Product from Adobe

Ahad, April 26

Yang Kupinta Part 8


Hamdan terkial-kial cuba membetulkan kedudukan bantal di kepalanya. Diam-diam hatinya merungut kerana ditinggalkan dalam keadaan tidak berdaya seorang diri oleh Aida. Rasa ngilu terasa menusuk hingga ke tulang hitamnya setiap kali dia bergerak. Namun, keadaan pinggang yang sudah terlalu kejang kerana berada pada posisi yang sama dalam tempoh masa yang lama telah membuatkan Hamdan nekad untuk mengalihkan kedudukan bantal tersebut. Dalam dia asyik berusaha, telinga tiba-tiba dapat menangkap dua suara yang saling bertingkah. Berborak mungkin. Hamdan cuba mengamati suara tersebut. Daun pintu yang tidak tertutup rapat telah menyebabkan suara itu sedikit jelas dipendengaran telinganya. Hamdan tertanya-tanya sendiri. Suara siapakah itu? Dan suara itu semakin lama semakin jelas.


“Aku nak pergi tengok jantan tak guna tulah. Biar dia cepat-cepat baik. Lagi cepat dia baik, lebih cepat kau boleh mintak cerai...” tiba-tiba ayat itu menerjah masuk ke lubang telinganya.


Zapp!!!


Entah mengapa hatinya dirasakan bagai ditusuk sembilu. Jauh hingga ke lubuk yang paling dalam. Jantungnya pula terasa bagai berdegup dengan kencang. Perasaan apakah ini? Mengapa tiba-tiba dia dapat merasakan ada debaran aneh di dadanya? Perlahan tangannya diangkat dan diletakkan di dadanya. Cuba mengurangkan rasa debar di hati. Ngilu di tangannya kini tidak lagi terasa. Yang terasa hanyalah rasa perit dan pedih yang mula menular di jiwanya kini.


Cerai.


Perkataan itu menerjah masuk ke kotak fikirannya. Mula-mula sedikit dan akhirnya keseluruhannya dipenuhi oleh perkataan itu. Cerai. Cerai.


“Kau dah ok ke belum?” tegur satu suara. Pecah berderai lamunannya tadi. Renungan kosongnya tadi beralih ke wajah beku disebelahnya. Satu wajah asing yang belum pernah dikenalinya. Siapakah dia?


“Kau dah ok ke?” ulang Dr. Rasyidah apabila Hamdan tidak memberikan sebarang respon kepadanya. Malah mata bundar itu begitu asyik merenung wajahnya. Hamdan agak tersentak dengan teguran yang langsung tidak mesra dipendengarannya.


“Dah... eh, belum,” Hamdan sendiri berasa keliru. Kepalanya yang pada mulanya diangguk, kini digeleng pula. Dr. Rasyidah melepaskan helaan nafas yang berat. Seberat rasa hatinya yang tidak ingin merawat lelaki durjana ini. Jika tidak dikenangkan persahabatan antara dirinya dan Aida yang telah berusia lebih sedekat yang lalu, pasti lelaki ini akan dibiarkannya terdampar sendirian. Tidak perlu dirawat dan tidak perlu diendahkan. Entah mengapa hatinya ini benar-benar tidak mampu berkomporomi dengan lelaki dihadapannya kini.


Dengan rasa yang kurang ikhlas, pergelangan tangan Hamdan dicapai dan kadar denyutan nadinya dikira. Aida yang hanya bersandar di pintu bilik tergeleng sendirian. Rasa tidak ikhlas Dr. Rasyidah terpampang jelas di wajahnya.


“Syidah, ikhlas ketika bekerja itu ibadah. Apatah lagi ketika membantu insan yang tidak berdaya,” ucap Aida perlahan. Namun, butir bicaranya itu masih mampu didengar jelas oleh kedua-dua insan itu.


Dr. Rasyidah tersentak sejenak sebelum istighfar terbit dibibirnya. Sungguh dirinya hanyut di bawa rasa sakit hati yang tidak bertepi. Rasa kagum semakin menggunung pada peribadi sahabatnya ini. Sentiasa tenang dan redha akan takdir Allah buat dirinya.


Berbeza pula kesannya pada Hamdan. Entah mengapa ulas bicara Aida yang lembut itu dirasakan bagai begitu menyentuh hati lelakinya. Sungguh syahdu sehingga meruntun rasa sebak yang tidak terperi. Nyaris mengalir air matanya. Jika tidak mengenangkan ada wanita asing di hadapannya, pasti sebak dihati akan terzahir sebagai tangisan. Ah!! Mengapa pula hati aku ini tiba-tiba berubah pelik begini?


Arghh!! Jerit Hamdan apabila tangan lembut Dr. Rasyidah menekan bengkak yang membiru diwajahnya. Sungguh ngilu dan perit.


“Teruk juga bengkak kau ni. Nanti aku bagi kau ubat bengkak dengan ubat tahan sakit. Selain daripada bahagian badan kau yang bengkak-bengkak ni, tangan kaki kau tu ada rasa sakit tak?” pemeriksaan yang pada mulanya tertumpu ke bahagian wajah kini beralih ke bahagian badan yang lain. Dr. Rasyidah meneliti lebam-lebam di bahagian dada dan perut Hamdan. Bimbang wujudnya tanda-tanda kecederaan organ dalaman.


Hamdan hanya menggeleng sekadar menjawab pertanyaan Dr. Rasyidah tadi.


“Cuba genggam tangan kanan kau,” Hamdan hanya menurut.


“Sakit tak?” tanya Dr. Rasyidah lagi.


“Sikit”


“Kiri pulak”


“Ok?” Dr. Rasyidah cuba mendapatkan kepastian yang terakhir. Hamdan pula sekadar mengangguk. Entah mengapa berat pula mulutnya untuk membuka bicara.


“Hurm.. oklah kalau macam tu. Aku rasa tak ada apa-apa yang serius. Dalam seminggu dua nanti baiklah,” ucap Dr. Rasyidah seraya bangun. Dicapainya tangan Aida sebelum mereka sama-sama berlalu. Namun begitu, sempat juga tangan Aida menarik daun pintu agar menjadi sedikit rapat. Aida bersandar di dinding sambil berpeluk tubuh. Sabar menantikan butir bicara yang bakal dilontarkan oleh sahabatnya itu.


“Aku rasa dalam seminggu dua ni kau dah boleh buat persiapan permohonan sebab kecederaan dia pun tak serius mana. Aku harap kau jangan pula lembut hati kalau dia merayu ke ape,” ucap Dr. Rasyidah. Namun di hujung ayatnya sempat juga diselitkan kata sindiran. Aida hanya tersenyum mendengar kata-kata sahabatnya.


“Merayu? Mana mungkin abang Hamdan nak merayu pada aku Syidah. Siapa la aku ni? Dia bukan pernah anggap aku ni isteri dia pun,” balas Aida pula bersama senyuman pahit.


“Jadi, senang la kalau macam tu. Lepas ni kau failkan fasakh. Lepas cerai, kau mulakan hidup baru. Kalau tak ada tempat tinggal, kau duduk je dengan aku dulu buat sementara waktu. Ok?”


“Ok...”



BERSAMBUNG

Lea, baru nak panaskan enjin... Hope kengkawan semua berpuas hati dengan sambungan kali ini. Kisah ni dah nak habis. So, nantikan penamat cerita ini ye. Kalau ada yang rsa nak teka apa endingnya. Sila-sila... Hehe... :D

Jumaat, April 17

Makluman Penukaran Alamat Blog


Dimaklumkan bahawa alamat blog ini telah ditukarkan ke

http://kalamcoretanku.blogspot.com

Lea minta maaf atas segala kesukaran yang dihadapi. Sekian, terima kasih.

Harap maklum.

Ahad, April 12

Cerpen : Kerna Syiqah 2


“Abang, Mar dah siap masak ni. Jom kita makan,” ajak Mar sebaik sahaja dia menjenguk ke bilik. Namun, langkahnya kaku apabila melihat suaminya itu hanya terpaku di atas katil bersama juraian air mata. Tangannya pula kejap mengenggam telefon bimbitnya.


“Eh, kenapa ni bang?” rasa risau mula menerjah di hati Maria apabila melihat keadaan Rashid. Apa yang berlaku? Kenapa suaminya menangis begini?


“Abang...” Maria memanggil lembut suaminya. Bahu Rashid disentuhnya lembut.


Demi merasakan bahunya disentuh, Rashid menoleh lalu terus memeluk erat pinggang Maria. Kejap. Rashid cuba melepaskan kesedihan dihatinya pada isteri tersayang.


“Mar, Syiqah...” ucap Rashid dalam tangisannya. Maria mengusap lembut rambut suaminya. Mendengarkan nama Syiqah disebut, Maria menarik nafas dalam sebelum melepaskannya perlahan.


“Kenapa dengan Syiqah bang?” ternyata Maria tidak dapat menahan bibirnya dari terus bertanya mengenai Syiqah. Akan kembali tergugatkah kedudukan dirinya di hati Rashid?


“Syiqah, ada orang dah ambil dia jadi anak angkat. Lepas ni abang dah tak boleh jumpa Syiqah,” ucap Rashid bersama esakkan. Sungguh hati Rashid sedih dan pilu sebaik sahaja Kak Normah, penjaga Syiqah di Rumah Anak-Anak Yatim Sinar Gemilang menyampaikan berita sedih itu kepadanya sebentar tadi.


Syiqah merupakan kanak-kanak perempuan yang ditemuinya ketika dia melakukan lawatan ke Rumah Anak-Anak Yakin Sinar Gemilang hampir enam bulan yang lalu. Kanak-kanak yang berusia hampir setahun lebih itu datang menerpa di kakinya dan minta untuk didukung sebaik sahaja Rashid melangkah masuk ke ruangan kanak-kanak yang terdapat di situ. Sungguh hati kecilnya tersentuh dengan raut wajah comel itu. Telatah Syiqah yang nakal beserta raut wajahnya yang menenangkan itu sering sahaja mengusik ketenangan hatinya. Sering menjemput rindu bertandang di jiwa yang sarat dengan kasih sayang seorang ayah yang belum pernah terlunas. Mungkin belum rezeki mereka suami isteri untuk mendapatkan zuriat sendiri. Sungguh hatinya tidak pernah mengeluh dan sedih. Namun, kewujudan Syiqah dalam hidupnya seolah-olah sudah melengkapkan segenap rasa dalam ruangan jiwanya.


Maria tersentak mendengar kata-kata yang terluah oleh dua ulas bibir suaminya. Entah mengapa hatinya ini turut dipalu debar. Resah juga turut bertamu di situ. Bukankah sepatunya dia gembira menerima akan perkhabaran itu? Otaknya ligat memikirkan frasa yang sesuai untuk dituturkan pada suaminya itu. Moga lidahnya itu tidak tersilap kata dan tergelincir bicara. Bimbang hati yang sedih bertambah terluka pula jadinya.


“Sabarlah bang. Nanti kita cuba berkenalan dengan keluarga angkat Syiqah. Kemudian, kita kerap-keraplah melawat dia,” pujuk Maria. Pada perkiraannya, mungkin kata-kata itu cukup sesuai untuk memujuk suaminya yang dalam kesedihan itu. Maria sedar kasih sayang suaminya itu terhadap Syiqah sangat mendalam. Mungkin kerana mereka sendiri belum bertuah untuk dikurniakan zuriat.


“Tapi Mar...”


“Ye, kenapa bang?”


“Lepas ni abang dah tak boleh jumpa Syiqah. Kata kak Normah, keluarga angkat Syiqah tu bakal berpindah ke Sabah. Mana mungkin abang boleh berjumpa dengan Syiqah lagi,” ngongoi Rashid lagi. Sungguh sedih hatinya kala mengenenangkan mungkin tiada lagi peluang bertemu Syiqah selepas ini. Alangkah baiknya jika dia dan Maria yang menjadi keluarga angkat pada Syiqah. Pasti anak itu akan dijaga dan dikasihinya sepenuh hati. Rashid yakin, dalam cemburu terselit juga kasih isterinya itu kepada anak kecil itu. Semuanya terserlah ketika dia menemukan keduanya di Rumah Anak-Anak Yatim Sinar Gemilang semalam. Ah! Baru semalam mereka bertiga bergembira bersama. Tidak sangka hari ini segalanya punah. Harapannya musnah.


“Abang, jodoh pertemuan itu kan di tangan Allah. Sekiranya Dia izinkan, bukan setakat bertemu malah mungkin juga Syiqah jadi milik abang. Jadi milik Mar. Jadi milik kita. Sekali Dia berkata ‘Kun Fa Ya Kun’, Insyaallah segalanya akan berlaku. Segalanya hanya terletak antara huruf Kaf dan huruf Nun, abang,” panjang lebar Maria cuba memujuk hati suaminya yang lara itu.


Rashid hanya tersedu di dada isterinya. Hatinya yang rawan kembali tenang mengenangkan sokongan yang diberikan oleh Maria. Ternyata Maria tidak pernah berubah. Masih lagi seorang isteri yang penyayang dan juga seorang isteri yang sangat memahami dirinya. Mungkin tiada rezeki untuk dia terus mendekati dan memiliki Syiqah namun dia masih lagi bersyukur kerana Allah telah pun mengurniakan kepadanya seorang wanita sebaik Maria pada dirinya.


“Eh, abang. Mar terlupa nak bagi tahu abang yang kita ada tetamu malam ni. Abang pergilah basuh muka dulu. Mar nak ke dapur dulu. Agaknya dah nak sampai tetamu-tetamu kita tu,” ucap Maria sebaik sahaja Rashid melepaskan pelukkan di pinggangnya.


“Siapa?” tanya Rashid.


“Adalah. Rahsia,” jawab Maria sambil tersenyum. Sempat juga dia mengenyitkan matanya sekali sebagai tanda mengusik suaminya. Rashid hanya tersenyum melihat telatah isterinya.


***


Sebaik sahaja Rashid keluar dari bilik air, kedengaran suara isterinya yang sedang menjemput tetamu mereka masuk. Sudah sampai rupanya, bisik hatinya. Tapi siapa ya? Entah mengapa hati Rashid dipalu debar tiba-tiba. Siapakah gerangan yang menantinya di bawah?


Baru separuh kakinya melangkah menuruni tangga, matanya telah tertancap pada suatu susuk tubuh comel yang sedang berada dalam pelukan isterinya.


“Syiqah...!” seru Rashid. Dengan rasa tidak sabar, Rashid berlari kecil menuruni tangga menuju ke arah Syiqah dan isterinya.


“Bang, inilah anak kita,” ucap Maria sambil tersenyum manis.


“Tapi...” ternyata Rashid keliru. Pantas wajah Kak Noor yang berada tidak jauh dari tempat mereka berdiri dipandangnya. Matanya memberikan isyarat inginkan penjelasan lanjut. Kak Normah hanya tersenyum.


“Akak tipu Rashid tadi. Marialah ibu angkat Syiqah,” jelas Kak Normah tenang.


“Sungguh?” tanya Rashid dalam rasa tidak percaya.


“Sungguh bang...” akhirnya Maria dan Syiqah tenggelam dalam dakapan Rashid yang berpanjangan.

-----------------------------------------------------------------------

Hola, nampaknya penyakit Lea datang semula. Hehe.. time-time gini bila datang idea mmg Lea tak dapat nak tahan diri dari menulis. Huhu... hope penyakit ni tak berpanjangan. Moga kengkawan semua berpuas hati dengan sambungan Kerna Syiqah ini. Sekian =D

Sabtu, April 11

Cerpen : Kerna Syiqah


Maria berteleku sayu di katil. Hatinya sedih. Hatinya perih. Sampai hati Rashid menduakan dirinya begini. Sedangkan ketika di awal perkahwinan mereka dahulu, Rashid pernah berjanji untuk tidak menduakan dirinya. Ah!! Janji lelaki. Sama saja dengan janji Melayu. Sering dilanggar dan sering juga dimungkiri.


“Penipu!! Pendusta!!” kata Maria dalam esak tangisnya yang semakin layu. Juraian air mata yang mengalir lesu di juring matanya juga diusap perlahan. Ah! Pergilah kau air mata. Tak guna aku menangisi sesuatu yang sia-sia.


Tiba-tiba kedengaran bunyi kereta masuk ke perkarangan rumah. Maria dapat mengagak bahawa suaminya itu sudah pulang. Hatinya yang masih bengkak mengenangkan perbuatan curang itu bertekad untuk tidak mengendahkan suaminya. Biarlah dia melayani lara di hatinya buat seketika. Rashid tidak adil!


“Hai, assalamualaikum sayang,” tegur Rashid pada isterinya bersama suatu senyuman manis dibibir.


Maria berpaling ke arah suara itu. Serta-merta matanya tertancap pada seplastik barangan yang berada di tangan suaminya itu. Huh! Barangan untuk si Syiqah lagi. Hati Maria bertambah bengkak. Salam suaminya itu hanya dijawab di dalam hati sahaja.


Rashid berasa aneh melihat reaksi dan tindak balas isterinya itu. Kenapa dengan Mar?


“Mar, kenapa muram saja ni? Mar tak sihat ke?” tanya Rashid lembut. Penuh prihatin. Rashid mendekati Maria sebaik sahaja dia meletakkan beg kerjanya serta barang-barang yang dibelinya tadi. Sebenarnya hatinya dipagut aneh apabila kepulangannya hari ini tidak bersambut seperti biasa dan Maria juga tidak menyalaminya seperti selalu.


“Ah, tak payah la abang nak buat-buat perihatin pada Mar. Baru hari ni abang nak pedulikan Mar. Selama ni tak pun. Sikit-sikit Syiqah. Syiqah. Syiqah!” Maria menepis tangan suaminya yang cuba menjamah dahinya. Ah! Aku tak perlukan prihatin dari hati yang tak rela. Suaminya itu tiba-tiba begitu prihatin pada dirinya, pasti ada sesuatu yang dihajatinya. Inginkan restu untuk memiliki Syiqahkah?


Terkedu Rashid melihat respon isterinya yang tiba-tiba itu.


“Mar, abang...” belum sempat Rashid memberikan penjelasan, Maria telah bangun dan meninggalkan suaminya itu. Hatinya malas untuk mendengar sebarang dusta dari suaminya lagi.


Rashid terduduk di katil sambil menggelengkan kepala.


Dua hari kemudian...


“Mar, sudah-sudah la tu. Dah tiga hari tau Mar buat-buat tak tahu kat abang. Sampai hati Mar buat abang macam ni,” rungut Rashid. Sedikit rajuk terselit dalam nada suara sayu itu. Maria masih lagi membekukan diri.


“Mar, hari ini kita makan kat luar nak? Abang belanja Mar,” Rashid cuba memancing reaksi daripada isterinya. Sungguh hatinya resah apabila tidak diendahkan oleh Maria sejak tiga hari yang lalu. Rasa rindu usahlah di tanya. Yang membukit kini sudah pun menggunung rasanya. Tidur malamnya juga tidak lagi nyenyak seperti dahulu.


“Mar, dah tiga hari la Mar gini. Sudah-sudah la, jangan la merajuk lagi,” rayu Rashid lagi.


“Oh, dah tiga hari. Habis yang Mar menjeruk rasa sejak enam bulan yang dulu tu abang tak nak kira? Hari-hari saya kena tadah telinga dengar kisah bahagia awak dengan si Syiqah. Awak ingat saya ni hati batukah? Tak ada perasan?!” bentak Maria pula. Sungguh hatinya berang tatkala suaminya mengungkit tempoh dia merajuk diri. Sungguh tidak patut!


“Tapi Mar, Syiqah tu kan...”


No way! Mar tak suka abang lebih-lebihkan Syiqah. Sejak ada Syiqah, semuanya Syiqah baik. Syiqah itu, Syiqah ini,” ungkit Maria pada Rashid. Biar suaminya itu tahu apa rasa hatinya selama ini.


“Tapi Mar, Syiqah tu kan...”


“Mar tak peduli. Abang banyangkan perasaan Mar bila abang cakap ‘tenangnya hati bila tengok Syiqah tidur’. Huh! Sakit hati saya ni bang, sakit!!” sekali lagi Maria memotong cakap suaminya. Akhirnya Rashid hanya mengeluh. Tersinggung benar hati isterinya kali ini. Sungguh dia tidak sangka.


“Hurm... Kalau dah gitu kata Mar, esok abang bawak balik Syiqah. Mar bincang la sendiri dengan si Syiqah. Abang dah malas nak cakap apa dah,” balas Rashid pula. Maria hanya menjeling.


“Abang ni dah tak betul ke? Mar nak bincang apa dengan budak umur setahun lebih tu?” balas Maria pula.


“Habis dah awak cemburu tak fasal-fasal. Semua yang abang nak cakap Mar tak nak dengar. So, esok Mar bincang la sendiri dengan dia,” balas Rashid lagi.


“Ah, malas la Mar. Budak kecik nak buat apa,” kata Maria lagi. Cemberut di mukanya sudah semakin sirna. Entah mengapa hatinya berasa sedikit lucu akan cadangan suaminya.


“Hah, kalau dah gitu sendiri mau ingat la..!” kata Rashid sambil ketawa-ketawa. Maria juga sudah tidak mampu menahan rasa lucu di hati lalu dirinya juga turut ketawa. Entah apa-apa jelah aku ni, getus hati Maria.

“Apa da... dengan baby pun mau jeles ka? Huhuhu...” tambah Rashid sambil ketawa dengan penuh bahagia.


-----------------------------------------------------------------

p/s: citer ni lea tulis sebagai selingan untuk meringankan otak ketika study week ni. Hope kengkawan enjoy ek.. kalau rasa nk komen or complaint seperti biasa, lea sangat-sangat mengalu-alukannya... =D thanx kerana sudi baca citer yang tak seberapa nih...

Rabu, April 8

Pengumuman: Air Mata Hati [ulangan]


Salam sayang buat semua yang mengikuti kisah Air Mata Hati,

Oleh kerana ramai yang bertanyakan kepada Lea mengenai sambungan Air Mata Hati, maka Lea terfikir untuk membuat pengumuman ini sekali lagi.

Untuk pengetahuan semua, manuskrip Air Mata Hati telah pun diterima oleh salah sebuah syarikat penerbitan. Insyaallah, kalau tak ada aral melintang, novel ini bakal diterbitkan nanti. Sehubungan dengan itu, atas permintaan pihak penerbitan Lea tidak lagi boleh menyiarkan sambungan Air Mata Hati.

Buat masa ni, Lea dalam usaha untuk menyiapkan cerita ini. Oleh itu, Lea berharap agar kengkawan semua dapat bersabar ya menantikan penamat bagi cerita ini dipasaran nanti.

Oh ya, Lea juga masih lagi dalam usaha mencari tajuk lain bagi kisah ini. Sekiranya kengkawan semua ada cadangan tajuk bagi cerita ini, Lea mengalu-alukan cadangan daripada semua. Terima kasih Lea ucapkan atas sokongan padu yang diberikan. Sesungguhnya tanpa kengkawan semua, Lea tidak akan mendapat kekuatan untuk meneruskan cerita ini hingga ke penamatnya.

Doakan Lea supaya dapat menyiapkan cerita ini secepat mungkin ya.

Sekian, terima kasih.

Salam sayang buat semua;
~LeaQistina

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino