Product from Adobe

Selasa, Oktober 14

Air Mata Hati Bab 5



Buntu Ezani memikirkan syarat-syarat yang diberikan oleh Fakrul semalam. Suatu perjanjian yang tidak terjangkau oleh akalnya. Bolehkah macam tu? Siapa yang rugi dan siapa yang untung dengan perjanjian itu? Ezani terkenang kembali detik-detik Fakrul memberikan kata duanya.
“Abang hanya ada satu syarat sahaja sebelum abang lepaskan Hanna. Sebaik sahaja Hanna tunaikan syarat yang abang nak itu, barulah abang akan lepaskan Hanna. Itu pun jika Hanna nak abang lepaskan Hanna pada waktu tu,” terang Fakrul kepada Ezani. Ezani hanya membatu mendengarkan kata-kata itu.
“Tapi sebelum itu abang nak tanya, Hanna betul-betul tak nak hidup dengan abang?”,tanya Fakrul. Sungguh hatinya ingin mendengarkan bahawa Ezani memerlukannya untuk hidup. Ingin benar hatinya mendengarkan bait-bait sayang dari ulas-ulas bibir di hadapannya. Mungkinkah akan tercapai hasratnya itu?
Tiada sepatah kata yang hadir dari mulut Ezani. Yang kelihatan hanyalah anggukan kepala yang lemah sahaja rentaknya. Bagi Ezani cukuplah gerakan itu sebagai jawapan pada persoalan yang ditimbulkan. Selebihnya hatinya tidak rela.
“Baiklah jika itu yang sayang inginkan,” hati Ezani kembali bergetar.
“Abang akan lepaskan sayang…” Ezani menarik nafas dalam.
“ tapi dengan syarat sayang perlu lahirkan seorang anak untuk abang. Lepas itu abang takkan kacau sayang lagi kalau itu yang sayang mahu..” tenang dan lancar sahaja Fakrul meluncurkan kata-kata tersebut. Berbeza pula dengan reaksi dari Ezani. Tertegak badannya mendengarkan syarat dari Fakrul.
“Anak?!! Gila ke?” spontan terkeluar ayat itu dari bibir Ezani. Fakrul tidak ambil peduli dengan reaksi Ezani itu malah telah pun dijangka olehnya. Senyuman sinis pula tidak lekang dari bibirnya. Abang tidak akan kalah sayangku.. Getus hati Fakrul.
“Ayul ingat nak lahirkan anak tu macam buat cucur kodok ke? Campur air dengan tepung dah jadi?!!” tengking Ezani. Sungguh tidak disangka itu syarat yang ditetapkan oleh Fakrul untuk lepaskannya. Sekali lagi Fakrul hanya mengangkat bahu tanda tidak peduli. Ezani merengus geram.
“So, sayang masih nak abang lepaskan sayang atau tidak?” tanya Fakrul lagi setelah Ezani kelihatan seolah-olah kehilangan modal untuk bersuara. Ezani mengaru-garu kepala dan lengannya yang tidak gatal. Sungguh putus asa apabila mendengar permintaan aneh Fakrul.
“Ayul.. nape Ayul buat Zani macam ni?” Ezani masih kebingungan. Tidak faham dengan permintaan itu.
“Buat sayang ape pulak? Sayang mintak abang lepaskan sayang dan abang janji akan tunaikan. Tapi sebelum tu sayang tunaikanlah dulu permintaan abang. Barulah adilkan?” jawab Fakrul.
“Tapi kenapa anak?”
“Eh, ikut suka hati abanglah abang nak mintak ape pun. Macam sayang jugak suka-suka nak mintak talak dari abang”
“Zani tak faham kenapa Ayul sengaja nak menyusahkan apa yang mudah. Permintaan Ayul ini tidak adil buat Zani”
“Erm.. terpulang. Segalanya di tangan sayang. Abang tak kisah kedua-duanya. Fikirkan baik-baik ye sayang,” kata Fakrul sebelum terus berlalu meninggalkan Ezani termangu seorang diri. Tetapi sebelum itu sempat juga Fakrul menghadiahkan sebuah ciuman di pipi Ezani. Sekali lagi Ezani terpana.
Ezani duduk termenung memikirkan kata dua yang telah diberikan oleh suaminya semalam. Ezani buntu memikirkan apakah tindakan yang sewajarnya untuk perkahwinan mereka yang baru sahaja bermula kurang seminggu yang lalu. Kata dua yang diberikan itu betul-betul merunsingkannya. Kata dua tersebut juga telah menyebabkan Ezani menjadi keliru akan pendirian suaminya. Syarat untuk dilepaskan adalah perlu melahirkan seorang anak untuknya. Sanggupkah aku, desis hati Ezani. Bagaimana pula dengan anak itu nanti? Sudah tentu akan dirampas oleh suaminya dan dirinya akan kehilangan hak sebagai ibu ke atas bayi tersebut. Arghh! Ezani menjadi semakin tertekan.
Fakrul hanya memerhatikan isterinya yang termenung di laman rumah mereka. Fakrul tahu apa yang sedang memberat di benak wanita itu. Fakrul tahu bahawa kata dua yang diberikannya kepada wanita itu semalam adalah tidak mampu diterima akal sebenarnya. Ingin dilepaskan atau tidak pilihan yang tingal adalah menyerah padanya. Namun Fakrul kesal kerana isterinya itu masih tidak memahami maksud tersirat disebalik kata dua itu. Fakrul tidak mahu kehilangan isterinya itu. Tapi mengapa wanita itu seolah-olah sengaja tidak mahu memahaminya dan masih ingin dirinya dilepaskan. Sungguh dirinya tidak mengerti, sebaik sahaja lafaz akad disahkan oleh kadi rasa cinta terhadap isterinya itu seolah-olah tumbuh dengan mekar. Walaupun mulut lancangnya pernah dengan yakin bahawa tiada pernah akan ada cinta dihatinya buat Ezani. Nina adalah cinta teragungnya. Semua ini suratan yang Esa. Kenapa isterinya itu masih tidak mahu memahaminya? Fakrul kecewa tetapi untuk berputus asa dan menyerah begitu sahaja adalah tidak mungkin dilakukannya. Masjid yang baru dibina ini perlu dipelihara. Hanna.. abang cintakan sayang, jerit hati kecil Fakrul lagi.
Perlahan-lahan Fakrul mendekati isterinya itu. Selamba sahaja tangannya mendarat di bahu isterinya itu. Ezani menoleh. Sekelip mata satu kucupan sayang melekap di pipi dan di dahi wanita itu. Ezani terpana. Mukanya berubah. Keliru. Fakrul buat-buat tak tahu akan perubahan wajah isterinya itu. Hatinya ketawa kecil. Lantaklah kalau dia nak marah. Janji hati aku puas. Lagi pun dia memang berhak berbuat begitu. Lantas Fakrul melangkah dan duduk di kerusi yang berhadapan dengan isterinya. Sengaja dia memilih untuk duduk berhadapan isterinya itu.
Muka Ezani dipandang. Riak menggoda sengaja ditayangkannya. Dia tahu Ezani rimas. Dirinya memang sengaja. Sebenarnya Fakrul rindu terhadap isterinya itu. Hampir satu hari isterinya itu tidak mengendahkan dirinya dan hanya duduk termenung.
“Ayul, jangan tengok macam tulah,” marah Ezani. Malu, segan, seram dengan renungan suaminya itu. Mukanya yang seolah-olah ingin menggoda dirinya itu buat dirinya terasa ingin berlari jauh dari pandangan mata itu.
“Eh, suka hati abanglah nak tenung ke nak ape ke? Mata abang. Bukan mata sayang,” balas Fakrul selamba. Hatinya bagai digeletek melihatkan reaksi wanita dihadapannya itu. Eleh, seganlah tu..
“Suka hati awaklah,” lantas Ezani bangun meninggalkan lelaki itu di situ. Fakrul hanya memerhatikan Ezani berlalu.
Sedang asyik Ezani melayan menungannya di bilik tidur mereka. Sekali lagi dirinya diganggu. Kali ini Ezani dapat merasakan ada tangan yang melingkar di pinggangnya. Ada rasa bahang yang melekap dibelakangnya. Fakrul datang memeluknya dari belakang. Ezani cuba meronta tetapi pelukan itu semakin kejap dan tangannya pula terperangkap. Akhirnya Ezani membatukan diri. Keadaan mereka sunyi buat beberapa ketika sebelum Fakrul bersuara.
“Sampai bila nak termenung macam ni?” tanya Fakrul lembut di telinga Ezani. Ezani masih membisu dan enggan bersuara.
“Sampai bila sayang nak diam macam ni, hmmm?” tanya Fakrul lagi.
“Ezani dengar sini. Apa lagi pilihan yang ada? Sama ada Ezani nak dilepaskan atau sebaliknya, pilihan yang Ezani ada hanyalah untuk hidup bersama abang. Walaupun hanya untuk seketika”
Ezani menjadi semakin tertekan mendengar kata-kata itu. Spontan dia cuba untuk meloloskan diri dari pelukan tesebut namun dirinya gagal. Tangan kekar itu sentiasa bersedia akan tindakannya itu. Ezani semakin tertekan. Akhirnya air matanya gugur jua. Laju dan semakin laju.
“Kenapa buat Zani macam ni Ayul? Apa salah Zani?”
Mendengarkan esakan isterinya itu, lantas Fakrul merenggangkan pelukannya. Di pusingkan badan isterinya supaya menghadap dirinya. Perlahan-lahan jari-jemari kasarnya menyapu air mata yang tumpah di pipi gebu milik isterinya.
“Hiduplah dengan abang sayang,” rayu Fakrul pula.
“Kita cuba bina keluarga kita ya.. Lupakan Nina dan lupakan Fakrul yang lalu.. Sekarang hanya sayang yang abang cinta. Terimalah abang sayang,” rayu Fakrul lagi. Rayuan itu menambahkan lagi tekanan pada Ezani. Tiba-tiba Ezani menarik kasar leher bajunya sehingga butang-butang bajunya terkoyak semua. Menampakkan tubuhnya yang gebu. Tergamam Fakrul dengan tindakan isterinya itu. Dadanya mula bergelora. Sedaya upaya disabarkan dirinya.
“Hah, ini yang kau nakkan? Ambillah. Ini yang kau cari?? Lakukanlah. Lakukanlah sepuas hati kau. Lepas itu kau lepaskan aku!!” jerit Ezani. Seolah-olah orang hilang akal dan hilang pedoman. Bahasanya juga berubah kasar. Namun air matanya masih tetap mengalir di pipi.
“Ezani, sedar tak apa yang sayang lakukan ini? Apa semua ini?” jerkah Fakrul pula untuk mengimbangi nada isterinya tadi.
“Abang adalah suami Ezani,” sambung Fakrul lagi tetapi dalam nada yang lebih rendah.
“Huh! suami. Kau nak hak kau kan?! Ambillah. Lapas kau puas kau lepaskan aku”
Tak semena-mena satu tamparan melekap di pipi Ezani. Kecewa sungguh hati Fakrul mendengar akan kata-kata isterinya itu. Serendah itukah nilai hubungan suami isteri di mata wanita itu. Bukan tubuhnya yang aku damba tetapi cintanya. Sehina itukah aku di matanya. Tanpa amaran, air mata mengalir lesu dari tubir matanya. Mengaburi bola matanya yang sedia merah menahan sebak dihati sedari tadi.
“Abang kecewa,” hanya dua perkataan itu dilafazkannya dan terus berlalu pergi.
Ezani hanya memandang susuk tubuh Fakrul yang berlalu meninggalkannya. Juraian air mata yang galak turun dari tubir matanya dibiar sahaja mengalir. Moga dengan deraian air mata itu mampu mengubat lara hatinya.

---------------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

2 komen yang diterima:

dina on 19 Disember 2008 9:59 PG berkata...

Aduhhh... lea tahu tak, cerita ini macam masak lemak cili padi ikan sembilang yang emak akak masak. Sangat sedap, menyelerakan dan kenyang setiap kali memakannya. lea pandai mengolah jalan cerita, ini buka pujian melulu. tapi akak memang tertarik dengan cerita ini. teruskan usaha ini. harap lea terbitkan novel ini suatu masa nanti.

LeaQistina on 19 Disember 2008 10:11 PG berkata...

terima kasih kak dina atas sokongan yang diberikan. semoga komen-komen akak bakal menjadi pemangkin semangat lea untuk terus menulis.

lea sangat menghargainya. terima kasih sekali lagi.

p/s: jangan lupa tegur salah silap lea ye kak.. thanx.. ;)

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino