Product from Adobe

Sabtu, April 11

Cerpen : Kerna Syiqah


Maria berteleku sayu di katil. Hatinya sedih. Hatinya perih. Sampai hati Rashid menduakan dirinya begini. Sedangkan ketika di awal perkahwinan mereka dahulu, Rashid pernah berjanji untuk tidak menduakan dirinya. Ah!! Janji lelaki. Sama saja dengan janji Melayu. Sering dilanggar dan sering juga dimungkiri.


“Penipu!! Pendusta!!” kata Maria dalam esak tangisnya yang semakin layu. Juraian air mata yang mengalir lesu di juring matanya juga diusap perlahan. Ah! Pergilah kau air mata. Tak guna aku menangisi sesuatu yang sia-sia.


Tiba-tiba kedengaran bunyi kereta masuk ke perkarangan rumah. Maria dapat mengagak bahawa suaminya itu sudah pulang. Hatinya yang masih bengkak mengenangkan perbuatan curang itu bertekad untuk tidak mengendahkan suaminya. Biarlah dia melayani lara di hatinya buat seketika. Rashid tidak adil!


“Hai, assalamualaikum sayang,” tegur Rashid pada isterinya bersama suatu senyuman manis dibibir.


Maria berpaling ke arah suara itu. Serta-merta matanya tertancap pada seplastik barangan yang berada di tangan suaminya itu. Huh! Barangan untuk si Syiqah lagi. Hati Maria bertambah bengkak. Salam suaminya itu hanya dijawab di dalam hati sahaja.


Rashid berasa aneh melihat reaksi dan tindak balas isterinya itu. Kenapa dengan Mar?


“Mar, kenapa muram saja ni? Mar tak sihat ke?” tanya Rashid lembut. Penuh prihatin. Rashid mendekati Maria sebaik sahaja dia meletakkan beg kerjanya serta barang-barang yang dibelinya tadi. Sebenarnya hatinya dipagut aneh apabila kepulangannya hari ini tidak bersambut seperti biasa dan Maria juga tidak menyalaminya seperti selalu.


“Ah, tak payah la abang nak buat-buat perihatin pada Mar. Baru hari ni abang nak pedulikan Mar. Selama ni tak pun. Sikit-sikit Syiqah. Syiqah. Syiqah!” Maria menepis tangan suaminya yang cuba menjamah dahinya. Ah! Aku tak perlukan prihatin dari hati yang tak rela. Suaminya itu tiba-tiba begitu prihatin pada dirinya, pasti ada sesuatu yang dihajatinya. Inginkan restu untuk memiliki Syiqahkah?


Terkedu Rashid melihat respon isterinya yang tiba-tiba itu.


“Mar, abang...” belum sempat Rashid memberikan penjelasan, Maria telah bangun dan meninggalkan suaminya itu. Hatinya malas untuk mendengar sebarang dusta dari suaminya lagi.


Rashid terduduk di katil sambil menggelengkan kepala.


Dua hari kemudian...


“Mar, sudah-sudah la tu. Dah tiga hari tau Mar buat-buat tak tahu kat abang. Sampai hati Mar buat abang macam ni,” rungut Rashid. Sedikit rajuk terselit dalam nada suara sayu itu. Maria masih lagi membekukan diri.


“Mar, hari ini kita makan kat luar nak? Abang belanja Mar,” Rashid cuba memancing reaksi daripada isterinya. Sungguh hatinya resah apabila tidak diendahkan oleh Maria sejak tiga hari yang lalu. Rasa rindu usahlah di tanya. Yang membukit kini sudah pun menggunung rasanya. Tidur malamnya juga tidak lagi nyenyak seperti dahulu.


“Mar, dah tiga hari la Mar gini. Sudah-sudah la, jangan la merajuk lagi,” rayu Rashid lagi.


“Oh, dah tiga hari. Habis yang Mar menjeruk rasa sejak enam bulan yang dulu tu abang tak nak kira? Hari-hari saya kena tadah telinga dengar kisah bahagia awak dengan si Syiqah. Awak ingat saya ni hati batukah? Tak ada perasan?!” bentak Maria pula. Sungguh hatinya berang tatkala suaminya mengungkit tempoh dia merajuk diri. Sungguh tidak patut!


“Tapi Mar, Syiqah tu kan...”


No way! Mar tak suka abang lebih-lebihkan Syiqah. Sejak ada Syiqah, semuanya Syiqah baik. Syiqah itu, Syiqah ini,” ungkit Maria pada Rashid. Biar suaminya itu tahu apa rasa hatinya selama ini.


“Tapi Mar, Syiqah tu kan...”


“Mar tak peduli. Abang banyangkan perasaan Mar bila abang cakap ‘tenangnya hati bila tengok Syiqah tidur’. Huh! Sakit hati saya ni bang, sakit!!” sekali lagi Maria memotong cakap suaminya. Akhirnya Rashid hanya mengeluh. Tersinggung benar hati isterinya kali ini. Sungguh dia tidak sangka.


“Hurm... Kalau dah gitu kata Mar, esok abang bawak balik Syiqah. Mar bincang la sendiri dengan si Syiqah. Abang dah malas nak cakap apa dah,” balas Rashid pula. Maria hanya menjeling.


“Abang ni dah tak betul ke? Mar nak bincang apa dengan budak umur setahun lebih tu?” balas Maria pula.


“Habis dah awak cemburu tak fasal-fasal. Semua yang abang nak cakap Mar tak nak dengar. So, esok Mar bincang la sendiri dengan dia,” balas Rashid lagi.


“Ah, malas la Mar. Budak kecik nak buat apa,” kata Maria lagi. Cemberut di mukanya sudah semakin sirna. Entah mengapa hatinya berasa sedikit lucu akan cadangan suaminya.


“Hah, kalau dah gitu sendiri mau ingat la..!” kata Rashid sambil ketawa-ketawa. Maria juga sudah tidak mampu menahan rasa lucu di hati lalu dirinya juga turut ketawa. Entah apa-apa jelah aku ni, getus hati Maria.

“Apa da... dengan baby pun mau jeles ka? Huhuhu...” tambah Rashid sambil ketawa dengan penuh bahagia.


-----------------------------------------------------------------

p/s: citer ni lea tulis sebagai selingan untuk meringankan otak ketika study week ni. Hope kengkawan enjoy ek.. kalau rasa nk komen or complaint seperti biasa, lea sangat-sangat mengalu-alukannya... =D thanx kerana sudi baca citer yang tak seberapa nih...

Rabu, April 8

Pengumuman: Air Mata Hati [ulangan]


Salam sayang buat semua yang mengikuti kisah Air Mata Hati,

Oleh kerana ramai yang bertanyakan kepada Lea mengenai sambungan Air Mata Hati, maka Lea terfikir untuk membuat pengumuman ini sekali lagi.

Untuk pengetahuan semua, manuskrip Air Mata Hati telah pun diterima oleh salah sebuah syarikat penerbitan. Insyaallah, kalau tak ada aral melintang, novel ini bakal diterbitkan nanti. Sehubungan dengan itu, atas permintaan pihak penerbitan Lea tidak lagi boleh menyiarkan sambungan Air Mata Hati.

Buat masa ni, Lea dalam usaha untuk menyiapkan cerita ini. Oleh itu, Lea berharap agar kengkawan semua dapat bersabar ya menantikan penamat bagi cerita ini dipasaran nanti.

Oh ya, Lea juga masih lagi dalam usaha mencari tajuk lain bagi kisah ini. Sekiranya kengkawan semua ada cadangan tajuk bagi cerita ini, Lea mengalu-alukan cadangan daripada semua. Terima kasih Lea ucapkan atas sokongan padu yang diberikan. Sesungguhnya tanpa kengkawan semua, Lea tidak akan mendapat kekuatan untuk meneruskan cerita ini hingga ke penamatnya.

Doakan Lea supaya dapat menyiapkan cerita ini secepat mungkin ya.

Sekian, terima kasih.

Salam sayang buat semua;
~LeaQistina

Sabtu, Mac 7

Cerpen: Pak Eh dan Cik Yam


“Apa lagi yang dimenungkan tu Cik Yam? Sudah-sudah la tu. Yang dah pergi tu tetap pergi. Tak adanya akan kembali lagi dah,” ucap Pak Eh pada isterinya yang kelihatan termenung dijaring jendela rumahnya. Cik Yam menoleh sekilas bersama satu keluhan berat.


“Awak apa tahu Pak Eh. Saya ni. Saya ni yang sakit nak keluarkan budak-budak tu. Saya tak sangka hidup kita malang begini. Anak-anak kita diculik dan dibunuh sesuka hati. Zaman kanibal ke sekarang ni sampai anak-anak kita diperlakukan sebegitu sekali,” bentak Cik Yam. Sungguh hatinya rawan setiap kali mengenangkan nasib anak-anaknya yang dizalimi sesuka hati oleh insan-insan yang tidak berhati perut.


“Cik Yam, redhalah pada takdir. Ingat pada janji Dia. Sabar itu banyak ganjarannya. Tambahan pula anak-anak kita tu pergi di awal usianya. Belum sampai pun balighnya. Balasan syurga yang akan kita dapat Cik Yam kalau kita sabar dan redha dengan takdir yang menimpa,” nasihat Pak Eh pada isterinya. Siapa kata hatinya tidak sedih? Siapa bilang hatinya tidak terasa akan kehilangan anak-anaknya. Saban hari dia menantikan saat anak-anaknya akan riang bermain dihadapan matanya. Yang akan menyambut kepulangannya setiap kali dia pulang ke rumah. Namun, dengan terus bersedih dan meratap begini apakah faedahnya? Hidup tetap perlu diteruskan.


“Awak tak faham Pak Eh. Awak langsung tak faham perasaan saya. Cuba awak bayangkan, di depan mata saya ni saya nampak insan-insan durjana tu ambil anak-anak kita. Diorang tu culik anak-anak kita depan mata saya. Namun, saya langsung tak dapat buat apa-apa. Saya tak berdaya. Sedih hati saya ni Pak Eh. Saya rasa macam saya ni ibu yang tak guna,” luah Cik Yam lagi. Teringat detik-detik perit tatkala melihat anak-anaknya dibawa pergi dengan tanpa rasa belas dan simpati. Di depan dua biji matanya. Sudah puas dia menjerit. Sudah puas dia merayu agar anak-anaknya dilepaskan. Namun tak satu pun usahanya berhasil malah anak-anaknya itu terus dibawa pergi.


“Entahlah Cik Yam. Tak ada apa lagi yang boleh saya katakan pada awak. Ayat yang tinggal hanyalah sabar. Itu saja yang boleh saya katakan Cik Yam. Ingat janji Dia, sabar itu ada ganjarannya,” nasihat Pak Eh lagi ada isterinya. Hatinya yang sedih kini menjadi perit. Perit mengenangkan emosi isterinya yang tidak pernah stabil dan riak wajah yang tidak lagi ceria sejak pemergian anak-anaknya.


“Sabar? Bukan satu anak kita hilang tapi lima Pak Eh. Lima!!” ucap Cik Yam penuh emosi sebelum dia berlalu masuk ke dalam rumah. Sudah malas mahu terus berbicara dengan suaminya yang dirasakan tidak pernah hendak mengerti akan rasa hatinya. Balik-balik sabar, sabar dan sabar. Apa dia tahu tentang perasaan seorang ibu yang kehilangan anak?


“Eh Cik Yam, awak tahu tak awak sekarang ni dah glamour?” kata Pak Eh pada Cik Yam. Sengaja ingin menceriakan hati isterinya yang sedang rawan. Mendung yang terlakar diwajah isterinya turut menghalau bahagia dari hatinya. Tidak sanggup lagi rasanya untuk terus hidup dalam suasana yang suram ini. Suasana suram ini akan lebih menguatkan lagi ingatannya pada arwah anak-anaknya. Walauapa pun yang berlaku, dia perlu menyedarkan isterinya bahawa hidup tetap perlu diteruskan. Allah tak jadikan kita semua semata-mata untuk terus hanyut dalam kesedihan apabila dugaan datang.


Cik Yam hanya menjeling bosan pada suaminya yang sedang tersengih melihatnya. Cik Yam tahu dan sedar akan usaha suaminya itu. Namun dia tidak dapat menipu rasa hatinya. Biar apa pun yang diperkatakan oleh Pak Eh hakikatnya tidak akan berubah. Anak-anaknya kini sudah tiada lagi. Anak-anaknya itu diambil dihadapan mata kepalanya sendiri. Dia sebagai ibu gagal mempertahankan keselamatan anak-anaknya. Itu yang membuatkan hatinya sedih dan tidak dapat menerima hakikat ini. Dia malu. Dia rasa berdosa kerana gagal menjadi ibu yang baik. Gagal menjaga amanah yang Dia berikan.


“Betul ni Cik Yam. Pagi tadi waktu saya keluar pergi kerja, saya jumpa gambar saya dan nama awak pada satu tin makanan. Saya pasti, kat luar sana tu mesti banyak lagi tin-tin macam tu. Glamour kita Cik Yam. Hehe... tapi pelik juga saya macam mana gambar kahwin kita boleh terlepas pada diorang sebab gambar saya pada tin makanan tu sedang pakai baju pengantin kita. Bila saya tengok lama-lama baru saya perasan, kacak juga saya ni ye Cik Yam. Agaknya sebab tu kot awak terpikat dengan saya dulu?” giat Pak Eh pada isterinya. Terubat juga hatinya apabila melihat senyuman yang mula terlakar diwajah isterinya. Benar kata orang, seandainya kita sedang dalam kesedihan, kenanglah nostalgia indah tatkala bersama, insyaallah bahagia itu akan datang dengan sendirinya.


“Awak ni ada-ada jelah Pak Eh,” ucap Cik Yam bersama ketawa nipis. Tiba-tiba sahaja hatinya berbunga tatkala nostalgia indah ketika hari perkahwinan mereka dahulu kembali menjengah. Teringat betapa galaknya Pak Eh ketawa sebaik sahaja mereka berdua sah sebagai suami isteri. Sungguh memalukan. Pengantin buat peragai gila-gila di majlis perkahwinannya. Sungguh, saat itu merupakan salah satu detik terindah yang pernah berlaku dalam hidupnya. Cik Yam terus-terusan tersenyum. Dia semakin tenggelam dalam kenangan lalu.


Cupp!! Satu ciuman singgah di wajah mulus isterinya. Wajah itu direnungnya lama. Wajah itu masih indah dan mendamaikan. Ingat lagi tekadnya ketika dia ingin mencari calon isteri. Dirinya menginginkan seorang isteri yang mempunyai raut wajah yang mampu mendamaikan hatinya tatkala hatinya marah dan tidak keruan. Akhirnya, wajah ini yang hadir dalam mimpinya. Wajah yang sering menjemput damai dihatinya. Wajah yang mempunyai segaris senyuman yang cukup sederhana tetapi sudah mampu mengusir segulung taufan di dalam jiwa. Dirinya cukup bersyukur akan jodohnya ini.


“Saya sayang awak Cik Yam,” ucap Pak Eh dalam nada yang seakan-akan berbisik. Ungkapan itu disebut bersama hantaran perasaan yang sarat dengan cinta, kasih dan sayang. Biarlah apa pun halangan yang mendatang, namun dia sering berdoa agar jodohnya ini terus berkekalan.


Cik Yam tersenyum bahagia.


“Saya pun sayangkan awak Pak Eh,” balas Cik Yam. Tersentuh hatinya mendengar ucapan ikhlas dari bibir suaminya.


“Jom,” ucap Pak Eh sambil mengenyitkan matanya. Cik Yam tersipu malu.


“Nak ke mana Pak Eh?” tanya Cik Yam pula.


“Tak ke mana. Duduk di beranda. Dah lama kita tak berpacaran, kan? Jom la Cik Yam,” beriya-iya Pak Eh mengajak isterinya. Seronok juga apabila dapat menghabiskan masa berdua begini sekali sekala. Selama ini dirinya sibuk mencari rezeki. Dirinya bukanlah orang berada yang boleh bersenang-lenang menggoyang kaki di rumah, dia perlu keluar mencari rezeki untuk isterinya yang tersayang. Sungguh pun insan sekeliling sering mengatakan bahawa mereka ini daif. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun dia tidak kisah asalkan hatinya bahagia dengan kehidupannya. Langsung tiada rungutan pada hidupnya. Malah hatinya lebih bersyukur dengan segalanya.


“Yelah Pak Eh. Jom,” Pak Eh dan Cik Yam berjalan seiringan menuju ke beranda.


***

“Eh Samad, kau perasan tak ayam kat reban nombor tiga tu mandom semacam je sejak minggu lepas?” tanya Malik pada sahabatnya yang sedang khusyuk mengangkat kotak-kotak yang berisi telur-telur ayam yang sudah sedia untuk dipasarkan.


“Aku perasan. Alah biasalah tu, ayam tu kan ayam muda. Baru pertama kali bertelur. Agaknya dia terkejut kot tengok kita ambil telur-telur dia. Lama-lama nanti biasa la dia tu,” ucap Samad dengan selamba.


“Hmm... agaknya la. Hari tu waktu aku nak kutip telur-telur dia, bukan main lagi dia berkokok. Riuh sekampung,” balas Malik pula. Malik berpaling ke arah reban ayam yang tidak jauh dari tempat mereka bekerja. Kelihatan sepasang ayam sedang khusyuk bertenggek di palang reban.


Psst!! Psstt! Malik cuba mendapatkan perhatian sahabatnya.


“Apa?”


“Tu cuba kau tengok ayam kat reban nombor tiga tu, macam bahagia je aku tengok. Tengah dating ke tu?” ucap Malik sambil ketawa.


“Hehe... Agaknya la kot,” ucap Samad pula sambil ketawa.


“Dahlah. Jom kita hantar telur-telur ni. Nanti lambat pulak kita balik,” ajak Samad.


“Jom,” akhirnya lori yang berisi telur ayam itu terus berlalu meninggalkan Pak Eh dan Cik Yam bersama nostalgia mereka yang tersendiri.


--------------------------------------------------------------------------------------

Salam semua,

Hehe... Lea tak tau la kenapa idea ni muncul dalam kepala Lea sejak malam tadi lagi. Cumanya baru pagi ini Lea sempat untuk menulisnya. Idea ini merupakan idea spontan. Diharapkan agar kawan-kawan sekalian terhibur dengan n3 terbaru daripada Lea ini. Terima kasih kerana terus sudi membaca diruangan ini. :D


Ikhlas;

~LeaQistina

Isnin, Mac 2

Sambungan Suite 6019 : Erk? Kantoi!!


Hakim menjenguk ke bilik bacaan yang menempatkan sebuah komputer peribadi dan juga rak-rak buku bacaan. Di dalam bilik bacaan tersebut terdapat pelbagai jenis buku. Bermula daripada bahan bacaan untuk Fasha dan Fisha, Haikal serta Hakim dan Fazureen sendiri. Kelihatan Haikal sedang khusyuk bermain game Zuma sambil dikelilingi oleh adik-adiknya.

Hakim mendekati anak-anaknya. Dia menjenguk ke skrin komputer. Kelihatan markah Haikal yang semakin meningkat. Lama dia merenung ke arah markah tersebut.

"Abang, lepas ni Fisha pulak?" pohon Fisha pada abangnya. Rasanya sudah lama abangnya bermain namun masih belum ‘mati' dari tadi. Balik-balik Haikal dapat extra point sebab dapat buat rekod masa terpantas.

"Nantilah adik. Kan kita dah janji main gilir-gilir? Lepas ni kan giliran Kak Fasha dulu?" tanya Haikal pada adiknya. Dia cuba bertindak seadil mungkin pada adik-adiknya namun mata dan tangannya tidak lepas dari terus memastikan guli-guli yang berwarna-warni yang keluar daripada mulut katak itu tepat mengenai sasarannya. Fisha hanya menarik muka.

"Yes!! New record lagi..." jerit Haikal kegembiraan. Dia melompat-lompat di kerusi yang didudukinya. Bangga. Tambahan pula rekod itu dilakukannya dihadapan papa mereka. Haikal menjungkit kening pada Hakim.

Hakim geram melihat wajah comel Haikal yang sibuk menjungkit kening ke arahnya. Matanya pula tidak lepas daripada melihat jumlah markah yang tertera di skrin komputer. Dia menimbang-nimbangkan sesuatu. Matanya pula meleret pada jam di dinding bilik.

"Hah, sudah-sudah! Dah berapa jam korang main ni? Dari tadi asyik main je, sampai dah panas komputer ni. Silap-silap meletup nanti. Dah pergi baca buku..." arah Hakim pada anak-anaknya sambil tangannya meraba ke belakang skrin komputer. Menunjukkan benar-benar bahawa skrin tersebut telah panas akibat terlalu lama dibuka.

Haikal, Fasha dan Fisha menarik muka masam. Dengan langkah berat mereka bangun dan meninggalkan meja komputer tersebut lalu berganjak ke meja belajar mereka yang turut berada di dalam bilik tersebut.

"Ah, tak de-tak de. Hari ni semua pergi belajar dalam bilik masing-masing. Tak pun, abang bawak adik-adik buat kerja sekolah kat ruang tamu bawah," kata Hakim pada anak-anaknya sambil klik-klik sesuatu pada skrin komputer.

"Aik, kenapa pulak? Bukan papa cakap sebelum ni kena belajar di tempat yang sepatutnya ke?" tanya Fasha pula sambil menggaru-garu dagunya. Matanya pula dikejip-kejipkan. Seolah-olah dapat merasai sesuatu helah sedang dilakukan.

"Kakak, jangan lawan cakap orang tua. Tak baik. Berdosa. Itu pun papa ajar jugakkan?" Hakim cuba bermain psikologi dengan anaknya, Fasha.

"Ye ke papa?" sampuk Fisha pula.

"Dah... dah... jangan banyak cakap. Pergi sekarang!" dengan langkah yang malas dan penuh curiga, lambat-lambat tiga beradik itu membuka langkah. Serentak. Dan bagaikan dirancang, setelah tiga langkah mereka sama-sama berhenti dan berpaling.

"Betul ke papa?" ucap ketiga-tiga beradik itu serentak.

"Sudah!!" marah Hakim sambil mengangkat tangannya gaya konon-kononnya hendak memukul. Berdecit tiga beradik itu lari menuju ke ruang tamu.

Namun tidak sampai lima minit kemudian, kepala Hakim, Fasha dan Fisha terjengul di muka pintu secara bertingkat.

"Papa..." kelam-kabut Hakim menutup skrin komputernya sebaik sahaja mendengar teguran anak-anaknya.

"Apa lagi ni?"

"Kita orang nak masuk ambil beg sekolah la papa. Tadi lupa bawa..." jawab Haikal meleret. Fasha dan Fisha pula hanya mengagguk tanda mengiyakan sahaja kata-kata abang mereka.

"Hah, gi ambil cepat. His korang ni, ada-ada je. Hmm... abang, lepas ni keluar terus tutup pintu tu," arah Hakim pada anaknya. Cuak juga hatinya tadi. Bimbang anak-anaknya dapat menghidu perbuatannya.

Haikal mengangguk. Selepas mengambil beg sekolah mereka, tiga beradik itu keluar dan pintu bilik ditutup. Hakim menarik nafas lega.

***

Hakim melihat hakikat yang ternyata di muka skrin komputer di hadapannya. Dia menggeleng tidak percaya. Tak mungkin!



Fazureen 995,252,131 pnt.

Haikal 752,194,125 pnt.

Kakak 521,181,352 pnt.

Adik 502,285,276 pnt.

Papa 302,561,442 pnt.



"Aku last sekali?" buntang mata Hakim. Sungguh dia tak percaya. Lantas tangannya terus mencapai tetikus lalu dibawanya anak panah menuju ke satu arah. Delete score.

"Yeah!! Start semula bebeh..." Hakim berkata dengan penuh bangga. Aura jahat sudah pun meresap jauh ke dalam jiwanya. Kemudian, dengan senang hati dan tanpa rasa bersalah dia mendaftar akaun baru dan mula mencipta rekod sekali lagi.

Ting! Tong! Ting! Tong!

Bunyi itu terus bergema diruang bilik bacaan tersebut dan Hakim kian tenggelam dalam ciptaan rekod demi rekod. Namanya terus terpahat sekali lagi di tempat pertama skor keseluruhan.



***



"Abang, adik, kenapa belajar kat sini? Bukan ke selalu papa pesan kalau nak study, study kat tempat yang sepatutnya. Kan ke papa dengan mama dah sediakan bilik bacaan?" tanya Fazureen sebaik sahaja melihat anak-anaknya yang khusyuk membuat kerja sekolah di meja ruang tamu.

Penerangan Haikal pada adik-adiknya mengenai teori penghasilan bayang-bayang terhenti seketika. Mereka bertiga menoleh serentak ke arah mama mereka.

"Papa suruh kita orang belajar kat sini, mama," jawab Haikal.

"Eh, ye ke?" tanya Fazureen. Pelik pula rasanya. Masakan begitu sedangkan selama ini Hakim sangat menitik beratkan keselesaan tempat belajar anak-anaknya.

"Betul mama. Papa halau kita orang keluar, lepas tu papa suruh tutup pintu," adu Fisha pula pada mamanya. Si kecil itu memang terkenal dengan sikap suka mengadu. Berbeza sungguh dengan sikap kembarnya Fasha yang lebih senang berahsia.

"Hmm... mesti ada agenda tersendiri ni," fikir Fazureen sendiri.

"Tak pelah. Papa ada keje kot. Abang dengan adik buat kerja sekolah dulu ek? Mama nak naik atas kejap," ucap Fazureen pada anak-anaknya sebelum menuju ke bilik bacaan yang terletak di tingkat atas.



***



Setibanya di hadapan pintu bilik bacaan, Fazureen berura-ura untuk membuka pintu bilik tersebut namun pegangan tannya di tombol tersebut terhenti. Perlahan-lahan Fazureen menekup telinganya ke pintu. Cuba mengesan sebarang bunyi.

Ting! Tong! Ting! Tong! Zuma...

"Owh.. senyap-senyap dia main Zuma ya," ucap Fazureen perlahan. Lantas dia terus membuka pintu bilik tersebut. Kelihatan Hakim yang sedang khuysuk melepaskan guli-guli yang berwarna-warni itu pada sasarannya. Hakim hanya memandang Fazureen yang sedang melangkah masuk dengan sekilas pandang. Kemudiannya dia terus menumpukan perhatian sepenuhnya pada katak dan guli di hadapannya.

Fazureen menjenguk ke skrin. Senyuman sinis dilemparkan. Eleh, baru sampai situ jek, ejek hati Fazureen.

Time record 01:52 Fazureen

"Wahaha... Abang tetap tak boleh beat Reen," ucap Fazureen dengan diiringi oleh ketawa jahatnya.

Hakim menyeringai geram. Kemudian pantas dia menekan butang pause dan menekan butang record.

"Tengok, semua nama abang," ucap Hakim dengan bangga. Jelingan sinis dihadiahkan buat isterinya. Walaupun rasa sayang masih lagi utuh, namun tidak untuk sesi ini. Kini mereka adalah musuh. Kasih sayang semua simpan dalam almari dulu, tekad hati Hakim.

Bulat mata Fazureen memerhatikan rekod yang tersenarai pada skrin di hadapannya.

"Abang delete rekod asal? Reen punya skor dah dekat satu juta tau!" marah Fazureen. Hakim pula menayang wajah yang tidak bersalah.

"Hah.. hah.. ha... Nasib la..." ucap Hakim pula dengan penuh nada mengejek.

"Argh! Abang ni memang tau. Reen tak pernah pun delete rekod macam ni. Tak adil la..." rungut Fazureen pula. Sungguh dia tak berpuas hati dengan taktik kotor Hakim. Ah, Hakim memang dari dulu sangat licik dengan taktik kotor. Teringat kembali bagaimana liciknya Hakim untuk terus mengikat aku disisinya, desis hati Fazureen. Hakim ni memang nak kena tau!

"Memang la Reen tak pernah delete nama abang tapi Reen, abang dengan adik selalu buat nama abang kat bawah sekali. Mana aci..." balas Hakim pula. Dia tak peduli. Apa yang dia tahu, namanya mesti berada di tangga yang teratas.

"Tengok rekod abang sekali lagi," pinta Fazureen. Dengan bangganya Hakim menayangkan kembali rekodnya tadi.

Papa 252,129,521 pnt.

"Alah, banyak tu je ke bang? Reen boleh beat rekod abang ni dalam masa setengah jam je tau. Tak kisah," ejek Fazureen pula. Pantas Hakim mencerun marah.

"Berani la Reen jatuhkan nama abang, nanti abang delete terus dengan game-game ni sekali tau. Terus semua orang tak payah main," ugut Hakim pada Fazureen.

"Hoh, mana aci macam tu. Dengki la abang ni..." rungut Fazureen lagi.

"Aci maci abang tak peduli. Kalau Reen nak terus main game ni, make sure nama abang ada terus kat atas takhta. Wahaha..." dengan penuh aura jahat Hakim ketawa.

"Argh!! Mana boleh macam tu!!!" jerit Fazureen. Tabiat menjeritnya itu memang tak boleh lepas. Dari bujang, kemudian menjadi isteri orang dan seterusnya kini sudah menjadi ibu kepada tiga orang anak, sikapnya itu tidak pernah berubah. Bingit telinga Hakim dibuatnya.

"Syhh!! Nanti abang dengan adik dengar..." pantas Hakim meletakkan jari ke bibir. Memberi isyarat supaya Fazureen diam.

"Nanti kantoi la..." sambung Hakim lagi.



***



"Erm... mama... papa?" tiga kepala sudah sedia terjengul di muka pintu yang lupa ditutup Fazureen tadi.

"Erk.. Ya.." jawab Fazureen dan Hakim serentak. Dalam masa yang sama, dua pasang tangan diletakkan di muka skrin komputer tersebut secara bertindanan demi melindunginya daripada dilihat oleh anak-anak mereka.

"Papa main Zuma ya?" risik Fasha.

"Komputer tak panas ke papa? Tak meletup?" sambung Fisha pula.

"Erm.. ya.. ya.. memang panas pun sampai dah nak meletup dah. Ni yang papa nak tutup ni," ucap Hakim sambil tersengih pada anak-anaknya. Fazureen juga turut sama tersengih kerang begitu. Tidak tahu nak kata apa apabila mereka di'tangkap' secara terang-terangan oleh anak-anak.

"Papa..." panggil Haikal.

"Err, ya..." perlahan sahaja Hakim menyahut. Sengihannya masih lagi terus ditayangkan.

"Kantoi?" tanya Haikal lagi.

"Erk? A'ah. Kantoi..." akhirnya pecah tawa mereka sekeluarga. Lucu apabila papa mereka kantoi begitu sahaja di depan mereka. Mama yang selama ini macam pegawai undang-undang juga turut terkantoi sama.

-------------------------------------------------------------------------------------------


Notes: Memang ramai yang mencadangkan supaya cerita ini dijadikan novel namun Lea minta maaf kerana buat masa ini Lea tak mampu menunaikannya. Hal ini kerana disebabkan kesuntukan masa yang Lea hadapi. Oleh itu, Lea harap kengkawan semua dapat terus enjoy dengan sambungan cerita ini dalam bentuk cerpen sahaja dulu. Semoga terus terhibur. Moga kengkawan semua dapat meninggalkan sedikit komen buat Lea untuk tatapan dan penambahbaikkan di masa hadapan.


Ikhlas;

~LeaQistina

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino