Product from Adobe

Khamis, Disember 4

Cerpen : Aduh!! Mahalnya hantaran..


“Apa??!! Dua puluh ribu??”, terkejut Adif mendengar nilai yang disebut oleh Nila. Hampir tersedak Adif dibuatnya. Mujur saja air yang sedang dihirupnya tidak tersembur keluar.


“Biar betul Nila??”, Adif cuba mendapatkan kepastian mengenai apa yang didengari tadi. Dua puluh ribu??!!


Nila hanya mengangguk lemah. Adif meraup kepalanya, tanda resah.


“Nila.. mana Adif nak cari duit sebanyak tu?”, nilai itu dirasakannya bagai tidak masuk dek akal. Dirinya bukanlah anak orang berada malah baru sahaja dua tahun mula bekerja. Mana mampu untuk menyediakan mahar hantaran buat Nila yang sebanyak itu?


Nila hanya tertunduk. Tidak tahu apa yang perlu diperkatakannya.

“Ayah Nila tak setuju dengan perhubungan kita ke Nila?”, entah mengapa hati kecil Adif kuat menyatakan bahawa permintaan nilai hantaran yang terlalu tinggi itu merupakan signal secara halus daripada ayah Nila – dia menentang perhubungan ini. Ada calon lain yang lebih layak buat Nila.


“Entah la Adif. Setahu Nila, ayah tak pernah halang perhubungan antara kita..”, Nila juga tidak pasti akan permintaan ayahnya itu yang dikira agak melampau.


“Bila Adif rancang nak hantar rombongan meminang?”


“Minggu depan..”, jawab Adif perlahan.


“Hmm.. mungkin sempat lagi untuk Nila berbincang semula dengan ayah..”


“Biar Adif yang cakap dengan ayah Nila..”


“Jangan Adif.. Biar Nila yang cakap, kalau tak berjaya jugak nanti baru kita fikirkan tindakan kita yang selanjutnya ya..”, pujuk Nila. Nila tahu, hati Adif sudah pasti resah ketika ini. Begitu juga dengan hatinya.


“Ya Allah.. Kau permudahkanlah urusan-urusan kami dalam menuju jalan redha-Mu”, doa Adif di dalam hati. Moga hati ayah Nila lembut untuk mempertimbangkan kembali, nilai hantaran Nila nanti.


* * *


“Ayah, boleh Nila cakap sesuatu?”, tanya Nila lembut. Ayahnya yang berada di sofa sedang membaca akhbar didekatinya.


Nik Nirwan melipat akhbar ditangannya lalu diletakkan di meja kopi.


“Nila nak cakap apa?”


“Fasal nilai hantaran..”, jawab Nila pendek.


“Kenapa? Adif tak mampu?”


“Memang Adif tak mampu, yah. Keluarga Adif bukanlah orang berada, Adif pula baru dua tahun bekerja. Mana sempat Adif nak mengumpulkan wang sebanyak tu? Lagi pulak, tempoh pertunangan yang ayah letakkan cuma enam bulan..”, Nila cuba memancing akal rasional ayahnya. Moga setiap hakikat yang dibentangkan dihadapan mata ayahnya itu mampu membuka mata ayahnya mengenai tahap kemampuan Adif.


“Nila.. dengar sini. Nilai yang ayah tetapkan itu bukanlah untuk menyusahkan kamu berdua. Bukan juga niat ayah untuk menghalang niat murni kamu berdua untuk mendirikan rumah tangga. Cumanya, jika Adif tidak mampu untuk menyediakan nilai hantaran yang telah ayah tetapkan, itu bermakna Adif belum bersedia untuk memikul amanah menerajui sesebuah rumah tangga.. Macam mana Adif nak bela Nila kalau duit hantaran pun dia tak mampu sediakan..?”, hujah Nik Nirwan pada setiap patah kata anaknya.


“Tapi yah, wang bukanlah segalanya. Persediaan itu bukanlah terletak pada nilai wang tetapi apa yang terdapat di dadanya, kasih sayangnya, ilmu dijiwanya.. Itu yang lebih utama yah..”, selar Nila pula. Nik Nirwan merengus tidak senang dengan kata-kata anaknya.


“Kenapa kamu yang berbincang dengan ayah dan bukannya Adif sendiri?”, Nik Nirwan cuba memesongkan bicara.


“Bukan Adif tak nak, ayah. Nila yang tak izinkan dia berbincang dengan ayah. Biarlah Nila yang berbincang dengan ayah terlebih dahulu. Nila betul-betul tak faham kenapa ayah tidak mahu mempermudahkan perancangan kami ini ayah..”, Nila kesal dengan sikap ayahnya. Entah apa yang diharapkan oleh ayahnya melalui nilai hantaran yang banyak sebegitu. Nik Nirwan berpura-pura tidak mendengar akan jawapan anaknya. Surat khabar yang dilipatnya tadi diambil semula lalu berpura-pura kembali membaca. Tidak mahu anaknya itu memanjangkan bicara. Keputusannya muktamad.


* * *


“Eh.. Korang semua ni bercerita tentang apa? Riuh semacam je bunyinya..”, soal Nik Nirwan yang baru turun dari pejabat, pada rakan-rakannya yang riuh berborak. Itulah aktivitinya dan rakan-rakan pejabat yang lain selepas selesai waktu pejabat. Mengeteh barang sejam dua. Berborak-borak perihal semasa.


“Tak ada apa-apalah Nik. Si Farid ni ha.. Bercerita fasal nilai hantaran anak perempuan dia. Lima belas ribu kau tau dia letak..”, jatuh rahang Nik Nirwan mendengarkan nilai hantaran anak temannya itu.


“Kau biar betul, Farid?!!”, tanya Nik Nirwan tidak percaya.


“Betullah.. Bukan senang aku bela anak aku tahu? Ingat senang-senang je aku nak bagi anak aku macam tu? Atleast biarlah berbaloi dengan segala penat lelah aku membela dan membesarkan anak aku tu..”, jawab Farid acuh tak acuh. Bangga pula rasa hati Farid tatkala melihat wajah kagum rakan-rakannya.


“Tapi Farid, tu dah macam kau menjual anak kau?”, tegur Luqman yang nyata agak kurang bersetuju dengan Farid.


“Mana ada aku jual anak aku?!! Sedangkan harga anak lembu pun mencecah lima enam ribu, inikan pula anak aku.. Aku hantar dia pergi sekolah tau, siap masuk universiti lagi.. Takkan nilai dia hanya setara dengan anak lembu..”, balas Farid dengan wajah yang jelik. Nik Nirwan pula hanya mendiamkan diri. Cuba mencerna hujah kedua-dua rakannya.


“Logik juga kata Farid. Itu bukan menjual anak, cuma meletakkan nilai yang setimpal buat anaknya..”, hati kecil Nik Nirwan mula termakan oleh hujah-hujah Farid tadi.


“Aku dengar, hantaran anak kau si Eisya tu cuma enam ribu. Murahan betul ya anak kau tu..”, ucap Farid tanpa memperdulikan perasan Luqman. Luqman hanya menggeleng kesal. Tidak disangkanya, begitu dangkal tahap pemikiran Farid.


“Terpulanglah pada kau Farid. Cuma aku nak ingatkan kau bahawa redha Allah akan mengiringi perempuan yang murah, yakni murah mahar dan hantarannya. Apalah sangat nilai hantaran dan harga wang belanja andai akhirnya anak kau tidak bahagia..”, ucap Luqman sebelum berlalu meninggalkan rakan-rakannya.


Wahaha.. Farid ketawa berdekah-dekah apabila melihat Luqman berlalu meninggalkan mereka semua.


“Apa lagi yang boleh si Luqman itu katakan. Dah memang nilai anak dia tu murah, so nak pulak dia selitkan kononnya mudah mendapatkan redha Allah..”, Farid ketawa lagi, lagi dan lagi. Ketawa hingga hatinya puas. Rakan-rakannya yang lain juga turut ikut ketawa.


“Kalau tak ada duit, bagaimana nak hidup bahagia..?”, tambah Farid lagi dalam nada yang sinis.


“So Nik, hantaran anak kau pula nanti berapa??!”


* * *


“Adif, apa yang kita nak buat ni? Nila dah cuba bincang dengan ayah but still dia tak nak turunkan nilai hantaran tu. Still dua puluh ribu. Macam-macam alasan yang ayah bagi. Sampaikan Nila sendiri dah tak tahu nak cakap apa? Nila sendiri pun malu nak berhadapan dengan Adif”, ujar Nila lirih. Wajahnya ditundukkan. Segan untuk bertatapan dengan Adif. Segan dengan sikap ayahnya yang seolah-olah ingin menjualnya.


“Hei.. apa yang Nila cakapkan ni? Jangan risau, kita masih ada masa lagi untuk memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah ini..”, pujuk Adif. Nila hanya mendiamkan diri. Buntu memikirkan cara supaya Aidif dan dirinya dapat bersatu.


“Nila..”, panggil Adif setelah sekian lama mendiam diri.


Nila mengangkat wajahnya. Cuba memberi tumpuan pada Adif.


“Adif rasa Adif dah dapat caranya but Nila kena aturkan suatu pertemuan antara Adif dan ayah Nila, esok petang. Dalam pukul empat lebih, di Taman D. R. Seenivasagam. Boleh?”, tanya Adif. Hati Adif tersenyum. Adif yakin, dengan izin Allah, rancangannya esok akan berjaya.


“Boleh, tapi apa yang Adif rancangkan?”


“Yang itu nanti saja Adif ceritakan pada Nila. Sekarang ini, jom Adif hantarkan Nila balik dulu. Ada sesuatu yang perlu Adif uruskan..”


* * *


“Hello.. Assalamualaikum Adif.. Adif dah sampai ke? Nila baru saja sampai dengan ayah ni..”, Nila menghubungi Adif sebaik sahaja mereka tiba di tempat yang ditetapkan semalam. Jauh dilubuk hati Nila, dia sendiri tertanya-tanya mengenai perancangan yang dilakukan oleh Adif. Namun, atas dasar rasa percaya yang kukuh pada Adif, Nila yakin perancangan Adif itu bakal membawa kebaikan pada mereka dengan izin daripada-Nya.


“Waalaikumussalam Nila. Adif dah sampai. Nila ingat lagi tak, pondok pokok buluh kita? Adif ada kat situ..”, ujar Adif sebagai jawapan.


“Okey.. Nila ingat..”, jawab Nila ringkas sambil menutup telefon bimbitnya. Jika boleh pada petang ini, Nila tidak ingin diganggu. Semoga perancangan Adif pada hari ini berjalan dengan lancarnya, doa Nila di dalam hati.


“Jom ayah..”, ajak Nila. Nik Nirwan hanya mengikuti langkah anaknya tanpa sebarang kata.



* * *


“Assalamualaikum pak cik. Apa khabar?”, sambut Adif sebaik sahaja melihat kelibat Nila bersama ayahnya kelihatan. Tangan dihulur. Lalu Adif tunduk bagi menyalami tangan Nik Nirwan. Walau apa yang terjadi, hormat pada orang tua perlulah dijaga. Itulah prinsip yang Adif pegang selama ini.


Adif tersenyum pada Nila. Nila turut membalas senyuman daripada Adif.


“Eh Nila, takkan nak tersenyum aje. Ajaklah ayah Nila duduk. Marilah duduk dulu, Pak Cik..”, sengaja Adif mengusik buah hati pengarang jantungnya sambil menjemput Nik Nirwan duduk. Sopan sahaja budi bahasanya. Nik Nirwan mengangguk. Lantas mereka bertiga duduk di pondok buluh yang terdapat di situ.


“Pak cik, beberapa hari yang lepas Nila ada maklumkan pada saya mengenai nilai hantaran yang telah pak cik tetapkan..”, Adif memulakan bicara pada petang itu.


“Kenapa?!! Kau tak mampu nak sediakan?”, pintas Nik Nirwan bertanyakan soalan yang dirinya sendiri sudah mengetahui jawapannya.


“Ya, pak cik. Terus terang, saya mengaku pada pak cik bahawa saya tidak mampu untuk menyediakan mahar hantaran yang sebanyak itu..”, lembut sahaja suara Adif menjawab. Nila hanya mendiam diri. Tidak mahu menyampuk dan mengganggu perbualan antara Adif dan ayahnya.


“Dah tu, berapa nilai hantaran yang kau rasa mampu untuk diletakkan untuk anak aku?”, tanya Nik Nirwan kasar.


“Ayah..”, tegur Nila lembut. Dia agak kurang menyenangi cara ayahnya melayani Adif. Adif memberi isyarat ‘tidak mengapa’ pada Nila, membuatkan Nila tidak jadi untuk bersuara.


“Kalau kau rasa tak mampu lagi untuk menyediakan duit hantaran semua ini, kenapa kau gatal-gatal nak ajak anak aku kahwin pulak??!! Entah-entah nanti anak aku mati kering tak makan, kalau dia kahwin dengan kau..!!”, tambah Nik Nirwan lagi. Adif hanya tersenyum dan cuba menenangkan hatinya yang pedih akibat kata-kata kasar Nik Nirwan.


“Insyaallah pak cik. Andai kata sebegitu daif kami pada waktu itu, rela saya tidak makan demi mendahulukan keperluan isteri dan anak-anak saya nanti. Lagi pun, mereka adalah tanggung jawab saya nanti. Masakan saya akan membiarkan mereka mati kebuluran tidak makan..”, Adif masih lagi berlembut. Nik Nirwan merengus kasar. Tidak suka dengan jawapan Adif yang dia kira sebagai sengaja ‘tunjuk baik’.


“Huh!! Belum dapat memanglah itu jawapan kau. Hah.. jangan cakap banyak. Agak-agaknya berapa nilai yang kau mampu letakkan?”, malas Nik Nirwan hendak melengah-lengahkan bicara. Tambahan pula, hatinya sudah bulat untuk meneruskan dengan keputusan yang telah dibuatnya sebelum ini. Pasti gah nanti apabila aku bercerita pada Farid dan rakan-rakan pejabatnya nanti, desis hati Nik Nirwan.


“Sepuluh ribu pak cik.. Itulah sahaja nilai yang saya mampu buat masa ini..”


“Sepuluh ribu?!! Gila..!! Kau ingat Nila ni apa? Anak lembu??”, tengking Nik Nirwan tiba-tiba.


“Ayah..!!”, Nila tidak menyangka bahawa ayahnya akan berkata begitu.


“Kau diam Nila. Ayah tak mahu kau masuk campur. Hei, kau dengar sini Adif. Sedangkan anak lembu lembu pun dah berharga lima enam ribu, inikan pula anak aku..”, sengaja Nik Nirwan mengulangi kata-kata yang pernah dituturkan oleh Farid suatu ketika dulu. Marahnya meluap-luap apabila mendengar nilai hantaran yang diminta oleh Adif.


Adif hanya diam melihatkan keadaan Nik Nirwan yang sedang marah.


“Sepuluh ribu?!! Empat ribu sahaja lebih daripada harga lembu? Kiranya kau anggap si Nila ni, up sikit jelah daripada lembu. Begitu?!!”, sambung Nik Nirwan lagi.


Adif menarik nafas dalam. Pipinya yang gatal akibat digigit nyamuk, digarunya perlahan. Entah mengapa hatinya berasa lucu mendengar kata-kata Nik Nirwan tadi. Ada ke patut dia membandingkan Nila, buah hati aku yang comel ini dengan lembu? Sungguh hati Adif tidak percaya. Sedaya upaya ditahan agar tawa dihatinya tidak terlepas dibibirnya. Di tambah pula dengan riak wajah Nila yang mula merintik merah apabila mendengar butir bicara ayahnya. Marah barangkali, teka Adif lagi.


“Baiklah pak cik. Kalau itu yang pak cik inginkan, saya..”, bunyi deringan telefon bimbit Adif telah mematikan butir bicaranya.


“Maaf.. Sebentar ya pak cik..”, Adif bangun daripada kerusi yang didudukinya dan menghadap ke belakang. Lagaknya seolah-olah ingin berahsia mengenai perbualan tersebut.


“Baiklah..”, kata Adif sebelum menamatkan perbualan telefon tersebut. Adif kembali duduk ditempatnya tadi.


“Beginilah pak cik. Kalau pak cik tetap bertegas dengan keputusan pak cik, nampaknya saya terpaksa akur. Demi Allah pak cik, saya sanggup melakukan apa sahaja asalkan saya dapat bersama-sama dengan Nila. Pak cik jangan risau, sebentar lagi kawan saya akan datang. Dia dah bersetuju untuk memberikan saya pinjaman..”, kata Adif tenang. Nila pula terharu melihat akan kesungguhan Adif untuk mendapatkan dirinya sebagai suri hidup Adif.


“Huh!! Boleh pun.. Aku dah agak dah, kau memang sengaja bagi alasan sebelum ini..”, balas Nik Nirwan acuh tak acuh. Dalam hatinya sudah membayangkan betapa bangganya dia nanti apabila bercerita pada rakan-rakannya. Adif tersenyum lagi.


“Hello my friend..”, tiba-tiba suatu suara kedengaran menegur mereka. Pantas Nila dan Nik Nirwan menoleh ke belakang. Tempat dimana arah suara itu datang. Kelihatan dua orang lelaki lelaki datang menghampiri mereka. Berubah wajah Nila tatkala melihatkan penampilan kedua-dua lelaki itu. Lagak mereka seperti ahli-ahli kongsi gelap.


Adif tersenyum sambil mengangkat tangan kepada dua lelaki tadi.


“Ok.. you sudah setuju ka?”, tanya salah seorang lelaki tadi apabila mereka sudah berada di sebelah Adif.


“Ya..”, jawab Adif ringkas.


“Wah.. you punya amoi manyak cantik wo..”, kata lelaki yang seorang lagi. Nila cuba menjauhkan diri daripada lelaki itu. Agak takut dan tidak selesa dengan situasi itu.


“Adif, siapa mereka semua ni?”, tanya Nila. Ternyata Nila tidak senang hati dengan suasana ini. Hatinya tiba-tiba berdenyut risau. Rasa seperti ada yang tidak kena.


Adif diam, tidak menjawab soalan yang diajukan oleh Nila.


“Okey.. kalau itu macam, lu sign sama ini borang..”, Adif menyambut borang yang dihulurkan kepadanya. Setelah menandatangani borang tersebut, Adif pun menyerahkan kembali borang kepada kedua lelaki tadi.


“Tahniah..!! Terima kasih kerana berurusan dengan kami Ah Long Bukit Beluntong..”, ujar lelaki yang menerima penyerahan borang daripada Adif. Sebuah beg pula diserahkan kepada Adif sebagai balasan borang tadi. Adif menyambutnya dengan senang hati.


“Wah..!! Wa talak sangka wo itu duta kita olang, Aflin Shauki sama itu Din Belamboi buat kelija manyak baguih.. Sampai Ipoh sini, kita olang boleh dapat customer..”, tambah lelaki yang seorang lagi.


“Apa??! Ah Long?!”, jerit Nila bersama-sama Nik Nirwan. Gila. Tidak Nila sangka, Adif senekad itu dan sanggup mengambil langkah gila yang sebegitu.


“Ya. Adif terpaksa. Maafkan Adif, Nila kerana terpaksa mengambil langkah ini. Adif dah tak layak buat pinjaman daripada bank sebab sebelum ini Adif dah buat dua pinjaman. Satu untuk beli rumah dan satu lagi untuk beli kereta. Adif harap Nila faham tindakan Adif ini..”, ucap Adif tulus memohon pengertian daripada Nila. Segalanya terpaksa Adif lakukan Nila, demi kita dapat bersama.


“Pak cik, sekarang ini duit dua puluh ribu sudah ada dalam tangan Adif”, kata Adif sambil menepuk beg yang berada di atas meja.


“So, Adif kira perbincangan kita hari ini selesai ya..”


Huh!! Hanya itu sahaja balasan daripada Nik Nirwan.


“Kalau begitu, marilah kita pergi makan dulu. Biar Adif yang belanja..”, ajak Adif. Nik Nirwan berjalan dahulu dan meninggalkan Nila dan Adif sedikit terkebelakang.


Belum pun sepuluh tapak mereka berjalan, tiba-tiba mereka telinga mereka disapa oleh suatu bunyi. Bunyi seperti orang sedang bergaduh dan diikuti oleh bunyi erangan kesakitan. Pantas mereka menoleh ke arah bunyi tersebut. Kelihatan seorang lelaki dibelasan dihadapan keluarganya oleh kedua-dua lelaki yang menggelarkan diri mereka Ah Long Bukit Beluntong tadi. Pucat wajah Nila melihatkan insiden itu. Pantas Nila menarik baju Adif.


Adif sedar maksud Nila.


“Jangan risau sayang, Adif akan pastikan bahawa Nila tidak akan apa-apa nanti. Insyaallah..”, ucap Adif perlahan. Air mata Nila sudah mula membasahi pipinya.


“Habis tu, Adif macam mana?”, marah Nila. Suara Nila yang kuat telah menarik perhatian kedua lelaki yang sedang khusyuk membelasah mangsa mereka.


“Hallo abang.. Mali sini..”, jerit salah seorang lelaki tadi. Tangannya dilambai-lambai, memanggil Adif, Nila dan Nik Nirwan mendekati mereka. Dengan langkah yang gerun, mereka bertiga berjalan merapati kedua-dua lelaki tadi.


“Hmm.. wa mau lu olang tengok apa jadi sama ini olang. Dia sudah pinjam sama kita tapi talak mau bayar.. Hmm.. Busuk punya olang..”, kata lelaki itu sambil menarik rambut lelaki yang sudah mula longlai akibat dibelasah tadi.


“Ayo yo.. Tolong la.. Jangan pukul suami saya lagi..”, rayu isteri lelaki tersebut bersama-sama tangisan.


“Haiya aci.. Lu jangan lisau la.. Kita olang sudah penat belasah sama dia ma.. Ah Keong, hali ni lu la pulak potong..”, ujar lelaki itu kepada rakannya.


“Wokeh..”, lelaki yang dipanggil Ah Keong tadi mengeluarkan parang pendek yang sememangnya tersisip rapi dipinggangnya. Lelaki yang seorang lagi pula mengheret lelaki yang sudah lemah longlai itu menghampiri satu batu dan meletakkan tangan lelaki itu dalam keadaan tangannya yang menggenggam dan hanya tinggal anak jari sahaja yang diluruskan. Apabila mereka berdua sudah bersedia, maka parang pendek tadi diangkat tinggi sebelum dihayunkan. Sebelum parang pendek itu sempat menetak jari lelaki tadi, Nila berlari dan menolak Ah Keong.


“Jangan..!!”, jerit Nila.


“Haiyya.. Lu punya amoi manyak kacau la..”, rungut rakan Ah Keong sambil menggaru kepalanya.


Adif pantas mendapatkan Nila. Bimbang Nila diperapakan oleh kedua ahli kumpulan Ah Long itu. Nila melutut di kaki Adif.


“Adif, tolonglah.. Pulangkan balik duit yang Adif ambil tadi. Nila tak mahu semua perkara ini terjadi pada kita.. Tolonglah Nila, Adif.. Nila rela kita tak kahwin daripada kita terpaksa mengambil risiko yang tak berbaloi macam ni..”, rayu Nila bersama tangisan yang teresak-esak. Mujur sahaja tempat itu agak terselindung oleh pokok-pokok buluh yang merimbun. Jika tidak pasti keadaan ini akan menarik perhatian orang ramai yang mula memenuhi kawasan taman rekreasi ini.


Adif meraup mukanya. Resah dengan kata-kata Nila.


“Tidak Nila. Adif lebih rela ambil risiko ini. Adif rela mati Nila, asalkan kita dapat bersama..”, ucap Adif nekad. Tidak sanggup menerima kata-kata Adif tadi, Nila bangun dan melutut pula dihadapan ayahnya.


“Ayah.. tolong Nila ayah. Sanggupkah ayah rampas kebahagian Nila, semata-mata untuk mendapatkan nilai hantaran yang tinggi. Nila dah tahu ayah. Nila dah dengar semuanya, apa yang ayah borakkan dengan Uncle Farid waktu dalam telefon hari tu. Ayah tetapkan hantaran Nila tinggi-tinggi sebab ayah nak berlagak dengan kawan-kawan ayah, kan? Tolong Nila ayah.. tolong Nila.. “, rayu Nila lagi. Kaki Nik Nirwan dipeluknya erat. Harapannya agar ayahnya dapat melakukan sesuatu. Harapannya juga agar ayahnya dapat memikirkan akan kebahagiaan dirinya.


“Nila.. bangun..”, Nik Nirwan menarik Nila supaya berdiri. Air mata yang mengalir laju dipipi Nila disapunya perlahan. Kemudian, Nik Nirwan mengalihkan pandangannya ke arah Adif yang berdiri tidak jauh daripada mereka.


“Adif, pulangkan wang mereka. Baiklah.. kita ikut sahaja kemampuan Adif. Jika begini nanti kesudahannya, nilai hantaran yang tinggi itu tiada maknanya..”, ucap Nik Nirwan perlahan. Namun masih lagi dapat ditangkap oleh deria pendengaran Adif.


“Apalah sangat nilai hantaran dan harga wang belanja andai akhirnya anak kau tidak bahagia”, kata-kata Luqman suatu ketika dulu kembali bergema ditelinganya. Ya Allah, moga Kau merahmati perkahwinan anakku nanti, doa Nik Nirwan di dalam hati.


“Haiyya.. Ini macam wa manyak lugi la..”, rungut ahli Ah Long Bukit Beluntong itu. Nila ketawa dalam tangisan. Ya Allah.. Aku bersyukur terhadap-Mu.


* * *


Majlis peminangan berjalan dengan lancar. Telah ditetapkan bahawa nilai hantaran adalah sepuluh ribu dan tempoh pertunangan akan dijalankan selama sebulan sahaja. Dipendekkan tempoh selama empat bulan sebelum tempoh asalnya, enam bulan.


* * *


“Thanks ya Ah Keong, Kim Kit, Ravi and you jugak Mangges.. Gaya korang hari tu memang hebat..”, kata Adif.


“Tak ada hal, lah Adif. As long as you dapat kahwin dengan Nila, cukuplah..”, kata Mangges sambil tersenyum.


“Eh.. orderlah. Jangan malu-malu. Hari ni aku belanja..”

Rabu, Disember 3

Cerpen : Terlewat sudah kasih sayang


“Liz, please.. Jangan tinggalkan Amir..”, tangan Amir dilengannya ditepis. Tak sudi lagi disentuh oleh lelaki itu.


“Please..”, rayu Amir lagi.


“Sorry lah Amir. Liz dah bosan dengan Amir. Amir memang tak sesuai dengan jiwa Liz. Memang Amir baik, tapi baik sahaja tak mampu bawa kemewahan dan kesenangan buat Liz. Sorry.. cinta lelaki tanpa duit ibarat sampah buat Liz. Tak mampu bawa sebarang faedah tetapi busuk dan menyusahkan sahaja. Bye Amir..”, kata Liz angkuh tanpa mempedulikan hati dan perasaan Amir yang selumatnya hancur mendengar ucapan yang terbit dari bibir mungilnya. Seraya dengan itu Liz berlalu menuju ke arah seorang lelaki yang sedang menantinya bersama-sama sebuah kereta BMW 3 series.


“Oh ya, Mir. Ini adalah pertemuan kita yang terakhir. So, Liz dah tak perlukan lagi cincin ni.. Lagi pun jari Liz ni rasa macam nak bernanah je bila pakai cincin yang tak ada nilai macam tu..”, kata Liz sambil mencampakkan cincin pertunangan mereka ke kaki Amir sebelum terus berlalu. Amir dapat melihat pipi Liz dikucup oleh lelaki itu sebelum Liz masuk ke dalam kereta dan mereka terus hilang dari pandangan. Hati Amir yang pedih, terus-terusan berdarah.


Amir tunduk memungut cincin yang dicampak oleh Liz tadi. Cincin itu digenggamnya erat. Setitik air matanya mengalir. Tidak disangkanya Liz bakal berubah sebegitu. Terkenang saat-saat mereka sama-sama memilih cincin itu untuk dijadikan cincin pertunangan mereka.


* * *


“Cantiknya cincin ni, Mir..”, kata Liz dengan wajah yang sangat ceria. Cincin yang diunjukkan oleh Amir tadi, dibelek oleh Liz dengan khusyuk.


Amir menundukkan wajahnya. Sungguh pun hatinya gembira melihat akan keceriaan yang terpamir diwajah Liz, namun rasa terkilan tetap jua terpalit di suatu sudut hati kecilnya.


“Tapi cincin ini murah je, Liz. Amir belum mampu nak belikan cincin berlian yang beribu-beribu harganya buat Liz. Insyaallah.. Amir akan cuba belikannya nanti buat Liz sebagai cincin kahwin kita ye..”, Amir menyampaikan rasa terkilan di hatinya. Liz hanya tersenyum lembut.


“Liz tak kisah pun, Mir. Bukan nilai cincin ini yang Liz harapkan, tapi nilai cinta Amir yang Liz dambakan. Liz sayangkan Amir..”, ketulusan kata-kata Liz membuatkan Amir berasa sangat terharu.


“Liz, Amir janji yang Amir akan cuba sentiasa membahagiakan Liz. Walaupun bukanlah dengan wang ringgit tetapi kasih dan cinta Amir buat Liz tetap tiada tolok bandingnya…”, ikrar Amir pada Liz.


* * *



“Amir.. Liz dah dapat kerja..”, melonjak perasaan Amir mendengarnya.


“Alhamdulillah.. Syukur..”, ucap Amir sebagai tanda bersyukur.


“Sebagai apa? Di mana?”


“MK Land Holdings. Setiausaha peribadi anak kepada pengarah urusan..”, jawab Liz dengan terujanya.


“Wah..!! mesti besar jugak gaji Liz. Silap-silap lebih besar dari gaji Amir..”


“Eleh.. ngada betul Amir ni tau..!! Kita dah bertunang la.. Ok ape kalau gaji Liz lebih besar dari Amir, at least Liz boleh tolong ringankan beban Amir bila kita dah kahwin nanti..”


“Yelah tu.. Silap-silap nanti, Liz tinggalkan Amir.. Siapalah Amir ni kan, kerja pun sebagai posmen je..”, ujar Amir merendah diri. Bukan niatnya untuk meragui kasih dan cinta Liz terhadap dirinya, semua itu hanyalah sekadar untuk menguji.


“Liz takkan tinggalkan Amir.. percayalah..”


* * *


“Liz.. petang ni Amir ambil Liz di pejabat ya?”, terdengar suara Amir dicorong telefon. Sudah lama rasanya mereka tidak keluar bersama-sama. Rindu pula rasa hatinya.


Liz membelek suit pejabat yang tersarung dibadannya. Takkan nak naik motor cabuk Amir dengan pakaian yang sebegini. Nanti jatuh la standard aku, desis hati Liz.


“Err.. Tak apelah Amir. Macam tak boleh je… err.. Amir, bos Liz panggil. Malam nanti kita sembang lagi ye..”, pantas Liz menamatkan perbualan telefon sebaik sahaja dia melihat kelibat Danial, bosnya yang semakin mendekatinya.


“Dah siap”, tanya Danial.


“Dah.. “, jawab Liz sepatah. Telefon bimbitnya dimasukkan ke dalam beg tangannya, setelah dipastikan bahawa telefon bimbitnya tadi telah di ‘silent’ kan.


“Ok, sayang. Kalau macam tu jom..”, ucap Danial sambil meraih pinggan Liz.


* * *


“Tadi tu siapa yang call?”, tanya Danial sebaik sahaja mereka berada di dalam kereta.


“Tadi tu? Hmm.. Lelaki yang Liz ceritakan pada abang hari tu lah..”, jawab Liz.


“Lelaki posmen yang tak sedar diri tu?”, tanya Danial dalam nada yang kurang senang. Tidak suka apabila lelaki itu masih lagi cuba mengganggu Liz. Kata Liz, lelaki itu dulu selalu membantunya di kampung. Namun, lelaki tersebut tidak pernah ikhlas. Segala yang dilakukannya sudah semestinya mengharapkan daripada Liz sekeluarga. Dan, balasan yang diingini oleh lelaki itu adalah Liz sendiri. Atas alasan terhutang budi, maka Liz dipaksa oleh keluarganya untuk mempertaruhkan dirinya menjadi ‘bini’.


“A’ah. Liz dah bosan dengan dia. Liz rasa macam dah nekad je nak putuskan pertunangan kita orang..”, usul Liz tiba-tiba.


“Bagus.. abang sokong..”, Danial mencapai tangan Liz lalu mengucupnya berkali-kali.


* * *


Liz merengus marah apabila lenanya terganggu oleh deringan telefon bimbitnya.


“Assalamualaikum sayang..”, ucap Amir lembut, membuka bicara.


“Amir..? hmm.. nak apa ni? Kacau la Liz nak tidur..”, Liz merengus marah. Termempan Amir mendengar rengusan marah Liz. Namun, disabarkan hatinya. Mungkin Liz letih.


“Siang tadi Amir dah janji nak call Liz kan? Liz lupa ke?”, Liz menggaru-garu kepalanya. Sungguh dia tidak ingat langsung janjinya dengan Amir siang tadi.


“Entah.. Liz lupa la.. Amir, Liz penat la.. mengantuk.. esok-esok la kita cakap ye.. Bye..”, seperti siang tadi, Liz menamatkan perbualan mereka sebelum Amir sempat berkata apa-apa. Telefon bimbitnya dihempas kasar.


“Sayang.. lain kali kalau nak tidur, tutuplah handphone tu..”, rengek Danial tiba-tiba.


“Sorry abang..”, kata Liz. Dada Danial yang terdedah diusapnya perlahan. Kemudian kucupan yang bertalu-talu pula dihadiahkan di dada bidang itu menggantikan usapan dan belaiannya tadi. Danial tersenyum senang. Syaitan juga tersenyum menang.


“Jom sambung..”


* * *


“Liz, masuk bilik saya sekejap..”, arah Danial melalui interkomnya.


“Baik Encik Danial..”, jawab Liz formal. Suaranya juga dikuatkan, supaya para pekerja lain mendengar lenggok bahasa serta gaya komunikasi yang mereka gunakan. Liz bangun dan mengetuk pintu bilik Danial.


“Masuk..”, laung Danial dari dalam memberikan kebenaran.


“Duduklah sayang..”, jemput Danial. Liz duduk di sofa yang berada di dalam bilik itu, memandangkan Danial juga di situ.


“Sayang.. cuba pejam mata..”, bisik Danial lembut ditelinga Liz. Tanpa banyak soal, Liz memejamkan matanya. Danial menyelak rambut Liz ke tepi. Leher Liz dikucupnya berkali-kali. Liz mengeliat kegelian.


“Abang..”, rengek Liz.


“Shh.. diam..”, kata Danial pula. Tidak lama kemudian, Liz dapat merasakan seperti ada sesuatu yang tergantung di lehernya. Pantas Liz membuka mata dan berlari ke arah cermin yang berada disuatu sudut bilik itu.


“Wah..!! Cantiknya kalung ni bang.. Thanks..”, ucap Liz dengan gembira. Inilah yang diinginkannya sejak dahulu. Kalung berlian, emas, permata. Semua ini menjadikan hati Liz benar-benar gembira.


“Sayang suka?”, tanya Danial lagi.


Liz menganggukkan kepalanya. Danial tersenyum.


“Ini untuk layanan istimewa Liz malam tadi..”, ucap Danial penuh makna. Liz pula hanya tertunduk malu. Malu yang tiada nilainya lagi.


“Next time abang bagi lagi but please make sure layanan Liz mesti first class tau..”


* * *


Amir menyapu lembut air mata yang galak mengalir di pipinya. Sungguh tidak disangkanya, Liz tega menuturkan kata-kata yang sebegitu pada dirinya. Pedih dan pilu bila kata-kata setajam itu dituturkan oleh insan yang tersayang. Tidak disangkanya juga kasih dan cinta yang disemai sejak beberapa tahun yang lalu, tidak kesampaian akhirnya walaupun jarak hari bahagia yang dinantinya itu kurang sejengkal jaraknya cuma.


Amir sedar akan perubahan peribadi Liz sejak kebelakangan ini. Namun semuanya dibiarkan sahaja. Amir cuba menjadi pencinta yang memahami. Segala kekasaran serta kata nista yang kerap Liz campakkan buat dirinya seringkali ditelan begitu sahaja. Amir sering memujuk hatinya dengan mengatakan mungkin Liz ada masalah yang tidak mahu dikongsikan bersamanya.


“Ya Allah Ya Tuhanku, seandainya Liz adalah milikku, satukanlah hatinya dengan hatiku.. Jadikanlah cabaran serta rintangan yang sedang kami hadapi sekarang ini hanyalah suatu ujian kecil daripada-Mu Ya Allah.. sebelum bahagia kami kecapi..


Namun, Ya Allah Ya Tuhanku yang Maha Mengetahui..


Seandainya telah Engkau catatkan Liz bukanlah untukku, maka kau jauhilah cintaku ini dari terus terlekat pada dirinya.. Kau gantilah kehadirannya dengan seseorang yang mampu mengekalkan aku untuk terus sujud pada-Mu..


Ya Allah Ya Tuhanku, aku bersyukur pada-Mu dengan ujian ini. Sesungguhnya keperitan hati yang sedangku tanggungi ini merupakan bukti betapa Kau jua turut mencintai aku, hamba-Mu yang hina. Hamba-Mu yang sering alpa. Ampunkanlah segala kekhilafan diriku ini Ya Allah…


Terima kasih Ya Tuhanku, aku takkan sesekali bersangka buruk pada-Mu. Terima kasih Ya Tuhanku.. Rahmatilah aku, hamba-Mu..”, Amir memohon ke hadrat Illahi bersama linangan air matanya. Sesungguhnya, Amir yakin bahawa ujian yang sedang dilaluinya kini pasti akan ada rahmat disebaliknya. Sesungguhnya Allah itu maha besar kuasa-Nya. Seluruh alam ini tertakluk dibawah takluk ilmu-Nya yang tidak terkira hebatnya.


* * *


Tiga tahun kini berlalu semenjak peristiwa sedih itu berlaku. Benarlah kata Liz dulu, pertemuan mereka tiga tahun yang lalu adalah pertemuan terakhir mereka. Pertemuan yang menjadi pemutus cinta antara mereka. Kini, kehidupan Amir sudah kembali tenang. Kisah sedih itu tidak lagi menghantui akan dirinya. Amir pasrah dengan ketentuan-Nya.


* * *


Amir sedang tidur tatkala dia terdengar akan ketukan di muka pintu. Dengan terpisat-pisat Amir bangun. Jam di dinding dipandangnya sekilas. Pukul sebelas setengah malam. Hati Amir tertanya-tanya, siapakah gerangan tetamu yang hadir di tengah-tengah malam begini? Harapnya tiada berita buruk yang bakal singgah ditelinganya. Dengan penuh debar, Amir membuka pintu rumahnya.


“Amir..”


Amir menampar pipinya lembut, cuba untuk memastikan bahawa dirinya kini bukanlah berkhayal. Namun apabila wajah insan yang berada dihadapannya kini masih lagi belum hilang dan tetap berada di situ, barulah Amir yakin bahawa insan itu memang benar-benar hadir dihadapannya.


“Liz.. kenapa ni?”, tanya Amir lembut. Tersentuh hati Amir melihatkan wajah cengkung Liz yang turut dihiasi dengan mutiara-mutiara jernih.


“Duduklah Liz..”, jemput Amir. Liz melangkah masuk ke rumah Amir. Sedikit aneh dengan jemputan Amir itu, namun diabaikannya sahaja. Pertama kali melangkah masuk ke dalam rumah Amir membuatkan Liz terpana. Amir bukanlah sedaif yang dibayangkannya selama ini. Ternyata Amir sudah berubah. Lebih berjaya dari dulu, kiranya.


“Kenapa ni Liz?”, tanya Amir lagi.


“Dia dah tinggalkan Liz, Amir. Segalanya dah musnah..”, Liz terus bercerita segala yang berlaku semenjak mereka berpisah dulu.


* * *


“Abang.. Liz mengandung lagi..”, ujar Liz dalam nada yang penuh kerisauan.


“Hmm.. macam tak biasa.. Gugurkan jelah..”, ujar Danial acuh tak acuh.


“Tak boleh bang.. sebelum ini dah dua kali Liz gugurkan kandungan.. kalau Liz gugurkan juga kali ini.. bahaya..”, Danial merengus marah mendengarkan kata-kata Liz itu.


“Dah tu kau nak bela budak tu?”, tanya Danial kasar.


“Kita kahwin?”, usul Liz tiba-tiba.


“Huh!! Kau nak aku kahwin dengan kau? Jangan haraplah.. Perempuan murahan.. Kau sedar tak yang diri kau tu ibarat pelacur?!!”


“Abang..!! Sampai hati abang cakap macam tu pada Liz..”


“Tak betul ke apa yang aku katakan ni? Bukankah setiap kali kau layan aku, aku bayar kau dengan macam-macam hadiah mewah? So, kau rasa aku akan kahwin ke dengan perempuan murah dan kotor macam kau ni? Jangan haraplah..”, kata Danial kuat dihadapan muka Liz sambil menunjal kepala Liz.


Terduduk Liz mendengarkan kata-kata Danial itu. Sangkanya, Danial benar-benar sayang pada dirinya. Pada waktu itu, barulah Liz sedar bahawa kasih sayang yang tulus ikhlas adalah lebih bernilai daripada intan dan permata yang sering dikejarnya.


“Abang.. Liz sanggup pulangkan segalanya pada abang, asalkan Liz dapat berkahwin dengan abang..”, rayu Liz dihujung kaki Danial. Danial menendang Liz yang sedang memegang erat kakinya.


“No way!! Pelacur tetap pelacur.. Selamat tinggal and please Liz, jangan muncul lagi depan aku.. Good bye..”, kata Danial sebelum berlalu, meninggal Liz dalam juraian air mata.


* * *


“Amir, Liz minta maaf banyak-banyak.. Maafkanlah Liz, Mir..”, rayu Liz setelah selesai dia bercerita segalanya pada Amir. Mutiara jernih yang masih galak menodai pipinya dilapnya perlahan.


Terharu dan sayu Amir mendengar kisah derita Liz. Sangkanya Liz bahagia setelah perpisahan mereka dulu. Ternyata, sangkaannya silap. Liz tidak bahagia seperti yang difikirkannya. Wajah derita Liz juga bagaikan menjerut tangkai hatinya.


“Amir maafkan Liz..”, ucap Amir ringkas setelah beberapa lama berdiam diri. Perlahan-lahan senyuman mula terukir dibibir pucat Liz.


“Terima kasih, Mir. Liz tak sangka Amir sanggup maafkan Liz dan terima Liz semula.. Terima kasih Mir.. Liz janji, Liz akan setia pada Mir selepas ini..”, ujar Liz bersungguh-sungguh. Amir hanya tersenyum kelat.


“Maaf Liz.. Amir hanya mampu memaafkan Liz tetapi itu bukan bermakna Amir dapat menerima Liz semula.. Tapi percayalah Liz, bukan kisah silam Liz yang jadi puncanya.. Cuma..”, kata-kata Amir terhenti apabila ada suatu suara yang memanggil namanya.


“Abang.. jemputlah tetamu minum.. Airnya dah tersedia..”, Amir menoleh ke arah suara itu. Tangannya dihulur lalu digamit, sebagai memberi isyarat supaya insan itu mendekati dirinya.


“Liz, maaf.. Kasih kita dulu telah pun Amir kuncikan di dalam suatu peti yang tak mungkin dibuka kembali.. Kasih Amir kini hanyalah buat Aina Maisarah, isteri Amir yang tercinta.. Walaupun kami bernikah atas saranan orang tua, namun dialah segalanya buat Amir kini..”, manik-manik yang hampir kering tadi kini mengalir kembali. Nampaknya, terlewat sudah buat Liz kini untuk kembali meraih kasih suci yang pada suatu ketika dahulu pernah menjadi miliknya.

Jumaat, November 28

Cinta Si Baju Kebaya Bab 8



[Padang Kawad UTM ~ 2007]


”Ok.. Syamir. Panggil semua masuk baris”, arah Encik Azahari pada Syamir. Pada hari ini, latihan ujian kawad akan dijalankan sebagai persediaan bagi pegawai-pegawai kadet peringkat senior yang bakal menghadapi ujian kawad pada latihan berterusan mereka nanti. Ujian kawad ini merupakan salah satu daripada ujian-ujian yang perlu dilalui oleh semua pegawai kadet sebelum mereka ditauliahkan.


Syamir bergerak ke tengah padang kawad. Berdiri tegak menghadap skuadnya sebelum memberikan arahan.


”Skuad.. dengar sini semua sekali..”, laung Syamir sebagai memberikan amaran kepada skuadnya bahawa arahan akan dikeluarkan. Semua ahli skuad yang sedang melepak dan bersembang di bawah pokok dipinggir padang kawad terus diam dan memberikan tumpuan pada Syamir.


”Apabila mendapat hukuman, tiga baris dihadapan saya, gerak. Skuad dikehendaki berlari, berbaris dalam tiga barisan, dihadapan, ditengah-tengah, di mana tempat saya mengadap. Faham tu skuad?”, Syamir memberikan arahan dengan jelas dan tegas.


”Faham, skuad..”, sambut ahli-ahli skuad yang lain.


”Tiga barisan dihadapan saya, gerak!!”, Syamir memberikan arahannya. Dengan langkah berlari, ahli-ahli skuad membuat tiga barisan dihadapan Syamir sambil menghentakkan kaki, menanti Syamir memberikan arahan supaya berhenti.


”Skuaaaaaad, ti..”, arah Syamir lagi.


”Luruskan barisan..”, pantas skuad menoleh ke kanan dan meluruskan barisan mereka. Setelah barisan diluruskan, barulah gerakan kaki dan kepala mereka semua kembali mengadap Syamir dihadapan.


”Senang diri..”


”Skuad sedia.. Diam, langut dan terus pandang ke hadapan..”, pesan Syamir sebelum bergerak untuk melapor pada Encik Azahari, Pegawai Waran II yang juga merupakan jurulatih peringkat.


Ketika Syamir sedang melapor, kelihatan Tuan Ismadi yang merupakan Pegawai Latih mereka tiba. Tuan Ismadi berkata sesuatu kepada Encik Azahari dan Syamir. Setelah mendapat arahan, Syamir kembali ke skuadnya.


”Qila, bila dapat arahan keluar baris, kau keluar and pergi berjumpa dengan Tuan Ismadi. Ok.. Qila sahaja. Keluar baris..”, Farah Aqilah membuat kawad-kawad untuk keluar baris dan berjalan beriringan bersama Syamir.


”Kenapa Tuan Ismadi nak jumpa aku, Amir?”, tanya Farah Aqilah.


”Entah.. Fasal paper work hari tu kot. Hari tu dia ada jugak cakap kat aku yang dia nak suruh kita present paper work tu kat TK”, jawab Syamir.


”Adoi.. malasnya.. kau pergi sorang tak boleh ke Syamir?”, rungut Farah Aqilah.


”Eh, mana boleh!! Kau kan aku punya savior, aku punya orang kanan, aku punya orang kuat. Lagi pun, semua tu pun memang kau yang buat pun, kan? Aku just sign je.. Kalau TK tanya nanti, aku mana tau nak jawab ape..”, balas Syamir sambil tersengih.


”Huh!! Balik-balik aku jugak yang kena..”, rungut Farah Aqilah di dalam hati.


Syamir memberikan arahan berhenti sebaik sahaja mereka berdua tiba di hadapan Tuan Ismadi. Benar tekaan Syamir tadi, mereka berdua diarahkan untuk pergi berjumpa dengan Timbalan Komandan yang juga merangkap sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UTM untuk melakukan pembentangan kertas kerja. Kertas kerja mereka pada kali ini adalah untuk mendapatkan dana bagi menjalankan latihan intensif sebagai persediaan untuk menghadapi pertandingan antara universiti bagi aktiviti merempuh halangan, merentas desa dan juga kawad sempena pentauliahan mereka nanti.


Setelah mendapat arahan selanjutnya daripada Tuan Ismadi, Farah Aqilah dan Syamir masuk ke dalam kenderaan bersama-sama Tuan Ismadi untuk berjumpa dengan Timbalan Komandan.


* * *


[Villa Cendana Wira, Balik Pulau, Pulau Pinang ~ 2015]


Farah Aqilah turun dari kereta sebaik sahaja Syamir mematikan enjin keretanya. Farah Aqilah memerhatikan suasana persekitarannya. Cantik dan mendamaikan. Di hadapannya terdapat sebuah rumah berbentuk kolonial Inggeris lama. Di sebelahnya pula terdapat sebuah sungai yang mengalir deras. Kelihatan sebuah kayu yang diletakkan merentasi sungai tersebut, memandangkan jambatan masih lagi dalam proses pembinaan. Di seberang sungai itu pula terdapat sebuah pondok kecil yang sangat indah. Bunga-bungaan yang memagari pondok kecil itu, membuatkannya kelihatan sangat istimewa. Pohon-pohon buah-buahan yang merimbun pula menjadikan suasana di sekitar Villa Cendana Wira kelihatan redup dan menyamankan. Farah Aqilah leka dengan suasana disekelilingnya.


”Cantiknya..”, Farah Aqilah berbisik lembut.


Syamir hanya tersenyum melihat keasyikkan Farah Aqilah. Perlahan-lahan Farah Aqilah didekatinya.


”Farah..”, panggil Syamir, lembut.


Farah Aqilah berpaling.


”Jom masuk..”, ajak Syamir. Syamir mendahului Farah Aqilah membuka langkah. Namun langkah Syamir terhenti apabila menyedari bahawa dia hanya berjalan sendiri. Farah Aqilah masih lagi kaku berdiri di tempat tadi. Wajah Farah Aqilah yang masih ragu-ragu direnungnya lembut.


”Farah.. jangan bimbang. Mak Dah ada di dalam..”, ucap Syamir untuk membuang gundah di hati Farah Aqilah. Syamir tahu Farah Aqilah masih lagi fobia dengan kenangan lalu.


”Betul?”, tanya Farah Aqilah bagi mendapatkan kepastian.


”Ya Allah.. betul sayang..”, Syamir berlari menuju ke pintu rumah. Tidak lama kemudian, kelihatan seorang perempuan tua di hadapan pintu. Pantas Syamir menyambar tangan perempuan tua itu lalu menciumnya lembut sebelum berkata sesuatu kepadanya. Perempuan tua tersebut membalas sesuatu, lalu menyarung seliparnya sebelum berjalan mendekati Farah Aqilah dengan diiringi oleh Syamir.


”Apa khabar nak? Marilah masuk..”, ramah wanita tua itu menjemput.


”Hmm.. sekarang Farah dah percaya?”, tanya Syamir.


Farah Aqilah hanya tersenyum kelat.


Perempuan tua itu menampar lengan Syamir.


”Ish.. ada ke cakap macam tu dengan Farah. Dah Farah, jangan dilayan si Mus ni. Mari masuk..”, perempuan tua itu memaut bahu Farah Aqilah dan membawanya masuk ke dalam rumah. Mata Farah Aqilah sekali lagi takjub dengan suasana yang dilihat di dalam rumah itu. Sungguh cantik dan mendamaikan. Hiasan rumah tersebut nampak elegan tetapi cukup menyegarkan dengan pokok serta perhiasannya.


”Nak duduklah dulu ye..”, jemput wanita tua itu sekali lagi.


Farah Aqilah hanya mengangguk lalu menurut. Punggungnya dilabuhkan ke sofa dua berangkai. Sedang Farah Aqilah asyik menikmati keindahan hiasan ruang tamu tersebut, tiba-tiba Syamir menghenyakkan punggungnya disebelah Farah Aqilah. Sengaja dia pergi menyempit disitu. Farah Aqilah terkejut. Hasil tindakan refleks, spontan Farah Aqilah berdiri. Namun belum pun separuh dia berdiri, Farah Aqilah kembali terduduk apabila tangan kekar Syamir pantas menariknya duduk kembali.


”Eh... apa ni Syamir? Lepaslah..!!”, marah Farah Aqilah.


”Duduk dulu sayang. Bagilah peluang pada Amir untuk nyatakan sesuatu..”, pujuk Syamir lembut.


”Yang tadi tu siapa, Amir?”, Farah Aqilah menukar topik.


Syamir melepaskan keluhan berat. Cuba mengumpulkan kembali kesabaran yang semakin menipis. Ikutkan hatinya yang baran, mahu sahaja dia memaksa Farah Aqilah untuk mengikut setiap kata-katanya. Namun, kata-kata serta sindiran yang sering diterimanya, terutamanya daripada Pak Long Fuad benar-benar memberikannya kesedaran. Sikapnya selama inilah yang sering menjadi punca masalah antara dirinya dan Farah Aqilah sukar untuk diselesaikan. Tambahan pula dengan keadaan hati Farah Aqilah yang masih lagi terluka. Semua itu menjadikan keadaan semakin sukar.


”Mak Dah..”, jawab Syamir ringkas.


”Siapa Mak Dah..?”, tanya Farah Aqilah lagi. Entah mengapa hatinya ingin benar tahu apa perkaitannya antara Mak Dah itu dengan Syamir.


”Er..”


”Mus, kau bawakan beg Farah masuk ke bilik tamu..”, Mak Dah bersuara tiba-tiba.


Farah berpaling hairan mendengarkan kata-kata Mak Dah itu.


”Err.. mana dia ada bawak beg, mi..”, jawab Syamir sambil tersengih.


”Lah.. Kenapa pulak macam tu..?”


”Datang sini bukannya planning pun mi. Spontan je Mus bawakkan Farah ke sini. Petang nanti kita orang balik kot..”, jawab Syamir lagi.


”Balik petang ni? Hmm.. Kamu jangan nak ngada-ngada Mus. Tak pe.. nanti suruh aja si Farah ni pakai baju-baju Masyitah kat dalam almari tu..”, tegah Mak Dah.


”Kamu duduk sini dua tiga hari ye, Farah..”, kata Mak Dah pada Farah Aqilah pula. Melihatkan pada raut wajah ikhlas dan mesra dihadapannya, Farah Aqilah tidak sampai hati untuk mengatakan tidak. Perlahan Farah Aqilah memberi persetujuan. Tambahan pula, Hanim tiada dirumah. Daripada tinggal seorang diri di rumah sewanya, lebih baik dia hidup berteman di sini, fikir Farah Aqilah.


Hati Syamir berbunga riang.


”Nasib Mus memang tinggal banyak baju kat sini..”, kata Syamir tiba-tiba. Mak Dah memandang Syamir.


”Hm.. malam ni kamu tidur di Pondok Undang, Syamir”


”Eh.. mana boleh macam tu mi..”, bangkang Syamir sambil menarik muka. Terdiam Farah Aqilah melihat gelagat Syamir yang manja. Siapa Mak Dah pada Syamir ye? Kenapa Syamir memanggil Mak Dah, mi?


”Kamu jangan nak mengada-ngada. Nanti mi tarik telinga baru tahu. Lelaki dan perempuan bukan muhrim mana boleh tinggal sebumbung..”, selar Mak Dah.


”Alah mi.. Mus bukan nak buat apa-apa pun pada Farah. Boleh la mi..”, Syamir masih lagi memujuk. Mak Dah hanya menggeleng.


”No.. Mi cakap Mus tidur Pondok Undang, so tidur Pondok Undang. Jangan merengek-rengek kat sini. Tak malu ke tunjuk perangai depan Farah?”, sengaja Mak Dah berkata demikian. Rimas benar dia dengan rengekan Syamir itu. Orangnya sudah besar panjang, namun manjanya makin menjadi-jadi.


”Erk..”, Syamir menyorokkan wajahnya daripada pandangan Farah Aqilah. Malu. Lupa bahawa Farah Aqilah ada bersama-sama mereka.


”Oklah mi.. tapi lepas pukul dua belas baru Mus duduk sana eh?”, kata Syamir sambil bersuara sayu. Masih lagi cuba untuk mendapatkan simpati Mak Dah.


”Hmm.. yelah..”, Mak Dah memberikan persetujuan.


”Dah.. Mus, kamu hantarkan Farah ni ke bilik. Mungkin dia nak rehat-rehat sekejap. Nanti mi hantarkan baju pada dia..”, kata Mak Dah sebelum bangun dan berlalu.


Farah Aqilah dan Syamir masing-masing membisu.


”Jom.. Amir tunjukkan bilik Farah..”

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino