Product from Adobe

Ahad, September 27

Cerpen: Titik Hitam


Syukri melengung sendirian sambil menghadap ke luar jendela rumah. Begitulah keadaannya semenjak peristiwa hitam itu berlaku hampir tujuh tahun yang lalu. Hilang sudah sifat ceria dan gila-gila yang menjadi darah dagingnya selama 30 tahun dia hidup di muka bumi ini. Sesekali dia menekup telinga dan matanya seolah-olah cuba untuk menghalang figura tujuh tahun lalu kembali menghantui dirinya. Setiap kali kenangan itu menjelma, dadanya berasa seolah-olah hendak meletup. Rasa menyesal serta tidak berdaya benar-benar menghenyak jiwanya sehinggakan dia merasakan dirinya hampir separuh gila. Air matanya tidak lagi pernah mengalir sejak dari peristiwa itu. Yang tinggal kini hanyalah sekeping hati yang telah lama mati serta sebuah kehidupan yang tiada lagi bererti.

***

“Abang, tunggulah Mai!” Jerit Maisarah dari belakang.

Syukri menjadi semakin seronok tatkala melihat Maisarah yang seakan tercungap-cungap kerana tidak mampu mengejar lariannya. Syukri pasti, sebentar lagi buah hati pengarang jantungnya itu pasti akan mula merajuk. Muncung bibirnya akan dikeluarkan panjang sedepa sebelum gadis ayu itu akan bertindak seolah-olah tidak ingin mengendahkan dirinya. Sengaja dia berkelakuan begitu demi mengundang rajuk si kekasih hati, semata-mata untuk menikmati wajah comel Maisarah ketika merajuk. Entah mengapa hatinya begitu terpikat akan raut wajah itu.

“Abang!” Jerit Maisarah lagi. Namun, demi melihat langkah kaki Syukri yang masih lagi enggan berhenti, Maisarah lantas menyambung, “tak nak berhenti sudahlah...”

Demi mendengarkan kata-kata Maisarah itu, lantas Syukri berpaling bersama sekuntum senyuman di bibir. Segalanya seperti yang telah diduga. Perlahan-lahan langkah diatur mendekati Maisarah yang sedang duduk di bawah sepohon kelapa yang rendang sambil membetulkan urat-urat rambut yang meliar di wajahnya akibat ditiup lembut bayu laut.

Dia melabuhkan punggungnya rapat dengan Maisarah. Namun disebabkan oleh rajuk yang masih bersarang di hati, Maisarah hanya membiarkan sahaja kehadiran Syukri di sisinya.

“Marah lagi?” tanya Syukri sambil merangkul lembut bahu Maisarah.

“Siapa yang marah?” balas Maisarah acuh tak acuh.

“Habis tu, merajuk?” Syukri melanjutkan lagi pertanyaannya. Sudah geharu cendana pula. Sudah semestinya dia tahu namun sengaja ingin bertanya. Hatinya tersenyum bahagia.

“Mai marahkan abang lagi ya? Dah tak sayangkan abang?” kali ini sengaja dilirihkan suaranya untuk menduga hati si kekasih. “Yelah, abang sedar siapa diri abang ni. Rupa pun tak ada, harta jauh sekali. Dulu bahagia juga hati abang sebab ada yang sudi sayang tapi sekarang ni pandang wajah abang pun Mai dah tak sudi. Mungkin...”

Belum sempat Syukri menghabiskan kata-katanya telinganya tiba-tiba disapa esakkan halus. Pantas dia berpaling. Wajah Maisarah yang lencun dengan air mata menjadi santapan matanya.

“Aik, menangislah pulak.” Ketawa halus mengiringi kata-katanya Syukri itu. “Tak comellah kalau macam ni,” tambah Syukri lagi.

Maisarah menjeling tajam. Bukan dia ingin memujuk tetapi makin mengusik pula dia. MaIsarah geram. Syukri pula masih lagi tersengih. “Sayang ni mudah sangat menangislah,” kata Syukri yang masih lagi tersenyum. Lantas dieratkan pelukan di bahu Maisarah.

Pada mulanya Maisarah cuba untuk mengeraskan diri namun lama-kelamaan dia sendiri hanyut dalam kehangatan pelukan Syukri itu. Kepalanya dilentokkan ke bahu Syukri. Tangannya pula perlahan-lahan mengusap lembut tangan kanan Syukri.

“Ni, dekat sini... Mai kalau boleh nak mati kat sini,” ucap Maisarah tiba-tiba sambil mengusap lembut lagi tangan Syukri.

Syukri menoleh. Dia terpinga seketika. “Mengarutlah Mai ni...” balas Syukri.

“Betul. Mai nak mati kat sini”

***
“Arghh!! Diam! Diaaamm!” Jerit Syukri sambil menekupkan telinganya. Dengan hamburan air mata yang membasahi wajah, Syukri bangkit dari tempat yang didudukinya. Dia berjalan ke sana, ke mari. Matanya pula meliar seolah-olah mencari sesuatu. Dipandangnya pula ke arah meja solek yang berada tidak jauh dari tempatnya berdiri. Kosong. Ke mana menghilangnya sikat tajam dan halus yang sering digunakannya itu?

“Mana? Manaaa?!” Jerit Syukri lagi.

Jerit lolong Syukri itu telah menjemput Puan Faridah untuk menjenguk keadaan anak lelakinya itu. “Kenapa ni nak?” tanya Puan Faridah lembut. Sungguh Puan Faridah tahu apa yang diinginkan oleh anaknya itu. Begitulah dia setiap hari. Masih belum lepas dari trauma yang dihadapinya. Puan Faridah kesal. Kalaulah kejadian itu tidak berlaku dulu, pasti Syukri tidak akan jadi begini.

“Mana sikat Syukri, mak? Mana?” Syukri semakin tidak keruan. Hatinya yang geram perlu dipuaskan. Dia perlu berbuat sesuatu untuk menghilangkan rasa benci dan geram yang semakin bertandang. Sungguh dia kini semakin tidak mampu untuk menahan perasaan.

“Syukri nak buat apa nak? Sudah-sudahlah tu... lupakan perkara yang lalu. Tak ada gunanya nak. Semua orang sayangkan Syukri. Runsingkan Syukri. Syukri tak sayangkan kami semua ke?” pujuk Puan Faridah lagi. Sungguh hatinya walang sejak berlakunya peristiwa hitam itu. Anaknya kini boleh dikategorikan sebagai kurang waras semuanya gara-gara kejadian ngeri yang berlaku hampir tujuh tahun yang lalu. Dan, sikat itulah yang dicarinya saban hari untuk melukakan dirinya sendiri.

“Betul tu bang, kami semua sayangkan abang,” ucap Syahmi yang tiba-tiba muncul entah dari mana.

***

“Mai sayangkan abang...”

Serta merta bayangan tujuh tahun yang lalu kembali menjelma. Dengan keadaan kerongkong yang terbelah, mata yang terbuka serta mulut yang ternganga, Maisarah akhirnya rebah dipangkuannya. Kepalanya terlentok elok pada lengannya. Dengan tangan yang terketar-ketar serta berlumuran darah, Syukri meraba seraut wajah yang kini lesu dan membeku.

“Mai... Mai... Mai... bangun Mai, bangun!” dengan suara yang terketar-ketar, Syukri terus-terusan memanggil Maisarah dengan harapan gadis itu menyahut panggilannya.


***


“Sudahlah tu nak, sudahlah...” raungan Puan Faridah telah membawa Syukri pulang ke alam nyata.

Dengan mata yang kuyup dengan air mata, Syukri merenung Puan Faridah yang sedang mendakap dirinya. Dilihat ibunya yang sedang mengusap lengannya yang penuh dengan parut-parut dan luka-luka kering.

“Kenapa jadi begini nak?” tangis Puan Faridah lagi.

“Syukri benci tahi lalat kat tangan Syukri ni mak. Syukri benci. Benci!” Lantas digigit lengannya itu sekuat hati.

“Argghh!!” Jerit Syukri sebaik sahaja dia melepaskan gigitan pada lengannya. Darah mengalir tak henti-henti. Luka yang baru sahaja kering kembali berdarah. Syukri geram melihat luka serta parut yang berada di lengannya. Padanya luka dan parut itu seolah-olah menjadi bukti titik hitam itu pernah berada pada lengannya. Kerana wujudnya titik hitam itulah maka Maisarah menjadi korban di atas lengannya.

***

“Kenapa Mai cakap macam tu?”

“Sebab, nenek pernah beritahu Mai dulu, kalau kita ada tahi lalat di lengan maksudnya nanti akan ada orang tersayang yang mati di lengan kita. Jadi Mai harap Mai lah insan bertuah yang akan menghembuskan nafas di pangkuan abang. Mesti bahagia, kan bang?” kata Maisarah lagi sambil penuh mengharap. Mengharapkan agar Syukri bersetuju dengan pendapatnya.

“Mengarutlah sayang ni”

***

“Mai, kenapa Mai sekejam ini dan membuatkan abang hidup dalam trauma begini. Kenapa sayang? Abang dah tak sanggup hidup menanggung derita ini. Sampai hati Mai buat abang begini. Inikah impian yang Mai sering katakan pada abang dulu?” Syukri merintih sendiri sambil menatap gambar Maisarah yang sedang tersenyum manja.


“Mai, abang separuh gila nak menghadapi semua ini Mai. Kenapa ini yang terjadi? Apa salah kita Mai?” Air mata yang pada mulanya hanya membasahi seraut wajah Syukri kini turut membasahi gambar Maisarah yang berada di tangannya.

***

“Kau hanya ada satu jalan sahaja untuk membebaskan ibu kau, Syukri. Aku mahu kau bunuh Maisarah menggunakan kedua-dua belah tangan kau sendiri”

“Tidakk!!”

“Jika tidak, aku akan bunuh kedua-duanya di hadapan kau dengan perlahan-lahan. Aku beri kau masa satu jam untuk menghabiskan sisa-sisa masa yang ada dengan kekasih hati kau sebelum kau bunuh dia. Ingat! Hanya satu jam,” ucap Khairil dengan penuh bongkak sebelum dia ketawa terbahak-bahak. Terpancar jelas aura tidak siuman di wajahnya.

“Kau dah gila Aril! Kenapa kau buat kami begini? Selama ini kita akrab. Kenapa Aril? Kenapa?” bentak Syukri yang nyata tidak faham kenapa Khairil sanggup buat begini terhadap mereka.

“Akrab? Huh, kau saja yang perasan begitu. Kau tahu tak aku benci tengok kau orang berkepit berdua selama ni? Kau tahu tak?” jerit Khairil sambil menghentakkan tangannya ke atas meja yang berada di hadapannya. Berdentum bunyinya hingga menyebabkan Puan Faridah yang terikat pada sebuah kerusi turut sama menjerit akibat terkejut.

“Apa salah kami Aril? Kau lepaskanlah kami. Kita berbicang elok-elok,” pujuk Syukri. Sungguh dia tidak percaya sahabat baiknya itu menyimpan dendam terhadap dirinya dan Maisarah selama ini.

“Sudahlah! Kau jangan cakap banyak. Semuanya dah terlambat. Kalau aku lepaskan kau orang semua, boleh kau bagi jaminan pada aku yang kau orang berdua takkan hidup sama? Kau jangan nak perbodohkan akulah Syukri,” ejek Khairil pada temannya.

“Tapi kenapa?”

“Tak ada sebab. Yang pasti aku benci bila tengok kau dan Maisarah gembira. Aku benci! Selama ini aku tak pernah rasa gembira dan bahagia. Mak aku pelacur dan ayah aku pula mati di penjara. Jadi tak adil pada aku kalau kau boleh hidup bahagia sedangkan aku tak!!”

“Kau gila!”

Khairil ketawa terbahak-bahak.

“Gila atau tidak, aku nak kau bunuh dia sekarang. Masa yang aku bagi tadi dah tamat. Sekarang, nah!!” Khairil mencampakkan sebilah pisau betul-betul di hadapan Syukri.

Syukri masih lagi tidak berganjak. Dia hanya membatu sambil merenung pisau itu. Demi melihat Syukri yang masih lagi membatu, Kharil menjadi semakin berang.

“Kau nak buat atau tak?!” jerit Kharil. Tersentap Syukri seketika. Jeritan Maisarah dan Puan Faridah juga turut bergema.

“Okey, kalau kau tak nak selesaikan Maisarah, biar aku selesaikan mak kau sedikit demi sedikit. Mungkin waktu tu baru kau sanggup nak selesaikan dia. Ingat Syukri, walau apapun yang terjadi Maisarah tetap akan mati!!”

Lantas Khairil mendekati Puan Faridah dengan membawa bersama sebuah gunting besar yang lazimnya digunakan untuk merapikan pokok. Dicekaknya kuat rambut Puan Faridah. Syukri dapat mendengar erangan kuat emaknya.

“Tolong mak, Syukri...” rayu Puan Faridah.

“Aril!!”

“Kalau kau tak mahu aku apa-apakan mak kau, cepat kau ambil pisau tu dan pergi pada Maisarah,” arah Khairil. Syukri dibiarkan tanpa sebarang pilihan. Khairil ketawa terbahak-bahak apabila melihat Syukri yang terketar-ketar merangkak untuk mengambil pisau tersebut. Keadaan kakinya yang berantai besi itu telah menyebabkan pergerakan Syukri menjadi agak sukar. Namun hatinya tak henti-henti berdoa supaya diselamatkan mereka semua.

“Cepat!!” Jerit Khairil lagi ibarat orang gila. Dia geram kerana melihat Syukri yang sengaja melambat-lambatkan pergerakannya.

“Aku kira sampai tiga saja Syukri. Kalau kau masih enggan bunuh dia, setiap lima minit aku akan potong satu ruas jari mak kau,” Khairil memberikan amarannya sekali lagi.

“Satu...”

Syukri menjadi tidak keruan. Direnungnya wajah Maisarah yang basah dengan air mata. Bibir gadis kesayangannya itu dilhat bergetar menggigil ketakutan. Wajahnya pucat tidak berdarah. Matanya pula sayu merenung terus ke dalam anak mata Syukri.

“Dua...”

Syukri semakin tidak menentu. Akal warasnya sudah lagi dapat berfungsi. Ditolehnya ke kanan. Kelihatan emaknya yang juga yang sedang menggigil ketakutan. Di kirinya pula, kelihatan wajah kekasih hati yang bagai sudah putus harapan. Syukri kini benar-benar terperangkap dengan tanggung jawab sebagai seorang anak serta rasa cinta buat kekasih hatinya. Apa yang pasti, dia tidak rela kehilangan kedua-duanya.

“Cepat!!” jerit Khairil lagi. Dia sudah tidak sabar lagi untuk menyaksikan tragedi bersejarah bakal berlaku sekejap lagi.

“Tiga...”

“Tidak!” Serentak dengan itu Syukri memejamkan matanya sambil melibaskan pisau di tangan tepat ke leher Maisarah. Maafkan abang, sayang. Maafkan abang! Hati Syukri tidak henti-henti melafazkan kata maaf itu.

“Mai sayangkan abang...”

Sedetik kemudian, Maisarah rebah ke pangkuannya. Dengan keadaan kerongkong yang terbelah, mata yang terbuka serta mulut yang ternganga, Maisarah akhirnya rebah dipangkuannya. Kepalanya terlentok elok pada lengannya. Dengan tangan yang terketar-ketar serta berlumuran darah, Syukri meraba seraut wajah yang kini lesu dan membeku.

“Mai... Mai... Mai... bangun Mai, bangun!” dengan suara yang terketar-ketar, Syukri terus-terusan
memanggil Maisarah dengan harapan gadis itu menyahut panggilannya.

***

“Mai!!” Jerit Syukri lagi. Sungguh. Amat sukar baginya menghakis segala yang pernah berlaku dulu dari terus melekat di benaknya.

Syukri memegang dadanya yang tiba-tiba berasa sesak. Sekujur tubuhnya berasa dingin membeku. Semakin lama nafasnya menjadi semakin berat. Dirinya cuba untuk meronta namun tubuhnya itu bagaikan tiada kudrat lagi. Akhirnya perlahan-lahan nafasnya juga terus terhenti dan membawa Syukri pergi jauh dari trauma kenangan lalunya bersama titik hitam itu.

-TAMAT-

6 komen yang diterima:

Tanpa Nama berkata...

yea....
shukri dah x ada....
sian dia...
baiklah dia pergi dari terus jd mcm 2..
khairil 2 gila ke???
neway..best2xxxx
:)

yunix77 berkata...

ya Allah....traumanya
kejamnya manusia itu
nauzubillah

maszz on 5 Oktober 2009 3:08 PTG berkata...

nauzubillah...mcmmana lea boleh terfikir utk memberi dua pilihan yg plg sukar dlm hidup...hidup ibu@kekasih...kalau diberi pilihan pon, membunuh tetap bukan pilihan saya...

eskep on 1 Disember 2009 5:19 PTG berkata...

segalanya tidak lebih dan tidak kurang melainkan, klise.

LeaQistina on 1 Disember 2009 5:21 PTG berkata...

@ eskep: terima kasih atas komen yg diberikan :D

fisa berkata...

sdihnye cite ni..mintak2 la di jauhkan dai jd realiti...amin...

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino