Product from Adobe

Jumaat, Februari 20

Yang Kupinta Part 6


“Betul ke macam tu Syidah? Agak-agak kalau dia nampak aku muncul tiba-tiba depan dia, mau dia ingat aku hantu tak?” tanya Aida. Hujung katanya dihiasi dengan ketawa kecil. Lucu pula rasa hatinya apabila membayangkan wajah suaminya yang mungkin pucat sekiranya melihat dirinya pulang secara tiba-tiba.


“Ish kau ni boleh pulak ketawa. Kau tak nak laporkan pada pihak polis ke Aida? Dah macam-macam penganiayaan yang si Hamdan tu dah lakukan pada kau,” serius Dr. Rasyidah bersuara. Rasanya sudah beberapa kali dia mendesak Aida supaya melaporkan setiap satu perbuatan Hamdan terhadapnya ke pihak berkuasa namun Aida enggan.


“Tak payah la Syidah. Kalau dia lepaskan aku dengan cara baik pun dah cukup buat aku. Tak perlulah sampai nak heret-heret dia ke muka pengadilan ke apa. Lagi pun aku kesian pada mak. Mesti malu nak angkat muka pada masyarakat sekeliling kat kampung tu kalau suami aku masuk jail. Lepas tu mesti mak rasa bersalah pada aku sebab dulu dia yang beriya-iya nak jodohkan aku dengan abang Hamdan,” ucap Aida panjang lebar.


Dr. Rasyidah menjegilkan mata.


“Kau masih mengaku lelaki keparat tu sebagai suami? Masih lagi panggil dia dengan panggilan abang? Hei, kau dah lupa ke apa yang dia dah buat pada kau, Aida?” marah sungguh Dr. Rasyidah pada sahabatnya yang seorang ini. Hatinya terlalu lembut. Sudah dipijak dan dilayan seperti pelacur pun masih lagi nak menghormati lelaki macam Hamdan tu. Tak serik-serik lagi agaknya.


“Syidah, walauapa pun yang berlaku lelaki yang kau panggil keparat tu adalah suami aku. Selagi kita orang belum bercerai, wajib pada aku untuk menghormati dia. Dia masih lagi suami aku, Syidah,” sungguh hati Aida pasrah dengan nasib yang menimpa dirinya. Tidak pernah sekali pun terdetik dalam hati kecilnya untuk menyalahkan ibu mertuanya kerana menjodohkan dirinya yang ketika itu sebatang kara dengan Hamdan. Hati kecilnya masih lagi yakin dengan janji-Nya bahawa pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap kejadian. Mungkin ini cara yang diberikan oleh Allah S.W.T kepadanya untuk menyucikan diri dari dosa.


“Entahlah Aida, aku sendiri dah tak tau nak cakap apa lagi dengan kau ni. Asalkan kau bahagia cukuplah,” Dr. Rasyidah menggenggam kemas tangan Aida sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi. Doanya moga ada sinar bahagia buat Aida selepas ini.


So, jadi kau nak ke sana esok?”


Aida menganggukkan kepala.


“Temankan aku ek Syidah”


“Okey...”


Thanks. Aku sayang kau,” Aida memeluk erat bahu Dr. Rasyidah tanda menghargai sokongan daripada sahabatnya itu.


***


“Hoi!!!” Hamdan disergah satu suara sebaik sahaja dia keluar dari keretanya. Pantas dia berpaling.


Bukk!! Satu tumbukan padu hinggap di mukanya dan diikuti dengan satu lagi tumbukan di perut. Hamdan mengerang kesakitan. Dalam kesamaran cahaya, dengan berbantukan cahaya malap dari lampu jalan yang berada tidak jauh darinya, Hamdan cuba mengecam penyerangnya tadi.


Aizat. Hamdan melihat ke sekelilingnya, baru dia perasan bahawa dia kini sedang di kelilingi oleh beberapa orang lagi konco-konco Aizat yang merupakan tali barut pada Encik Mansor, salah seorang pegawai besar di Hyper Mega Construction.


“Sebab kau kita rugi. Mana jaminan kau yang katanya tender tu memang ada dalam gengaman Hyper Mega Construction? Oleh sebab kau gagal, ini dia habuan untuk kau!!” serentak dengan itu tumbukan dan sepakan padu hinggap di badan Hamdan secara bertubi-tubi. Hamdan semakin lemah longlai dan akhirnya dunianya gelap dan sunyi.


***


“Syidah, aku nervous la. Hati aku ni berdegup semacam je, macam ada sesuatu yang tak kena. Entah-entah something happen pada abang Hamdan,” kata Aida sambil meletakkan tangan kanannya ke dada. Mungkin dia berharap dengan cara itu debaran di hatinya dapat dikurangkan.


“Baguslah. Elok juga kalau dia mampus ke apa. Senang sikit hidup kau nanti...” celupar sahaja Dr. Rasyidah bersuara. Pada pendapatnya, orang seperti Hamdan tidak layak untuk diberi muka, apatah lagi peluang kedua. Seorang suami yang tidak mampu memartabatkan maruah isterinya malah sanggup melacurkan isteri sendiri demi kepentingan diri memang patut mati digilis hidup-hidup dengan steamroll. Mungkin pada waktu itu baru dia sedar apa itu dosa dan apa itu pahala.


“Ish kau ni ada ke patut cakap macam tu. Eh, kenapa orang ramai-ramai kat situ Syidah. Eh, tu macam kereta abang Hamdan. Jom kita pergi tengok Syidah,” ucap Aida sambil mengheret tangan Dr. Rasyidah menuju ke arah tempat orang ramai berkerumun.


Aida memanjangkan langkah kakinya. Hatinya dipagut risau. Entah mengapa detik hatinya mengatakan bahawa ianya ada kaitan dengan hidupnya. Hamdan mungkin. Setibanya Aida di situ dia cuba mencelah. Kaku langkah kaki Aida tatkala melihat tubuh Hamdan yang kaku terbaring di situ. Mukanya pecah dan bibirnya berdarah. Badannya pula bengkak dan lebam-lebam.


“Ya Allah, abang...” pantas Aida menerpa ke tubuh Hamdan sebaik sahaja akal warasnya kembali menjengah. Lupa sudah segala amaran Hamdan supaya tidak memanggilnya abang serta lupa sudah segala kejahatan Hamdan terhadap dirinya.


“Cik, cik kenal lelaki ini?” tanya satu suara. Dalam linangan air mata Aida mengangguk.


“Dia suami saya...” Aida memanjangkan lehernya mencari kelibat Dr. Rasyidah. Dia berharap agar Dr. Rasyidah dapat membantu suaminya.


“Syidah, tolong aku please...” rayu Aida sebaik sahaja terpandangkan wajah Dr. Rasyidah yang berada tidak jauh darinya. Dengan hati yang berat, akhirnya Dr. Rasyidah mengangguk.


“Encik, tolong saya angkat dia ke kereta. Kita perlu membawanya ke klinik segera,” pinta Dr. Rasyidah pada beberapa orang lelaki yang masih lagi berkerumun dan menonton di situ.



BERSAMBUNG

Rabu, Februari 18

Yang Kupinta Part 5


Pulau Langkawi Pulau Lagenda.


Aida termenung menghadap laut. Matanya pula merenung jauh hingga tembus ke ufuk barat. Memerhatikan bola merah yang semakin tenggelam ke dasar laut. Sesekali tangannya menguis lembut rambutnya yang berterbangan di sekitar matanya. Perlahan-lahan kelihatan bola merah itu semakin menghilang bersama cahayanya. Alam jingga kini berubah gelap. Namun Aida masih lagi setia bertenggek di batu nan satu. Aida berpaling tatkala dia merasakan ada cuitan yang hinggap dibahunya.


“Apa?” tanya Aida sepatah.


“Jomlah. Apa lagi yang kau tunggu di sini? Burung pun pandai balik mencari sarang bila hari mulai kelam tapi kau pula masih lagi di sini? Cukup-cukuplah dilayan rasa kecewa di hati tu...” suatu tepukan hinggap di bahu Aida sebagai tanda semoga bersabar.


“Dahlah tu, jom kita balik...” tanpa sebarang bicara Aida terjun dari batu besar yang menjadi tempat persinggahannya sepanjang seminggu dia berada di Pulau Lagenda yang begitu terkenal dengan kisah lagenda sumpahan Mahsuri itu. Mereka bersama-sama bergandingan pulang ke chalet.


“Erm, Syidah. Nanti bila kita dah balik Skudai, kau tolong temankan aku ke rumah. Aku kena dapatkan aku punya kad pengenalan semula. Kemudian aku nak ke pejabat agama untuk minta fasakh,” ucap Aida setelah sekian lama membisukan diri. Dr. Rasyidah mengangguk tanda mengerti. Lapang sedikit hatinya apabila Aida berkata begitu. Ternyata kebisuan Aida sepanjang seminggu mereka di sini bukanlah suatu bisu yang sia-sia. Aida bukanlah selemah yang dia sangka. Nampaknya Aida sudah bersedia untuk bangkit semula untuk membina kembali bahagia di dalam hidupnya.


Thanks Syidah sebab sanggup tolong aku. Sanggup pulak kau ambil cuti semata-mata nak temankan aku ke sini. Terima kasih banyak-banyak,” suara Aida berubah sebak. Hatinya sayu tatkala mengenangkan segala jasa dan pengorbanan rakan sepermainannya dulu. Moga Allah merahmati hidup kau Syidah, doa Aida di dalam hati.


“Naa... It’s okey... Kau kan kawan aku, it’s nothing lah... Asalkan kau dah tak sedih-sedih pun aku dah cukup gembira,” ucap Dr. Rasyidah seraya memeluk bahu Aida.


“Balik ni kita kemas beg sama-sama yek...” kata Dr. Rasyidah dengan penuh ceria. Aida mengukir senyum walau di hatinya masih lagi berbekas dek luka lama yang masih lagi berdarah.


***


Dumm!! Dumm!! Dumm!!


Hamdan yang sedang lena terkejut apabila mendengar ketukan di pintu yang bertalu-talu. Dengan keadaan separa mamai Hamdan bangun dan membuka pintu rumahnya. Namun dalam hatinya sempat lagi berkata “alangkah baiknya kalau Aida masih ada, tak perlu dia melakukan semua kerja-kerja remeh begini.”


Buk!!


Suatu tumbukan tepat mengenai wajahnya sebaik sahaja pintu rumahnya dibuka. Terlentang Hamdan dibuatnya dek tujahan tumbukan yang tidak dijangka. Otaknya bingung seketika.


“Hoi, bila kau mau bayar kau punya hutang? Hari tu kau janji mau bayar guna kau punya bini. Kasi kita orang pakai. Sudah tiga hari kita orang tunggu tapi kau mana pergi? Kau plan nak lari ka?” Ravi mengepal penumbuknya kemas. Tangan kanannya pula mencengkam rahang Hamdan sekuat mungkin. Berkerut dahi Hamdan menahan sakit.


“Tolong... Tolong... Bini aku sudah mati. Nanti aku bayar kau orang punya hutang,” rayu Hamdan. Hatinya gerun memikirkan segala kemungkinan yang bakal dilakukan terhadap dirinya. Ravi and the gang tidak pernah gentar untuk melakukan apa sahaja terhadap mereka yang gagal melunaskan hutang mereka. Everything will do. Itulah motto gang Ravi.


“Heh, kau ingat kita orang bodoh ka mau percaya kau punya kata-kata?” Ravi memberikan isyarat pada anak buahnya. Dev dan Shiva mengangguk tanda faham akan arahan yang diberikan. Satu persatu bilik yang terdapat di rumah itu mereka geledah. Habis semua barang-barang ditunggang terbalikkan oleh mereka. Setelah puas menggeledah dan benar-benar pasti bahawa tidak terdapat seorang perempuan pun di dalam rumah itu, barulah mereka membuat laporan kepada Ravi menggunakan bahasa Tamil.


Ravi bengang. Hatinya tidak puas apabila insan yang dicarinya tidak dijumpai. Ini bermakna hutang Hamdan masih belum terlunas. Wajah Hamdan yang sedang menggeletar dihadapannya ditenung lama.


“Aku bagi kau tempoh lagi seminggu. Sama ada kau bayar semua hutang kau dalam bentuk cash atau kau serahkan bini kau pada kita orang buat selamanya. Jangan berani-berani cuba untuk laporkan pada polis. Jika tidak...” Ravi mengacukan pistol tepat di tengah dahi Hamdan. Hamdan memejamkan matanya rapat. Tidak sanggup untuk melihat seandainya picu pistol tersebut ditarik.


Bangg!!


Jeritan Ravi benar-benar mengecutkan hatinya. Ravi and the gang ketawa apabila melihat wajah pucat Hamdan. Ravi meniup muncung pistol seolah-olah meniru gaya James Bond.


“Kau ingat tu?! Dan ini peringatan untuk kau...”


Bukk!! Satu lagi tumbukan padu singgah di muka Hamdan sebelum Ravi and the gang beredar meninggalkan rumahnya. Hamdan mengerang kesakitan.


Argh!! Kalaulah Aida ada, mesti semua ini tidak akan jadi begini...”


BERSAMBUNG


----------------------------------------------------------------------

Kengkawan, cerita ni dah jadi terlalu meleret ke? Kalau ya cakap ek...

Selasa, Februari 17

Yang Kupinta Part 4


“Amir, cuba duduk elok-elok sikit. Ini terlompat-lompat dari tadi. Penatlah mama tengok. Dah... Dah.. Duduk diam-diam, nanti kacau papa nak bawak kereta,” marah Asyiekin pada anaknya.


Farouq yang sedang memandu hanya tersenyum tenang mendengar bebelan isterinya. Begitulah setiap kali apabila mereka dalam perjalanan pulang ke kampung. Ada sahaja telatah anaknya yang bakal mengudang bebelan isterinya. Tidak perlu radio dan tidak perlu pemain VCD di dalam keretanya. Kerenah dua beranak ini sudah cukup untuk menghilangkan rasa mengantuknya.


“Yang abang ni senyum sorang-sorang ni kenapa?” tegur Asyiekin tiba-tiba. Mungkin sisa bebelan pada anaknya tadi masih lagi berbaki maka tempiasnya terkena pada Farouq. Ketawa kecil kedengaran dibibir Farouq.


“Awak ni, saya senyum pun dah tak boleh ye? Awak marahkan si Amir dengan saya sekali kena marah sama ya,” giat Farouq pada isterinya. Kuntuman senyum masih lagi berbunga dibibirnya. Asyiekin menarik muka.


“Mana ada. Iekin tegur sikit pun dah tak boleh ke abang ni?” rungut Asyiekin pula. Tidak terlintas di hatinya untuk memarahi atau meleteri suaminya. Sampai hati Farouq berkata begitu padanya. Farouq tersenyum lagi melihat wajah isterinya yang mencuka.


“Awak ni, sejak ada baby baru pantang tercuit sikit ek? Bukan ke abang usik Iekin je tadi?” ucap Farouq bersama suatu senyuman yang meleret. Biarlah masam mencuka bagaimana sekali pun wajah isterinya namun wajah itu tetap manis dipandangan matanya.


“Papa jauh lagi ke nak sampai rumah nenek? Amir dah tak sabar nak main dengan mak cu dengan adik cik Pa’e...” tanya Amir sambil melingkarkan tangannya ke leher Farouq.


“Tak lah sayang. Dah tak jauh sangat dah...” jawab Farouq lembut.


Hooreeyyy!!”


“Amir... Mama cakap duduk diam-diam kan? Degil ye...” marah Asyiekin pada anaknya. Farouq menggelengkan kepala. Bukan Asyiekin tidak tahu yang Amir akan menjadi semakin nakal kalau dimarah-marah dan dibentak-bentak begini. Namun mungkin keadaan Asyiekin yang berbadan dua menyebabkan isterinya itu mudah naik darah pada kenakalan Amir. Farouq mengusap lembut lengan isterinya dan menyuruhnya bertenang.


“Amir, nak cepat sampai tak?” tanya Farouq pada anaknya.


“Nak... Nak...”


“Hmm.. kalau macam tu Amir duduk diam-diam ya. Kalau Amir lompat-lompat macam tadi lagi lambat kita sampai. Amir nak main dengan adik cik Pa’e kan? So, duduk diam-diam. Jangan lompat-lompat, ok?”


“Ok papa...” ucap Amir dengan senang hati. Farouq tersenyum senang. Asyiekin pula menghela nafas lega. Sungguh pun Amir tidak melompat-lompat lagi seperti tadi namun mulutnya tetap becok bertanyakan itu dan ini pada mama dan papanya.


Dalam keasyikkan Amir bercerita mengenai guru tadikanya yang garang, tiba-tiba Amir menjerit kuat.


“Papa, apa tu?” ucap Amir sampi menunjukkan pada suatu objek yang kelihatan merentangi jalan raya. Farouq memperlahankan keretanya. Cuba mengamati daripada jauh apakah objek yang merentangi jalan mereka ini. Semakin mereka mendekati objek tersebut, semakin berlapis dahi Farouq.


“Orangkah?” telah hati Farouq sendiri. Farouq memberhentikan kereta sebelum dia turun dan mendekati objek tersebut. Begitu juga dengan Iekin dan Amir.


“Ya Allah, orang!!” terkejut sungguh mereka apabila mendapati objek yang merintangi jalan mereka itu merupakan seorang wanita. Wajahnya lebam dan biru-biru. Di hidungnya pula terdapat kesan darah yang sudah pun kering.


“Kita nak buat apa ni bang?” tanya Asyiekin panik.


Berbekalkan ilmu yang pernah dipelajarinya ketika menyertai Pasukan Bulan Sabit Merah semasa di sekolah dahulu, Farouq memegang pergelangan tangan wanita tersebut demi mencari nadi. Dia menarik nafas lega apabila denyutan nadi wanita tersebut dapat dikesannya. Sungguhpun begitu, denyutan itu terlalu lemah.


“Kita bawak dia ke klinik berdekatan,” ucap Farouq pada isterinya. Asyiekin mengangguk setuju. Pantas dia membukakan pintu penumpang sementara Farouq mengangkat tubuh wanita malang itu ke dalam kereta.


“Amir duduk tempat mama, biar mama duduk belakang je...” kata Asyiekin pada anaknya. Tanpa bantahan Amir menurut. Setelah memakaikan tali pinggang keledar pada Amir, Farouq meneruskan pemanduannya menuju ke klinik berdekatan. Suasana di dalam kereta tersebut yang pada mulanya riuh rendah dengan suara yang tingkah meningkah antara anak beranak kini menjadi sepi. Masing-masing melayan perasaan sendiri demi mencari jawapan bagi setiap satu persoalan yang muncul dibenak mereka. Siapakah wanita malang ini? Dan bagaimana dia boleh berada di tengah-tengah jalan raya yang sunyi ini?


Dua puluh minit memandu, akhirnya Farouq memberhentikan keretanya di hadapan sebuah klinik – Klinik Rasyidah. Dengan penuh berhati-hati Farouq mengangkat tubuh wanita malang itu lalu dibawanya terus ke bilik rawatan.


***


Di dalam bilik rawatan, terbuntang mata Dr. Rasyidah tatkala matanya menyapa wajah yang lebam dan bengkak pesakit di hadapannya. Matanya tegak merenung sepasang suami isteri bersama seorang anak mereka yang sedang berdiri dengan riak cemas di hadapannya kini.


“Apa pertalian encik dengan pesakit?” tanya Dr. Rasyidah perlahan. Di wajahnya terlakar riak keliru dan ingin tahu.


“Tak ada pertalian, doc. Kami jumpa perempuan ni terbaring merentangi jalan lebih kurang sepuluh kilometer dari sini,” jawab Farouq tenang. Dr. Rasyidah mengangguk kepala tanda faham.


“Tak mengapa. Beginilah encik, wanita ini sebenarnya merupakan kenalan lama saya, so encik tak perlu risau saya akan akan menguruskan hal selanjutnya nanti. Terima kasih kerana membawa dia ke sini,”


“Alhamdulillah syukur. Sekurang-kurangnya ada insan yang mengenali wanita malang ini. Entah apalah yang terjadi padanya hinggakan dia boleh terdampar begitu seorang diri di tengah-tengah jalan raya yang sunyi tu. Kalau begitu kami minta diri dulu...” ucap Asyiekin sambil bersalaman dengan Dr. Rasyidah. Dr. Rasyidah hanya menganggukkan kepalanya.


“Terima kasih pada tuan dan puan yang sudi menyelamatkan sahabat saya ini”


“Tak apa-apalah doc, itu memang sudah menjadi tanggungjawab kami. Sesiapa pun yang berada ditempat kami pasti akan melakukan perkara yang sama,” ucap Farouq sebelum mereka sekeluarga terus berlalu untuk meneruskan perjalanan mereka menuju ke destinasi.


BERSAMBUNG

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino