Product from Adobe

Khamis, Oktober 16

Air Mata Hati Bab 8


“Alah sayang.. Kita nak pergi honeymoon. Kenapa nak bawak laptop pulak”, rungut Fakrul ketika melihat Ezani menjinjit laptopnya untuk dibawa bersama.

“Zani kenalah bawak abang. Mana tahu anak-anak buah Zani perlukan Zani waktu Zani tak ade nanti”, jawab Ezani. Ada nada memujuk di situ.

“Abang bawak sayang pergi honeymoon bukan nak tengok sayang buat kerja. Abang nak sayang bagi full concentration pada abang”, balas Fakrul dalam nada tidak puas hati.


“Ok gini. Abang benarkan Zani bawak laptop ni and Zani janji pada abang yang abang takkan perasan pun bila Zani on laptop ni. Boleh?”, Ezani cuba tawar-menawar dengan suaminya.


“Ok fine. Tapi kalau sayang mungkir janji, sayang tau kan apa yang abang akan lakukan?”, Fakrul masih lagi mengingatkan akan ugutannya tempoh hari.


“Walaupun contact guna phone. Abang tak nak dengar sayang cakap fasal kerja. Tau?!” sambung Fakrul lagi.


“Ye bang. Zani janji”


“Alah.. janganlah guna Zani lagi..
Hanna la”, rengek Fakrul lagi.


“Ya Allah.. kenapa suami Hanna ni manja sangat ni? Hmm?”, ingin sahaja disambung “abang nak Hanna mati ke? Mati penat layan kerenah abang..”. Tapi Ezani tak mahu ambil risiko. Bimbang suaminya itu berkecil hati lagi. Sabar jelah hati. Manja suaminya yang berlebihan ini kadangkala menyebabkan Ezani makan hati sendirian.


Fakrul hanya tersenyum senang mendengar leteran ringkas Ezani itu.


Setibanya mereka di Tokyo, Jepun Ezani memberikan sepenuh perhatiannya kepada Fakrul. Segala kehendaknya diturutkan sahaja. Bahagia menyelubungi perasaan mereka berdua. Sudah empat hari mereka menikmati cuti bulan madu yang sangat indah di Jepun. Fakrul perasan kesihatan Ezani agak kurang memuaskan. Kadangkala Ezani kelihatan sangat pucat. Namun begitu bibir yang pucat itu masih lagi mengukir senyuman yang manis buat dirinya. Sungguhpun hatinya senang dengan senyuman Ezani namun hatinya dijerut bimbang. Pernah disuarakan kebimbangannya itu kepada isterinya.


“Sayang, kenapa bibir sayang pucat sangat ni?”, tanya Fakrul lembut setibanya mereka di bilik hotel selepas pulang dari Disneyland. Dioles-oles bibir isterinya menggunakan jari.


“Eh mana ada”, Ezani cuba mengelak untuk menjawab soalannya.


Raut wajah Ezani Fakrul renung tajam.


“Erm.. perubahan cuaca kot”, Ezani cuba memberikan suatu jawapan yang logik. Ezani tahu, selagi Fakrul tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikannya. Selagi itulah Fakrul akan menagih jawapan darinya.


“Betul ke?”, Fakrul masih meragui jawapan isterinya.


“Betul. Kenapa pula sayang nak tipu abang..”, sengaja ditekankan pada perkataan betul. Moga Fakrul tidak banyak bertanya lagi.


Terus Fakrul mencium-cium pipi isterinya. Kemudian beralih ke dahi, pipi dan akhirnya bibirnya singgah lembut ke bibir isterinya. Lama bibirnya disitu. Ezani membalas lembut.


Hari ini telah genap empat hari mereka berada di Tokyo. Pagi itu Fakrul hanya memesan sarapan ke bilik. Fakrul dan Ezani menikmati sarapan mereka sambil berbual-bual.


“Sayang, hari ni abang tak nak pergi mana-mana. Abang nak bersama sayang je hari ni tau”, Fakrul mula merengek untuk dilayan. Ezani hanya tersenyum pada Fakrul. Mereka terus menghabiskan masa berdua di bilik. Tiba waktu makan tengah hari, Fakrul akan membuat tempahan melalui perkhidmatan room service. Ezani dilayan seperti seorang puteri sepanjang hari itu.


Perlahan-lahan tangan Fakrul dialihkan. Rambut suaminya diusap perlahan dan kemudian suatu kucupan singgah di dahi suaminya. Nyenyak betul tidur suaminya itu persis seorang bayi lagaknya.

Fakrul terasa ada ciuman terpahat di dahinya. Matanya terbuka sedikit.


“Sayang nak pergi mana?”, tanya Fakrul dengan suara yang serak akibat baru bangun tidur. Jam di dinding dikilas sebentar. Pukul tiga pagi.


“Abang tidurlah. Sayang nak pergi bilik air sekejap”, balas Ezani lembut.


Fakrul mengangguk sedikit tanda faham lalu disambung semula tidurnya. Ezani menarik selimut hingga menutupi dada suaminya. Sekali lagi ciuman terpahat di dahi suaminya.


“Hanna cintakan abang”, kata Ezani perlahan.


Perlahan-lahan Ezani menjinjit laptopnya masuk ke dalam bilik air. Pintu bilik air ditutup perlahan. Bimbang mengganggu tidur suaminya. Laptopnya diletakkan di atas batu dihujung kaki tab mandi. Lalu Ezani masuk ke dalam tab mandi dan memulakan tugasnya. Hasil maklum balas yang diterima daripada anak buahnya perlu dilakukan analisis secepat mungkin. Bimbang jadual latihan untuk tahun hadapan lambat dikeluarkan. Setiap analisis latihan tersebut dilakukan dengan penuh teliti. Bimbang sekiranya berlaku sebarang kesilapan maka keputusan pemilihan latihan yang bakal dijalankan nanti akan tersasar. Bimbang akan memberikan kerugian kepada pihak syarikat. Mungkin bagi sesetengah pihak, unit latihan ini adalah suatu unit picisan yang tidak ada nilainya. Sebenarnya unit latihan merupakan nadi dalam kejayaan sesebuah organisasi. Sekiranya latihan yang diberikan itu adalah salah maka latihan yang dijalankan tersebut tidak mungkin mampu memberikan impak yang positif terhadap produktiviti syarikat. Menyedari akan kesan tersebut terhadap syarikat maka Ezani melakukan tugasnya dengan penuh tekun dan amanah.


Mujur juga syarikatnya menjalankan analisis keperluan latihan secara kelompok jawatan. Ini bermakna, setiap jawatan yang terdapat di dalam syarikatnya akan dikelompokkan mengikut persamaan kepada tanggung jawab hakiki. Oleh itu kuranglah sedikit bebanan tugas untuk melakukan analisis memandangkan bilangan anak buahnya yang berada di dalam Unit Latihan hanyalah enam orang. Jika syarikatnya melakukan analisis jawatan, alamatnya tempoh enam minggu yang diberikan oleh pihak pengurusan adalah tidak mencukupi.


Fakrul meraba tempat kosong disebelahnya dengan mata yang masih terpejam. Niat dihati ingin meraih Ezani ke dalam pelukannya. Namun, di mana Ezani? Sudah pukul berapa ni? Dalam pandangan mata yang masih kabur, Fakrul merenung jam di dinding. Enam setengah pagi. Mana Hanna? Takkan masih lagi berada di bilik air? Buat apa lama-lama di bilik air.


“Sayang..”, panggil Fakrul perlahan.
Namun tiada sahutan dari Ezani. Fakrul mula berasa bimbang. Ke mana Ezani? Fakrul bingkas. Baju tidurnya diikat kemas. Tempat pertama yang ditujunya adalah bilik air. Fakrul dapat melihat biasan cahaya dari dalam bilik air tersebut.


“Sayang..”, panggil Fakrul lagi. Namun panggilan tersebut masih lagi tiada sahutan.
Dengan menggunakan satu jari Fakrul menolak sedikit pintu bilik air tersebut. Tidak berkunci. Terus pintu bilik air itu ditolak kuat. Kelihatan Ezani yang telah terlentok di dalam tab mandi dengan tanggannya memegang beberapa helai kertas. Laptop dihadapannya juga masih terbuka.


“Ya Allah”, Fakrul menutup mulutnya. Fakrul mengambil sehelai kertas yang berada di sebelah laptop tersebut lalu dibacanya perlahan.

Catatan:
Progress pada 16 hingga 19 November – Selesai ikut jadual.


16 November. Fakrul berkira-kira sendiri tarikh tersebut di dalam kepalanya. Itu tarikh mereka tiba disini. Apakah makna semua ini? Adakah setiap malam ketika dirinya sedang nyenyak tidur, Ezani curi-curi menyelesaikan tanggungjawabnya terhadap kerja yang tertangguh?


Ya Allah.. Sayang?! Apa yang abang dah lakukan pada sayang? Fakrul baru tersedar akan sikap penting dirinya terhadap Ezani. Teringat akan ugutannya terhadap Ezani sebelum mereka menjejakkan kaki di bumi yang terkenal dengan bunga Sakura ini. Teringat janji Ezani pada dirinya. Sampai begitu sekali Hanna sayangkan abang.


Maafkan abang sayang. Abang lupa yang sayang juga ada tanggungjawab lain pada tugas sayang.
Abang lupa pendirian sayang yang tidak suka melakukan tugas sambil lewa. Abang hanya pentingkan diri. Maafkan abang sayang. Fakrul menyesali segala tindakannya kini.


Niat dihati ingin menggembirakan hati isterinya. Rupa-rupanya dirinyalah punca Ezani menderita selama ini. Maafkan abang sayang..


Perlahan kepala Ezani yang terlentok itu diusapnya. Namun baru sahaja tangannya menyentuh dahi Ezani, tapak tangannya terus ditarik kembali. Panasnya.. Ezani demam!


“Sayang.. bangun.. Kenapa tidur di sini..?”, tanya Fakrul perlahan sambil menepuk-nepuk lembut pipi isterinya. Namun Ezani langsung tidak memberikan sebarang respon.


“Sayang.. bangun.. Jangan buat abang risau macam ni”, Fakrul berkata-kata lagi. Melihatkan Ezani yang masih lagi kaku di situ Fakrul mula panik. Rasa risau mula bergulung-gulung di dalam diri. Serasa bagaikan ingin pecah dadanya menahan rasa risau yang menjengah. Pelbagai telahan buruk muncul dibenaknya. Ya Allah janganlah diapa-apakan isteri ku ini. Pantas tubuh Ezani yang kecil itu dicempung lalu dibawa menuju ke katil.


“Sayang..”, tidak henti-henti Fakrul memanggil isterinya. Hati Fakrul tidak tahan lagi melihat keadaan Ezani yang sebegitu. Lantas tangannya mendail ke meja reception dan meminta supaya dihantar seorang doktor ke biliknya.


“Sayang.. bangunlah.. Jangan buat abang risau”, panggilannya itu hanya sia-sia belaka. Ezani masih belum sedarkan diri. Menitis jua akhirnya air matanya.


Lima minit kemudian, kedengaran loceng pintu. Tergesa-gesa Fakrul membukakan pintu tersebut dan meminta doktor tersebut supaya merawat Ezani. Setelah diberikan satu suntikan, Ezani akhirnya membuka mata. Perkara pertama yang singgah di penglihatan Ezani adalah wajah suram dan risau suaminya. Bersama-sama suaminya itu terdapat satu wajah asing. Ada steteskop yang tergantung di lehernya. Mungkin doktor telahan hati Ezani. Tidak lama kemudian mata Ezani kembali terpejam. Berat sekali matanya dirasakan pada waktu itu.


“Tidurlah sayang”, Fakrul berbisik lembut ke telinganya. Kata doktor tersebut, Ezani pengsan akibat kurang rehat. Demamnya akan kebah setelah diberikan rehat yang sempurna. Beberapa perskripsi ubat juga telah diberikan oleh Doktor Takeshi sebelum meninggalkan bilik tersebut. Sebelum pulang, Doktor Takeshi berpesan sekali lagi supaya memberikan Ezani rehat yang secukupnya. Fakrul mengangguk tanda faham.


Percutian yang disangka bakal membuahkan bahagia rupa-rupanya menjerut tangkai hatinya. Ya Allah! Kenapa lain yang aku harapkan tetapi lain yang jadinya? Di mana silapnya aku oh Tuhan? Fakrul teringat keadaan Ezani semasa sakit di Jepun dulu.


“Abang ampunkan Hanna. Hanna dah janji Hanna takkan biarkan abang nampak Hanna dengan kerja pejabat sepanjang kita disini. Ampunkan Hanna”, dalam keadaan yang masih lemah Ezani mencapai tangan Fakrul lalu mengucupnya perlahan tanda meminta ampun.


“Abang janganlah tak makan ye.. Hanna risau kalau abang sakit”, kata Ezani lagi dalam nada yang sayu. Demi Allah, sungguh Ezani takut andai Fakrul menunaikan ugutannya sebelum mereka berangkat ke Jepun dahulu. Teringat segala-gala janjinya pada Fakrul. Ya Allah bersalahnya aku.


Hampir menitis air mata Fakrul mendengarkan kata-kata isterinya itu. Dalam keadaan yang sakit dan lemah itu, Ezani masih lagi memikirkan akan kebajikannya. Ya Tuhan, berdosanya aku. Perlahan Ezani didekati. Badan Ezani dirangkul lembut tetapi kejap. Sekejap hatinya kini yang terikat bersama hati isterinya itu.


“Shh.. sayang. Dengar sini, sayang tak perlu minta maaf. Abang yang salah. Abang terlalu pentingkan diri. Cinta abang buat sayang telah menjadikan abang tamak. Abang tamakkan perhatian sayang. Abang tak mahu kongsi perhatian sayang dengan sesiapa pun. Walaupun pada kerja sayang. Abang takut untuk rasa terpinggir”, jelas Fakrul. Ezani mendongakkan wajahnya. Matanya merenung lembut ke wajah Fakrul.


“Selama ini abang rasa terabai?”, tanya Ezani lembut. Sungguh hatinya rasa bersalah andainya suaminya itu berasa begitu.


“Tak. Abang tahu sayang tak pernah mengabaikan abang tapi hati abang tetap tak dapat terima bila abang sedar selain abang ada lagi perkara lain yang menjadi priority sayang”, balas Fakrul pula.


Terkedu sebentar Ezani mendengar kata-kata Fakrul. Hati Fakrul tak dapat terima? Maknanya Fakrul tak redha. Jika Fakrul tak redha maksudnya aku berdosa. Apa yang perlu aku lakukan?


“Abang nak Hanna letak jawatan ke?”, tanya Ezani setelah beberapa detik berfikir. Jika diikutkan hatinya, Ezani tidak sanggup melepaskan jawatannya. Kerjanya. Cita-citanya. Minatnya. Namun demi cinta hatinya ini Ezani sanggup melakukan apa sahaja. Asalkan Fakrul berbahagia. Itu adalah tekadnya.


Fakrul pantas menggelengkan kepalanya tanda tidak bersetuju dengan pertanyaan Ezani itu. Tidak. Dia tidak mahu merebut satu lagi kebahagiaan Ezani. Dirinya tahu Ezani sangat gembira dengan pekerjaanya sekarang. Aku tidak boleh mementingkan diri lagi sekarang, desis hatinya. “Abang tak mintak sayang berhenti kerja. Cuma abang harap sayang tak akan lupakan abang bila dah khusyuk bekerja”.


“Err.. tapi abang macam tak redha”


Fakrul meletakkan dua jarinya dibibir Ezani. Tidak mahu Ezani terus bersuara. “Abang redha sayang. Jangan risau. Cuma..”, tengok, mesti nak ada cuma.. cuma.. tak redha lah tu.


“Cuma apa bang?”, tanya Ezani tidak sabar. Lama sungguh rasanya perkataan cuma itu tergantung begitu sahaja.


“Cuma sayang janganlah layan si Iqram dengan Zayed tu lebih-lebih. Abang cemburulah”, ketawa Ezani mendengarkan butir bicara yang keluar dari bibir suaminya itu. Itu yang dirisaukan suaminya rupanya. Hehe.. Pandai jugak cemburu suami aku ni eh?
Desis hati Ezani nakal.


“Lah itu rupanya. Apalah abang ni?
Zani kan dah kahwin dengan abang. Kalau Zani layan diorang pun nak buat apa. Bukan boleh buat madu abang pun”, terdengar ketawa halus Ezani dihujung kata-katanya. Sengaja ingin melihat reaksi suaminya.


“Ha.. tengok.. tengok.. Baru je cakap nama Iqram dengan Zayed. Sayang dah bahasakan diri Zani. Bukan Hanna. Kan betul abang cakap. Kenapa sayang dah tergoda ke dengan Zayed dan Iqram tu? Sampai hati Zani nak madukan abang. Handsome sangat ke diorang tu?”, ketawa besar Ezani mendengarkan ayat Fakrul itu. Ada ke patut? Aku mana boleh nak madukan dia. Dia madukan aku bolehlah! His.. simpang malaikat empat puluh empat. Tak nak aku dimadukan..


Bengang aje Fakrul melihat Ezani yang seronok mengetawakan dirinya. Hatinya sarat dengan rasa cemburu. Rasa macam nak dicium-cium saja bibir Ezani itu. Tak payah lepas-lepas. Supaya puas hatinya. Tak sanggup mendengar ulas bibir isterinya itu menyebut nama lelaki lain selain dirinya.


Ketawa Ezani masih sarat. “Memang handsome pun diorang tu bang”, tajam mata Fakrul merenung Ezani yang masih ketawa. Renungan itu lebih merancakkan lagi ketawa Ezani. Rajuk Fakrul itu betul-betul menyegarkan dirinya yang terasa lemah tadi.


“Tapi..”, sengaja Ezani buat-buat suspen. Muka Fakrul turut penuh tanda tanya.


“Tapi apa?”, Fakrul semakin tidak sabar.


“Tapi abang jangan risaulah. Walau pun abang ni tak handsome tapi sayang takkan beralih pada orang lain. Paling-paling pun minat-minat gitu jer”, Ezani masih lagi ingin mengusik.


“Au.. Aah.. sakit lah abang ni”, jerit Ezani bila tangan Fakrul mencubit pipinya. Kuat. Alamatnya merahlah pipi aku.


Huh! Puas hati aku. Suka-suka je dia nak sakat-sakat aku eh? “Padan muka”, ejek Fakrul.


Hehe.. Macam kanak-kanak la suami aku ni. Pipinya yang masih pijar digosoknya perlahan. Ezani tidak marah kerana Ezani tahu dirinya juga bersalah kerana menyakat suaminya begitu. Perlahan-lahan Fakrul memegang tangan Ezani yang asyik menggosok pipinya yang merah. Fakrul tunduk menciup pipi Ezani yang merah akibat cubitannya tadi. Lama. Ezani pejamkan matanya.


“Sakit lagi sayang?”, tanya Fakrul setelah menjarakkan wajahnya. Ezani hanya menggeleng.


“Abang, walau apa pun yang berlaku sayang tetap takkan berpaling dari abang. Selagi abang perlukan sayang. Selagi khidmat sayang abang ingini. Selagi itulah sayang akan berada disisi abang”, terharu Fakrul mendengarkan kata-kata isterinya itu. Sungguh tidak disangka.


“Abang, kalau satu hari nanti abang rasa macam dah tak boleh nak redha dengan pekerjaan sayang. Abang bagi tahu Hanna ye. Hanna akan meletak jawatan secepat mungkin. Walau Hanna sayangkan kerja Hanna tapi Hanna cintakan abang lagi. Selamanya. Walaupun abang bukan bersama Hanna lagi”, pantas Fakrul berpaling melihat wajah Ezani. Kenapa Ezani cakap macam tu?


“Kenapa sayang cakap macam tu?”


“Abang, macam yang Hanna katakana dulu. Seandainya tiba-tiba hati abang menginginkan Nina kembali. Teruskanlah bang. Hanna rela. Tiada lain yang Hanna harapkan melainkan Hanna ingin melihat kebahagian memenuhi hidup abang. Bukan penderitaan. Derita abang biar Hanna yang tanggung. Bahagia Hanna abang ambillah. Cuma pada waktu itu, Hanna harapkan supaya abang lepaskan Hanna”, tulus Ezani menuturkan katanya. Mengalir air mata Fakrul mendengar bait bicara itu. Lembut tetapi begitu menusuk hati.


“Sayang, jangan ungkit fasal Nina lagi boleh?”, pinta Fakrul.


Ezani tersenyum sambil mengusap lembut pipi Fakrul yang basah dengan air mata. “Baiklah abang. Tetapi abang ingat ye kata-kata Hanna tadi. Insyaallah Hanna akan tunaikannya”.


Terasa ada air hangat yang menodai wajahnya Fakrul tersedar. Ya Allah! Aku menangis rupanya. Tulus benar hatimu sayang. Semoga jodoh dan bahagia kita berkekalan sayang. Doa Fakrul dalam hati. Gambar Ezani yang berada di atas mejanya diambil dan dicium perlahan. Hanna, abang cintakan sayang! Jerit hati Fakrul.

----------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

2 komen yang diterima:

dina on 16 Januari 2009 pada 5:09 PTG berkata...

aduhh... kalaulah ada wanita sesetia Ezani... part ni sangat romantik, tapi kan, sis agak tak ngam dengan panggilan 'sayang' itu diucap berkali-kali. tapi watak ezani itu memang comel gile... bila baca watak ezani sis terbayang2 diri sndiri lak...huhuhuu

dixie dollz on 5 November 2009 pada 1:46 PTG berkata...

walawaeyyyyy~
manja tul la fakrul ni haha

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino