Product from Adobe

Selasa, Januari 27

Sambungan Suite 6019 : Alahai.. Pengsan aku..!!


“Haikal.. tolong tengok adik tu..” jerit Fazureen dari dapur. Tangannya lincah mengacau serawa labu yang sedang menggelegak di atas dapur. Suara tingkah meningkah anak-anaknya masih lagi kedengaran.


“Haikal.. dengar tak apa yang mama cakap..” jerit Fazureen lagi apabila tidak mendapat respon daripada anaknya.


Terkedek-kedek Haikal berlari ke dapur.


“Mama, adik tak nak dengar cakap abang.. Diorang tak nak berhenti gaduh..” adu Haikal pada mamanya. Haikal menyapu saki baki losyen yang bertempek di wajahnya.


“Ya Allah, apa kena dengan muka abang ni?” tanya Fazureen. Dia mendekati anaknya lalu wajah anaknya dilap menggunakan apron yang tersangkut dipinggangnya.


“Adik ni, abang tak bagi diorang main losyen.. Habis diorang tenyeh kat muka abang..” adu Haikal lagi pada mamanya. Tersenyum Fazureen mendengar kata-kata anaknya.


“Lah.. abangkan lelaki. Takkan tak boleh nak lawan dengan adik?” soal Fazureen pula. Haikal menarik muka masam.


“Memang la abang lelaki tapi adik tu dua orang.. Bila abang tarik Fasha, Fisha gigit bontot abang.. Sakit tau mama..” ketawa Fazureen mendengar rungutan yang terbit dari bibir Haikal. Bukan pertama kali Haikal kalah pada adik-adiknya malah sudah acap kali sehinggakan seluar dalam Haikal juga pernah di’lobang’kan oleh adik-adiknya. Kenakalan Fisha dan Fasha sungguh berada di luar kawalan.


* * *


“Ya Allah.. Fisha.. apa yang anak mama buat ni?” jerit Fazureen sebaik sahaja tiba di muka pintu bilik si kembar. Fisha yang sedang enak menyuap losyen ke mulut, terhenti. Begitu juga dengan Fasha. Terhenti pergerakkannya yang asyik menekan kepala botol losyen. Bulat mata keduanya memandang wajah mama mereka. Haikal pula hanya menyorok di sebalik badan mamanya.


“Syedap mama.. syedap..” ucap Fasha sambil mengunjukkan tangannya yang penuh dengan losyen seolah-olah ingin menyuruh mamanya turut mencuba. Fazureen menggelengkan kepala.


“Kenapalah anak mama ni nakal sangat? Tengok ni, habis comot muka-muka semua. Losyen ni bukan untuk dimakan sayang..” tegur Fazureen pada si kembar. Fasha dan Fisha hanya buat muka tak tahu. Botol losyen digenggamnya erat tatkala Fazureen cuba untuk merampas botol itu daripada anak-anaknya.


“Fisha.. lepas botol ni.. Kalau tak mama babap nanti..” Fazureen mengugut anaknya sambil mengangkat tangan seolah-olah untuk memukul. Fisha yang takut dipukul pantas melepaskan botol losyen tersebut.


“Nah.. Ambil botol losyen ni gi simpan abang..” arah Fazureen pada Haikal. Haikal hanya akur tanpa sebarang kata.


“Lepas tu ambilkan mama pampers adik.. dah penuh ni.. hai.. manalah papa pergi ni..” arah Fazureen pada Haikal sambil merungut mengenai suaminya.


“Nah mama..”


Fazureen mengangkat Fisha lalu dibaringkan sebelum pampers anaknya ditukar. Kemudian, Fazureen mengambil Fasha pula untuk ditukarkan pampersnya.


Belum pun sesaat Fazureen mengalihkan perhatiannya buat Fasha, kedengaran Haikal menjerit pada adiknya.


“Adik.. tu buku abang.. Kenapa adik gunting..?”


Haikal mengutip ‘buku’nya yang sudah hilang rupa. Cuma yang tinggal hanyalah cebisan-cebisan kertas yang berbeza-beza saiz dan bentuk.


“Habislah buku abang..” ucap Haikal sayu. Begitulah Haikal apabila berhadapan dengan adik-adiknya yang nakal. Haikal hanya akan menempik tetapi tidak sampai untuk menaikkan tangan pada adik-adiknya. Haikal begitu sayang dan kadang-kadang terlalu lebih memanjakan adik-adiknya. Sering diturutkan segala kehendak si kembar.


Fisha merangkak ke arah cebisan-cebisan kertas yang direnung Haikal. Dia mengambil beberapa cebis kertas lalu diletakkan di tapak tangan Haikal.


“Amik.. amik.. antik..” sebut Fisha dengan pelat. Dia tersenyum ke arah Haikal. Haikal menggenggam cebisan kertas di tangannya manakala tangan kirinya pula menggosok kepala adiknya dengan penuh rasa kasih.


* * *


“Sayang.. abang dah balik ni..” laung Hakim dari pintu rumah. Fazureen yang mendengar laungan dari suaminya pantas berlari turun. Namun sempat juga dia berpesan pada Haikal untuk memerhatikan adik-adiknya.


“Nah.. ni barang yang sayang pesan tadi..” Hakim menghulurkan beberapa beg plastik kepada Fazureen. Pantas Fazureen menyambut huluran plastik tersebut dan terus berlalu ke dapur. Bahan-bahan mentah yang dibeli Hakim perlu dibersihkannya terlebih dahulu sebelum dia boleh memulakan proses memasak.


Satu-satu beg plastik dibukanya. Ternganga mulut Fazureen apabila melihat isi kandungan plastik yang berada dihadapannya.


“Ya Allah.. apa yang abang beli ni?” jerit Fazureen dari dapur. Hakim yang sedang berehat-rehat diruang tamu pantas ke dapur. Wajah tidak puas hati isterinya dipandang lama. Diwajahnya pula terpancar persoalan – kenapa?


Fazureen mengeluarkan satu-satu barang yang dibeli oleh suaminya. Ada peria, ulam pegaga, lada benggala dan ikan Cencaru yang hanya ada sebelah sahaja isinya. Hakim menjenguk barang-barang yang diatur oleh Fazureen di atas meja.


“Apa yang abang beli ni?” ulang Fazureen sekali lagi.


“Yang sayang suruh beli tadilah..” jawab Hakim selamba.


“Mana ada bang.. Reen suruh beli tadi benda lain la..” rungut Fazureen. Geram sungguh rasa hatinya pada Hakim ketika ini.


Erk.. Ye ke? Hakim menelan air liur. Salah beli lagi ke?


“Reen suruh abang beli sayur petola bukan peria.. Reen nak makan ulam raja la bang, bukan ulam pegaga..” ucap Fazureen sambil menggelengkan kepala.


Hakim menggigit bibir. Ye ke?


“Abang tak tulis ke waktu Reen pesan pada abang tadi?” soal Fazureen lagi. Takut-takut Hakim menggeleng.


Aduh!! Fazureen menepuk dahinya. Setiap minggu memang begini. Ada sajalah barang yang salah dibeli oleh Hakim.


“Tapi lada tu betulkan abang beli?” tanya Hakim, cuba untuk membela diri.


“Betul apanya bang.. Tu lada benggala, Reen pesan lada burung..” Hakim hanya mampu tersengih pada Fazureen.


“Tapi fasal ikan tu Reen memang tak boleh nak complain, penat tau abang pergi dari satu kedai ke satu kedai. Semuanya tak nak jual kalau abang nak beli ikan tu just sebelah je. Ni pun sebab abang dah puas pujuk mak cik tu, baru dia setuju nak jual ikan tu pada abang. Kenapa pelik pulak cara sayang nak beli ikan tu?” tanya Hakim bodoh-bodoh.


“Abang mintak nak beli ikan Cencaru sebelah je memang la tak ada orang nak jual. Reen bukan pesan ikan yang hanya sebelah tapi nama ikan tu Sebelah la bang..” terduduk Fazureen dihadapan bahan-bahan yang dibeli oleh Hakim. Apalah nasib aku.., rungut Fazureen di dalam hati. Hakim hanya tersengih lagi..


* * *

“Papa..” jerit Fasha dan Fisha sebaik sahaja mereka nampak kelibat Hakim melalui pintu bilik mereka yang agak terbuka.


“Hello anak papa.. main apa ni?” tanya Hakim sambil mencium kedua-dua belah pipi si kembar. Haikal hanya mencerlun matanya, cemburu. Hakim tersenyum melihat keletah Haikal.


“Abang sini.. meh papa nak peluk sikit..” pantas sahaja Haikal menghilangkan diri ke dalam pelukan papanya. Kemudian, pipi Haikal pula diciumnya.


“Jom, kita tengok tv dalam bilik papa..” ajak Hakim pada anak-anaknya. Anak-anaknya menggedik kesukaan. Bermain bersama papa mereka memang seronok. Ada sahaja aktiviti yang dianjurkan oleh papa tapi apa yang pasti seringkali aktiviti-aktiviti mereka dihalang mama.


Hakim mendukung si kembar menggunakan kedua-dua belah tangannya manakala Haikal pula bergantung dilehernya dari belakang.


“Argh!! Anak-anak papa dah berat la..” ucap Hakim seraya meletakkan anak-anaknya di atas katil.


“Hari ni anak-anak papa nakal tak? Ada buat mama marah tak?” tanya Hakim pada Fisha dan Fasha. Fasha dan Fisha hanya ketawa mendengar soalan dari papa mereka. Hakim mengalihkan pandangannya ke arah Haikal. Keningnya diangkat beberapa kali.


Ada papa.. tadi adik makan losyen..”


“Ya Allah.. apa nak jadi dengan anak-anak papa ni..” ucap Hakim pada si kembar.


“Papa..” panggil Haikal.


“Ye kenapa?” tanya Hakim pada anaknya.


“Tadi papa pun kena marah dengan mama ya?” tanya Haikal sambil ketawa.


Shhh!! Pantas Hakim meletakkan jarinya ke bibir. Sengihan kerang ditayangkan buat tatapan anak-anaknya. Si kembar ketawa apabila melihat gelagat papa mereka.


“Oklah.. abang main dengan adik dulu. Papa nak pergi toilet jap..” ucap Hakim pada anak-anaknya.


“Ok..!!” jawab ketiga-tiganya serentak.


* * *


Lima minit kemudian, Hakim keluar dari toilet. Kelihatan anak-anaknya sedang khusyuk mengerumuni sesuatu. Kedengaran suara Haikal berbisik-bisik dengan adik-adiknya.


“Adik.. dah la.. nanti mama marah..” perlahan saja Haikal berkata. Tangannya pula cuba merampas barang yang berada ditangan Fisha. Fasha pula dengan rela hati menolong kembarnya memegang barang tersebut daripada dirampas oleh abang mereka, Haikal.


“Korang buat apa ni?” tegur Hakim secara tiba-tiba. Pantas ketiga-tiga anaknya mendongak. Terkedu Hakim melihat wajah anak-anaknya. Wajah Haikal, Fisha dan Fasha comot dengan kesan lipstick mama mereka. Aduh!! Parah.. Mahu mengamuk Fazureen kejap lagi.


“Bangun.. bangun.. pergi basuh muka sekarang.. Cepat, sebelum mama nampak..” nampaknya Hakim terpaksa bersekongkol dengan anak-anaknya sekali lagi supaya telinga mereka selamat daripada leteran Fazureen yang panjang.


“Ya Allah..” terkedu Hakim buat sekian kalinya tatkala melihat telekung Fazureen yang berada di lantai. Telekung tersebut bukan sahaja comot dengan kesan lipstick tetapi juga berlubang-lubang akibat digunting oleh anak-anaknya.


“Habislah kita..” ucap Hakim pada anak-anaknya. Hakim panik. Telekung Fazureen dicapai sebelum mereka kelam kabut cuba untuk menyembunyikan telekung tersebut.


“Abang buat apa tu?” tegur Fazureen tiba-tiba.


Opss!! Pantas Hakim menyembunyikan telekung tersebut dibelakangnya.


“Apa tu?” tanya Fazureen. Curiga. Begitu juga dengan anak-anaknya, masing-masing berwajah suspen..


“Bak sini Reen tengok,” pinta Fazureen pada suaminya. Hakim cuak. Perlahan sahaja Hakim mengeluarkan telekung Fazureen yang sudah hilang ‘rupa’nya.


Bulat mata Fazureen melihat hasil ‘seni’ anak-anaknya.


Alahai.. pengsan aku..” ucap Fazureen sebelum rebah.


“Mama..!!”


"Sayang..!!"


Jerit mereka serentak apabila melihat Fazureen rebah begitu sahaja dihadapan mereka.


Jumaat, Januari 23

Novel Drama : 4 plus One jadi KITA [2-Intan Maisara]


Hasil kesengalan bersama : Adra Adlina dan LeaQistina


Lokasi: Di pertengahan jalan, tiga puluh tapak untuk sampai ke kolej Lavender.


Suasana:


Gadis bertocang lipan bernama Intan Maisara itu mengomel. Sambil berleter sorang diri, dia menyumbat roti ke dalam mulut. Sampai penuh, nyaris tercekik. Makan tetap motif terpenting hahaha… masuk kelas dah la lambat. Ada hati nak makan lagi…ape la dia ni.


Baru je dia nak jejak kaki kat koridor kelas, tetiba adelah pulak ramai orang sibuk-sibuk galas beg.


Intan Maisara: Macam nak balik jek dorang nih? Biar betul?? Aku dah lah datang lambat. Takkan cancel sebab aku kot..mustahil..mustahil.


Dia pelik bila tengok ramai sangat budak kelas yang bersorak. Macam ada pesta lah pulak.

Budak sekelas: Wei watpe datang? Gi balik…


Intan Maisara(garu kepala): Weh! Aku tengok dalam kalender takde cuti ape-ape pun. Pengetua masuk wad ke?


Budak sekelas: Bukan. F4 menang lagi, jadi diorang suruh raikan. Seme lecturer dah blah.


Intan Maisara: Huh? Apa hak F4 buat cenggitu? Kolej ni diorang punye ke? Sesuka hati dia jek. Dahlah yuran kolej ni mahal, mencekik darah. Diorang tu tahu habiskan duit mak bapak jek. Ish!


Dia dah geram gila. Siap membebel depan mamat tu. Tapi sebenarnya mamat tu dah cabut da. Sebab ada sesuatu kat belakang Intan.


F4 berpeluk tubuh. Dorang rasa macam nak jentik-jentik jek si Intan ni. Nampak sangat ketinggalan zaman, tak tahu apa sejarah Kolej Lavender.


Dzikri Ikmal: Memang kolej ni kitorang punye. Jadi? Kau tak puas hati?


Jantung Intan mula nak tercabut. Lutut dia dah tergigil. Takutnya nak paling ke belakang.


Intan: Owh! Saya tak habis baca sejarah kolej ni… wikipedia panjang sangat.


Dzikri Ikmal: Kau hina kitorang? Tak tahu hormat F4, ada hati nak cakap mende bukan-bukan. Kau tunggulah nanti.


Dzikri memberi amaran sebelum dia angkat kaki. Sengaja ditunjal kepala Intan dengan jari telunjuk.


Intan: Hei! Pantang aku main kepala. Kau ingat kau siapa nak tonyoh kepala aku? Boleh blah la. Kau ni manusia sakit otak!


Serta merta dia jadi garang. Dzikri berhenti berjalan. Tiga ahli F4 tersengih-sengih.


F4: Tengok badan dah tentu kalah dia ni. Memang tak sedar diri.(masing-masing mengata dalam hati.)


Dzikri: Aku suka. (senyum mengejek, bajet hensem)


Darah Intan dah gelegak mengalahkan air panas atas dapur. Kakinya dihayun. Terajang buntut Dzikri.


F4: Eyh?(Semua terdiam.)


Dzikri: Tunggulah nasib kau lepas ni…


Dia betul-betul blah kali ni. Muka Intan naik merah sebab marah gile. Dia dah tak peduli apa nak jadi lepas ni. Yang dia tahu, keadaan dah jadi kacau bilau. Macam nak meletus perang.


Nashriq Aiman: Wow!(nada kagum yang sebenarnya mengejek)


Azim Hakimi: Berani erk kau…(pandang Intan, sambil kenyit mata)


Haritz: Huh…(mengeluh sambil menunduk, langsung tak pandang Intan)


Intan: Matilah aku lepas ni!(meraung dalam hati)

Novel Drama : 4 plus One jadi KITA [1-Mangsa Pertama]


Hasil Kesengalan Bersama : Adra Adlina dan LeaQistina

Azwan terduduk. Wajahnya pucat dan bingung. Oh tidak!! Apa salah aku..? Belum sempat Azwan berfikir mengenai tindakan yang selanjutnya, seluruh pelajar Kolej Lavender telah pun mengerumuninya.


Azwan : Ah.. tidak!! Aku tak boleh hanya mengalah. Aku kena melarikan diri.. Yeahhh..!!


Azwan menjerit sekuat hati sabelum berlari. Cuba meredah bulatan manusia yang ghairah mengerumuninya bersama satu niat jahat untuk membelasah dirinya.. Yeah!! Azwan menyondol sekuat hati dengan harapan dia akan bolos dari manusia-manusia gila ini.


Doingg!! Adoi..


Azwan jatuh terduduk apabila sondolan kepalanya betul-betul mengenai tudung tong sampah besi yang dipegang oleh salah seorang ahli gerombolan gila yang cuba dibolosinya.


Azwan : Adoi.. mesti benjol kepala aku..


Suasana menjadi bertambah gamat. Suara ketawa gembira menggegarkan perkarangan locker pelajar Kolej Lavender. Azwan menolak cermin mata fesyen old schoolnya yang telah meleret jatuh ke hidung.


Pelajar 1: Hoi.. Kau nak lari ke mana, hah?


Pelajar 2: Kau jangan harap boleh lari.. huhu.. berangan la..


Kata-kata pelajar itu diikuti dengan ketawa yang berdekah-dekah. Key high note agak sumbang dan kurang sampai, namun diteruskannya juga dengan penuh gaya samseng Sam Dol zaman dolu-dolu.


Siti Haniiim.. Four!! Kata empat orang pelajar wanita dengan penuh harmoni dan gaya gedik yang mengiringi. Formasi wajib seterusnya adalah ketawa dengan gaya gatal sambil menutup mulut menggunakan jari.. Hehehe.. Hehehe..


Dussh!! Sebaldi air disimbah ke arah Azwan. Azwan cuba bangun namun dengan keadaan lantai yang licin dan tapak kasut yang semakin haus, Azwan jatuh terbongkang sekali lagi apabila setiap kali cubaannya digagalkan oleh tolakkan gerombolan manusia-manusia gila yang semakin ghairah melihat dia didera.


Azwan masih lagi belum berputus asa, dengan sedaya upaya dia cuba bangun. Namun kali ini dirinya ditolak ke kanan dan kiri. Melantun-lantun ibarat bola squash. Akhirnya Azwan pening sendiri dan jatuh terduduk kembali. Ketawa gerombolan manusia-manusia gila masih lagi gamat. Perlahan-lahan geng Siti Hanim Four datang mendekati Azwan yang sedang pening-pening lalat.


Dush..!! Kali ini beberapa paket tepung pula yang dicurah ke atas kepala Azwan. Habis selepuk wajahnya. Seputih-putih tepung gomak, putih lagi wajahnya kini.


Hacchum..!! Azwan bersin.


Ah.. patutlah Azwan bersin. Tepung Goreng Kentucky rupaya yang disiram di kepalanya. Huh!!


Dari foyer tingkat satu bangunan tersebut, kelihatan ahli-ahli F4 bersama suatu pandangan sinis bercampur bahagia apabila melihat mangsa mereka kali ini dibelasah dengan secukup rasa. Rasakan. Amaran sudah pun diberikan. Tertangkap : Lari atau belasah?!! Nampaknya Azwan sengaja memilih untuk dibelasah walaupun pilihan untuk melarikan diri telah pun diberikan. Sungguh ahli-ahli F4 tidak langsung merasa bersalah.


Kumpulan F4 : Mungkin itu adalah takdirnya.


Getus hati mereka bersama.


Novel Drama : 4 plus One jadi KITA [Prolog]


Hasil kesengalan bersama : Adra Adlina dan LeaQistina


** Cover Drama Novel: 4 plus One jadi KITA

Babak 1


Lokasi : Kolej Lavender


Suasana :


Di satu pagi yang indah, seawal jam 7.30 pagi perkarangan Kolej Lavender telah menerima kehadiran para pelajar yang menaiki pelbagai jenis kereta mewah. Satu demi satu, semuanya bersilih ganti.


Namun, tiba-tiba suasana yang tenang menjadi kecoh apabila kedengaran satu suara yang menjerit mengatakan ada pelajar yang menerima nota maut dari F4.



**Nota maut F4


Azwan terduduk. Wajahnya pucat dan bingung. Oh tidak!! Apa salah aku..? Belum sempat Azwan berfikir mengenai tindakan yang selanjutnya, seluruh pelajar Kolej Lavender telah pun mengerumuninya.


Apakah yang berlaku pada Azwan? Nantikan saja kisah seterusnya.. hehe..

Khamis, Januari 15

Aduh!! Mahalnya hantaran.. [Edited Version]


"Apa??!! Dua puluh ribu??" terkejut Adif mendengar nilai yang disebut oleh Nila. Hampir tersedak Adif dibuatnya. Mujur saja air yang sedang dihirupnya tidak tersembur keluar.

"Biar betul Nila??" Adif cuba mendapatkan kepastian mengenai apa yang didengari tadi. Dua puluh ribu??!!

Nila hanya mengangguk lemah. Adif meraup kepalanya, tanda resah.

"Nila.. mana Adif nak cari duit sebanyak tu?" nilai itu dirasakannya bagai tidak masuk dek akal. Dirinya bukanlah anak orang berada malah baru sahaja dua tahun mula bekerja. Mana mampu untuk menyediakan mahar hantaran buat Nila yang sebanyak itu?


Nila hanya tertunduk. Tidak tahu apa yang perlu diperkatakannya.


"Ayah Nila tak setuju dengan perhubungan kita ke Nila?" entah mengapa hati kecil Adif kuat menyatakan bahawa permintaan nilai hantaran yang terlalu tinggi itu merupakan signal secara halus daripada ayah Nila - dia menentang perhubungan ini. Ada calon lain yang lebih layak buat Nila.

"Entah la Adif. Setahu Nila, ayah tak pernah halang perhubungan antara kita.." Nila juga tidak pasti akan permintaan ayahnya itu yang dikira agak melampau.

"Bila Adif rancang nak hantar rombongan meminang?"

"Minggu depan.." jawab Adif perlahan.

"Hmm.. mungkin sempat lagi untuk Nila berbincang semula dengan ayah.."

"Biar Adif yang cakap dengan ayah Nila.."

"Jangan Adif.. Biar Nila yang cakap, kalau tak berjaya jugak nanti baru kita fikirkan tindakan kita yang selanjutnya ya.." pujuk Nila. Nila tahu, hati Adif sudah pasti resah ketika ini. Begitu juga dengan hatinya.

"Ya Allah.. Kau permudahkanlah urusan-urusan kami dalam menuju jalan redha-Mu", doa Adif di dalam hati. Moga hati ayah Nila lembut untuk mempertimbangkan kembali, nilai hantaran Nila nanti.

* * *

"Ayah, boleh Nila cakap sesuatu?" tanya Nila lembut. Ayahnya yang berada di sofa sedang membaca akhbar didekatinya.

Nik Nirwan melipat akhbar ditangannya lalu diletakkan di meja kopi.

"Nila nak cakap apa?"

"Fasal nilai hantaran.." jawab Nila pendek.

"Kenapa? Adif tak mampu?"

"Memang Adif tak mampu, yah. Keluarga Adif bukanlah orang berada, Adif pula baru dua tahun bekerja. Mana sempat Adif nak mengumpulkan wang sebanyak tu? Lagi pulak, tempoh pertunangan yang ayah letakkan cuma enam bulan.." Nila cuba memancing akal rasional ayahnya. Moga setiap hakikat yang dibentangkan dihadapan mata ayahnya itu mampu membuka mata ayahnya mengenai tahap kemampuan Adif.

"Nila.. dengar sini. Nilai yang ayah tetapkan itu bukanlah untuk menyusahkan kamu berdua. Bukan juga niat ayah untuk menghalang niat murni kamu berdua untuk mendirikan rumah tangga. Cumanya, jika Adif tidak mampu untuk menyediakan nilai hantaran yang telah ayah tetapkan, itu bermakna Adif belum bersedia untuk memikul amanah menerajui sesebuah rumah tangga.. Macam mana Adif nak bela Nila kalau duit hantaran pun dia tak mampu sediakan..?" hujah Nik Nirwan pada setiap patah kata anaknya.

"Tapi yah, wang bukanlah segalanya. Persediaan itu bukanlah terletak pada nilai wang tetapi apa yang terdapat di dadanya, kasih sayangnya, ilmu dijiwanya.. Itu yang lebih utama yah.." selar Nila pula. Nik Nirwan merengus tidak senang dengan kata-kata anaknya.

"Kenapa kamu yang berbincang dengan ayah dan bukannya Adif sendiri?" Nik Nirwan cuba memesongkan bicara.

"Bukan Adif tak nak, ayah. Nila yang tak izinkan dia berbincang dengan ayah. Biarlah Nila yang berbincang dengan ayah terlebih dahulu. Nila betul-betul tak faham kenapa ayah tidak mahu mempermudahkan perancangan kami ini ayah.." Nila kesal dengan sikap ayahnya. Entah apa yang diharapkan oleh ayahnya melalui nilai hantaran yang banyak sebegitu. Nik Nirwan berpura-pura tidak mendengar akan jawapan anaknya. Surat khabar yang dilipatnya tadi diambil semula lalu berpura-pura kembali membaca. Tidak mahu anaknya itu memanjangkan bicara. Keputusannya muktamad.


* * *

"Eh.. Korang semua ni bercerita tentang apa? Riuh semacam je bunyinya.." soal Nik Nirwan yang baru turun dari pejabat, pada rakan-rakannya yang riuh berborak. Itulah aktivitinya dan rakan-rakan pejabat yang lain selepas selesai waktu pejabat. Mengeteh barang sejam dua. Berborak-borak perihal semasa.

"Tak ada apa-apalah Nik. Si Farid ni ha.. Bercerita fasal nilai hantaran anak perempuan dia. Lima belas ribu kau tau dia letak.." jatuh rahang Nik Nirwan mendengarkan nilai hantaran anak temannya itu.

"Kau biar betul, Farid?!!" tanya Nik Nirwan tidak percaya.

"Betullah.. Bukan senang aku bela anak aku tahu? Ingat senang-senang je aku nak bagi anak aku macam tu? Atleast biarlah berbaloi dengan segala penat lelah aku membela dan membesarkan anak aku tu.." jawab Farid acuh tak acuh. Bangga pula rasa hati Farid tatkala melihat wajah kagum rakan-rakannya.

"Tapi Farid, tu dah macam kau menjual anak kau?" tegur Luqman yang nyata agak kurang bersetuju dengan Farid.

"Mana ada aku jual anak aku?!! Sedangkan harga anak lembu pun mencecah lima enam ribu, inikan pula anak aku.. Aku hantar dia pergi sekolah tau, siap masuk universiti lagi.. Takkan nilai dia hanya setara dengan anak lembu.." balas Farid dengan wajah yang jelik. Nik Nirwan pula hanya mendiamkan diri. Cuba mencerna hujah kedua-dua rakannya.

"Logik juga kata Farid. Itu bukan menjual anak, cuma meletakkan nilai yang setimpal buat anaknya.." hati kecil Nik Nirwan mula termakan oleh hujah-hujah Farid tadi.

"Aku dengar, hantaran anak kau si Eisya tu cuma enam ribu. Murahan betul ya anak kau tu.." ucap Farid tanpa memperdulikan perasan Luqman. Luqman hanya menggeleng kesal. Tidak disangkanya, begitu dangkal tahap pemikiran Farid.

"Terpulanglah pada kau Farid. Cuma aku nak ingatkan kau bahawa redha Allah akan mengiringi perempuan yang murah, yakni murah mahar dan hantarannya. Apalah sangat nilai hantaran dan harga wang belanja andai akhirnya anak kau tidak bahagia.." ucap Luqman sebelum berlalu meninggalkan rakan-rakannya.

Wahaha.. Farid ketawa berdekah-dekah apabila melihat Luqman berlalu meninggalkan mereka semua.

"Apa lagi yang boleh si Luqman itu katakan. Dah memang nilai anak dia tu murah, so nak pulak dia selitkan kononnya mudah mendapatkan redha Allah.." Farid ketawa lagi, lagi dan lagi. Ketawa hingga hatinya puas. Rakan-rakannya yang lain juga turut ikut ketawa.

"Kalau tak ada duit, bagaimana nak hidup bahagia..?" tambah Farid lagi dalam nada yang sinis.

"So Nik, hantaran anak kau pula nanti berapa??!"

* * *

"Adif, apa yang kita nak buat ni? Nila dah cuba bincang dengan ayah but still dia tak nak turunkan nilai hantaran tu. Still dua puluh ribu. Macam-macam alasan yang ayah bagi. Sampaikan Nila sendiri dah tak tahu nak cakap apa? Nila sendiri pun malu nak berhadapan dengan Adif" ujar Nila lirih. Wajahnya ditundukkan. Segan untuk bertatapan dengan Adif. Segan dengan sikap ayahnya yang seolah-olah ingin menjualnya.

"Hei.. apa yang Nila cakapkan ni? Jangan risau, kita masih ada masa lagi untuk memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah ini.." pujuk Adif. Nila hanya mendiamkan diri. Buntu memikirkan cara supaya Aidif dan dirinya dapat bersatu.

"Nila.." panggil Adif setelah sekian lama mendiam diri.

Nila mengangkat wajahnya. Cuba memberi tumpuan pada Adif.

"Adif belum tahu caranya but Adif rasa Adif perlu berbincang sendiri dengan ayah Nila. Boleh tak kalau Nila aturkan suatu pertemuan antara Adif dan ayah Nila, esok petang, dalam pukul empat lebih, di Taman D. R. Seenivasagam. Boleh?", tanya Adif. Hati Adif tersenyum. Adif yakin, dengan izin Allah, rancangannya esok akan berjaya.



"Boleh, tapi apa yang Adif nak cakapkan pada ayah?"

Adif hanya angkat bahu. Fikirannya kosong dan buntu. Masih tidak tahu tindakan terbaik bagi memujuk Nik Nirwan.

"Yang itu biar Adif fikirkan nanti. Sekarang ini, jom Adif hantarkan Nila balik dulu."

* * *

Adif buntu memikirkan masalah yang sedang dihadapinya kini. Entah bagaimana cara yang perlu dia lakukan untuk mendapatkan kata setuju dari ayah Nila. Dua puluh ribu? Bukan suatu nilai yang sedikit. Mana hendak aku cari wang sebanyak itu? Ah.. Nila, Adif mengeluh sendiri. Adif berjalan tanpa tujuan di Taman D.R Seenivasagam ini atau lebih di kenali dengan nama Taman D.R sahaja dikalangan penduduk sekeliling. Langkah ayunan kakinya dibiarkan lepas tanpa haluan. Setelah agak lama dia begitu akhirnya Adif duduk di sebuah bangku kosong yang berada di tepi tasik. Otaknya masih lagi ligat memikirkan cara untuk memujuk ayah Nila esok. Sedang otaknya ligat, matanya pula meliar memerhatikan sekeliling. Tiba-tiba matanya tertancap pada satu poster yang ditampal pada tiang lampu yang berada tidak jauh darinya.



Masalah kewangan? Jangan risau. Kami mahu menolong anda.

Hubungi : 015-65846544

* Tak perlu cagaran dan tak perlu gelentor.


"Mungkin inilah jalan penyelesaian yang terbaik buat aku," bisik hati Adif penuh semanagat. Pantas poster tersebut dicabutnya. Sambil matanya khusyuk membaca ayat-ayat yang tertera pada poster ditangannya, tangan kirinya pula cekap mendail nombor-nombor yang tertera. Menunggu seketika hingga talian dihubungkan.

"Hello.."

* * *

"Hello.. Assalamualaikum Adif.. Adif dah sampai ke? Nila baru saja sampai dengan ayah ni.." Nila menghubungi Adif sebaik sahaja mereka tiba di tempat yang ditetapkan semalam. Jauh dilubuk hati Nila, dia sendiri tertanya-tanya mengenai perancangan yang dilakukan oleh Adif. Namun, atas dasar rasa percaya yang kukuh pada Adif, Nila yakin perancangan Adif itu bakal membawa kebaikan pada mereka dengan izin daripada-Nya.

"Waalaikumussalam Nila. Adif dah sampai. Nila ingat lagi tak, pondok pokok buluh kita? Adif ada kat situ.." ujar Adif sebagai jawapan.

"Okey.. Nila ingat.." jawab Nila ringkas sambil menutup telefon bimbitnya. Jika boleh pada petang ini, Nila tidak ingin diganggu. Semoga perancangan Adif pada hari ini berjalan dengan lancarnya, doa Nila di dalam hati.

"Jom ayah.." ajak Nila. Nik Nirwan hanya mengikuti langkah anaknya tanpa sebarang kata.

* * *

"Assalamualaikum pak cik. Apa khabar?" sambut Adif sebaik sahaja melihat kelibat Nila bersama ayahnya kelihatan. Tangan dihulur. Lalu Adif tunduk bagi menyalami tangan Nik Nirwan. Walau apa yang terjadi, hormat pada orang tua perlulah dijaga. Itulah prinsip yang Adif pegang selama ini.

Adif tersenyum pada Nila. Nila turut membalas senyuman daripada Adif.

"Eh Nila, takkan nak tersenyum aje. Ajaklah ayah Nila duduk. Marilah duduk dulu, Pak Cik.." sengaja Adif mengusik buah hati pengarang jantungnya sambil menjemput Nik Nirwan duduk. Sopan sahaja budi bahasanya. Nik Nirwan mengangguk. Lantas mereka bertiga duduk di pondok buluh yang terdapat di situ.

"Pak cik, beberapa hari yang lepas Nila ada maklumkan pada saya mengenai nilai hantaran yang telah pak cik tetapkan.." Adif memulakan bicara pada petang itu.

"Kenapa?!! Kau tak mampu nak sediakan?" pintas Nik Nirwan bertanyakan soalan yang dirinya sendiri sudah mengetahui jawapannya.

"Ya, pak cik. Terus terang, saya mengaku pada pak cik bahawa saya tidak mampu untuk menyediakan mahar hantaran yang sebanyak itu.." lembut sahaja suara Adif menjawab. Nila hanya mendiam diri. Tidak mahu menyampuk dan mengganggu perbualan antara Adif dan ayahnya.

"Dah tu, berapa nilai hantaran yang kau rasa mampu untuk diletakkan untuk anak aku?" tanya Nik Nirwan kasar.

"Ayah.." tegur Nila lembut. Dia agak kurang menyenangi cara ayahnya melayani Adif. Adif memberi isyarat ‘tidak mengapa' pada Nila, membuatkan Nila tidak jadi untuk bersuara.

"Kalau kau rasa tak mampu lagi untuk menyediakan duit hantaran semua ini, kenapa kau gatal-gatal nak ajak anak aku kahwin pulak??!! Entah-entah nanti anak aku mati kering tak makan, kalau dia kahwin dengan kau..!!" tambah Nik Nirwan lagi. Adif hanya tersenyum dan cuba menenangkan hatinya yang pedih akibat kata-kata kasar Nik Nirwan.

"Insyaallah pak cik. Andai kata sebegitu daif kami pada waktu itu, rela saya tidak makan demi mendahulukan keperluan isteri dan anak-anak saya nanti. Lagi pun nanti mereka adalah tanggung jawab saya. Masakan saya akan membiarkan mereka mati kebuluran tidak makan.." Adif masih lagi berlembut. Nik Nirwan merengus kasar. Tidak suka dengan jawapan Adif yang dia kira sebagai sengaja ‘tunjuk baik'.

"Huh!! Belum dapat memanglah itu jawapan kau. Hah.. jangan cakap banyak. Agak-agaknya berapa nilai yang kau mampu letakkan?" malas Nik Nirwan hendak melengah-lengahkan bicara. Tambahan pula, hatinya sudah bulat untuk meneruskan dengan keputusan yang telah dibuatnya sebelum ini. Pasti gah nanti apabila aku bercerita pada Farid dan rakan-rakan pejabatnya nanti, desis hati Nik Nirwan.

"Sepuluh ribu pak cik.. Itulah sahaja nilai yang saya mampu buat masa ini.."

"Sepuluh ribu?!! Gila..!! Kau ingat Nila ni apa? Anak lembu??" tengking Nik Nirwan tiba-tiba.

"Ayah..!!" Nila tidak menyangka bahawa ayahnya akan berkata begitu.

"Kau diam Nila. Ayah tak mahu kau masuk campur. Hei, kau dengar sini Adif. Sedangkan anak lembu lembu pun dah berharga lima enam ribu, inikan pula anak aku.." sengaja Nik Nirwan mengulangi kata-kata yang pernah dituturkan oleh Farid suatu ketika dulu. Marahnya meluap-luap apabila mendengar nilai hantaran yang diminta oleh Adif.

Adif hanya diam melihatkan keadaan Nik Nirwan yang sedang marah.

"Sepuluh ribu?!! Empat ribu sahaja lebih daripada harga lembu? Kiranya kau anggap si Nila ni, up sikit jelah daripada lembu. Begitu?!!" sambung Nik Nirwan lagi.

Adif menarik nafas dalam. Pipinya yang gatal akibat digigit nyamuk, digarunya perlahan. Entah mengapa hatinya berasa lucu mendengar kata-kata Nik Nirwan tadi. Ada ke patut dia membandingkan Nila, buah hati aku yang comel ini dengan lembu? Sungguh hati Adif tidak percaya. Sedaya upaya ditahan agar tawa dihatinya tidak terlepas dibibirnya. Di tambah pula dengan riak wajah Nila yang mula merintik merah apabila mendengar butir bicara ayahnya. Marah barangkali, teka Adif lagi.

"Baiklah pak cik. Kalau itu yang pak cik inginkan, saya.." bunyi deringan telefon bimbit Adif telah mematikan butir bicaranya.

"Maaf.. Sebentar ya pak cik.." Adif bangun daripada kerusi yang didudukinya dan menghadap ke belakang. Lagaknya seolah-olah ingin berahsia mengenai perbualan tersebut.

"Baiklah.." kata Adif sebelum menamatkan perbualan telefon tersebut. Adif kembali duduk ditempatnya tadi.

"Beginilah pak cik. Kalau pak cik tetap bertegas dengan keputusan pak cik, nampaknya saya terpaksa akur. Demi Allah pak cik, saya sanggup melakukan apa sahaja asalkan saya dapat bersama-sama dengan Nila. Pak cik jangan risau, sebentar lagi 'kawan' saya akan datang. Dia dah bersetuju untuk memberikan saya pinjaman.." kata Adif tenang. Nila pula terharu melihat akan kesungguhan Adif untuk mendapatkan dirinya sebagai suri hidup Adif.

"Huh!! Boleh pun.. Aku dah agak dah, kau memang sengaja bagi alasan sebelum ini..", balas Nik Nirwan acuh tak acuh. Dalam hatinya sudah membayangkan betapa bangganya dia nanti apabila bercerita pada rakan-rakannya. Adif tersenyum lagi.

"Hello my friend.." tiba-tiba suatu suara kedengaran menegur mereka. Pantas Nila dan Nik Nirwan menoleh ke belakang. Tempat di mana arah suara itu datang. Kelihatan dua orang lelaki lelaki datang menghampiri mereka. Berubah wajah Nila tatkala melihatkan penampilan kedua-dua lelaki itu. Lagak mereka seperti ahli-ahli kongsi gelap.

Adif tersenyum sambil mengangkat tangan kepada dua lelaki tadi.

"Ok.. you sudah setuju ka?" tanya salah seorang lelaki tadi apabila mereka sudah berada di sebelah Adif.

"Ya.." jawab Adif ringkas.

"Wah.. you punya amoi manyak cantik wo.." kata lelaki yang seorang lagi. Nila cuba menjauhkan diri daripada lelaki itu. Agak takut dan tidak selesa dengan situasi itu.

"Adif, siapa mereka semua ni?" tanya Nila. Ternyata Nila tidak senang hati dengan suasana ini. Hatinya tiba-tiba berdenyut risau. Rasa seperti ada yang tidak kena.

Adif diam, tidak menjawab soalan yang diajukan oleh Nila.

"Okey.. kalau itu macam, lu sign sama ini borang.." Adif menyambut borang yang dihulurkan kepadanya. Setelah menandatangani borang tersebut, Adif pun menyerahkan kembali borang kepada kedua lelaki tadi.

"Tahniah..!! Terima kasih kerana berurusan dengan kami Ah Long Bukit Beluntong.." ujar lelaki yang menerima penyerahan borang daripada Adif. Sebuah beg pula diserahkan kepada Adif sebagai balasan borang tadi. Adif menyambutnya dengan senang hati.

"Wah..!! Wa talak sangka wo itu duta kita olang, Aflin Shauki sama itu Din Belamboi buat kelija manyak baguih.. Sampai Ipoh sini, kita olang boleh dapat customer.." tambah lelaki yang seorang lagi.

"Apa??! Ah Long?!" jerit Nila dan Nik Nirwan serentak. Gila. Tidak Nila sangka, Adif senekad itu hingga sanggup mengambil langkah gila yang sebegitu.

"Ya. Adif terpaksa. Maafkan Adif kerana terpaksa mengambil langkah ini, Nila. Adif dah tak layak buat pinjaman daripada bank sebab sebelum ini Adif dah buat dua pinjaman. Satu untuk beli rumah dan satu lagi untuk beli kereta. Adif harap Nila faham tindakan Adif ini.." ucap Adif tulus memohon pengertian daripada Nila. Segalanya terpaksa Adif lakukan Nila, demi kita dapat bersama.

"Pak cik, sekarang ini duit dua puluh ribu sudah ada dalam tangan Adif" kata Adif sambil menepuk beg yang berada di atas meja.

"So, Adif kira perbincangan kita hari ini selesai ya.."

Huh!! Hanya itu sahaja balasan daripada Nik Nirwan.

"Kalau begitu, marilah kita pergi makan dulu. Biar Adif yang belanja.." ajak Adif. Nik Nirwan berjalan dahulu dan meninggalkan Nila dan Adif sedikit terkebelakang.

Belum pun sepuluh tapak mereka berjalan, tiba-tiba mereka telinga mereka disapa oleh suatu bunyi. Bunyi seperti orang sedang bergaduh dan diikuti oleh bunyi erangan kesakitan. Pantas mereka menoleh ke arah bunyi tersebut. Kelihatan seorang lelaki dibelasan dihadapan keluarganya oleh kedua-dua lelaki yang menggelarkan diri mereka Ah Long Bukit Beluntong tadi. Pucat wajah Nila melihatkan insiden itu. Pantas Nila menarik baju Adif. Adif sedar maksud Nila.

"Jangan risau sayang, Adif akan pastikan bahawa Nila tidak akan apa-apa nanti. Insyaallah.." ucap Adif perlahan. Tahu akan risiko yang mendatang. Air mata Nila sudah mula membasahi pipinya.

"Oh, Nila tak apa-apa. Habis, Adif macam mana?!" marah Nila. Suara Nila yang kuat telah menarik perhatian kedua lelaki yang sedang khusyuk membelasah mangsa mereka.

"Hallo abang.. Mali sini.." jerit salah seorang lelaki tadi. Tangannya dilambai-lambai, memanggil Adif, Nila dan Nik Nirwan mendekati mereka. Dengan langkah yang gerun, mereka bertiga berjalan merapati kedua-dua lelaki tadi.

"Hmm.. wa mau lu olang tengok apa jadi sama ini olang. Dia sudah pinjam sama kita tapi talak mau bayar.. Hmm.. Busuk punya olang.." kata lelaki itu sambil menarik rambut lelaki yang sudah mula longlai akibat dibelasah tadi.

"Ayo yo.. Tolong la.. Jangan pukul suami saya lagi.." rayu isteri lelaki tersebut bersama-sama tangisan.

"Haiya aci.. Lu jangan lisau la.. Kita olang sudah penat belasah sama dia ma.. Ah Keong, hali ni lu la pulak potong.." ujar lelaki itu kepada rakannya.

"Wokeh.." lelaki yang dipanggil Ah Keong tadi mengeluarkan parang pendek yang sememangnya tersisip rapi dipinggangnya.

"Eh, tapi hali ini kita mau potong apa?"

"Haiyya lu ni.. Dia talak jali ka?" tanya Ah Keong. Kim Kit menarik kasar tangan kanan lelaki yang sudah lemah tadi. Membelek kelima-lima jari. Cukup.

"Hmm.. ada.. ada.. cukup semua.." maklum Kim Kit pada sahabatnya yang sudah bersedia dengan parang pendek.

"Kalau itu macam kita potong jali saja ma.. lain-lain 'benda' next time loh" balas Ah Keong itu ringkas. Adif, Nila dan Nik Nirwan memejam celik mata mereka beberapa kali. Tidak sangka mereka bakal menyaksikan perkara sebegini. Kecut hati mereka.

"Ok.. Talik itu busuk punya olang sini.." arah Ah Keong pada Kim Kit sambil menunjukkan batu besar yang berada dihadapannya.


Dengan susah payah Kim Kit mengheret lelaki yang sudah lemah longlai itu menghampiri batu yang dimaksudkan dan meletakkan tangan lelaki itu dalam keadaan tangannya yang menggenggam dan hanya tinggal anak jari sahaja yang diluruskan. Apabila mereka berdua sudah bersedia, maka parang pendek tadi diangkat tinggi sebelum dihayunkan. Sebelum parang pendek itu sempat menetak jari lelaki tadi, Nila berlari dan menolak Ah Keong.

"Jangan..!!" jerit Nila.

"Haiyya.. Lu punya amoi manyak kacau la.." rungut rakan Ah Keong sambil menggaru kepalanya.

Adif pantas mendapatkan Nila. Bimbang Nila diperapakan oleh kedua ahli kumpulan Ah Long itu. Nila melutut di kaki Adif.

"Adif, tolonglah.. Pulangkan balik duit yang Adif ambil tadi. Nila tak mahu semua perkara ini terjadi pada kita.. Tolonglah Nila, Adif.. Nila rela kita tak kahwin daripada kita terpaksa mengambil risiko yang tak berbaloi macam ni.." rayu Nila bersama tangisan yang teresak-esak. Mujur sahaja tempat itu agak terselindung oleh pokok-pokok buluh yang merimbun. Jika tidak pasti keadaan ini akan menarik perhatian orang ramai yang mula memenuhi kawasan taman rekreasi ini.

Adif meraup mukanya. Resah dengan kata-kata Nila.

"Tidak Nila. Adif lebih rela ambil risiko ini. Adif rela mati Nila, asalkan kita dapat bersama.." ucap Adif nekad. Tidak sanggup menerima kata-kata Adif tadi, Nila bangun dan melutut pula dihadapan ayahnya.

"Ayah.. tolong Nila ayah. Sanggupkah ayah rampas kebahagian Nila, semata-mata untuk mendapatkan nilai hantaran yang tinggi. Nila dah tahu ayah. Nila dah dengar semuanya, apa yang ayah borakkan dengan Uncle Farid waktu dalam telefon hari tu. Ayah tetapkan hantaran Nila tinggi-tinggi sebab ayah nak berlagak dengan kawan-kawan ayah, kan? Tolong Nila ayah.. tolong Nila.. " rayu Nila lagi. Kaki Nik Nirwan dipeluknya erat. Harapannya agar ayahnya dapat melakukan sesuatu. Harapannya juga agar ayahnya dapat memikirkan akan kebahagiaan dirinya.

"Nila.. bangun.." Nik Nirwan menarik Nila supaya berdiri. Air mata yang mengalir laju dipipi Nila disapunya perlahan. Kemudian, Nik Nirwan mengalihkan pandangannya ke arah Adif yang berdiri tidak jauh daripada mereka.

"Adif, pulangkan wang mereka. Baiklah.. kita ikut sahaja kemampuan Adif. Jika begini nanti kesudahannya, nilai hantaran yang tinggi itu tiada maknanya.." ucap Nik Nirwan perlahan. Namun masih lagi dapat ditangkap oleh deria pendengaran Adif.

"Apalah sangat nilai hantaran dan harga wang belanja andai akhirnya anak kau tidak bahagia," kata-kata Luqman suatu ketika dulu kembali bergema ditelinganya. Ya Allah, moga Kau merahmati perkahwinan anakku nanti, doa Nik Nirwan di dalam hati.

"Haiyya.. Ini macam wa manyak lugi la.." rungut ahli Ah Long Bukit Beluntong itu. Nila ketawa dalam tangisan. Ya Allah.. Aku bersyukur terhadap-Mu.


* * *

Majlis peminangan berjalan dengan lancar. Telah ditetapkan bahawa nilai hantaran adalah sepuluh ribu dan tempoh pertunangan akan dijalankan selama sebulan sahaja. Dipendekkan tempoh selama empat bulan sebelum tempoh asalnya, enam bulan.

* * *

"Thanks ya Ah Keong, Kim Kit, Ravi and you jugak Mangges.. Gaya korang hari tu memang hebat.." kata Adif.

"Tak ada hal, lah Adif. As long as you dapat kahwin dengan Nila, cukuplah.." kata Mangges sambil tersenyum.

"Eh.. orderlah. Jangan malu-malu. Hari ni aku belanja.."

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino