Product from Adobe

Selasa, Oktober 14

Air Mata Hati Bab 6


Mak Cik Limah termangu sendirian pagi itu. Ezani dan Fakrul masing-masing telah mula ke pejabat semula. Entah mengapa hati Mak Cik Limah bagai dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena di dalam rumah tangga anaknya yang baru beberapa hari terbina itu. Memang benar, di hadapannya perhubungan antara Hanna-Fakrul nampak harmoni. Namun, riaksi Ezani yang kadangkala kerap termenung kala bersendirian itu merunsingkan hati tuanya. Adakah Fakrul yang masih tidak mampu menerima kehadiran Ezani dalam hidupnya? Tapi kebelakangan ini kelihatan Fakrul seperti sangat menyanyangi Ezani. Mungkinkah Fakrul hanya berpura-pura di hadapannya? Mana mungkin anaknya itu menipu dirinya, Mak Cik Limah berfikir sendirian.
Ezani runsing. Hari ini merupakan hari pertamanya masuk ke pejabat setelah beberapa hari cuti sempena pernikahannya. Kerja-kerja yang tertangguh melambak di atas mejanya. Namun fail-fail yang bertimbun dan bersepah di atas mejanya itu hanya dipandang sepi. Kosentrasinya terhadap tugas hilang entah ke mana. Hatinya tidak tenang. Permintaan suaminya masih lagi berlegar-legar di kepalanya. Tingkah laku Fakrul yang langsung tidak mengendahkannya semenjak perbalahan mereka semalam juga sedikit sebanyak menggannggu emosinya. Sungguh, walau apa pun yang cuba dirinya katakan namun Ezani tidak dapat menipu dirinya bahawa Fakrul amat dia cintai dan kasihi. Tiada insan di dunia ini yang mampu menyaingi Fakrul di dalam hatinya. Namun mengapa dirinya masih tidak dapat menerima Fakrul? Sungguh pun telah beberapa kali Fakrul nyatakan pada dirinya bahawa Fakrul mencintai dirinya…
Cinta? Mana mungkin secepat itu kasih Fakrul terhadap Nina beralih kepada dirinya. Ezani kenal akan diri Fakrul. Kasih dan cinta Fakrul terhadap Nina bukan suatu mainan. Jika tidak masakan Fakrul sanggup melakukan apa sahaja demi memujuk hati Nina suatu ketika dahulu. Ezani terkenang kembali detik-detik cemas itu…
“Nina, I’m sorry okey sayang. I’ve told you that I tak sengaja datang lambat. You pun tau kan macam mana keadaan dalam kelas Prof Adam kalau ada student yang fail paper dia?” terang Fakrul bersungguh-sungguh. Namun Nina hanya membatukan dirinya. Penjelasan Fakrul langsung tidak diendahkan.
“Sayang, jomlah kita pergi makan. Dah pukul 2.30 dah ni,” pujuk Fakrul lagi. Ezani yang menjadi saksi adegan pujuk-memujuk antara dua pasang kekasih ini hanya gelisah menanti. Tidak sanggup rasanya untuk terus berdiri di situ semata-mata untuk menikmati drama antara Fakrul dan Nina. Namun, Ezani tidak dapat balik kerana purse serta kunci biliknya ada pada beg yang sedang dipegang oleh Fakrul. Nina masih lagi membatukan diri.
“Sayang.. jomlah. Perut I dah sakit ni,” ujar Fakrul lagi sambil menekan-nekan perutnya. Bibirnya juga sudah kelihatan pucat. Sesungguhnya Fakrul mengidap gastrik yang maha dahsyat. Akhirnya Nina memandang ke wajah Fakrul. Namun ada riak curiga di situ.
“Sorry lah Ayul, I dah tak ada selera nak makan. Kalau you nak, you pergilah sorang-sorang. Tidak pun, you ajaklah Zani pergi temankan you makan,” balas Nina yang masih lagi belum surut rajuknya.
“Nina, I nak makan dengan you bukannya dengan orang lain. Bukan dengan Zani. I tak sayang diorang tapi I sayangkan you,” balas Fakrul tanpa mengambil peduli perasaan Ezani yang berada di situ pada ketika itu. Tersentap hati Ezani di kala itu. Namun, memandangkan keadaan yang agak meruncing di situ, Ezani tidak mahu melibatkan diri dalam pertelingkahan dua sejoli itu. Sungguh pun begitu, jika diikut rasa hatinya, ingin sahaja dia merampas beg yang berada dalam pegangan Fakrul itu dan berlari pulang.
“Baiklah, selagi you tak nak makan dengan I, I takkan berganjak dari sini. I akan terus tunggu you di sini. And if something happen to me, you’re the responsible one,” kata Fakrul lagi dengan nada suara yang bertambah lemah. Namun, semua itu tidak berjaya memujuk hati Nina. Akhirnya Nina terus melangkah dan tidak menoleh lagi.
Sebaik sahaja kelibat Nina hilang dari pandangan, Fakrul terus rebah. Perutnya ditekan sekuat hati. Pedihnya hanya Tuhan yang tahu. Sesungguhnya dia rela menderita di kala ini semata-mata ingin membuktikan cintanya pada Nina. Walaupun, segalanya akan memudaratkan dirinya nanti.
Ezani yang melihat Fakrul rebah cepat-cepat mendekatinya. “Ayul, ok ke? Minum sikit eh,” tanya Ezani dengan nada yang teramat risau. Namun Fakrul hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak mahu minum. Fakrul nekad untuk menunggu Nina di situ.
“Ayul, tolonglah. Ayul sakit ni. Ayul minum dulu air milo ni, nanti Zani pergi belikan makanan untuk Ayul. Dari pagi tadi Ayul belum makan apa-apa lagi kan?” pujuk Ezani lagi. Ezani mengunjukkan sekotak Milo kepda Fakrul, namun tidak diendahkannya. Fakrul hanya membekukan diri dan duduk bersandar di kerusi sambil menekan perutnya. Diharapkan agar dengan melakukan begitu, sakit perutnya akan berkurang.
Ezani sudah tidak mampu lagi bersabar. Tidak sanggup rasanya untuk dia melihat Fakrul menderita sebegitu. Rasanya tidak berbaloi untuk Fakrul lakukan begitu kerna sesungguhnya Nina tidak akan kembali untuk memujuk Fakrul. Ezani tahu akan perangai dan kelakuan Nina. Telah empat tahun mereka bersahabat rapat.
Tanpa mempedulikan Fakrul yang enggan mengambil minuman yang diberikannya, Ezani merampas beg yang berada di tangan Fakrul lalu mengambil purse nya. Terpinga-pinga sebentar Fakrul melihat akan tindakan Ezani itu. Kala itu, hujan mula turun renyai-renyai dan akhirnya menjadi lebih lebat.
“Ayul tunggu sini. Zani pergi cari sedikit makanan and ubat untuk Ayul,” kata Ezani tegas. Ezani mula marah dengan karenah Fakrul yang rasanya keanak-anakkan itu.
“Tapi..” belum sempat Fakrul menyudahkan kata-katanya Ezani telah pun pantas memotong.
“Tunggu jelah. Dah sakit macam tu pun nak tunjuk keras kepala,” lantas terus berlalu meredah hujan yang lebat itu.
Ezani tiba semula di tempat Fakrul ditinggalkan tadi dua puluh minit kemudian. Alangkah terkejutnya Ezani apabila melihat Fakrul telah terbaring dan hampir pengsan. Kecawa benar hati Ezani apabila melihat kotak Milo yang diberikannya tadi masih belum terusik. Sedalam itukah cinta Fakrul buat Nina? Tanya Ezani di dalam hatinya. Sungguh hatinya terasa pedih saat itu.
“Ayul bangun, buka mulut ni,” panggil Ezani kuat sambil menampar lembut pipi Fakrul. Sesungguhnya Ezani panik melihat akan situasi itu.
“Ayul.. bangunlah,” seru Ezani lagi namun kali ini dengan linangan air mata. Ezani berusaha bersungguh-sungguh untuk menyedarkan Fakrul semula. Botol air mineral yang baru dibelinya tadi dibuka penutupnya. Ezani berselawat tiga kali dan kemudian menuangkan sedikit air dari botol itu ke tapak tangannya lalu disapu ke wajah Fakrul. Tidak lama kemudian, Fakrul tersedar. Kemudian, Ezani menyuapkan air tersebut ke mulut Fakrul. Fakrul ingin menolak. Namun dalam keadaanya yang lemah itu, tolakkannya itu tidak memberikan kesan. Ezani memaksa Fakrul minum. Kemudian, Ezani memaksa pula Fakrul makan nasi goreng ayam yang dibelinya tadi.
Nasi goreng ayam? Di dalam hujan yang lebat itu, Ezani sanggup meredahnya semata-mata untuk mendapatkan nasi goreng ayam buat Fakrul? Mengapa? Sesungguhnya, Ezani tahu bahawa dengan nasi goreng ayam pasti Fakrul tidak dapat menolak. Itu makanan kegemaran Fakrul. Sebab itulah dirinya sanggup bersusah payah mendapatkan nasi goreng tersebut buat Fakrul.
Tersiat suatu senyuman halus di bibir Ezani tatkala melihat Fakrul menjamah nasi goreng ayam yang dibelinya itu dengan berselera sekali. Lega sungguh perasaan Ezani tatkala itu. Perasaan cemas apabila terlihat Fakrul pengsan tadi beransur-ansur hilang.
“Hacchum!!” alamak aku dah start bersin ni, kata Ezani sendirian. Fakrul yang sedang khusyuk makan terus tertegak kepalanya. Mata Ezani sudah mula memerah. Fakrul terus merenung Ezani tajam. Sudah separuh bungkus nasi goreng itu telah dijamahnya. Nampaknya tenaganya sudah kembali.
“Tadi ada beli panadol tak?” tanya Fakrul. Mendatar saja suaranya. Ezani menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapa tak beli sekali tadi? Kan dah tahu yang Zani tu bukannya boleh kena hujan. Kena sikit je mulalah nak bersin,” Fakrul sudah mula membebel. Ternyata Fakrul sudah kembali bertenaga. Ezani pula hanya tunduk merenung selipar di kakinya. Bersinnya pula makin menjadi-jadi.
“Lain kali kalau dah tau diri tu kurang antibodi, janganlah main redah je hujan tu. Ingat diri tu sihat sangat ke nak main redah-redah macam tu? Dah tu tak sihat mula la nak nyusahkan orang nanti”, bebel Fakrul lagi tanpa menyedari butir perkataan yang terkeluar diri bibirnya. Tersentap hati Ezani mendengar kata-kata tersebut. Namun, sedaya upaya ditahannya agar air matanya tidak jatuh dihadapan Fakrul.
“Tapi tadi Ayul..” Ezani cuba mempertahankan tindakannya tadi.
“Tadi ape? Suka hati Ayullah nak bertegas untuk buktikan cinta Ayul pada Nina. Zani jangan nak sibuk. Biarlah Ayul nak mati ke ape ke sebab Nina tapi Zani jangan sibuk nak join sama,” Ya Allah, pedihnya kata-kata Fakrul itu. Semuanya bak pisau yang menoreh hatinya. Serta merta butiran mutiara dari tubir matanya mengalir laju. Sama lajunya dengan hujan yang menggila turun di luar sana.
Bunyi telefon di mejanya telah menamatkan lamunannya sebentar tadi. Pantas tangannya mengangkat gagang telefon tersebut. Sebelah tangannya pantas mengelap air mata yang mengalir lesu dari tubir matanya. Ish.. bila masa aku menangis ni..
“Hello,” kata Ezani perlahan.
“Hai.. Assalamualaikum sayang,” terdengar suatu suara yang kedengaran riang. Fakrul. Sudah hilangkah rajuk hatinya semalam?
“Waalaikummussalam,” jawab Ezani. Sayu hatinya masih lagi terasa.
“Erm.. sayang nangis ke? Kenapa lain macam je abang dengar suara Hanna?” uiks.. cekapnya telinga si Fakrul ni, getus hati kecil Ezani.
“Ish, mana ada. Pandai-pandai je tuduh orang,” dalih Ezani pula.
“Habis tu kenapa dok lap air mata dari tadi? Kalau tak nangis tu ape? Nak kata sayang kopek bawang macam tak logik pulak. Sejak bila pulak sayang kopek bawang kat pejabat?” dah dia mula dah nak membebel tu. Haa?!! dia tau aku lap air mata. Macam mana dia nampak?!! Terangkat kepala Ezani serta merta apabila pertanyaan tersebut muncul dikepalanya. Serta merta dapat dilihat susuk tubuh suaminya dibalik cermin kaca biliknya. Ya Allah!! Patutlah dia tahu.
Fakrul masuk ke ruang pejabat isterinya. Terpandang tanda nama isterinya yang terletak di atas meja. Puan Ezani Hanna Mustaqim – Pegawai Latihan Bahagian Sumber Manusia. Tanda nama tersebut dilurut perlahan penuh kasih sayang. Kalaulah Ezani dapat merasai kasih sayang yang terlimpah dari hatinya kini. Geleng Fakrul kesal seketika. Ezani hanya melihat perlakuan suaminya itu dengan wajah yang pelik.
Fakrul mengangkat muka dan memberikan suatu senyuman yang manis buat isterinya. “Sayang nangis?” tanya Fakrul kembali.
Ezani hanya menundukkan wajahnya.
Fakrul mengangkat dagu Ezani supaya wajah mereka bertentangan. Entah bila Fakrul memusingkan kerusinya supaya mereka bertentangan pun Ezani tidak tahu. Ezani kembali menunduk.
“Pandang muka abang Hanna,” tegas suara Fakrul memberi arahan. Tanpa semena-mena makin laju air mata Ezani.
“Kenapa ni sayang?” kata Fakrul lagi sambil mencium mata isterinya yang galak mengeluarkan air mata itu. Ezani yang teresak-esak itu tidak mampu berkata-kata.
“Kita balik ye sayang. Hari ni sayang ambil half day off ye,” getus Fakrul lagi. Ezani menggelengkan kepalanya.
“Kerja Zani banyak yang tertangguh. Lagi pun, dah banyak hari Zani cuti. Nanti lagi banyak kerja yang tak siap,” bantah Ezani.
“Sayang.. jangan bantah cakap abang!!” Ezani tenung muka Fakrul dengan perasaan geram. Suka paksa orang. Huh!! Nyampah.. namun dianggukkan juga kepalanya. Dilihat Fakrul tersenyum senang.
Fakrul bersiul-siul dengan irama yang langsung Ezani tidak ketahui. Wah! Senang betul hati Fakrul hari ini. Fakrul menjeling sekilas ke wajah Ezani yang sedang asyik memandang wajahnya yang sedang memandu.
“Rindu benar sayang pada abang sampai tak lepas pandang dari tadi,” tegur Fakrul nakal. Huh! Perasan betul.
“Perasan je. Sapa yang rindu kat dia,” jawab Ezani pula. Fakrul tersenyum senang. Akhirnya Ezani sudah mahu bersuara dengannya.
“Habis tu yang sayang asyik tenung abang dari tadi tu kenapa? Bukan tak pernah tengok abang,” giat Fakrul lagi.
“Tak delah.. Awak tu yang senang hati semacam. Pelik pulak saya tengok,” balas Ezani tenang. Fakrul mengerutkan keningnya. Kenapa macam pelik je butir bicara si Zani ni ya?
“Sejak bila pandai bersaya awak dengan abang?” tanya Fakrul dengan kerutan di dahinya.
“Suka hati saya lah”
“Alah sayang. Zaman nak bersaya awak dengan abang dah terlepaslah. Dulu masa kita kawan dulu tak pulak sayang nak pakai saya awak dengan abang. Sekarang dah kahwin dah tak sesuai lah sayang,” balas Fakrul tenang. Senyuman masih tidak lekang dibibirnya. Ezani mencebikkan mulutnya. Menyampah dengan jawapan Fakrul. Setiap kata-kata pasti ada sahaja yang dijawabnya.
“Sayang tak payah la dok ngata abang dalam hati sampai herot-herot muka. Opss!! abang tak kisah herot ke tak. Sayang jangan nak guna alasan tu nak suruh abang lepaskan sayang pulak,” pantas saja balas Fakrul. Seolah-olah dia mampu membaca apa yang tersirat di hati Ezani sebentar tadi. Ezani pula sedikit tersentak mendengar kata-kata Fakrul yang ibarat menyindir dirinya tadi.
“Abang sindir Hanna ke?” wahahaha.. terbahak-bahak Fakrul ketawa. Aik? Sudah tukar ka. Haha.. Fakrul terus ketawa..
“Bukan abang sindir sayang, tapi I just know you sayang. Abang tahu sayang memang dan masih cintakan abang dari dulu sampai sekarang. Tapi saja je tak nak ngaku kan?” kata-kata Fakrul tadi seolah-olah mencekik Ezani. Ek?! Aku tersalah cakap ke tadi? Menyedari keterlanjuran kata-katanya buat sekian kalinya Ezani terus membatukan diri. Bukan kerana marah tetapi kerana malu kepada Fakrul.
Akhirnya tempat yang ingin dituju telah pun tiba. Ezani keluar dari perut kereta dan mengikut jejak langkah Fakrul yang memasuki sebuah banglo dua tingkat yang baru siap. Apabila menjejakkan kaki ke dalam rumah tersebut Ezani terpegun. Cantik sungguh rumah tersebut. Asyik benar dirinya memerhatikan ruang rumah tersebut sehingga dirinya tidak sedar ke mana Fakrul menghilangkan diri.
Setelah puas di ruang tamu, akhirnya Ezani melangkahkan kakinya menuju ke ruang makan dan akhirnya ke ruangan dapur. Terpana Ezani apabila melihat longgokan barangan bayi yang berada di dapur sambil disebelahnya terdapat sebiji kek yang tertulis ~ sayang terimalah abang. Abang cintakan sayang.
Terduduk Ezani tatkala terbaca tulisan di atas kek tersebut. Tiba-tiba Fakrul datang dan memeluk diri Ezani dari belakang.
“Sayang, terimalah abang,” kata Fakrul sayu. Terasa ada air hangat menitis di bahu Ezani. Ezani terus berpaling melihat wajah suaminya. Ya Allah!! Adakah benar apa yang aku lihat ini? Akhirnya Ezani juga mengalir air mata dan teresak-esak di dada suaminya.
“Sayang.. terimalah abang sayang,” Ezani dapat merasakan bahawa hatinya cair dengan pujukan dan rayuan dari Fakrul itu. Mana mungkin hatinya dapat terus keras dengan pujukan dan rayuan yang bertalu-talu dari insan yang sangat dicintainya itu. Namun entah mengapa hatinya menjadi kelu untuk memberikan seulas jawapan yang sedang dinantikan oleh suaminya itu. Egonya juga seolah menegah dirinya untuk terus memberikan jawapan. Hatinya masih ragu-ragu akan kasih sayang suaminya itu.
Melihatkan keadaan Ezani yang masih membatukan diri setelah sekian lama. Akhirnya Fakrul melepaskan Ezani. Air mata Ezani dilap perlahan. Kemudian dia bersuara. “Baiklah. Terpulanglah pada sayang. Tapi dengar apa yang abang nak katakan di sini, selagi sayang tak nak terima abang. Mulai petang ini abang tidak akan menjamah satu makanan pun. Hatta walau seteguk air. Sekiranya sesuatu berlaku pada abang, abang tidak akan menyalahkan sayang dan sayang boleh lepas sekiranya abang dah tak dak lagi nanti,” perlahan Fakrul bersuara.
“Abang..” jerit Ezani. Terkejut sungguh Ezani dengan kata-kata Fakrul tersebut. Bukan Ezani tidak tahu akan penyakit Fakrul. Fakrul tidak boleh tidak makan. Alangkah risaunya hati Ezani kala itu. Sedaya upaya dia mengejar Fakrul yang telah masuk semula ke dalam kereta.
Di dalam kereta, Fakrul langsung tidak memandang wajah Ezani.
“Abang, kenapa perlu buat begini? Abang sakit,” tegur Ezani ketika mereka berada di dalam kereta. Sudah hampir lima minit mereka berada di dalam kereta tersebut namun Fakrul masih lagi memulakan pemanduannya. Fakrul masih lagi berkecil hati lagi dengan isterinya.
“Peduli apa Zani kalau abang sakit,” balas Fakrul acuh tak acuh.
“Tak pe, abang nak mudahkan Zani. Kalau abang sakit, kalau abang mati cepat sikit Zani lepas dari abang. Tak perlu tunggu ada anak. Begini lebih mudah kan?” tambah Fakrul lagi dingin. Ezani kembali menangis teresak-esak. Terseksa sungguh hatinya kala itu. Namun untuk menerima Fakrul sepenuhnya hatinya masih belum mahu.
Melihatkan Ezani yang masih menangis teresak-esak itu, Fakrul terus memulakan pemanduannya pulang ke rumah. Fakrul tidak lagi memujuk tangisan isterinya itu. Cukuplah buat hari ini kata hatinya…
Sesampai sahaja di rumah, terkejut Mak Cik Limah melihatkan Ezani yang menangis teresak-esak disamping wajah anaknya yang kelat. Mak Cik Limah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Namun dia tidak mahu mencampuri urusan rumah tangga anaknya itu. Biarlah mereka menyelesaikannya sendiri. Lagipun mungkin mereka masih di tahap untuk menyesuaikan diri.
Fakrul menghulurkan tangan untuk bersalam dengan emaknya tanpa mempedulikan renungan ingin tahu emaknya. Setelah bersalam dengan emaknya, tanpa sepatah kata Fakrul berlalu menuju ke bilik. Kemudian Ezani pula mendekati ibu mertuanya lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Apabila Mak Cik Limah memeluk erat menantunya, tangisan Ezani semakin rancak.
“Mak..” hanya itu yang mampu dikeluarkannya. Yang lain hanya tersangkut di hati. Ingin dinyatakan pada ibu mertuanya itu supaya menghalang anaknya daripada melakukan perkara yang memudaratkan dirinya. Namun semua itu tidak mampu diluahkannya. Mak Cik Limah menepuk perlahan belakang menantunya sebagai tanda memujuk. Hanya itu yang mampu mak lakukan buat masa ini nak..
Perlahan-lahan Ezani masuk ke bilik. Ezani dapat melihat Fakrul yang baru selesai solat Maghrib. Perlahan-lahan Fakrul duduk di katil sambil tanggannya mencapai buku kerjanya. Kehadiran Ezani tidak diendahkannya. Dengan perasaan sayu Ezani masuk ke bilik air untuk membersihkan diri dan seterusnya ingin mengadu ke hadrat Illahi.
Setelah bersolat, Ezani lihat Fakrul masih lagi begitu. Tekun mentelaah kerja pejabatnya. Namun dilihat wajahnya yang sedikit pucat. Eh sejak bila Fakrul tidak makan ni? Hati Ezani tertanya-tanya. Melihatkan keadaan Fakrul itu akhirnya Ezani membawa langkahnya menuju ke dapur.
“Assalamualaikum mak. Tengah hari tadi abang balik makan tengah hari kat rumah tak?” tanya Ezani kepada Mak Cik Limah.
“Eh, bukan dia pergi makan dengan Zani ke?” tanya mak mertuanya kehairanan. Seingatnya, tengah hari tadi Fakrul ada menelefonnya supaya makan dahulu dan tidak perlu menunggunya kerana hari ini dia ingin makan bersama isterinya diluar. Tak jadi ke?
“Erm.. tak pulak.. dah lepas lunch hour baru dia pergi jumpa Zani tadi mak. Tak pelah. Nanti Zani pergi tanya abang..” kata Ezani pula. Hati Ezani telah mula diragut kebimbangan. Seingatnya, pagi tadi pun suaminya itu hanya meneguk Milo untuk sarapan.
Seperti yang telah dijangkakannya, setibanya di bilik keadaan Fakrul bertambah parah. Mukanya yang pucat. Tangannya sejuk. Badannya menggigil-gigil sambil tangannya menekan perut. Ezani terus menerpa ke arah Fakrul.
“Abang.. Abang tak makan dari tengah hari tadi ye?” tanya Ezani. Fakrul yang sedang menahan kesakitan itu tidak mahu melayan pertanyaan Ezani. Dia bukan sahaja mogok makan tapi juga mogok suara dengan isterinya. Juraian air mata isterinya juga tidak diendahkannya.
Ezani tidak sanggup melihat keadaan Fakrul yang menggigil menahan kesakitan begitu. Perlahan-lahan dia mendekati Fakrul dan memeluk erat tubuh Fakrul sambil tangannya mengusap-usap lembut rambut suaminya. Fakrul membalas pelukan Ezani. Terasa terpujuk sedikit hatinya dengan pelukan tersebut.
“Hanna, sakit..” adu Fakrul dalam nada yang tersekat-sekat. Deraian air mata Ezani semakin laju.
“Abang.. Makan sikit ye.. Hanna pergi ambilkan makanan untuk abang,” Fakrul masih degil dan terus menggeleng. Sakit hati Ezani tatkala itu. Terbayang detik Fakrul bertegas untuk tidak makan suatu masa dahulu untuk membuktikan cintanya buat Nina. Adakah Fakrul rasa dirinya adalah Nina? Tiba-tiba Ezani terus berdiri. Terjelepuk Fakrul ke atas katil. Terkejut juga dengan tindakan Ezani yang tiba-tiba itu. Lantas Ezani keluar dari bilik dan menuju ke dapur.
“Mak, abang sakit. Zani bawak makanan untuk abang ke dalam bilik jelah mak ye. Mak makan dulu lah ye. Nanti bila Zani dah bagi abang makan Zani makan. Zani mintak maaf ye mak, tak dapat nak temankan mak makan,” kata Ezani pada mertuanya.
“Ayul sakit ape Zani?” tanya Mak Cik Limah. Risau juga hati tuanya mengenangkan anaknya itu. Namun sedikit lega memandangkan anaknya itu sudah berkahwin dengan insan yang sangat menyanyanginya. Itu Mak Cik Limah tahu.
“Gastric mak. Tengah hari tadi abang tak makan,” selamba saja Ezani mengaku perihal suaminya itu pada emak mertuanya. Biar lepas ni emak mertuanya pula yang meleteri suaminya itu. Suka-suka je nak ugut orang dengan penyakit dia tu. Tak ingat ke orang risau ke ape.. Ezani pula membebel di dalam hati sambil tangannya lincah mengambil makanan untuk suaminya.
Mak Cik Limah menggelengkan kepala mendengarkan kata-kata menantunya itu. Adalah tu yang tak kena. Tahu sangat Mak Cik Limah akan perangai anak terunanya itu. Suka mogok lapar kalau merajuk atau terasa hati. Tidak sedar diri tu sakit. Bebel Mak Cik Limah pula di dalam hati. Hehe.. aman rumah ni kalau semua orang suka membebel di dalam hati..
“Zani, ubat Ayul ada atas peti ais tu. Lepas dia makan baru kasi dia makan ubat tu ye nak,” beritahu Mak Cik Limah kepada menantunya.
“Baiklah mak. Terima kasih,” balas Ezani.
“Nak, pandai-pandailah pujuk si Ayul tu ye,” Mak Cik Limah berkata sambil tersenyum. Tersipu-sipu Ezani mendengar kata-kata mertuanya itu. Ish.. Mak ni macam tau-tau pulak anaknya merajuk dengan Zani.. Zani nak pujuklah ni mak.. Doa-doakanlah Zani berjaya ye mak.. kalau tak meranalah anak mak tu..
Setibanya di bilik, Fakrul masih lagi tertonggeng-tonggeng menahan sakit. Habis cadar tilam ditariknya. Ezani menggelengkan kepala.
“Abang, makan ni..” tegas suara Ezani. Fakrul masih lagi menggeleng.
“Abang, abang sedar tak apa yang abang buat ni? Abang ingat Zani ni Nina ke ha? Abang nak ugut-ugut Zani macam ni? Ini Zani abang bukan Nina!!” kata Ezani berang. Terkaku sebentar Fakrul mendengarkan kata-kata itu. Mukanya didongakkan ke muka isterinya. Apa maksud dia? Nina?? Apa kaitannya?
“Apa yang abang nak buktikan dengan lakukan semua ini? Abang nak buktikan kasih dan cinta abang pada Nina lagi ke? Tak perlu abang buktikan semua itu sebab Hanna dah lama tau semua tu!! Abang faham tak?!!” kata Ezani kasar. Ezani telah ditelan emosinya. Fakrul terdiam mendengar kata-kata Ezani. Dirinya semakin keliru. Kenapa Ezani menyebut-nyebut nama Nina? Masih tidak jelaskah apa yang dirinya cuba buktikan waktu ini?
“Kenapa abang buat semua ini? Abang nak Zani tolong carikan Nina bagi pihak abang ke? Baiklah Zani janji akan tolong abang carikan Nina. Kalau perlu Zani melutut di kaki Nina pun Zani buat. Tapi janji abang makan dulu,” kata Ezani lagi. Tidak semena-mena Fakrul menarik pinggan yang dibawa oleh Ezani tadi dan terus menjamahnya. Setitis lagi air mata Ezani menitis.
Tersiat hati Ezani melihat tindakan Fakrul itu. Nina? Itu sahaja jalan untuk memujuk Fakrul makan. Nina.. Ternyata kasih Fakrul buat Nina masih mekar dan bakal mekar selamanya.. Perlahan-lahan Ezani menjarakkan dirinya daripada Fakrul yang sedang makan. Sesudah makan, Fakrul kelihatan cuba bangun untuk menyimpan pinggan makannya itu di dapur. Ezani mendekati Fakrul lalu mengambil pinggan tersebut dari tangannya.
“Nina.. Abang..” Ya allah.. Macam mana aku boleh tersasul ni. Kelihatan bibir Ezani bergetar menahan tangisan.
“Hanna.. Abang..”,
“Tak pelah abang. Zani faham. Abang berehatlah. Ubat ada di tepi katil tu. Biar Zani pergi hantar pinggan ini dulu ye,” perlahan kata Ezani. Matanya tidak mampu merenung wajah Fakrul di hadapannya. Terasa seperti bila-bila masa sahaja air matanya akan berjuraian. Fakrul cuba menahan Ezani dari terus berlalu. Namun Ezani enggan.
“Abang berehatlah..”

----------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Air Mata Hati Bab 5



Buntu Ezani memikirkan syarat-syarat yang diberikan oleh Fakrul semalam. Suatu perjanjian yang tidak terjangkau oleh akalnya. Bolehkah macam tu? Siapa yang rugi dan siapa yang untung dengan perjanjian itu? Ezani terkenang kembali detik-detik Fakrul memberikan kata duanya.
“Abang hanya ada satu syarat sahaja sebelum abang lepaskan Hanna. Sebaik sahaja Hanna tunaikan syarat yang abang nak itu, barulah abang akan lepaskan Hanna. Itu pun jika Hanna nak abang lepaskan Hanna pada waktu tu,” terang Fakrul kepada Ezani. Ezani hanya membatu mendengarkan kata-kata itu.
“Tapi sebelum itu abang nak tanya, Hanna betul-betul tak nak hidup dengan abang?”,tanya Fakrul. Sungguh hatinya ingin mendengarkan bahawa Ezani memerlukannya untuk hidup. Ingin benar hatinya mendengarkan bait-bait sayang dari ulas-ulas bibir di hadapannya. Mungkinkah akan tercapai hasratnya itu?
Tiada sepatah kata yang hadir dari mulut Ezani. Yang kelihatan hanyalah anggukan kepala yang lemah sahaja rentaknya. Bagi Ezani cukuplah gerakan itu sebagai jawapan pada persoalan yang ditimbulkan. Selebihnya hatinya tidak rela.
“Baiklah jika itu yang sayang inginkan,” hati Ezani kembali bergetar.
“Abang akan lepaskan sayang…” Ezani menarik nafas dalam.
“ tapi dengan syarat sayang perlu lahirkan seorang anak untuk abang. Lepas itu abang takkan kacau sayang lagi kalau itu yang sayang mahu..” tenang dan lancar sahaja Fakrul meluncurkan kata-kata tersebut. Berbeza pula dengan reaksi dari Ezani. Tertegak badannya mendengarkan syarat dari Fakrul.
“Anak?!! Gila ke?” spontan terkeluar ayat itu dari bibir Ezani. Fakrul tidak ambil peduli dengan reaksi Ezani itu malah telah pun dijangka olehnya. Senyuman sinis pula tidak lekang dari bibirnya. Abang tidak akan kalah sayangku.. Getus hati Fakrul.
“Ayul ingat nak lahirkan anak tu macam buat cucur kodok ke? Campur air dengan tepung dah jadi?!!” tengking Ezani. Sungguh tidak disangka itu syarat yang ditetapkan oleh Fakrul untuk lepaskannya. Sekali lagi Fakrul hanya mengangkat bahu tanda tidak peduli. Ezani merengus geram.
“So, sayang masih nak abang lepaskan sayang atau tidak?” tanya Fakrul lagi setelah Ezani kelihatan seolah-olah kehilangan modal untuk bersuara. Ezani mengaru-garu kepala dan lengannya yang tidak gatal. Sungguh putus asa apabila mendengar permintaan aneh Fakrul.
“Ayul.. nape Ayul buat Zani macam ni?” Ezani masih kebingungan. Tidak faham dengan permintaan itu.
“Buat sayang ape pulak? Sayang mintak abang lepaskan sayang dan abang janji akan tunaikan. Tapi sebelum tu sayang tunaikanlah dulu permintaan abang. Barulah adilkan?” jawab Fakrul.
“Tapi kenapa anak?”
“Eh, ikut suka hati abanglah abang nak mintak ape pun. Macam sayang jugak suka-suka nak mintak talak dari abang”
“Zani tak faham kenapa Ayul sengaja nak menyusahkan apa yang mudah. Permintaan Ayul ini tidak adil buat Zani”
“Erm.. terpulang. Segalanya di tangan sayang. Abang tak kisah kedua-duanya. Fikirkan baik-baik ye sayang,” kata Fakrul sebelum terus berlalu meninggalkan Ezani termangu seorang diri. Tetapi sebelum itu sempat juga Fakrul menghadiahkan sebuah ciuman di pipi Ezani. Sekali lagi Ezani terpana.
Ezani duduk termenung memikirkan kata dua yang telah diberikan oleh suaminya semalam. Ezani buntu memikirkan apakah tindakan yang sewajarnya untuk perkahwinan mereka yang baru sahaja bermula kurang seminggu yang lalu. Kata dua yang diberikan itu betul-betul merunsingkannya. Kata dua tersebut juga telah menyebabkan Ezani menjadi keliru akan pendirian suaminya. Syarat untuk dilepaskan adalah perlu melahirkan seorang anak untuknya. Sanggupkah aku, desis hati Ezani. Bagaimana pula dengan anak itu nanti? Sudah tentu akan dirampas oleh suaminya dan dirinya akan kehilangan hak sebagai ibu ke atas bayi tersebut. Arghh! Ezani menjadi semakin tertekan.
Fakrul hanya memerhatikan isterinya yang termenung di laman rumah mereka. Fakrul tahu apa yang sedang memberat di benak wanita itu. Fakrul tahu bahawa kata dua yang diberikannya kepada wanita itu semalam adalah tidak mampu diterima akal sebenarnya. Ingin dilepaskan atau tidak pilihan yang tingal adalah menyerah padanya. Namun Fakrul kesal kerana isterinya itu masih tidak memahami maksud tersirat disebalik kata dua itu. Fakrul tidak mahu kehilangan isterinya itu. Tapi mengapa wanita itu seolah-olah sengaja tidak mahu memahaminya dan masih ingin dirinya dilepaskan. Sungguh dirinya tidak mengerti, sebaik sahaja lafaz akad disahkan oleh kadi rasa cinta terhadap isterinya itu seolah-olah tumbuh dengan mekar. Walaupun mulut lancangnya pernah dengan yakin bahawa tiada pernah akan ada cinta dihatinya buat Ezani. Nina adalah cinta teragungnya. Semua ini suratan yang Esa. Kenapa isterinya itu masih tidak mahu memahaminya? Fakrul kecewa tetapi untuk berputus asa dan menyerah begitu sahaja adalah tidak mungkin dilakukannya. Masjid yang baru dibina ini perlu dipelihara. Hanna.. abang cintakan sayang, jerit hati kecil Fakrul lagi.
Perlahan-lahan Fakrul mendekati isterinya itu. Selamba sahaja tangannya mendarat di bahu isterinya itu. Ezani menoleh. Sekelip mata satu kucupan sayang melekap di pipi dan di dahi wanita itu. Ezani terpana. Mukanya berubah. Keliru. Fakrul buat-buat tak tahu akan perubahan wajah isterinya itu. Hatinya ketawa kecil. Lantaklah kalau dia nak marah. Janji hati aku puas. Lagi pun dia memang berhak berbuat begitu. Lantas Fakrul melangkah dan duduk di kerusi yang berhadapan dengan isterinya. Sengaja dia memilih untuk duduk berhadapan isterinya itu.
Muka Ezani dipandang. Riak menggoda sengaja ditayangkannya. Dia tahu Ezani rimas. Dirinya memang sengaja. Sebenarnya Fakrul rindu terhadap isterinya itu. Hampir satu hari isterinya itu tidak mengendahkan dirinya dan hanya duduk termenung.
“Ayul, jangan tengok macam tulah,” marah Ezani. Malu, segan, seram dengan renungan suaminya itu. Mukanya yang seolah-olah ingin menggoda dirinya itu buat dirinya terasa ingin berlari jauh dari pandangan mata itu.
“Eh, suka hati abanglah nak tenung ke nak ape ke? Mata abang. Bukan mata sayang,” balas Fakrul selamba. Hatinya bagai digeletek melihatkan reaksi wanita dihadapannya itu. Eleh, seganlah tu..
“Suka hati awaklah,” lantas Ezani bangun meninggalkan lelaki itu di situ. Fakrul hanya memerhatikan Ezani berlalu.
Sedang asyik Ezani melayan menungannya di bilik tidur mereka. Sekali lagi dirinya diganggu. Kali ini Ezani dapat merasakan ada tangan yang melingkar di pinggangnya. Ada rasa bahang yang melekap dibelakangnya. Fakrul datang memeluknya dari belakang. Ezani cuba meronta tetapi pelukan itu semakin kejap dan tangannya pula terperangkap. Akhirnya Ezani membatukan diri. Keadaan mereka sunyi buat beberapa ketika sebelum Fakrul bersuara.
“Sampai bila nak termenung macam ni?” tanya Fakrul lembut di telinga Ezani. Ezani masih membisu dan enggan bersuara.
“Sampai bila sayang nak diam macam ni, hmmm?” tanya Fakrul lagi.
“Ezani dengar sini. Apa lagi pilihan yang ada? Sama ada Ezani nak dilepaskan atau sebaliknya, pilihan yang Ezani ada hanyalah untuk hidup bersama abang. Walaupun hanya untuk seketika”
Ezani menjadi semakin tertekan mendengar kata-kata itu. Spontan dia cuba untuk meloloskan diri dari pelukan tesebut namun dirinya gagal. Tangan kekar itu sentiasa bersedia akan tindakannya itu. Ezani semakin tertekan. Akhirnya air matanya gugur jua. Laju dan semakin laju.
“Kenapa buat Zani macam ni Ayul? Apa salah Zani?”
Mendengarkan esakan isterinya itu, lantas Fakrul merenggangkan pelukannya. Di pusingkan badan isterinya supaya menghadap dirinya. Perlahan-lahan jari-jemari kasarnya menyapu air mata yang tumpah di pipi gebu milik isterinya.
“Hiduplah dengan abang sayang,” rayu Fakrul pula.
“Kita cuba bina keluarga kita ya.. Lupakan Nina dan lupakan Fakrul yang lalu.. Sekarang hanya sayang yang abang cinta. Terimalah abang sayang,” rayu Fakrul lagi. Rayuan itu menambahkan lagi tekanan pada Ezani. Tiba-tiba Ezani menarik kasar leher bajunya sehingga butang-butang bajunya terkoyak semua. Menampakkan tubuhnya yang gebu. Tergamam Fakrul dengan tindakan isterinya itu. Dadanya mula bergelora. Sedaya upaya disabarkan dirinya.
“Hah, ini yang kau nakkan? Ambillah. Ini yang kau cari?? Lakukanlah. Lakukanlah sepuas hati kau. Lepas itu kau lepaskan aku!!” jerit Ezani. Seolah-olah orang hilang akal dan hilang pedoman. Bahasanya juga berubah kasar. Namun air matanya masih tetap mengalir di pipi.
“Ezani, sedar tak apa yang sayang lakukan ini? Apa semua ini?” jerkah Fakrul pula untuk mengimbangi nada isterinya tadi.
“Abang adalah suami Ezani,” sambung Fakrul lagi tetapi dalam nada yang lebih rendah.
“Huh! suami. Kau nak hak kau kan?! Ambillah. Lapas kau puas kau lepaskan aku”
Tak semena-mena satu tamparan melekap di pipi Ezani. Kecewa sungguh hati Fakrul mendengar akan kata-kata isterinya itu. Serendah itukah nilai hubungan suami isteri di mata wanita itu. Bukan tubuhnya yang aku damba tetapi cintanya. Sehina itukah aku di matanya. Tanpa amaran, air mata mengalir lesu dari tubir matanya. Mengaburi bola matanya yang sedia merah menahan sebak dihati sedari tadi.
“Abang kecewa,” hanya dua perkataan itu dilafazkannya dan terus berlalu pergi.
Ezani hanya memandang susuk tubuh Fakrul yang berlalu meninggalkannya. Juraian air mata yang galak turun dari tubir matanya dibiar sahaja mengalir. Moga dengan deraian air mata itu mampu mengubat lara hatinya.

---------------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Jumaat, September 19

Air Mata Hati Bab 4


Jam telah berdenting sebanyak empat kali tatkala Fakrul kembali menjejakkan kakinya ke bilik setelah puas memujuk hatinya yang pilu. Mujurlah pemergian dan kepulangannya itu langsung tidak disedari oleh sesiapa. Jika tidak, hari yang tenang itu mungkin akan bertukar kecoh. Mana tidaknya. Pengantin lelaki keluar rumah di malam pengantin. Memang tidak pernah dibuat orang.

Sayu hatinya apabila melihat Ezani yang tidur merekot di atas lantai. Tanpa sebarang alas. Tanpa sabarang kain yang menyelimuti dirinya. Perlahan Fakrul mendekati isterinya itu. Wajah yang lembut ayu itu ditenungnya lama. Sebuah kucupan hinggap di dahi Ezani. Fakrul sendiri tidak memahami dengan dirinya. Segalanya berubah tatkala mereka sah diijabkabulkan. Nama Nina ibarat terkubur tanpa nisan di hatinya. Langsung tiada kesan. Entah mengapa? Fakrul tiada jawapannya. Kucupan sayang hinggap lagi di dahi isterinya itu. Tidak tertahan rasa hatinya dengan rasa sayang itu. Hanna abang sayangkan Hana, jerit hati kecil Fakrul. Jangan tinggalkan abang, sayang...

Fakrul mengambil bantal dan mengalas kepala Ezani perlahan-lahan. Suhu penghawa dingin ditinggikan dan sehelai selimut diambil untuk menyelimuti isterinya itu. Setelah memastikan isterinya berada dalam keadaan yang lebih selesa akhirnya Fakrul juga sama-sama merebahkan diri di sisi isterinya. Wajah sendu isterinya itu ditenungnya lama. Tidur dengan bantal yang sama membuatkan wajah mereka hanya sejengkal jaraknya. Tangannya melingkari pinggang isterinya dan akhirnya dia juga turut terlelap. Di wajahnya juga terlukis sendu yang teramat.

Kokokan ayam pada pagi itu telah mengejutkan Ezani dari lenanya yang panjang. Terasa seperti ada tangan yang melingkari pinggangnya. Terkejut apabila melihat Fakrul ada disebelahnya. Perlahan Ezani mengalihkan tangan suaminya itu. Ezani berteleku di sebelah Fakrul yang nyenyak. Ezani tidak tahu bila Fakrul pulang dan tidur disebelahnya. Rasa kasihan menyelinap di hatinya apabila melihat Fakrul tidur tanpa alas. Ezani memberanikan tangannya untuk membelai rambut suaminya itu. Wajah Fakrul ditenungnya dengan rasa kasih yang mendalam. Bukan aku tidak sudi menjadi suri hidupmu cuma aku mahu kau berbahagia disamping insan yang kau sayangi. Diriku bukanlah insan yang bertuah itu yang terpilih untuk mendapat kasih sayangmu itu.

Gerakan kecil oleh Fakrul telah menyebabkan Ezani berdiri secara spontan. Risau kelakuannya itu disedari oleh Fakrul. Risau andai perlakuannya itu berjaya mengaburi permintaannya pada Fakrul malam tadi. Hakikatnya Fakrul telah lama sedar. Tindakannya telah lama diintip oleh Fakrul. Lenanya sejak malam tadi asyik terganggu. Fikirannya kacau dan berserabut. Perbuatan Ezani itu menyebabkan Fakrul yakin dengan keputusan yang telah dibuatnya malam tadi. Hatinya gembira. Fakrul tahu kasih Ezani buat dirinya masih seperti dulu. Masih belum berubah.

Tidak lama kemudian Fakrul berpura-pura mengeliat. Meregangkan urat-urat di badannya. Sakit juga badannya kerana tidur di lantai tanpa alas. Namun untuk tidur seorang diri di atas katil serba nan indah itu seorang diri Fakrul tidak sanggup. Ezani kelihatan terpaku melihatnya. Fakrul melemparkan senyum.

“Err.. bangunlah. Subuh,” itu sahaja yang mampu Ezani lafazkan. Hatinya masih gabra. Bimbang perbuatannya itu disedari Fakrul. Dirinya pasti akan diketawakan oleh Fakrul seandainya perbuatan itu disedari. Senyuman yang dihadiahkan oleh Fakrul sebentar tadi sedikit-sebanyak telah menceriakan hatinya.

Ezani terus berlalu. Selepas mengambil tualanya lalu terus menghilang ke bilik mandi. Tidak lama kemudian Ezani keluar kembali dari bilik mandi menuju ke almari. Sepasang baju kurung dikeluarkannya lalu kembali menghilang ke dalam bilik mandi semula. Tersenyum Fakrul melihat gelagat isterinya itu. Malulah tu, kata Fakrul sambil ketawa dalam hatinya. Senyuman kecil terbit di bibirnya.

Setelah selesai membersihkan diri, Fakrul dan Ezani sama-sama menunaikan tanggungjawab yang satu itu secara berjemaah buat pertama kalinya. Tenteram dan damai rasa hati Ezani tatkala dirinya mengucup lembut tangan suaminya. Sebagai balasan Fakrul menghadiahkan suatu kucupan tulus di dahinya. Terlupa sebentar konflik yang tercetus malam tadi. Yang ada hanyalah suasana suami isteri yang solehah.

Auchh!! Ezani bersin. Selepas itu Ezani terus bersin dan bersin lagi. Nampaknya Ezani telah diserang selesema. Merah sungguh hidung Ezani. Tergeleng kepala Fakrul melihat Ezani yang mudah diserang selesema itu. Itulah katil ada nak jugak tidur di lantai. Inilah padahnya, hati kecil Fakrul bersuara. Tetapi tidak pula disuarakan pada isterinya itu. Bimbang mood isterinya akan berubah kembali. Fakrul tidak rela melihat sendu di wajah isterinya. Setelah bersiap ala kadar, mereka sama-sama keluar dari bilik.

“Aik, awalnya pengantin kita bangun. Tidur tak nyenyak ke malam tadi?” usik Nek Leha. Belum sempat Fakrul menjawab usikan Nek Leha itu, Ezani kembali bersin. Auchh!! Bukan sekali dan bukan juga dua kali. Tetapi berkali-kali. Pantas Fakrul mencapai kotak tisu yang berada berhampiran dengannya dan memberikannya kepada Ezani. Tanpa sepatah kata Ezani terus mengambilnya dan terus bersin. Buat sekian kalinya Fakrul menggelengkan kepalanya. Hanna.. Hanna.. Terselit senyuman dibibirnya. Ezani kelihatan sangat comel dengan hidungnya yang merah.

“Lah, demam ke kau ni Zani?” kata Mak Cik Limah sambil meletakkan tangannya di dahi Ezani. Namun wajahnya dipalingkan ke muka anaknya, Fakrul untuk mendapatkan sebarang penjelasan.

“Kau buat apa pada si Zani ni Ayul sampai demam-deman dibuatnya dia?” terkeluar soalan itu dari mulut Nek Piah. Terkelu Fakrul seketika. Ezani pula hanya tertunduk malu. Faham dengan apa yang dimaksudkan. Eh, ke situ pulak Nek Piah ni? Terdengar ada suara-suara yang ketawa. Setelah menyepi beberapa ketika barulah Fakrul menjawab soalan emaknya. Soalan Nek Piah itu dibiar terus berlalu tanpa jawapan.

“Agaknyalah mak. Kejap lagi lepas sarapan Ayul bawakkan Hanna ke klinik,” balas Fakrul. Tersenyum Mak Cik Limah mendengar panggilan Fakrul pada Ezani telah berubah. Baguslah jika begitu. Kemudian Fakrul berpaling kepada Ezani.

“Hanna, nanti lepas makan Hanna siap ye. Abang bawakkan Hanna ke klinik Dr. Ain,” beritahu Fakrul pada isterinya. Ezani yang masih asyik dengan bersinnya itu hanya mengangguk. Bersin yang tidak henti-henti itu menyebabkan Ezani tidak mampu bersuara. Pada kali ini, bukan sahaja Fakrul yang menggelengkan kepala tetapi juga Mak Cik Limah, Nek Leha dan Mak Uteh. Anak-anak Kak Shiedah yang berada di situ ketawa melihat bidadari yang asyik bersin itu. Ezani tidak peduli. Apa yang pasti kotak tisu itu adalah miliknya..!

Pagi itu semasa bersarapan pagi, sempat Ezani menuangkan minuman dan menyendukkan bihun goreng kepada Fakrul. Itulah tanggungjawab pertama sebagai isteri yang dijalankan oleh Ezani sejak pernikahan mereka semalan. Fakrul menerimanya dengan senang hati. Senyuman Fakrul sentiasa dibibir. Bahagia sungguh rasanya bila ada isteri. Indah sungguh perasaan itu hingga terlupa terus permintaan isterinya semalam.

Malah semua yang berada di situ turut berasa senang hati melihat kelakuan mereka berdua. Ezani hanya makan sedikit sahaja. Dia tiada selera. Memang begitu kebiasaannya. Apabila dirinya dijangkiti selesema, selera makannya pasti hilang. Ezani makan sedikit pada pagi itu pun hanya kerana paksaan oleh Fakrul. Fakrul bertegas supaya Ezani perlu makan walaupun sedikit. Kata-kata Fakrul itu pula disokong oleh Mak Cik Limah dan Tok Hassan, suami kepada Nek Leha. Setelah selesai bersarapan mereka pun keluar menuju ke klinik.

“Teruk benar sayang bersin pagi ni. Itulah lain kali tidur atas katil. Hanna tidur atas lantai tu kenapa? Tak fasal-fasal dah sakit,” tegur Fakrul. Ezani memandang Fakrul yang sedang tenang memandu. Belum sempat Ezani menjawab, sekali lagi Ezani bersin. Fakrul tersenyum. “Tak apelah, abang bawak Hanna ke klinik Dr. Ain,” kata Fakrul lagi.

“Abang, jauhnya..” baru Ezani tersedar lidahnya telah tersasul kata. Serta merta wajahnya bertukar merah. Sama merah dengan hidungnya yang telah sedia merah. Tidak jadi Ezani hendak meneruskan kata-katanya.

“Alhamdulillah.. Akhirnya dapat jugak abang dengar Hanna panggil abang, abang,” sebut Fakrul. Girang benar hatinya. Luka hatinya semalam hilang begitu sahaja. Fakrul tertawa kecil. Wajahnya berseri-seri. Terasa ingin dicatatkan tarikh dan detik masa itu di dalam diari peribadinya supaya dapat diabadikan buat selamanya. Sungguh hatinya bahagia.

“Tak apelah, saja je abang nak bawak Hanna ke klinik Dr. Ain,” kata Fakrul lagi dalam maksud yang tersirat.

“Kenapa tak pergi ke klinik Dr. Ammar je. Dekat sikit kan?” tanya Ezani lagi.

“Err.. err.. tak apelah. Ammar… Klinik Dr. Ammar… err.. ha.. tutup hari ni. Sayang tak tau ke?” tergagap Fakrul memberi balasan.

“Eh, hari ni bukan public holidaykan? Rasanya klinik tu tak pernah tutup walaupun public holiday. Biar Zani check kad dia dulu,” balas Ezani dalam kepelikan.

“Tak.. abang dah called Ammar tadi dia cakap dia cuti,” Fakrul masih cuba mempertahankan alasannya. Pelik Ezani melihat gelagat Fakrul pada pagi ini. Akhirnya Ezani ikutkan sahaja kata-kata suaminya itu. Malas nak bertelagah lagi.

“Oklah.. Pergi jelah Ayul. Zani tak kisah,” lega hati Fakrul mendengar kata-kata Ezani itu. Tak mahu kisah keengganannya membawa Ezani ke Klinik Dr. Ammar diperkatakan lagi.

“Isteri encik ini hanya mengalami demam selsema biasa saja. Encik tidak perlu bimbang. Saya akan berikan ubat dan harap encik dapat memastikan isteri encik makan ubat tersebut tepat pada masanya,” pesan Dr. Ain kepada Fakrul. Ezani yang berada disebelah sekadar mendengar.

“Antibodi badan puan agak lemah. So, saya sarankan puan banyak makan buah-buahan dan bagus juga kalau puan ambil multivitamin,” tambah Dr. Ain lagi. Khusyuk Fakrul mendengar kata-kata Dr. Ain perihal Ezani.

“Saya bagi pada puan ubat demam, ubat selema, ubat batuk dan juga vitamin. Makan tepat pada masanya. Ok puan boleh ambil ubat puan diluar,” setelah mengucapkan terima kasih pasangan suami isteri itu pun berlalu.

“Sampai je rumah nanti Hanna terus pergi makan tengah hari, lepas tu makan ubat and tidur,” arah Fakrul sebaik saja mereka melangkah masuk ke dalam kereta. Ezani berpaling pada Fakrul.

“Alah.. tapi Zani nak tolong mak kemas-kemas. Takkanlah nak tidur tengah-tengah hari rembang ni,” sanggah Ezani. Sesungguhnya Ezani segan dengan ahli keluarga yang lain. Sungguh pun dirinya tidak sihat, Ezani tidak mahu mereka menganggap yang dirinya terlalu manja pula. Sakit sedikit sudah tidak boleh buat kerja. Mentang-mentanglah dirinya itu masih lagi bergelar pengantin baru.

“Ha.. Tengok tu.. Hanna ni memang degil tau! Hanna dengar cakap abang ni. Tak payahlah sibuk nak fikir fasal nak kemas rumah tu. Nanti abang buatlah.. Abang tolong mak kemas. Hanna tidur je. Mak pun mesti tak bagi Hanna kemas punyalah..” bebel Fakrul panjang lebar. Sifat Fakrul yang satu itu sangat Ezani ketahui. Fakrul sangat pandai membebel. Sabar ajelah hati.. Lagi pun bukannya tak biasa sebelum ni..

“Ha.. buat muka macam tu.. muka lawa pun dah jadi muka jebon,” tegur Fakrul lagi bila melihat Ezani seolah-olah tidak mahu mendengar kata-katanya. Malah menunjukkan muka yang tidak puas hati. Kebiasaan bercakap lepas dengan Ezani masih tidak dapat diubah.

“Hmm.. kalau dah tau muka Zani macam jebon buat apa nak simpan Zani. Lepaskan ajelah,” ringan sahaja mulut Ezani membalas kata-kata Fakrul itu. Fakrul pula tercengang dengan bidasan Ezani itu. Sungguh Fakrul tidak sangka isu semalam akan dibangkitkan kembali pada saat ini. Menyimpang sungguh balasan dari Ezani itu. Harmoni sungguh suasana antara mereka tadi. Kelu lidah Fakrul untuk bersuara. Ezani pula masih lagi menunggu balasan daripada suaminya itu.

“Kenapa Ayul diam? Jawablah..!” cabar Ezani lagi bila melihat Fakrul seolah tidak mahu menjawab kata-katanya tadi. Ezani masih lagi menunggu reaksi daripada Fakrul. Tiada sepatah kata keluar dari mulut Fakrul. Tetapi Ezani pasti Fakrul sedang menahan marah pada waktu itu. Cengkaman yang kuat pada stereng dan juga muka yang merah menggambarkan perasaan Fakrul pada waktu itu. Setelah tiba di selekoh terakhir sebelum masuk ke perkarangan rumah barulah Fakrul bersuara.

“Nantilah kita bincangkan hal ini. Buat masa ini abang nak Hanna pergi makan ubat dan tidur. Lagi satu abang harap sangat Hanna tak bercakap mengenai hal ini di depan mak. Abang tak nak mak sedih nanti. Mak sayang sangat pada Hanna,” balas Fakrul perlahan. Sayu sungguh rasa hatinya saat itu. Pedih juga hatinya apabila gurauannya telah disalahertikan. Tersentuh juga hati Ezani mendengar kata-kata Fakrul itu. Namun apakan daya. Sudah terlajak kata tidak boleh diundur.

“Zani, dah balik dah nak. Hm.. Zani pergilah makan di dapur tu. Lepas tu Zani naik berehat di bilik ye nak..” kata Mak Cik Limah pada menantunya itu. Menantu yang disayanginya ibarat anaknya sendiri.

“Baiklah mak,” balas Ezani pendek. Tersenyum Mak Cik Limah melihat kepatuhan Ezani itu.

“Ayul, kau pergilah temankan si Zani ni makan,” arah Mak Cik Limah pada Fakrul pula. Namun, tangannya masih lagi meraba-raba di dahi Ezani. Ingin merasa sendiri suhu badan Ezani. Risau juga hati tuanya. Bimbang menantunya itu menghadapi penyakit yang serius.

“Jom..” kata Fakrul sambil menarik tangan Ezani. Ezani terkejut. Mahu saja Ezani menepis pegangan Fakrul itu. Namun demi memikirkan maruah dan air muka Fakrul di hadapan keluarga akhirnya Ezani diamkan saja.

Sebaik tiba di dapur, Ezani menyuruh Fakrul duduk di meja makan. Dirinya terus bergerak ke dapur untuk mengambil pinggan dan menyendukkan nasi buat Fakrul. Entah mengapa dalam permintaannya untuk dilepaskan oleh Fakrul namun dirinya masih lagi menjalankan tugas seolah-olah dirinya itu isteri yang solehah. Belum sempat Ezani bergerak ke dapur, terasa pergelangan tanggan ditarik. Ezani terus berpaling.

“Hanna duduk. Biar abang yang pergi ambilkan pinggan dan nasi”

“Tak apelah. Zani bukan nak mati lagi. Boleh lagi nak pergi..” belum sempat Ezani menghabiskan kata-katanya. Ezani terasa pipinya ditampar oleh Fakrul. Tamparan tersebut tidaklah terlalu kuat. Namun masih mampu membuatkan Ezani terpana dengan tamparan itu. Terkejut hatinya dengan tamparan tersebut. Tamparan pertama dari suaminya. Tamparan akibat keceluparan mulutnya.

“Tak ada ayat yang elok lagi ke nak guna? Kenapa? Rasa tak puas hati tadi tu tak habis lagi ke? Cakap tu pernah fikir ke tak? Ikut sedap mulut dia je. Tak fikir langsung orang sakit hati ke tak ke? Suka-suka dia je. Masih nak cari fasal.. Tak penat-penat lagi ke? Kaki dah lah capit tangan pula berjahit.. Duduk jelah.. Saja nak tunjuk keras kepala dia,” marah Fakrul. Suaranya tidak ditinggikan. Bimbang dikesan oleh ahli keluarga yang lain. Namun ketegasan suaranya sudah cukup untuk membunuh keberanian di hati Ezani untuk terus menentang Fakrul. Setelah melihat Ezani duduk di kerusi meja makan barulah Fakrul bergerak ke dapur.

Setelah lauk disusun di tengah meja dan nasi telah dihidang akhirnya Fakrul mengangkat menadah tangan untuk membaca doa makan. Tanpa disuruh Ezani turut menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibaca oleh Fakrul itu. Fakrul telah memulakan suapannya yang pertama. Namun Ezani masih lagi menguis-nguis nasi dalam pinggannya. Sungguh seleranya tiada. Perbalahan dengan Fakrul tadi sedikit sebanyak juga telah membunuh seleranya. Namun itu semua salah dirinya. Asyik mencari fasal. Ezani sendiri tidak tahu apa yang dikehendakinya.

Suapan Fakrul terhenti apabila mendapati Ezani masih lagi belum makan nasi yang berada di hadapannya. Fakrul merenung Ezani disebelahnya. Ezani hanya menguis-nguis nasi dipinggannya. Fakrul bingung dengan tindakan Ezani dua hari ini. Benci sangatkah dia pada aku? Bukankah dahulu aku sering melihat renungan sayang dari matanya padaku? Bukankah dahulu tindakan dan cakap-cakap Ezani lebih menunjukkan perasaan yang sarat dengan perasaan sayang kepadaku? Sungguhkah Ezani tidak bahagia dengan perkahwinan ini? Daripada membiarkan perkara ini dari terus berlarutan dan memudaratkan semua, mungkin inilah masa yang terbaik untuk menghuraikan semua masalah ini.. Tapi perlukah aku melepaskannya? Sungguh hati Fakrul tidak rela.

“Baiklah..” kata-kata Fakrul secara tiba-tiba itu mengejutkan Ezani dari lamunannya. Cuak juga hatinya mendengarkan kata-kata Fakrul yang hanya sekerat jalan itu. Apa maksudnya? Dah nak lepaskan aku ke? Tiba-tiba badan Ezani terasa seram sejuk dan tangannya pula terus menggelar. Kuatkah hati aku untuk menghadapi saat ini?

Fakrul mengumpul kekuatan untuk terus bersuara. Wajah Ezani yang tiba-tiba berubah pucat ditenung dengan perasaan yang berbaur. Ya Allah berilah petunjuk pada hamba-Mu yang hina ini. Peliharalah rumah tangga yang baru terbina ini.

“Sayang makanlah.. Lepas ni kita keluar dan berbincang. Kalau abang terus ikat sayang tapi sayang tak bahagia pun tak guna jugak. Mungkin abang hanya layak untuk ditinggalkan. Tak apelah..” selepas menuturkan kata-kata itu Fakrul terus mengangkat pinggan nasinya yang baru makan separuh itu lalu beredar. Seleranya mati.

Ezani terpana dengan tindakan dan kata-kata Fakrul itu. Sudah tiba masanyakah?! Wajahnya berubah pucat. Takut. Sedih dan tidak rela pula yang bersarang dihatinya kini. Abang?! Rintih hati Ezani..


“Hanna dah fikir masak-masak tentang permintaan Hanna itu?” tanya Fakrul.

“Betul yang sayang takkan menyesal?” tanya Fakrul lagi. Hanna hanya menundukkan mukanya. Tidak berani untuk menatap wajah Fakrul. Satu-satunya wajah kesayangannya di muka bumi ini. Perit rasa hatinya dengan soalan itu. Hanya anggukan kepala yang mampu diberikan sebagai jawapan.

“Pandang muka abang, Hanna. Abang tak faham bahasa isyarat. Mana suara Hanna? Abang nak dengar kata-kata tu dari mulut Hanna sendiri!” tegas Fakrul. Sengaja dia ingin mendera hati Ezani. Secebis dari hatinya masih yakin masih ada sayang dihati Ezani untuk dirinya.

“Betul Hanna memang dah tak boleh terima abang sebagai suami? Even to give it a try for our marriage?” soal Fakrul lagi.

“Tak!! Kenapa Ayul tak nak faham ni?” jerit Ezani tiba-tiba. Sungguh hatinya pedih dan tidak tahan dengan segala soalan-soalan Fakrul yang bertalu-talu itu. Hatinya terdera. Hatinya tertekan. Kenapa Fakrul sengaja nak mendera hatinya lagi?

“Ok, kalau itu yang Hanna nak. Abang akan lepaskan Hanna. Kita akan cari saksi untuk selesaikan perkara ini,” tertegak pandangan Hanna mendengar ayat yang baru sahaja meluncur dari mulut Fakrul itu.

“Kenapa Hanna pandang abang macam tu? Hanna yang mintakkan?” provok Fakrul lagi. Manik-manik jernih sudah mula kelihatan di wajah Ezani. Hati Fakrul sendiri tidak tertahan apabila melafazkan kata-kata itu tadi. Namun hatinya itu dicekalkan. Aku perlu lakukan sesuatu. Dayus sekiranya aku hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa. Hanya mendengar permintaan Ezani yang berkali-kali untuk dilepaskan.

“Tapi dengan syarat. Abang hanya akan lepaskan Hanna dengan kehendak Hanna sendiri sekiranya semua syarat yang abang tetapkan itu telah Hanna patuhi. Setuju?” sekali lagi Ezani terpana dengan kata-kata Fakrul.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Air Mata Hati Bab 3


Ezani terjaga daripada lenanya yang panjang apabila berasa pedih yang amat sangat daripada luka yang berada di kaki dan tangannya. Mungkin kesan ubat semalam telah hilang. Melihatkan tapak tangan dan kakinya yang berbalut menyebabkan hatinya berasa simpati terhadap dirinya sendiri. Melihatkan jari-jarinya yang telah berinai mengingatkan dirinya bahawa hari ini adalah hari perkahwinannya. Oh, tidak. Bukan hari perkahwinannya tetapi hari pernikahannya. Dirinya hanya akan bernikah dengan Fakrul tetapi yang berkahwin hanyalah Fakrul dan Nina yang berada di dalam anganan Fakrul. Dirinya hanya bertindak sebagai patung boneka di hadapan tetamu yang hadir nanti. Ezani akan sentiasa mengingatkan dirinya akan perkara tersebut. Fakrul adalah suami untuknya tetapi dirinya hanyalah isteri di atas kepingan kertas bagi Fakrul. Tiada nilai dirinya bagi Fakrul. Mengenangkan perkara ini terasa ingin menitis air matanya.

Tiba-tiba Ezani terkenangkan ibunya. “Ibu, benarkah tindakan Zani ini, ibu? Akan bahagiakah Zani, ibu? Ibu doakan anakmu dari kejauhan ya ibu. Sesungguhnya apa yang Zani lakukan ini juga adalah untuk seorang insan yang bergelar ibu. Tidak sampai hati Zani melukakan hati seorang ibu yang sanggup menumpangkan kasihnya buat Zani,” terhinggut-hinggut bahu Ezani kerana menangis. Pilu hatinya. Hiba tak terkata. Ezani berkali-kali mengingatkan kepada dirinya akan hakikat ini. Mengingatkan kepada dirinya supaya jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap Fakrul kerana kelak dirinya mungkin akan merana. Ezani juga akan sentiasa bersedia untuk bergelar janda kerana dirinya tahu adalah sukar untuk menjalankan tugas dan kewajipan yang tergalas di bahu seandainya tiada kerelaan di hati. Ezani jelas akan hal ini. Perlahan-lahan hatinya pasrah.

“Zani, kau dah bangun ke nak?” terdengar panggilan Mak Cik Limah di muka pintu. Perlahan-lahan Zani cuba bangkit dari katil untuk membukakan pintu.

“Dah mak cik, sekejap ya,” jawab Ezani. Ezani cuba bangkit untuk membuka pintu. Berkerut mukanya menahan rasa sakit yang semakin terasa apabila dirinya melakukan pergerakan.

“Ya Allah, kesiannya anak mak ni. Apa yang kau buat semalam nak sampai jadi macam ini? Sedih hati mak tengok anak mak jadi pengantin dalam keadaan macam ni,” kata Mak Cik Limah. Tersentuh hati Ezani apabila Mak Cik Limah membahasakan dirinya mak kepada dirinya. Terasa seperti ibunya sendiri yang sedang berdiri dihadapannya kini.

“Mak cik..” getus Ezani sambil menangis. Memandangkan Ezani yang menangis maka Mak Cik Limah terus memeluk Ezani untuk menenangkannya. Tidak semena-mena air mata Mak Cik Limah juga mengalir lesu.

“Maafkan Zani, mak cik..” Mak Cik Limah mengusap perlahan belakang Zani. Dirinya mengerti perasaan anak gadis dihadapannya kini.

“Zani, hari ni mak nak. Mulai hari ini Zani adalah anak mak. Mak akan jadi wakil Zani hari ni. Bukan Ayul,” terang Mak Cik Limah. Ezani telah dianggap seperti anaknya. Bukan menantu.

Pelukan terlerai. Kedua-dua mereka serentak memandang ke muka pintu apabila terdengar ketukan. Fakrul menjengukkan mukanya. Apabila tersedar bahawa dirinya masih berpakaian tidur dan tidak bertudung, Ezani cepat-cepat menarik selimut dan menyelimutkan badan dan kepalanya untuk menutup dari pandangan Fakrul. Fakrul bukan mahramnya. Fakrul yang melihat telatah Ezani yang agak kelam kabut itu terasa seperti ingin ketawa tetapi ditahannya jua. Dalam fikirannya, untuk apalah Ezani bertindak seperti itu. Tidak sampai beberapa jam sahaja lagi Ezani akan menjadi miliknya. Akan tiada batas antara mereka. Tapi tidak mengapalah. Sekarang Ezani bukan miliknya lagi. Cuma bakal saja. Senyuman nakal terbit dibibirnya.

“Hah, ada apa kau datang ke sini Ayul? Kau mana boleh datang sini. Ini bilik anak dara tau,” tegur Mak Cik Limah kepada anaknya. Dah ketuk pintu tapi tak bercakap pulak. Hanya merenung Ezani sahaja matanya. Lucu pula rasanya apabila melihat Ezani yang berselubung seperti orang Eskimo ini, getus Mak Cik Limah di dalam hati. Melihatkan anaknya merenung tanpa henti terhadap Ezani tadi hati Mak Cik Limah menjadi sedikit senang. Moga ada petanda baik bagi mereka. Doa Mak Cik Limah.

“Eleh, anak dara apanya mak. Kejap je lagi dah nak jadi bini Ayul,” balas Fakrul selamba sambil tersengih. Ezani memalingkan wajahnya. Tidak sanggup rasanya untuk mendengar kata-kata tersebut. Untuk menghadapi hakikat itu nanti apatah lagi. Sengihan Fakrul lagi menambahkan jelik hatinya.

“Tak ada apalah mak. Ayul cuma nak cakap yang kita tak payah buat majlis sandinglah hari ni ye mak. Nanti-nantilah kita buat. Lagi pun Zani pun masih belum betul-betul sihat,” sambung Fakrul lagi terhadap ibunya. Wajah Mak Cik Limah dan Ezani dipandang secara berselang seli.

“Terpulang pada kaulah nak. Zani, apa pendapat kau pulak? Ini majlis kau jugak,” tanya Mak Cik Limah kepada Ezani. Sebenarnya Mak Cik Limah berasa agak bersyukur bahawa Ezani yang menjadi menantunya. Memang sudah lama Mak Cik Limah berkenan akan perilaku Ezani namun apakan daya apabila Fakrul berkenankan Nina. Mak Cik Limah tidak sangka bahawa hajatnya untuk bermenantukan Ezani akan terkabul. Sangkanya niatnya ini hanya akan tinggal anganan sebaik sahaja Fakrul menyampaikan hajatnya untuk menyunting Nina menjadi suri hidupnya. Nina bukanlah tidak baik orangnya. Cuma Mak Cik Limah agak kurang berkenan dengan gaya pemakaian Nina yang tidak bertudung dan agak menjolok mata.

“Zani tak kisah mak cik. Lagi pun ini bukan majlis Zani. Zani hanya sebagai pengganti sahaja. Zani ikut..,” belum sempat kata-katanya dihabiskan Fakrul telah memotong percakapannya.

“Ok,” sungguh balasan itu menjerut hatinya.

“Nak, kenapa cakap macam tu sayang?” tanya Mak Cik Limah kepada Ezani. Entahlah, Mak Cik Limah sendiri bingung untuk memahami perasaan Ezani yang duduk dihadapannya.

“Zani.. Zani.. er.. Bukan niat Zani.. er..” Ezani sendiri tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan kepada Mak Cik Limah. Ezani sedar. Fakrul memang tidak merestui perkahwinan ini. Atas sebab itulah Fakrul membatalkan upacara bersanding yang dijadualkan berlangsung pada petang ini. Mungkin jika Nina ditempatnya kini Fakrul sudah tidak sabar-sabar lagi untuk bernikah dan bersanding. Malangnya bukan Nina yang berada di sini. Yang ada hanyalah dirinya.

“Tak apelah nak. Zani berehatlah sayang ye. Sekejap lagi Mak Uteh akan masuk hantarkan sarapan pagi. Lepas makan Zani makan ubat. Nanti bila mak andam dah sampai baru Zani bersiap,” nasihat Mak Cik Limah sekaligus memberitahu Ezani mengenai jadualnya pada hari ini.

Majlis akad nikah yang dijadualkan dilakukan di Masjid Al-Farabbi juga telah dibatalkan. Majlis akad nikah hanya dilangsungkan di rumah. Sekali lagi Ezani berasa rendah diri. Tidak suka benar Fakrul pada dirinya. Apakan daya dirinya hanyalah galang pengganti. Segala persediaan bukanlah untuk dirinya. Siapalah dirinya untuk disambut dan dirai seindah dan semeriah itu. Terbayang majlis pernikahan dan persandingan yang sering diangankannya. Fakrul dan dirinya bersanding di atas pelamin serba nan indah. Fakrul juga tersenyum bahagia disampingnya. Wajahnya juga tergambar kegembiraan dan rasa tidak sabar untuk hidup bersama. Semua itu hanyalah anganan yang akan tinggal kenangan. Tidak mungkin jadi kenyataan.

Terpegun Fakrul seketika apabila melihatkan wajah Ezani sebelum majlis pernikahan sebentar tadi. Tidak pernah dirinya merasakan Ezani secantik tadi. Entah mengapa wajah Ezani yang kelihatan redup dan lembut sambil tertunduk ketika dirinya melafazkan akad di hadapan kadi tadi sering terbayang difikirannya. Ayu sungguh. Terselit juga rasa bangga di hatinya kerana mendapat isteri seanggun itu. Buat seketika Fakrul lupa bahawa kehadiran Ezani itu hanyalah sebagai pengganti kepada Nina yang melarikan diri. Buat pertama kalinya dirinya terlupa pada Nina. Hanya Ezani di matanya. Dengan hanya sekali lafaz sahaja maka sahlah Ezani sebagai isterinya.

Bergetar jiwa Ezani tatkala mendengar perkataan sah daripada mulut kadi diikuti oleh keempat-empat saksi. Kini sahlah Fakrul Ezairy bin Aminuddin Hakeem sebagai suaminya. Tamatlah sudah hidup bujang Ezani Hanna Mustaqim. Bermulalah sudah hidupnya sebagai isteri kepada Fakrul Ezairy. Serba-serbi perlu dikongsi.

Terasa mengigil tangannya ketika Fakrul menyarungkan cincin pernikahan mereka ke jari manisnya. Begitu juga semasa Fakrul mencium dahinya setelah dirinya tunduk mencium tangan Fakrul untuk upacara pembatalan air sembahyang. Pertama kali bersentuhan sebegitu menimbulkan rasa cuak dihati Ezani. Bisikan ‘Cantiknya isteri abang’ di peluput telinganya juga meremangkan bulu romanya. Dirinya benar-benar rasa tidak selesa dengan keadaan itu dan terasa seperti ingin melarikan diri dari semuanya. Namun, Ezani tahu semua itu adalah mustahil baginya. Yang tinggal hanyalah kehidupan bersama suami yang baru dinikahinya itu. Suami yang dahulunya adalah sahabat baiknya. Sahabat yang sering memberikan tempat berlindung dan bergantung kepadanya. Kini, lelaki yang sama itu juga yang sepatutnya akan berfungsi sebagai nakhoda dalam hidupnya. Tapi itu semua hanyalah kata-kata yang bermula dengan perkataan sepatutnya. Apa yang bakal berlaku nanti adalah sesuatu yang hanya akan bermula dengan perkataan tidak sepatutnya. Ezani ingat itu.

Segan sungguh Ezani apabila Pak Monty, jurufoto yang diupah meminta mereka untuk menggayakan pelbagai aksi yang romantik. Sekejap begitu, sekejap begini. Sungguhpun begitu, Pak Monty masih lagi mengambil kira keadaan Ezani yang cedera. Tidak dapat Ezani lupakan apabila Pak Monty meminta Fakrul memeluknya dari belakang sambil mencium ke pipinya. Terasa Fakrul mencium lembut ke pipinya. Selamba saja Fakrul melakukannya. Seolah-seolah langsung tiada masalah. Pandai sungguh Fakrul melakonkan wataknya. Mungkin juga Fakrul membayangkan dirinya adalah Nina. Hanya itu sahajalah jawapan yang mampu diberikan oleh Ezani terhadap dirinya. Usikan dan ketawa daripada sanak saudara dan hadirin memang gamat semenjak tadi. Ada sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut mereka. Itu yang menyebabkan Ezani tidak mampu mengangkat muka. Malu dan segan sungguh rasanya. Tidak hilang merah di mukanya. Bertambah ayu Ezani bila berwajah sedemikian. Fakrul pula hanya relaks di sisi Ezani sambil tersenyum lembut. Tangannya pula sentiasa melingkar di pinggang Ezani. Hendak ditepis takut jatuh air muka suami yang baru menikahinya itu. Tiada siapa yang tahu apa yang sedang bergelojak di hati suaminya ini, fikir Ezani. Begitulah juga dengan apa yang sedang bergelojak di hatinya. Tidak orang lain dan tidak juga oleh suaminya. Lagi pun, Fakrul memang sedari dahulu lagi memang seorang yang agak tenang orangnya. Sering cuba untuk menunjukkan ketabahan dihadapan orang lain. Ezani tahu itu. Dia kenal sikap Fakrul yang satu itu.

Setelah selesai sesi fotografi maka semua tetamu yang hadir dijemput untuk menjamu selera. Fakrul keluar mengiringi tetamu-tetamu tersebut. Tinggallah Ezani terkial-kial seorang diri. Ezani juga tidak mengharapkan Fakrul akan membantunya. Lutut dan tapak tangannya yang berjahit itu membataskan pergerakannya. Belum pun sempat Ezani bangun untuk menuju ke meja untuk majlis makan beradap, kelihatan Fakrul kembali ke dalam bilik sambil menyorong kerusi roda. Terkedu sebentar Ezani melihatkan Fakrul yang hadir bersama kerusi roda. Namun tanpa banyak soal Ezani duduk di kerusi roda tersebut dengan dibantu oleh Fakrul. Malas untuk memanjangkan kisah. Lagi pun perasaan malu sudah pun sarat memenuhi jiwa. Seandainya dirinya cuba menimbulkan perbalahan, lama pula mereka berduaan dalam bilik itu nanti. Huhu.. Tak sanggup!

“Terima kasih,” kata-kata itu hanya dibalas dengan sekuntum senyuman. Tersenyum Mak Cik Limah melihatkan keadaan itu. Semoga berbahagia anakku, getus hati kecil Mak Limah.

Malam itu adalah malam perkahwinan mereka. Seandainya mereka adalah seperti pasangan bercinta yang lain, sudah tentu itulah malam yang paling ditunggu-tunggu. Malam penyatuan antara mereka. Sudah tentu malam itu akan dinanti dengan penuh debaran. Lain pula yang dirasakan oleh Ezani. Hanya kerunsingan yang menemani dirinya. Sebelum ini mereka terlalu sibuk melakukan persediaan. Tidak sekali pun mereka sempat berbincang mengenai masa hadapan. Ezani sedar. Segala keputusan terletak ditangan Fakrul. Dirinya hanya mampu memberikan pendapat. Sudah cukup baik pada Ezani sekiranya mereka berpisah secara baik tanpa bermasam muka. Dirinya sudah cukup bersyukur. Berkaitan persahabatan mereka itu mungkin tidak akan seperti dahulu lagi. Ezani telah berura-ura untuk menetap di luar negara setelah Fakrul melepaskannya nanti. Hatinya benar-benar yakin Fakrul tidak mempunyai sebarang masalah untuk melepaskannya. Malah, mungkin tidak sabar-sabar untuk melakukannya.

Jarum jam menunjukkan pukul 10.30 malam ketika Fakrul menjejakkan kaki di dalam bilik. Ezani sedang termenung di beranda ketika itu. Perlahan-lahan Fakrul mendekati isterinya.

Amboi! khusyuknya dia. Langsung tak sedar aku datang, getus hati Fakrul. Tiba-tiba timbul niat nakal di hatinya. Tupp!! Fakrul mencucuk pinggang isterinya.

“Oh mak kau!!” jerit Ezani.

“Astaghfirullahalazim, Ayul!!” hanya itu yang mampu diperkatakan oleh Ezani.

Fakrul ketawa terbahak-bahak. Suka benar dia. Ezani hanya memandang suaminya yang sedang galak ketawa. Pelik melihatkan suaminya yang kelihatan gembira sejak tadi. Bukankah dia tidak rela dengan perkahwinan ini? Kenapa gembira pula?

“Hanna,” panggil Fakrul. Tercengang Ezani apabila Fakrul memanggilnya begitu. Tidak pernah Fakrul memanggilnya Hanna selama ini. Panggilan Hanna hanya digunakan oleh arwah ibu bapanya dahulu.

“Hanna, abang panggil ni,” tegur Fakrul lagi apabila tiada tindak balas dari Ezani. Ezani hanya merenung wajahnya.

“Oit!!” Fakrul mencuit bahu isterinya.

“Hah!! Apa.. Kenapa?” jawab Ezani secara spontan. Bagai orang yang baru dikejutkan dari tidur lagaknya.

“Tak ada apa-apa. Abang nak tanya, kenapa Hanna pakai tudung dalam bilik malam-malam ni? Selalu memang macam ni eh bila kat rumah? Tapi pagi tadi tak pulak. Siap berselubung macam orang Eskimo bila abang jenguk pagi tadi,” kata-kata Fakrul itu disambung dengan ketawa kecil dihujungnya.

“Zani.. er.. Hanna,” Ezani tidak tahu untuk membahasakan dirinya. Janggal pula bila hendak membahasakan dirinya Hanna. Lama sudah nama itu tidak disebutnya. Abang?? Lagilah pelik rasanya untuk membahasakan suaminya itu sebagai abang. Alamak! Macam mana ni?

“Asal gagap-gagap ni. Selalu bukan main banyak mulut Hanna. Takkan malam ni dah jadi gagap?” selamba sahaja Fakrul menuturkan kata-kata tersebut. Fakrul tahu gementar di hati isterinya itu. Ezani hanya menarik nafas yang dalam apabila mendengar kata-kata tersebut. Cuba mencari kekuatan untuk terus berbicara. Mereka perlu berbincang. Mengenai mereka. Mengenai masa depan. Adakah masa depan buat mereka? Mungkin tidak, fikir Ezani.

“Ayul, kita perlu berbincang,” Ezani cuba menguatkan hatinya.

“Bukan Ayullah sayang. Abang..” Fakrul membetulkan panggilan Ezani. Dia mahu Ezani memanggilnya dengan panggilan yang lebih mesra. Tanda ada ikatan sudah antara mereka.

“Nak bincang apa sayang? Tapi sebelum itu, abang nak ingatkan Hanna yang kita ni dah jadi suami isteri. Dah sah pun petang tadi. Tak perlulah Hanna nak bertudung dalam bilik ni. Tak berdosa pun. Tak rimas ke pakai tudung malam-malam buta ni..” kata Fakrul. Lantas tangannya melepaskan tudung yang terikat di kepala Ezani.

“Tapi,” Ezani tidak jadi meneruskan ayatnya apabila Fakrul merenung tajam ke mukanya. Ezani sedar tiada batas aurat antara mereka. Namun, bukankah mereka tidak berhajat untuk lama bersama. Sebenarnya Fakrul sendiri tidak sabar untuk menatap wajah sebenar isterinya itu disebalik tudung yang selalu dipakainya. Sebaik sahaja tudung dibuka rambut Ezani yang panjang mengurai terus terlepas ke bawah. Terkesima sebentar Fakrul melihatnya. Nafasnya ditarik dalam. Haruman dari rambut isterinya itu benar-benar memikat jiwanya. Cukup segar dan mendamaikan. Teringin sungguh Fakrul untuk membelai rambut isterinya itu. Namun Fakrul mencekalkan hatinya. Sekarang bukan masanya. Ada perkara yang perlu diselesaikannya bersama Ezani.

“Tak ada tapi-tapi. Ok, jom kita berbincang. Hanna nak bincang apa dengan abang?” Fakrul menarik Ezani menuju ke katil yang telah disediakan untuk mereka. Katil yang telah dihias indah. Berat rasanya untuk Ezani melabuhkan punggungnya ke atas tilam itu bersama-sama Fakrul. Susah benar Ezani hendak membiasakan diri dalam masa yang singkat itu.

“Ayul, boleh tak kalau cakap macam biasa. Janganlah main-main,” bentak Ezani apabila terasa dirinya acap kali dikenakan oleh Fakrul. Juga berasa tidak selesa untuk tidak bertudung dihadapan Fakrul sungguh pun Fakrul adalah suaminya kini.

“Bila masa pulak abang main-main? Salahkah bila abang bahasakan diri abang, abang? Abangkan suami Hanna,” balas Fakrul. Tidak puas hati lagaknya.

“Memang la Ayul suami Zani. Tapi kita bukannya suami isteri betul-betul pun,” kata Ezani. Buntang mata Fakrul mendengar kata-kata Ezani itu.

“Aik, kenapa pulak bukan betul-betul? Petang tadikan abang dah lafaz nikah depan kadi, depan saksi. Semua cakap sah. Apa yang tak betulnya??!” ternyata Fakrul tidak bersetuju dengan pendapat Ezani.

“Ingat abang lafaz main-main ke tadi?! Ingat kita main pondok-pondok ke?!!” tambahnya lagi. Tidak puas hati sungguh Fakrul dengan kata-kata Ezani tadi.

“Bukan itu maksud Zani,” bentak Ezani.

“Habis tu??” tekan Fakrul lagi. Masih tidak berpuas hati dengan kata yang keluar dari dua ulas bibir di hadapannya.

“Ayul..”

“Abang..” sekali lagi Fakrul membetulkan bahasa dirinya yang digunakan Ezani.

“Ayul, jangan macam nilah!! Kalau asyik macam ni macam mana nak berbincang. Selalu tak macam ni pun. Cakap macam biasalah. Orang dah la runsing macam ni dia nak buat lawak bodoh pulak,” marah Ezani.

Fakrul menarik nafas yang dalam. Cuba menyabarkan hatinya. Cuba meredakan suhu hatinya. “Apa yang runsing sangat ni? Bila masa abang buat lawak bodoh? Salah ke panggil macam tu? Bodoh sangat ke bila panggil macam tu? Apa yang tak kena? Cuba cakap pada abang, Hanna?” Fakrul menjarakkan dirinya dari isteri yang baru dinikahinya itu. Tersinggung benar hatinya dengan gelagat Ezani tadi. Tidak layakkah dia mendapat panggilan hormat seperti itu dari isterinya itu? Berat sangatkah?

Ezani runsing dan tidak faham dengan situasi ini. Kenapa Fakrul mendesak dirinya sebegitu? Penting sangatkah panggilan abang itu. Kenapa Fakrul berlagak seolah-olah perkahwinan mereka ini suatu kerelaan baginya? Bukankah Fakrul sendiri tidak rela? Apabila Fakrul menjauhkan dirinya sedikit-sebanyak rasa bersalah mula menyelubungi diri Ezani. Sedar perbuatannya itu adalah dosa. Mengecilkan hati suaminya adalah suatu yang dilarang Islam. Ezani tahu itu. Bukan dirinya tidak sayang pada Fakrul. Cuma luahan hati Fakrul pada emaknya tempoh hari masih menghantui dan terngiang-ngiang di telinganya. Sukar bagi Ezani untuk menerima keadaan yang berbeza dari yang dibayangkannya selama beberapa hari ini.

Setelah keadaan menjadi agak tenang. Fakrul akhirnya bersuara,
“Ok Zani, shoot!”

Setelah mengumpul segala kekuatan yang ada akhirnya Ezani pula bersuara, “Ayul, kita nak buat macam mana ni sekarang?”

“Buat macam mana apa?” dingin saja suara itu. Wajah Ezani langsung tidak dipandangnya. Tanda protes terhadap perlakuan Ezani sebentar tadi.

“Perkahwinan kita ni lah.. Ayul bercadang nak kekal macam ni berapa lama? Takkan nak hidup macam ni selama-lamanya?” balas Ezani. Fakrul terus berpaling. Menatap wajah isteri yang baru dinikahinya siang tadi. Pelik dengan soalan Ezani itu.

“Lama mana? Sampai bila-bila lah. Hidup macam ni? Hidup macam mana yang Hanna maksudkan?” entah mengapa sebaik sahaja sah Ezani menjadi isterinya, panggilan Hanna amat mudah keluar dari bibirnya. Tiada lagi Ezani.

“Takkanlah..” spontan kata-kata itu terkeluar dari mulut Ezani.

Kenapa? Tak boleh ke?” tanya Fakrul lagi.

“Apa masalahnya?”

“Ayul, Ayul buat semua ni sebab kesiankan Zani ke?”

“Kesian? Apa ni Hanna? Sungguh abang tak faham apa yang Hanna cuba sampaikan ni? Cuba cakap dengan terang..” tegur Fakrul. Sungguh dia tidak tahu apa yang cuba disampaikan oleh Ezani. Kepalanya yang tidak gatal digaru perlahan.

“Ok. Pendek katanya begini. Hanna, tahu Ayul memang tak ingin kahwin dengan Zani tapi..”, tersengih-sengih Fakrul memandang isterinya. Terhenti seketika Ezani dari berkata-kata.

“Sengih-sengih kenapa?” tanya Ezani dalam kepelikan. Orang cakap betul-betul dia main-main pulak. Kejap marah kejap sengih.. Dah tak betul ke si Ayul ni? His, geram betul!

“Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa… Sambung le..” kuntuman senyuman masih lagi dibibirnya. Suka benar hatinya apabila mendengar Ezani membahasakan dirinya Hanna. Walau Fakrul tahu Ezani tidak sedar dan hanya tersasul. Sekurang-kurangnya Fakrul tahu dia ada di hati isterinya itu. Walau hanya secebis tapi ianya telah memadai buat masa ini. Namun Fakrul tekad untuk mendapatkan lebih lagi tempat di hati isterinya itu. Tidak mengapa suatu hari nanti akan aku takluki hatinya itu. Semuanya..

“Err… bila Ayul nak lepaskan Zani?” ibarat suatu letupan bom atom di kepalanya. Fakrul sungguh tak menyangka Ezani akan berkata sebegitu. Belum pun satu hari mereka bergelar suami isteri, perkataan cerai telah terkeluar dari mulut Ezani. Pucat sungguh muka Fakrul tatkala itu. Mati terus senyuman yang memekar dibibirnya tadi. Tidak terlintas dihatinya untuk melepaskan isterinya itu. Tidak walau secebis. Kalut sungguh hatinya pada detik itu.

“Kenapa pulak Ayul nak lepaskan Hanna?” tanya Fakrul dalam getarnya.

“Ayul… Zani sedar yang hati Ayul bukan untuk Zani. Untuk apa Ayul simpan Zani sedangkan hati Ayul bukan di sini. Kebahagiaan Ayul bukan di sini. Bukan pada Zani. Tak ada beban untuk apa batu digalas. Zani tak nak jadi beban dalam hidup Ayul. Jadi petualang dalam hidup Ayul,” terang Ezani sambil tertunduk. Entah mengapa hatinya tidak cukup kuat untuk menatap wajah suaminya itu.

Tiba-tiba sahaja hatinya sendiri bagai tidak rela dengan apa yang dituturkannya itu. Pedih sungguh hatinya. Rasa seolah ada pisau yang merobek-robek hatinya. Bagai ternampak-nampak darah yang membuak-buak dari luka hatinya.

“Tak mengapalah Ayul. Zani faham. Zani tak nak bebankan Ayul. Lepaskanlah Zani. Zani rela,” tambahnya lagi apabila Fakrul hanya mendiamkan diri. Matanya pula telah mula membahang. Sungguh hatinya tidak rela. Tidak mengapalah asalkan Fakrul bahagia. Aku rela berkorban, kata Zani pada hatinya.

Entahkan dengar entahkan tidak. Fakrul hanya membatu di tempatnya. Sungguh dia tidak tahu apa jawapan yang harus diberikannya. Apa yang pasti hatinya tidak rela. Tidak semena-mena Fakrul terasa tanggannya dicapai. Dia menoleh. Kelihatan Ezani dalam juraian air mata tunduk mencium tangannya.

“Ayul, ampunkanlah Zani. Ampunkanlah Zani.. Zani tahu berdosa bagi seorang isteri seandainya minta untuk dilepaskan. Bukan Zani nak mengumpul dosa. Zani tahu Ayul tak rela terima Zani. Untuk kebaikan kita Ayul lepaskanlah Zani,” sekali lagi Ezani meminta untuk dirinya dilepaskan.

Perlahan Fakrul menarik tangannya yang dipegang kejap oleh isterinya. Sungguh hatinya bingung. Merah sudah bola matanya menahan tangis. Pedih. Pilu. Tidak mampu terucap dibibirnya. Sangkanya bahagia adalah miliknya. Bernikah dengan insan yang amat menyayangi dirinya di sangka akan membawa bahagia. Sungguh bukan dirinya tidak sedar Ezani menyayangi dirinya. Cuma waktu itu hatinya buta dek cinta Nina. Oleh kerana Nina ibarat segalanya, kasih sayang Ezani lantas ditolak tepi. Dilabel hanya sebagai kasih buat adik. Kini hatinya berubah. Tatkala hatinya berubah dan berazam untuk membalas kasih sayang dari Ezani itu keadaan jadi begini. Seandainya berita ini sampai ke pengetahuan emaknya, pasti emaknya itu kecewa. Fakrul tahu emaknya itu terlalu menyayangi Ezani. Gembira dihatinya terpancar jelas diwajahnya sepanjang majlis hari ini. Langsung tidak merungut penat melayan tetamu. Langsung tidak duduk diam. Fakrul tidak sanggup melihat emaknya kecewa.

“Betul Hanna nak abang lepaskan Hanna?” tanya Fakrul tanpa memandang wajah Ezani. Tidak sanggup rasanya. Ezani hanya menganggukkan kepalanya. Fakrul melihat hanya dari ekor matanya. Setelah mendapatkan jawapannya Fakrul bingkas bangun.

Setelah melepaskan suatu keluhan berat barulah Fakrul kembali bersuara, “kalau itu yang Hanna nak, baiklah. Abang akan fikirkan.” Selesai sahaja ayat itu Fakrul terus berlalu meninggalkan bilik itu. Tidak lama kemudian kedengaran ngauman kereta dan akhirnya sayup-sayup pergi. Tatkala itu juga terjelopok Ezani di kaki katil.

Abang, maafkan Hanna. Sungguh Ezani rasa tidak berdaya. Akhirnya Ezani terlena di kaki katil tanpa sebarang alas. Ezani tidur hanya berbantalkan lengannya. Merekot akibat kesejukan. Ada riak sendu di wajahnya.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Air Mata Hati Bab 2


Oleh kerana Ezani merupakan anak yatim piatu maka segala persediaan dilakukan di rumah Fakrul sahaja. Ezani akan diinai dan diberikan persediaan sebagai seorang pengantin pada malam ini setelah selesai makan malam. Segala hantaran di pihak perempuan juga keluarga Mak Cik Limah yang sediakan. Ezani hanya perla bersedia untuk menjadi mempelai. Satu sen pun tidak Ezani keluarkan. Semuanya ditanggung oleh Mak Cik Limah sekeluarga. Mungkin itulah bayaran untuk pengorbanan ini. Entahlah.. Entah mengapa semakin lama Ezani berada di dalam rumah itu benar-benar menyesakkan dadanya. Lalu, Ezani meminta kebenaran Mak Cik Limah untuk keluar bersiar-siar buat seketika. Pada mulanya Mak Cik Limah agak keberatan untuk membenarkan Ezani pergi kerana bimbang Ezani juga akan pergi melarikan diri seperti Nina namun setelah puas diyakinkan oleh Ezani akhirnya Mak Cik Limah membenarkan Ezani pergi. Sesungguhnya Mak Cik Limah juga sedar bahawa Ezani kini berasa tidak tenteram. Sungguh dirinya sayang pada gadis itu dan tidak bermaksud menjadikan Ezani sebagai galang-ganti kepada Nina namun apakan dayanya.

Setelah puas mencari ketenteraman diri akhirnya Ezani tiba kembali di rumah Fakrul. Kelihatan Pak Long Abu dan Pak Usu Manan sedang sibuk menyiapkan khemah untuk tetamu. Adik Azman pula sedang membantu menyusun kerusi dan meja. Memang menggambarkan suasana suatu majlis perkahwinan bakal berlangsung. Sepatutnya dirinya berasa bahagia namun entah mengapa hatinya sayu melihat akan semua persediaan ini. Ezani meneruskan langkahnya untuk masuk ke dalam rumah namun langkahnya telah dipesongkan menuju ke arah buaian yang terletak di halaman belakang rumah. Berura-ura untuk terus bersendirian sebelum sampai masanya dirinya disiap untuk menjadi raja sehari esok. Masa yang bersisa ini akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk bersendiri. Esok tiada lagi istilah sendiri kerana dirinya akan dimiliki. Dirinya akan menjadi milik Fakrul. Cuma Fakrul adalah bukan miliknya. Langkahnya yang longlai terhenti sendiri apabila terdengar ada suara yang sedang bercakap-cakap. Ezani kenal benar dengan suara itu. Suara Fakrul dan Mak Cik Limah. Entah mengapa kaki Ezani tidak mahu berganjak daripada tempat itu. Telinganya ingin terus mendengar apa yang diperkatakan oleh mereka.

“Ayul, mak harap sangat Ayul jangan sia-siakan Zani tu nanti ye”

“Mak, Ayul tak nak kahwin dengan Zani mak. Ayul tak cintakan Zani. Selama ini Ayul hanya sayangkan Zani macam adik Ayul je mak. Macam mana Ayul nak anggap dia macam isteri Ayul. Mak tolonglah Ayul mak! Ayul tak nak tapi Ayul dah tak tau nak buat macam mana..” mendengarkan kata-kata Fakrul itu air mata Ezani mengalir laju. Walaupun hakikat tersebut memang telah lama diketahuinya, mendengarkan kata-kata tersebut keluar dari mulut Fakrul masih melukakan hatinya. Pedih tak terkira. Sungguh pun begitu Ezani cuba cekalkan hatinya untuk terus mendengar bait-bait seterusnya yang bakal keluar daripada mulut Fakrul. Ezani sedar kini pandangan Fakrul terhadap dirinya. Ezani mengingatkan akan dirinya agar tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada Fakrul. Sesungguhnya pada detik itu juga Ezani telah bertekad dan bersedia untuk ditalakkan oleh Fakrul dalam masa terdekat ini. Siapalah dirinya buat Fakrul? Tiada beban untuk apa batu digalas. Ezani ingat pepatah itu. Sejak dari detik itu Ezani berazam untuk tidak akan melupakan status dirinya terhadap Fakrul. Ezani bernekad. Mungkin selepas genap seminggu pernikahan mereka dirinya akan meminta untuk dilepaskan. Ezani tidak sanggup untuk menyiksa Fakrul. Ezani terlalu sayangkan Fakrul dan inginkan Fakrul berbahagia.

“Ayul, dengar sini. Mak harap sangat Ayul terimalah Zani sebaik mungkin. Zani itu baik budaknya. Ayul sendiri dah berkawan lama dengan Zani masakan Ayul tak tahu. Tolong jangan aibkan mak, Ayul,” kata Mak Cik Limah lagi dengan suara yang lirih.

“Ayul tahu mak Zani tu baik. Tapi bukan itu persoalannya mak. Persoalannya di sini adalah cinta. Ayul tak cintakan Zani mak. Ayul cintakan Nina.. Ayul cintakan Nina..!!” Pang..!! Suatu tamparan tepat hinggap ke muka Fakrul. Fakrul tidak dapat menahan perasaannya. Secara tidak sengaja Fakrul telah meninggikan suaranya terhadap Mak Cik Limah. Fakrul terpana dengan tamparan itu. Ezani tidak sanggup lagi untuk terus mendengar perbualan tersebut. Secara tergesa-gesa Ezani beredar dari tempat persembunyiannya itu. Ezani juga berharap agar Mak Cik Limah dan Fakrul tidak akan menyedari akan kehadirannya di situ. Namun, apakan daya nasibnya malang apabila kakinya tersadung batu lalu tersungkur dan lututnya dan tangannya berdarah akibat terkena sisa cermin kaca yang pecah pada petang tadi. Aduh!! Ezani terjerit kecil di situ.

Ezani berjengket-jengket masuk ke dalam rumah. Tanganya juga disorokkan ke belakang. Risau lukanya itu akan disedari oleh mereka. Lebih-lebih lagi Ezani risau Fakrul dan Mak Cik Limah tahu bahawa dia yang mencuri dengar perbualan mereka tadi. Ezani cuba memanjangkan langkahnya menuju ke bilik yang telah dikhaskan untuk dirinya.

“Kenapa tangan berdarah Zani?” tegur Fakrul. Terkejut Ezani mendengar teguran tersebut. Ezani panik. Apa yang perlu dijawabnya?

“Tangan tu kenapa?” soalan yang tidak berjawab itu menyebabkan Fakrul meninggikan suaranya. Tegurannya pada kali ini telah menarik perhatian Mak Uteh yang kebetulan lalu di hadapan Fakrul. Ah.. kau peduli apa. Kata suara hati Ezani. Namun tidak pula dia luahkan.

“Berdarah? Kau buat apa Zani sampai berdarah ni?” tanya Mak Uteh tanpa memandang wajah Ezani. “Teruk jugak ni Zani..” Mak Uteh masih leka memerhatikan tapak tangan Zani yang luka itu. Darahnya mengalir laju.

“Er.. er.. Zani,” tiada alasan yang dapat diberikan. Tambahan pula melihatkan wajah Fakrul yang serius dihadapannya. Terus kelu dan kaku lidahnya. Sesungguhnya Ezani sangat takut kepada Fakrul apabila dirinya melakukan kesalahan. Sepanjang perkenalan mereka, Fakrul memang sering memarahinya. Pantang dirinya melakukan kesalahan. Pasti akan dimarahinya. Namun itu semua tidak mematikan rasa sayang yang berputik dihatinya buat diri Fakrul.

Melihatkan keadaan Ezani yang gugup itu Fakrul tahu ada sesuatu yang tidak kena. Fakrul kenal benar dengan reaksi dan mimik muka yang sebegitu. Keadaan Ezani yang tidak mahu memandang wajahnya juga membuatkan Fakrul mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Terdetik juga dihatinya bahawa suara yang didengarinya bersama emaknya tadi adalah suara Ezani. Adakah Ezani mendengar perbualan mereka tadi? Benarkah? Tanpa berfikir panjang, Fakrul terus menyambar tangan Ezani dari tangan Mak Uteh dan mengheretnya keluar. Tetapi jeritan Ezani menghentikan langkahnya. Kelihatan Ezani terduduk dan hampir menangis. Melihatkan keadaan Ezani itu perasaan Fakrul menjadi cuak.

“Kenapa ni?” tanya Fakrul. Ada nada bimbang di situ. Tiada jawapan yang diberikan oleh Ezani. Hanya air matanya sahaja yang mengalir lesu. Keadaan itu telah menyebabkan hati Fakrul yang cuak berubah berang. Tiba-tiba matanya tertancap pada kain baju kurung Ezani yang juga ada kesan darah. Dengan selamba Fakrul menyelak kain Ezani hingga ke lutut.

“Masyaallah, apa yang berlaku ni? Zani buat apa ni? Pergi mana tadi, haa??!!” jerit Fakrul. Fakrul tergamam melihat luka-luka di lutut dan kaki Ezani. Ezani juga tergamam dengan perbuatan Fakrul yang dengan selamba menyelak kainnya sehingga ke lutut. Tiada sebarang jawapan yang dapat dikeluarkan daripada mulutnya.

“Jom, kita pergi klinik,” sekali lagi Ezani terpana apabila Fakrul menggendongnya menuju ke kereta. Semua sanak saudara yang sedang membuat persiapan di rumah agak terkejut melihat Fakrul tersebut.

“Amboi, awalnya main gendong-gendong,” usik Pak Mahat. Usikan Pak Mahat itu langsung tidak dipedulikan oleh Fakrul. Ezani yang mendengar usikan tersebut yang memerah mukanya. Melihatkan muka Fakrul yang serius itu, Pak Mahat tidak jadi meneruskan usikannya itu. Begitu juga dengan mereka yang lain. Mungkin ada yang tidak kena, fikir mereka. Setelah meletakkan Ezani di kerusi sebelah pemandu. Fakrul terus menderu menuju ke klinik yang berhampiran.

Gaya pemanduan Fakrul yang kalut menambahkan lagi rasa takut di hati Ezani. Pegangan Fakrul yang kuat pada stereng juga menggambarkan kemarahan yang teramat sangat. Cumanya Ezani tidak faham mengapa Fakrul semarah itu.

“Yul, bawak tu perlahanlah sikit. Bahayalah!” tegur Ezani. Tiba-tiba terdetik sesuatu di mindanya. Fakrul tahukah dia yang menghendap tadi? Tak mungkin. Tiada orang yang tahu perbuatannya tadi. Mungkin Fakrul risau seandainya dirinya tercedera maka majlis perkahwinannya esok tidak dapat dilansungkan dengan lancar. Tiba sahaja di hadapan Klinik Ammar, Fakrul terus sahaja menekan brek dengan mengejut. Hampir tersungkur Ezani ke hadapan. Mujur saja dia telah memakai tali pinggang keledar. Ezani menjeling kepada Fakrul tetapi tidak diendahkan. Fakrul sengaja buat tidak tahu.

Fakrul terus membuka pintu dan terus menggendong Ezani buat sekian kalinya masuk terus ke dalam klinik tersebut. Memandangkan pada waktu tersebut tidak terdapat pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan maka Fakrul terus membawa Ezani ke bilik rawatan.

“Am, kau cuba tengokkan Ezani ni,” kata Fakrul kepada Dr. Ammar. Klinik itu sebenarnya adalah milik sahabatnya, Ammar. Mereka telah lama berkawan. Sejak di sekolah rendah lagi. Mereka telah lama terpisah apabila masing-masing membawa haluan sendiri untuk mengejar cita-cita. Fakrul mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang arkitek manakala Ammar pula untuk menjadi seorang doktor perubatan. Hanya beberapa tahun yang lepas setelah kedua-dua mereka telah tamat belajar akhirnya mereka bertemu semula.

“Eh, teruk juga ni. Kenapa dengan Ezani ni, Ayul?” tanya Ammar kepada Fakrul. Berkerut-kerut muka Ezani menahan sakit apabila Dr. Ammar menekan-nekan tapak tangannya yang luka. “Eh, ada serpih kaca yang terlekat di tangan ni”, kata Dr. Ammar lagi. “Ayul, luka ni perlu dijahit. Mungkin akan ambil masa sikit. Kau tunggu di luar dahululah kalau macam tu”, saran Dr. Ammar lagi. Tangannya lincah mengeluarkan segala peralatan yang diperlukan.

“Tak apa Ammar. Aku nak tunggu dan tengok di sini. Kau rawat dia saja. Ambillah berapa lama masa yang perlu aku tak kisah. Asalkan dia selamat,” tegas Ammar. Tersenyum Dr. Ammar mendengar kata-kata sahabatnya itu. Bukan itu yang dimaksudkannya tadi tapi kalau Fakrul sendiri telah berkeras untuk duduk dan melihat di situ apakan dayanya. Dr. Ammar meneruskan rawatannya terhadap Ezani tanpa mempedulikan Fakrul yang berada di situ. Sesekali kedengaran erangan dari mulut Ezani apabila Dr. Ammar mengeluarkan serpihan kaca dari lukanya. Ezani memalingkan mukanya. Tidak sanggup untuk melihat tangan dan kakinya dijahit oleh Dr. Ammar.

Ezani telah pun terlena apabila kereta tiba perkarangan rumah. Entah mengapa sebaik tiba di perkarangan rumah Fakrul tidak terus membawa Ezani masuk. Sebaliknya Fakrul hanya merenung Ezani yang sedang nyenyak. Dalam hatinya wujud satu perasaan asing. Entah apa dirinya pun tidak tahu. Ketukan ditingkap mengejutkan Fakrul dari lamunannya. Lantas dia membuka pintu keretanya.

“Apa yang terjadi pada si Zani ni, Ayul? Kenapa kau pergi tak bagi tahu dengan mak dulu. Risau mak dibuatnya. Tiba-tiba kamu berdua hilang. Tahu-tahu Mak Uteh cakap kau pergi bawak si Zani ke klinik. Kenapa dengan dia? Dia tak sihat ke..?” Fakrul lantas meletakkan jari dimulutnya memberi isyarat kepada emaknya untuk senyap. Fakrul bimbang Ezani akan terjaga dari lenanya. Sambil berbisik Fakrul berkata kepada emaknya.

“Masuk dulu mak, nanti Ayul ceritakan pada mak.”

Perlahan-lahan Fakrul mengangkat Ezani menuju ke bilik yang memang dikhaskan untuknya. Lena sungguh dia. Langsung tidak bergerak apabila diangkat oleh Fakrul ke biliknya. Lena Ezani itu berterusan hingga ke pagi.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino