Product from Adobe

Khamis, Mei 14

Cerpen: Misi yang gagal


Di tempat kejadian...


“Mike, ada saksi?” tanya Mazlan sambil matanya meliar melihat tempat kejadian.


“Ada tuan. Gadis berumur 12 tahun. Dia berada di hujung sana,” ucap Mike sambil menunjuk ke satu arah. Mazlan memandang ke arah budak tersebut. Dia sedang ditemani oleh Aliza. Kelihatan agak gugup dan wajahnya sedikit pucat.


“Arahkan Aliza untuk tenangkan dahulu budak tersebut sebelum jalankan soal siasat ke atasnya,” arah Mazlan lagi.


“Baik tuan,” ucap Mike sambil mengangguk faham sebelum berlalu.


Mazlan menyarung sarung tangan getah. Kemudian, kit siasatannya di buka. Dia mengambil sisa-sisa makanan yang bersepah menggunakan penyepit lalu dimasukkan ke dalam plastik bukti. Beberapa kesan lain yang terdapat pada pinggan kaca disapu menggunakan putik kapas dan dimasukkan ke dalam sampul bukti yang berbeza. Bahan-bahan bukti tersebut disimpan di dalam kit siasatannya. Mazlan meneliti lagi keadaan ruang tempat kejadian.


“Tuan, cuba lihat ni,” panggil Syamir. Kamera yang dari tadi tidak henti-henti berkelip kini dibiarkan tergantung di lehernya. Kesan yang terdapat pada tombol pintu itu diamatinya.


Mazlan mendekati Syamir. Dia turut sama mengamati kesan yang ditunjukkan oleh Syamir.


“Mungkin itu kesan cap jari,” ucap Mazlan seraya dia mengambil serbuk hitam bersama sebatang berus daripada kit siasatannya. Berus tersebut dicelup ke dalam bekas serbuk hitam tadi. Kemudian, berus tersebut diketuk perlahan demi menanggalkan serbuk tebal yang bersalut pada hujung berus berkenaan sebelum dia menyapu perlahan ke atas kesan tadi.


“Syamir, tolong ambilkan saya slide pelekat,” pinta Mazlan.


“Ini dia tuan,” Syamir menghulurkan slide pelekat tersebut ke pada Mazlan. Dengan cermat Mazlan membuka slide pelekat tersebut lalu dilekapkan ke atas kesan yang telah disapu dengan serbuk hitam tadi. Lekatan tersebut diratakan dan kemudiannya ditanggalkan secara perlahan-lahan. Slide pelekat tadi dilekatkan kembali pada pelekat asalnya supaya kesan yang terdapat pada slide pelekat tadi tidak terganggu. Mazlan menyimpan slide pelekat tersebut ke dalam kit siasatannya.


Syamir meneruskan kembali tugasnya. Mengambil seberapa banyak gambar di tempat kejadian. Mungkin ada beberapa bukti yang bakal mereka dapati daripada gambar-gambar itu nanti.


Mazlan membuang pandangnya ke arah tingkap yang berada tidak jauh daripada tempatnya berdiri. Cermin tingkap nako itu nampak agak senget. Perlahan dia mendekati tingkap tersebut. Dia memerhatikan keadaan bucu cermin nako tersebut. Agak haus. Ada kesan dimasuk dan ditarik keluar secara kerap. Mungkin jenayah ini telah dilakukan beberapa kali sebelum ini.


“Syamir,” panggil Mazlan sambil menunjukkan ke arah cermin nako tersebut. Syamir faham akan arahan bisu tersebut. Pantas dia mengambil gambar cermin tingkap nako tersebut dari beberapa sudut yang berbeza.


Setelah selesai, Mazlan cuba menarik keluar beberapa keping cermin nako yang berturutan. Longgar. Satu per satu cermin nako yang longgar tersebut dikeluarkannya. Lima daripada enam keping cermin nako dapat dikeluarkannya dengan mudah. Kecuali satu cermin nako yang terletak paling atas. Mungkin di sinilah tempat penjenayah tersebut masuk, telah Mazlan sendiri.

Tiba-tiba matanya tertancap pada satu kesan berwarna coklat keperangan yang terlekat pada satu bucu salah satu cermin nako yang dikeluarkannya tadi. Mazlan mengesyaki sesuatu. Pantas dia mengambil putik kapas lalu dicalit pada kesan keperangan tadi. Satu botol yang mengandungi satu bahan kimia ajaib diambilnya. Dia menitiskan cecair tersebut pada hujung putik kapas yang terkesan bahan keperangan tadi. Warna putik kapas berubah biru.


“Positif darah,” ucap Mazlan.


“Mungkin Sarah akan dapat mencari penjenayah tersebut melalui pangkalan data kita tuan,” ucap Syamir pula. Mazlan hanya mengangguk kepala tanda setuju.


“Ya. Tapi ada sesuatu yang membuatkan saya musykil. Sekiranya benar penjenayah tersebut masuk dan melarikan diri melalui tingkap ini, bagaimana pula kesemua cermin tingkap ini boleh berada pada tempatnya? Sekiranya penjenayah tersebut lari menggunakan laluan ini, sudah pasti dia tidak akan sempat untuk meletakkan kembali cermin-cermin nako ini semula,” Mazlan cuba mendapatkan logik di sebalik keadaan itu.


“Mungkin penjenayah ini bukan seorang. Dia ada teman yang membantu,” tokok Syamir pula. Masing-masing cuba mengeluarkan sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku demi mencari logik kes tersebut.


“Tapi, jika benar penjenayah ini bukan berseorangan, macam mana pula penjenayah yang kedua itu hendak keluar? Ini tidak logik,” sangkal Mazlan pula. Pada hematnya, kemungkinan tersebut agak kurang releven. Mereka menarik nafas dalam. Cuba memikirkan lagi kemungkinan lain yang boleh berlaku. Sambil itu, mata mereka meliar memerhatikan setiap kesan yang terdapat di kawasan kejadian. Mungkin mereka akan mendapat kesan lain yang boleh dijadikan klu untuk meneruskan siasatan mereka.


“Tuan, ada seorang budak dijumpai di dalam bilik di hujung rumah ini. Dia mungkin suspek yang kita cari kerana di badannya terdapat kesan kotoran seperti yang terdapat di sini,” ucap Sarah yang datang secara tiba-tiba.


“Di mana dia?” tanya Mazlan pula.


“Telah ditahan untuk siasatan tuan,” balas Sarah pula.


“Baiklah, mari kita pergi,” ucap Mazlan sebelum berlalu bersama Sarah.


***

Di dalam bilik siasatan 1...


“Boleh Cika ceritakan apa yang Cika nampak tadi pada kakak?” soal Aliza setelah melihat keadaan Cika yang semakin pulih dari keadaan gugup. Bibirnya agak menggeletar. Mungkin dia berasa takut setelah segala yang berlaku.


“Apa yang berlaku tadi, Cika?” soal Aliza lagi. Menyedari hakikat bahawa keadaan Cika masih lagi belum betul-betul stabil, Aliza bangun keluar sebentar daripada bilik siasatan itu. Tidak lama kemudian dia kembali bersama segelas air dan beberapa biji gula-gula. Dia meletakkannya di hadapan Cika. Cika meneguk air tersebut. Dan keadaannya berubah tenang.


“Ok, sekarang Cika cerita pada kakak apa yang Cika tahu,” pujuk Aliza lembut. Tangannya memegang erat tangan Cika sebagai tanda sokongan. Dia melihat Cika menarik nafas dalam sebelum menghembuskan nafas secara perlahan-lahan.


“Cika... Cik... Cika nampak orang tu lari keluar ikut tingkap. Masa tu Cika ada di depan. Cika tengok tv. Lepas tu Cika dengar bunyi kaca terhempas ke lantai. Sebab tu Cika pergi ke dapur,” terang Cika dalam nada yang perlahan. Sebutannya juga sangkut-sangkut. Mungkin kegugupannya masih belum menghilang sepenuhnya.


Mazlan mengerutkan dahi. Mustahil. Seingatnya tadi, dia tidak menjumpai sebarang kesan pinggan atau kaca pecah. Tambahan pula keadaan cermin tingkap nako yang masih berada pada kedudukan asalnya. Aneh.


“Cika pasti ada bunyi pinggan pecah?” soal Mazlan pula.


Cika hanya menganggukkan perlahan sebelum dia terus menunjukkan wajah.


“Ada berapa orang yang Cika lihat lari melalui tingkap tersebut?” tanya Mazlan lagi.


“Seorang,” jawab Cika.


“Cika pasti?”


Cika hanya menganggukkan kepalanya.


***

Sementara itu, di bilik siasatan 2 Saufi sedang disoal siasat oleh Sarah dan Mike.


“Saufi, kamu mengaku melakukan jenayah ini?” soal Mike.


“Tak. Aku tak tahu apa yang korang berdua ni maksudkan,” balas Saufi pula. Wajahnya sedikit takut-takut tetapi suaranya tatap cuba dikeraskan supaya kedengaran yakin.


“Habis, bagaimana kesan ini boleh berada pada badan dan pakaian kamu?” soal Sarah pula.


“Aku tak tahu. Mungkin terkena dari mana-mana,” jawab Saufi lagi.


Sarah tidak berpuas hati. Nampaknya suspek mereka kali ini enggan memberikan kerjasama. Matanya terus meliar memerhatikan riaksi dan tingkah laku Saufi. Cuba mencari sebarang keraguan yang mungkin boleh dipersoalkan. Tiba-tiba matanya tertancap lengan baju Saufi yang ditarik hingga ke paras siku. Kelihatan ada garisan luka di situ. Mungkin Saufi terluka semasa ingin melarikan diri, telah Sarah pula.


“Saufi, cuba kamu tarik lengan baju tersebut hingga ke bahu,” arah Sarah.


Saufi kelihatan teragak-agak untuk menarik lengan bajunya. Pada mulanya dia kelihatan seperti ingin akur pada arahan Sarah tetapi secara tiba-tiba dia merubah fikirannya.


“Tak nak. Aku takkan buat apa-apa selagi aku belum dapat peguam,” bantah Saufi tegas.


Sarah menjegilkan matanya.


“Aku ada hak untuk mendiamkan diri, kan? Lagi pun korang tak ada waran nak minta untuk aku buat macam ni,” bidas Saufi lagi. Keberaniannya semakin pulih nampaknya kini.


Sarah melepaskan keluhan berat. Kemudian, dia memandang Mike yang berada di sebelahnya. Mike hanya mengangkat bahu. Saufi benar. Dia berhak untuk berdiam diri dan tidak memberikan mereka sebarang sampel selagi mereka belum ada waran.


“Ok,” ucap Sarah walaupun jauh di sudut hatinya dia masih tidak berpuas hati dengan sesi soal siasat ini. Namun apakan dayanya. Prosedur yang betul harus dipatuhinya. Sejurus kemudian mereka keluar meninggalkan Saufi di dalam bilik siasatan tersebut.


***

“Bagaimana dengan soal siasat suspek tadi?” soal Mazlan pada Sarah dan Mike.


“Dia enggan memberikan kerjasama tuan. Dia minta supaya kita memanggil peguam bagi pihaknya,” jawab Sarah.


“Tapi saya yakin dia adalah suspek yang kita cari,” balas Mike pula.


“Eh, mana boleh cakap macam tu. Belum ada bukti la,” sanggah Syamir pula.


“Tapi kan tangan dia ada luka tu. Betul la...,” balas Mike pula.


“Lah korang ni, mana boleh balas-balas cakap macam ni. Jom la kita buat siasatan dulu. Kalau tak nanti tak real la,” tegur Aliza pula.


“Sudah... Sudah!! Jangan bertekak macam ni. Kata pro tapi bertekak macam ni mana ada pro. Pernah ke korang tengok orang bertelagah macam ni waktu jalankan siasatan? His, apa la korang ni,” marah Mazlan pula. Hatinya kecewa dengan tindak-tanduk orang bawahannya ini. Langsung tidak menggambarkan sikap profesionalisma.


***


“Mazlan, apa yang kamu buat ni? Mak cuma tanya siapa yang makan burger mak tadi. Yang habis berkecah dapur mak ni kenapa?” tanya Puan Saodah sambil bercekak pinggang.


“Err.. Lan dengan adik-adik tengah siasat la ni mak. Tengah cari siapa yang makan mak punya burger tadi,” jawab Mazlan dengan selambanya.


“Banyaklah kau punya siasat. Mak nak korang semua pergi bersihkan balik dapur mak. Habis cermin tingkap dicabutnya. Tombol pintu dapur penuh berbedak. Hah, tu kamu buat apa pulak dengan kamera ayah kamu tu Amir,” marah Puan Saodah. Syamir tersengih.


“Ambil gambar mak. Kumpul bahan bukti,” jawab Syamir pula.


“Astaga. Apa nak jadi dengan anak-anak aku ni. Dah-dah... Mulai hari ni mak takkan bagi korang semua tengok CSI dah. Buat pening kepala mak je...” kata Puan Saodah kepada anak-anaknya. Inilah akibatnya kalau terlalu fanatik dengan cerita tv.


“Alah, boleh la mak,” ucap Mazlan, Aliza, Syamir dan Sarah serentak.


“Tak boleh!!!” akhirnya mereka berempat tunduk lalu pergi ke dapur untuk mengemas dapur yang telah bersepah tadi. Nampaknya, misi mereka untuk mengetahui siapakah penjenayah tersebut gagal lagi.


----------------------------------------------------------------------------

Hola dan salam buat semua,


sorry ye kalau cerita kali ni agak mengarut. Hehe... Lea dapat idea ni secara spontan. Apa pun Lea barharap agar kengkawan semua dapat terhibur. Sekian.



Jumaat, Mei 8

Bintang Untukmu Part 1[b]


Akim terkedu mendengar jawapan yang diberikan oleh Elya. Hatinya pula rasa terharu. Sungguh. Rasa sayangnya terhadap gadis itu makin bertambah-tambah kini. Senyumannya melebar di bibir.


“Tapi bintang yang paling terang tu Akim punya tau,” kata Akim pula.


“Eh, kenapa pulak? Mana aci macam tu. Bintang-bintang tu kan Elya yang kira,” sanggah Elya. Sedikit rasa tidak puas hati muncul apabila Akim mengatakan bintang yang paling terang itu adalah miliknya.


“Memang la Elya yang kira. Tapi Akim kan lelaki. Jadi mesti la bintang yang paling terang tu Akim yang punya,” balas Akim lagi. Elya masih lagi menarik muka. Tidak puas hati dengan jawapan Akim.


“Mana boleh! Apa kaitan antara lelaki dengan bintang yang paling terang pulak?” ternyata Elya masih lagi tidak berpuas hati dengan penerangan Akim. Tidak mampu diterima akalnya.


“Mestilah ada sebabnya sayang oii...”


“Apa?” pintas Elya sebelum Akim sempat menghabiskan ayatnya tadi.


“Sebab Akim lelaki. Sebab lelaki ditugaskan untuk menjadi pembimbing kepada perempuan. Jadi Akim perlu bintang yang paling terang tu supaya Akim dapat menyuluh hidup Elya bila Elya dalam kegelapan nanti. Elya boleh menganggap Akim ni lampu suluh Elya. Faham sayang?” Elya mengerutkan dahinya. Seolah-olah masih lagi tidak boleh menerima penjelasan Akim.


“Elya tak setuju!!” bantah Elya.


“Lah, kenapa pulak Elya tak setuju? Itukan tandanya Akim sayangkan Elya,” balas Akim lagi. Masih cuba memujuk Elya untuk menerima kata-katanya.


“Sebab...” meleret pula kata-kata Elya kali ini. Namun Akim masih sabar menantikan sambungan kata-kata tersebut.


“Sebab lampu suluh tak cukup terang la Akim. Elya nak Akim jadi lampu spotlight untuk Elya. Baru cukup terang,” kata-kata Elya itu berakhir dengan ketawa yang gamat. Akim pula mencerlun geram ke arah Elya.


“Elya!!” tak sangka akhirnya terkena juga Akim pada malam ini. Penat dia mengelak ke kanan dan kiri. Akhirnya dia tetap terkena. Akim juga turut ketawa bahagia mengiringi tawa Elya yang berbunga.


BERSAMBUNG


------------------------------------------------------------------

Salam semua,

sorry yek! Boleh plak Lea tertinggal sambungan kali ni. Hehe... Lea tulis tak habis. Hope enjoy dengan sambungan ni...




Khamis, Mei 7

Bintang Untukmu Part 1


“Assalamualaikum aunty, Elya ada?” ucap Akim sebaik sahaja wajah Puan Azimah terjengul di celah pagar besi pintu utama.


“Wa’alaikumussalam. Oh, Akim rupanya. Aunty ingatkan siapa tadi. Marilah masuk. Elya ada di atas,” jawab Puan Azimah ramah. Dia begitu senang dengan perhubungan yang terjalin antara dua remaja ini. Masakan tidak, tempat pertemuan mereka adalah di rumahnya hanya semasa dia berada dir rumah. Puan Hazimah begitu senang dengan perlakuan dua anak muda yang begitu menjaga batas pergaulan.


“Akim duduk dulu ya, nanti aunty panggilkan Elya turun,” ucap Puan Hazimah lagi seraya dia naik ke atas untuk memanggil anak gadisnya.


Akim hanya mengangguk. Senang hatinya melihat penerimaan Puan Hazimah. Puan Hazimah begitu memahami orangnya. Dia tidak pernah menghalang perhubungannya dengan Elya. Cuma satu yang dipesan oleh Puan Hazimah kepada mereka, “ pandai-pandailah menjaga diri dan ingat nama baik orang tua.” Selebihnya, dia dan Elya harus faham-faham sendiri.


Bunyi berderam dari arah tangga telah menarik perhatian Akim. Akim menoleh. Kelihatan Elya yang kelam kabut turun bersama sebuah senyuman manis. Hatinya yang gembira terpancar jelas dari roman wajahnya.


“Hai, Akim. Dah lama sampai?” ucap Elya sebaik sahaja dia berdiri di hadapan Akim.


Akim berdiri demi menyambut kehadiran kekasih hatinya. Tangannya pula dimasukkan ke dalam poket seluar.


“Hai,” ucapnya mesra. Matanya merenung lembut wajah Elya. Terubat sedikit rasa rindu yang membuak-buak di dalam jiwa.


“Eh, Akim. Jom,” ajak Elya tiba-tiba.


Akim berwajah pelik. Hendak ke mana?


“Nak ke mana?”


“Jomlah...” ajak Elya sekali lagi.


“Mama, Elya nak ajak Akim duduk di beranda boleh tak?” tanya Elya kepada mamanya yang kebetulan melalui ruang tamu untuk ke dapur. Puan Hazimah merenung lembut kedua remaja itu.


“Boleh. Pergilah tapi jangan pulak duduk rapat-rapat. Pintu beranda tu buka luas-luas. Mama tak nak nanti entah apa-apa pulak jadi,” Puan Hazimah memberikan keizinan pada anaknya. Namun, dalam masa yang sama peringatan turut juga diberikan. Dia tidak mahu menjadi ibu yang mengongkong dan dalam masa yang sama juga, dia tidak mahu anaknya itu alpa dengan keseronokan dunia.


“Okey mama. Jom Akim,” ucap Elya sebelum pantas dia berlari menuju ke beranda rumah yang berada di tingkat atas. Akim pula hanya menurut langkah laju Elya.


“Kita nak buat apa kat sini Elya?” soal Akim sejurus mereka tiba di beranda.


“Saja. Malam-malam Elya suka duduk kat sini. Aman je rasa. Segar pulak tu,” Elya menarik nafas dalam sambil mengangkat tangannya tinggi. Cuba menikmati aroma angin malam yang terasa begitu menyegarkan.


Akim hanya tersenyum melihat telatah Elya.


“Comel,” ucap Akim sepatah.


Elya tersentak. Serta merta wajahnya diserbu darah merah. Hatinya malu apabila Akim memujinya begitu. Tangannya yang didepang tinggi tadi pantas diturunkan. Lalu dia melabuhkan punggungnya pada kerusi santai yang berada di situ. Akim juga turut berbuat demikian. Senyumnya makin melebar tatkala melihat wajah Elya yang masih lagi merah. Pemalu sungguh awek aku ni, hati Akim berdesis sendiri.


“Err... Cuba Akim tengok kat sana tu. Cantikkan,” pantas Elya menunjukkan tangannya ke langit. Hatinya segan apabila Akim terus-terusan memandang wajahnya.


Akim menoleh ke arah yang ditunjukkan. Sungguhpun dia tahu itu hanya helah Elya untuk melarikan pandangan matanya. Hati Akim tersenyum. Tapi senyuman hatinya yang lebar bertukar kagum sebaik sahaja matanya tertancap ke dada langit.


“Wah! Cantiknya,” spontan kata-kata itu terlontar dari bibir Akim.


Akim ralit memerhatikan bintang-bintang yang bersinar di dada langit. Ada pelbagai saiz dan berbeza kecerahan bintangnya.


“Banyakkan?” tanya Elya lagi. Akim yang yang masih terpesona melihat keindahan malam itu hanya mengangguk bisu.


“Sebab tu Elya suka duduk kat sini malam-malam. Kalau Elya bosan, Elya kira bintang-bintang tu,” becok sahaja Elya bercerita.


“Oh ye ke, rajinnya Elya kira bintang. Hari-hari Elya kira bintang, berjaya kira sampai habis tak?” sengaja Akim mengusik Elya.


“Entahlah. Aunty pun tak tau dia berjaya kira sampai habis ke tak. Hari-hari kira tapi tahulah kan,” sampuk Puan Hazimah tiba-tiba. Elya dan Akim sama-sama menoleh. Kelihatan Puan Hazimah yang sedang menatang beberapa gelas minuman yang berisi air oren.


Akim tergelak kecil. Elya yang berasa disindir pantas menjelirkan lidahnya kepada Puan Hazimah. Puan Hazimah turut ketawa. Dia tahu anaknya itu cuma main-main dan tidak terasa hati.


“Elya kira sampai habis la mama,” balas Elya pula.


“Yelah tu,” ejek Puan Hazimah sambil ketawa. Kepala Elya diusapnya lembut penuh kasih sayang.


“Kamu boraklah dulu dengan si Elya ni. Aunty turun bawah kejap. Ada kerja yang perlu diselesaikan,” Akim hanya mengangguk sambil tersenyum.


“Betul ke Elya kira sampai habis?” giat Akim pula sebaik sahaja Puan Hazimah berlalu. Keningnya pula sengaja diangkat-angkat. Sengaja hendak mengusik buah hatinya itu.


“Betullah. Akim ingat Elya tipu ya. Tak main la tipu-tipu ni,” pantas sahaja Elya mempertahankan dirinya. Tidak mahu kalah dengan giat Akim dan mamanya.


“Ye ke? Kalau macam tu cuba Elya bagi tahu Akim berapa jumlah bintang yang Elya dah kira,” sengaja dia hendak mencabar Elya.


“Erm... Jap ye. Elya cuba ingat,” jari-jemarinya dilabuhkan ke dagu. Cuba memberi reaksi seolah-olah dia sedang berusaha untuk mengingati.


Akim menunggu dengan sabar.


“Hah! Elya dah ingat. Dua malam lepas ada 4000 bintang. Semalam pulak ada 3596 bintang je. Bilangan dia makin berkurangankan? Entah kenapa. Mungkin sebab ada bintang yang masuk dalam mimpi Elya tapi tak nak balik ke langit kot,” sengaja cuba untuk berseloroh.


“Eh, boleh pulak macam tu. Saja nak mengarut la tu ek?” kata Akim pula sambil ketawa. Elya juga turut ketawa.


“Mana ada,” sangkal Elya. Senyuman di bibirnya masih lagi belum sirna.


“Yelah tu. Kalau macam tu, bintang hari ni pulak ada berapa?” tanya Akim pula. Sengaja hendak melanjutkan bicara kosong Elya.


“Hari ni ada dua je,” pantas Elya menjawab. Dua jarinya pula ditayangkan di hadapan mata Akim. Wajahnya kelihatan bersungguh benar, seolah-olah cuba untuk meyakinkan Akim akan jawapannya tadi.


“Dua je?” Akim bersuara seperti tidak percaya.


“Kenapa?” tanya Akim lagi.


“Sebabnya, cukuplah dua bintang untuk kita. Satu untuk Akim dan satu lagi pulak untuk Elya. Banyak-banyak nanti tak tersimpan pulak kita,” ucapan Elya sarat dengan makna yang tersirat. Sarat dengan hantaran rasa hati yang cuba disampaikan secara halus kepada Akim. Moga Akim faham.


BERSAMBUNG

------------------------------------------------------------------------

Salam buat semua,

Moga terhibur dengan cerita bersiri terbaru daripada Lea.
Sekian, terima kasih.


Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino