Seusai solat Subuh, Farah Aqilah turun ke dapur untuk membantu Mak Dah menyiapkan sarapan pagi. Menu mereka pagi itu adalah nasi goreng kampung dengan kopi kampung. Pekat. Menghidu aromanya sahaja sudah mampu membuka selera Farah Aqilah sebesar benua. Setelah juadah sarapan pagi siap dihidang, Mak Dah meminta Farah Aqilah untuk memanggil Syamir di Pondok Udang untuk bersarapan bersama. Tanpa banya soal, Farah Aqilah menurut.
Pintu rumah dibuka. Selipar jepun disarunkan ke kakinya. Farah Aqilah melangkah dua tiga tapak sebelum dia menarik nafas dalam dan membuat sedikit senaman regangan. Perbuatannya itu benar-benar menggamit nostalgia.
Syamir yang baru sahaja keluar daripada Pondok Undang, tersenyum melihat Farah Aqilah yang beriya-iya melakukan senaman ringan. Tiba-tiba muncul idea nakal dibenaknya untuk mengusik Farah Aqilah.
”PT 10 sebanyak lima puluh kali dalam tiga kiraan, exercise mula..”, laung Syamir tiba-tiba. Farah Aqilah tersentak. Syamir mendekati Farah Aqilah dengan gaya ala-ala jurulatih PT atau Physical Training ATM. Farah Aqilah yang baru sahaja mengangkat tangannya untuk menarik nafas buat sekian kalinya, jatuh ke sisi begitu sahaja. Tidak jadi meneruskan perbuatannya.
”Exercise mula..”, arah Syamir lagi.
”Amir ingat kita sekarang tengah PT pagi ke?” sinis Farah Aqilah bersuara. Syamir tergelak.
”Yelah. Betullah tu, so cepatlah Farah. Nanti nak kena lari 1.4 km lak. Hari ni larian bermasa tau. Kalau lambat, buat satu papan lagi,” ujar Syamir pula. Sengaja dia mengajuk kata-kata favourite Sarjan Usop dulu.
”Eleh.. cakap orang pulak. Amir tu mampu lagi ke nak buat semua tu?” tanya Farah Aqilah yang masih lagi berada dalam mode sinis.
”Hehe.. Pancitlah yang.. dah lama tak practice..” ucap Syamir sambil tersengih.
”Patutlah boroi..” giat Farah Aqilah pula.
”Hei, mana ada. Macho apa ni,” balas Syamir sambil menepuk bahunya beberapa kali. Perutnya pula pantas ditarik ke dalam. Farah Aqilah ketawa melihat tingkah Syamir.
”Boroi..!!” ejek Farah Aqilah lagi sambil ketawa.
Syamir tersenyum senang melihat Farah Aqilah yang tertawa ceria. Hari ini pasti indah kerana harinya dimulakan dengan sesuatu yang sangat indah.
Tawa Farah Aqilah terhenti tiba-tiba apabila menyedari Syamir hanya tersenyum melihat dirinya. Kepalanya pantas ditundukkan, melindungi wajahnya yang mula merintik merah.
”Nyenyak tidur malam tadi?” soal Syamir untuk menyimpang bicara.
”Uhuh..” balas Farah Aqilah sambil menganggukkan kepala. Namun wajahnya masih belum diangkat. Kakinya menguis pasir menggunakan hujung selipar jepun yang disarungnya.
”Hmm.. baguslah..” keluh Syamir perlahan.
Tertegak kepala Farah Aqilah mendengar keluhan Syamir. Kenapa??
”Kenapa? Amir tak nyenyak ke malam tadi?” pantas lidah Farah Aqilah menuturkan bicara tanpa sempat akalnya memproses kewajaran pertanyaannya itu.
”Tak. Pondok Undang tu banyak sangat nyamuk. Amir nak lelap pun tak boleh..” adu Syamir lirih. Ketawa Farah Aqilah meletus tatkala mendengar nada sayu Syamir.
”Apa Farah ni, tak kesian dekat Amir ke?” Syamir cuba meraih simpati.
Farah Aqilah menggeleng kepala laju.
”Tak.. Kelakar lagi adalah. Kononnya dulu PRK. Pegawai Rendah Kanan. Big bos pada semua, sekali dah tauliah hampeh nak mampus. Manja giller..” giat Farah Aqilah sambil ketawa. Meriah sangat bunyinya. Panas hati Syamir mendengar ejekan daripada Farah Aqilah.
”Farah, Amir tak manjalah..” ucap Syamir tegas.
”Manja..!!” kata Farah Aqilah sebelum dia membuka langkah seribu. Berlari masuk ke dalam rumah mendapatkan Mak Dah. Bimbang Syamir mengamuk. Ketawa Farah Aqilah masih lagi panjang.
”Farah..!!” jerit Syamir marah.
* * *
”Farah..!!” jerit Syamir. Ternyata dia masih belum berpuas hati. Syamir terjengul di pintu ruang makan sambil bercekak pinggang. Farah Aqilah pantas berselindung di belakang Mak Dah.
”Ish, kenapa dengan kamu ni Mus? Pagi-pagi lagi dah terpekik terlolong macam tarzan?” tegur Mak Dah. Farah Aqilah yang berada dibelakang Mak Dah menayangkan mata juling pada Syamir. Sengaja. Masih lagi mahu menyakat Syamir. Syamir mengetap bibir menahan geram.
”Tak de pape lah mi. Saja Mus nak test suara, dah lama tak menjerit,” balas Syamir bersahaja namun matanya masih tajam merenung wajah Farah Aqilah yang masih lagi menayangkan muka yang entah apa-apa. Sengaja nak menyakitkan hatinya.
”Dah, tak payah nak terpekik terlolong kat sini. Test suara ke ape? Mi bukannya bukak booth audition AF ke ape,” bebel Mak Dah lagi. Farah Aqilah menayangkan mimik padan muka buat Syamir. Syamir masih lagi mematung di situ.
”Apa lagi korang berdua ni? Dahlah tu Amir, Farah. Duduk makan tu dulu..” tegur Mak Dah. Alahai budak-budak zaman sekarang, depan orang tua pun masih boleh buat adegan usik-usik-merajuk, desis hati Mak Dah.
Farah Aqilah menarik kerusi lalu duduk. Syamir pula mengambil tempat yang bertentangan dengan Farah Aqilah. Mak Dah pula dihujung meja. Baru sahaja Mak Dah ingin mencedok nasi goreng ke dalam pinggannya, tiba-tiba suara Syamir bergema. Memecahkan suasana yang hening seketika.
”Up..” spontan Farah Aqilah menadah tangan untuk bacaan doa. Ternyata budaya dan arahan sebegitu sudah sebati dalam dirinya. Mak Dah yang terpinga-pinga dengan suara Syamir yang tiba-tiba, pantas melepaskan senduk yang baru dipegangnya sebelum dia turut menadah tangan. Hampir tersembur ketawa Syamir melihatkan gelagat Mak Dah yang terkulat-kulat. Namun sedaya upaya ditahannya dan cuba beriak serius.
”Down. Jemput makan semua..” ujar Syamir usai dia membaca doa makan. Farah Aqilah tersenyum. Memori lalu kembali lagi.
* * *
[Pusat Inokulasi Tempur,Pulada, Ulu Tiram, Johor ~ 2006]
”Dah.. turun.. turun cepat..!!” arah Kopral Stanley. Amelya, Anisyah dan Najla yang masih terkial-kial untuk turun trak tiga tan mengetap bibir marah pada Kopral Stanley yang tidak habis-habis menggesa supaya mereka bergerak dengan lebih pantas sedari tadi.
”Hah..!! yang dah turun tu apa lagi, meniarap la, berbaris tiga-tiga. Korang nyer IC mana? Take in charge la..” sampuk Sarjan Usop pula.
”Woi, mana korang punya IC ni?” jerit Sarjan Usop lagi tatkala ucapannya tidak mendapat respon yang sepatutnya.
”Stap.. saya, stap,” Ikbar membuat laungan balas. Memberi respon pada jeritan Sarjan Usop tadi.
”Hah, kau datang la sini..” panggil Sarjan Usop. Pantas Ikbar bangun lalu bergerak menuju ke arah Sarjan Usop dan bersedia untuk melapor. Ikbar menghentakkan kaki dihadapan Sarjan Usop.
”Apa lagi yang korang bergerak-gerak lagi ni? Tak nampak ke orang dah nak melapor ni?” jerkah Sarjan Usop. Begitulah keadaannya sebaik sahaja mereka semua melangkahkan kaki masuk ke kawasan Lapang Sasar Pulada yang terletak di Ulu Tiram ini. Jurulatih semua akan bertukar garang. Layan manja-manja-kucing kini telah bertukar menjadi sengal-sengal-singa. Hal ini kerana, di lapang sasar nyawa mereka terdedah pada bahaya. Peluru hidup berada di mana-mana. Andai tersalah langkah, bimbang ia akan mengundang padah.
Perlahan-lahan skuad junior mengesot untuk membetulkan barisan.
”Diam, langut, terus pandang ke hadapan,” ucap Ikbar sebelum berpusing ke belakang untuk melapor. Kakinya dihentak sebelum salam diberikan.
”Kami skuad junior seramai sembilan puluh enam orang keseluruhan, lapan puluh enam dalam baris, dua orang fitik peluru, empat orang fitik khemah dan empat orang sakit mata, siap sedia untuk menerima arahan selanjutnya stap,” lapor Ikbar. Sarjan Usop mencatat maklumat yang diberikan oleh Ikbar untuk dimuatkan di dalam laporan hariannya nanti.
”Okey, masuk..” ucap Sarjan Usop ringkas.
”Terima kasih, stap,” ucap Ikbar sebelum kembali bergerak masuk ke dalam barisan.
Sarjan Usop bangun daripada tempat duduknya dan berdiri dihadapan skuad junior. ”Okey, hari ni korang semua akan lakukan latihan IT. Jadi aku tak nak nanti korang semua main-main. Kejap lagi Encik Kamarul akan bagi taklimat sikit, dengar betul-betul dan tanya apa yang korang tak paham. Dengar tak tu kadet?”
”Dengar stap..” sambut skuad junior. Matahari yang tegak di atas kepala menyebabkan skuad junior berasa bagaikan dipanggang hidup-hidup. Ramai yang sudah mula bergerak-gerak. Menyapu peluh yang galak mengalir membasahi wajah mereka. Skuad senior dan intermediate hanya memerhatikan daripada khemah mereka yang tidak jauh daripada ’medan salai’ tersebut. Ada yang tersenyum melihat gelagat skuad junior. Mungkin terkenang zaman mereka junior dahulu.
”Ni apesal korang gerak-gerak ni? Korang panas ke kadet?” ucap Kapten Syah yang datang entah daripada mana.
”Tak, tuan..” balas skuad junior.
”Apa dia?”
”Tak, tuan..” jerit skuad junior lebih kuat lagi.
”Ha.. macam tulah..” ucap Kapten Syah sambil ketawa sebelum berlalu menuju ke khemah pegawai yang telah disediakan. Bersedia untuk menyambut kedatangan Timbalan Komandan serta Ketua Jurulatih barangkali. Pegawai-pegawai atasan hari ini hadir bagi melihat sendiri latihan IT atau Inokulasi Tempur dijalankan. Mengikut trend Palapes UTM, latihan IT ini hanya dilakukan dalam tempoh dua tahun sekali sahaja. Mungkin kerana stok peluru dan bom yang diperlukan bagi menjalankan latihan ini adalah tinggi.
Tidak lama kemudian, Encik Kamarul yang merupakan pegawai latihan bahagian senjata api, Pulada hadir untuk memberikan taklimat ringkasnya pada skuad junior.
”Okey, assalamualaikum semua sekali..” ucap Encik Kamarul. ”Ada yang bukan muslim tak?” tanya Encik Kamarul.
”Ada, encik,” jawab Heng dan Teck Chai.
”Okey, selamat pagi korang berdua..”
”Selamat pagi encik”
”Hari ini korang semua akan menjalani latihan IT atau Inokulasi Tempur. Korang tau tak apa tu latihan IT ni? Ada tanya pada senior-senior korang tak?” tanya Encik Kamarul sebagai pembuka bicara.
”Ada, encik,” jawab skuad junior serentak.
”Huh! Korang ni semuanya ada..” jawab Encik Kamarul sinis.
”Dah, korang lupakan je apa yang senior-senior korang cakap. Dengar sini apa yang aku nak bagi tau ni. Latihan hari ni sangat merbahaya sebab ia melibatkan senjata LMG beserta peluru hidup. Beberapa bom latihan juga akan digunakan. Helmet tu jangan sesekali korang buang. Faham tak tu kadet?” tanya Encik Kamarul untuk mendapatkan kepastian.
”Stap..” tiba-tiba ada satu suara melaung. Lapan puluh tujuh pasang mata termasuk sepasang mata daripada Encik Kamarul tersorot ke arah suara itu hadir. Amira membuat muka cuak apabila semua orang memandang ke arahnya.
”Ada apa?”
”Jauh ke dekat peluru tu ditembak?” tanya Amira ragu-ragu.
”Dekat jugak. Atas sikit je daripada dawai halangan crawl tu. Sebab tu aku pesan tadi, helmet tu jangan bukak, pastikan terikat ketat. Lepas tu, waktu crawl nanti jangan panggung kepala tinggi-tinggi, kalau pun terkejut sebab kena bom latihan nanti,” pesan Encik Kamarul.
”Kena crawl bape jauh, stap?” tanya Hanifah pula.
”Tak jauh, tiga ratus meter je..” terdengar suara-suara yang mengeluh tatkala mendengar jarak yang perlu mereka lalui sebentar nanti. Ada yang sudah mula membetulkan ’pad’ pelindung ajaib yang diletakkan pada lutut dan siku, disebalik baju loreng. Langkah-langkah pencegahan supaya lutut dan siku mereka tidak melecet nanti.
”Ada apa-apa lagi yang korang nak tanya tak?” tanya Encik Kamarul lagi. Bimbang andai ada diantara skuad junior yang masih lagi belum faham akan arahan yang diberikan olehnya sebelum ini.
”Okey, kalau macam tu korang pecah masuk sendiket. Satu sendiket saiz dia dalam dua belas orang. Okey, gerak cepat..” arah Encik Kamarul lagi.
”Sambil-sambil korang masuk dalam sendiket tu, buang semua ’pad’ ajaib korang tu. Tak payah sibuk nak lapik lutut dengan siku korang tu. Askar apa main lapik-lapik ni..” skuad junior menarik muka kecewa. Ada saja taktik yang mereka lakukan, namun masih tetap dapat dihidu oleh jurulatih. Belum mantaplah nampaknya ni..!!
”Okey, sendiket satu mana?”
”Sini, stap..” jerit Hafizul.
”Sendikit satu, lorong satu. Hm.. Fizul, Anim, Fahmi dengan Linda. Lorong dua, Dauz, Najla, Amira dan Melor. Lorong tiga, Hakim, Farid, Syukri dan Siti. Bakinya masuk lorong empat...” arah Sarjan Usop pula.
”Baik, stap,” ucap sendiket satu sebelum bergerak ke lorong-lorong yang dimaksudkan oleh Sarjan Usop sebentar tadi Mereka semua meniarap. Sebaik sahaja bendera mereh dinaikkan maka tembakan bertubi-tubi daripada laras automatik LMG kedengaran. Ahli-ahli sendiket satu agak panik dengan situasi itu. Suasananya ala-ala peperangan sebenar, dengan peluru hidup yang kelihatan berapi berterbangan secara bebas di atas kepala mereka, badan yang penuh bersalut lumpur dan suara-suara yang melaung memberikan sokongan kepada ahli-ahli sendiket supaya meneruskan usaha untuk merangkak hingga ke garisan penamat, segalanya benar-benar menghidupkan mood peperangan.
”Sendiket satu.. cepat..” laung Hafizul kuat bagi melawan bunyi tembakan yang membingitkan. Helmet dikepalanya yang senget dibetulkan. Hafizul berhenti dari merangkak dan berpaling kebelakang. Melihat tiga lagi rakan-rakannya yang sedang bertungkus lumus untuk merangkak hingga ke garisan penamat.
”Angkat sikit senjata kau tu Anim. Kalau meleret macam tu susah kau nak crawl..” tegur Hafizul.
”Boleh, Anim.. Boleh..” Hafizul memberikan kata semangat tatkala Anim sudah mula kelihatan seperti ingin berputus asa. Ternyata latihan ini lebih berat berbanding apa yang mereka sangkakan dan bayangkan sebelum ini.
Aahh!! Jerit Anim apabila satu bom latihan meletup sebaik sahaja dia melalui kolam kecil yang berada disisi laluan mereka menuju ke garisan penamat. Berdesing telinga Anim akibat letupan bom tersebut. Percikan air yang melambung tinggi sehingga hampir empat meter, benar-benar mengujakan ahli skuad lain yang sedang menonton. Riuh suara mereka bersorak. Tidak lama kemudian, beberapa siri letupan bom latihan berlaku. Suasata di Pusat Inokulasi Tempur itu menjadi bertambah bingit. Akhirnya, setelah bertungkus lumus, kesemua ahli sendiket satu tiba jua digarisan penamat.
”Sendiket dua.. ready..”
1 komen yang diterima:
im ready stap....
aja..aja..fighting..
hahahaha...
bom..kebabboom..
Catat Ulasan