Product from Adobe

Jumaat, November 28

Cinta Si Baju Kebaya Bab 8



[Padang Kawad UTM ~ 2007]


”Ok.. Syamir. Panggil semua masuk baris”, arah Encik Azahari pada Syamir. Pada hari ini, latihan ujian kawad akan dijalankan sebagai persediaan bagi pegawai-pegawai kadet peringkat senior yang bakal menghadapi ujian kawad pada latihan berterusan mereka nanti. Ujian kawad ini merupakan salah satu daripada ujian-ujian yang perlu dilalui oleh semua pegawai kadet sebelum mereka ditauliahkan.


Syamir bergerak ke tengah padang kawad. Berdiri tegak menghadap skuadnya sebelum memberikan arahan.


”Skuad.. dengar sini semua sekali..”, laung Syamir sebagai memberikan amaran kepada skuadnya bahawa arahan akan dikeluarkan. Semua ahli skuad yang sedang melepak dan bersembang di bawah pokok dipinggir padang kawad terus diam dan memberikan tumpuan pada Syamir.


”Apabila mendapat hukuman, tiga baris dihadapan saya, gerak. Skuad dikehendaki berlari, berbaris dalam tiga barisan, dihadapan, ditengah-tengah, di mana tempat saya mengadap. Faham tu skuad?”, Syamir memberikan arahan dengan jelas dan tegas.


”Faham, skuad..”, sambut ahli-ahli skuad yang lain.


”Tiga barisan dihadapan saya, gerak!!”, Syamir memberikan arahannya. Dengan langkah berlari, ahli-ahli skuad membuat tiga barisan dihadapan Syamir sambil menghentakkan kaki, menanti Syamir memberikan arahan supaya berhenti.


”Skuaaaaaad, ti..”, arah Syamir lagi.


”Luruskan barisan..”, pantas skuad menoleh ke kanan dan meluruskan barisan mereka. Setelah barisan diluruskan, barulah gerakan kaki dan kepala mereka semua kembali mengadap Syamir dihadapan.


”Senang diri..”


”Skuad sedia.. Diam, langut dan terus pandang ke hadapan..”, pesan Syamir sebelum bergerak untuk melapor pada Encik Azahari, Pegawai Waran II yang juga merupakan jurulatih peringkat.


Ketika Syamir sedang melapor, kelihatan Tuan Ismadi yang merupakan Pegawai Latih mereka tiba. Tuan Ismadi berkata sesuatu kepada Encik Azahari dan Syamir. Setelah mendapat arahan, Syamir kembali ke skuadnya.


”Qila, bila dapat arahan keluar baris, kau keluar and pergi berjumpa dengan Tuan Ismadi. Ok.. Qila sahaja. Keluar baris..”, Farah Aqilah membuat kawad-kawad untuk keluar baris dan berjalan beriringan bersama Syamir.


”Kenapa Tuan Ismadi nak jumpa aku, Amir?”, tanya Farah Aqilah.


”Entah.. Fasal paper work hari tu kot. Hari tu dia ada jugak cakap kat aku yang dia nak suruh kita present paper work tu kat TK”, jawab Syamir.


”Adoi.. malasnya.. kau pergi sorang tak boleh ke Syamir?”, rungut Farah Aqilah.


”Eh, mana boleh!! Kau kan aku punya savior, aku punya orang kanan, aku punya orang kuat. Lagi pun, semua tu pun memang kau yang buat pun, kan? Aku just sign je.. Kalau TK tanya nanti, aku mana tau nak jawab ape..”, balas Syamir sambil tersengih.


”Huh!! Balik-balik aku jugak yang kena..”, rungut Farah Aqilah di dalam hati.


Syamir memberikan arahan berhenti sebaik sahaja mereka berdua tiba di hadapan Tuan Ismadi. Benar tekaan Syamir tadi, mereka berdua diarahkan untuk pergi berjumpa dengan Timbalan Komandan yang juga merangkap sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UTM untuk melakukan pembentangan kertas kerja. Kertas kerja mereka pada kali ini adalah untuk mendapatkan dana bagi menjalankan latihan intensif sebagai persediaan untuk menghadapi pertandingan antara universiti bagi aktiviti merempuh halangan, merentas desa dan juga kawad sempena pentauliahan mereka nanti.


Setelah mendapat arahan selanjutnya daripada Tuan Ismadi, Farah Aqilah dan Syamir masuk ke dalam kenderaan bersama-sama Tuan Ismadi untuk berjumpa dengan Timbalan Komandan.


* * *


[Villa Cendana Wira, Balik Pulau, Pulau Pinang ~ 2015]


Farah Aqilah turun dari kereta sebaik sahaja Syamir mematikan enjin keretanya. Farah Aqilah memerhatikan suasana persekitarannya. Cantik dan mendamaikan. Di hadapannya terdapat sebuah rumah berbentuk kolonial Inggeris lama. Di sebelahnya pula terdapat sebuah sungai yang mengalir deras. Kelihatan sebuah kayu yang diletakkan merentasi sungai tersebut, memandangkan jambatan masih lagi dalam proses pembinaan. Di seberang sungai itu pula terdapat sebuah pondok kecil yang sangat indah. Bunga-bungaan yang memagari pondok kecil itu, membuatkannya kelihatan sangat istimewa. Pohon-pohon buah-buahan yang merimbun pula menjadikan suasana di sekitar Villa Cendana Wira kelihatan redup dan menyamankan. Farah Aqilah leka dengan suasana disekelilingnya.


”Cantiknya..”, Farah Aqilah berbisik lembut.


Syamir hanya tersenyum melihat keasyikkan Farah Aqilah. Perlahan-lahan Farah Aqilah didekatinya.


”Farah..”, panggil Syamir, lembut.


Farah Aqilah berpaling.


”Jom masuk..”, ajak Syamir. Syamir mendahului Farah Aqilah membuka langkah. Namun langkah Syamir terhenti apabila menyedari bahawa dia hanya berjalan sendiri. Farah Aqilah masih lagi kaku berdiri di tempat tadi. Wajah Farah Aqilah yang masih ragu-ragu direnungnya lembut.


”Farah.. jangan bimbang. Mak Dah ada di dalam..”, ucap Syamir untuk membuang gundah di hati Farah Aqilah. Syamir tahu Farah Aqilah masih lagi fobia dengan kenangan lalu.


”Betul?”, tanya Farah Aqilah bagi mendapatkan kepastian.


”Ya Allah.. betul sayang..”, Syamir berlari menuju ke pintu rumah. Tidak lama kemudian, kelihatan seorang perempuan tua di hadapan pintu. Pantas Syamir menyambar tangan perempuan tua itu lalu menciumnya lembut sebelum berkata sesuatu kepadanya. Perempuan tua tersebut membalas sesuatu, lalu menyarung seliparnya sebelum berjalan mendekati Farah Aqilah dengan diiringi oleh Syamir.


”Apa khabar nak? Marilah masuk..”, ramah wanita tua itu menjemput.


”Hmm.. sekarang Farah dah percaya?”, tanya Syamir.


Farah Aqilah hanya tersenyum kelat.


Perempuan tua itu menampar lengan Syamir.


”Ish.. ada ke cakap macam tu dengan Farah. Dah Farah, jangan dilayan si Mus ni. Mari masuk..”, perempuan tua itu memaut bahu Farah Aqilah dan membawanya masuk ke dalam rumah. Mata Farah Aqilah sekali lagi takjub dengan suasana yang dilihat di dalam rumah itu. Sungguh cantik dan mendamaikan. Hiasan rumah tersebut nampak elegan tetapi cukup menyegarkan dengan pokok serta perhiasannya.


”Nak duduklah dulu ye..”, jemput wanita tua itu sekali lagi.


Farah Aqilah hanya mengangguk lalu menurut. Punggungnya dilabuhkan ke sofa dua berangkai. Sedang Farah Aqilah asyik menikmati keindahan hiasan ruang tamu tersebut, tiba-tiba Syamir menghenyakkan punggungnya disebelah Farah Aqilah. Sengaja dia pergi menyempit disitu. Farah Aqilah terkejut. Hasil tindakan refleks, spontan Farah Aqilah berdiri. Namun belum pun separuh dia berdiri, Farah Aqilah kembali terduduk apabila tangan kekar Syamir pantas menariknya duduk kembali.


”Eh... apa ni Syamir? Lepaslah..!!”, marah Farah Aqilah.


”Duduk dulu sayang. Bagilah peluang pada Amir untuk nyatakan sesuatu..”, pujuk Syamir lembut.


”Yang tadi tu siapa, Amir?”, Farah Aqilah menukar topik.


Syamir melepaskan keluhan berat. Cuba mengumpulkan kembali kesabaran yang semakin menipis. Ikutkan hatinya yang baran, mahu sahaja dia memaksa Farah Aqilah untuk mengikut setiap kata-katanya. Namun, kata-kata serta sindiran yang sering diterimanya, terutamanya daripada Pak Long Fuad benar-benar memberikannya kesedaran. Sikapnya selama inilah yang sering menjadi punca masalah antara dirinya dan Farah Aqilah sukar untuk diselesaikan. Tambahan pula dengan keadaan hati Farah Aqilah yang masih lagi terluka. Semua itu menjadikan keadaan semakin sukar.


”Mak Dah..”, jawab Syamir ringkas.


”Siapa Mak Dah..?”, tanya Farah Aqilah lagi. Entah mengapa hatinya ingin benar tahu apa perkaitannya antara Mak Dah itu dengan Syamir.


”Er..”


”Mus, kau bawakan beg Farah masuk ke bilik tamu..”, Mak Dah bersuara tiba-tiba.


Farah berpaling hairan mendengarkan kata-kata Mak Dah itu.


”Err.. mana dia ada bawak beg, mi..”, jawab Syamir sambil tersengih.


”Lah.. Kenapa pulak macam tu..?”


”Datang sini bukannya planning pun mi. Spontan je Mus bawakkan Farah ke sini. Petang nanti kita orang balik kot..”, jawab Syamir lagi.


”Balik petang ni? Hmm.. Kamu jangan nak ngada-ngada Mus. Tak pe.. nanti suruh aja si Farah ni pakai baju-baju Masyitah kat dalam almari tu..”, tegah Mak Dah.


”Kamu duduk sini dua tiga hari ye, Farah..”, kata Mak Dah pada Farah Aqilah pula. Melihatkan pada raut wajah ikhlas dan mesra dihadapannya, Farah Aqilah tidak sampai hati untuk mengatakan tidak. Perlahan Farah Aqilah memberi persetujuan. Tambahan pula, Hanim tiada dirumah. Daripada tinggal seorang diri di rumah sewanya, lebih baik dia hidup berteman di sini, fikir Farah Aqilah.


Hati Syamir berbunga riang.


”Nasib Mus memang tinggal banyak baju kat sini..”, kata Syamir tiba-tiba. Mak Dah memandang Syamir.


”Hm.. malam ni kamu tidur di Pondok Undang, Syamir”


”Eh.. mana boleh macam tu mi..”, bangkang Syamir sambil menarik muka. Terdiam Farah Aqilah melihat gelagat Syamir yang manja. Siapa Mak Dah pada Syamir ye? Kenapa Syamir memanggil Mak Dah, mi?


”Kamu jangan nak mengada-ngada. Nanti mi tarik telinga baru tahu. Lelaki dan perempuan bukan muhrim mana boleh tinggal sebumbung..”, selar Mak Dah.


”Alah mi.. Mus bukan nak buat apa-apa pun pada Farah. Boleh la mi..”, Syamir masih lagi memujuk. Mak Dah hanya menggeleng.


”No.. Mi cakap Mus tidur Pondok Undang, so tidur Pondok Undang. Jangan merengek-rengek kat sini. Tak malu ke tunjuk perangai depan Farah?”, sengaja Mak Dah berkata demikian. Rimas benar dia dengan rengekan Syamir itu. Orangnya sudah besar panjang, namun manjanya makin menjadi-jadi.


”Erk..”, Syamir menyorokkan wajahnya daripada pandangan Farah Aqilah. Malu. Lupa bahawa Farah Aqilah ada bersama-sama mereka.


”Oklah mi.. tapi lepas pukul dua belas baru Mus duduk sana eh?”, kata Syamir sambil bersuara sayu. Masih lagi cuba untuk mendapatkan simpati Mak Dah.


”Hmm.. yelah..”, Mak Dah memberikan persetujuan.


”Dah.. Mus, kamu hantarkan Farah ni ke bilik. Mungkin dia nak rehat-rehat sekejap. Nanti mi hantarkan baju pada dia..”, kata Mak Dah sebelum bangun dan berlalu.


Farah Aqilah dan Syamir masing-masing membisu.


”Jom.. Amir tunjukkan bilik Farah..”

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino