Product from Adobe

Isnin, April 27

Yang Kupinta Part 10


Seminggu telah pun berlalu. Kehidupan Aida kini menjadi lebih ceria. Sayup-sayup kedengaran suara Hamdan yang sedang khusyuk mengalunkan ayat-ayat suci Allah. Sungguh pun Hamdan kini hanya mampu membaca beberapa surah pendek dan bacaannya pula masih sangkut-sangkut. Namun Aida sudah cukup bersyukur akan perubahan Hamdan. Hatinya sudah cukup bahagia dan lapang. Sungguh, tidak pernah terduga oleh akalnya bahawa suaminya ini akan berubah sedemikian. Ternyata doa kudusnya selama ini tidak dipandang sepi oleh Dia yang Maha Kuasa.


Aida memandang sekilas jam dinding yang berada di ruang tamu. Hampir pukul sebelas tengah hari.


“Dah tengah hari rupanya. Lama betul aku termenung. Hari ni aku nak masak apa ye?” bisik Aida sendirian seraya bangun melangkah menuju ke dapur. Otaknya ligat berfikir mengenai menu tengah hari ini. Teringat pula dia pada kata-kata Hamdan awal pagi tadi.


“Aida, abang nak minta maaf banyak-banyak pada Aida. Abang berdosa pada Aida. Selama Aida jadi isteri abang, abang tak pernah nak hargai kehadiran Aida di sisi abang. Abang berdosa pada Aida. Terlalu berdosa. Aida maafkanlah abang. Abang berdosa. Abang berdosa...” teresak-esak Hamdan menangis kepiluan. Ingin sekali telinganya mendengar kata maaf yang terbit dari bibir isterinya.


“Aida, maafkanlah abang,” pinta Hamdan sekali lagi.


Aida pula hanya menggigit bibir menahan rasa sebak yang mula mengasak jiwa. Sungguh hatinya tidak menyimpan dendam terhadap suaminya ini. Namun, rasa gerun kenangan lalu masih lagi menguasai dirinya. Bukan sedikit keganasan yang telah dilakukan oleh Hamdan terhadap dirinya. Malah dirinya juga pernah dilacurkan. Sungguh dia tidak dapat melupakan peristiwa pahit tersebut. Air matanya semakin laju membasahi pipi. Esakan halus juga telah mula kedengaran. Terhinggut-hinggut badannya menahan esakan yang semakin menggila. Rasa sedih dan sebak datang silih berganti tatkala kenangan lalu bagai diulang tayang di layar fikirannya.


“Aida,” panggil Hamdan lagi. Hatinya yang sedih bertambah pilu apabila melihat Aida yang menangis begitu. Sungguh hatinya kesal. Namun Hamdan sedar, biar seribu kali dia menyatakan bahawa dirinya kesal akan perbuatan masa lalunya tidak mampu mengubat lara di hati Aida. Bukan sedikit dosanya pada wanita mulia di hadapannya ini.


“Aida, maafkan abang ya,” pinta Hamdan lagi. Entah mengapa, dirasakan bagai ada satu perasaan yang menggesa supaya dirinya terus-terusan meminta maaf daripada isterinya. Dia seolah-olah dapat merasakan bahawa masa yang tinggal hanyalah sedikit. Dia tidak tahu. Dirinya buntu.


“Aida...”


“Aida maafkan abang,” tenang Aida menuturkan kata maaf itu. Untuk apa lagi diseksa lagi batin suaminya ini. Sedangkan dia harus menyokong dan membantu perubahan yang sedang berlaku. Biar pun sokongannya ini hanyalah untuk seketika. Namun itu sudah cukup memadai.


Hamdan menarik nafa lega sebaik sahaja kata maaf itu terluncur dari bibir Aida. Satu senyuman manis dihadiahkan buat isterinya. Kedua tangan kasarnya memegang lembut wajah Aida. Lalu satu ciuman terpahat di dahi Aida. Seterusnya bibirnya sebelum ini begitu tega melafazkan kata cacian dan penghinaan pada isterinya mendarat di kedua-dua belah pipi yang sering ditampar dan disakitinya dahulu. Abang sayang Aida, lafaz dari lubuk hatinya yang paling dalam.


“Aida, abang teringin nak makan masakan kampung. Boleh Aida masakkan untuk abang hari ini?” pinta Hamdan tiba-tiba. Aida agak terkejut dengan permintaan suaminya itu. Masih diingatinya amaran daripada suaminya suatu masa dulu supaya dia tidak memasak makanan kampung. Benci katanya. Aida menarik nafas dalam. Mungkin selera suaminya itu juga turut berubah seiring dengan perubahan peribadinya, Aida menjawab sendiri pertanyaan yang bermukim dibenaknya. Dengan keadaan dahi yang masih lagi berlapis, roman wajahnya dimaniskan. Lalu kepalanya dianggukkan.


Aida menyelongkar peti sejuk. Tidak banyak bahan masakan yang ada. Yang tinggal hanyalah beberapa ketul isi ikan kayu, dua ekor ikan sebelah dan satu ikat ulam raja. Aida berfikir sejenak. Menu apa yang sesuai dimasak menggunakan bahan-bahan yang terhad ini. Tiba-tiba dia mendapat satu idea. Dengan pantas tangannya mengeluarkan bahan-bahan yang ada untuk dimasak.


Empat puluh lima minit kemudian, juadah tengah hari mereka sedia untuk disantap. Aida merenung puas melihat juadah yang tersedia di meja makan. Gulai ikan kayu, ikan sebelah goreng, sambal belacan, ulam raja dan satu jag air oren. Moga Hamdan berpuas hati dengan menu mereka hari ini. Semoga menu mereka pada hari ini mampu memenuhi keinginan Hamdan yang tiba-tiba.


***


Aida tersenyum melihat Hamdan yang begitu berselera menjamah hidangan yang tersedia. Lagaknya seperti sudah beberapa bulan tidak berjumpa nasi.


“Tambah lagi tuan?” tanya Aida.


Pantas Hamdan menganggukan kepalanya.


“Sedap sungguh masakan Aida. Abang nak makan puas-puas hari ini. Mana tahu lepas ni abang dah tak boleh makan masakan Aida lagi,” kata-kata yang bermula penuh semangat tiba-tiba sahaja berubah sayu. Aida hanya tersenyum nipis. Teringat pada niatnya yang ingin meminta supaya dilepaskan. Teringat pada kata-kata sahabatnya beberapa hari lalu.


“Aku bersyukur dia dah berubah. Tapi itu bukan tiket untuk kau membatalkan niat asal kau. Berilah peluang pada diri kau sendiri untuk memulakan hidup yang baru”


“Aida, kenapa mengelamun ni? Aida tak nak makan? Tengok, abang dah tiga kali tambah,” lamunan Aida tercantas sebaik sahaja dia merasakan ada tangan kasar yang menyentuh lengannya.


“Makanlah,” lembut sungguh suara itu. Sungguh Aida tidak menyangka suara selembut itu bakal menyapa dirinya. Ya Allah, apakah tanda ini semua? Aida hanya mengangguk sambil tangannya menyenduk nasi ke pinggan.


“Hari ini Aida jangan ke mana-mana ya. Abang nak habiskan masa dengan Aida. Abang nak solat dengan Aida, abang nak berborak, bercerita, tengok tv, makan, semua-semualah dengan Aida. Agak-agaknya cukup tak masa kita untuk buat semua tu?” tanya Hamdan pada Aida. Tersentap seketika hati Aida. Wajah Hamdan yang semakin pulih dari kecederaannya direnung dalam.

“Kenapa tuan cakap macam tu?” tanya Aida kembali.



“Boleh Aida panggil abang, abang? Jangan panggil abang, tuan. Boleh?” ternyata pertanyaan Aida juga dibalas dengan pertanyaan. Aida sedikit bingung dengan situasi ini. Namun permintaan Hamdan itu diturutkannya jua.


“Dulu Aida teringin nak solat dengan abang kan? Aida teringin nak abang jadi imam pada solat Aida, kan? Aida masih ingin solat dengan abang?” sayu sahaja ayat itu menyapa telinga Aida. Sebutir air matanya gugur. Itulah keinginannya sejak dulu. Itulah impiannya sejak dia mendirikan rumah tangga bersama Hamdan hampir tiga tahun yang lalu. Dia mengiginkan seorang suami yang mampu menjadi pengemudi dalam hidupnya. Seorang suami yang mampu menjadi imam pada solatnya. Dia inginkan seorang teman hidup yang mampu memimpin dirinya di dalam tidur dan di dalam jaga. Sangkanya keinginannya ini tidak mampu terlaksana. Terkubur begitu sahaja. Hari ini, suami yang dahulu dengan lantang pernah menjerit di wajahnya bahawa solat itu tidak bermakna, akhirnya dengan rela hati menawarkan diri untuk menjadi imamnya.



“Aida masih nak bersolat dengan abang?” tanya Hamdan lagi apabila pertanyaannya tidak berjawab. Aida mengangguk perlahan. Air mata syukur kembali membasahi pipinya.


“Tapi...”


“Tapi apa bang?” tanya Aida apabila perkataan itu tergantung lama.


“Abang tak semulia Aida. Abang lebih jahil berbanding Aida. Bolehkah abang menjadi imam?” keinginan yang pada asalnya meluap-luap tiba-tiba menjadi dingin. Semuanya gara-gara dirinya terkenang akan dosa-dosanya yang lalu. Mampukah aku yang jahil lagi hina ini menjadi imam kepada insan semulia Aida?


“Abang, martabat kita sebagai seorang insan hanya mampu dinilai oleh Dia yang satu. Kita hanya sebagai hamba-Nya. Sama sahaja kita disisi-Nya. Mungkin dulu abang banyak buat silap tapi kini abang kan dah berubah. Insyaallah. Tak ada cacat celanya pun kalau abang menjadi imam Aida,” tenang Aida melafazkan kata. Sedar akan rasa ragu yang mula bercambah di hati suaminya. Rasa ragu itu harus dimusnahkan sebelum ia semakin subur kerana rasa ragu itu adalah salah satu senjata syaitan dalam usaha untuk merosakkan iman dan akidah manusia.


Hamdan tersenyum. Walaupun dalam hatinya ada rasa yang kurang enak. Seolah-olah ada perkara yang tidak diingi bakal berlaku. Namun, hajat Aida itu harus ditunaikannya sebelum dia tidak lagi berkesempatan.



BERSAMBUNG

Lea mengharapkan komen dan teguran daripada kengkawan semua. Sekiranya sambungan kali ini agak meleret pada pendapat kengkawan semua, sila maklumkan pada Lea ye. Terima kasih.



Ahad, April 26

Yang Kupinta Part 9


Hamdan menggelisah sendiri dipembaringannya namun tidak sekali Aida menjengukkan wajahnya. Adakah Aida sudah meninggalkan dirinya? Hati Hamdan semakin rawan. Entah mengapa rasa berdosa datang menghimpit jiwanya tanpa dipinta. Hatinya pula bagaikan meronta untuk melihat wajah mulus Aida. Rasa apakah ini? Sungguh rasa itu terasa bagai terlalu menggigit-gigit hatinya. Hamdan menjadi semakin tidak keruan. Ya Allah, apakah rasa ini?


Allah?



Sungguh Hamdan tidak percaya bahawa lidahnya menyebut kalimah Allah. Apakah yang berlaku terhadap dirinya? Seingat dia, sudah bertahun dirinya tidak menyebut kalimah agung itu melainkan sewaktu dia berpura-pura solat di hadapan ibunya ketika berada di kampung dulu.


Allah. Allah. Allah.


Kalimah agung itu disebutnya berulang-ulang kali. Terasa bagaikan ada kelainan dalam jiwanya. Apakah makna semua ini? Adakah ini merupakan rahmat daripada Ilahi yang ingin menjemputnya pulang ke jalan kebenaran?


“Ya Allah,” ucap Hamdan setulus hati. Serentak dengan itu, rasa sebak mula menguasai jiwa. Satu persatu perbuatan zalim serta sejarah dosa masa silamnya bermain-main di depan mata. Semakin dikenang semakin sebak dan sesak rasa dihatinya.

“Ya Allah, berdosanya aku,” akhirnya Hamdan hilang dalam esakannya yang panjang. Rasa sedih, takut serta berdosa kejap menguasai jiwa.


***


“Ya Allah, kenapa ni tuan? Kenapa menangis macam ni? Sakit sangat ye?” Aida sedikit cuak apabila melihat Hamdan yang teresak-esak seperti anak-anak kecil. Pertama kali dalam hidupnya melihat suaminya itu berkelakuan seperti ini. Selalunya Hamdan sangat bengis dan keras hati orangnya. Apakah yang sudah berlaku pada suaminya ini?


“Tuan...” panggil Aida lagi. Sungguh hatinya risau. Apa yang perlu dilakukannya? Esakan Hamdan semakin menjadi-jadi tatkala mendengar suara Aida lembut menyapanya. Ada rasa risau di situ. Sungguh mulia hatimu Aida, ucap hati Hamdan. Rasa sedih itu semakin menyengat. Rasa berdosa pula tidak lagi mampu diucap. Lalu hanya esakan dan air mata yang menzahirkan segala rasa dijiwa.


Aida menjadi semakin serba salah. Hatinya bingung. Dia hilang punca. Hatinya tertanya-tanya mengapa Hamdan menangis dan teresak begini. Lalu, atas rasa simpati yang mengunung serta rasa sayu yang mula singgah di hatinya, perlahan tubuh Hamdan ditarik ke pelukannya. Rambut Hamdan dibelainya lembut. Esakan Hamdan dibiarkan lepas sehingga ia berhenti sendiri. Mungkin ada sesuatu yang mengusik jiwa suaminya ini, telah Aida sendirian. Akhirnya, Hamdan terlena di ribaan Aida.


***


Laungan azan sayup-sayup kedengaran. Hamdan terjaga dari lenanya. Dia mendongak. Kelihatan Aida yang terlena sambil bersandar di kepala katil. Tangan Aida pula masih berada di kepalanya. Wajah mulus Aida direnungnya lama. Rasa tenang meresap dalam jiwa. Laungan azan yang masih lagi belum berakhir kembali kedengaran. Hamdan termenung sebentar. Terus mengamati laungan seruan yang sudah lama tidak diendahkannya. Sudah lama laungan ini tidak diamatinya dengan jelas. Tiba-tiba timbul satu keinginan dalam hatinya. Hamdan sedar dia perlu melakukan sesuatu. Lalu tangan Aida yang berada di kepalanya disentuh perlahan. Dengan susah payah, nama Aida dipanggilnya.


“Aida... Aida...” terasa bagai ada kahak yang memenuhi tekaknya hingga menyukarkan dia untuk memanggil Aida yang sedang lena. Suaranya serak. Lalu dia cuba berdehem beberapa kali bagi membetulkan suaranya.


“Aida...” panggil Hamdan sekali lagi. Kali ini suaranya sedikit jelas berbanding sebelumnya. Usahanya kali ini nampaknya telah membuahkan hasil. Aida yang lena kini mula tersedar. Terpisat-pisat dia sebentar.


“Ya tuan, tuan lapar ya,” tanya Aida lembut.


Hamdan hanya menggelengkan kepalanya. Bukan itu yang dia inginkan. Entah mengapa hari ini, perutnya ini langsung tidak merungut lapar. Ada perkara lain yang dia inginkan. Dan untuk melaksanakannya dia perlukan bantuan Aida. Dia berharap agar Aida sudi untuk melakukannya.


“Tuan, rasa tak selesa? Nanti Aida lapkan badan tuan ya,” usul Aida lagi.


Hamdan hanya mengangguk.


Perlahan Aida mengalihkan kepala Hamdan yang berada di ribaannya. Aida bangun. Cepat-cepat Aida mengerakkan kedua-dua belah kakinya demi menghilangkan rasa kebas. Kemudian, sebiji bantal disisipkan di bawah kepala suaminya. Kedudukan bantal tersebut dibetulkan beberapa kali supaya Hamdan berasa lebih selesa.


“Aida pergi ambil air dulu ya tuan,” pesan Aida pada suaminya. Hamdan hanya memandang Aida melalui ekor matanya sebelum dia mengangguk perlahan, tanda faham. Aida berpaling untuk menuju ke dapur. Hatinya sedikit aneh melihat perlakuan Hamdan kini. Apa yang sudah berlaku? Mengapa Hamdan tidak lagi membentak dan membengis kepadanya seperti pagi tadi dan hari-hari semalam? Dalam keasyikannya berfikir, langkah kakinya di buka jua. Namun belum pun sempat dia melangkah jauh, kedengaran suara Hamdan lembut memanggil namanya.


“Aida...” suara itu sedikit serak dan sebak.


Aida menoleh.

“Ya tuan, kenapa?” Aida pantas mendekati tubuh suaminya. Tangan suaminya yang terdedah itu diusapnya lembut. Aida sedikit kaget apabila melihat juraian air mata kembali membasahi wajah yang bengkak nan membiru itu.


“Shh... kenapa ni tuan? Cuba cerita pada Aida,” pujuk Aida lembut apabila melihat Hamdan seolah-olah sukar untuk melafazkan bicara.


“Aa..ab..bang nak solat. Boleh Aida tolong ajarkan?” ucap Hamdan dalam sebutan yang terputus-putus.


“Alhamdulillah...” serta merta kalimah syukur itu terbit di bibir Aida. Badannya terasa segar seolah-olah disirami air azimat. Hatinya gembira tatkala mendengar bibir suaminya ini mengucapkan keinginan untuk melakukan ibadah yang telah lama ditinggalkannya. Sekali lagi Aida melafazkan syukur. Nampaknya doanya selama ini supaya Allah memberikan hidayah buat suaminya ini telah pun dimakbulkan. Terima kasih Tuhanku. Sesungguhnya aku yakin dan pasti akan janji-janjiMu bahawa setiap yang berlaku itu terselit hikmahnya yang tersendiri. Alhamdulillah.


Aida tersenyum. Setitis air mata syukur tumpah dari tubir matanya.


“Boleh tuan, apa salahnya. Mari Aida bersihkan diri tuan dulu, kemudian Aida ajarkan tuan solat ya,” berbunga rasa hatinya. Rasa girang terpancar jelas di wajah mulus Aida. Tanpa berlengah lagi Aida berlari-lari kecil menuju ke dapur. Sungguhpun ada persoalan yang bermain-main di benaknya mengenai punca perubahan Hamdan, namun Aida sedar sekiranya Dia berkehendakannya maka tiada apa yang mampu menghalang. Sesungguhnya Aida bersyukur akan kurniaan ini.



BERSAMBUNG



Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino