Product from Adobe

Ahad, Januari 4

Sambungan Suite 6019 : Abang..!!


“Abang...!!” jerit Fazureen dari dalam bilik. Terkocoh-kocoh Hakim berlari masuk ke dalam bilik. Hampir ketawa Fazureen melihat keadaan suaminya, dengan apron yang terikat dipinggang dan tangan yang tersarung sarung tangan ovennya. Tangan kanan memegang sudip dan tangan kiri pula memegang tudung periuk.


“Kenapa?” tanya Hakim bersama sedikit mengah.


“Rin nak muntah...” jawab Fazureen perlahan.


Bulat mata Hakim mendengar kata-kata Fazureen. “Lagi?” Fazureen menganggukkan kepalanya. Seingat Hakim, untuk pagi ini saja sudah hampir dua belas kali Fazureen muntah. Sampai lembik jadinya isterinya itu. Hakim menggeleng tak percaya.


“Betul ke? Ada lagi ke isi yang nak dimuntahkannya tu?” Hakim cuba mencari jawapan yang lebih pasti. Rasa seperti tidak dapat diterima oleh akalnya. Pagi tadi Fazureen hanya menjamah sekeping roti bersama segelas susu. Masakan dengan makanan yang sebanyak itu, Fazureen mampu untuk muntah sebanyak dua belas kali? Sungguh tak masuk dek akal.


“Abang...!! Cepatlah, Rin nak muntahlah...” marah Fazureen tiba-tiba. Rasanya sudah tidak mampu untuk dia menahan rasa loya namun suaminya itu banyak pula soalnya.


“Oh... ya... ya...” kelam-kabut Hakim mendekati Fazureen dan cuba untuk memapahnya ke bilik air. Tetapi, entah mengapa serasa seperti kekok dan payah benar untuk Hakim mencari posisi yang betul untuk memapah Fazureen. Seperti ada yang tidak kena.


“Abang... kalau ya pun, letak la dulu sudip dengan tudung periuk tu. Abang nak bawak ke mana?” tegur Fazureen pula.


Opss!! Hakim hanya tersengih. Pantas dia meletakkan sudip dan tudung periuk ditangannya. Kemudian, dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Cover malu sebenarnya.


“Abang... nak muntah dah ni..” jerit Fazureen bersama muka yang berkerut-kerut. Dengan rasa yang tidak keruan, Hakim cuba mencempung badan Fazureen. Belum separuh badan Fazureen diangkat, muntah Fazureen sudah pun selambak keluar. Habis baju dan apron Hakim.


“Opss!!” kata Fazureen sambil tersengih.


“Alamak, apron abang. Ni last yang tinggal la sayang..” rungut Hakim perlahan sambil tersenyum sumbing. Sebelum ini sudah sepuluh apron Hakim yang terpaksa direndam. Semuanya gara-gara terkena muntah Fazureen. Perlahan-lahan Fazureen diletakkannya kembali ke katil. Kemudian, Hakim turut melabuhkan punggungnya ke katil.


“Abang...” panggil Fazureen.


“Ape?” jawab Hakim acuh tak acuh. Hakim masih lagi sibuk membersihkan muntah Fazureen yang terlekat pada apronnya.


“Tadi abang tengah masak ya?” tanya Fazureen lagi.


“Yelah, habis abang nak buat apa lagi dengan pakai macam ni?” jawab Hakim lagi.


“Abang masak apa?” Hakim mengerutkan dahi. Banyak pula soalan Fazureen hari ini. Selalunya Fazureen jarang bertanya, dia makan sahaja apa yang disediakan Hakim untuknya.


“Goreng ikan keli...” balas Hakim ringkas.


“Oh, sebab tulah siap dengan tudung periuk semua ya, buat perisai sebab ikan tu meletup eh?” balas Fazureen pula sambil ketawa-ketawa. Hakim hanya menayang muka tak puas hati kerana ditertawakan oleh isterinya.


“Abang dah tutup api ke belum? Sebab Rin bau macam ada benda hangit je ni...” bagai disengat tebuan, Hakim berdiri.


“Alamak, ikan aku...!!”, jerit Hakim sebelum terkocoh-kocoh dia berlari ke dapur untuk melihat ikannya yang hangus rentung. Alamatnya, makan nasi bungkus lagi la hari ni, kata Hakim di dalam hati.


Fazureen hanya ketawa melihat telatah suaminya sambil menggelengkan kepala.


***


TUJUH BULAN KEMUDIAN…


“Abang...” panggil Fazureen suatu malam. Hakim masih lagi pulas lena di pembaringannya.


“Abang...” panggil Fazureen sekali lagi sambil menggoyangkan sedikit badan suaminya. Hakim tersedar. Dia membuka mata sedikit dan menghadiahkan senyuman buat Fazureen sebelum memejamkan matanya kembali.


“Abang...” jerit Fazureen sedikit kuat.


“Apa?” jawab Hakim antara sedar tak sedar.


“Perut Rin sakit...” adu Fazureen sambil menyeringai. Menahan rasa sakit yang mula menyucuk-nyucuk di bawah ari-ari dan di pinggangnya.


“Hmm.. Rin nak berak ke?” tanya Hakim yang masih lagi mengantuk. “Kalau Rin nak berak, pergilah tandas...” tambah Hakim lagi.


“Bukanlah abang, Rin rasa macam baby ni dah nak keluar je,” balas Fazureen pula dalam nafas yang tersekat-sekat.


Baby nak keluar? Nak keluar ke mana pulak malam-malam ni, Rin?”, balas Hakim lagi yang ternyata masih lagi mamai. Tidak sedar dengan apa yang dituturkannya. Penat menguruskan hal-hal pejabat dan menguruskan rumah tangganya masih lagi terasa.


“Abang, baby dah nak keluar la..!!” jerit Fazureen sambil mencubit lengan suaminya. Tidak tahan dengan rasa sakit yang semakin kerap terasa serta geram apabila sedar dia berborak dengan suaminya yang sedang mamai.


Jeritan Fazureen yang kuat dan cubitan Fazureen yang terasa berbisa dilengannya telah membuatkan rasa mengantuk Hakim hilang begitu saja. Segar dan bulat matanya memandang Fazureen. Malah rasa terkejutnya menjadi berganda apabila melihat wajah Fazureen yang sudah mula basah dengan air mata.


“Abang, sakit..”


Hah, sakit?! Pantas Hakim bangun, membuka lampu bilik tidur mereka. Beg pakaian Fazureen beserta bakul barang-barang bayi yang terletak di tepi almari dicapainya. Kunci kereta yang tersangkut di dinding disambarnya sebelum dia berlari bergegas masuk ke dalam kereta dan lantas enjin kereta dihidupkannya.


Fazureen tercengang melihatkan suaminya yang bergegas turun tanpa membawa dirinya bersama.


Belum sempat handbrake dilepaskan, barulah Hakim perasan rupanya Fazureen belum dibawanya. Hakim menepuk dahinya sekali. Allah.. itulah selalu waktu dia buat rehearsal ‘Pelan Kecemasan Bersalin’ tak pula dia praktis untuk membawa Fazureen, selalunya dia berlatih untuk mencapai barang-barang keperluan Rin saja. Terkocoh-kocoh Hakim kembali berlari naik ke bilik untuk mendapatkan Fazureen.


Sorry Rin, abang lupa...” ucap Hakim sambil tersengih. Lantas badan Fazureen diangkat dan dibawa masuk ke dalam kereta.


“Abang, sakit bang...” rintih Fazureen bersama-sama air mata yang menderu mengalir dipipinya.


“Sabar, yang...” hanya itu balas Hakim disepanjang perjalanan mereka. Hatinya cuak apabila mendengar rintihan Fazureen bersama linangan air mata. Ditambah pula dengan keadaan yang mengeliat ke kiri dan ke kanan kesakitan. Semuanya membuatkan hati Hakim menjadi tidak keruan. Pedal minyak ditekannya sekuat hati dan akhirnya mereka tiba di hospital berdekatan.


Setibanya di hospital, Hakim berhenti betul-betul dihadapan pintu masuk wad kecemasan. Hakim turun dan pantas berlari membuka pintu untuk Fazureen. Kelihatan seorang petugas wad kecemasan berlari mendekati mereka sambil menyorongkan kerusi roda. Dengan berhati-hati mereka mengangkat Fazureen dan meletakkannya di atas kerusi roda. Lalu, Fazureen terus dibawa ke bilik bersalin.


***


Sepuluh minit sudah berlalu. Hakim mundar-mandir di hadapan pintu bilik bersalin. Rasa hatinya bercampur-campur di saat itu. Ada runsing, risau, teruja, bahagia dan sebagainya. Tiba-tiba Hakim baru teringat bahawa ibu bapa serta mertuanya masih lagi belum dimaklumkan mengenai Fazureen, pantas jari-jemarinya menekan punat-punat telefon bimbitnya untuk mengkhabarkan khabar gembira tetapi cemas itu.


Sedang Hakim cemas sendirian, tiba-tiba pintu bilik bersalin tersebut terbuka. Kelihatan seorang nurse keluar dan mendekatinya.


“Encik ni suami Puan Fazureen?” tanya nurse tersebut.


“Ya..” jawab Hakim bersama debaran di hati. Bimbang ada berita yang kurang enak yang bakal disampaikan kepadanya.


“Puan Fazureen panggil encik masuk,” kata nurse itu lagi sambil tersenyum. “Marilah..” ucap nurse itu lagi sebelum mempersilakan Hakim masuk. Dengan perasaan yang berbaur-baur, Hakim menurut setiap jejak nurse tersebut.


Sebaik sahaja tiba di dalam bilik bersalin tersebut, kelihatan Fazureen yang sedang berbaring di sebuah katil. Terdapat beberapa orang nurse dan seorang doktor yang sedang menemani isterinya itu. Fazureen yang perasan akan kelibatnya lantas menghulurkan tangan kepadanya. Pantas Hakim menyambut huluran tangan Fazureen. Wajah Fazureen yang jelas menunjukkan riak perit akibat menanggung kesakitan, benar-benar menusuk hatinya.


“Sabar Rin..”


Aaaahhh!! Jerit Fazureen tiba-tiba. Pegangan tangan Fazureen ditangan Hakim menjadi semakin erat.


Dumm!! Hakim tumbang. Tercengang seketika insan-insan yang berada di dalam bilik bersalin tersebut. Dalam menyerigai sakit, Fazureen ketawa.


***


Sinaran cahaya yang terang terasa seakan-akan menyucuk-nyucuk matanya. Perlahan-lahan Hakim membuka matanya. Samar-samar kelihatan ibu bapa serta mertuanya yang sedang berkerumun di katil. Hakim cuba mengingati apa yang berlaku tadi. Rin?! Bingkas Hakim bangun dari pembaringannya.


“Dah bangun kamu Hakim?” tegur Encik Fauzi tatkala menyedari menantunya itu sudah sedar dari pitamnya. Teguran Encik Fauzi telah menyebabkan empat pasang mata yang lain turut tersorot ke arah Hakim.


Hakim tidak mengendahkan pandangan mata ibu bapa serta mertuanya tetapi terus dia melangkah mendekati Fazureen yang sedang menyusukan anaknya.


“Rin...” ucap Hakim perlahan. Wajah keletihan Fazureen direnungnya penuh simpati. Tangan Fazureen dicapainya dan dicium sekali, lama. Fazureen tersenyum ke arah suaminya.


“Rin, lepas ni abang tak nak baby lagi..” ucap Hakim tiba-tiba. Pecah tawa mereka di situ. Fazureen pula hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Ternyata Hakim serik.

6 komen yang diterima:

misz nana on 4 Januari 2009 pada 1:45 PTG berkata...

hahaha! lawak2..
boleh lak si hakim tu pengsan kat situ..
dah tu, boleh2 dia lupa nak bawak rin masuk dalam keta..
haiiii.. macam2 ragam btol si hakim ni.. hihihi..

keSENGALan teserlah.. on 4 Januari 2009 pada 5:49 PTG berkata...

adooyy...
lawak btol...
hehehee....
ske2....
pech prot bce...
ahahahahahaaa...

Unknown on 4 Januari 2009 pada 7:10 PTG berkata...

hehehe.. lawak la lea..
kenapa hakim tu pengsan ek?
tekejut tgk baby kuar ke?
huhuhuh..

nak tnya., nama lea wani gak ke??
hahaha.. kira kembar la kite ek?
heheheh

papehal.. buat cerpen lagi.. besh!!
leh release tension baca cite lawak.. huahuahuahu..

-Ain-Dak In- on 6 Januari 2009 pada 12:06 PTG berkata...

hahahaha....
boleh pulak jd camtu yer...
adoi..
teruk la hakim tu..
nasib baik kete x berjalan lagi...

kalau x..
kene patah balik..
alamatnya bersalin dalam kereta la si rin tu...

hahahaha...

Tanpa Nama berkata...

hahahahahha...sakit perut mia bc cerpen ni...tp best...t smbg la lg..mcm tergantg la...paper pon good job....---mia amie

mira ;) on 6 Januari 2009 pada 11:36 PTG berkata...

caiitt..over arh hakim ni.fazureen yg sakit nk bersalin,dia plak yg pengsan.adoyaii...

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino