Product from Adobe

Isnin, Januari 18

Qaisara



Angin semilir petang menyapa lembut tubuh Qaisara yang sengaja dibiarkan terdedah.  Biarkan sahaja!  Dirinya memang tidak berharga lagi.  Lalu untuk apa dia berpura-pura seolah dirinya itu tinggi nilainya.  Matanya asyik memerhatikan insan yang sibuk lalu lalang di hadapannya dan langsung tidak mengendahkan dirinya.  Ah!  Aku bagai tidak kelihatan di sini...

Qaisara bangkit dan kembali melalui lorong durjana itu.  Lorong jijik yang pada ketika ini kelihatan begitu sepi.  Diperhatikan persekitaran lorong yang dijalaninya kini.  Hanya sebuah lorong gelap yang agak kotor kerana dipenuhi oleh pelbagai jenis sampah.  Dia teringat kata-kata teman ‘sepermainannya’ dulu yang telah lama pergi.  “Di lorong ini kita mampu melihat pelbagai jenis sampah.  Baik sampah hasil perbuatan manusia mahupun sampah masyarakat seperti kita.  Ternyata kita kini berada di tempat yang sangat sempurna buat kita.  Memang selayaknya kita di sini.”

Benarkah begitu?  Adakah di sini tempatku buat selamanya?  Adakah nasib aku juga akan menjadi seperti tubuh terbiar yang lesu lagi kaku di kaki-kaki lima lorong ini?  Beginikah penamatnya hidup aku ini?  Qaisara meraba keseluruhan wajah serta tubuh badannya.  Rambut yang sebelumnya begitu cantik menghiasi dirinya telah bertukar kusam serta sedikit berserabai.  Sama seperti gambaran hati dan jiwanya kini.

“Kau yakin dengan keputusan ini?  Keputusan ini ibarat sebuah jalan sehala.  Sekali kau melaluinya tiada lagi peluang untuk kembali ke asalnya...”  Terlayar di ruang ingatannya kisah yang telah berlaku hampir sepuluh tahun yang lalu.  “Kau jangan bimbang.  Aku tahu jiwa aku.  Aku yakin inilah jalan yang aku mahu.  Jalan yang mampu membahagiakan aku.  Dan, aku pasti aku tidak akan sesekali menyesali dengan keputusan ini.”

Ya.  Itulah keyakinan yang menyelimuti diri ini.  Keyakinan yang sentiasa membuatkan diri ini sanggup menghadapi apa saja demi mengecapi bahagia yang selama ini dirasakan bagaikan syurga tetapi rupa-rupanya hanyalah bayangan yang menariknya untuk melangkah ke lembah kehancuran.  Dek kerana terlalu terpesona akan kilauan noda itu dirinya sanggup untuk melalui segala kepedihan serta kelukaan yang sakitnya tidak terkira.  Namun tetap ditabahkan hatinya semata-mata untuk mengecapi racun yang selama ini disangkanya madu.

Dahulu langsung tidak pernah terlintas di benaknya akan perkara itu semua.  Namun apabila seorang demi seorang sahabat ‘sepermainannya’ tewas di medan ini, dirinya mula menyedari bahawa tidak lama lagi dirinya juga bakal mendapat gelaran ‘mayat hidup’ seperti mereka-mereka ini semua.

Ah! Seandainya aku mahu melangkah keluar dari lorong sampah ini masih adakah ruang di bumi ini yang layak untuk aku tumpangi?  Qaisara menyapu lembut pipinya yang sudah mula terbit jerawat-jerawat batu.  Kesan sampingan kerana dia telah mengabaikan pengambilan bahan rutinnya itu.  Kenapa aku kini tidak gelabah lagi sedangkan dahulu sekiranya muncul hanya satu titik hitam di wajah cantiknya itu, dia pasti tidak betah untuk menahan.  Jiwanya kacau selagi wajahnya itu belum pulih menjadi sempurna seperti kebiasaannya.  Mungkin semuanya ini sudah tidak bermakna bagi dirinya lagi.

Terbayang jelas wajah hampa ibu dan wajah bengis ayah tatkala dirinya menyatakan keputusan serta pendiriannya.  “Astaga!  Apa nak jadi dengan kamu ni?  Sudah hilang pedoman atau sudah tiada agama lagi?  Usah didekati setiap larangan oleh-Nya.  Perit azabnya nanti.”  Ya, benar seperti apa yang dikatakan ibu.  Aku kini belum lagi menjejak ke alam barzakh tetapi keperitannnya sudah mula ku rasai.  Masih ada pengampunankah untuk ku?  Aku telah membuang ‘aku’ dan terus hidup bersama Qaisara yang penuh dengan noda dan palitan dosa.

Sayup-sayup kedengaran laungan azan.  Matahari pula semakin segan untuk menampakkan dirinya hingga menjadikan keadaan alam yang sebelumnya cerah kini beransur-ansur gelap.  Qaisara kini sudah sampai ke penghujung lorong jijik ini.  Dia terjelopok di situ lalu dihamburkan air matanya tanpa menghiraukan pasang-pasang mata yang memandang pelik akan dirinya.  Ada yang berlari tatkala melihat keadaan dirinya dan ada juga yang berbisik-bisik sesama sendiri.  Namun itu semua tidak menjadi bekas pada dirinya.  Rasa yang semakin mencengkam dalam dirinya ini semakin menyeksakan dada.  Membuatkan jiwanya bertambah merana.

Seruan ke jalan kebenaran itu masih lagi kedengaran tetapi kali ini terus menusuk dalam isi hatinya.  Akalnya bagaikan panik.  Apakah yang harus aku lakukan kini?  Dan, demi menzahirkan rasa hatinya itu Qaisara menangis, menangis dan terus menangis lagi sehingga akhirnya dia rebah sendiri dan tidak sedarkan diri.

Bip... Bip... Bip... Bunyi mesin penyambung hayat terus memenuhi kamar sepi itu.  Ruang kamar itu menjadi saksi kepada sekujur tubuh yang kini tidak lagi mampu bergerak seperti dahulu.  Kerusi tetamu yang sentiasa berada di sisi katil putih itu juga langsung tidak pernah dihinggapi oleh mana-mana punggung tetamu sejak sekujur tubuh itu terbaring di situ hampir lapan bulan yang lalu.

Irama mesin penyambung hayat yang semakin rancak dan tidak teratur telah menarik para doktor dan jururawat untuk mengerumuni tubuh lesu itu.  Pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan kembali irama itu seperti sebelum ini.  Namun seperti mana laluan yang dipilih oleh Qaisara sendiri, segalanya tiada jalan untuk berpatah balik lagi.

Sedang para doktor dan jururawat cemas menjalankan tugas.  Tanpa mereka sedari di ambang pintu kamar sepi itu muncul seorang tua yang berjubah serta berserban putih.  Perlahan-lahan dia mendekati Qaisara. 

“Sekarang sudah tiba masa mu, marilah kamu mengikut aku wahai orang muda.”

“Nanti dulu!!  Berikan aku sedikit masa lagi.  Berikan aku peluang untuk kembali ke pangkal jalan.  Setelah itu baru aku akan mengikut kamu, wahai orang tua.”

“Tidak boleh, wahai orang muda.  Masa yang telah dijanjikan kini telah tiba.  Tiada sesiapa yang mampu menunda atau mempercepatkannya...”

“Tapi aku belum bersedia.  Masih banyak lagi perkara yang harus aku selesaikan.  Tolong berikan aku peluang kedua,” rayu Qaisara pada orang tua itu lagi.

“Maaf.  Masa mu kini telah tiba.  Marilah ikut aku pergi...”

Tuuuttttt...  Akhirnya irama penamat telahpun bergema.  Menandakan bahawa sekujur tubuh kaku itu kini sudah tiada lagi hayatnya.  Selimut putih ditarik hingga tutup kepalanya.

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.  Dan, bahawasanya kamu akan disempurnakan pahalamu di hari kiamat.  Lalu siapa sahaja yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan dalam syurga itulah dia orang yang beruntung.  Tidak ada kehidupan dunia kecuali kesenangan yang menipu.

Wahai Qarim bin Kalsom... Ingatlah janji yang kamu keluar atasnya dari dunia hingga akhirat iaitu: persaksian tiada tuhan selain Allah dan nabi Muhammad S.A.W itu adalah pesuruh Allah.  Dan sesungguhnya mati adalah benar, alam kubur adalah benar, kenikmatan dan seksa di dalamnya adalah benar, pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir adalah benar, kebangkitan darinya adalah benar, perhitungan yang hisab adalah benar, syafa’at nabi Muhammad S.A.W adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, pertemuan dengan Allah bagi ahlinya adalah benar.

Bahawasanya Allah membangkitkan orang-orang ahli kubur .  Sekarang kamu berada di alam barzakh.  Alam di antara dunia dengan akhirat.  Maka apabila malaikat Mungkar dan Nakir yang telah ditugaskan oleh Allah menemui kamu, janganlah kamu menjadi terkejut ataupun gentar kerana keduanya adalah makhluk biasa seperti kamu dari sekian makhluk-makhluk Allah.

Ketika mereka berdua bertanya kepada kamu: Siapakah tuhanmu?  Siapakah nabimu?  Apakah agamamu?  Apa kiblatmu?  Dan, apa pula pemimpinmu?  Dan, siapakah saudaramu?  Maka jawablah dengan tegas dan jelas serta meyakinkan: Allah adalah tuhanku; Muhammad adalah nabiku; Islam adalah agamaku; ka’abah adalah kiblatku; kitab al-Quran adalah pemimpinku; dan kaum muslimin, muslimat serta mukminin dan mukminat adalah saudara-saudaraku sehingga dihidupkan kembali.  InsyaAllah kamu termasuk orang-orang yang aman, selamat.  Dan semoga Allah memperkukuhkan kamu dalam pengucapan yang tetap  “Asy ha du anal ilahaillallah wa asy ha du an na muhammadar rasulullah.”

Allah mengukuhkan dengan orang-orang yang beriman dengan ucapan yang kukuh “Asy ha du anal ilahaillallah wa asy ha du an na muhammadar rasulullah.”  Di dunia dan di akhirat.

Wahai jiwa yang tenang pulanglah ke hadrat tuhanmu dengan gembira dan diredhai, masuklah dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuk pula dalam syurgaKu.” 

Setelah semuanya selesai, seorang demi seorang yang mengiringi Qaisara tadi pergi meninggalkan Qaisara seorang diri dengan debaran di dada.  Dan, tatkala lima langkah telah berlalu maka hadirlah malaikat Mungkar dan Nakir untuk meneruskan tugasan mereka.

~ Al-Fatihah...

 p/s: opss! sudah lama kan Lea tak menulis cerpen... jadi untuk cerpen kali ni sesungguhnya dan sejujurnya Lea berasa sangat gemuruh untuk publish... bimbang akan reaksi rakan-rakan pembaca sekalian.. hehe... sbnrnya Lea tulis cerpen ni sepenuhnya sewaktu Lea berada dalam bas semasa Lea dalam perjalanan pulang ke Penang dari Ipoh... Dalam keadaan yang sangat-sangat mengantok sebab pagi tadi Lea hanya dapat tidur pukul 4 pg.. hehe.. apa pun Lea nantikan komen dan teguran rakan-rakan sekalian ye...sekiranya ada kesilapan dan kekurangan tu harap dimaafkan.. tq..



4 komen yang diterima:

keSENGALan teserlah.. on 18 Januari 2010 pada 1:11 PTG berkata...

whoaa..
nie cite ttg laki jadik pompuan ekk?
ngaaaaaa..seram plak bce..
hurmm..tak smpt nk ke pgkl jalan..
best2..

Kiara on 18 Januari 2010 pada 10:04 PTG berkata...

ya Allah,,
igtkn prmpuan td,,
rupa2nya lelaki jadi prmpuan..
qarim jadi qaisara..
ish3x

nin berkata...

simple.. tp still de mesej..

-Ain-Dak In- on 5 Februari 2010 pada 11:52 PG berkata...

wooooooooooo..
ku pikirkan pompuan...
rupa2 nya lelaki..
waaa..
tkotnye..
beliau x sempat bertobat..
kasihan sguh..

comelnye blog wani..

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino