Product from Adobe

Jumaat, April 17

Makluman Penukaran Alamat Blog


Dimaklumkan bahawa alamat blog ini telah ditukarkan ke

http://kalamcoretanku.blogspot.com

Lea minta maaf atas segala kesukaran yang dihadapi. Sekian, terima kasih.

Harap maklum.

Ahad, April 12

Cerpen : Kerna Syiqah 2


“Abang, Mar dah siap masak ni. Jom kita makan,” ajak Mar sebaik sahaja dia menjenguk ke bilik. Namun, langkahnya kaku apabila melihat suaminya itu hanya terpaku di atas katil bersama juraian air mata. Tangannya pula kejap mengenggam telefon bimbitnya.


“Eh, kenapa ni bang?” rasa risau mula menerjah di hati Maria apabila melihat keadaan Rashid. Apa yang berlaku? Kenapa suaminya menangis begini?


“Abang...” Maria memanggil lembut suaminya. Bahu Rashid disentuhnya lembut.


Demi merasakan bahunya disentuh, Rashid menoleh lalu terus memeluk erat pinggang Maria. Kejap. Rashid cuba melepaskan kesedihan dihatinya pada isteri tersayang.


“Mar, Syiqah...” ucap Rashid dalam tangisannya. Maria mengusap lembut rambut suaminya. Mendengarkan nama Syiqah disebut, Maria menarik nafas dalam sebelum melepaskannya perlahan.


“Kenapa dengan Syiqah bang?” ternyata Maria tidak dapat menahan bibirnya dari terus bertanya mengenai Syiqah. Akan kembali tergugatkah kedudukan dirinya di hati Rashid?


“Syiqah, ada orang dah ambil dia jadi anak angkat. Lepas ni abang dah tak boleh jumpa Syiqah,” ucap Rashid bersama esakkan. Sungguh hati Rashid sedih dan pilu sebaik sahaja Kak Normah, penjaga Syiqah di Rumah Anak-Anak Yatim Sinar Gemilang menyampaikan berita sedih itu kepadanya sebentar tadi.


Syiqah merupakan kanak-kanak perempuan yang ditemuinya ketika dia melakukan lawatan ke Rumah Anak-Anak Yakin Sinar Gemilang hampir enam bulan yang lalu. Kanak-kanak yang berusia hampir setahun lebih itu datang menerpa di kakinya dan minta untuk didukung sebaik sahaja Rashid melangkah masuk ke ruangan kanak-kanak yang terdapat di situ. Sungguh hati kecilnya tersentuh dengan raut wajah comel itu. Telatah Syiqah yang nakal beserta raut wajahnya yang menenangkan itu sering sahaja mengusik ketenangan hatinya. Sering menjemput rindu bertandang di jiwa yang sarat dengan kasih sayang seorang ayah yang belum pernah terlunas. Mungkin belum rezeki mereka suami isteri untuk mendapatkan zuriat sendiri. Sungguh hatinya tidak pernah mengeluh dan sedih. Namun, kewujudan Syiqah dalam hidupnya seolah-olah sudah melengkapkan segenap rasa dalam ruangan jiwanya.


Maria tersentak mendengar kata-kata yang terluah oleh dua ulas bibir suaminya. Entah mengapa hatinya ini turut dipalu debar. Resah juga turut bertamu di situ. Bukankah sepatunya dia gembira menerima akan perkhabaran itu? Otaknya ligat memikirkan frasa yang sesuai untuk dituturkan pada suaminya itu. Moga lidahnya itu tidak tersilap kata dan tergelincir bicara. Bimbang hati yang sedih bertambah terluka pula jadinya.


“Sabarlah bang. Nanti kita cuba berkenalan dengan keluarga angkat Syiqah. Kemudian, kita kerap-keraplah melawat dia,” pujuk Maria. Pada perkiraannya, mungkin kata-kata itu cukup sesuai untuk memujuk suaminya yang dalam kesedihan itu. Maria sedar kasih sayang suaminya itu terhadap Syiqah sangat mendalam. Mungkin kerana mereka sendiri belum bertuah untuk dikurniakan zuriat.


“Tapi Mar...”


“Ye, kenapa bang?”


“Lepas ni abang dah tak boleh jumpa Syiqah. Kata kak Normah, keluarga angkat Syiqah tu bakal berpindah ke Sabah. Mana mungkin abang boleh berjumpa dengan Syiqah lagi,” ngongoi Rashid lagi. Sungguh sedih hatinya kala mengenenangkan mungkin tiada lagi peluang bertemu Syiqah selepas ini. Alangkah baiknya jika dia dan Maria yang menjadi keluarga angkat pada Syiqah. Pasti anak itu akan dijaga dan dikasihinya sepenuh hati. Rashid yakin, dalam cemburu terselit juga kasih isterinya itu kepada anak kecil itu. Semuanya terserlah ketika dia menemukan keduanya di Rumah Anak-Anak Yatim Sinar Gemilang semalam. Ah! Baru semalam mereka bertiga bergembira bersama. Tidak sangka hari ini segalanya punah. Harapannya musnah.


“Abang, jodoh pertemuan itu kan di tangan Allah. Sekiranya Dia izinkan, bukan setakat bertemu malah mungkin juga Syiqah jadi milik abang. Jadi milik Mar. Jadi milik kita. Sekali Dia berkata ‘Kun Fa Ya Kun’, Insyaallah segalanya akan berlaku. Segalanya hanya terletak antara huruf Kaf dan huruf Nun, abang,” panjang lebar Maria cuba memujuk hati suaminya yang lara itu.


Rashid hanya tersedu di dada isterinya. Hatinya yang rawan kembali tenang mengenangkan sokongan yang diberikan oleh Maria. Ternyata Maria tidak pernah berubah. Masih lagi seorang isteri yang penyayang dan juga seorang isteri yang sangat memahami dirinya. Mungkin tiada rezeki untuk dia terus mendekati dan memiliki Syiqah namun dia masih lagi bersyukur kerana Allah telah pun mengurniakan kepadanya seorang wanita sebaik Maria pada dirinya.


“Eh, abang. Mar terlupa nak bagi tahu abang yang kita ada tetamu malam ni. Abang pergilah basuh muka dulu. Mar nak ke dapur dulu. Agaknya dah nak sampai tetamu-tetamu kita tu,” ucap Maria sebaik sahaja Rashid melepaskan pelukkan di pinggangnya.


“Siapa?” tanya Rashid.


“Adalah. Rahsia,” jawab Maria sambil tersenyum. Sempat juga dia mengenyitkan matanya sekali sebagai tanda mengusik suaminya. Rashid hanya tersenyum melihat telatah isterinya.


***


Sebaik sahaja Rashid keluar dari bilik air, kedengaran suara isterinya yang sedang menjemput tetamu mereka masuk. Sudah sampai rupanya, bisik hatinya. Tapi siapa ya? Entah mengapa hati Rashid dipalu debar tiba-tiba. Siapakah gerangan yang menantinya di bawah?


Baru separuh kakinya melangkah menuruni tangga, matanya telah tertancap pada suatu susuk tubuh comel yang sedang berada dalam pelukan isterinya.


“Syiqah...!” seru Rashid. Dengan rasa tidak sabar, Rashid berlari kecil menuruni tangga menuju ke arah Syiqah dan isterinya.


“Bang, inilah anak kita,” ucap Maria sambil tersenyum manis.


“Tapi...” ternyata Rashid keliru. Pantas wajah Kak Noor yang berada tidak jauh dari tempat mereka berdiri dipandangnya. Matanya memberikan isyarat inginkan penjelasan lanjut. Kak Normah hanya tersenyum.


“Akak tipu Rashid tadi. Marialah ibu angkat Syiqah,” jelas Kak Normah tenang.


“Sungguh?” tanya Rashid dalam rasa tidak percaya.


“Sungguh bang...” akhirnya Maria dan Syiqah tenggelam dalam dakapan Rashid yang berpanjangan.

-----------------------------------------------------------------------

Hola, nampaknya penyakit Lea datang semula. Hehe.. time-time gini bila datang idea mmg Lea tak dapat nak tahan diri dari menulis. Huhu... hope penyakit ni tak berpanjangan. Moga kengkawan semua berpuas hati dengan sambungan Kerna Syiqah ini. Sekian =D

Sabtu, April 11

Cerpen : Kerna Syiqah


Maria berteleku sayu di katil. Hatinya sedih. Hatinya perih. Sampai hati Rashid menduakan dirinya begini. Sedangkan ketika di awal perkahwinan mereka dahulu, Rashid pernah berjanji untuk tidak menduakan dirinya. Ah!! Janji lelaki. Sama saja dengan janji Melayu. Sering dilanggar dan sering juga dimungkiri.


“Penipu!! Pendusta!!” kata Maria dalam esak tangisnya yang semakin layu. Juraian air mata yang mengalir lesu di juring matanya juga diusap perlahan. Ah! Pergilah kau air mata. Tak guna aku menangisi sesuatu yang sia-sia.


Tiba-tiba kedengaran bunyi kereta masuk ke perkarangan rumah. Maria dapat mengagak bahawa suaminya itu sudah pulang. Hatinya yang masih bengkak mengenangkan perbuatan curang itu bertekad untuk tidak mengendahkan suaminya. Biarlah dia melayani lara di hatinya buat seketika. Rashid tidak adil!


“Hai, assalamualaikum sayang,” tegur Rashid pada isterinya bersama suatu senyuman manis dibibir.


Maria berpaling ke arah suara itu. Serta-merta matanya tertancap pada seplastik barangan yang berada di tangan suaminya itu. Huh! Barangan untuk si Syiqah lagi. Hati Maria bertambah bengkak. Salam suaminya itu hanya dijawab di dalam hati sahaja.


Rashid berasa aneh melihat reaksi dan tindak balas isterinya itu. Kenapa dengan Mar?


“Mar, kenapa muram saja ni? Mar tak sihat ke?” tanya Rashid lembut. Penuh prihatin. Rashid mendekati Maria sebaik sahaja dia meletakkan beg kerjanya serta barang-barang yang dibelinya tadi. Sebenarnya hatinya dipagut aneh apabila kepulangannya hari ini tidak bersambut seperti biasa dan Maria juga tidak menyalaminya seperti selalu.


“Ah, tak payah la abang nak buat-buat perihatin pada Mar. Baru hari ni abang nak pedulikan Mar. Selama ni tak pun. Sikit-sikit Syiqah. Syiqah. Syiqah!” Maria menepis tangan suaminya yang cuba menjamah dahinya. Ah! Aku tak perlukan prihatin dari hati yang tak rela. Suaminya itu tiba-tiba begitu prihatin pada dirinya, pasti ada sesuatu yang dihajatinya. Inginkan restu untuk memiliki Syiqahkah?


Terkedu Rashid melihat respon isterinya yang tiba-tiba itu.


“Mar, abang...” belum sempat Rashid memberikan penjelasan, Maria telah bangun dan meninggalkan suaminya itu. Hatinya malas untuk mendengar sebarang dusta dari suaminya lagi.


Rashid terduduk di katil sambil menggelengkan kepala.


Dua hari kemudian...


“Mar, sudah-sudah la tu. Dah tiga hari tau Mar buat-buat tak tahu kat abang. Sampai hati Mar buat abang macam ni,” rungut Rashid. Sedikit rajuk terselit dalam nada suara sayu itu. Maria masih lagi membekukan diri.


“Mar, hari ini kita makan kat luar nak? Abang belanja Mar,” Rashid cuba memancing reaksi daripada isterinya. Sungguh hatinya resah apabila tidak diendahkan oleh Maria sejak tiga hari yang lalu. Rasa rindu usahlah di tanya. Yang membukit kini sudah pun menggunung rasanya. Tidur malamnya juga tidak lagi nyenyak seperti dahulu.


“Mar, dah tiga hari la Mar gini. Sudah-sudah la, jangan la merajuk lagi,” rayu Rashid lagi.


“Oh, dah tiga hari. Habis yang Mar menjeruk rasa sejak enam bulan yang dulu tu abang tak nak kira? Hari-hari saya kena tadah telinga dengar kisah bahagia awak dengan si Syiqah. Awak ingat saya ni hati batukah? Tak ada perasan?!” bentak Maria pula. Sungguh hatinya berang tatkala suaminya mengungkit tempoh dia merajuk diri. Sungguh tidak patut!


“Tapi Mar, Syiqah tu kan...”


No way! Mar tak suka abang lebih-lebihkan Syiqah. Sejak ada Syiqah, semuanya Syiqah baik. Syiqah itu, Syiqah ini,” ungkit Maria pada Rashid. Biar suaminya itu tahu apa rasa hatinya selama ini.


“Tapi Mar, Syiqah tu kan...”


“Mar tak peduli. Abang banyangkan perasaan Mar bila abang cakap ‘tenangnya hati bila tengok Syiqah tidur’. Huh! Sakit hati saya ni bang, sakit!!” sekali lagi Maria memotong cakap suaminya. Akhirnya Rashid hanya mengeluh. Tersinggung benar hati isterinya kali ini. Sungguh dia tidak sangka.


“Hurm... Kalau dah gitu kata Mar, esok abang bawak balik Syiqah. Mar bincang la sendiri dengan si Syiqah. Abang dah malas nak cakap apa dah,” balas Rashid pula. Maria hanya menjeling.


“Abang ni dah tak betul ke? Mar nak bincang apa dengan budak umur setahun lebih tu?” balas Maria pula.


“Habis dah awak cemburu tak fasal-fasal. Semua yang abang nak cakap Mar tak nak dengar. So, esok Mar bincang la sendiri dengan dia,” balas Rashid lagi.


“Ah, malas la Mar. Budak kecik nak buat apa,” kata Maria lagi. Cemberut di mukanya sudah semakin sirna. Entah mengapa hatinya berasa sedikit lucu akan cadangan suaminya.


“Hah, kalau dah gitu sendiri mau ingat la..!” kata Rashid sambil ketawa-ketawa. Maria juga sudah tidak mampu menahan rasa lucu di hati lalu dirinya juga turut ketawa. Entah apa-apa jelah aku ni, getus hati Maria.

“Apa da... dengan baby pun mau jeles ka? Huhuhu...” tambah Rashid sambil ketawa dengan penuh bahagia.


-----------------------------------------------------------------

p/s: citer ni lea tulis sebagai selingan untuk meringankan otak ketika study week ni. Hope kengkawan enjoy ek.. kalau rasa nk komen or complaint seperti biasa, lea sangat-sangat mengalu-alukannya... =D thanx kerana sudi baca citer yang tak seberapa nih...

Rabu, April 8

Pengumuman: Air Mata Hati [ulangan]


Salam sayang buat semua yang mengikuti kisah Air Mata Hati,

Oleh kerana ramai yang bertanyakan kepada Lea mengenai sambungan Air Mata Hati, maka Lea terfikir untuk membuat pengumuman ini sekali lagi.

Untuk pengetahuan semua, manuskrip Air Mata Hati telah pun diterima oleh salah sebuah syarikat penerbitan. Insyaallah, kalau tak ada aral melintang, novel ini bakal diterbitkan nanti. Sehubungan dengan itu, atas permintaan pihak penerbitan Lea tidak lagi boleh menyiarkan sambungan Air Mata Hati.

Buat masa ni, Lea dalam usaha untuk menyiapkan cerita ini. Oleh itu, Lea berharap agar kengkawan semua dapat bersabar ya menantikan penamat bagi cerita ini dipasaran nanti.

Oh ya, Lea juga masih lagi dalam usaha mencari tajuk lain bagi kisah ini. Sekiranya kengkawan semua ada cadangan tajuk bagi cerita ini, Lea mengalu-alukan cadangan daripada semua. Terima kasih Lea ucapkan atas sokongan padu yang diberikan. Sesungguhnya tanpa kengkawan semua, Lea tidak akan mendapat kekuatan untuk meneruskan cerita ini hingga ke penamatnya.

Doakan Lea supaya dapat menyiapkan cerita ini secepat mungkin ya.

Sekian, terima kasih.

Salam sayang buat semua;
~LeaQistina

Sabtu, Mac 7

Cerpen: Pak Eh dan Cik Yam


“Apa lagi yang dimenungkan tu Cik Yam? Sudah-sudah la tu. Yang dah pergi tu tetap pergi. Tak adanya akan kembali lagi dah,” ucap Pak Eh pada isterinya yang kelihatan termenung dijaring jendela rumahnya. Cik Yam menoleh sekilas bersama satu keluhan berat.


“Awak apa tahu Pak Eh. Saya ni. Saya ni yang sakit nak keluarkan budak-budak tu. Saya tak sangka hidup kita malang begini. Anak-anak kita diculik dan dibunuh sesuka hati. Zaman kanibal ke sekarang ni sampai anak-anak kita diperlakukan sebegitu sekali,” bentak Cik Yam. Sungguh hatinya rawan setiap kali mengenangkan nasib anak-anaknya yang dizalimi sesuka hati oleh insan-insan yang tidak berhati perut.


“Cik Yam, redhalah pada takdir. Ingat pada janji Dia. Sabar itu banyak ganjarannya. Tambahan pula anak-anak kita tu pergi di awal usianya. Belum sampai pun balighnya. Balasan syurga yang akan kita dapat Cik Yam kalau kita sabar dan redha dengan takdir yang menimpa,” nasihat Pak Eh pada isterinya. Siapa kata hatinya tidak sedih? Siapa bilang hatinya tidak terasa akan kehilangan anak-anaknya. Saban hari dia menantikan saat anak-anaknya akan riang bermain dihadapan matanya. Yang akan menyambut kepulangannya setiap kali dia pulang ke rumah. Namun, dengan terus bersedih dan meratap begini apakah faedahnya? Hidup tetap perlu diteruskan.


“Awak tak faham Pak Eh. Awak langsung tak faham perasaan saya. Cuba awak bayangkan, di depan mata saya ni saya nampak insan-insan durjana tu ambil anak-anak kita. Diorang tu culik anak-anak kita depan mata saya. Namun, saya langsung tak dapat buat apa-apa. Saya tak berdaya. Sedih hati saya ni Pak Eh. Saya rasa macam saya ni ibu yang tak guna,” luah Cik Yam lagi. Teringat detik-detik perit tatkala melihat anak-anaknya dibawa pergi dengan tanpa rasa belas dan simpati. Di depan dua biji matanya. Sudah puas dia menjerit. Sudah puas dia merayu agar anak-anaknya dilepaskan. Namun tak satu pun usahanya berhasil malah anak-anaknya itu terus dibawa pergi.


“Entahlah Cik Yam. Tak ada apa lagi yang boleh saya katakan pada awak. Ayat yang tinggal hanyalah sabar. Itu saja yang boleh saya katakan Cik Yam. Ingat janji Dia, sabar itu ada ganjarannya,” nasihat Pak Eh lagi ada isterinya. Hatinya yang sedih kini menjadi perit. Perit mengenangkan emosi isterinya yang tidak pernah stabil dan riak wajah yang tidak lagi ceria sejak pemergian anak-anaknya.


“Sabar? Bukan satu anak kita hilang tapi lima Pak Eh. Lima!!” ucap Cik Yam penuh emosi sebelum dia berlalu masuk ke dalam rumah. Sudah malas mahu terus berbicara dengan suaminya yang dirasakan tidak pernah hendak mengerti akan rasa hatinya. Balik-balik sabar, sabar dan sabar. Apa dia tahu tentang perasaan seorang ibu yang kehilangan anak?


“Eh Cik Yam, awak tahu tak awak sekarang ni dah glamour?” kata Pak Eh pada Cik Yam. Sengaja ingin menceriakan hati isterinya yang sedang rawan. Mendung yang terlakar diwajah isterinya turut menghalau bahagia dari hatinya. Tidak sanggup lagi rasanya untuk terus hidup dalam suasana yang suram ini. Suasana suram ini akan lebih menguatkan lagi ingatannya pada arwah anak-anaknya. Walauapa pun yang berlaku, dia perlu menyedarkan isterinya bahawa hidup tetap perlu diteruskan. Allah tak jadikan kita semua semata-mata untuk terus hanyut dalam kesedihan apabila dugaan datang.


Cik Yam hanya menjeling bosan pada suaminya yang sedang tersengih melihatnya. Cik Yam tahu dan sedar akan usaha suaminya itu. Namun dia tidak dapat menipu rasa hatinya. Biar apa pun yang diperkatakan oleh Pak Eh hakikatnya tidak akan berubah. Anak-anaknya kini sudah tiada lagi. Anak-anaknya itu diambil dihadapan mata kepalanya sendiri. Dia sebagai ibu gagal mempertahankan keselamatan anak-anaknya. Itu yang membuatkan hatinya sedih dan tidak dapat menerima hakikat ini. Dia malu. Dia rasa berdosa kerana gagal menjadi ibu yang baik. Gagal menjaga amanah yang Dia berikan.


“Betul ni Cik Yam. Pagi tadi waktu saya keluar pergi kerja, saya jumpa gambar saya dan nama awak pada satu tin makanan. Saya pasti, kat luar sana tu mesti banyak lagi tin-tin macam tu. Glamour kita Cik Yam. Hehe... tapi pelik juga saya macam mana gambar kahwin kita boleh terlepas pada diorang sebab gambar saya pada tin makanan tu sedang pakai baju pengantin kita. Bila saya tengok lama-lama baru saya perasan, kacak juga saya ni ye Cik Yam. Agaknya sebab tu kot awak terpikat dengan saya dulu?” giat Pak Eh pada isterinya. Terubat juga hatinya apabila melihat senyuman yang mula terlakar diwajah isterinya. Benar kata orang, seandainya kita sedang dalam kesedihan, kenanglah nostalgia indah tatkala bersama, insyaallah bahagia itu akan datang dengan sendirinya.


“Awak ni ada-ada jelah Pak Eh,” ucap Cik Yam bersama ketawa nipis. Tiba-tiba sahaja hatinya berbunga tatkala nostalgia indah ketika hari perkahwinan mereka dahulu kembali menjengah. Teringat betapa galaknya Pak Eh ketawa sebaik sahaja mereka berdua sah sebagai suami isteri. Sungguh memalukan. Pengantin buat peragai gila-gila di majlis perkahwinannya. Sungguh, saat itu merupakan salah satu detik terindah yang pernah berlaku dalam hidupnya. Cik Yam terus-terusan tersenyum. Dia semakin tenggelam dalam kenangan lalu.


Cupp!! Satu ciuman singgah di wajah mulus isterinya. Wajah itu direnungnya lama. Wajah itu masih indah dan mendamaikan. Ingat lagi tekadnya ketika dia ingin mencari calon isteri. Dirinya menginginkan seorang isteri yang mempunyai raut wajah yang mampu mendamaikan hatinya tatkala hatinya marah dan tidak keruan. Akhirnya, wajah ini yang hadir dalam mimpinya. Wajah yang sering menjemput damai dihatinya. Wajah yang mempunyai segaris senyuman yang cukup sederhana tetapi sudah mampu mengusir segulung taufan di dalam jiwa. Dirinya cukup bersyukur akan jodohnya ini.


“Saya sayang awak Cik Yam,” ucap Pak Eh dalam nada yang seakan-akan berbisik. Ungkapan itu disebut bersama hantaran perasaan yang sarat dengan cinta, kasih dan sayang. Biarlah apa pun halangan yang mendatang, namun dia sering berdoa agar jodohnya ini terus berkekalan.


Cik Yam tersenyum bahagia.


“Saya pun sayangkan awak Pak Eh,” balas Cik Yam. Tersentuh hatinya mendengar ucapan ikhlas dari bibir suaminya.


“Jom,” ucap Pak Eh sambil mengenyitkan matanya. Cik Yam tersipu malu.


“Nak ke mana Pak Eh?” tanya Cik Yam pula.


“Tak ke mana. Duduk di beranda. Dah lama kita tak berpacaran, kan? Jom la Cik Yam,” beriya-iya Pak Eh mengajak isterinya. Seronok juga apabila dapat menghabiskan masa berdua begini sekali sekala. Selama ini dirinya sibuk mencari rezeki. Dirinya bukanlah orang berada yang boleh bersenang-lenang menggoyang kaki di rumah, dia perlu keluar mencari rezeki untuk isterinya yang tersayang. Sungguh pun insan sekeliling sering mengatakan bahawa mereka ini daif. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun dia tidak kisah asalkan hatinya bahagia dengan kehidupannya. Langsung tiada rungutan pada hidupnya. Malah hatinya lebih bersyukur dengan segalanya.


“Yelah Pak Eh. Jom,” Pak Eh dan Cik Yam berjalan seiringan menuju ke beranda.


***

“Eh Samad, kau perasan tak ayam kat reban nombor tiga tu mandom semacam je sejak minggu lepas?” tanya Malik pada sahabatnya yang sedang khusyuk mengangkat kotak-kotak yang berisi telur-telur ayam yang sudah sedia untuk dipasarkan.


“Aku perasan. Alah biasalah tu, ayam tu kan ayam muda. Baru pertama kali bertelur. Agaknya dia terkejut kot tengok kita ambil telur-telur dia. Lama-lama nanti biasa la dia tu,” ucap Samad dengan selamba.


“Hmm... agaknya la. Hari tu waktu aku nak kutip telur-telur dia, bukan main lagi dia berkokok. Riuh sekampung,” balas Malik pula. Malik berpaling ke arah reban ayam yang tidak jauh dari tempat mereka bekerja. Kelihatan sepasang ayam sedang khusyuk bertenggek di palang reban.


Psst!! Psstt! Malik cuba mendapatkan perhatian sahabatnya.


“Apa?”


“Tu cuba kau tengok ayam kat reban nombor tiga tu, macam bahagia je aku tengok. Tengah dating ke tu?” ucap Malik sambil ketawa.


“Hehe... Agaknya la kot,” ucap Samad pula sambil ketawa.


“Dahlah. Jom kita hantar telur-telur ni. Nanti lambat pulak kita balik,” ajak Samad.


“Jom,” akhirnya lori yang berisi telur ayam itu terus berlalu meninggalkan Pak Eh dan Cik Yam bersama nostalgia mereka yang tersendiri.


--------------------------------------------------------------------------------------

Salam semua,

Hehe... Lea tak tau la kenapa idea ni muncul dalam kepala Lea sejak malam tadi lagi. Cumanya baru pagi ini Lea sempat untuk menulisnya. Idea ini merupakan idea spontan. Diharapkan agar kawan-kawan sekalian terhibur dengan n3 terbaru daripada Lea ini. Terima kasih kerana terus sudi membaca diruangan ini. :D


Ikhlas;

~LeaQistina

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino