bingkas. Tanpa sebarang pesan, Taufik terus berlalu pergi meninggalkan Lina yang terkulat-kulat sendiri.


--------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Selasa, November 18

Cerpen : Terimalah aku seadanya..


“Adin, kamu tu lain kali cuba control sikit perangai bila depan Mikail. Ini tidak.. Main lepas laku je”, bebel Mak Temah. Bimbang jodoh yang telah diaturkan buat anaknya itu, akhirnya putus ditengah jalan. Gara-gara perangai anaknya yang lepas laku.


“Alah mak.. Kalau betul dia nak terima Adin, biar dia terima baik buruk Adin. Adin tak nak dia terima Adin sebab dia tengok perangai baik Adin je, yang kadang-kadangnya cuma ‘perangai plastik’. Palsu semata. Adin tak nak nanti dia terkejut pulak bila tengok perangai sebenar Adin bila dah kahwin nanti”, jawab Adin panjang. Bukan Adin engkar pada kehendak ibunya, cuma memang itu adalah prinsip dirinya. Baginya, punca kerapuhan keteguhan perkahwinan di zaman sekarang semuanya berpunca daripada sikap kepura-puraan ini. Teringat Adin pada kata-kata Syirah dulu, “waktu tengah bercinta semuanya indah.. hinggakan kentut yang bau plentung pun dikatanya wangi”. Tersengih Adin mengingatkan kata-kata Syirah.


“Eh, kamu ni Adin. Mak cakap dengan kamu, boleh pulak dia tersengih-sengih sorang diri macam tu”, marah Mak Temah bila bebelannya tidak diambil kisah oleh anaknya.


“Entah apa nak jadilah kamu sorang ni Adin..”, rungut Mak Temah lagi.


“Jadi apa lagi mak, jadi oranglah..”, kata Adin sambil ketawa-ketawa.


“Yelah tu kamu jadi orang..”, balas Mak Temah sinis sambil mengangkat tangan untuk memukul anaknya. Adin hanya ketawa-ketawa sambil melarikan diri.


“Jangan risaulah mak, kalau ada jodoh Adin dengan Mikail tu nanti, adalah..”, jerit Adin yang sudah naik separuh tangga untuk menuju ke biliknya.


* * *


“Adin, nak makan apa?”, soal Mikail.


“Adin nak bubur ayam large, nugget enam sos barbeque, sundey strawberry and Fillet o fish regular one set..”, jawab Adin selamba. Mikail hanya menganggukan kepala.


Setelah selesai membuat pembayaran, mereka berjalan beriringan mencari meja yang kosong. Mikail memilih untuk duduk bertentangan dengan Adin.


“Banyak Adin makan..”, tegur Mikail setelah hampir lima minit mereka mendiamkan diri.


“A’ah. Adin laparlah Mikail. Tadi Adin skip lunch”, kata Adin sambil terus menyuap. Adin merenung makanan yang terhidang di hadapan Mikail. Hanya one regular set of Beef Foldover.


“Mikail makan tu je?”, tanya Adin pula.


Mikail tersenyum mendengar pertanyaan Adin.


“A’ah. Perut Mikail kecik je. Tak boleh masuk banyak-banyak. Takut nanti mata berat pulak..”, kata Mikail sambil tersenyum.


“Eh.. Nape comot je Adin makan ni? Tengok tu habis sos kat tepi bibir tu..”, kata Mikail lagi sambil mengambil tisu untuk mengelap bibir Adin yang comot.


“Ye ke?”, kata Adin sambil meraba bibirnya.


“Opss.. sorry.. Tercomot plak..”, Mikail ketawa kecil mendengarkan kata-kata yang terbit dari bibir mungil Adin.



* * *



“Eh, awak tak nak masuk dulu ke? Jomlah jumpa mak sekejap”, jemput Adin sebaik sahaja mereka tiba dihadapan rumahnya. Wajah Mikail dipandang lama.


“Tak pe lah kot. Lagi pun dah nak dekat Maghrib ni..”


“Jomlah sekejap. Kang apa pulak kata mak..”, pujuk Adin lagi.


“Hmm.. oklah.. tapi saya tak boleh lamalah..”, Mikail akhirnya tunduk jua pada pujukan Adin. Seraya mereka berdua keluar dari perut kereta.


“Mak.. oh.. Mak.. Ni ha, bakal menantu kesayangan mak datang..”, laung Adin selamba dari luar rumah.


“Mak.. ..!!”, laungan Adin terhenti apabila bunyi “Puutt..!!” tiba-tiba kedengaran dan diikuti dengan suatu bau yang kurang menyenangkan.


Oppss!! Muka Adin merintik merah.


“Sorry.. tak sengaja.. Saya sakit perutlah.. er.. awak masuk dululah Mikail ye. Saya nak marathon ke tandas jap”, kata Adin sambil berlari ke tandas. Tetapi langkah Adin tiba-tiba terhenti. Adin berpaling.


“Err.. Mikail. Busuk sangat ke? Aah.. oklah.. nanti kita sambung. Saya dah tak tahan dah ni..”, kata Adin sebelum berpaling dan meneruskan lariannya ke tandas tadi. Perutnya yang memulas, dirasakan seperti tidak mampu ditahan lagi. Aduh..


Tercengang Mikail dengan gaya selamba Adin. Hah? Betul ke tu tunang aku?


* * *


Mikail mundar-mandir di dalam biliknya yang tidak berapa luas itu. Otaknya ligat memikirkan tingkah laku Adin, tunangnya. Betul ke pilihan mama untuk aku ni? Mana gadis sopan dan ayu yang mama ceritakan pada aku dulu? Mikail menggaru lengannya yang gatal digigit nyamuk. Ish.. Nyamuk ni, dah la aku tengah pening ni, boleh pulak dia sibuk nak gigit aku”, marah Mikail di dalam hati.


Walau tangannya asyik menggaru lengannya yang gatal, namun otaknya ligat memikirkan perihal Adin.


Betul ke aku sanggup nak terima perempuan macam ni untuk jadi isteri aku? Sanggup ke? Mikail berfikir-fikir sendiri. Keputusan perlu dilakukan segera. Majlis pernikahan mereka bakal berlangsung tidak lama lagi. Kurang dua minggu sahaja lagi.


Mikail membaringkan badannya ke katil bujangnya. Katil yang bakal ditinggalkannya kurang dua minggu dari sekarang.


“Tapi itu kalau kau masih nak teruskan pernikahan ni..”, bisik hati kecilnya.


Tak mungkin Adin gadis cemerkap begitu. Terbayang perlakuan Adin disepanjang majlis pertunangan mereka yang dilangsungkan dua minggu yang lalu. Kelihatan seorang gadis ayu yang sopan duduk dikatil sambil tertunduk menantikan mama untuk menyarungkan cincin pertunangan ke jari manisnya. Lemah lembut gaya bicaranya. Sungguh, dirinya terpikat pada gadis ayu dan sopan itu. Tetapi kini, kenapa gadis sopan dan ayu itu berubah begini?


* * *


“Hah? Gila kau Adin..!!”, jerit Syirah tatkala mendengar cerita yang disampaikan oleh Adin tadi.


“Kau memang betul-betul tak sukakan si Mikail tu ke?’, tanya Syirah lagi. Raut wajahnya menunjukkan rasa terperanjat dan tidak percaya. Seorang perempuan boleh buang angin sesuka hati dihadapan bakal suami pilihan keluarga. Sungguh Syirah tidak mampu percaya. Sedangkan dihadapan bakal suami pilihan sendiri juga dirinya tidak berani dan malu, inikan pula dihadapan bakal suami pilihan keluarga. Sungguh, Adin ni sudah gila..


“Taklah.. aku suka je dengan dia..”


“Habis tu..?”


“Aku just nak dia terima baik buruk aku sebelum kita orang nikah. Alang-alang kalau dia tak boleh nak terima, biarlah dia tarik diri sekarang..”, jawab Adin mudah.


“Kau gila..! Aku tak rasa Mikail nak terima kau lagi lepas kau buat perangai yang tak senonoh macam tu..”, suara Syira sudah kedengaran keras. Marah barangkali. Wajah Adin ditenungnya lama.


“Kalau dia tak boleh terima aku, anggap jelah kita orang tak de jodoh..”


“Kau ingat semudah itu ke? Entahlah.. aku dah tak tau apa nak cakap lagi..”, kata Syira yang sudah berputus asa untuk menasihatkan Adin. Kadang-kadang Syira sendiri tidak faham akan cara pemikiran Adin, walaupun mereka berdua sudah berkawan bersama sejak hampir 22 tahun yang lalu.


* * *


“Kau gila..! Aku tak rasa Mikail nak terima kau lagi lepas kau buat perangai yang tak senonoh macam tu..”,


“Kalau dia tak boleh terima aku, anggap jelah kita orang tak de jodoh..”


“Kau ingat semudah itu ke? Entahlah.. aku dah tak tau apa nak cakap lagi..”


Adin terkenang kembali perbualannya bersama Syira tempoh hari. Sedikit sebanyak terkesan jua dihatinya. Betulkah Mikail takkan terima aku lagi? Habis macam mana dengan majlis pernikahan pada hujung minggu ini? Benar kata Syira, aku tak fikir panjang. Sepatutnya aku lakukan semua ini sebelum majlis pertunangan dilakukan dan bukannya sekarang. Kalau majlis pernikahan ini dibatalkan, mesti kedua-dua keluarga akan dapat malu. Kesian mak. Tapi kalau Mikail sendiri tak dapat terima perangai aku, kesian pulak pada diri aku. Apa yang patut aku lakukan ni?


Dendangan lagu “My heart” telah menyebabkan soal-jawab monolog Adin terhenti. Telefon bimbitnya yang sedang menari-nari di atas almari sisi diambil. Nama pemanggil direnung sekilas sebelum panggilan tersebut dijawab. Mikail.


“Putus..?”, sebutir mutiara akhirnya gugur jua.


* * *



“Tak boleh ke kalau kita cuba lagi, Mikail?”, rayu Adin dalam linangan air mata.


“Tak boleh. Bukan Mikail tak nak. Tapi, payah Adin..”, kata Mikail bersama satu keluhan. Sudah banyak kali dicubanya namun apakan daya, perkara-perkara sebegini diluar kehendaknya.


“Habis tu, lepas ni sapa yang nak jadi teman Adin? Nanti mesti Adin rindu..”, esakan Adin makin menjadi-jadi. Tidak disangkanya, Mikail setega itu. Sampai hati Mikail.


“Adin.. bukan Mikail tak cuba untuk sambung kembali tapi payah Adin.. Payah..”, kata Mikail lagi. Sungguh Mikail sudah mencuba sedaya upayanya, namun dia tetap tak mampu. Melihatkan keadaan Adin yang masih diam tanpa respon, akhirnya Mikail bersuara lagi.


“Nanti kalau Adin rindu.. Adin tak ada teman.. Adin cari Mikail eh?”, pujuk Mikail lagi.


“Betul..?”, tanya Adin dalam esak tangisnya.


“Betul.. Lagi pun nanti lepas kahwin, kan kita nak honeymoon ke Jepun. So, nanti kita cari CyberPet yang baru kat sana ye..”, kata Mikail sambil merenung lembut ke dalam mata Adin. Air mata yang mengalir di pipi Adin, disapunya perlahan dengan jari kasarnya.


“Ciko ni dah rosak. Wayar dia dah putus. Memang dah tak boleh nak repair lagi dah. So, nanti kita ganti baru. Ok, sayang?”, panggilan sayang telah menyebabkan kepala Adin terpanggung sendiri. Sayang?


“Kenapa?”, tanya Mikail yang terkejut apabila Adin tiba-tiba memanggungkan kepalanya.


“Mikail sayang Adin?”, tanya Adin ragu-ragu.


“Mikail boleh terima Adin ke, lepas semua yang telah Adin lakukan?”, tanya Adin lagi. Mikail tersenyum.


“Boleh sayang..”


“Tapi kenapa? Sanggup ke Mikail terima perempuan yang perangai macam yang Adin lakukan dulu? Tak senonoh, tak sopan dan tak ayu..”, Adin masih lagi cuba mencari kepastian.


“Adin, Mikail sanggup terima apa saja baik buruk Adin, asalkan Mikail dapat bersama dengan Adin. Hati Mikail ni dah terpaut pada Adin pada pertama kali Mikail tengok video pertunangan kita. Waktu tu hati Mikail dah tersangkut habis. Dah tak boleh nak ditarik balik. Cuma satu je yang Mikail nak pinta dari Adin?”


“Apa?”


“Kalau Adin nak buang angin, bagi tau la Mikail dulu. Busuk la sayang. Mikail tak tahan..”, kata Mikail sambil ketawa yang panjang. Merah muka Adin mendengarkan kata-kata Mikail.


“Jahat..”, pantas lengan Mikail dicubitnya.


“Adui.. sakit la sayang.. Tapi betulla.. busuk..”, kata Mikail sambil ketawa lagi.


* * *


Majlis pernikahan mereka akhirnya terlaksana sudah. Mikail sudah tidak sabar-sabar lagi rasa untuk bersama dan berduaan dengan isterinya. Hari yang lewat kini bertambah kelam. Dengan penuh debar, Mikail melangkah menuju ke bilik peraduan mereka.


“Assalamualaikum, sayang..”, tegur Mikail ceria walaupun sudah satu hari telah penat melayani tetamu dan jiran tetangga yang hadir ke pernikahan mereka.


“Waalaikummussalam..”


Dengan penuh debar, Mikail mendekati isteri yang baru dinikahinya tadi. Sebaik sahaja punggungnya dilabuhkan di atas katil yang indah berhias itu, pantas tangannya meraih Adin ke dalam pelukannya. Tanpa dirancang, tangan Mikail mula memainkan peranannya. Menjalar tanpa hala dibadan Adin. Tiba-tiba pergerakan tangan Mikail dihentikan. Adin memegang erat tangan suaminya.


“Kenapa?”, Mikail merenung dalam wajah Adin. Tanda tidak mengerti.


“Abang ada bau sesuatu tak?”, tanya Adin sambil berkerut dahi.


“Bau..?”


“A’ah..”, jawab Adin sambil menganggukkan kepalanya.


“Err.. kuat sangat ke bau?”, tanya Mikail bersama muka tidak bersalahnya.


“Nape..? Abang ke yang….”, Mikail terus menganggukkan kepalanya sebelum Adin menghabiskan ayatnya.


“Abang.. Busuk..!!”, jerit Adin sambil memicit hidungnya.


“Sorry.. abang dah tak tahan tadi…”, kata Mikail bersama ketawa yang terbahak-bahak.



Akhirnya malam yang kelam terus berlalu pergi bersama rahsia alamnya yang tersendiri. Adin dan Mikail juga berbahagia dengan cara mereka yang tersendiri.


“Abang.. Adin sayangkan abang.. asalkan abang tak buang angin busuk lagi..”, Mikail tersenyum mendengarkan kata isterinya.


"Abang pun begitu..", kata Mikail sebelum tubuh Adin ditarik rapat ke lengannya dan akhirnya mereka sama-sama terlena.


Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino