Product from Adobe

Jumaat, September 19

Air Mata Hati Bab 4


Jam telah berdenting sebanyak empat kali tatkala Fakrul kembali menjejakkan kakinya ke bilik setelah puas memujuk hatinya yang pilu. Mujurlah pemergian dan kepulangannya itu langsung tidak disedari oleh sesiapa. Jika tidak, hari yang tenang itu mungkin akan bertukar kecoh. Mana tidaknya. Pengantin lelaki keluar rumah di malam pengantin. Memang tidak pernah dibuat orang.

Sayu hatinya apabila melihat Ezani yang tidur merekot di atas lantai. Tanpa sebarang alas. Tanpa sabarang kain yang menyelimuti dirinya. Perlahan Fakrul mendekati isterinya itu. Wajah yang lembut ayu itu ditenungnya lama. Sebuah kucupan hinggap di dahi Ezani. Fakrul sendiri tidak memahami dengan dirinya. Segalanya berubah tatkala mereka sah diijabkabulkan. Nama Nina ibarat terkubur tanpa nisan di hatinya. Langsung tiada kesan. Entah mengapa? Fakrul tiada jawapannya. Kucupan sayang hinggap lagi di dahi isterinya itu. Tidak tertahan rasa hatinya dengan rasa sayang itu. Hanna abang sayangkan Hana, jerit hati kecil Fakrul. Jangan tinggalkan abang, sayang...

Fakrul mengambil bantal dan mengalas kepala Ezani perlahan-lahan. Suhu penghawa dingin ditinggikan dan sehelai selimut diambil untuk menyelimuti isterinya itu. Setelah memastikan isterinya berada dalam keadaan yang lebih selesa akhirnya Fakrul juga sama-sama merebahkan diri di sisi isterinya. Wajah sendu isterinya itu ditenungnya lama. Tidur dengan bantal yang sama membuatkan wajah mereka hanya sejengkal jaraknya. Tangannya melingkari pinggang isterinya dan akhirnya dia juga turut terlelap. Di wajahnya juga terlukis sendu yang teramat.

Kokokan ayam pada pagi itu telah mengejutkan Ezani dari lenanya yang panjang. Terasa seperti ada tangan yang melingkari pinggangnya. Terkejut apabila melihat Fakrul ada disebelahnya. Perlahan Ezani mengalihkan tangan suaminya itu. Ezani berteleku di sebelah Fakrul yang nyenyak. Ezani tidak tahu bila Fakrul pulang dan tidur disebelahnya. Rasa kasihan menyelinap di hatinya apabila melihat Fakrul tidur tanpa alas. Ezani memberanikan tangannya untuk membelai rambut suaminya itu. Wajah Fakrul ditenungnya dengan rasa kasih yang mendalam. Bukan aku tidak sudi menjadi suri hidupmu cuma aku mahu kau berbahagia disamping insan yang kau sayangi. Diriku bukanlah insan yang bertuah itu yang terpilih untuk mendapat kasih sayangmu itu.

Gerakan kecil oleh Fakrul telah menyebabkan Ezani berdiri secara spontan. Risau kelakuannya itu disedari oleh Fakrul. Risau andai perlakuannya itu berjaya mengaburi permintaannya pada Fakrul malam tadi. Hakikatnya Fakrul telah lama sedar. Tindakannya telah lama diintip oleh Fakrul. Lenanya sejak malam tadi asyik terganggu. Fikirannya kacau dan berserabut. Perbuatan Ezani itu menyebabkan Fakrul yakin dengan keputusan yang telah dibuatnya malam tadi. Hatinya gembira. Fakrul tahu kasih Ezani buat dirinya masih seperti dulu. Masih belum berubah.

Tidak lama kemudian Fakrul berpura-pura mengeliat. Meregangkan urat-urat di badannya. Sakit juga badannya kerana tidur di lantai tanpa alas. Namun untuk tidur seorang diri di atas katil serba nan indah itu seorang diri Fakrul tidak sanggup. Ezani kelihatan terpaku melihatnya. Fakrul melemparkan senyum.

“Err.. bangunlah. Subuh,” itu sahaja yang mampu Ezani lafazkan. Hatinya masih gabra. Bimbang perbuatannya itu disedari Fakrul. Dirinya pasti akan diketawakan oleh Fakrul seandainya perbuatan itu disedari. Senyuman yang dihadiahkan oleh Fakrul sebentar tadi sedikit-sebanyak telah menceriakan hatinya.

Ezani terus berlalu. Selepas mengambil tualanya lalu terus menghilang ke bilik mandi. Tidak lama kemudian Ezani keluar kembali dari bilik mandi menuju ke almari. Sepasang baju kurung dikeluarkannya lalu kembali menghilang ke dalam bilik mandi semula. Tersenyum Fakrul melihat gelagat isterinya itu. Malulah tu, kata Fakrul sambil ketawa dalam hatinya. Senyuman kecil terbit di bibirnya.

Setelah selesai membersihkan diri, Fakrul dan Ezani sama-sama menunaikan tanggungjawab yang satu itu secara berjemaah buat pertama kalinya. Tenteram dan damai rasa hati Ezani tatkala dirinya mengucup lembut tangan suaminya. Sebagai balasan Fakrul menghadiahkan suatu kucupan tulus di dahinya. Terlupa sebentar konflik yang tercetus malam tadi. Yang ada hanyalah suasana suami isteri yang solehah.

Auchh!! Ezani bersin. Selepas itu Ezani terus bersin dan bersin lagi. Nampaknya Ezani telah diserang selesema. Merah sungguh hidung Ezani. Tergeleng kepala Fakrul melihat Ezani yang mudah diserang selesema itu. Itulah katil ada nak jugak tidur di lantai. Inilah padahnya, hati kecil Fakrul bersuara. Tetapi tidak pula disuarakan pada isterinya itu. Bimbang mood isterinya akan berubah kembali. Fakrul tidak rela melihat sendu di wajah isterinya. Setelah bersiap ala kadar, mereka sama-sama keluar dari bilik.

“Aik, awalnya pengantin kita bangun. Tidur tak nyenyak ke malam tadi?” usik Nek Leha. Belum sempat Fakrul menjawab usikan Nek Leha itu, Ezani kembali bersin. Auchh!! Bukan sekali dan bukan juga dua kali. Tetapi berkali-kali. Pantas Fakrul mencapai kotak tisu yang berada berhampiran dengannya dan memberikannya kepada Ezani. Tanpa sepatah kata Ezani terus mengambilnya dan terus bersin. Buat sekian kalinya Fakrul menggelengkan kepalanya. Hanna.. Hanna.. Terselit senyuman dibibirnya. Ezani kelihatan sangat comel dengan hidungnya yang merah.

“Lah, demam ke kau ni Zani?” kata Mak Cik Limah sambil meletakkan tangannya di dahi Ezani. Namun wajahnya dipalingkan ke muka anaknya, Fakrul untuk mendapatkan sebarang penjelasan.

“Kau buat apa pada si Zani ni Ayul sampai demam-deman dibuatnya dia?” terkeluar soalan itu dari mulut Nek Piah. Terkelu Fakrul seketika. Ezani pula hanya tertunduk malu. Faham dengan apa yang dimaksudkan. Eh, ke situ pulak Nek Piah ni? Terdengar ada suara-suara yang ketawa. Setelah menyepi beberapa ketika barulah Fakrul menjawab soalan emaknya. Soalan Nek Piah itu dibiar terus berlalu tanpa jawapan.

“Agaknyalah mak. Kejap lagi lepas sarapan Ayul bawakkan Hanna ke klinik,” balas Fakrul. Tersenyum Mak Cik Limah mendengar panggilan Fakrul pada Ezani telah berubah. Baguslah jika begitu. Kemudian Fakrul berpaling kepada Ezani.

“Hanna, nanti lepas makan Hanna siap ye. Abang bawakkan Hanna ke klinik Dr. Ain,” beritahu Fakrul pada isterinya. Ezani yang masih asyik dengan bersinnya itu hanya mengangguk. Bersin yang tidak henti-henti itu menyebabkan Ezani tidak mampu bersuara. Pada kali ini, bukan sahaja Fakrul yang menggelengkan kepala tetapi juga Mak Cik Limah, Nek Leha dan Mak Uteh. Anak-anak Kak Shiedah yang berada di situ ketawa melihat bidadari yang asyik bersin itu. Ezani tidak peduli. Apa yang pasti kotak tisu itu adalah miliknya..!

Pagi itu semasa bersarapan pagi, sempat Ezani menuangkan minuman dan menyendukkan bihun goreng kepada Fakrul. Itulah tanggungjawab pertama sebagai isteri yang dijalankan oleh Ezani sejak pernikahan mereka semalan. Fakrul menerimanya dengan senang hati. Senyuman Fakrul sentiasa dibibir. Bahagia sungguh rasanya bila ada isteri. Indah sungguh perasaan itu hingga terlupa terus permintaan isterinya semalam.

Malah semua yang berada di situ turut berasa senang hati melihat kelakuan mereka berdua. Ezani hanya makan sedikit sahaja. Dia tiada selera. Memang begitu kebiasaannya. Apabila dirinya dijangkiti selesema, selera makannya pasti hilang. Ezani makan sedikit pada pagi itu pun hanya kerana paksaan oleh Fakrul. Fakrul bertegas supaya Ezani perlu makan walaupun sedikit. Kata-kata Fakrul itu pula disokong oleh Mak Cik Limah dan Tok Hassan, suami kepada Nek Leha. Setelah selesai bersarapan mereka pun keluar menuju ke klinik.

“Teruk benar sayang bersin pagi ni. Itulah lain kali tidur atas katil. Hanna tidur atas lantai tu kenapa? Tak fasal-fasal dah sakit,” tegur Fakrul. Ezani memandang Fakrul yang sedang tenang memandu. Belum sempat Ezani menjawab, sekali lagi Ezani bersin. Fakrul tersenyum. “Tak apelah, abang bawak Hanna ke klinik Dr. Ain,” kata Fakrul lagi.

“Abang, jauhnya..” baru Ezani tersedar lidahnya telah tersasul kata. Serta merta wajahnya bertukar merah. Sama merah dengan hidungnya yang telah sedia merah. Tidak jadi Ezani hendak meneruskan kata-katanya.

“Alhamdulillah.. Akhirnya dapat jugak abang dengar Hanna panggil abang, abang,” sebut Fakrul. Girang benar hatinya. Luka hatinya semalam hilang begitu sahaja. Fakrul tertawa kecil. Wajahnya berseri-seri. Terasa ingin dicatatkan tarikh dan detik masa itu di dalam diari peribadinya supaya dapat diabadikan buat selamanya. Sungguh hatinya bahagia.

“Tak apelah, saja je abang nak bawak Hanna ke klinik Dr. Ain,” kata Fakrul lagi dalam maksud yang tersirat.

“Kenapa tak pergi ke klinik Dr. Ammar je. Dekat sikit kan?” tanya Ezani lagi.

“Err.. err.. tak apelah. Ammar… Klinik Dr. Ammar… err.. ha.. tutup hari ni. Sayang tak tau ke?” tergagap Fakrul memberi balasan.

“Eh, hari ni bukan public holidaykan? Rasanya klinik tu tak pernah tutup walaupun public holiday. Biar Zani check kad dia dulu,” balas Ezani dalam kepelikan.

“Tak.. abang dah called Ammar tadi dia cakap dia cuti,” Fakrul masih cuba mempertahankan alasannya. Pelik Ezani melihat gelagat Fakrul pada pagi ini. Akhirnya Ezani ikutkan sahaja kata-kata suaminya itu. Malas nak bertelagah lagi.

“Oklah.. Pergi jelah Ayul. Zani tak kisah,” lega hati Fakrul mendengar kata-kata Ezani itu. Tak mahu kisah keengganannya membawa Ezani ke Klinik Dr. Ammar diperkatakan lagi.

“Isteri encik ini hanya mengalami demam selsema biasa saja. Encik tidak perlu bimbang. Saya akan berikan ubat dan harap encik dapat memastikan isteri encik makan ubat tersebut tepat pada masanya,” pesan Dr. Ain kepada Fakrul. Ezani yang berada disebelah sekadar mendengar.

“Antibodi badan puan agak lemah. So, saya sarankan puan banyak makan buah-buahan dan bagus juga kalau puan ambil multivitamin,” tambah Dr. Ain lagi. Khusyuk Fakrul mendengar kata-kata Dr. Ain perihal Ezani.

“Saya bagi pada puan ubat demam, ubat selema, ubat batuk dan juga vitamin. Makan tepat pada masanya. Ok puan boleh ambil ubat puan diluar,” setelah mengucapkan terima kasih pasangan suami isteri itu pun berlalu.

“Sampai je rumah nanti Hanna terus pergi makan tengah hari, lepas tu makan ubat and tidur,” arah Fakrul sebaik saja mereka melangkah masuk ke dalam kereta. Ezani berpaling pada Fakrul.

“Alah.. tapi Zani nak tolong mak kemas-kemas. Takkanlah nak tidur tengah-tengah hari rembang ni,” sanggah Ezani. Sesungguhnya Ezani segan dengan ahli keluarga yang lain. Sungguh pun dirinya tidak sihat, Ezani tidak mahu mereka menganggap yang dirinya terlalu manja pula. Sakit sedikit sudah tidak boleh buat kerja. Mentang-mentanglah dirinya itu masih lagi bergelar pengantin baru.

“Ha.. Tengok tu.. Hanna ni memang degil tau! Hanna dengar cakap abang ni. Tak payahlah sibuk nak fikir fasal nak kemas rumah tu. Nanti abang buatlah.. Abang tolong mak kemas. Hanna tidur je. Mak pun mesti tak bagi Hanna kemas punyalah..” bebel Fakrul panjang lebar. Sifat Fakrul yang satu itu sangat Ezani ketahui. Fakrul sangat pandai membebel. Sabar ajelah hati.. Lagi pun bukannya tak biasa sebelum ni..

“Ha.. buat muka macam tu.. muka lawa pun dah jadi muka jebon,” tegur Fakrul lagi bila melihat Ezani seolah-olah tidak mahu mendengar kata-katanya. Malah menunjukkan muka yang tidak puas hati. Kebiasaan bercakap lepas dengan Ezani masih tidak dapat diubah.

“Hmm.. kalau dah tau muka Zani macam jebon buat apa nak simpan Zani. Lepaskan ajelah,” ringan sahaja mulut Ezani membalas kata-kata Fakrul itu. Fakrul pula tercengang dengan bidasan Ezani itu. Sungguh Fakrul tidak sangka isu semalam akan dibangkitkan kembali pada saat ini. Menyimpang sungguh balasan dari Ezani itu. Harmoni sungguh suasana antara mereka tadi. Kelu lidah Fakrul untuk bersuara. Ezani pula masih lagi menunggu balasan daripada suaminya itu.

“Kenapa Ayul diam? Jawablah..!” cabar Ezani lagi bila melihat Fakrul seolah tidak mahu menjawab kata-katanya tadi. Ezani masih lagi menunggu reaksi daripada Fakrul. Tiada sepatah kata keluar dari mulut Fakrul. Tetapi Ezani pasti Fakrul sedang menahan marah pada waktu itu. Cengkaman yang kuat pada stereng dan juga muka yang merah menggambarkan perasaan Fakrul pada waktu itu. Setelah tiba di selekoh terakhir sebelum masuk ke perkarangan rumah barulah Fakrul bersuara.

“Nantilah kita bincangkan hal ini. Buat masa ini abang nak Hanna pergi makan ubat dan tidur. Lagi satu abang harap sangat Hanna tak bercakap mengenai hal ini di depan mak. Abang tak nak mak sedih nanti. Mak sayang sangat pada Hanna,” balas Fakrul perlahan. Sayu sungguh rasa hatinya saat itu. Pedih juga hatinya apabila gurauannya telah disalahertikan. Tersentuh juga hati Ezani mendengar kata-kata Fakrul itu. Namun apakan daya. Sudah terlajak kata tidak boleh diundur.

“Zani, dah balik dah nak. Hm.. Zani pergilah makan di dapur tu. Lepas tu Zani naik berehat di bilik ye nak..” kata Mak Cik Limah pada menantunya itu. Menantu yang disayanginya ibarat anaknya sendiri.

“Baiklah mak,” balas Ezani pendek. Tersenyum Mak Cik Limah melihat kepatuhan Ezani itu.

“Ayul, kau pergilah temankan si Zani ni makan,” arah Mak Cik Limah pada Fakrul pula. Namun, tangannya masih lagi meraba-raba di dahi Ezani. Ingin merasa sendiri suhu badan Ezani. Risau juga hati tuanya. Bimbang menantunya itu menghadapi penyakit yang serius.

“Jom..” kata Fakrul sambil menarik tangan Ezani. Ezani terkejut. Mahu saja Ezani menepis pegangan Fakrul itu. Namun demi memikirkan maruah dan air muka Fakrul di hadapan keluarga akhirnya Ezani diamkan saja.

Sebaik tiba di dapur, Ezani menyuruh Fakrul duduk di meja makan. Dirinya terus bergerak ke dapur untuk mengambil pinggan dan menyendukkan nasi buat Fakrul. Entah mengapa dalam permintaannya untuk dilepaskan oleh Fakrul namun dirinya masih lagi menjalankan tugas seolah-olah dirinya itu isteri yang solehah. Belum sempat Ezani bergerak ke dapur, terasa pergelangan tanggan ditarik. Ezani terus berpaling.

“Hanna duduk. Biar abang yang pergi ambilkan pinggan dan nasi”

“Tak apelah. Zani bukan nak mati lagi. Boleh lagi nak pergi..” belum sempat Ezani menghabiskan kata-katanya. Ezani terasa pipinya ditampar oleh Fakrul. Tamparan tersebut tidaklah terlalu kuat. Namun masih mampu membuatkan Ezani terpana dengan tamparan itu. Terkejut hatinya dengan tamparan tersebut. Tamparan pertama dari suaminya. Tamparan akibat keceluparan mulutnya.

“Tak ada ayat yang elok lagi ke nak guna? Kenapa? Rasa tak puas hati tadi tu tak habis lagi ke? Cakap tu pernah fikir ke tak? Ikut sedap mulut dia je. Tak fikir langsung orang sakit hati ke tak ke? Suka-suka dia je. Masih nak cari fasal.. Tak penat-penat lagi ke? Kaki dah lah capit tangan pula berjahit.. Duduk jelah.. Saja nak tunjuk keras kepala dia,” marah Fakrul. Suaranya tidak ditinggikan. Bimbang dikesan oleh ahli keluarga yang lain. Namun ketegasan suaranya sudah cukup untuk membunuh keberanian di hati Ezani untuk terus menentang Fakrul. Setelah melihat Ezani duduk di kerusi meja makan barulah Fakrul bergerak ke dapur.

Setelah lauk disusun di tengah meja dan nasi telah dihidang akhirnya Fakrul mengangkat menadah tangan untuk membaca doa makan. Tanpa disuruh Ezani turut menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibaca oleh Fakrul itu. Fakrul telah memulakan suapannya yang pertama. Namun Ezani masih lagi menguis-nguis nasi dalam pinggannya. Sungguh seleranya tiada. Perbalahan dengan Fakrul tadi sedikit sebanyak juga telah membunuh seleranya. Namun itu semua salah dirinya. Asyik mencari fasal. Ezani sendiri tidak tahu apa yang dikehendakinya.

Suapan Fakrul terhenti apabila mendapati Ezani masih lagi belum makan nasi yang berada di hadapannya. Fakrul merenung Ezani disebelahnya. Ezani hanya menguis-nguis nasi dipinggannya. Fakrul bingung dengan tindakan Ezani dua hari ini. Benci sangatkah dia pada aku? Bukankah dahulu aku sering melihat renungan sayang dari matanya padaku? Bukankah dahulu tindakan dan cakap-cakap Ezani lebih menunjukkan perasaan yang sarat dengan perasaan sayang kepadaku? Sungguhkah Ezani tidak bahagia dengan perkahwinan ini? Daripada membiarkan perkara ini dari terus berlarutan dan memudaratkan semua, mungkin inilah masa yang terbaik untuk menghuraikan semua masalah ini.. Tapi perlukah aku melepaskannya? Sungguh hati Fakrul tidak rela.

“Baiklah..” kata-kata Fakrul secara tiba-tiba itu mengejutkan Ezani dari lamunannya. Cuak juga hatinya mendengarkan kata-kata Fakrul yang hanya sekerat jalan itu. Apa maksudnya? Dah nak lepaskan aku ke? Tiba-tiba badan Ezani terasa seram sejuk dan tangannya pula terus menggelar. Kuatkah hati aku untuk menghadapi saat ini?

Fakrul mengumpul kekuatan untuk terus bersuara. Wajah Ezani yang tiba-tiba berubah pucat ditenung dengan perasaan yang berbaur. Ya Allah berilah petunjuk pada hamba-Mu yang hina ini. Peliharalah rumah tangga yang baru terbina ini.

“Sayang makanlah.. Lepas ni kita keluar dan berbincang. Kalau abang terus ikat sayang tapi sayang tak bahagia pun tak guna jugak. Mungkin abang hanya layak untuk ditinggalkan. Tak apelah..” selepas menuturkan kata-kata itu Fakrul terus mengangkat pinggan nasinya yang baru makan separuh itu lalu beredar. Seleranya mati.

Ezani terpana dengan tindakan dan kata-kata Fakrul itu. Sudah tiba masanyakah?! Wajahnya berubah pucat. Takut. Sedih dan tidak rela pula yang bersarang dihatinya kini. Abang?! Rintih hati Ezani..


“Hanna dah fikir masak-masak tentang permintaan Hanna itu?” tanya Fakrul.

“Betul yang sayang takkan menyesal?” tanya Fakrul lagi. Hanna hanya menundukkan mukanya. Tidak berani untuk menatap wajah Fakrul. Satu-satunya wajah kesayangannya di muka bumi ini. Perit rasa hatinya dengan soalan itu. Hanya anggukan kepala yang mampu diberikan sebagai jawapan.

“Pandang muka abang, Hanna. Abang tak faham bahasa isyarat. Mana suara Hanna? Abang nak dengar kata-kata tu dari mulut Hanna sendiri!” tegas Fakrul. Sengaja dia ingin mendera hati Ezani. Secebis dari hatinya masih yakin masih ada sayang dihati Ezani untuk dirinya.

“Betul Hanna memang dah tak boleh terima abang sebagai suami? Even to give it a try for our marriage?” soal Fakrul lagi.

“Tak!! Kenapa Ayul tak nak faham ni?” jerit Ezani tiba-tiba. Sungguh hatinya pedih dan tidak tahan dengan segala soalan-soalan Fakrul yang bertalu-talu itu. Hatinya terdera. Hatinya tertekan. Kenapa Fakrul sengaja nak mendera hatinya lagi?

“Ok, kalau itu yang Hanna nak. Abang akan lepaskan Hanna. Kita akan cari saksi untuk selesaikan perkara ini,” tertegak pandangan Hanna mendengar ayat yang baru sahaja meluncur dari mulut Fakrul itu.

“Kenapa Hanna pandang abang macam tu? Hanna yang mintakkan?” provok Fakrul lagi. Manik-manik jernih sudah mula kelihatan di wajah Ezani. Hati Fakrul sendiri tidak tertahan apabila melafazkan kata-kata itu tadi. Namun hatinya itu dicekalkan. Aku perlu lakukan sesuatu. Dayus sekiranya aku hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa. Hanya mendengar permintaan Ezani yang berkali-kali untuk dilepaskan.

“Tapi dengan syarat. Abang hanya akan lepaskan Hanna dengan kehendak Hanna sendiri sekiranya semua syarat yang abang tetapkan itu telah Hanna patuhi. Setuju?” sekali lagi Ezani terpana dengan kata-kata Fakrul.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Air Mata Hati Bab 3


Ezani terjaga daripada lenanya yang panjang apabila berasa pedih yang amat sangat daripada luka yang berada di kaki dan tangannya. Mungkin kesan ubat semalam telah hilang. Melihatkan tapak tangan dan kakinya yang berbalut menyebabkan hatinya berasa simpati terhadap dirinya sendiri. Melihatkan jari-jarinya yang telah berinai mengingatkan dirinya bahawa hari ini adalah hari perkahwinannya. Oh, tidak. Bukan hari perkahwinannya tetapi hari pernikahannya. Dirinya hanya akan bernikah dengan Fakrul tetapi yang berkahwin hanyalah Fakrul dan Nina yang berada di dalam anganan Fakrul. Dirinya hanya bertindak sebagai patung boneka di hadapan tetamu yang hadir nanti. Ezani akan sentiasa mengingatkan dirinya akan perkara tersebut. Fakrul adalah suami untuknya tetapi dirinya hanyalah isteri di atas kepingan kertas bagi Fakrul. Tiada nilai dirinya bagi Fakrul. Mengenangkan perkara ini terasa ingin menitis air matanya.

Tiba-tiba Ezani terkenangkan ibunya. “Ibu, benarkah tindakan Zani ini, ibu? Akan bahagiakah Zani, ibu? Ibu doakan anakmu dari kejauhan ya ibu. Sesungguhnya apa yang Zani lakukan ini juga adalah untuk seorang insan yang bergelar ibu. Tidak sampai hati Zani melukakan hati seorang ibu yang sanggup menumpangkan kasihnya buat Zani,” terhinggut-hinggut bahu Ezani kerana menangis. Pilu hatinya. Hiba tak terkata. Ezani berkali-kali mengingatkan kepada dirinya akan hakikat ini. Mengingatkan kepada dirinya supaya jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap Fakrul kerana kelak dirinya mungkin akan merana. Ezani juga akan sentiasa bersedia untuk bergelar janda kerana dirinya tahu adalah sukar untuk menjalankan tugas dan kewajipan yang tergalas di bahu seandainya tiada kerelaan di hati. Ezani jelas akan hal ini. Perlahan-lahan hatinya pasrah.

“Zani, kau dah bangun ke nak?” terdengar panggilan Mak Cik Limah di muka pintu. Perlahan-lahan Zani cuba bangkit dari katil untuk membukakan pintu.

“Dah mak cik, sekejap ya,” jawab Ezani. Ezani cuba bangkit untuk membuka pintu. Berkerut mukanya menahan rasa sakit yang semakin terasa apabila dirinya melakukan pergerakan.

“Ya Allah, kesiannya anak mak ni. Apa yang kau buat semalam nak sampai jadi macam ini? Sedih hati mak tengok anak mak jadi pengantin dalam keadaan macam ni,” kata Mak Cik Limah. Tersentuh hati Ezani apabila Mak Cik Limah membahasakan dirinya mak kepada dirinya. Terasa seperti ibunya sendiri yang sedang berdiri dihadapannya kini.

“Mak cik..” getus Ezani sambil menangis. Memandangkan Ezani yang menangis maka Mak Cik Limah terus memeluk Ezani untuk menenangkannya. Tidak semena-mena air mata Mak Cik Limah juga mengalir lesu.

“Maafkan Zani, mak cik..” Mak Cik Limah mengusap perlahan belakang Zani. Dirinya mengerti perasaan anak gadis dihadapannya kini.

“Zani, hari ni mak nak. Mulai hari ini Zani adalah anak mak. Mak akan jadi wakil Zani hari ni. Bukan Ayul,” terang Mak Cik Limah. Ezani telah dianggap seperti anaknya. Bukan menantu.

Pelukan terlerai. Kedua-dua mereka serentak memandang ke muka pintu apabila terdengar ketukan. Fakrul menjengukkan mukanya. Apabila tersedar bahawa dirinya masih berpakaian tidur dan tidak bertudung, Ezani cepat-cepat menarik selimut dan menyelimutkan badan dan kepalanya untuk menutup dari pandangan Fakrul. Fakrul bukan mahramnya. Fakrul yang melihat telatah Ezani yang agak kelam kabut itu terasa seperti ingin ketawa tetapi ditahannya jua. Dalam fikirannya, untuk apalah Ezani bertindak seperti itu. Tidak sampai beberapa jam sahaja lagi Ezani akan menjadi miliknya. Akan tiada batas antara mereka. Tapi tidak mengapalah. Sekarang Ezani bukan miliknya lagi. Cuma bakal saja. Senyuman nakal terbit dibibirnya.

“Hah, ada apa kau datang ke sini Ayul? Kau mana boleh datang sini. Ini bilik anak dara tau,” tegur Mak Cik Limah kepada anaknya. Dah ketuk pintu tapi tak bercakap pulak. Hanya merenung Ezani sahaja matanya. Lucu pula rasanya apabila melihat Ezani yang berselubung seperti orang Eskimo ini, getus Mak Cik Limah di dalam hati. Melihatkan anaknya merenung tanpa henti terhadap Ezani tadi hati Mak Cik Limah menjadi sedikit senang. Moga ada petanda baik bagi mereka. Doa Mak Cik Limah.

“Eleh, anak dara apanya mak. Kejap je lagi dah nak jadi bini Ayul,” balas Fakrul selamba sambil tersengih. Ezani memalingkan wajahnya. Tidak sanggup rasanya untuk mendengar kata-kata tersebut. Untuk menghadapi hakikat itu nanti apatah lagi. Sengihan Fakrul lagi menambahkan jelik hatinya.

“Tak ada apalah mak. Ayul cuma nak cakap yang kita tak payah buat majlis sandinglah hari ni ye mak. Nanti-nantilah kita buat. Lagi pun Zani pun masih belum betul-betul sihat,” sambung Fakrul lagi terhadap ibunya. Wajah Mak Cik Limah dan Ezani dipandang secara berselang seli.

“Terpulang pada kaulah nak. Zani, apa pendapat kau pulak? Ini majlis kau jugak,” tanya Mak Cik Limah kepada Ezani. Sebenarnya Mak Cik Limah berasa agak bersyukur bahawa Ezani yang menjadi menantunya. Memang sudah lama Mak Cik Limah berkenan akan perilaku Ezani namun apakan daya apabila Fakrul berkenankan Nina. Mak Cik Limah tidak sangka bahawa hajatnya untuk bermenantukan Ezani akan terkabul. Sangkanya niatnya ini hanya akan tinggal anganan sebaik sahaja Fakrul menyampaikan hajatnya untuk menyunting Nina menjadi suri hidupnya. Nina bukanlah tidak baik orangnya. Cuma Mak Cik Limah agak kurang berkenan dengan gaya pemakaian Nina yang tidak bertudung dan agak menjolok mata.

“Zani tak kisah mak cik. Lagi pun ini bukan majlis Zani. Zani hanya sebagai pengganti sahaja. Zani ikut..,” belum sempat kata-katanya dihabiskan Fakrul telah memotong percakapannya.

“Ok,” sungguh balasan itu menjerut hatinya.

“Nak, kenapa cakap macam tu sayang?” tanya Mak Cik Limah kepada Ezani. Entahlah, Mak Cik Limah sendiri bingung untuk memahami perasaan Ezani yang duduk dihadapannya.

“Zani.. Zani.. er.. Bukan niat Zani.. er..” Ezani sendiri tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan kepada Mak Cik Limah. Ezani sedar. Fakrul memang tidak merestui perkahwinan ini. Atas sebab itulah Fakrul membatalkan upacara bersanding yang dijadualkan berlangsung pada petang ini. Mungkin jika Nina ditempatnya kini Fakrul sudah tidak sabar-sabar lagi untuk bernikah dan bersanding. Malangnya bukan Nina yang berada di sini. Yang ada hanyalah dirinya.

“Tak apelah nak. Zani berehatlah sayang ye. Sekejap lagi Mak Uteh akan masuk hantarkan sarapan pagi. Lepas makan Zani makan ubat. Nanti bila mak andam dah sampai baru Zani bersiap,” nasihat Mak Cik Limah sekaligus memberitahu Ezani mengenai jadualnya pada hari ini.

Majlis akad nikah yang dijadualkan dilakukan di Masjid Al-Farabbi juga telah dibatalkan. Majlis akad nikah hanya dilangsungkan di rumah. Sekali lagi Ezani berasa rendah diri. Tidak suka benar Fakrul pada dirinya. Apakan daya dirinya hanyalah galang pengganti. Segala persediaan bukanlah untuk dirinya. Siapalah dirinya untuk disambut dan dirai seindah dan semeriah itu. Terbayang majlis pernikahan dan persandingan yang sering diangankannya. Fakrul dan dirinya bersanding di atas pelamin serba nan indah. Fakrul juga tersenyum bahagia disampingnya. Wajahnya juga tergambar kegembiraan dan rasa tidak sabar untuk hidup bersama. Semua itu hanyalah anganan yang akan tinggal kenangan. Tidak mungkin jadi kenyataan.

Terpegun Fakrul seketika apabila melihatkan wajah Ezani sebelum majlis pernikahan sebentar tadi. Tidak pernah dirinya merasakan Ezani secantik tadi. Entah mengapa wajah Ezani yang kelihatan redup dan lembut sambil tertunduk ketika dirinya melafazkan akad di hadapan kadi tadi sering terbayang difikirannya. Ayu sungguh. Terselit juga rasa bangga di hatinya kerana mendapat isteri seanggun itu. Buat seketika Fakrul lupa bahawa kehadiran Ezani itu hanyalah sebagai pengganti kepada Nina yang melarikan diri. Buat pertama kalinya dirinya terlupa pada Nina. Hanya Ezani di matanya. Dengan hanya sekali lafaz sahaja maka sahlah Ezani sebagai isterinya.

Bergetar jiwa Ezani tatkala mendengar perkataan sah daripada mulut kadi diikuti oleh keempat-empat saksi. Kini sahlah Fakrul Ezairy bin Aminuddin Hakeem sebagai suaminya. Tamatlah sudah hidup bujang Ezani Hanna Mustaqim. Bermulalah sudah hidupnya sebagai isteri kepada Fakrul Ezairy. Serba-serbi perlu dikongsi.

Terasa mengigil tangannya ketika Fakrul menyarungkan cincin pernikahan mereka ke jari manisnya. Begitu juga semasa Fakrul mencium dahinya setelah dirinya tunduk mencium tangan Fakrul untuk upacara pembatalan air sembahyang. Pertama kali bersentuhan sebegitu menimbulkan rasa cuak dihati Ezani. Bisikan ‘Cantiknya isteri abang’ di peluput telinganya juga meremangkan bulu romanya. Dirinya benar-benar rasa tidak selesa dengan keadaan itu dan terasa seperti ingin melarikan diri dari semuanya. Namun, Ezani tahu semua itu adalah mustahil baginya. Yang tinggal hanyalah kehidupan bersama suami yang baru dinikahinya itu. Suami yang dahulunya adalah sahabat baiknya. Sahabat yang sering memberikan tempat berlindung dan bergantung kepadanya. Kini, lelaki yang sama itu juga yang sepatutnya akan berfungsi sebagai nakhoda dalam hidupnya. Tapi itu semua hanyalah kata-kata yang bermula dengan perkataan sepatutnya. Apa yang bakal berlaku nanti adalah sesuatu yang hanya akan bermula dengan perkataan tidak sepatutnya. Ezani ingat itu.

Segan sungguh Ezani apabila Pak Monty, jurufoto yang diupah meminta mereka untuk menggayakan pelbagai aksi yang romantik. Sekejap begitu, sekejap begini. Sungguhpun begitu, Pak Monty masih lagi mengambil kira keadaan Ezani yang cedera. Tidak dapat Ezani lupakan apabila Pak Monty meminta Fakrul memeluknya dari belakang sambil mencium ke pipinya. Terasa Fakrul mencium lembut ke pipinya. Selamba saja Fakrul melakukannya. Seolah-seolah langsung tiada masalah. Pandai sungguh Fakrul melakonkan wataknya. Mungkin juga Fakrul membayangkan dirinya adalah Nina. Hanya itu sahajalah jawapan yang mampu diberikan oleh Ezani terhadap dirinya. Usikan dan ketawa daripada sanak saudara dan hadirin memang gamat semenjak tadi. Ada sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut mereka. Itu yang menyebabkan Ezani tidak mampu mengangkat muka. Malu dan segan sungguh rasanya. Tidak hilang merah di mukanya. Bertambah ayu Ezani bila berwajah sedemikian. Fakrul pula hanya relaks di sisi Ezani sambil tersenyum lembut. Tangannya pula sentiasa melingkar di pinggang Ezani. Hendak ditepis takut jatuh air muka suami yang baru menikahinya itu. Tiada siapa yang tahu apa yang sedang bergelojak di hati suaminya ini, fikir Ezani. Begitulah juga dengan apa yang sedang bergelojak di hatinya. Tidak orang lain dan tidak juga oleh suaminya. Lagi pun, Fakrul memang sedari dahulu lagi memang seorang yang agak tenang orangnya. Sering cuba untuk menunjukkan ketabahan dihadapan orang lain. Ezani tahu itu. Dia kenal sikap Fakrul yang satu itu.

Setelah selesai sesi fotografi maka semua tetamu yang hadir dijemput untuk menjamu selera. Fakrul keluar mengiringi tetamu-tetamu tersebut. Tinggallah Ezani terkial-kial seorang diri. Ezani juga tidak mengharapkan Fakrul akan membantunya. Lutut dan tapak tangannya yang berjahit itu membataskan pergerakannya. Belum pun sempat Ezani bangun untuk menuju ke meja untuk majlis makan beradap, kelihatan Fakrul kembali ke dalam bilik sambil menyorong kerusi roda. Terkedu sebentar Ezani melihatkan Fakrul yang hadir bersama kerusi roda. Namun tanpa banyak soal Ezani duduk di kerusi roda tersebut dengan dibantu oleh Fakrul. Malas untuk memanjangkan kisah. Lagi pun perasaan malu sudah pun sarat memenuhi jiwa. Seandainya dirinya cuba menimbulkan perbalahan, lama pula mereka berduaan dalam bilik itu nanti. Huhu.. Tak sanggup!

“Terima kasih,” kata-kata itu hanya dibalas dengan sekuntum senyuman. Tersenyum Mak Cik Limah melihatkan keadaan itu. Semoga berbahagia anakku, getus hati kecil Mak Limah.

Malam itu adalah malam perkahwinan mereka. Seandainya mereka adalah seperti pasangan bercinta yang lain, sudah tentu itulah malam yang paling ditunggu-tunggu. Malam penyatuan antara mereka. Sudah tentu malam itu akan dinanti dengan penuh debaran. Lain pula yang dirasakan oleh Ezani. Hanya kerunsingan yang menemani dirinya. Sebelum ini mereka terlalu sibuk melakukan persediaan. Tidak sekali pun mereka sempat berbincang mengenai masa hadapan. Ezani sedar. Segala keputusan terletak ditangan Fakrul. Dirinya hanya mampu memberikan pendapat. Sudah cukup baik pada Ezani sekiranya mereka berpisah secara baik tanpa bermasam muka. Dirinya sudah cukup bersyukur. Berkaitan persahabatan mereka itu mungkin tidak akan seperti dahulu lagi. Ezani telah berura-ura untuk menetap di luar negara setelah Fakrul melepaskannya nanti. Hatinya benar-benar yakin Fakrul tidak mempunyai sebarang masalah untuk melepaskannya. Malah, mungkin tidak sabar-sabar untuk melakukannya.

Jarum jam menunjukkan pukul 10.30 malam ketika Fakrul menjejakkan kaki di dalam bilik. Ezani sedang termenung di beranda ketika itu. Perlahan-lahan Fakrul mendekati isterinya.

Amboi! khusyuknya dia. Langsung tak sedar aku datang, getus hati Fakrul. Tiba-tiba timbul niat nakal di hatinya. Tupp!! Fakrul mencucuk pinggang isterinya.

“Oh mak kau!!” jerit Ezani.

“Astaghfirullahalazim, Ayul!!” hanya itu yang mampu diperkatakan oleh Ezani.

Fakrul ketawa terbahak-bahak. Suka benar dia. Ezani hanya memandang suaminya yang sedang galak ketawa. Pelik melihatkan suaminya yang kelihatan gembira sejak tadi. Bukankah dia tidak rela dengan perkahwinan ini? Kenapa gembira pula?

“Hanna,” panggil Fakrul. Tercengang Ezani apabila Fakrul memanggilnya begitu. Tidak pernah Fakrul memanggilnya Hanna selama ini. Panggilan Hanna hanya digunakan oleh arwah ibu bapanya dahulu.

“Hanna, abang panggil ni,” tegur Fakrul lagi apabila tiada tindak balas dari Ezani. Ezani hanya merenung wajahnya.

“Oit!!” Fakrul mencuit bahu isterinya.

“Hah!! Apa.. Kenapa?” jawab Ezani secara spontan. Bagai orang yang baru dikejutkan dari tidur lagaknya.

“Tak ada apa-apa. Abang nak tanya, kenapa Hanna pakai tudung dalam bilik malam-malam ni? Selalu memang macam ni eh bila kat rumah? Tapi pagi tadi tak pulak. Siap berselubung macam orang Eskimo bila abang jenguk pagi tadi,” kata-kata Fakrul itu disambung dengan ketawa kecil dihujungnya.

“Zani.. er.. Hanna,” Ezani tidak tahu untuk membahasakan dirinya. Janggal pula bila hendak membahasakan dirinya Hanna. Lama sudah nama itu tidak disebutnya. Abang?? Lagilah pelik rasanya untuk membahasakan suaminya itu sebagai abang. Alamak! Macam mana ni?

“Asal gagap-gagap ni. Selalu bukan main banyak mulut Hanna. Takkan malam ni dah jadi gagap?” selamba sahaja Fakrul menuturkan kata-kata tersebut. Fakrul tahu gementar di hati isterinya itu. Ezani hanya menarik nafas yang dalam apabila mendengar kata-kata tersebut. Cuba mencari kekuatan untuk terus berbicara. Mereka perlu berbincang. Mengenai mereka. Mengenai masa depan. Adakah masa depan buat mereka? Mungkin tidak, fikir Ezani.

“Ayul, kita perlu berbincang,” Ezani cuba menguatkan hatinya.

“Bukan Ayullah sayang. Abang..” Fakrul membetulkan panggilan Ezani. Dia mahu Ezani memanggilnya dengan panggilan yang lebih mesra. Tanda ada ikatan sudah antara mereka.

“Nak bincang apa sayang? Tapi sebelum itu, abang nak ingatkan Hanna yang kita ni dah jadi suami isteri. Dah sah pun petang tadi. Tak perlulah Hanna nak bertudung dalam bilik ni. Tak berdosa pun. Tak rimas ke pakai tudung malam-malam buta ni..” kata Fakrul. Lantas tangannya melepaskan tudung yang terikat di kepala Ezani.

“Tapi,” Ezani tidak jadi meneruskan ayatnya apabila Fakrul merenung tajam ke mukanya. Ezani sedar tiada batas aurat antara mereka. Namun, bukankah mereka tidak berhajat untuk lama bersama. Sebenarnya Fakrul sendiri tidak sabar untuk menatap wajah sebenar isterinya itu disebalik tudung yang selalu dipakainya. Sebaik sahaja tudung dibuka rambut Ezani yang panjang mengurai terus terlepas ke bawah. Terkesima sebentar Fakrul melihatnya. Nafasnya ditarik dalam. Haruman dari rambut isterinya itu benar-benar memikat jiwanya. Cukup segar dan mendamaikan. Teringin sungguh Fakrul untuk membelai rambut isterinya itu. Namun Fakrul mencekalkan hatinya. Sekarang bukan masanya. Ada perkara yang perlu diselesaikannya bersama Ezani.

“Tak ada tapi-tapi. Ok, jom kita berbincang. Hanna nak bincang apa dengan abang?” Fakrul menarik Ezani menuju ke katil yang telah disediakan untuk mereka. Katil yang telah dihias indah. Berat rasanya untuk Ezani melabuhkan punggungnya ke atas tilam itu bersama-sama Fakrul. Susah benar Ezani hendak membiasakan diri dalam masa yang singkat itu.

“Ayul, boleh tak kalau cakap macam biasa. Janganlah main-main,” bentak Ezani apabila terasa dirinya acap kali dikenakan oleh Fakrul. Juga berasa tidak selesa untuk tidak bertudung dihadapan Fakrul sungguh pun Fakrul adalah suaminya kini.

“Bila masa pulak abang main-main? Salahkah bila abang bahasakan diri abang, abang? Abangkan suami Hanna,” balas Fakrul. Tidak puas hati lagaknya.

“Memang la Ayul suami Zani. Tapi kita bukannya suami isteri betul-betul pun,” kata Ezani. Buntang mata Fakrul mendengar kata-kata Ezani itu.

“Aik, kenapa pulak bukan betul-betul? Petang tadikan abang dah lafaz nikah depan kadi, depan saksi. Semua cakap sah. Apa yang tak betulnya??!” ternyata Fakrul tidak bersetuju dengan pendapat Ezani.

“Ingat abang lafaz main-main ke tadi?! Ingat kita main pondok-pondok ke?!!” tambahnya lagi. Tidak puas hati sungguh Fakrul dengan kata-kata Ezani tadi.

“Bukan itu maksud Zani,” bentak Ezani.

“Habis tu??” tekan Fakrul lagi. Masih tidak berpuas hati dengan kata yang keluar dari dua ulas bibir di hadapannya.

“Ayul..”

“Abang..” sekali lagi Fakrul membetulkan bahasa dirinya yang digunakan Ezani.

“Ayul, jangan macam nilah!! Kalau asyik macam ni macam mana nak berbincang. Selalu tak macam ni pun. Cakap macam biasalah. Orang dah la runsing macam ni dia nak buat lawak bodoh pulak,” marah Ezani.

Fakrul menarik nafas yang dalam. Cuba menyabarkan hatinya. Cuba meredakan suhu hatinya. “Apa yang runsing sangat ni? Bila masa abang buat lawak bodoh? Salah ke panggil macam tu? Bodoh sangat ke bila panggil macam tu? Apa yang tak kena? Cuba cakap pada abang, Hanna?” Fakrul menjarakkan dirinya dari isteri yang baru dinikahinya itu. Tersinggung benar hatinya dengan gelagat Ezani tadi. Tidak layakkah dia mendapat panggilan hormat seperti itu dari isterinya itu? Berat sangatkah?

Ezani runsing dan tidak faham dengan situasi ini. Kenapa Fakrul mendesak dirinya sebegitu? Penting sangatkah panggilan abang itu. Kenapa Fakrul berlagak seolah-olah perkahwinan mereka ini suatu kerelaan baginya? Bukankah Fakrul sendiri tidak rela? Apabila Fakrul menjauhkan dirinya sedikit-sebanyak rasa bersalah mula menyelubungi diri Ezani. Sedar perbuatannya itu adalah dosa. Mengecilkan hati suaminya adalah suatu yang dilarang Islam. Ezani tahu itu. Bukan dirinya tidak sayang pada Fakrul. Cuma luahan hati Fakrul pada emaknya tempoh hari masih menghantui dan terngiang-ngiang di telinganya. Sukar bagi Ezani untuk menerima keadaan yang berbeza dari yang dibayangkannya selama beberapa hari ini.

Setelah keadaan menjadi agak tenang. Fakrul akhirnya bersuara,
“Ok Zani, shoot!”

Setelah mengumpul segala kekuatan yang ada akhirnya Ezani pula bersuara, “Ayul, kita nak buat macam mana ni sekarang?”

“Buat macam mana apa?” dingin saja suara itu. Wajah Ezani langsung tidak dipandangnya. Tanda protes terhadap perlakuan Ezani sebentar tadi.

“Perkahwinan kita ni lah.. Ayul bercadang nak kekal macam ni berapa lama? Takkan nak hidup macam ni selama-lamanya?” balas Ezani. Fakrul terus berpaling. Menatap wajah isteri yang baru dinikahinya siang tadi. Pelik dengan soalan Ezani itu.

“Lama mana? Sampai bila-bila lah. Hidup macam ni? Hidup macam mana yang Hanna maksudkan?” entah mengapa sebaik sahaja sah Ezani menjadi isterinya, panggilan Hanna amat mudah keluar dari bibirnya. Tiada lagi Ezani.

“Takkanlah..” spontan kata-kata itu terkeluar dari mulut Ezani.

Kenapa? Tak boleh ke?” tanya Fakrul lagi.

“Apa masalahnya?”

“Ayul, Ayul buat semua ni sebab kesiankan Zani ke?”

“Kesian? Apa ni Hanna? Sungguh abang tak faham apa yang Hanna cuba sampaikan ni? Cuba cakap dengan terang..” tegur Fakrul. Sungguh dia tidak tahu apa yang cuba disampaikan oleh Ezani. Kepalanya yang tidak gatal digaru perlahan.

“Ok. Pendek katanya begini. Hanna, tahu Ayul memang tak ingin kahwin dengan Zani tapi..”, tersengih-sengih Fakrul memandang isterinya. Terhenti seketika Ezani dari berkata-kata.

“Sengih-sengih kenapa?” tanya Ezani dalam kepelikan. Orang cakap betul-betul dia main-main pulak. Kejap marah kejap sengih.. Dah tak betul ke si Ayul ni? His, geram betul!

“Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa… Sambung le..” kuntuman senyuman masih lagi dibibirnya. Suka benar hatinya apabila mendengar Ezani membahasakan dirinya Hanna. Walau Fakrul tahu Ezani tidak sedar dan hanya tersasul. Sekurang-kurangnya Fakrul tahu dia ada di hati isterinya itu. Walau hanya secebis tapi ianya telah memadai buat masa ini. Namun Fakrul tekad untuk mendapatkan lebih lagi tempat di hati isterinya itu. Tidak mengapa suatu hari nanti akan aku takluki hatinya itu. Semuanya..

“Err… bila Ayul nak lepaskan Zani?” ibarat suatu letupan bom atom di kepalanya. Fakrul sungguh tak menyangka Ezani akan berkata sebegitu. Belum pun satu hari mereka bergelar suami isteri, perkataan cerai telah terkeluar dari mulut Ezani. Pucat sungguh muka Fakrul tatkala itu. Mati terus senyuman yang memekar dibibirnya tadi. Tidak terlintas dihatinya untuk melepaskan isterinya itu. Tidak walau secebis. Kalut sungguh hatinya pada detik itu.

“Kenapa pulak Ayul nak lepaskan Hanna?” tanya Fakrul dalam getarnya.

“Ayul… Zani sedar yang hati Ayul bukan untuk Zani. Untuk apa Ayul simpan Zani sedangkan hati Ayul bukan di sini. Kebahagiaan Ayul bukan di sini. Bukan pada Zani. Tak ada beban untuk apa batu digalas. Zani tak nak jadi beban dalam hidup Ayul. Jadi petualang dalam hidup Ayul,” terang Ezani sambil tertunduk. Entah mengapa hatinya tidak cukup kuat untuk menatap wajah suaminya itu.

Tiba-tiba sahaja hatinya sendiri bagai tidak rela dengan apa yang dituturkannya itu. Pedih sungguh hatinya. Rasa seolah ada pisau yang merobek-robek hatinya. Bagai ternampak-nampak darah yang membuak-buak dari luka hatinya.

“Tak mengapalah Ayul. Zani faham. Zani tak nak bebankan Ayul. Lepaskanlah Zani. Zani rela,” tambahnya lagi apabila Fakrul hanya mendiamkan diri. Matanya pula telah mula membahang. Sungguh hatinya tidak rela. Tidak mengapalah asalkan Fakrul bahagia. Aku rela berkorban, kata Zani pada hatinya.

Entahkan dengar entahkan tidak. Fakrul hanya membatu di tempatnya. Sungguh dia tidak tahu apa jawapan yang harus diberikannya. Apa yang pasti hatinya tidak rela. Tidak semena-mena Fakrul terasa tanggannya dicapai. Dia menoleh. Kelihatan Ezani dalam juraian air mata tunduk mencium tangannya.

“Ayul, ampunkanlah Zani. Ampunkanlah Zani.. Zani tahu berdosa bagi seorang isteri seandainya minta untuk dilepaskan. Bukan Zani nak mengumpul dosa. Zani tahu Ayul tak rela terima Zani. Untuk kebaikan kita Ayul lepaskanlah Zani,” sekali lagi Ezani meminta untuk dirinya dilepaskan.

Perlahan Fakrul menarik tangannya yang dipegang kejap oleh isterinya. Sungguh hatinya bingung. Merah sudah bola matanya menahan tangis. Pedih. Pilu. Tidak mampu terucap dibibirnya. Sangkanya bahagia adalah miliknya. Bernikah dengan insan yang amat menyayangi dirinya di sangka akan membawa bahagia. Sungguh bukan dirinya tidak sedar Ezani menyayangi dirinya. Cuma waktu itu hatinya buta dek cinta Nina. Oleh kerana Nina ibarat segalanya, kasih sayang Ezani lantas ditolak tepi. Dilabel hanya sebagai kasih buat adik. Kini hatinya berubah. Tatkala hatinya berubah dan berazam untuk membalas kasih sayang dari Ezani itu keadaan jadi begini. Seandainya berita ini sampai ke pengetahuan emaknya, pasti emaknya itu kecewa. Fakrul tahu emaknya itu terlalu menyayangi Ezani. Gembira dihatinya terpancar jelas diwajahnya sepanjang majlis hari ini. Langsung tidak merungut penat melayan tetamu. Langsung tidak duduk diam. Fakrul tidak sanggup melihat emaknya kecewa.

“Betul Hanna nak abang lepaskan Hanna?” tanya Fakrul tanpa memandang wajah Ezani. Tidak sanggup rasanya. Ezani hanya menganggukkan kepalanya. Fakrul melihat hanya dari ekor matanya. Setelah mendapatkan jawapannya Fakrul bingkas bangun.

Setelah melepaskan suatu keluhan berat barulah Fakrul kembali bersuara, “kalau itu yang Hanna nak, baiklah. Abang akan fikirkan.” Selesai sahaja ayat itu Fakrul terus berlalu meninggalkan bilik itu. Tidak lama kemudian kedengaran ngauman kereta dan akhirnya sayup-sayup pergi. Tatkala itu juga terjelopok Ezani di kaki katil.

Abang, maafkan Hanna. Sungguh Ezani rasa tidak berdaya. Akhirnya Ezani terlena di kaki katil tanpa sebarang alas. Ezani tidur hanya berbantalkan lengannya. Merekot akibat kesejukan. Ada riak sendu di wajahnya.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Air Mata Hati Bab 2


Oleh kerana Ezani merupakan anak yatim piatu maka segala persediaan dilakukan di rumah Fakrul sahaja. Ezani akan diinai dan diberikan persediaan sebagai seorang pengantin pada malam ini setelah selesai makan malam. Segala hantaran di pihak perempuan juga keluarga Mak Cik Limah yang sediakan. Ezani hanya perla bersedia untuk menjadi mempelai. Satu sen pun tidak Ezani keluarkan. Semuanya ditanggung oleh Mak Cik Limah sekeluarga. Mungkin itulah bayaran untuk pengorbanan ini. Entahlah.. Entah mengapa semakin lama Ezani berada di dalam rumah itu benar-benar menyesakkan dadanya. Lalu, Ezani meminta kebenaran Mak Cik Limah untuk keluar bersiar-siar buat seketika. Pada mulanya Mak Cik Limah agak keberatan untuk membenarkan Ezani pergi kerana bimbang Ezani juga akan pergi melarikan diri seperti Nina namun setelah puas diyakinkan oleh Ezani akhirnya Mak Cik Limah membenarkan Ezani pergi. Sesungguhnya Mak Cik Limah juga sedar bahawa Ezani kini berasa tidak tenteram. Sungguh dirinya sayang pada gadis itu dan tidak bermaksud menjadikan Ezani sebagai galang-ganti kepada Nina namun apakan dayanya.

Setelah puas mencari ketenteraman diri akhirnya Ezani tiba kembali di rumah Fakrul. Kelihatan Pak Long Abu dan Pak Usu Manan sedang sibuk menyiapkan khemah untuk tetamu. Adik Azman pula sedang membantu menyusun kerusi dan meja. Memang menggambarkan suasana suatu majlis perkahwinan bakal berlangsung. Sepatutnya dirinya berasa bahagia namun entah mengapa hatinya sayu melihat akan semua persediaan ini. Ezani meneruskan langkahnya untuk masuk ke dalam rumah namun langkahnya telah dipesongkan menuju ke arah buaian yang terletak di halaman belakang rumah. Berura-ura untuk terus bersendirian sebelum sampai masanya dirinya disiap untuk menjadi raja sehari esok. Masa yang bersisa ini akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk bersendiri. Esok tiada lagi istilah sendiri kerana dirinya akan dimiliki. Dirinya akan menjadi milik Fakrul. Cuma Fakrul adalah bukan miliknya. Langkahnya yang longlai terhenti sendiri apabila terdengar ada suara yang sedang bercakap-cakap. Ezani kenal benar dengan suara itu. Suara Fakrul dan Mak Cik Limah. Entah mengapa kaki Ezani tidak mahu berganjak daripada tempat itu. Telinganya ingin terus mendengar apa yang diperkatakan oleh mereka.

“Ayul, mak harap sangat Ayul jangan sia-siakan Zani tu nanti ye”

“Mak, Ayul tak nak kahwin dengan Zani mak. Ayul tak cintakan Zani. Selama ini Ayul hanya sayangkan Zani macam adik Ayul je mak. Macam mana Ayul nak anggap dia macam isteri Ayul. Mak tolonglah Ayul mak! Ayul tak nak tapi Ayul dah tak tau nak buat macam mana..” mendengarkan kata-kata Fakrul itu air mata Ezani mengalir laju. Walaupun hakikat tersebut memang telah lama diketahuinya, mendengarkan kata-kata tersebut keluar dari mulut Fakrul masih melukakan hatinya. Pedih tak terkira. Sungguh pun begitu Ezani cuba cekalkan hatinya untuk terus mendengar bait-bait seterusnya yang bakal keluar daripada mulut Fakrul. Ezani sedar kini pandangan Fakrul terhadap dirinya. Ezani mengingatkan akan dirinya agar tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada Fakrul. Sesungguhnya pada detik itu juga Ezani telah bertekad dan bersedia untuk ditalakkan oleh Fakrul dalam masa terdekat ini. Siapalah dirinya buat Fakrul? Tiada beban untuk apa batu digalas. Ezani ingat pepatah itu. Sejak dari detik itu Ezani berazam untuk tidak akan melupakan status dirinya terhadap Fakrul. Ezani bernekad. Mungkin selepas genap seminggu pernikahan mereka dirinya akan meminta untuk dilepaskan. Ezani tidak sanggup untuk menyiksa Fakrul. Ezani terlalu sayangkan Fakrul dan inginkan Fakrul berbahagia.

“Ayul, dengar sini. Mak harap sangat Ayul terimalah Zani sebaik mungkin. Zani itu baik budaknya. Ayul sendiri dah berkawan lama dengan Zani masakan Ayul tak tahu. Tolong jangan aibkan mak, Ayul,” kata Mak Cik Limah lagi dengan suara yang lirih.

“Ayul tahu mak Zani tu baik. Tapi bukan itu persoalannya mak. Persoalannya di sini adalah cinta. Ayul tak cintakan Zani mak. Ayul cintakan Nina.. Ayul cintakan Nina..!!” Pang..!! Suatu tamparan tepat hinggap ke muka Fakrul. Fakrul tidak dapat menahan perasaannya. Secara tidak sengaja Fakrul telah meninggikan suaranya terhadap Mak Cik Limah. Fakrul terpana dengan tamparan itu. Ezani tidak sanggup lagi untuk terus mendengar perbualan tersebut. Secara tergesa-gesa Ezani beredar dari tempat persembunyiannya itu. Ezani juga berharap agar Mak Cik Limah dan Fakrul tidak akan menyedari akan kehadirannya di situ. Namun, apakan daya nasibnya malang apabila kakinya tersadung batu lalu tersungkur dan lututnya dan tangannya berdarah akibat terkena sisa cermin kaca yang pecah pada petang tadi. Aduh!! Ezani terjerit kecil di situ.

Ezani berjengket-jengket masuk ke dalam rumah. Tanganya juga disorokkan ke belakang. Risau lukanya itu akan disedari oleh mereka. Lebih-lebih lagi Ezani risau Fakrul dan Mak Cik Limah tahu bahawa dia yang mencuri dengar perbualan mereka tadi. Ezani cuba memanjangkan langkahnya menuju ke bilik yang telah dikhaskan untuk dirinya.

“Kenapa tangan berdarah Zani?” tegur Fakrul. Terkejut Ezani mendengar teguran tersebut. Ezani panik. Apa yang perlu dijawabnya?

“Tangan tu kenapa?” soalan yang tidak berjawab itu menyebabkan Fakrul meninggikan suaranya. Tegurannya pada kali ini telah menarik perhatian Mak Uteh yang kebetulan lalu di hadapan Fakrul. Ah.. kau peduli apa. Kata suara hati Ezani. Namun tidak pula dia luahkan.

“Berdarah? Kau buat apa Zani sampai berdarah ni?” tanya Mak Uteh tanpa memandang wajah Ezani. “Teruk jugak ni Zani..” Mak Uteh masih leka memerhatikan tapak tangan Zani yang luka itu. Darahnya mengalir laju.

“Er.. er.. Zani,” tiada alasan yang dapat diberikan. Tambahan pula melihatkan wajah Fakrul yang serius dihadapannya. Terus kelu dan kaku lidahnya. Sesungguhnya Ezani sangat takut kepada Fakrul apabila dirinya melakukan kesalahan. Sepanjang perkenalan mereka, Fakrul memang sering memarahinya. Pantang dirinya melakukan kesalahan. Pasti akan dimarahinya. Namun itu semua tidak mematikan rasa sayang yang berputik dihatinya buat diri Fakrul.

Melihatkan keadaan Ezani yang gugup itu Fakrul tahu ada sesuatu yang tidak kena. Fakrul kenal benar dengan reaksi dan mimik muka yang sebegitu. Keadaan Ezani yang tidak mahu memandang wajahnya juga membuatkan Fakrul mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Terdetik juga dihatinya bahawa suara yang didengarinya bersama emaknya tadi adalah suara Ezani. Adakah Ezani mendengar perbualan mereka tadi? Benarkah? Tanpa berfikir panjang, Fakrul terus menyambar tangan Ezani dari tangan Mak Uteh dan mengheretnya keluar. Tetapi jeritan Ezani menghentikan langkahnya. Kelihatan Ezani terduduk dan hampir menangis. Melihatkan keadaan Ezani itu perasaan Fakrul menjadi cuak.

“Kenapa ni?” tanya Fakrul. Ada nada bimbang di situ. Tiada jawapan yang diberikan oleh Ezani. Hanya air matanya sahaja yang mengalir lesu. Keadaan itu telah menyebabkan hati Fakrul yang cuak berubah berang. Tiba-tiba matanya tertancap pada kain baju kurung Ezani yang juga ada kesan darah. Dengan selamba Fakrul menyelak kain Ezani hingga ke lutut.

“Masyaallah, apa yang berlaku ni? Zani buat apa ni? Pergi mana tadi, haa??!!” jerit Fakrul. Fakrul tergamam melihat luka-luka di lutut dan kaki Ezani. Ezani juga tergamam dengan perbuatan Fakrul yang dengan selamba menyelak kainnya sehingga ke lutut. Tiada sebarang jawapan yang dapat dikeluarkan daripada mulutnya.

“Jom, kita pergi klinik,” sekali lagi Ezani terpana apabila Fakrul menggendongnya menuju ke kereta. Semua sanak saudara yang sedang membuat persiapan di rumah agak terkejut melihat Fakrul tersebut.

“Amboi, awalnya main gendong-gendong,” usik Pak Mahat. Usikan Pak Mahat itu langsung tidak dipedulikan oleh Fakrul. Ezani yang mendengar usikan tersebut yang memerah mukanya. Melihatkan muka Fakrul yang serius itu, Pak Mahat tidak jadi meneruskan usikannya itu. Begitu juga dengan mereka yang lain. Mungkin ada yang tidak kena, fikir mereka. Setelah meletakkan Ezani di kerusi sebelah pemandu. Fakrul terus menderu menuju ke klinik yang berhampiran.

Gaya pemanduan Fakrul yang kalut menambahkan lagi rasa takut di hati Ezani. Pegangan Fakrul yang kuat pada stereng juga menggambarkan kemarahan yang teramat sangat. Cumanya Ezani tidak faham mengapa Fakrul semarah itu.

“Yul, bawak tu perlahanlah sikit. Bahayalah!” tegur Ezani. Tiba-tiba terdetik sesuatu di mindanya. Fakrul tahukah dia yang menghendap tadi? Tak mungkin. Tiada orang yang tahu perbuatannya tadi. Mungkin Fakrul risau seandainya dirinya tercedera maka majlis perkahwinannya esok tidak dapat dilansungkan dengan lancar. Tiba sahaja di hadapan Klinik Ammar, Fakrul terus sahaja menekan brek dengan mengejut. Hampir tersungkur Ezani ke hadapan. Mujur saja dia telah memakai tali pinggang keledar. Ezani menjeling kepada Fakrul tetapi tidak diendahkan. Fakrul sengaja buat tidak tahu.

Fakrul terus membuka pintu dan terus menggendong Ezani buat sekian kalinya masuk terus ke dalam klinik tersebut. Memandangkan pada waktu tersebut tidak terdapat pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan maka Fakrul terus membawa Ezani ke bilik rawatan.

“Am, kau cuba tengokkan Ezani ni,” kata Fakrul kepada Dr. Ammar. Klinik itu sebenarnya adalah milik sahabatnya, Ammar. Mereka telah lama berkawan. Sejak di sekolah rendah lagi. Mereka telah lama terpisah apabila masing-masing membawa haluan sendiri untuk mengejar cita-cita. Fakrul mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang arkitek manakala Ammar pula untuk menjadi seorang doktor perubatan. Hanya beberapa tahun yang lepas setelah kedua-dua mereka telah tamat belajar akhirnya mereka bertemu semula.

“Eh, teruk juga ni. Kenapa dengan Ezani ni, Ayul?” tanya Ammar kepada Fakrul. Berkerut-kerut muka Ezani menahan sakit apabila Dr. Ammar menekan-nekan tapak tangannya yang luka. “Eh, ada serpih kaca yang terlekat di tangan ni”, kata Dr. Ammar lagi. “Ayul, luka ni perlu dijahit. Mungkin akan ambil masa sikit. Kau tunggu di luar dahululah kalau macam tu”, saran Dr. Ammar lagi. Tangannya lincah mengeluarkan segala peralatan yang diperlukan.

“Tak apa Ammar. Aku nak tunggu dan tengok di sini. Kau rawat dia saja. Ambillah berapa lama masa yang perlu aku tak kisah. Asalkan dia selamat,” tegas Ammar. Tersenyum Dr. Ammar mendengar kata-kata sahabatnya itu. Bukan itu yang dimaksudkannya tadi tapi kalau Fakrul sendiri telah berkeras untuk duduk dan melihat di situ apakan dayanya. Dr. Ammar meneruskan rawatannya terhadap Ezani tanpa mempedulikan Fakrul yang berada di situ. Sesekali kedengaran erangan dari mulut Ezani apabila Dr. Ammar mengeluarkan serpihan kaca dari lukanya. Ezani memalingkan mukanya. Tidak sanggup untuk melihat tangan dan kakinya dijahit oleh Dr. Ammar.

Ezani telah pun terlena apabila kereta tiba perkarangan rumah. Entah mengapa sebaik tiba di perkarangan rumah Fakrul tidak terus membawa Ezani masuk. Sebaliknya Fakrul hanya merenung Ezani yang sedang nyenyak. Dalam hatinya wujud satu perasaan asing. Entah apa dirinya pun tidak tahu. Ketukan ditingkap mengejutkan Fakrul dari lamunannya. Lantas dia membuka pintu keretanya.

“Apa yang terjadi pada si Zani ni, Ayul? Kenapa kau pergi tak bagi tahu dengan mak dulu. Risau mak dibuatnya. Tiba-tiba kamu berdua hilang. Tahu-tahu Mak Uteh cakap kau pergi bawak si Zani ke klinik. Kenapa dengan dia? Dia tak sihat ke..?” Fakrul lantas meletakkan jari dimulutnya memberi isyarat kepada emaknya untuk senyap. Fakrul bimbang Ezani akan terjaga dari lenanya. Sambil berbisik Fakrul berkata kepada emaknya.

“Masuk dulu mak, nanti Ayul ceritakan pada mak.”

Perlahan-lahan Fakrul mengangkat Ezani menuju ke bilik yang memang dikhaskan untuknya. Lena sungguh dia. Langsung tidak bergerak apabila diangkat oleh Fakrul ke biliknya. Lena Ezani itu berterusan hingga ke pagi.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino