Product from Adobe

Khamis, Julai 2

Cerpen : Selamat Pengantin Baru


SURAYA menggelisah sendirian di katil. Sekejap dia baring dan sekejap dia duduk. Sekejapan dia bergayutan di birai katil dan sekejapan lagi dia sudah berdiri di kaki katil. Dadanya diusap perlahan demi menghilangkan debar. Entah mengapa, semenjak dia memberikan kata setuju untuk disunting oleh Hairi sebagai suri hidupnya, dada Suraya tidak henti-henti menampar deras.


Suraya menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Apakah tanda ini semua? Tidak setujukah aku pada lamaran ini? Mustahil. Kurang satu jam yang lalu aku telah menyatakan setuju. Dengan penuh yakin dan tanpa ragu. Namun mengapakah kini debaran ini yang aku rasai?


Suraya mundar-mandir di segenap ruang yang terdapat dalam bilik yang sederhana luas itu. Mundar-mandir dan terus mundar-mandir lagi sehingga kakinya yang kini hanya bersarung selipar Tweety itu menjadi lenguh. Lalu dilabuhkan punggungnya pada kerusi komputer yang berada di sudut bilik. Dan seperti biasa kakinya akan singgah ke atas meja komputer tersebut. Bibirnya digigit tanpa sedar. Kuat. Dan tiba-tiba...


“Auch!!”


Pantas tangan kanannya menyapu lembut bibirnya. Terasa seperti basah. Suraya melihat kesan pada jarinya. Darah. Ah! Padanlah perit benar rasanya. Kenapa aku jadi begini? Sekali lagi tangan kanannya diangkat dan diletakkan di dadanya.


Dup! Dap! Dup! Dap!


Kencang sungguh paluan di dadanya. Mengapa jadi begini? Belum cukup bersediakah aku? Kini kedua-dua belah tapak tangannya sudah berada di dada. Hatinya kini berasa sedikit selesa dan dia terus leka.



“Sayang, kita kahwin nak?” soal Hairi bersahaja. Suatu renungan lembut tapi tajam memanah tepat ke anak mata Suraya. Wajahnya tenang. Namun, hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana debaran yang menggetarkan jiwanya. Debaran yang telah membuatkan dirinya tidak dapat tidur lena semenjak dua hari yang lalu. Di saat dia mula membuat keputusan untuk melamar Suraya selaku suri hidupnya.


“Yelah tu...” ucap Suraya sambil tertawa kecil. Tangannya pula menampar lembut lengan Hairi. “Suka sangat main-main macam ni, ye... Kan, Su dah pesan benda-benda macam ni mana boleh dibuat main. Entah apa-apa sajalah Ery ni.”


Namun, ketawa Suraya terhenti sendiri sebaik sahaja menyedari tahap keseriusan wajah Hairi. Terkedu dia seketika. Air liurnya secara tiba-tiba terasa bagai semuanya berkumpul di dalam mulutnya. Glup! Dia menelan pantas air liurnya.


“Err... Ery main-main saja, kan?” secara teragak-agak Suraya bertanya. Hatinya cuak sendiri. “Kan?” tanya Suraya lagi. Tetapi demi melihat renungan mata Hairi yang semakin mengecil dan dahi yang berkerut-kerut, Suraya menayang sengih yang panjang. Rentak jantungnya juga sudah berubah. Kedua-dua belah tangan dan kakinya kini bertukar dingin. Oh, tidak! Hairi benar-benar sedang melamarkah?


“Err... Ery serius?”


Anggukan kepala pantas mengiri soalan itu.


“Benar-benar serius?”


“Sayang, tak nampak ke kepala Ery dah mengangguk mengalahkan belatuk ni? Sayang saja nak dera Ery ke? Nak bagi skru tengkuk Ery ni longgar, ya. Supaya nanti atas pelamin Ery jadi pengantin belatuk. Gitu?” ternyata Hairi kini sudah mula tidak mampu menahan sabar. Dan seperti biasa bebelan mengarutnya akan keluar secara tidak sengaja.


Suraya menayang sengihan yang panjang kembali. Kali ini dengan senyuman yang semakin lebar tetapi tawar. Wajahnya pula beku tanpa perasaan.


“Okey,” jawab Suraya sepatah.


“Hah?” ternganga mulut Hairi mendengarkan pengucapan itu. Suraya dah setujukah?


“Okey. Su jawab okey”


“Su dah setuju?” wajah Ery masih lagi menunjukkan bahawa dia sungguh terkejut mendengar kata setuju dari bibir Suraya.


Suraya menganggukan kepalanya.


“Su...”


“Ery tak nampak ke kepala Su dah mengangguk mengalahkan belatuk dah ni! Ery nak bagi Su jadi pengantin belatuk, ke?”


Wajah serius Hairi kini berubah riak. Wajah yang kaku bak batu kini sudah berubah seindah dan secerah pawana. Gambaran terus dari hatinya yang kini gembira.


“Oooooooookkeeeyyy!!!” jerit Hairi sekuat hatinya. Langsung tidak menghiraukan orang lain yang turut sama berada di Taman Rekreasi Hutan Bandar pada petang itu.


“Oooooooookkeeeyyy!!! Auch!!” Suraya pantas menggosok lengannya yang terasa sengal akibat tergolek daripada kerusi komputer tadi. Entah bagaimana dia duduk sehingga mampu dia tergolek begitu. Bunyinya usahlah diceritakan. Bunyi nangka busuk jatuh mungkin lebih merdu berbanding bunyi ketika dia jatuh tadi.



Suraya membelek-belek lengannya. Nasib baik tiada sebarang cedera. Jika tidak pasti kurang harga hantarannya nanti. Ah, mengarut! Masakan hanya disebabkan dirinya cedera sedikit maka nilai hantarannya akan jatuh. Bukan aku hendak menjual diri. Bebel Suraya di dalam hati.


“Adoi, kenapa aku jadi macam ni?”



Pak! Pak! Kebung! Kebung!


Bunyi paluan kompang yang menghantar kini sudah mula kedengaran sayup-sayup. Itu bermakna pengantin lelaki akan tiba tidak lama lagi. Pasti Hairi yang kini sedang segak bergaya dengan tanjak dan kerisnya sedang melangkah megah menuju ke rumah ini dengan diiringi oleh rombongan sebelah pihak lelaki. Suraya pasti sekejapan lagi pasti akan kedengaran pula bunyi paluan kompang menyambut daripada pihaknya.


Suraya menggenggam kemas kedua-dua belah tangannya. Nafasnya pula ditarik dalam beberapa kali secara berulang. Peluh dingin mula terasa di dahi, tangan dan kakinya. Air liurnya pula bagai tersekat di kerongkong. Betulkah keputusan yang telah aku lakukan ini? Adakah Hairi akan menjaga diri ini sebaik mungkin? Baikkah dia? Atau akan berubahkah dia selepas ini? Suraya semakin panik. Akalnya kini secara spontan cuba mencari cara untuk melengah-lengahkan ketibaan Hairi ke rumah ini.


Pak! Pak! Kebung! Kebung!


Ah! Nampaknya impian kecilnya itu mungkin akan punah kerana paluan kompang kini kedengaran semakin bertingkah. Ini bermakna Hairi dan rombongannya kini sudah tiba di perkarangan rumah. Riuh rendah para tetamu telah membenarkan segala telahannya. Hairi sudah tiba. Tidak! Aku mesti mencari akal. Sekurang-kurangnya sekejap untuk aku menenangkan kembali hati ini.


Suraya semakin resah. Tangan yang digenggam sedari tadi kini digosok kasar kedua-duanya. Dengan harapan dingin tangannya dapat dihilangkan.


“Idea!!”


Terkejut beruk Tasnim dengan jeritan itu. Dia yang sedang khusyuk sedari tadi memerhatikan tingkah laku Suraya yang kelihatan pelik.


“Kau kenapa?” tanya Tasnim bersama wajah yang berkerut. Mujur sahaja Mak Cik Leha telah menetapkan hanya seorang sahaja teman yang boleh menemani Suraya sementara menantikan kehadiran pengantin lelaki. Jika tidak, pasti macam-macam andaian yang bakal dibuat sekiranya mereka melihat riaksi Suraya yang seakan-akan tidak keruan ini.


“Idea!” ulang Suraya.


“Idea apa?” sungguh Tasnim tidak mengerti apa yang berlaku pada sahabat baiknya ini.


“Sini,” ucap Suraya sambil menggamit supaya Tasnim lekas berada lebih dekat dengannya. Dia bimbang sekiranya ada orang yang menelinga akan rancangannya itu.


“Apa?” Tasnim mengangkat kening sekali sambil bertanya.


“Aku nak mintak kau tolong pergi bisik pada Pak Mail supaya lamakan sikit paluan kompang menyambut...”


“Hah? Kau gila! Penat la kumpulan kompang Hairi nanti. Kau tahu, kan kompang menghantar tak boleh berhenti sebelum kompang menyambut berhenti? Itu adat tau,” sanggah Tasnim yang sengaja tidak bersetuju dengan idea Suraya yang tiba-tiba itu. Entah mengapa sahabatnya ini jadi begini.


“Aku tahu... Aku tahu... Sebab itulah aku nak suruh kau mintak tolong Pak Mail. Aku memang nak tangguhkan ketibaan Hairi”


“Hah? Kau gila? Kenapa?” melopong mulut Tasnim mendengar bicara gila sahabatnya itu. Ah! Banyak sungguh perkataan gila yang telah digunakannya hari ini.


“Ish, kau nih! Dari tadi kau cakap aku gila. Memang aku dah nak gila ni. Kalau kau tak nak tengok aku jadi gila, aku mintak tolong sangat supaya kau tolong sampaikan pada Pak Mail. Tolong aku Anim,” rayu Suraya. Wajahnya dilayukan supaya Tasnim akan bersimpati terhadapnya. Tiga tahun dia tinggal sebilik dengan sahabatnya itu. Hingga dia sudah cukup masak akan kelemahan sahabatnya yang satu itu. Pantang melihat wajah kasihan. Mudah sahaja hatinya tersentuh.


“Kenapa?”


“Jangan banyak tanyalah Anim. Kalau kau sayang aku, tolong ya!” pujuk Suraya lagi.


“Yelah-yelah. Aku pergi...” ucap Tasnih sebelum berlalu.


Sementara di perkarangan rumah, paluan kompang menyambut sudah berhenti berbunyi. Pasukan kompang Hairi kini menarik nafas lega. Sebaik sahaja paluan kompang tamat, masing-masing cepat-cepat menjatuhkan tangan. Cuba menghilangkan lenguh di tangan akibat memalu kompang secara tidak berhenti pada jarak hampir satu kilometer daripada rumah pengantin perempuan. Adat dan budaya kompang menyambut dan menghantar ini semamangnya akan memeriahkan majlis tetapi adakalanya mengundang azab apabila pasukan kompang menyambut sengaja ingin mengenakan mereka. Tiba-tiba...


Pak! Pak! Kebung! Kebung!


“Hah! Lagi?” rungut rombongan Hairi bersama wajah yang geram. Kini, paluan kompang kembali bertingkah. Para tetamu nampaknya sudah mula berbisik-bisik sesama sendiri. Ada juga yang senyum-senyum dan tidak kurang juga ada yang ketawa. Mungkin mereka mengandaikan sekiranya keadaan ini berterusan, mereka mungkin berpeluang menyaksikan kejadian kompang terbang. Ini memandangkan darjah kekerutan wajah pasukan kompang menghantar yang sudah mencapai tahap cemberut.


“Su, kau nak pergi mana tu?” jerit Tasnim sebaik sahaja dia melangkah masuk ke kamar penggantin. Terkejut apabila melihat Suraya yang seakan sudah bersedia untuk memanjat tingkap untuk melarikan diri.


“Anim, aku nak lari. Aku tak nak bernikah,” jawab Suraya sambil cuba untuk mengangkat kakinya. Walau apapun yang berlaku, aku mesti lari!


“Hah! Kau biar betul? Tak nak apa, nye. Kau memang dah bernikah la semalam. Kau lupa ke malam tadi Hairi dengan Aswad tidur kat bilik ni? Pengantin. Pengapit. Bilik pengantin dan duit-duit hadiah yang kau kutip pagi tadi. Lupa ke sayang oi!” bebel Tasnim pula. Hah! Serabut pula dia apabila melihat gelagat Suraya yang seperti kehilangan arah. Sehinggakan diri sendiri sudah bernikah pun tidak dapat diingatinya. Gementarkah dia? Tiba-tiba sahaja ingatannya melayang mengingatkan sebuah filem yang bertajuk Run Away Bride. Memang benar-benar wujud rupanya gelagat dan keadaan panik seperti yang ditunjukkan dalam filem tersebut. Tidak sangka pula dia. Ucap Tasnim dalam hati. Tanpa dia sedari secebis ketawa halus terzahir sendiri.


“Kau ketawa kenapa? Lebih baik kau tolong aku larikan diri,” marah Suraya apabila dia mendengar tawa halus Tasnim.


“Ya Allah! Eh, anak dara kamu nak buat apa tu? Terangkat-angkat kain sambil nak mengangkang kat tingkap tu?” sergah Mak Cik Leha, ibu kepada Suraya.


Serta merta Suraya menurunkan kaki dan kainnya. Tidak jadi untuk memanjat akibat terkejut disergah oleh ibunya. Tasnim pula menarik nafas lega. Mak Cik Leha secara tidak sengaja telah menggagalkan usaha Suraya untuk melarikan diri.


“Tak. Tak ada apa, bu,” jawab Suraya gagap.


“Kalau gitu, Anim cepat rapikan si Su ni. Kemudian bawa dia tunggu di pelamin. Sekejap lagi ucapara bersanding sudah hendak dijalankan,” arah Mak Cik Leha sambil memandang ke arah Tasnim.


“Baik mak cik,” penuh leretan Tasnim menjawab. Dia mengangkat kening kepada Suraya sebagai tanda sudah tiada harapan lagi.


“Apa! Takkan dah lepas tol?” spontan Suraya menjerit.


“Sudahlah sayang. Hairi tu bijak. Rupa-rupanya dia dah merasuah semua gadis-gadis tol kat rumah ni semalam,” jawab Mak Cik Leha sambil ketawa-ketawa. “Tapi, tak tahulah ibu sama ada mak andam kamu pun telah dia rasuah atau tidak. Dah, mari kita keluar sekarang.”


Oh, tidak. Nampaknya dirinya sudah tidak mampu lagi menahan segala macam rasa yang bermukim dalam hatinya. Dan, tiba-tiba...


Dumm!! Gelap semuanya. Dan, segala macam rasa tadi hilang sepenuhnya.


Suraya memandang lembut puterinya kini yang sedang berwajah pucat. Senyuman manis tidak lekang dari bibirnya. Tangannya yang sedari tadi asyik menggenggam dan menggosok dua tangan yang kedinginan itu masih lagi di situ.


“Sayang, itulah kisah ibu dulu. Ibu juga takut dan gementar sama seperti yang sayang sedang rasai kini. Ibu tahu, pada waktu ini macam-macam perkara yang muncul dalam fikiran sayang. Sehinggakan sayang ragu-ragu dengan keputusan yang telah sayang ambil. Dan, tidak keterlaluan juga kalau ibu katakan yang sayang juga secara tidak sengaja telah meragui ketulusan hati Fahrin yang begitu bersungguh ingin menjadikan sayang sebagai isterinya,” lembut suara Suraya singgah ke telinga Anissa dan terus menyusup masuk hingga ke dalam jiwa.


“Betul tak tekaan ibu tadi?”


Anissa mengangguk kepalanya. Lemah.


“Anissa dengar sini. Sekiranya sayang ingin merasai bahagia maka sayang perlu berani mempertaruhkan rasa percaya. Ingat! Selagi kita ragu-ragu, kita tidak akan berani mencuba. Akibatnya, kita sendiri tidak tahu akan pengakhiran kita sama ada kita akan bahagia atau derita. Sekiranya pengakhiran nanti adalah bahagia, rugilah kita kerana tidak mencuba. Tetapi seandainya derita yang menantikan kita, sekurang-kurangnya kita tidak akan menyesal kerana kita sudah mencuba,” panjang lebar Suraya memberikan kata nasihat pada puteri tunggalnya. Dalam hatinya terpalit sedikit rasa geli hati tatkala memikirkan bagaimanakah rupanya pada suatu ketika dahulu. Di saat dia juga sedang cemas menghadapi detik-detik peralihan dalam hidupnya.


“Anissa dah okey sekarang?” tanya dia lagi.


“Dah. Terima kasih ibu,” ucap Anissa sambil memeluk erat ibunya. Terima kasih ibu. Ucap hati Anissa berulang-ulang kali. Semoga berbahagia, anakku. Biar apapun pengakhiran yang menantimu, setidak-tidaknya dirimu tidak akan menyesal kerana sekurang-kurangnya kau telah mencuba. Buanglah gementarmu dan pautlah keyakinanmu pada dia suamimu. Selamat pengantin baru, anakku.


9 komen yang diterima:

-Ain-Dak In- on 2 Julai 2009 10:15 PTG berkata...

wakakaka...
pengantin nak lari!!!!!!!
tp gaga..
sib baik....
ni pglmn lea ke hape??
ke lea yg nak wat cenggitu nanti??
ahahhahaha.....

lawok sey...
adehhhh...

bidadari cinta on 2 Julai 2009 11:46 PTG berkata...

haha..penglaman lea yer...
sempat lak kal lari padahal dh nikah..
kelakar lah..

LeaQistina on 2 Julai 2009 11:48 PTG berkata...

ah.. tolong2.. tidak sama sekali.. bukan dari pengalaman.. citer ini hanya rekaan semata2... hehe...
tp klu jd betul xtau la.. wahaha...

nasib2..

misz nana on 3 Julai 2009 7:28 PG berkata...

Ayyoo..
Pengantin panjat tingkap..

.:farah:. on 3 Julai 2009 1:04 PTG berkata...

haha..
pnjt tingkap lgi!!
hu~
best ler!!

NIN berkata...

hahaha.. lawak la lea.. bole yerk camtu, smpai lupa dh akad nikah siap panjat tingkap nak lari..

huhuhu.. jgn dibuat lea.. de yg kna tambat smntara tgu nak bsanding..

kita tgu je time lea sok cmne..hahahha

amza on 9 Julai 2009 10:39 PG berkata...

salam tuan rumah, jejalan n bace, pandai tulis cerpen :), best gak sesekali dtg jengok kat sini

mady+yana on 10 Disember 2009 4:35 PTG berkata...

hehe..wa..byk la cerpen n novel writer..
papewown...best la..

Tanpa Nama berkata...

Ridiculuos.............

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino