Product from Adobe

Isnin, Disember 15

Menggapai Pelangi Cinta Bab 12


Sudah beberapa hari Elyeen berkurung di dalam biliknya. Tak sanggup rasanya untuk Elyeen bersemuka dengan mama dan papanya. Elyeen takut. Takut kalau-kalau Elyeen terkeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang anak kepada ibu bapanya. Elyeen masih lagi ingat dan sedar akan adab-adab sebagai seorang anak walaupun hatinya kini sudah cukup tercalar dengan komplot antara mamanya dan Fendi. Hatinya kini meronta-ronta berharap dapat berjumpa dengan abang Man. Bagi Elyeen abang Manlah tempat Elyeen untuk bergantung harap agar memahami dirinya. Tiba-tiba terbit satu perasaan sinis dalam diri Elyeen. Eh, Elyeen. Betulkah abang Man tak turut serta dalam komplot antara mama dan Fendi ? Bagaimana kalau ya ? Sedangkan papa juga turut terlibat, inikan pula.. Ketukan di pintu beberapa kali telah mematikan monolog di dalam hatinya. Elyeen membiarkan sahaja ketukan tersebut.

“Elyeen, mari keluar nak. Dah beberapa hari Elyeen tak makan, marilah keluar sayang. Hari ini mama masak makanan kegemaran Elyeen, nasi goreng kampung. Sedap tau, pedass!”, kata mama yang cuba memujuk. Ketika ini hati Datin Maznah betul-betul rasa bersalah. Hatinya sering berbisik dan menyatakan bahawa alangkah bagusnya kalau dia tidak bersetuju dengan pakatan itu dulu.

“Tak apalah mama, Elyeen tak nak makan. Elyeen tak lapar !”, balas Elyeen sambil menolak ajakan mamanya itu. Burrr, eh perut ni bunyi pulak dia. Diamlah !

“Elyeen, marilah keluar makan. Marilah nak, nanti Elyeen sakit. Elyeen, mama mintak maaf. Mama janji mama tak akan buat lagi. Marilah keluar makan nak”, tak keruan Datin Maznah dibuat dek rajukan Elyeen ini. Tak pernah Elyeen berbuat begini selama ini.

“Mama, tinggal Elyeen sendirian. Elyeen tak mahu makan. Lagipun Elyeen tak ada seleralah mama”,ujar Elyeen lemah. Elyeen tahu yang dia sedang berbohong dan dia juga tahu perbuatannya itu akan mengundangkan dosa kerana menipu mamanya sendiri. Namun apakan daya, demi menurutkan hatinya yang sedih Elyeen rela.

Menggapai Pelangi Cinta Bab 11


Setitik demi setitik berguguran air mata Fendi. Kemudian, Fendi terus meluru menuju ke pantai. Apabila tiba di pantai, Fendi menjerit sepuas-puasnya.

“Elyeen, kau kejaaaam !!”, jerit Fendi sambil melepaskan apa yang terbungkam di hatinya beberapa hati ini.

“Elyeeeeeen !!!!”, Fendi terus menjerit dan memanggil nama Elyeen. Semua pengunjung berada di situ memandang Fendi bersama tanda tanya. Namun, pandangan-pandangan itu langsung tidak dipedulikan oleh Fendi. Apa yang dia tahu, dia ingin memuaskan hatinya. Setelah puas menjerit, akhirnya Fendi jatuh terjelepuk di atas pasir pantai yang memutih itu. Deraian air matanya masih lagi deras mengalir di pipi. Kejam sungguh kata-kata Elyeen itu. Tajam pedih hatinya bagaikan ditusuk sembilu.

“Elyeeen, aku benci kaaauuuuu !! Benci kaaauuuuu!!”, jerit Fendi lagi.


* * *

Assalamualaikum. Mama, mama, Elyeen balik ni”, kata Elyeen dengan lemah.


“Waalaikumussalam, eh anak mama dah balik”, sejurus kemudian Datin Maznah agak terkejut melihatkan keadaan anak bongsunya yang kelihatan sedih, lemah dan matanya bengkak. “Elyeen balik dengan apa? Fendi mana, dia tak hantarkan Elyeen balikkah ?”. Mendengarkan pertanyaan Datin Maznah itu, Elyeen terus memalingkan mukanya.


Datin Maznah faham tindakan Elyeen itu. Elyeen tak mahu menjawab soalan tersebut. Namun, naluri keibuan yang terdapat pada dirinya mendesak supaya mengorek rahsia tentang apakah yang berlaku antara anaknya itu dengan Fendi. Adakah sesuatu yang buruk telah berlaku ? Akhirnya Datin Maznah akur dengan naluri keibuannya itu.


“Elyeen, boleh mama tanya sesuatu ?”, katanya lembut sambil mengusap-usap rambut anak kesayangannya itu. Elyeen yang mendengar pertanyaan Datin Maznah itu hanya memandang kosong muka mamanya sebelum mengangguk lemah tanda bersetuju.

“Elyeen, apa yang berlaku antara Elyeen dengan Fendi ? Elyeen dan Fendi pergi ke P.D? Fendi ada cakap apa-apa dengan Elyeen tak ?”, tanya Datin Maznah bertubi-tubi kepada anak kesayangannya itu.


Elyeen terkejut mendengarkan pertanyaan ibunya itu. “Eh, mana mama tahu Elyeen dan Fendi pergi ke PD dan Fendi nak cakapkan sesuatu kepada Elyeen. Mama apa semua ini? Mama memang dah tahu awal-awal ya. Sampai hati mama buat semua ini kepada Elyeen. Mama bukan tak tahu keadaan Elyeen. Elyeen ingat mama faham keadaan dan kehendak Elyeen”, kata Elyeen dengan penuh kecewa. Perasaan sebak, sedih dan rasa dikhianati menguasai diri. Perlahan-lahan Elyeen menyapu kelopak matanya yang mula bergenang dengan air mata. Hatinya berasa pedih sekali. Elyeen tak sangka bahawa mamanya sendiri telah merancangkan semua ini. Elyeen kemudiannya bangun dan meninggalkan Datin Maznah yang juga turut sama mengalirkan air matanya. Terselit juga rasa bersalah dalam diri Datin Maznah kerana memperlakukan sedemikian terhadap Elyeen walaupun semua ini dirancangkan atas dasar kasih sayangnya sebagai seorang ibu. Demi masa depan Elyeen !

Menggapai Pelangi Cinta Bab 10


Fendi yang berada di biliknya masih lagi meratapi kekecewaan yang dilaluinya. Baginya kini, setiap kali terbayang wajah Elyeen di ingatannya terasa bagaikan hatinya dirobek-robek dengan kejam sehingga terasa sayup di sanubari. Tiba-tiba kedengaran loceng pintu berbunyi. Fendi membiarkan loceng itu berbunyi buat seketika. Malas rasaya untuk Fendi membuka pintu itu. Fendi mengolek-golekkan badannya beberapa kali di atas katil. Akhirnya dengan malas Fendi bangun mendapatkan pintu. Setelah pintu dibuka kelihatan seorang pemuda yang berpakaian baju batik biru muda, uniform pekerja di chalet ini, menyuakan sekeping kertas. Fendi mengambil kertas tersebut dengan rasa debaran di hati. Selepas Fendi mengucapkan terima kasih, pemuda itu pun berlalu pergi.


Fendi berasa teragak-agak sama ada hendak membaca kertas yang berupa nota itu atau pun tidak. Naluri ingin tahunya melonjak-lonjak kini, namun dihalang oleh debaran yang kencang di hatinya. Akhirnya Fendi tunduk kepada naluri ingin tahunya. Kertas putih tidak bersampul itu dibukanya perlahan-lahan. Setelah kertas putih itu dibuka, kelihatan baris-baris tulisan yang disusun dengan kemas. Tulisan tangan ini amat dikenalinya. Elyeen !


Fendi,

Kita jumpa di warung tepi pantai pada pukul 4.30 petang.

Ada hal mustahak !

~ Elyeen ~


Fendi melihat muka jam tangannya. Ah ! Baru pukul 4.00 petang bisik hatinya. Tatkala itu hati Fendi berasa begitu menjengkelkan. Sedikit sebanyak hati Fendi tertanya-tanya juga tentang apa yang hendak disampaikan oleh Elyeen kepadanya. Tidak puas lagikah Elyeen menghancurkan hati dan perasaannya. Kata-kata bisa apakah lagi yang ingin Elyeen sampaikan. Apa pula permintaan daripadanya, persahabatan ! Ah, tak mungkin cermin yang retak mampu dicantumkan kembali . Tak mungkin ! Fendi terlalu asyik bermonolog sehingga tidak sedar jarum jam sudah melampaui angka lapan.


Tiba-tiba jeritan dan kekekan pengunjung-pengunjung di luar telah membawa Fendi kembali ke alam nyata. Masyaallah, aku dah lambat ni. Lantas Fendi bergegas menuju ke tempat yang dimaksudkan.


Dari jauh Fendi dapat melihat Elyeen yang resah menanti kehadirannnya. Fendi memperlahankan langkahnya. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Mungkin Fendi takut untuk berhadapan dengan kenyataan yang bakal disampaikan oleh Elyeen. Otak Fendi bagaikan fobia hendak menerima kata-kata yang bakal disampaikan oleh Elyeen nanti. Dalam ketidaksedaran, akhirnya Fendi tiba juga dihadapan Elyeen. Elyeen yang dahulunya segala-galanya bagi Fendi dan menyebabkan Fendi bahagia apabila berhadapan dengannya tetapi kini tidak lagi. Berhadapan dengan Elyeen bagaikan suatu azab buat Fendi.


“Hah, ada apa Elyeen nak jumpa Fendi ni ?”, kata Fendi sambil membuang jauh pandangannya ke arah laut yang luas terbentang.


“Hei, cepatlah aku tak ada masa ni. Nak cakap apa, cakaplah cepat !”, kata Fendi keras.


Elyeen terkedu melihatkan segala perubahan yang berlaku terhadap Fendi. Fendi yang dahulunya seorang yang kemas tetapi kini kelihatan sungguh selekeh dan tidak terurus. Fendi yang dahulunya seorang lelaki yang lemah lembut dan sopan tetapi kini bahasanya agak liar. Fendi yang dahulunya seorang sahabat yang mesra, kini hilang entah ke mana. Sungguh tidak disangka besar sungguh pengaruh kejadian semalam.


“Hei, engkau nak apa.. Cakaplah cepat !?!!”, tengking Fendi.


“ Ee.. ee.. elyeeen , nak bagi tau Fendi sesuatu”, Elyeen menjadi sedikit gagap akibat terkejut ditengking oleh Fendi. Pada waktu itu, air mata Elyeen mengalir dengan derasnya. Sampai hati Fendi buat Elyeen macam ni..

Menggapai Pelangi Cinta Bab 9


Fendi masih lagi berbaring di atas katilnya. Peristiwa malam tadi masih lagi menghantui dirinya. Terngian-ngiang kata-kata Elyeen semalam di dalam kotak ingatannya. Radio yang terpasang sejak semalam terus dibiarkan tidak berteman. Bercakap dan berceloteh seorang diri. Lagu demi lagu mengisi corong radio namun Fendi terus membiarkan. Tiba-tiba kedengaran lagu Jangan Lafazkan nyanyian KRU berkumandang di radio. Bait-bait lagu tersebut terasa begitu menyentuh hati dan perasaan Fendi ketika itu.


Jangan lafazkannya..

Apa yang kau rasa..

Oh.. kerana ia kan menambah luka

Biar ku sendiri mengubati hati

Jangan lafaz kau sudah membenci

Ku tahu ku cuba untuk mengerti

Berdepan realiti kau tak cinta diberi

Ku tahu kau dah punya pengganti

Biar ku butakan hati


Akhirnya Fendi terus melayan hati dan perasaannya ketika itu. Baginya lagu itu bagaikan luahan hati yang terus membungkam ketika ini. Genangan air mata yang semenjak tadi hanya bermain di kelopak matanya kini jatuh berderai semakin lama semakin deras. Deruan ombak pantai terasa bagai sedang mengejek dirinya. Fendi terus terseksa oleh alunan hati dan perasaannya sendiri. Benarlah kata orang, otak adakalanya berfungsi sebagai pencetus idea dan kebijaksaan tetapi apabila kita berada di dalam ketidakseimbangan emosi, jauhilah daripada berfikir panjang kerana otak inilah yang bakal menjadi musuh dan duri dalam daging yang bakal merumitkan lagi keadaan yang sedia ada. Bara kemarahan mula membakar hati dan perasaan Fendi yang kian hanyut dek kekecewaan. Tiada lagi tanda-tanda kewarasan bertapak di dalam sanubarinya. Akibat terlalu asyik melayan amarah di hati, Fendi pun terlena.



* * *



Elyeen yang berada di bilik langsung tidak bercadang untuk menghubungi Fendi ketika ini. Elyeen tahu Fendi perlu diberikan masa untuk berfikir tentang apa yang patut dilakukannya. Tambahan pula luka di hati Fendi masih lagi berdarah belum tentu mampu luka itu Fendi baluti. Lagi pun, Elyeen sendiri masih belum bersedia untuk berdepan dengan Fendi yang baru sahaja dia lukai. Setelah puas Elyeen berfikir sedalam-dalamnya, akhirnya Elyeen mengambil keputusan untuk pulang ke Pulau Pinang seorang diri. Baginya ini merupakan jalan yang terbaik bagi kedua-dua belah pihak. Elyeen dan Fendi, kedua-duanya kini amat memerlukan masa untuk berfikir. Setelah mengemaskan segala pakaiannya, Elyeen pergi ke kaunter check-out. Setelah selesai urusan check-out biliknya, Elyeen menyerahkan sekeping nota kepada pekerja di situ untuk diserahkan kepada Fendi.

Ahad, Disember 14

Menggapai Pelangi Cinta Bab 8


“Elyeen, sebenarnya tujuan Fendi bawa Elyeen ke sini bukanlah untuk bercuti semata-mata tapi Fendi ada hajat lain”, Fendi memulakan bicara.


“Hajat, hajat apa Fendi. Eh, Fendi tau tak ayat yang Fendi gunakan ini macam orang nak meminang”, ujar Elyeen dengan nada berseloroh.


“Elyeen, kalau betul macam mana?”, Fendi cuba menduga.


“Apa yang betul.?”, Elyeen masih tidak dapat menangkap maksud tersirat disebalik kata-kata Fendi tadi. Berkerut dahi Elyeen mendengar pertanyaan Fendi tadi. Fendi cuba untuk menyusun kata agar ayat yang bakal dikatakan terhadap Elyeen tidak janggal untuk didengari.


“Err.. Fendi.. err… Fendii”, tergagap-gagap Fendi bertutur. “Fendi, Fendi, Fendi apa?!”, Elyeen sudah tak mampu bersabar. Dari tadi perkataan yang keluar dari mulut Fendi hanyalah Fendi, Fendi dan Fendi. Jerkahan Elyeen membuatkan Fendi tersentak lantas lancar aje perkataan meluncur keluar dari mulutnya.


“Tak mengapalah, biar Fendi berterus-terang saja dengan Elyeen. Sebenarnya Fendi dah lama sukakan Elyeen. Sejak kita di bangku sekolah lagi”, Fendi memandang tepat ke mata Elyeen. Elyeen sudah faham pucuk bicara Fendi. Muka Elyeen berubah serta-merta. Lantas Elyeen melarikan anak matanya ke arah pantai. Elyeen tahu yang dia tidak mungkin akan mampu melawan panahan mata Fendi itu. Penuh dengan emosi dan membawa maksud yang tersirat. Bukan maksud malah harapan lebih tepat lagi. Elyeen kaku sebentar. Otaknya ligat mencari ayat yang sesuai untuk diberikan kepada Fendi.


“Nanti dulu Fendi ! Siapa cakap Elyeen tak sayangkan Fendi”, Elyeen bermukadimah. Fendi hanya merenung Elyeen lembut. “Elyeen pun sayangkan Fendi ta.. tapi..”, Elyeen tak mampu meneruskan kata-katanya. Elyeen risau Fendi akan tersinggung.


“Tapi apa Elyeen”, Fendi kurang senang dengan kata-kata Elyeen itu. Terpercik keresahan di wajah Fendi. Tambahan pula melihatkan Elyeen yang seoalah-olah serba-salah untuk terus berkata-kata. Debaran di hati Fendi semakin dirasa.


“Tapi… cukuplah hanya sekadar sebagai seorang abang atau sahabat karib. Fendi, maafkan Elyeen. Fendikan tahu prinsip Elyeen. Fendi kawan karib Elyeen sepatutnya Fendi faham dan tahu apa jawapan Elyeen”, Elyeen cuba memberikan klu tentang jawapannya. Rasanya mungkin Fendi akan faham apabila prinsip yang disebut-sebut sejak di bangku sekolah itu diingatkan kembali.


“Ya, Fendi tahu”, lirih benar suara Fendi kedengaran. Bagaikan hendak menitis air mata Elyeen mendengar nada suara Fendi yang sesayu itu.


“Habis tu kenapa Fendi masih lagi katakan semua ni pada Elyeen?. Fendi tahu tak yang keadaan sekarang ni boleh menghalang perjalanan persahabatan kita yang telah terjalin sejak sekian lama.”, Elyeen agak tidak keruan. Tubir matanya dirasakan bagai tidak tertahan lagi. Kecewa.


“Tapi Elyeen, kita bukan lagi berada dalam alam persekolahan atau di alam cinta monyet. Kita masing-masing sudah dewasa dan Elyeen pun sudah memenuhi prinsip diri Elyeen tu. Sekarang Elyeen merupakan seorang graduan bukan pelajar sekolah menengah !”, bentak Fendi sambil melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Air mata yang cuba ditahan sebentar tadi luruh tanpa dipinta. Tak sangka pula Elyeen perkara yang sebegini akan berlaku ke atas dirinya. Dia sangkakan yang Fendi merupakan insan yang paling memahami dirinya. Ternyata sangkaannya melesat.


“Elyeen, bukan itu yang Fendi minta. Fendi tak kisah kalau Elyeen tak cintakan Fendi. Cukuplah sekadar Elyeen bersetuju menjadi kekasih Fendi. Fendi harap Elyeen tidak akan mengecewakan Fendi. Tolonglah Elyeen”, kata Fendi seperti merayu. Elyeen memandang wajah Fendi yang sugul itu untuk meminta sedikit pemahaman daripada lelaki di hadapannya kini. Namun, semuanya sia-sia belaka. Fendi seoalah-olah tidak memahami apa yang terbuku di hati Elyeen ketika ini sedangkan selalunya Fendilah yang paling memahami isi hati Elyeen. Tapi kenapa tidak hari ini. Bentak Elyeen di dalam hati. Elyeen menunduk namun tidak lama kemudian Elyeen memanggungkan kembali wajah.


“Maafkan Elyeen, Fendi. Elyeen tak sanggup nak melakukan ini semua. Kalau Elyeen setuju dengan permintaan Fendi ni bermakna Elyeen telah mengorbankan Fendi. Satu-satunya kawan karib yang Elyeen ada di dunia ni. Fendi faham tak?!”, sedaya upaya Elyeen berusaha untuk menjelaskan keadaan yang sebenar kepada Fendi. Namun Elyeen tahu Fendi tidak akan menerima kata-katanya bulat-bulat.


“Elyeen tak perlu risau akan semua ni. Fendi dah fikirkan semua ni dan Fendi sanggup!”, Fendi cuba untuk meyakinkan Elyeen. Dalam hatinya masih mengharap agar Elyeen bersetuju dengan permintaanya ini.

Buat seketika kedua-dua mereka diam membisu. Fendi mengharapkan persetujuan daripada Elyeen tetapi Elyeen pula mengharapkan sedikit pengertian dalam diri Fendi. Kicauan burung yang hendak pulang ke sarang sahaja yang memukul pendengaran mereka sekarang ini. Air mata masih lagi lancar mengalir. Sedu-sedan juga telah mula kedengaran.


“Baiklah, sebelum Elyeen mempertimbangkan permintaan Fendi ini Elyeen nak tanya Fendi satu soalan. Fendi kena jawab dengan jujur !”


“Fendi cuba”


“Andaikanlah Elyeen terima permintaan Fendi ni. Tidak lama kemudian muncul pula seorang lelaki yang berjaya mencuri hati Elyeen. Kemudian Elyeen akan memutuskan perhubungan kita ini yang sekali gus akan mengecewakan Fendi. Adakah Fendi sanggup untuk menghadapi semua ini?”, tanya Elyeen untuk mendapatkan kepastian.


Fendi terdiam mendengar pertanyaan Elyeen itu. Tidak sangka bahawa Elyeen mampu berfikir sejauh itu. Agak terkilan juga hatinya memikirkan persoalan itu. Dia sendiri menyoal dirinya. Adakan dia sanggup untuk menghadapi situasi sebegitu andai kata ianya berlaku? Fendi menunduk seketika memikirkan jawapan yang harus dikeluarkannya. Dalam diam Fendi berperang dengan perasaanya sendiri. Akhirnya Fendi mendapat satu kata putus.


“Fendi sanggup malah Fendi takkan sesekali menyalahkan atau menghalang Elyeen andai ianya berlaku”, kata Fendi ringkas.


Tak sangka pulak Elyeen dengan jawapan yang diberikan oleh Fendi itu. Pada sangkaanya Fendi tentu tak sanggup. Sebenarnya jauh di sudut hati Fendi tetap meronta mengatakan bahawa dia tidak akan sanggup untuk menghadapinya. Cuma demi mendapatkan Elyeen Fendi berani untuk mempertaruhkan jawapan tersebut. Dalam hatinya telah menyimpan suatu nekad. Andainya Elyeen bersetuju untuk menjadi kekasihnya, Fendi akan pastikan bahawa Elyeen akan jatuh sayang padanya dan akhirnya akan menjadi miliknya yang sah. Fendi cuba membina impian di dalam kegelapan.


Fikiran Elyeen runsing dibuat dek permintaan Fendi tadi. Fendi masih lagi menanti jawapan dari Elyeen. Entah di mana tersangkutnya lamunan mereka . Mereka masing-masing melayan perasaan .


“Maafkan Elyeen, Fendi. Elyeen rasa Elyeen lebih sayangkan persabahatan kita yang berusia belasan tahun ini. Elyeen tak sanggup mengorbankan usia persahabatan serta diri kita semata-mata hendak memenuhi hasrat Fendi yang sedang hanyut dek arus percintaan yang mungkin sia-sia”, kata Elyeen lembut namun masih terselit ketegasan di dalam kelembutannya itu. Aduh.. Tak aku sangka kata-kata Elyeen yang lembut selembut sutera itu mampu menghiris hatiku separah ini.


“Maafkanlah Elyeen, Fendi. Elyeen tahu, kata-kata yang Elyeen lafazkan tadi akan menghiris perasaan Fendi. Tapi Elyeen tak berdaya, hanya kata-kata itu sahajalah yang mampu Elyeen lafazkan buat Fendi masa ini”, selepas menamatkan kata-kata tersebut Elyeen terus berlalu meninggalkan Fendi yang disirami cahaya bulan purnama. Hari ini menjadi episod duka dalam jurnal persahabatan mereka. Sesuatu yang tidak pernah dipinta malah terlintas difikran bahawa perkara ini akan berlaku. Linangan air mata terus membasahi pipi Elyeen. Elyeen kecewa. Elyeen sedih kerana sahabat karib yang disangkanya paling memahami dirinya, rupa-rupanya sama seperti orang lain tidak memahami dirinya. Elyeen bagun untuk meninggalkan Fendi. Tiba-tiba Fendi menyambar tanggannya.


“Elyeen berilah Fendi peluang untuk Fendi buktikan cinta dan kasih sayang Fendi terhadap Elyeen”, Elyeen kaget apabila melihat Fendi melutut sambil merayu. Bagi Fendi dia tidak kisah andainya dia melupakan egonya buat sementara waktu. Semuanya semata-mata kerana cintanya yang tidak berbelah bahagi terhadap Elyeen.


“Maafkan Elyeen”

Menggapai Pelangi Cinta Bab 7


Fendi mundar-mandir dalam biliknya seorang diri. Hatiya gelisah. Sekarang ini hatinya dan otaknya tidak lagi sehaluan. Otaknya mengatakan bahawa esok saja sampaikan rasa hatinya itu tapi hatinya kuat mendesak supaya memberitahu Elyeen sekarang jugak. Untuk menenangkan hatinya, lantas Fendi menekan punat on pada radio. Sejurus kemudian kedengaran lagu Keliru nyanyian Nurul dan Ajai ke udara. Macam perli aku saja deejay radio ni.. Ini stesen radio mana nih, biar aku saman dia sebab memerli kehidupan peribadi aku..! Gila ke aku nih.. Dah memang tugas dia mengkeudarakan lagu pilihan pendengar kenapa sedap-sedap pulak aku nak saman dia. Ish ! Dah gila agaknya aku ni. Semua ni Elyeen punya pasal. Akhirnya Fendi tertidur bersama kekeliruan yang melanda hatinya.

* * *

Deringan telefon yang panjang telah mengejutkan Fendi dari tidurnya. Lantas tangannya mengangkat gagang telefon.

“Hello, Fendi sini. Siapa tu?”, katanya dengan suara yang serak.

“Hello, Fendi ini Elyeenlah.. Fendi cepatlah bangun. Jom kita pergi beli baju. Takkan Elyeen nak pakai baju semalam balik”, kata Elyeen separuh merengek. Memang begitulah perangai Elyeen yang sebenarnya, manja. Mana tidaknya, Elyeenkan anak bongsu Datuk Azmin dan Datin Maznah. Abang Elyeen, Azman, juga sangat memanjakan Elyeen. Oleh sebab itulah Elyeen berperwatakan manja, panas baran apabila kehendaknya tak dituruti, namun Elyeen tetap seorang yang sopan, lemah-lembut dan bijak.

“Elyeen, tak perlu pergi beli. Beg pakaian Elyeen ada dalam kereta. Mama Elyeen dah siapkan”, kata Fendi.

“Apa, mama siapkan beg pakaian Elyeen. Jadi, mama dan papa tahu yang kita datang ke PD ni. Ini komplot ke apa ni ? Apa lagi yang Elyeen tak tahu, Fendi !”, soalan-soalan Elyeen menerjah telinga Fendi. Dalam kelembutan suara Elyeen itu teselit ketegasan.

“Elyeen, relaks ok. Nanti Elyeen akan tahu semuanya. Elyeen datang ke bilik Fendi ambil kunci kereta . Fendi tak mandi lagi lah”, kata Fendi dengan slumbernya. Letih akibat memandu semalam masih terasa namun Elyeen punya fasal tak kisahlah. Begitulah kata hati Fendi. Kau akan jadi milikku Elyeen!

* * *

Fendi menekan-nekan punat telefon dibiliknya berpandukan kod yang telah disediakan. Talian sedang disambungkan dan tidak lama kemudian kedengaran satu suara lembut di corong satu lagi.

“Hello, Elyeen bercakap di sini. Boleh saya tahu siapa cakap di sana?”, kata Elyeen dengan lemah-lembut dan sopan-santun. Aduh! Terpikat aku Ini bukan kali pertama Fendi berbuat demikian tapi begitulah keadaannya setiap kali Fendi menghubungi Elyeen melalui telefon di talian tetap. Jika Fendi menghubungi Elyeen di telefon bimbitnya alamat tak dapatlah Fendi mendengar suara lunak menyambut panggilan telefon itu.

“Elyeen, ini Fendilah”, katanya ringkas.

“Laa, kenapa Fendi tak call handphone Elyeen je.. Kan lagi senang, Elyeen pun tak tertanya-tanya siapa yang call Elyeen. Ingatkan ada secret admire Elyeen yang call”, kata Elyeen sengaja hendak berseloroh.

“Kiranya sekarang ini tengah frustlah ni sebab Fendi yang call”, terdapat sedikit perubahan pada riak wajah Fendi. Wajah yang tadinya ceria dan cerah secerah sinar mentari mendung bagaikan ada awan hitam yang berarak lalu.

“Yelah..”, kata Elyeen dan kemudiannya diikuti dengan ketawa kecil.

“Bukannya apa, nanti kalau Fendi call handphone Elyeen tak dapatlah Fendi dengar operator cakap ‘hello, Elyeen di sini siapa disana?’”, kata Fendi mengejek. Saja hendak mengusik buah hati pengarang jantungnya itu. Hanya tuhan saja yang tahu betapa bahagianya dia waktu itu. Elyeen, kalaulah kau tahu betapa aku menyayangimu.. Sampai bila lagi harus aku pendamkan hasrat hatiku ini. Aku tahu kita berkawan bukannya baru sehari dua tapi sudah bertahun-tahun. Aku melihat kau membesar bersamaku. Dan setiap kali itulah kasihku terhadapmu bertambah-tambah.. Hanya engkau yang tidak mengetahuinya.. Kadang-kala aku sendiri tidak pasti samada engkau benar-benar tidak mengetahuinya atau sengaja dibuat-buat tak tahu..

“Fendi, apa schedule kita pada hari ni.. Tapi walau apa pun kita pergi breakfast dulu ok?”, usul Elyeen. Fendi tahu sangat akan perangai Elyeen. Benda lain boleh dia tangguhkan tapi kalau bab makan sanggup bunuh orang tau !

“Ok”, jawab Fendi ringkas.

“Jadi kita nak jumpa kat mana?”, tanya Elyeen.

“Bilik Fendi, boleh ?”, kata Fendi sambil tersengih.

“Hish, Fendi ni tak gentleman langsunglah. Dahlah pagi tadi Elyeen dah pergi bilik Fendi untuk minta kunci, sekarang nak pergi makan pun Elyeen kena pergi bilik Fendi. Ini tak adil ni. Nanti bila balik nanti, Elyeen cakap kat mama, papa dan abang Man yang Fendi buli Elyeen. Biar papa dan mama marah Fendi, padan muka !”, kata Elyeen seperti kanak-kanak yang merajuk sebab tak diberikan gula-gula. Lalu Elyeen terus meletakkan gagang.

Setelah meletakkan gagang telefon Fendi keluar ke beranda untuk menikmati keindahan alam ciptaan tuhan. Memang sudah menjadi tabiatnya suka memerhatikan alam sekitar. Tak kiralah samada hutan, bukit-bukau, sungai, air terjun mahupun pantai. Semuanya mampu menarik minat Fendi. Minat ini bukan minat Fendi sorang tapi juga minat Elyeen. Tabiat Elyeen lebih teruk jika hendak dibandingkan dengan tabiat Fendi. Bukannya apa, Elyeen kalau sudah mula termenung janganlah ada sesiapa yang mengganggunya jika tidak pasti akan disemburnya. Eee.. takut. Dari jauh kelihatan Elyeen berjalan sambil melenggang-lenggang dan tersenyum apabila mendekati Fendi.

“Jom”, kata Elyeen ringkas.

Mereka berdua pun berjalanlah beriringan menuju ke warung yang terdekat.

* * *

“Mak cik, roti canai dua, roti telur dua, nasi lemak dua, air kosong dua dan teh tarik dua”, jerit Elyeen mengorder makanan. Fendi hanya memandang Elyeen dengan mata yang juling dan mulut yang ternganga. Terkerut dahi Elyeen melihat reaksi Fendi yang sebegitu rupa.

“Fendi, kenapa muka Fendi macam tu.. Macam orang tak betul jer?”, kata Elyeen dengan bersahaja. Boleh dia tanya kenapa aku buat muka.. Eh, yang dia order tadi tu untuk aku dan dia atau untuk dia sorang saja..

“Eh, Fendi! Lupa pulak Elyeen nak tanya Fendi nak makan apa? Minuman Elyeen dah tolong orderkan tapi Elyeen tak tau pulak Fendi nak makan apa ? Sorry ”, sebenarnya Elyeen sudah dapat membaca apa yang bermain di dalam kepala Fendi cuma saja nak mengenakannya.

“Eh, bangun! Aku kata bangun!”, tiba-tiba Fendi menengking Elyeen yang sedang duduk di hadapannya. Elyeen yang tadinya khusyuk memerhatikan rupa Fendi yang masih lagi terkejut dengan apa yang didengarinya tadi, terkejut.

“Hei, apa kena dengan Fendi ni hah! Dah tak betul ke ? Kenapa Fendi tengking Elyeen kemudian suruh Elyeen bangun pulak ? Dah buang tabiat ke ?!”, kata Elyeen dengan marah. Muka Fendi kelihatan begitu serius dan bengis. Elyeen pula semakin tertanya-tanya.

“Hei, pompuan baik kau bagi tahu aku mana kau sorokkan Elyeen. Jangan cuba-cuba nak menyamar jadi Elyeen”, kata Fendi dengan bengis. Elyeen semakin keliru akan sikap Fendi ni. Eh, Fendi ni.. Siapa pulak yang menyamar jadi Elyeen. Ini Elyeenlah .. Buang tabiat agaknya si Fendi ni..

“ Fendi, ini Elyeenlah.. Siapa pulak yang nak menyamar jadi Elyeen ni..? Apa faedahnya menyamar jadi Elyeen ni!”, kata Elyeen yang berada antara hendak ketawa, marah dan keliru.

“Hei, kau jangan nak tipu aku laa.. Aku kenal Elyeen. Walaupun kau mempunyai rupa yang begitu seiras dengan Elyeen, kau tetap takkan dapat nak tipu aku tau!”

“Eh, Fendi ni dah melebih dah ni.. Siapa pulak yang tipu Fendi. Ini Elyeenlah”
Sedang mereka bertekak, datang seorang kakak yang menatang dulang yang berisi makanan-makanan yang telah diorder oleh Elyeen.

“Haah, sekarang tengok berapa banyak makanan yang kau dah order. Elyeen tu walaupun dia kuat makan tapi dia bukan yang jenis buruk lantak tau ! Kalau dia nak makan pun takat dua keping roti canai jer tau. Sekarang biar aku bagi tau kat kau suatu benda yang pasti akan mengecewakan kau”

Seraya dengan itu Elyeen ketawa terbahak-bahak hingga lupa adat dan kesopanan sebagai anak gadis melayu. Sepasang kekasih yang berada di hujung warung terkedu sebentar melihat keadaan Elyeen yang tawanya tidak dapat dihentikan. Laa.. Ini semua hanya kerana Elyeen order makanan banyaklah ni.. Amboi sedapnya mulut kata Elyeen seorang yang buruk lantak. Tak mengapa, apa kata kalau aku layan ajerlah si Fendi ni..

“Oh, ye ! Apa dia cik abang sayang oii”, kata Elyeen sambil tersengih. Eh, dia panggil aku sayanglah.. Eee, best nyer.. Tidakk!! Oooh.. Pompuan ini cuba nak teruskan penipuan dia dengan menggoda aku yer.. Nanti kau ?!!

“Hei, pompuan aku nak bagi tahu yang penipuan kau ini tidak berjaya di siniiiiii”

“Oh, kecewanya saya!”, Elyeen bernada mengejek. “Hooi cik abang sayang, orang di sini nak bagi tau jugak satu benda yang akan mengecewakan orang di sana. Nak tau tak?”, balas Elyeen. Eleh, dah dia kecewa nak balas dendam konon! Nak bagi aku kecewa.. Pieeeerah.. aku takkan terkecewalah.. Tiru P. Ramlee lah konon tue..
“Ha apa bagitaulah? Gempak sangatlah konon!”

“Yang sebenarnya ini Elyeenlah. Elyeen order semua makanan tu untuk kita berdua. Sengaja Elyeen nak sakat Fendi tapi tak sangka pulak Fendi akan bertindak macam ni”, kata Elyeen sambil ketawa. Meleleh air mata Elyeen akibat terlalu banyak ketawa.

“Kenapa, Fendi tak percaya ke ? Dengar sini Saudara Effendi bin Datuk Mansur Syed Zain. Saya ialah Nur Elyeenawati binti Datuk Azmin. Saya merupakan sahabat awak daripada dahulu sehinggalah sekarang, Saudara Effendi bin Datuk Mansur oiii”, Elyeen cuba menarik keluar Fendi daripada curiganya sendiri. Muka Fendi menjadi merah akibat malu akan perbuatannya sendiri. Sikapnya yang terburu-buru menyebabkan dia telah memalukan dirinya sendiri. Elyeen tentu gembira habis dengan peristiwa tadi. Bolehlah dijadikan modal untuk mengejek dan mengenakan aku nanti. Setelah selesai makan mereka pun beredar. Sepanjang hari itu Elyeen dan Fendi keluar bersiar-siar, membeli belah dan bersantai di tepi pantai sambil melihat matahari terbenam.

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino