Product from Adobe

Khamis, Mei 7

Bintang Untukmu Part 1


“Assalamualaikum aunty, Elya ada?” ucap Akim sebaik sahaja wajah Puan Azimah terjengul di celah pagar besi pintu utama.


“Wa’alaikumussalam. Oh, Akim rupanya. Aunty ingatkan siapa tadi. Marilah masuk. Elya ada di atas,” jawab Puan Azimah ramah. Dia begitu senang dengan perhubungan yang terjalin antara dua remaja ini. Masakan tidak, tempat pertemuan mereka adalah di rumahnya hanya semasa dia berada dir rumah. Puan Hazimah begitu senang dengan perlakuan dua anak muda yang begitu menjaga batas pergaulan.


“Akim duduk dulu ya, nanti aunty panggilkan Elya turun,” ucap Puan Hazimah lagi seraya dia naik ke atas untuk memanggil anak gadisnya.


Akim hanya mengangguk. Senang hatinya melihat penerimaan Puan Hazimah. Puan Hazimah begitu memahami orangnya. Dia tidak pernah menghalang perhubungannya dengan Elya. Cuma satu yang dipesan oleh Puan Hazimah kepada mereka, “ pandai-pandailah menjaga diri dan ingat nama baik orang tua.” Selebihnya, dia dan Elya harus faham-faham sendiri.


Bunyi berderam dari arah tangga telah menarik perhatian Akim. Akim menoleh. Kelihatan Elya yang kelam kabut turun bersama sebuah senyuman manis. Hatinya yang gembira terpancar jelas dari roman wajahnya.


“Hai, Akim. Dah lama sampai?” ucap Elya sebaik sahaja dia berdiri di hadapan Akim.


Akim berdiri demi menyambut kehadiran kekasih hatinya. Tangannya pula dimasukkan ke dalam poket seluar.


“Hai,” ucapnya mesra. Matanya merenung lembut wajah Elya. Terubat sedikit rasa rindu yang membuak-buak di dalam jiwa.


“Eh, Akim. Jom,” ajak Elya tiba-tiba.


Akim berwajah pelik. Hendak ke mana?


“Nak ke mana?”


“Jomlah...” ajak Elya sekali lagi.


“Mama, Elya nak ajak Akim duduk di beranda boleh tak?” tanya Elya kepada mamanya yang kebetulan melalui ruang tamu untuk ke dapur. Puan Hazimah merenung lembut kedua remaja itu.


“Boleh. Pergilah tapi jangan pulak duduk rapat-rapat. Pintu beranda tu buka luas-luas. Mama tak nak nanti entah apa-apa pulak jadi,” Puan Hazimah memberikan keizinan pada anaknya. Namun, dalam masa yang sama peringatan turut juga diberikan. Dia tidak mahu menjadi ibu yang mengongkong dan dalam masa yang sama juga, dia tidak mahu anaknya itu alpa dengan keseronokan dunia.


“Okey mama. Jom Akim,” ucap Elya sebelum pantas dia berlari menuju ke beranda rumah yang berada di tingkat atas. Akim pula hanya menurut langkah laju Elya.


“Kita nak buat apa kat sini Elya?” soal Akim sejurus mereka tiba di beranda.


“Saja. Malam-malam Elya suka duduk kat sini. Aman je rasa. Segar pulak tu,” Elya menarik nafas dalam sambil mengangkat tangannya tinggi. Cuba menikmati aroma angin malam yang terasa begitu menyegarkan.


Akim hanya tersenyum melihat telatah Elya.


“Comel,” ucap Akim sepatah.


Elya tersentak. Serta merta wajahnya diserbu darah merah. Hatinya malu apabila Akim memujinya begitu. Tangannya yang didepang tinggi tadi pantas diturunkan. Lalu dia melabuhkan punggungnya pada kerusi santai yang berada di situ. Akim juga turut berbuat demikian. Senyumnya makin melebar tatkala melihat wajah Elya yang masih lagi merah. Pemalu sungguh awek aku ni, hati Akim berdesis sendiri.


“Err... Cuba Akim tengok kat sana tu. Cantikkan,” pantas Elya menunjukkan tangannya ke langit. Hatinya segan apabila Akim terus-terusan memandang wajahnya.


Akim menoleh ke arah yang ditunjukkan. Sungguhpun dia tahu itu hanya helah Elya untuk melarikan pandangan matanya. Hati Akim tersenyum. Tapi senyuman hatinya yang lebar bertukar kagum sebaik sahaja matanya tertancap ke dada langit.


“Wah! Cantiknya,” spontan kata-kata itu terlontar dari bibir Akim.


Akim ralit memerhatikan bintang-bintang yang bersinar di dada langit. Ada pelbagai saiz dan berbeza kecerahan bintangnya.


“Banyakkan?” tanya Elya lagi. Akim yang yang masih terpesona melihat keindahan malam itu hanya mengangguk bisu.


“Sebab tu Elya suka duduk kat sini malam-malam. Kalau Elya bosan, Elya kira bintang-bintang tu,” becok sahaja Elya bercerita.


“Oh ye ke, rajinnya Elya kira bintang. Hari-hari Elya kira bintang, berjaya kira sampai habis tak?” sengaja Akim mengusik Elya.


“Entahlah. Aunty pun tak tau dia berjaya kira sampai habis ke tak. Hari-hari kira tapi tahulah kan,” sampuk Puan Hazimah tiba-tiba. Elya dan Akim sama-sama menoleh. Kelihatan Puan Hazimah yang sedang menatang beberapa gelas minuman yang berisi air oren.


Akim tergelak kecil. Elya yang berasa disindir pantas menjelirkan lidahnya kepada Puan Hazimah. Puan Hazimah turut ketawa. Dia tahu anaknya itu cuma main-main dan tidak terasa hati.


“Elya kira sampai habis la mama,” balas Elya pula.


“Yelah tu,” ejek Puan Hazimah sambil ketawa. Kepala Elya diusapnya lembut penuh kasih sayang.


“Kamu boraklah dulu dengan si Elya ni. Aunty turun bawah kejap. Ada kerja yang perlu diselesaikan,” Akim hanya mengangguk sambil tersenyum.


“Betul ke Elya kira sampai habis?” giat Akim pula sebaik sahaja Puan Hazimah berlalu. Keningnya pula sengaja diangkat-angkat. Sengaja hendak mengusik buah hatinya itu.


“Betullah. Akim ingat Elya tipu ya. Tak main la tipu-tipu ni,” pantas sahaja Elya mempertahankan dirinya. Tidak mahu kalah dengan giat Akim dan mamanya.


“Ye ke? Kalau macam tu cuba Elya bagi tahu Akim berapa jumlah bintang yang Elya dah kira,” sengaja dia hendak mencabar Elya.


“Erm... Jap ye. Elya cuba ingat,” jari-jemarinya dilabuhkan ke dagu. Cuba memberi reaksi seolah-olah dia sedang berusaha untuk mengingati.


Akim menunggu dengan sabar.


“Hah! Elya dah ingat. Dua malam lepas ada 4000 bintang. Semalam pulak ada 3596 bintang je. Bilangan dia makin berkurangankan? Entah kenapa. Mungkin sebab ada bintang yang masuk dalam mimpi Elya tapi tak nak balik ke langit kot,” sengaja cuba untuk berseloroh.


“Eh, boleh pulak macam tu. Saja nak mengarut la tu ek?” kata Akim pula sambil ketawa. Elya juga turut ketawa.


“Mana ada,” sangkal Elya. Senyuman di bibirnya masih lagi belum sirna.


“Yelah tu. Kalau macam tu, bintang hari ni pulak ada berapa?” tanya Akim pula. Sengaja hendak melanjutkan bicara kosong Elya.


“Hari ni ada dua je,” pantas Elya menjawab. Dua jarinya pula ditayangkan di hadapan mata Akim. Wajahnya kelihatan bersungguh benar, seolah-olah cuba untuk meyakinkan Akim akan jawapannya tadi.


“Dua je?” Akim bersuara seperti tidak percaya.


“Kenapa?” tanya Akim lagi.


“Sebabnya, cukuplah dua bintang untuk kita. Satu untuk Akim dan satu lagi pulak untuk Elya. Banyak-banyak nanti tak tersimpan pulak kita,” ucapan Elya sarat dengan makna yang tersirat. Sarat dengan hantaran rasa hati yang cuba disampaikan secara halus kepada Akim. Moga Akim faham.


BERSAMBUNG

------------------------------------------------------------------------

Salam buat semua,

Moga terhibur dengan cerita bersiri terbaru daripada Lea.
Sekian, terima kasih.


Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino