Product from Adobe

Jumaat, November 21

Air Mata Hati Bab 17


“Mak.. abang kirim salam. Dia pesan suruh mak jaga diri, nanti abang balik..”, Mak Cik Limah tersenyum kelat mendengar kata-kata Ezani. Ezani kelihatan semakin ceria semenjak ‘Ayul’ semakin kerap ber’sms’ dengannya. Sungguhpun begitu, hati Mak Cik Limah masih lagi bimbang melihatkan keadaan menantunya itu. Sudahlah anaknya hilang tanpa berita. Sudah hampir dua bulan kini Fakrul hilang. Laporan polis yang dibuat juga masih belum menampakkan hasilnya. Fakrul tetap juga hilang tanpa sebarang jejak.


“Mak.. Zani nak duduk kat buaian depan ye mak. Mana tahu kalau-kalau kerja abang habis awal. Abang mesti suka kalau dia tengok Zani tunggu dia balik..”, kata Ezani sambil tersenyum. Kakinya terus dilangkah menghala ke buaian di laman rumah.


Angin petang yang bertiup lembut, betul-betul mendamaikan hati Ezani. Namun kedamaian yang bertapak seketika dihatinya itu tidak mampu mengubat rasa rindu dijiwa. Bukan damai ini yang hatinya ingini. Kasih dan sayang dari Fakrul yang dirinduinya. Wajah yang ceria kini berubah suram.


“Abang.. Hanna rindukan abang.. Baliklah bang..”, seru Ezani. Gambar persandingan mereka yang sering dibawanya ke mana sahaja dipeluknya erat.


“Hanna rindu sangat pada abang. Abang tahu tak, semua orang risaukan abang? Mak, Abang Ammar, Abang Haikal.. Semua orang risaukan abang. Hanna sendiri risau bang. Abang ke mana? Baliklah bang.. Baby ni dah rindu sangat pada papa dia..”, kata Ezani pada gambar dihadapannya. Itulah yang sering dilakukannya apabila hatinya kerinduan. Gambar itulah saja yang menjadi penawarnya kini.


“Abang.. Abang kata abang sayangkan Hanna, tapi kenapa abang tinggalkan Hanna..? Abang dah tak sayangkan Hanna lagi ye.. Tak mengapalah bang, kalau abang dah tak sayangkan Hanna tapi abang baliklah.. Kesian mak, abang.. Mak rindu sangat pada abang. Kalau abang dah tak sayangkan Hanna lagi, Hanna janji.. Kalau abang balik nanti, Hanna sendiri keluar dari rumah ini.. Baliklah bang..”, tangisan yang tadinya lesu kini makin menjadi-jadi. Esakannya pula makin kuat.


Suara tangisan Ezani yang kuat telah menyebabkan keasyikan Mak Cik Limah pada kerjanya terhenti. Ikan yang sedang dibersihkan, diletakkan. Tangannya dicuci sebelum bergerak ke halaman rumah.


“Ya Allah nak.. Kenapa ni?”, tanya Mak Cik Limah sambil mengusap lembut kepala menantunya. Mencabar sungguh rasanya apabila terpaksa menjaga menantunya yang sedang berbadan dua dalam keadaan begini.


“Mak..”, sebut Ezani dalam esak tangisnya.


“Ye nak.. Kenapa ni? Cuba cakap dengan mak..”, pujuk Mak Cik Limah.


“Zani rindukan abang.. Bila abang nak balik? Abang dah tak sayangkan Zani mak.. Abang dah benci Zani..”, ngongoi Ezani makin menjadi. Mak Cik Limah memeluk kejap bahu Ezani.


“Tidak nak. Mak tahu, Ayul sayang sangat pada Zani.. Jangan fikir bukan-bukan ya.. Nanti Ayul balik..”, pujuk Mak Cik Limah lagi.


“Jom kita masuk dalam rumah ya sayang..”, ajak Mak Cik Limah. Ezani akur pada ajakan mertuanya. Mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam rumah.

***


“Dapat?”, tanya Komeng pada anak buahnya.


“Dapat bos. Macam tahu-tahu je rancangan kita ni. Baik punya scene perempuan tu bagi kat kita..”, jawab Zack dengan muka bangga. Komeng ketawa dengan kuatnya.


“Kalau macam tu, aku yakin. Lepas je dia tengok video ni, confirm dia akan setuju punya..”, Zack tumpang ketawa bersama ketuanya.


“Mari..”, Zack dan Komeng masuk ke gudang lama yang dijadikan sarang operasi mereka. Mereka menuju ke sebuah pintu yang dikunci dan dijaga rapi oleh dua orang konco-konconya. Komeng memberi arahan supaya mereka membuka pintu tersebut. Sebaik sahaja pintu tersebut dibuka, kelihatan seorang lelaki yang sangat daif. Pakaiannya yang compang-camping berserta wajahnya yang kusut masai.


“Hoi..!! Lepaskan akulah..”, jerit lelaki itu.


Komeng hanya ketawa.


“Kau nak suruh kami lepaskan kau? Bodoh..!! Selagi kau tak setuju dengan permintaan kami, jangan harap..!”, kata Komeng bengis.


“Gila..!! Kenapa tiba-tiba kau orang semua nak paksa aku suruh kahwin dengan Nina?!! Kau orang semua memang gila.. Jangan harap..!!”, jerit lelaki itu lagi.


Komeng ketawa lagi. Begitu juga dengan Zack. Gema ketawa mereka benar-benar membingitkan telinga.


“Jangan cakap lebih-lebih. Kau tengok dulu video ni. Aku yakin lepas ni kau mesti setuju..”, kata Komeng angkuh.


“Jangan harap..!!”, tuihh.. lelaki tersebut meludah ke muka Komeng. Komeng berang bila diludah begitu.


Pangg..!! Ringan sahaja tangannya menampar muka lelaki tersebut. Tangannya mencengkap rambut kusut masai lelaki itu.


“Aku nak kau tengok video ni betul-betul..”, kata Komeng sambil mengarahkan kepada Zack untuk menayangkan video tersebut.


“Abang.. Hanna rindukan abang.. Baliklah bang..”, menitis air matanya tatkala mendengarkan seruan Ezani itu.


“Hanna.. Abang juga rindukan Hanna..”, jerit hati Fakrul. Telinganya tidak lagi dapat menangkap butir bicara Ezani. Asyik benar matanya memerhatikan Ezani. Susuk tubuh Ezani yang kurus serta muka Ezani yang agak cengkung benar-benar menjerut tangkai hatinya.


“Abang.. Abang kata abang sayangkan Hanna, tapi kenapa abang tinggalkan Hanna..? Abang dah tak sayangkan Hanna lagi ye.. Tak mengapalah bang, kalau abang dah tak sayangkan Hanna tapi abang baliklah.. Kesian mak, abang.. Mak rindu sangat pada abang. Kalau abang dah tak sayangkan Hanna lagi, Hanna janji.. Kalau abang balik nanti, Hanna sendiri keluar dari rumah ini.. Baliklah bang..”, suara Ezani bersama tangisannya yang mendayu-dayu seolah-olah sedang membunuhnya hidup-hidup. Anggapan serong Ezani pada dirinya juga dirasakan terlalu menyucuk jiwa. Pedih yang tidak terkata.


Argggghhh..!! Jerit Fakrul sambil meronta. Andai sahaja tangannya tidak diikat, pasti saja kamera video tersebut bersama dua wajah dihadapannya kini pecah berderai dibelasahnya.


Komen dan Zack ketawa berdekah-dekah. Reaksi Fakrul yang sebegini yang sudah lama dinantikannya. Ternyata, wanita di dalam video ini adalah kelemahannya. Banyak agenda jahat yang kini sudah terlakar dimindanya. Andai saja Fakrul enggan menuruti kehendak mereka kali ini, tahulah apa akibatnya nanti.


“Kau jangan berani nak apa-apakan dia..!!”, jerit Fakrul memberikan amaran.


“Kita lihat saja nanti..”, kata Komeng sebelum mereka berdua terus berlalu meninggalkan bilik tersebut.

***


“Nah.. ini habuan kau..”, ucap Miss Ice disebalik cermin kereta yang hanya dibuka separuh. Skaf dan cermin mata gelapnya telah menutupi wajahnya daripada kelihatan dengan lebih jelas.


“Baiklah.. terima kasih…”


“Tetapi ingat.. Biar pecah diperut, jangan pecah dimulut.. Jika tidak, kau pula yang bakal diracun dan dituba..”, kata Miss Ice lagi.


“Jangan risau bos.. Pandailah kita orang nak uruskan hal ini nanti..”



-----------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino