Product from Adobe

Rabu, Februari 18

Yang Kupinta Part 5


Pulau Langkawi Pulau Lagenda.


Aida termenung menghadap laut. Matanya pula merenung jauh hingga tembus ke ufuk barat. Memerhatikan bola merah yang semakin tenggelam ke dasar laut. Sesekali tangannya menguis lembut rambutnya yang berterbangan di sekitar matanya. Perlahan-lahan kelihatan bola merah itu semakin menghilang bersama cahayanya. Alam jingga kini berubah gelap. Namun Aida masih lagi setia bertenggek di batu nan satu. Aida berpaling tatkala dia merasakan ada cuitan yang hinggap dibahunya.


“Apa?” tanya Aida sepatah.


“Jomlah. Apa lagi yang kau tunggu di sini? Burung pun pandai balik mencari sarang bila hari mulai kelam tapi kau pula masih lagi di sini? Cukup-cukuplah dilayan rasa kecewa di hati tu...” suatu tepukan hinggap di bahu Aida sebagai tanda semoga bersabar.


“Dahlah tu, jom kita balik...” tanpa sebarang bicara Aida terjun dari batu besar yang menjadi tempat persinggahannya sepanjang seminggu dia berada di Pulau Lagenda yang begitu terkenal dengan kisah lagenda sumpahan Mahsuri itu. Mereka bersama-sama bergandingan pulang ke chalet.


“Erm, Syidah. Nanti bila kita dah balik Skudai, kau tolong temankan aku ke rumah. Aku kena dapatkan aku punya kad pengenalan semula. Kemudian aku nak ke pejabat agama untuk minta fasakh,” ucap Aida setelah sekian lama membisukan diri. Dr. Rasyidah mengangguk tanda mengerti. Lapang sedikit hatinya apabila Aida berkata begitu. Ternyata kebisuan Aida sepanjang seminggu mereka di sini bukanlah suatu bisu yang sia-sia. Aida bukanlah selemah yang dia sangka. Nampaknya Aida sudah bersedia untuk bangkit semula untuk membina kembali bahagia di dalam hidupnya.


Thanks Syidah sebab sanggup tolong aku. Sanggup pulak kau ambil cuti semata-mata nak temankan aku ke sini. Terima kasih banyak-banyak,” suara Aida berubah sebak. Hatinya sayu tatkala mengenangkan segala jasa dan pengorbanan rakan sepermainannya dulu. Moga Allah merahmati hidup kau Syidah, doa Aida di dalam hati.


“Naa... It’s okey... Kau kan kawan aku, it’s nothing lah... Asalkan kau dah tak sedih-sedih pun aku dah cukup gembira,” ucap Dr. Rasyidah seraya memeluk bahu Aida.


“Balik ni kita kemas beg sama-sama yek...” kata Dr. Rasyidah dengan penuh ceria. Aida mengukir senyum walau di hatinya masih lagi berbekas dek luka lama yang masih lagi berdarah.


***


Dumm!! Dumm!! Dumm!!


Hamdan yang sedang lena terkejut apabila mendengar ketukan di pintu yang bertalu-talu. Dengan keadaan separa mamai Hamdan bangun dan membuka pintu rumahnya. Namun dalam hatinya sempat lagi berkata “alangkah baiknya kalau Aida masih ada, tak perlu dia melakukan semua kerja-kerja remeh begini.”


Buk!!


Suatu tumbukan tepat mengenai wajahnya sebaik sahaja pintu rumahnya dibuka. Terlentang Hamdan dibuatnya dek tujahan tumbukan yang tidak dijangka. Otaknya bingung seketika.


“Hoi, bila kau mau bayar kau punya hutang? Hari tu kau janji mau bayar guna kau punya bini. Kasi kita orang pakai. Sudah tiga hari kita orang tunggu tapi kau mana pergi? Kau plan nak lari ka?” Ravi mengepal penumbuknya kemas. Tangan kanannya pula mencengkam rahang Hamdan sekuat mungkin. Berkerut dahi Hamdan menahan sakit.


“Tolong... Tolong... Bini aku sudah mati. Nanti aku bayar kau orang punya hutang,” rayu Hamdan. Hatinya gerun memikirkan segala kemungkinan yang bakal dilakukan terhadap dirinya. Ravi and the gang tidak pernah gentar untuk melakukan apa sahaja terhadap mereka yang gagal melunaskan hutang mereka. Everything will do. Itulah motto gang Ravi.


“Heh, kau ingat kita orang bodoh ka mau percaya kau punya kata-kata?” Ravi memberikan isyarat pada anak buahnya. Dev dan Shiva mengangguk tanda faham akan arahan yang diberikan. Satu persatu bilik yang terdapat di rumah itu mereka geledah. Habis semua barang-barang ditunggang terbalikkan oleh mereka. Setelah puas menggeledah dan benar-benar pasti bahawa tidak terdapat seorang perempuan pun di dalam rumah itu, barulah mereka membuat laporan kepada Ravi menggunakan bahasa Tamil.


Ravi bengang. Hatinya tidak puas apabila insan yang dicarinya tidak dijumpai. Ini bermakna hutang Hamdan masih belum terlunas. Wajah Hamdan yang sedang menggeletar dihadapannya ditenung lama.


“Aku bagi kau tempoh lagi seminggu. Sama ada kau bayar semua hutang kau dalam bentuk cash atau kau serahkan bini kau pada kita orang buat selamanya. Jangan berani-berani cuba untuk laporkan pada polis. Jika tidak...” Ravi mengacukan pistol tepat di tengah dahi Hamdan. Hamdan memejamkan matanya rapat. Tidak sanggup untuk melihat seandainya picu pistol tersebut ditarik.


Bangg!!


Jeritan Ravi benar-benar mengecutkan hatinya. Ravi and the gang ketawa apabila melihat wajah pucat Hamdan. Ravi meniup muncung pistol seolah-olah meniru gaya James Bond.


“Kau ingat tu?! Dan ini peringatan untuk kau...”


Bukk!! Satu lagi tumbukan padu singgah di muka Hamdan sebelum Ravi and the gang beredar meninggalkan rumahnya. Hamdan mengerang kesakitan.


Argh!! Kalaulah Aida ada, mesti semua ini tidak akan jadi begini...”


BERSAMBUNG


----------------------------------------------------------------------

Kengkawan, cerita ni dah jadi terlalu meleret ke? Kalau ya cakap ek...

Selasa, Februari 17

Yang Kupinta Part 4


“Amir, cuba duduk elok-elok sikit. Ini terlompat-lompat dari tadi. Penatlah mama tengok. Dah... Dah.. Duduk diam-diam, nanti kacau papa nak bawak kereta,” marah Asyiekin pada anaknya.


Farouq yang sedang memandu hanya tersenyum tenang mendengar bebelan isterinya. Begitulah setiap kali apabila mereka dalam perjalanan pulang ke kampung. Ada sahaja telatah anaknya yang bakal mengudang bebelan isterinya. Tidak perlu radio dan tidak perlu pemain VCD di dalam keretanya. Kerenah dua beranak ini sudah cukup untuk menghilangkan rasa mengantuknya.


“Yang abang ni senyum sorang-sorang ni kenapa?” tegur Asyiekin tiba-tiba. Mungkin sisa bebelan pada anaknya tadi masih lagi berbaki maka tempiasnya terkena pada Farouq. Ketawa kecil kedengaran dibibir Farouq.


“Awak ni, saya senyum pun dah tak boleh ye? Awak marahkan si Amir dengan saya sekali kena marah sama ya,” giat Farouq pada isterinya. Kuntuman senyum masih lagi berbunga dibibirnya. Asyiekin menarik muka.


“Mana ada. Iekin tegur sikit pun dah tak boleh ke abang ni?” rungut Asyiekin pula. Tidak terlintas di hatinya untuk memarahi atau meleteri suaminya. Sampai hati Farouq berkata begitu padanya. Farouq tersenyum lagi melihat wajah isterinya yang mencuka.


“Awak ni, sejak ada baby baru pantang tercuit sikit ek? Bukan ke abang usik Iekin je tadi?” ucap Farouq bersama suatu senyuman yang meleret. Biarlah masam mencuka bagaimana sekali pun wajah isterinya namun wajah itu tetap manis dipandangan matanya.


“Papa jauh lagi ke nak sampai rumah nenek? Amir dah tak sabar nak main dengan mak cu dengan adik cik Pa’e...” tanya Amir sambil melingkarkan tangannya ke leher Farouq.


“Tak lah sayang. Dah tak jauh sangat dah...” jawab Farouq lembut.


Hooreeyyy!!”


“Amir... Mama cakap duduk diam-diam kan? Degil ye...” marah Asyiekin pada anaknya. Farouq menggelengkan kepala. Bukan Asyiekin tidak tahu yang Amir akan menjadi semakin nakal kalau dimarah-marah dan dibentak-bentak begini. Namun mungkin keadaan Asyiekin yang berbadan dua menyebabkan isterinya itu mudah naik darah pada kenakalan Amir. Farouq mengusap lembut lengan isterinya dan menyuruhnya bertenang.


“Amir, nak cepat sampai tak?” tanya Farouq pada anaknya.


“Nak... Nak...”


“Hmm.. kalau macam tu Amir duduk diam-diam ya. Kalau Amir lompat-lompat macam tadi lagi lambat kita sampai. Amir nak main dengan adik cik Pa’e kan? So, duduk diam-diam. Jangan lompat-lompat, ok?”


“Ok papa...” ucap Amir dengan senang hati. Farouq tersenyum senang. Asyiekin pula menghela nafas lega. Sungguh pun Amir tidak melompat-lompat lagi seperti tadi namun mulutnya tetap becok bertanyakan itu dan ini pada mama dan papanya.


Dalam keasyikkan Amir bercerita mengenai guru tadikanya yang garang, tiba-tiba Amir menjerit kuat.


“Papa, apa tu?” ucap Amir sampi menunjukkan pada suatu objek yang kelihatan merentangi jalan raya. Farouq memperlahankan keretanya. Cuba mengamati daripada jauh apakah objek yang merentangi jalan mereka ini. Semakin mereka mendekati objek tersebut, semakin berlapis dahi Farouq.


“Orangkah?” telah hati Farouq sendiri. Farouq memberhentikan kereta sebelum dia turun dan mendekati objek tersebut. Begitu juga dengan Iekin dan Amir.


“Ya Allah, orang!!” terkejut sungguh mereka apabila mendapati objek yang merintangi jalan mereka itu merupakan seorang wanita. Wajahnya lebam dan biru-biru. Di hidungnya pula terdapat kesan darah yang sudah pun kering.


“Kita nak buat apa ni bang?” tanya Asyiekin panik.


Berbekalkan ilmu yang pernah dipelajarinya ketika menyertai Pasukan Bulan Sabit Merah semasa di sekolah dahulu, Farouq memegang pergelangan tangan wanita tersebut demi mencari nadi. Dia menarik nafas lega apabila denyutan nadi wanita tersebut dapat dikesannya. Sungguhpun begitu, denyutan itu terlalu lemah.


“Kita bawak dia ke klinik berdekatan,” ucap Farouq pada isterinya. Asyiekin mengangguk setuju. Pantas dia membukakan pintu penumpang sementara Farouq mengangkat tubuh wanita malang itu ke dalam kereta.


“Amir duduk tempat mama, biar mama duduk belakang je...” kata Asyiekin pada anaknya. Tanpa bantahan Amir menurut. Setelah memakaikan tali pinggang keledar pada Amir, Farouq meneruskan pemanduannya menuju ke klinik berdekatan. Suasana di dalam kereta tersebut yang pada mulanya riuh rendah dengan suara yang tingkah meningkah antara anak beranak kini menjadi sepi. Masing-masing melayan perasaan sendiri demi mencari jawapan bagi setiap satu persoalan yang muncul dibenak mereka. Siapakah wanita malang ini? Dan bagaimana dia boleh berada di tengah-tengah jalan raya yang sunyi ini?


Dua puluh minit memandu, akhirnya Farouq memberhentikan keretanya di hadapan sebuah klinik – Klinik Rasyidah. Dengan penuh berhati-hati Farouq mengangkat tubuh wanita malang itu lalu dibawanya terus ke bilik rawatan.


***


Di dalam bilik rawatan, terbuntang mata Dr. Rasyidah tatkala matanya menyapa wajah yang lebam dan bengkak pesakit di hadapannya. Matanya tegak merenung sepasang suami isteri bersama seorang anak mereka yang sedang berdiri dengan riak cemas di hadapannya kini.


“Apa pertalian encik dengan pesakit?” tanya Dr. Rasyidah perlahan. Di wajahnya terlakar riak keliru dan ingin tahu.


“Tak ada pertalian, doc. Kami jumpa perempuan ni terbaring merentangi jalan lebih kurang sepuluh kilometer dari sini,” jawab Farouq tenang. Dr. Rasyidah mengangguk kepala tanda faham.


“Tak mengapa. Beginilah encik, wanita ini sebenarnya merupakan kenalan lama saya, so encik tak perlu risau saya akan akan menguruskan hal selanjutnya nanti. Terima kasih kerana membawa dia ke sini,”


“Alhamdulillah syukur. Sekurang-kurangnya ada insan yang mengenali wanita malang ini. Entah apalah yang terjadi padanya hinggakan dia boleh terdampar begitu seorang diri di tengah-tengah jalan raya yang sunyi tu. Kalau begitu kami minta diri dulu...” ucap Asyiekin sambil bersalaman dengan Dr. Rasyidah. Dr. Rasyidah hanya menganggukkan kepalanya.


“Terima kasih pada tuan dan puan yang sudi menyelamatkan sahabat saya ini”


“Tak apa-apalah doc, itu memang sudah menjadi tanggungjawab kami. Sesiapa pun yang berada ditempat kami pasti akan melakukan perkara yang sama,” ucap Farouq sebelum mereka sekeluarga terus berlalu untuk meneruskan perjalanan mereka menuju ke destinasi.


BERSAMBUNG

Yang Kupinta Part 3


Hamdan panik. Dikerlingnya Aida kaku disebelahnya. Tangannya menggigil dan hatinya tidak keruan. Rasa takut dan panik semakin menjalar dalam diri hingga Hamdan tidak lagi mampu berfikir secara waras. Otaknya kini galak memikirkan tindakan selanjutnya untuk menyembunyikan ‘tubuh’ Aida. Hamdan memandang ke arah jalan raya yang agak lengang dan sunyi. Tiba-tiba sebuah lori balak yang menderu laju dari arah bertentangan menarik perhatiannya. Lori tersebut melanggar sebuah botol minuman kosong yang kebetulan berada di tengah-tengah jalan raya tersebut. Hamdan dapat melihat botol tersebut pecah. Sepantas kilat Hamdan mendapat satu idea. Brek keretanya ditekan secara mengejut. Berkeriut bunyi tayar keretanya. Mujur sahaja tiada kereta lain yang berada di belakang keretanya. Jika tidak, pasti satu kemalangan jalan raya bakal berlaku.

Hamdan memandang ke sekeliling bagi memastikan tiada orang yang bakal melihat akan perbuatannya. Apabila yakin, pantas Hamdan membuka pintu keretanya dan menarik keluar tubuh Aida dan dibaringkan di tengah jalan raya. Fikirnya adalah lebih baik tubuh Aida ini hancur dilanggar lori balak atau kenderaan yang lalu lalang di sini. Sekurang-kurangnya kematian kali kedua Aida tidak lagi akan dikaitkan dengannya. Suatu kemalangan. Itu jawapan mudah yang mampu diberikannya kepada ibunya apabila ditanya kelak. Hamdan tersenyum berat. Setelah dipastikan bahawa kedudukan Aida adalah cukup ideal bagi menghasilkan sebuah kemalangan terancang, Hamdan terus memecut keretanya untuk pulang ke rumah. Hatinya yang serabut perlu ditenangkan. Jika tidak, silap-silap nanti dia akan dituduh menjadi punca.


***


Setibanya di rumah, Hamdan membaringkan badannnya di sofa. Hari ini memang adalah hari malang untuk dirinya. Hyper Mega Construction gagal untuk merebut tender sub-kontraktor bagi pembinaan Mega Sutra Heights. Buntang matanya tatkala mendengar keputusan tender pagi tadi. Semalam hatinya cukup yakin bahawa tender itu adalah milik mereka tatkala melihat wajah puas Mr. Chew namun ternyata usahanya sia-sia. Atas rasa tidak berpuas hati, Hamdan terus bersemuka dengan Mr. Chew bagi mendapatkan alasan kegagalan Hyper Mega Construction.


Hayya.. Sapa cakap sama lu kalau lu kasi itu perempuan sama wa, wa akan bagi lu ini tender? Wa talak mintak ma, lu sendiri offer sama wa... Lu lupa ka?”


“Tapi lu happy sama wa punya bini kan bos? Bukan calang-calang perempuan wa kasi...”


“Memang loh... Tapi perempuan sama luit mana sama loh. Itu perempuan lu kasi wa amik tapi wa talak pernah janji wa akan kasi ini tender. Company lu punya proposal talak cukup bagus ma... Mana wa boleh kasi sama lu... Lugi la wa...”


Arghh!! Hamdan menjerit bagi mengurangkan bebanan dijiwanya. Hatinya geram mengenangkan tindakan Mr. Chew yang menghalaunya ibarat anjing kurap apabila dia terus-terusan mendesak supaya Mr. Chew menimbangkan kembali keputusannya. Hamdan memegang pipinya yang terasa bengkak akibat ditumbuk oleh pengawal peribadi Mr. Chew tadi. Hatinya yang geram kini berubah dendam. Di tambah pula dengan kejadian yang menimpa Aida tadi. Hamdan terkedu dan terfikir-fikir sendiri. Adakah sudah hancur badan Aida dilanggar kenderaan atau belum? Di dalam keadaan kepenatan emosi akhirnya Hamdan terlelap sendiri.


***


Hamdan menggaru pipinya yang gatal. Ditampar tangan dan kakinya yang dihurung nyamuk. Akibat tidak tahan dengan rasa gatal, Hamdan membuka matanya. Gelap. Telefon bimbitnya yang terletak di meja tidak jauh dari sofa yang menjadi alas tidurnya tadi dicapai. Satu butang telefon ditekan dan telefon bimbitnya mengeluarkan cahaya. 7.30 malam. Hamdan mengerutkan dahinya. Kenapa keadaan rumahnya yang bergelap? Ke mana perginya Aida? Kenapa lampu rumah semua tidak dibuka? Selalunya pada waktu ini Aida akan kelam kabut memasak sebelum dia menunaikan solat maghrib.


“Aida...!! Aida...!!” jerit Hamdan. Hatinya berang. Oleh kerana kelalaian Aida yang membiarkan dia tidur di dalam gelap, habis badannya bintat digigit nyamuk. Memang dasar perempuan tak guna.


“Aida...!!!” jerit Hamdan sekali lagi namun dalam nada yang lebih kuat. Hatinya dijentik rasa pelik namun langkah kakinya dibuka menuju ke bilik. Lampu bilik dibuka. Sebaik sahaja bilik menjadi terang, Hamdan terpandang pada beg Garfield yang terletak di atas katil. Ingatannya kembali terlayar pada kejadian petang tadi. Serta merta Hamdan tersedar. Hamdan berlari kembali ke ruang tamu dan membuka televisyen.


Hamdan membuang pandang pada muka jam yang tergantung di dinding ruang tamu. 7.45 malam. Dengan penuh debar, Hamdan menantikan siaran Buletin Utama bermula. Hatinya tertanya-tanya mengenai nasib ‘tubuh’ Aida yang ditinggalkannya petang tadi. Sudah hancurkah digilis lori? Hamdan yakin jawapan pada persoalannya akan terjawab sebentar lagi.


BERSAMBUNG


Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino