Product from Adobe

Jumaat, September 19

Air Mata Hati Bab 3


Ezani terjaga daripada lenanya yang panjang apabila berasa pedih yang amat sangat daripada luka yang berada di kaki dan tangannya. Mungkin kesan ubat semalam telah hilang. Melihatkan tapak tangan dan kakinya yang berbalut menyebabkan hatinya berasa simpati terhadap dirinya sendiri. Melihatkan jari-jarinya yang telah berinai mengingatkan dirinya bahawa hari ini adalah hari perkahwinannya. Oh, tidak. Bukan hari perkahwinannya tetapi hari pernikahannya. Dirinya hanya akan bernikah dengan Fakrul tetapi yang berkahwin hanyalah Fakrul dan Nina yang berada di dalam anganan Fakrul. Dirinya hanya bertindak sebagai patung boneka di hadapan tetamu yang hadir nanti. Ezani akan sentiasa mengingatkan dirinya akan perkara tersebut. Fakrul adalah suami untuknya tetapi dirinya hanyalah isteri di atas kepingan kertas bagi Fakrul. Tiada nilai dirinya bagi Fakrul. Mengenangkan perkara ini terasa ingin menitis air matanya.

Tiba-tiba Ezani terkenangkan ibunya. “Ibu, benarkah tindakan Zani ini, ibu? Akan bahagiakah Zani, ibu? Ibu doakan anakmu dari kejauhan ya ibu. Sesungguhnya apa yang Zani lakukan ini juga adalah untuk seorang insan yang bergelar ibu. Tidak sampai hati Zani melukakan hati seorang ibu yang sanggup menumpangkan kasihnya buat Zani,” terhinggut-hinggut bahu Ezani kerana menangis. Pilu hatinya. Hiba tak terkata. Ezani berkali-kali mengingatkan kepada dirinya akan hakikat ini. Mengingatkan kepada dirinya supaya jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap Fakrul kerana kelak dirinya mungkin akan merana. Ezani juga akan sentiasa bersedia untuk bergelar janda kerana dirinya tahu adalah sukar untuk menjalankan tugas dan kewajipan yang tergalas di bahu seandainya tiada kerelaan di hati. Ezani jelas akan hal ini. Perlahan-lahan hatinya pasrah.

“Zani, kau dah bangun ke nak?” terdengar panggilan Mak Cik Limah di muka pintu. Perlahan-lahan Zani cuba bangkit dari katil untuk membukakan pintu.

“Dah mak cik, sekejap ya,” jawab Ezani. Ezani cuba bangkit untuk membuka pintu. Berkerut mukanya menahan rasa sakit yang semakin terasa apabila dirinya melakukan pergerakan.

“Ya Allah, kesiannya anak mak ni. Apa yang kau buat semalam nak sampai jadi macam ini? Sedih hati mak tengok anak mak jadi pengantin dalam keadaan macam ni,” kata Mak Cik Limah. Tersentuh hati Ezani apabila Mak Cik Limah membahasakan dirinya mak kepada dirinya. Terasa seperti ibunya sendiri yang sedang berdiri dihadapannya kini.

“Mak cik..” getus Ezani sambil menangis. Memandangkan Ezani yang menangis maka Mak Cik Limah terus memeluk Ezani untuk menenangkannya. Tidak semena-mena air mata Mak Cik Limah juga mengalir lesu.

“Maafkan Zani, mak cik..” Mak Cik Limah mengusap perlahan belakang Zani. Dirinya mengerti perasaan anak gadis dihadapannya kini.

“Zani, hari ni mak nak. Mulai hari ini Zani adalah anak mak. Mak akan jadi wakil Zani hari ni. Bukan Ayul,” terang Mak Cik Limah. Ezani telah dianggap seperti anaknya. Bukan menantu.

Pelukan terlerai. Kedua-dua mereka serentak memandang ke muka pintu apabila terdengar ketukan. Fakrul menjengukkan mukanya. Apabila tersedar bahawa dirinya masih berpakaian tidur dan tidak bertudung, Ezani cepat-cepat menarik selimut dan menyelimutkan badan dan kepalanya untuk menutup dari pandangan Fakrul. Fakrul bukan mahramnya. Fakrul yang melihat telatah Ezani yang agak kelam kabut itu terasa seperti ingin ketawa tetapi ditahannya jua. Dalam fikirannya, untuk apalah Ezani bertindak seperti itu. Tidak sampai beberapa jam sahaja lagi Ezani akan menjadi miliknya. Akan tiada batas antara mereka. Tapi tidak mengapalah. Sekarang Ezani bukan miliknya lagi. Cuma bakal saja. Senyuman nakal terbit dibibirnya.

“Hah, ada apa kau datang ke sini Ayul? Kau mana boleh datang sini. Ini bilik anak dara tau,” tegur Mak Cik Limah kepada anaknya. Dah ketuk pintu tapi tak bercakap pulak. Hanya merenung Ezani sahaja matanya. Lucu pula rasanya apabila melihat Ezani yang berselubung seperti orang Eskimo ini, getus Mak Cik Limah di dalam hati. Melihatkan anaknya merenung tanpa henti terhadap Ezani tadi hati Mak Cik Limah menjadi sedikit senang. Moga ada petanda baik bagi mereka. Doa Mak Cik Limah.

“Eleh, anak dara apanya mak. Kejap je lagi dah nak jadi bini Ayul,” balas Fakrul selamba sambil tersengih. Ezani memalingkan wajahnya. Tidak sanggup rasanya untuk mendengar kata-kata tersebut. Untuk menghadapi hakikat itu nanti apatah lagi. Sengihan Fakrul lagi menambahkan jelik hatinya.

“Tak ada apalah mak. Ayul cuma nak cakap yang kita tak payah buat majlis sandinglah hari ni ye mak. Nanti-nantilah kita buat. Lagi pun Zani pun masih belum betul-betul sihat,” sambung Fakrul lagi terhadap ibunya. Wajah Mak Cik Limah dan Ezani dipandang secara berselang seli.

“Terpulang pada kaulah nak. Zani, apa pendapat kau pulak? Ini majlis kau jugak,” tanya Mak Cik Limah kepada Ezani. Sebenarnya Mak Cik Limah berasa agak bersyukur bahawa Ezani yang menjadi menantunya. Memang sudah lama Mak Cik Limah berkenan akan perilaku Ezani namun apakan daya apabila Fakrul berkenankan Nina. Mak Cik Limah tidak sangka bahawa hajatnya untuk bermenantukan Ezani akan terkabul. Sangkanya niatnya ini hanya akan tinggal anganan sebaik sahaja Fakrul menyampaikan hajatnya untuk menyunting Nina menjadi suri hidupnya. Nina bukanlah tidak baik orangnya. Cuma Mak Cik Limah agak kurang berkenan dengan gaya pemakaian Nina yang tidak bertudung dan agak menjolok mata.

“Zani tak kisah mak cik. Lagi pun ini bukan majlis Zani. Zani hanya sebagai pengganti sahaja. Zani ikut..,” belum sempat kata-katanya dihabiskan Fakrul telah memotong percakapannya.

“Ok,” sungguh balasan itu menjerut hatinya.

“Nak, kenapa cakap macam tu sayang?” tanya Mak Cik Limah kepada Ezani. Entahlah, Mak Cik Limah sendiri bingung untuk memahami perasaan Ezani yang duduk dihadapannya.

“Zani.. Zani.. er.. Bukan niat Zani.. er..” Ezani sendiri tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan kepada Mak Cik Limah. Ezani sedar. Fakrul memang tidak merestui perkahwinan ini. Atas sebab itulah Fakrul membatalkan upacara bersanding yang dijadualkan berlangsung pada petang ini. Mungkin jika Nina ditempatnya kini Fakrul sudah tidak sabar-sabar lagi untuk bernikah dan bersanding. Malangnya bukan Nina yang berada di sini. Yang ada hanyalah dirinya.

“Tak apelah nak. Zani berehatlah sayang ye. Sekejap lagi Mak Uteh akan masuk hantarkan sarapan pagi. Lepas makan Zani makan ubat. Nanti bila mak andam dah sampai baru Zani bersiap,” nasihat Mak Cik Limah sekaligus memberitahu Ezani mengenai jadualnya pada hari ini.

Majlis akad nikah yang dijadualkan dilakukan di Masjid Al-Farabbi juga telah dibatalkan. Majlis akad nikah hanya dilangsungkan di rumah. Sekali lagi Ezani berasa rendah diri. Tidak suka benar Fakrul pada dirinya. Apakan daya dirinya hanyalah galang pengganti. Segala persediaan bukanlah untuk dirinya. Siapalah dirinya untuk disambut dan dirai seindah dan semeriah itu. Terbayang majlis pernikahan dan persandingan yang sering diangankannya. Fakrul dan dirinya bersanding di atas pelamin serba nan indah. Fakrul juga tersenyum bahagia disampingnya. Wajahnya juga tergambar kegembiraan dan rasa tidak sabar untuk hidup bersama. Semua itu hanyalah anganan yang akan tinggal kenangan. Tidak mungkin jadi kenyataan.

Terpegun Fakrul seketika apabila melihatkan wajah Ezani sebelum majlis pernikahan sebentar tadi. Tidak pernah dirinya merasakan Ezani secantik tadi. Entah mengapa wajah Ezani yang kelihatan redup dan lembut sambil tertunduk ketika dirinya melafazkan akad di hadapan kadi tadi sering terbayang difikirannya. Ayu sungguh. Terselit juga rasa bangga di hatinya kerana mendapat isteri seanggun itu. Buat seketika Fakrul lupa bahawa kehadiran Ezani itu hanyalah sebagai pengganti kepada Nina yang melarikan diri. Buat pertama kalinya dirinya terlupa pada Nina. Hanya Ezani di matanya. Dengan hanya sekali lafaz sahaja maka sahlah Ezani sebagai isterinya.

Bergetar jiwa Ezani tatkala mendengar perkataan sah daripada mulut kadi diikuti oleh keempat-empat saksi. Kini sahlah Fakrul Ezairy bin Aminuddin Hakeem sebagai suaminya. Tamatlah sudah hidup bujang Ezani Hanna Mustaqim. Bermulalah sudah hidupnya sebagai isteri kepada Fakrul Ezairy. Serba-serbi perlu dikongsi.

Terasa mengigil tangannya ketika Fakrul menyarungkan cincin pernikahan mereka ke jari manisnya. Begitu juga semasa Fakrul mencium dahinya setelah dirinya tunduk mencium tangan Fakrul untuk upacara pembatalan air sembahyang. Pertama kali bersentuhan sebegitu menimbulkan rasa cuak dihati Ezani. Bisikan ‘Cantiknya isteri abang’ di peluput telinganya juga meremangkan bulu romanya. Dirinya benar-benar rasa tidak selesa dengan keadaan itu dan terasa seperti ingin melarikan diri dari semuanya. Namun, Ezani tahu semua itu adalah mustahil baginya. Yang tinggal hanyalah kehidupan bersama suami yang baru dinikahinya itu. Suami yang dahulunya adalah sahabat baiknya. Sahabat yang sering memberikan tempat berlindung dan bergantung kepadanya. Kini, lelaki yang sama itu juga yang sepatutnya akan berfungsi sebagai nakhoda dalam hidupnya. Tapi itu semua hanyalah kata-kata yang bermula dengan perkataan sepatutnya. Apa yang bakal berlaku nanti adalah sesuatu yang hanya akan bermula dengan perkataan tidak sepatutnya. Ezani ingat itu.

Segan sungguh Ezani apabila Pak Monty, jurufoto yang diupah meminta mereka untuk menggayakan pelbagai aksi yang romantik. Sekejap begitu, sekejap begini. Sungguhpun begitu, Pak Monty masih lagi mengambil kira keadaan Ezani yang cedera. Tidak dapat Ezani lupakan apabila Pak Monty meminta Fakrul memeluknya dari belakang sambil mencium ke pipinya. Terasa Fakrul mencium lembut ke pipinya. Selamba saja Fakrul melakukannya. Seolah-seolah langsung tiada masalah. Pandai sungguh Fakrul melakonkan wataknya. Mungkin juga Fakrul membayangkan dirinya adalah Nina. Hanya itu sahajalah jawapan yang mampu diberikan oleh Ezani terhadap dirinya. Usikan dan ketawa daripada sanak saudara dan hadirin memang gamat semenjak tadi. Ada sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut mereka. Itu yang menyebabkan Ezani tidak mampu mengangkat muka. Malu dan segan sungguh rasanya. Tidak hilang merah di mukanya. Bertambah ayu Ezani bila berwajah sedemikian. Fakrul pula hanya relaks di sisi Ezani sambil tersenyum lembut. Tangannya pula sentiasa melingkar di pinggang Ezani. Hendak ditepis takut jatuh air muka suami yang baru menikahinya itu. Tiada siapa yang tahu apa yang sedang bergelojak di hati suaminya ini, fikir Ezani. Begitulah juga dengan apa yang sedang bergelojak di hatinya. Tidak orang lain dan tidak juga oleh suaminya. Lagi pun, Fakrul memang sedari dahulu lagi memang seorang yang agak tenang orangnya. Sering cuba untuk menunjukkan ketabahan dihadapan orang lain. Ezani tahu itu. Dia kenal sikap Fakrul yang satu itu.

Setelah selesai sesi fotografi maka semua tetamu yang hadir dijemput untuk menjamu selera. Fakrul keluar mengiringi tetamu-tetamu tersebut. Tinggallah Ezani terkial-kial seorang diri. Ezani juga tidak mengharapkan Fakrul akan membantunya. Lutut dan tapak tangannya yang berjahit itu membataskan pergerakannya. Belum pun sempat Ezani bangun untuk menuju ke meja untuk majlis makan beradap, kelihatan Fakrul kembali ke dalam bilik sambil menyorong kerusi roda. Terkedu sebentar Ezani melihatkan Fakrul yang hadir bersama kerusi roda. Namun tanpa banyak soal Ezani duduk di kerusi roda tersebut dengan dibantu oleh Fakrul. Malas untuk memanjangkan kisah. Lagi pun perasaan malu sudah pun sarat memenuhi jiwa. Seandainya dirinya cuba menimbulkan perbalahan, lama pula mereka berduaan dalam bilik itu nanti. Huhu.. Tak sanggup!

“Terima kasih,” kata-kata itu hanya dibalas dengan sekuntum senyuman. Tersenyum Mak Cik Limah melihatkan keadaan itu. Semoga berbahagia anakku, getus hati kecil Mak Limah.

Malam itu adalah malam perkahwinan mereka. Seandainya mereka adalah seperti pasangan bercinta yang lain, sudah tentu itulah malam yang paling ditunggu-tunggu. Malam penyatuan antara mereka. Sudah tentu malam itu akan dinanti dengan penuh debaran. Lain pula yang dirasakan oleh Ezani. Hanya kerunsingan yang menemani dirinya. Sebelum ini mereka terlalu sibuk melakukan persediaan. Tidak sekali pun mereka sempat berbincang mengenai masa hadapan. Ezani sedar. Segala keputusan terletak ditangan Fakrul. Dirinya hanya mampu memberikan pendapat. Sudah cukup baik pada Ezani sekiranya mereka berpisah secara baik tanpa bermasam muka. Dirinya sudah cukup bersyukur. Berkaitan persahabatan mereka itu mungkin tidak akan seperti dahulu lagi. Ezani telah berura-ura untuk menetap di luar negara setelah Fakrul melepaskannya nanti. Hatinya benar-benar yakin Fakrul tidak mempunyai sebarang masalah untuk melepaskannya. Malah, mungkin tidak sabar-sabar untuk melakukannya.

Jarum jam menunjukkan pukul 10.30 malam ketika Fakrul menjejakkan kaki di dalam bilik. Ezani sedang termenung di beranda ketika itu. Perlahan-lahan Fakrul mendekati isterinya.

Amboi! khusyuknya dia. Langsung tak sedar aku datang, getus hati Fakrul. Tiba-tiba timbul niat nakal di hatinya. Tupp!! Fakrul mencucuk pinggang isterinya.

“Oh mak kau!!” jerit Ezani.

“Astaghfirullahalazim, Ayul!!” hanya itu yang mampu diperkatakan oleh Ezani.

Fakrul ketawa terbahak-bahak. Suka benar dia. Ezani hanya memandang suaminya yang sedang galak ketawa. Pelik melihatkan suaminya yang kelihatan gembira sejak tadi. Bukankah dia tidak rela dengan perkahwinan ini? Kenapa gembira pula?

“Hanna,” panggil Fakrul. Tercengang Ezani apabila Fakrul memanggilnya begitu. Tidak pernah Fakrul memanggilnya Hanna selama ini. Panggilan Hanna hanya digunakan oleh arwah ibu bapanya dahulu.

“Hanna, abang panggil ni,” tegur Fakrul lagi apabila tiada tindak balas dari Ezani. Ezani hanya merenung wajahnya.

“Oit!!” Fakrul mencuit bahu isterinya.

“Hah!! Apa.. Kenapa?” jawab Ezani secara spontan. Bagai orang yang baru dikejutkan dari tidur lagaknya.

“Tak ada apa-apa. Abang nak tanya, kenapa Hanna pakai tudung dalam bilik malam-malam ni? Selalu memang macam ni eh bila kat rumah? Tapi pagi tadi tak pulak. Siap berselubung macam orang Eskimo bila abang jenguk pagi tadi,” kata-kata Fakrul itu disambung dengan ketawa kecil dihujungnya.

“Zani.. er.. Hanna,” Ezani tidak tahu untuk membahasakan dirinya. Janggal pula bila hendak membahasakan dirinya Hanna. Lama sudah nama itu tidak disebutnya. Abang?? Lagilah pelik rasanya untuk membahasakan suaminya itu sebagai abang. Alamak! Macam mana ni?

“Asal gagap-gagap ni. Selalu bukan main banyak mulut Hanna. Takkan malam ni dah jadi gagap?” selamba sahaja Fakrul menuturkan kata-kata tersebut. Fakrul tahu gementar di hati isterinya itu. Ezani hanya menarik nafas yang dalam apabila mendengar kata-kata tersebut. Cuba mencari kekuatan untuk terus berbicara. Mereka perlu berbincang. Mengenai mereka. Mengenai masa depan. Adakah masa depan buat mereka? Mungkin tidak, fikir Ezani.

“Ayul, kita perlu berbincang,” Ezani cuba menguatkan hatinya.

“Bukan Ayullah sayang. Abang..” Fakrul membetulkan panggilan Ezani. Dia mahu Ezani memanggilnya dengan panggilan yang lebih mesra. Tanda ada ikatan sudah antara mereka.

“Nak bincang apa sayang? Tapi sebelum itu, abang nak ingatkan Hanna yang kita ni dah jadi suami isteri. Dah sah pun petang tadi. Tak perlulah Hanna nak bertudung dalam bilik ni. Tak berdosa pun. Tak rimas ke pakai tudung malam-malam buta ni..” kata Fakrul. Lantas tangannya melepaskan tudung yang terikat di kepala Ezani.

“Tapi,” Ezani tidak jadi meneruskan ayatnya apabila Fakrul merenung tajam ke mukanya. Ezani sedar tiada batas aurat antara mereka. Namun, bukankah mereka tidak berhajat untuk lama bersama. Sebenarnya Fakrul sendiri tidak sabar untuk menatap wajah sebenar isterinya itu disebalik tudung yang selalu dipakainya. Sebaik sahaja tudung dibuka rambut Ezani yang panjang mengurai terus terlepas ke bawah. Terkesima sebentar Fakrul melihatnya. Nafasnya ditarik dalam. Haruman dari rambut isterinya itu benar-benar memikat jiwanya. Cukup segar dan mendamaikan. Teringin sungguh Fakrul untuk membelai rambut isterinya itu. Namun Fakrul mencekalkan hatinya. Sekarang bukan masanya. Ada perkara yang perlu diselesaikannya bersama Ezani.

“Tak ada tapi-tapi. Ok, jom kita berbincang. Hanna nak bincang apa dengan abang?” Fakrul menarik Ezani menuju ke katil yang telah disediakan untuk mereka. Katil yang telah dihias indah. Berat rasanya untuk Ezani melabuhkan punggungnya ke atas tilam itu bersama-sama Fakrul. Susah benar Ezani hendak membiasakan diri dalam masa yang singkat itu.

“Ayul, boleh tak kalau cakap macam biasa. Janganlah main-main,” bentak Ezani apabila terasa dirinya acap kali dikenakan oleh Fakrul. Juga berasa tidak selesa untuk tidak bertudung dihadapan Fakrul sungguh pun Fakrul adalah suaminya kini.

“Bila masa pulak abang main-main? Salahkah bila abang bahasakan diri abang, abang? Abangkan suami Hanna,” balas Fakrul. Tidak puas hati lagaknya.

“Memang la Ayul suami Zani. Tapi kita bukannya suami isteri betul-betul pun,” kata Ezani. Buntang mata Fakrul mendengar kata-kata Ezani itu.

“Aik, kenapa pulak bukan betul-betul? Petang tadikan abang dah lafaz nikah depan kadi, depan saksi. Semua cakap sah. Apa yang tak betulnya??!” ternyata Fakrul tidak bersetuju dengan pendapat Ezani.

“Ingat abang lafaz main-main ke tadi?! Ingat kita main pondok-pondok ke?!!” tambahnya lagi. Tidak puas hati sungguh Fakrul dengan kata-kata Ezani tadi.

“Bukan itu maksud Zani,” bentak Ezani.

“Habis tu??” tekan Fakrul lagi. Masih tidak berpuas hati dengan kata yang keluar dari dua ulas bibir di hadapannya.

“Ayul..”

“Abang..” sekali lagi Fakrul membetulkan bahasa dirinya yang digunakan Ezani.

“Ayul, jangan macam nilah!! Kalau asyik macam ni macam mana nak berbincang. Selalu tak macam ni pun. Cakap macam biasalah. Orang dah la runsing macam ni dia nak buat lawak bodoh pulak,” marah Ezani.

Fakrul menarik nafas yang dalam. Cuba menyabarkan hatinya. Cuba meredakan suhu hatinya. “Apa yang runsing sangat ni? Bila masa abang buat lawak bodoh? Salah ke panggil macam tu? Bodoh sangat ke bila panggil macam tu? Apa yang tak kena? Cuba cakap pada abang, Hanna?” Fakrul menjarakkan dirinya dari isteri yang baru dinikahinya itu. Tersinggung benar hatinya dengan gelagat Ezani tadi. Tidak layakkah dia mendapat panggilan hormat seperti itu dari isterinya itu? Berat sangatkah?

Ezani runsing dan tidak faham dengan situasi ini. Kenapa Fakrul mendesak dirinya sebegitu? Penting sangatkah panggilan abang itu. Kenapa Fakrul berlagak seolah-olah perkahwinan mereka ini suatu kerelaan baginya? Bukankah Fakrul sendiri tidak rela? Apabila Fakrul menjauhkan dirinya sedikit-sebanyak rasa bersalah mula menyelubungi diri Ezani. Sedar perbuatannya itu adalah dosa. Mengecilkan hati suaminya adalah suatu yang dilarang Islam. Ezani tahu itu. Bukan dirinya tidak sayang pada Fakrul. Cuma luahan hati Fakrul pada emaknya tempoh hari masih menghantui dan terngiang-ngiang di telinganya. Sukar bagi Ezani untuk menerima keadaan yang berbeza dari yang dibayangkannya selama beberapa hari ini.

Setelah keadaan menjadi agak tenang. Fakrul akhirnya bersuara,
“Ok Zani, shoot!”

Setelah mengumpul segala kekuatan yang ada akhirnya Ezani pula bersuara, “Ayul, kita nak buat macam mana ni sekarang?”

“Buat macam mana apa?” dingin saja suara itu. Wajah Ezani langsung tidak dipandangnya. Tanda protes terhadap perlakuan Ezani sebentar tadi.

“Perkahwinan kita ni lah.. Ayul bercadang nak kekal macam ni berapa lama? Takkan nak hidup macam ni selama-lamanya?” balas Ezani. Fakrul terus berpaling. Menatap wajah isteri yang baru dinikahinya siang tadi. Pelik dengan soalan Ezani itu.

“Lama mana? Sampai bila-bila lah. Hidup macam ni? Hidup macam mana yang Hanna maksudkan?” entah mengapa sebaik sahaja sah Ezani menjadi isterinya, panggilan Hanna amat mudah keluar dari bibirnya. Tiada lagi Ezani.

“Takkanlah..” spontan kata-kata itu terkeluar dari mulut Ezani.

Kenapa? Tak boleh ke?” tanya Fakrul lagi.

“Apa masalahnya?”

“Ayul, Ayul buat semua ni sebab kesiankan Zani ke?”

“Kesian? Apa ni Hanna? Sungguh abang tak faham apa yang Hanna cuba sampaikan ni? Cuba cakap dengan terang..” tegur Fakrul. Sungguh dia tidak tahu apa yang cuba disampaikan oleh Ezani. Kepalanya yang tidak gatal digaru perlahan.

“Ok. Pendek katanya begini. Hanna, tahu Ayul memang tak ingin kahwin dengan Zani tapi..”, tersengih-sengih Fakrul memandang isterinya. Terhenti seketika Ezani dari berkata-kata.

“Sengih-sengih kenapa?” tanya Ezani dalam kepelikan. Orang cakap betul-betul dia main-main pulak. Kejap marah kejap sengih.. Dah tak betul ke si Ayul ni? His, geram betul!

“Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa… Sambung le..” kuntuman senyuman masih lagi dibibirnya. Suka benar hatinya apabila mendengar Ezani membahasakan dirinya Hanna. Walau Fakrul tahu Ezani tidak sedar dan hanya tersasul. Sekurang-kurangnya Fakrul tahu dia ada di hati isterinya itu. Walau hanya secebis tapi ianya telah memadai buat masa ini. Namun Fakrul tekad untuk mendapatkan lebih lagi tempat di hati isterinya itu. Tidak mengapa suatu hari nanti akan aku takluki hatinya itu. Semuanya..

“Err… bila Ayul nak lepaskan Zani?” ibarat suatu letupan bom atom di kepalanya. Fakrul sungguh tak menyangka Ezani akan berkata sebegitu. Belum pun satu hari mereka bergelar suami isteri, perkataan cerai telah terkeluar dari mulut Ezani. Pucat sungguh muka Fakrul tatkala itu. Mati terus senyuman yang memekar dibibirnya tadi. Tidak terlintas dihatinya untuk melepaskan isterinya itu. Tidak walau secebis. Kalut sungguh hatinya pada detik itu.

“Kenapa pulak Ayul nak lepaskan Hanna?” tanya Fakrul dalam getarnya.

“Ayul… Zani sedar yang hati Ayul bukan untuk Zani. Untuk apa Ayul simpan Zani sedangkan hati Ayul bukan di sini. Kebahagiaan Ayul bukan di sini. Bukan pada Zani. Tak ada beban untuk apa batu digalas. Zani tak nak jadi beban dalam hidup Ayul. Jadi petualang dalam hidup Ayul,” terang Ezani sambil tertunduk. Entah mengapa hatinya tidak cukup kuat untuk menatap wajah suaminya itu.

Tiba-tiba sahaja hatinya sendiri bagai tidak rela dengan apa yang dituturkannya itu. Pedih sungguh hatinya. Rasa seolah ada pisau yang merobek-robek hatinya. Bagai ternampak-nampak darah yang membuak-buak dari luka hatinya.

“Tak mengapalah Ayul. Zani faham. Zani tak nak bebankan Ayul. Lepaskanlah Zani. Zani rela,” tambahnya lagi apabila Fakrul hanya mendiamkan diri. Matanya pula telah mula membahang. Sungguh hatinya tidak rela. Tidak mengapalah asalkan Fakrul bahagia. Aku rela berkorban, kata Zani pada hatinya.

Entahkan dengar entahkan tidak. Fakrul hanya membatu di tempatnya. Sungguh dia tidak tahu apa jawapan yang harus diberikannya. Apa yang pasti hatinya tidak rela. Tidak semena-mena Fakrul terasa tanggannya dicapai. Dia menoleh. Kelihatan Ezani dalam juraian air mata tunduk mencium tangannya.

“Ayul, ampunkanlah Zani. Ampunkanlah Zani.. Zani tahu berdosa bagi seorang isteri seandainya minta untuk dilepaskan. Bukan Zani nak mengumpul dosa. Zani tahu Ayul tak rela terima Zani. Untuk kebaikan kita Ayul lepaskanlah Zani,” sekali lagi Ezani meminta untuk dirinya dilepaskan.

Perlahan Fakrul menarik tangannya yang dipegang kejap oleh isterinya. Sungguh hatinya bingung. Merah sudah bola matanya menahan tangis. Pedih. Pilu. Tidak mampu terucap dibibirnya. Sangkanya bahagia adalah miliknya. Bernikah dengan insan yang amat menyayangi dirinya di sangka akan membawa bahagia. Sungguh bukan dirinya tidak sedar Ezani menyayangi dirinya. Cuma waktu itu hatinya buta dek cinta Nina. Oleh kerana Nina ibarat segalanya, kasih sayang Ezani lantas ditolak tepi. Dilabel hanya sebagai kasih buat adik. Kini hatinya berubah. Tatkala hatinya berubah dan berazam untuk membalas kasih sayang dari Ezani itu keadaan jadi begini. Seandainya berita ini sampai ke pengetahuan emaknya, pasti emaknya itu kecewa. Fakrul tahu emaknya itu terlalu menyayangi Ezani. Gembira dihatinya terpancar jelas diwajahnya sepanjang majlis hari ini. Langsung tidak merungut penat melayan tetamu. Langsung tidak duduk diam. Fakrul tidak sanggup melihat emaknya kecewa.

“Betul Hanna nak abang lepaskan Hanna?” tanya Fakrul tanpa memandang wajah Ezani. Tidak sanggup rasanya. Ezani hanya menganggukkan kepalanya. Fakrul melihat hanya dari ekor matanya. Setelah mendapatkan jawapannya Fakrul bingkas bangun.

Setelah melepaskan suatu keluhan berat barulah Fakrul kembali bersuara, “kalau itu yang Hanna nak, baiklah. Abang akan fikirkan.” Selesai sahaja ayat itu Fakrul terus berlalu meninggalkan bilik itu. Tidak lama kemudian kedengaran ngauman kereta dan akhirnya sayup-sayup pergi. Tatkala itu juga terjelopok Ezani di kaki katil.

Abang, maafkan Hanna. Sungguh Ezani rasa tidak berdaya. Akhirnya Ezani terlena di kaki katil tanpa sebarang alas. Ezani tidur hanya berbantalkan lengannya. Merekot akibat kesejukan. Ada riak sendu di wajahnya.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

2 komen yang diterima:

dina on 17 Disember 2008 5:06 PTG berkata...

Dik, bab ini lengkap dengan pelbagai rasa, sedih, keliru, suka, serba salah... akak suka sangat! akak harap usaha adik bukan saja di blog. teruskan dan terbitkan cerita ini... sangat bagus! akak sokong kamu!

haruhi on 20 Januari 2009 11:42 PTG berkata...

huhu..tetibe terase saper yg kene kwain pakse ni..ayul ker zani...hehe
tp best r cite ni=)

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino