Product from Adobe

Khamis, Oktober 16

Makna Kasih Hatiku Bab 1


“Mereka yang lahir pada tarikh 5 dan 17 haribulan adalah seorang yang optimis, bercita-cita  tinggi dan punya kecederungan untuk berprestasi.  Namun begitu dia adalah seorang yang berwatak keras dan apa yang diinginkan selalunya dipenuhi.  Memandang sesuatu selalunya dari segi yang  menguntungkan.  Tapi sayangnya dia suka menganggap remeh pada orang lain.  Dalam soal cinta, berhati-hatilah kerana dia suka bertukar-tukar pasangan”, Syafikah membaca perlahan artikel yang didapatinya daripada internet sebentar tadi.  Hah! Suka bertukar-tukar pasangan?  Biar betul.  Disemak pula nama penulis bagi artikel tersebut.Tiada.  His.. Boleh percaya ke ni?  Takkan la.. Mana ada aku macam tu, bisik hatinya.  Berkerut-kerut dahinya memikirkan kesahihan artikel tersebut.  Ah! Namanya pun ramalan.  Tak betul kot..

Sayup-sayup kedengaran lagu Kuidamkan Rindu, nyanyian Liza Hanim berkumandang dari corong radio milik Kak Tipah, pemilik warung Masam-masam Manis.  Tersenyum Syafika tatkala pertama kali membaca nama warung ini.  Masam-masam Manis?  Macam tajuk cerita P. Ramlee lah pulak.  Mesti peminat setia P. Ramlee Kak Tipah ni agaknya, getus hati Syafika.  Lirik lagu yang sedang berkumandang dihayatinya penuh perasaan.

Yang datang... yang pergi menghilang menanti
Hanya pelakonnya bertukar
Tapi itulah yang terjadi
Kebahagiaan... kekecewaan tiba
Silih berganti tiada yang pasti
Itulah kenyataan yang harus dihadapi

Tidakku... tahu ada insan terluka

Tak ku sedar ramah mesraku
Ikhlas ku disalah terima...
Rupa-rupanya dalam diam ada

Rasa terpendam yang terkilan
Engkaulah diantara temanku tersayang

Seandainya... sejak mula dulu
Kau nyata padaku
Mungkin ini tidak berlaku
Diriku... tak sengaja
Menyakiti temanku yang selalu di hati

Hasratmu yang murni... terkecewa
Kau menghilang tak tahu ke mana...

”Hoi Ika! Jauh kau termenung”, sergah Ezani.  Tersentak Syafika dibuatnya.  Direnung Ezani dan Fakrul secara berselang-seli.  Fakrul dengan muka selambanya manakala Ezani pula dengan sengihannya yang seperti kerang busuk.

”Apa hoi-hoi?  Kau tak reti bagi salam ke Zani?”, tegur Syafika.  Ada sedikit rasa marah disitu.  Almaklumlah, sedang asyik dirinya melayan perasaan, boleh pula si Ezani ini menyergahnya sesuka hati.  Nasib baik jantungnya sihat.  Kalau tidak dah lama jalan agaknya aku ni, desis hati Syafika.  Namun, Syafika sebenarnya sudah masak benar dengan perangai Ezani yang satu itu.  Suka sangat menyergah orang.  Dari dulu sampai sekarang, tak berubah-ubah.  Dari bujang sampai ke kahwin.  Dari status isteri orang dah pun jadi mak orang.  Entahlah.  Syafika menggeleng-gelengkan kepalanya.  Nasiblah kau Ayul dapat bini yang macam ni. 

”Apa yang kau geleng-geleng?”, tegur Fakrul pula.  ”Dah kau tu yang asyik berangan daripada tadi.  Sekarang nak salahkan Hana pulak.  Kan sayang?”, tambah Fakrul lagi.  Ketawa Ezani mendengarkan kata-kata belaan daripada suaminya itu.  Kembang hatinya.

”A’ah”, lantas Ezani mengiyakan kata-kata Fakrul tadi.  Seronok pula mengusik si Syafika ni sekali sekala.  Bukan selalu boleh buat macam ni.  Time mood dia ok boleh la.  Cuba time dia tengah moody or tention.  Huhu.. Mau dia bertukar jadi Alex The Lion King macam dalam cerita Madagascar tu.  Hehe..  Rambut yang elok boleh jadi mengerbang. His.. Takut..

”Kau termenung mengingatkan siapa, Ika?  Ingat kisah silam yang mana satu?”, tanya Ezani nakal sambil menggerak-gerakkan keningnya.  Fakrul pula menayangkan muka menyebuk nak tahu.  Hah! Memang dasar Joyah laki bini dua orang ni.  Sesuai la sangat. Kutuk Syafika di dalam hati.

Namun begitu, senang rasa hati Syafika melihatkan kemesraan Fakrul dan Ezani ketika ini.  Teringat kenangan beberapa tahun dahulu tatkala rumah tangga Fakrul dan Ezani yang kerap bergelojak.  Hari-hari hanya air mata yang mengalir menemati kedua sahabatnya itu.  Syukur segalanya telah pulih kini dan nampaknya mereka hidup gembira.

Fakrul dan Ezani merupakan sahabat karibnya ketika mereka sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.  JKM K11 lah yang telah menemukan mereka semua.  Sekali gus telah menjadikan mereka sahabat yang akrab.  JKM atau Jawatankuasa Kolej Mahasiswa merupakan suatu jawatankuasa yang berfungsi sebagai penghubung dan pengantara antara pihak universiti, kolej dan mahasiswa.  Di UTM terdapat empat belas kolej semuanya dan setiap kolej tersebut mempunyai JKMnya masing-masing.  Ezani, Fakrul dan Syafika merupakan JKM daripada Kolej 11 atau lebih dikenali sebagai Kolej Palapes.  Kolej yang menjadi penempatan wajib bagi para mahasiswa yang menganggotai pasukan tersebut.

”Err.. Kisah silam yang mana satu?  Amboi, banyak sangat ke kisah silam aku ni Zani”, tanya Syafika dengan diiringi oleh suatu ketawa halus.  Ezani berpaling ke arah Fakrul sambil menggerak-gerakkan keningnya.  Fakrul juga begitu.

”Lagi mau tanya, kan sayang?”, balas Fakrul sinis.  Masih lagi berniat untuk mengusik Syafika.

”Hmm.. siapa ya?  Nuar, Rozaimi atau Azriel?  Agak-agak kau kenal tak dengan nama-nama tu Ika?”, tanya Ezani nakal.  Fakrul hanya ketawa.  Begitu juga dengan Syafika.  Tetapi Syafika bukan sekadar ketawa malah ketawa besar.  Mana tidaknya, satu-satu nama insan-insan yang pernah memberikan bekas dihatinya disebut semula oleh Ezani.  Sebenarnya bukan sekadar pernah tetapi kekal memberikan kesan hingga ke hari ini.

Terimbas kembali detik-detik perkenalannya dengan Nuar atau nama penuhnya Mohd Anuar bin Muhaimin pada suatu majlis sambutan hari lahirnya.  Majlis tersebut merupakan kejutan buat Syafika.

”Erm.. Kalau Nuar cakap yang Nuar sukakan Ika macam mana?”, kata Anuar ketika gilirannya untuk menjawab soalan daripada Syafika semasa mereka bermain permainan Truth or Death.  Rahang Syafika terus jatuh ke bawah.  Erk.. Hilang terus rupa ayu yang tak berapa nak ayu ni.  Biar betul mamat ni?  Sewel ka?  Allo apek, you punya kepala ada fius putus ka?  Kenal tidak, tahu pun tidak tiba-tiba suka. Apa ingat ini kisah love at the first sight ka?  Alahai.. Ini bukan cerita Hindustan la apek..

Huhu.. Semenjak daripada pengakuan berani mati oleh Anuar tempoh hari.  Syafika sudah mula memanjangkan langkahnya.  Pantang Anuar dekat selangkah.  Beribu batu dia akan cuba lari.  Mak oi! Marathon ke ape.. Hehe.. Syafika ketawa sendiri apabila teringatkan kembali kisah dia bersama Anuar dulu.

”Hoi!! Berangan lagi ke?!”, sergah Ezani sekali lagi. 

”Eh.. Eh.. budak ni.  Aku pang jugak karang.  Berangan tak habis-habis.  Dah tu gelak sorang-sorang.  Kalau ajak aku join tak apelah jugak”, sambung Ezani lagi.  Ops.. dah pandai membebel rupanya aku ni.  Hehe.. berkat tunjuk ajar ’sifu’ku yang tersayang.

”Kaulah ni.  Siapa suruh sebut-sebut nama diorang.  Dah buat aku teringat balik kat diorang.  Kang kalau aku nangis macam mana?”, balas Syafika pula.  Merajuk.  Mundungnya ditarik panjang.  Eh.. Macam Ridsect pula ada mundung-mundung berkembar nih! Aladoi.. Muncung la Syafika..

”Ha.. Ika, tarik panjang sikit lagi moncong kau tu boleh tak?  Kita orang ingat nak buat penyangkut toys si Dania”, hahaha.. ketawa besar Ezani mendengarkan kata-kata suaminya itu.  Lantas ditampar perlahan bahu suaminya.  Bimbang Syafika bertambah merajuk.

Tersenyum Syafika mendengarkan kata-kata tersebut.  Dania Atikah.  Buah cinta Fakrul dan Ezani yang kini berusia setahun setengah.  Keletahnya yang manja dan nakal sentiasa membuatkan hati Syafika yang rawan menjadi tenang.  Dania.. Rindu pulak aunty rasa kat kamu..  Nanti Aunty Ika datang bawak toys ek..?

”Huh! Korang berdua ni.  Bukan nak pujuk aku.  Mengusik lagi adalah”, kata Syafika sambil tersenyum.  Dah tak jadi nak merajuk.  Takut nanti lagi teruk aku dikenakan oleh dua makhluk dihadapannya kini.

”Tak dak masa!!”, balas Ezani dan Fakrul serentak.  Pecah ketawa mereka bertiga.  Wah! Rindunya rasa dengan suasana begini.  Teringat kisah sewaktu mereka masih menjadi JKM dahulu.  Setiap malam setelah tamat mesyuarat atau aktiviti lain JKM, mereka akan berkonvoi beramai-ramai menuju ke Bangunan P19, Fakulti Kejuruteraan Elektrik untuk makan-makan.  Dapat roti bom sekeping, teh tarik segelas dan beberapa bakul otak-otak sudah cukup untuk membuatkan mereka berborak selama berjam-jam dan kadang-kalanya sehingga pagi.  Indahnya detik waktu itu.

Setelah beberapa ketika mereka ketawa dan terus ketawa.  Sehingga terbit air mata.  Akhirnya barulah ketawa mereka reda.  Perlahan-lahan Ezani mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya.

”Sebenarnya, kita orang ajak jumpa hari ni sebab nak sampaikan amanah orang.  Dia suruh kita orang sampaikan ni”, kata Ezani sambil mengunjukkan satu sampul surat kecil berwarna merah jambu.  Dengan hanya sekali pandang sahaja semua orang boleh meneka.  Apakah itu?  Cuma yang menjadi persoalannya, daripada siapa?

”Eh, siapa punya ni?”, tanya Syafika.  Namun, sampul surat di tangan Ezani masih tidak diambilnya.

”Bukalah”, gesa Fakrul pula.  Ezani menolak sampul tersebut dihadapan Syafika.  Syafika hanya memandang kosong sampul tersebut buat beberapa ketika.  Entah mengapa hatinya berasa berat untuk menyentuh sampul tersebut. 

”Ambillah Ika.  Buka.  Takkan kau tak nak tahu siapa kan? Dia kawan-kawan kita juga”, pujuk Ezani perlahan.

Perlahan-lahan Syafika membuka sampul kecil tersebut.  Serta-merta bau semerbak dari kad tersebut terus menerjah masuk ke rongga hidungnya.  Kad dibuka dan nama pengantin di dalamnya ditenung lama.  Perlahan ada air mata lesu yang mengalir dijuring matanya.

”Ika, kau ok?”

Air Mata Hati Bab 8


“Alah sayang.. Kita nak pergi honeymoon. Kenapa nak bawak laptop pulak”, rungut Fakrul ketika melihat Ezani menjinjit laptopnya untuk dibawa bersama.

“Zani kenalah bawak abang. Mana tahu anak-anak buah Zani perlukan Zani waktu Zani tak ade nanti”, jawab Ezani. Ada nada memujuk di situ.

“Abang bawak sayang pergi honeymoon bukan nak tengok sayang buat kerja. Abang nak sayang bagi full concentration pada abang”, balas Fakrul dalam nada tidak puas hati.


“Ok gini. Abang benarkan Zani bawak laptop ni and Zani janji pada abang yang abang takkan perasan pun bila Zani on laptop ni. Boleh?”, Ezani cuba tawar-menawar dengan suaminya.


“Ok fine. Tapi kalau sayang mungkir janji, sayang tau kan apa yang abang akan lakukan?”, Fakrul masih lagi mengingatkan akan ugutannya tempoh hari.


“Walaupun contact guna phone. Abang tak nak dengar sayang cakap fasal kerja. Tau?!” sambung Fakrul lagi.


“Ye bang. Zani janji”


“Alah.. janganlah guna Zani lagi..
Hanna la”, rengek Fakrul lagi.


“Ya Allah.. kenapa suami Hanna ni manja sangat ni? Hmm?”, ingin sahaja disambung “abang nak Hanna mati ke? Mati penat layan kerenah abang..”. Tapi Ezani tak mahu ambil risiko. Bimbang suaminya itu berkecil hati lagi. Sabar jelah hati. Manja suaminya yang berlebihan ini kadangkala menyebabkan Ezani makan hati sendirian.


Fakrul hanya tersenyum senang mendengar leteran ringkas Ezani itu.


Setibanya mereka di Tokyo, Jepun Ezani memberikan sepenuh perhatiannya kepada Fakrul. Segala kehendaknya diturutkan sahaja. Bahagia menyelubungi perasaan mereka berdua. Sudah empat hari mereka menikmati cuti bulan madu yang sangat indah di Jepun. Fakrul perasan kesihatan Ezani agak kurang memuaskan. Kadangkala Ezani kelihatan sangat pucat. Namun begitu bibir yang pucat itu masih lagi mengukir senyuman yang manis buat dirinya. Sungguhpun hatinya senang dengan senyuman Ezani namun hatinya dijerut bimbang. Pernah disuarakan kebimbangannya itu kepada isterinya.


“Sayang, kenapa bibir sayang pucat sangat ni?”, tanya Fakrul lembut setibanya mereka di bilik hotel selepas pulang dari Disneyland. Dioles-oles bibir isterinya menggunakan jari.


“Eh mana ada”, Ezani cuba mengelak untuk menjawab soalannya.


Raut wajah Ezani Fakrul renung tajam.


“Erm.. perubahan cuaca kot”, Ezani cuba memberikan suatu jawapan yang logik. Ezani tahu, selagi Fakrul tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikannya. Selagi itulah Fakrul akan menagih jawapan darinya.


“Betul ke?”, Fakrul masih meragui jawapan isterinya.


“Betul. Kenapa pula sayang nak tipu abang..”, sengaja ditekankan pada perkataan betul. Moga Fakrul tidak banyak bertanya lagi.


Terus Fakrul mencium-cium pipi isterinya. Kemudian beralih ke dahi, pipi dan akhirnya bibirnya singgah lembut ke bibir isterinya. Lama bibirnya disitu. Ezani membalas lembut.


Hari ini telah genap empat hari mereka berada di Tokyo. Pagi itu Fakrul hanya memesan sarapan ke bilik. Fakrul dan Ezani menikmati sarapan mereka sambil berbual-bual.


“Sayang, hari ni abang tak nak pergi mana-mana. Abang nak bersama sayang je hari ni tau”, Fakrul mula merengek untuk dilayan. Ezani hanya tersenyum pada Fakrul. Mereka terus menghabiskan masa berdua di bilik. Tiba waktu makan tengah hari, Fakrul akan membuat tempahan melalui perkhidmatan room service. Ezani dilayan seperti seorang puteri sepanjang hari itu.


Perlahan-lahan tangan Fakrul dialihkan. Rambut suaminya diusap perlahan dan kemudian suatu kucupan singgah di dahi suaminya. Nyenyak betul tidur suaminya itu persis seorang bayi lagaknya.

Fakrul terasa ada ciuman terpahat di dahinya. Matanya terbuka sedikit.


“Sayang nak pergi mana?”, tanya Fakrul dengan suara yang serak akibat baru bangun tidur. Jam di dinding dikilas sebentar. Pukul tiga pagi.


“Abang tidurlah. Sayang nak pergi bilik air sekejap”, balas Ezani lembut.


Fakrul mengangguk sedikit tanda faham lalu disambung semula tidurnya. Ezani menarik selimut hingga menutupi dada suaminya. Sekali lagi ciuman terpahat di dahi suaminya.


“Hanna cintakan abang”, kata Ezani perlahan.


Perlahan-lahan Ezani menjinjit laptopnya masuk ke dalam bilik air. Pintu bilik air ditutup perlahan. Bimbang mengganggu tidur suaminya. Laptopnya diletakkan di atas batu dihujung kaki tab mandi. Lalu Ezani masuk ke dalam tab mandi dan memulakan tugasnya. Hasil maklum balas yang diterima daripada anak buahnya perlu dilakukan analisis secepat mungkin. Bimbang jadual latihan untuk tahun hadapan lambat dikeluarkan. Setiap analisis latihan tersebut dilakukan dengan penuh teliti. Bimbang sekiranya berlaku sebarang kesilapan maka keputusan pemilihan latihan yang bakal dijalankan nanti akan tersasar. Bimbang akan memberikan kerugian kepada pihak syarikat. Mungkin bagi sesetengah pihak, unit latihan ini adalah suatu unit picisan yang tidak ada nilainya. Sebenarnya unit latihan merupakan nadi dalam kejayaan sesebuah organisasi. Sekiranya latihan yang diberikan itu adalah salah maka latihan yang dijalankan tersebut tidak mungkin mampu memberikan impak yang positif terhadap produktiviti syarikat. Menyedari akan kesan tersebut terhadap syarikat maka Ezani melakukan tugasnya dengan penuh tekun dan amanah.


Mujur juga syarikatnya menjalankan analisis keperluan latihan secara kelompok jawatan. Ini bermakna, setiap jawatan yang terdapat di dalam syarikatnya akan dikelompokkan mengikut persamaan kepada tanggung jawab hakiki. Oleh itu kuranglah sedikit bebanan tugas untuk melakukan analisis memandangkan bilangan anak buahnya yang berada di dalam Unit Latihan hanyalah enam orang. Jika syarikatnya melakukan analisis jawatan, alamatnya tempoh enam minggu yang diberikan oleh pihak pengurusan adalah tidak mencukupi.


Fakrul meraba tempat kosong disebelahnya dengan mata yang masih terpejam. Niat dihati ingin meraih Ezani ke dalam pelukannya. Namun, di mana Ezani? Sudah pukul berapa ni? Dalam pandangan mata yang masih kabur, Fakrul merenung jam di dinding. Enam setengah pagi. Mana Hanna? Takkan masih lagi berada di bilik air? Buat apa lama-lama di bilik air.


“Sayang..”, panggil Fakrul perlahan.
Namun tiada sahutan dari Ezani. Fakrul mula berasa bimbang. Ke mana Ezani? Fakrul bingkas. Baju tidurnya diikat kemas. Tempat pertama yang ditujunya adalah bilik air. Fakrul dapat melihat biasan cahaya dari dalam bilik air tersebut.


“Sayang..”, panggil Fakrul lagi. Namun panggilan tersebut masih lagi tiada sahutan.
Dengan menggunakan satu jari Fakrul menolak sedikit pintu bilik air tersebut. Tidak berkunci. Terus pintu bilik air itu ditolak kuat. Kelihatan Ezani yang telah terlentok di dalam tab mandi dengan tanggannya memegang beberapa helai kertas. Laptop dihadapannya juga masih terbuka.


“Ya Allah”, Fakrul menutup mulutnya. Fakrul mengambil sehelai kertas yang berada di sebelah laptop tersebut lalu dibacanya perlahan.

Catatan:
Progress pada 16 hingga 19 November – Selesai ikut jadual.


16 November. Fakrul berkira-kira sendiri tarikh tersebut di dalam kepalanya. Itu tarikh mereka tiba disini. Apakah makna semua ini? Adakah setiap malam ketika dirinya sedang nyenyak tidur, Ezani curi-curi menyelesaikan tanggungjawabnya terhadap kerja yang tertangguh?


Ya Allah.. Sayang?! Apa yang abang dah lakukan pada sayang? Fakrul baru tersedar akan sikap penting dirinya terhadap Ezani. Teringat akan ugutannya terhadap Ezani sebelum mereka menjejakkan kaki di bumi yang terkenal dengan bunga Sakura ini. Teringat janji Ezani pada dirinya. Sampai begitu sekali Hanna sayangkan abang.


Maafkan abang sayang. Abang lupa yang sayang juga ada tanggungjawab lain pada tugas sayang.
Abang lupa pendirian sayang yang tidak suka melakukan tugas sambil lewa. Abang hanya pentingkan diri. Maafkan abang sayang. Fakrul menyesali segala tindakannya kini.


Niat dihati ingin menggembirakan hati isterinya. Rupa-rupanya dirinyalah punca Ezani menderita selama ini. Maafkan abang sayang..


Perlahan kepala Ezani yang terlentok itu diusapnya. Namun baru sahaja tangannya menyentuh dahi Ezani, tapak tangannya terus ditarik kembali. Panasnya.. Ezani demam!


“Sayang.. bangun.. Kenapa tidur di sini..?”, tanya Fakrul perlahan sambil menepuk-nepuk lembut pipi isterinya. Namun Ezani langsung tidak memberikan sebarang respon.


“Sayang.. bangun.. Jangan buat abang risau macam ni”, Fakrul berkata-kata lagi. Melihatkan Ezani yang masih lagi kaku di situ Fakrul mula panik. Rasa risau mula bergulung-gulung di dalam diri. Serasa bagaikan ingin pecah dadanya menahan rasa risau yang menjengah. Pelbagai telahan buruk muncul dibenaknya. Ya Allah janganlah diapa-apakan isteri ku ini. Pantas tubuh Ezani yang kecil itu dicempung lalu dibawa menuju ke katil.


“Sayang..”, tidak henti-henti Fakrul memanggil isterinya. Hati Fakrul tidak tahan lagi melihat keadaan Ezani yang sebegitu. Lantas tangannya mendail ke meja reception dan meminta supaya dihantar seorang doktor ke biliknya.


“Sayang.. bangunlah.. Jangan buat abang risau”, panggilannya itu hanya sia-sia belaka. Ezani masih belum sedarkan diri. Menitis jua akhirnya air matanya.


Lima minit kemudian, kedengaran loceng pintu. Tergesa-gesa Fakrul membukakan pintu tersebut dan meminta doktor tersebut supaya merawat Ezani. Setelah diberikan satu suntikan, Ezani akhirnya membuka mata. Perkara pertama yang singgah di penglihatan Ezani adalah wajah suram dan risau suaminya. Bersama-sama suaminya itu terdapat satu wajah asing. Ada steteskop yang tergantung di lehernya. Mungkin doktor telahan hati Ezani. Tidak lama kemudian mata Ezani kembali terpejam. Berat sekali matanya dirasakan pada waktu itu.


“Tidurlah sayang”, Fakrul berbisik lembut ke telinganya. Kata doktor tersebut, Ezani pengsan akibat kurang rehat. Demamnya akan kebah setelah diberikan rehat yang sempurna. Beberapa perskripsi ubat juga telah diberikan oleh Doktor Takeshi sebelum meninggalkan bilik tersebut. Sebelum pulang, Doktor Takeshi berpesan sekali lagi supaya memberikan Ezani rehat yang secukupnya. Fakrul mengangguk tanda faham.


Percutian yang disangka bakal membuahkan bahagia rupa-rupanya menjerut tangkai hatinya. Ya Allah! Kenapa lain yang aku harapkan tetapi lain yang jadinya? Di mana silapnya aku oh Tuhan? Fakrul teringat keadaan Ezani semasa sakit di Jepun dulu.


“Abang ampunkan Hanna. Hanna dah janji Hanna takkan biarkan abang nampak Hanna dengan kerja pejabat sepanjang kita disini. Ampunkan Hanna”, dalam keadaan yang masih lemah Ezani mencapai tangan Fakrul lalu mengucupnya perlahan tanda meminta ampun.


“Abang janganlah tak makan ye.. Hanna risau kalau abang sakit”, kata Ezani lagi dalam nada yang sayu. Demi Allah, sungguh Ezani takut andai Fakrul menunaikan ugutannya sebelum mereka berangkat ke Jepun dahulu. Teringat segala-gala janjinya pada Fakrul. Ya Allah bersalahnya aku.


Hampir menitis air mata Fakrul mendengarkan kata-kata isterinya itu. Dalam keadaan yang sakit dan lemah itu, Ezani masih lagi memikirkan akan kebajikannya. Ya Tuhan, berdosanya aku. Perlahan Ezani didekati. Badan Ezani dirangkul lembut tetapi kejap. Sekejap hatinya kini yang terikat bersama hati isterinya itu.


“Shh.. sayang. Dengar sini, sayang tak perlu minta maaf. Abang yang salah. Abang terlalu pentingkan diri. Cinta abang buat sayang telah menjadikan abang tamak. Abang tamakkan perhatian sayang. Abang tak mahu kongsi perhatian sayang dengan sesiapa pun. Walaupun pada kerja sayang. Abang takut untuk rasa terpinggir”, jelas Fakrul. Ezani mendongakkan wajahnya. Matanya merenung lembut ke wajah Fakrul.


“Selama ini abang rasa terabai?”, tanya Ezani lembut. Sungguh hatinya rasa bersalah andainya suaminya itu berasa begitu.


“Tak. Abang tahu sayang tak pernah mengabaikan abang tapi hati abang tetap tak dapat terima bila abang sedar selain abang ada lagi perkara lain yang menjadi priority sayang”, balas Fakrul pula.


Terkedu sebentar Ezani mendengar kata-kata Fakrul. Hati Fakrul tak dapat terima? Maknanya Fakrul tak redha. Jika Fakrul tak redha maksudnya aku berdosa. Apa yang perlu aku lakukan?


“Abang nak Hanna letak jawatan ke?”, tanya Ezani setelah beberapa detik berfikir. Jika diikutkan hatinya, Ezani tidak sanggup melepaskan jawatannya. Kerjanya. Cita-citanya. Minatnya. Namun demi cinta hatinya ini Ezani sanggup melakukan apa sahaja. Asalkan Fakrul berbahagia. Itu adalah tekadnya.


Fakrul pantas menggelengkan kepalanya tanda tidak bersetuju dengan pertanyaan Ezani itu. Tidak. Dia tidak mahu merebut satu lagi kebahagiaan Ezani. Dirinya tahu Ezani sangat gembira dengan pekerjaanya sekarang. Aku tidak boleh mementingkan diri lagi sekarang, desis hatinya. “Abang tak mintak sayang berhenti kerja. Cuma abang harap sayang tak akan lupakan abang bila dah khusyuk bekerja”.


“Err.. tapi abang macam tak redha”


Fakrul meletakkan dua jarinya dibibir Ezani. Tidak mahu Ezani terus bersuara. “Abang redha sayang. Jangan risau. Cuma..”, tengok, mesti nak ada cuma.. cuma.. tak redha lah tu.


“Cuma apa bang?”, tanya Ezani tidak sabar. Lama sungguh rasanya perkataan cuma itu tergantung begitu sahaja.


“Cuma sayang janganlah layan si Iqram dengan Zayed tu lebih-lebih. Abang cemburulah”, ketawa Ezani mendengarkan butir bicara yang keluar dari bibir suaminya itu. Itu yang dirisaukan suaminya rupanya. Hehe.. Pandai jugak cemburu suami aku ni eh?
Desis hati Ezani nakal.


“Lah itu rupanya. Apalah abang ni?
Zani kan dah kahwin dengan abang. Kalau Zani layan diorang pun nak buat apa. Bukan boleh buat madu abang pun”, terdengar ketawa halus Ezani dihujung kata-katanya. Sengaja ingin melihat reaksi suaminya.


“Ha.. tengok.. tengok.. Baru je cakap nama Iqram dengan Zayed. Sayang dah bahasakan diri Zani. Bukan Hanna. Kan betul abang cakap. Kenapa sayang dah tergoda ke dengan Zayed dan Iqram tu? Sampai hati Zani nak madukan abang. Handsome sangat ke diorang tu?”, ketawa besar Ezani mendengarkan ayat Fakrul itu. Ada ke patut? Aku mana boleh nak madukan dia. Dia madukan aku bolehlah! His.. simpang malaikat empat puluh empat. Tak nak aku dimadukan..


Bengang aje Fakrul melihat Ezani yang seronok mengetawakan dirinya. Hatinya sarat dengan rasa cemburu. Rasa macam nak dicium-cium saja bibir Ezani itu. Tak payah lepas-lepas. Supaya puas hatinya. Tak sanggup mendengar ulas bibir isterinya itu menyebut nama lelaki lain selain dirinya.


Ketawa Ezani masih sarat. “Memang handsome pun diorang tu bang”, tajam mata Fakrul merenung Ezani yang masih ketawa. Renungan itu lebih merancakkan lagi ketawa Ezani. Rajuk Fakrul itu betul-betul menyegarkan dirinya yang terasa lemah tadi.


“Tapi..”, sengaja Ezani buat-buat suspen. Muka Fakrul turut penuh tanda tanya.


“Tapi apa?”, Fakrul semakin tidak sabar.


“Tapi abang jangan risaulah. Walau pun abang ni tak handsome tapi sayang takkan beralih pada orang lain. Paling-paling pun minat-minat gitu jer”, Ezani masih lagi ingin mengusik.


“Au.. Aah.. sakit lah abang ni”, jerit Ezani bila tangan Fakrul mencubit pipinya. Kuat. Alamatnya merahlah pipi aku.


Huh! Puas hati aku. Suka-suka je dia nak sakat-sakat aku eh? “Padan muka”, ejek Fakrul.


Hehe.. Macam kanak-kanak la suami aku ni. Pipinya yang masih pijar digosoknya perlahan. Ezani tidak marah kerana Ezani tahu dirinya juga bersalah kerana menyakat suaminya begitu. Perlahan-lahan Fakrul memegang tangan Ezani yang asyik menggosok pipinya yang merah. Fakrul tunduk menciup pipi Ezani yang merah akibat cubitannya tadi. Lama. Ezani pejamkan matanya.


“Sakit lagi sayang?”, tanya Fakrul setelah menjarakkan wajahnya. Ezani hanya menggeleng.


“Abang, walau apa pun yang berlaku sayang tetap takkan berpaling dari abang. Selagi abang perlukan sayang. Selagi khidmat sayang abang ingini. Selagi itulah sayang akan berada disisi abang”, terharu Fakrul mendengarkan kata-kata isterinya itu. Sungguh tidak disangka.


“Abang, kalau satu hari nanti abang rasa macam dah tak boleh nak redha dengan pekerjaan sayang. Abang bagi tahu Hanna ye. Hanna akan meletak jawatan secepat mungkin. Walau Hanna sayangkan kerja Hanna tapi Hanna cintakan abang lagi. Selamanya. Walaupun abang bukan bersama Hanna lagi”, pantas Fakrul berpaling melihat wajah Ezani. Kenapa Ezani cakap macam tu?


“Kenapa sayang cakap macam tu?”


“Abang, macam yang Hanna katakana dulu. Seandainya tiba-tiba hati abang menginginkan Nina kembali. Teruskanlah bang. Hanna rela. Tiada lain yang Hanna harapkan melainkan Hanna ingin melihat kebahagian memenuhi hidup abang. Bukan penderitaan. Derita abang biar Hanna yang tanggung. Bahagia Hanna abang ambillah. Cuma pada waktu itu, Hanna harapkan supaya abang lepaskan Hanna”, tulus Ezani menuturkan katanya. Mengalir air mata Fakrul mendengar bait bicara itu. Lembut tetapi begitu menusuk hati.


“Sayang, jangan ungkit fasal Nina lagi boleh?”, pinta Fakrul.


Ezani tersenyum sambil mengusap lembut pipi Fakrul yang basah dengan air mata. “Baiklah abang. Tetapi abang ingat ye kata-kata Hanna tadi. Insyaallah Hanna akan tunaikannya”.


Terasa ada air hangat yang menodai wajahnya Fakrul tersedar. Ya Allah! Aku menangis rupanya. Tulus benar hatimu sayang. Semoga jodoh dan bahagia kita berkekalan sayang. Doa Fakrul dalam hati. Gambar Ezani yang berada di atas mejanya diambil dan dicium perlahan. Hanna, abang cintakan sayang! Jerit hati Fakrul.

----------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Air Mata Hati Bab 7


Lima minit kemudian Ezani kembali ke bilik. Dilihatnya ubat masih belum bersentuh. Ezani menggelengkan kepala tanda kesal. Suaminya itu memang degil. Sakit-sakit begini pun masih nak menunjukkan keras kepala. Entahlah..

Perlahan-lahan Ezani menghampiri suaminya. Lalu botol ubat yang berada di meja sisi tersebut diambil dan disuapkan ke mulut suaminya. Renungan mata Fakrul ke wajahnya tidak diendahkan.

“Abang baringlah,” Fakrul hanya mengikut kata-kata isterinya itu. Hatinya sayu melihat wajah Hanna begitu. Mengapalah mulutnya boleh tersasul menyebut Nina sebentar tadi? Fakrul menyumpah-nyumpah dirinya di dalam hati. Sudah tentu hati isterinya tercalar sebentar tadi. Makin sukarlah untuk dirinya memujuk isterinya selepas ini. Terasa tangan Hanna yang melurut-lurut lembut rambutnya. Dan akhirnya mereka sama-sama terlena.

Fakrul terjaga. Dikerlingnya jam di meja. Pukul 3 pagi. Ya allah!! Ezani masih lagi berada di sebelahnya. Tidur terduduk di atas lantai dengan tangannya masih lagi dikepalanya. Terserlah benar kasih sayang isterinya itu. Teringat kenangan malam tadi. Teringat bahasa diri yang digunakan oleh isterinya. Abang dan Hanna.. Fakrul tersenyum seketika. Namun, senyuman itu sirna tatkala teringat ketersasulan mulutnya malam tadi. Perlahan-lahan Fakrul bangun dan mencium lembut dahi isterinya. Penuh kasih.

“Sayang.. kenapa sayang sering saja salah faham dengan niat abang. Kenapa sayang tidak mahu mengerti bahawa hanya sayang berada di hati abang kini. Tiada lagi Nina. Hanya sayang sorang,” kata Fakrul lagi seraya mencium perlahan bibir isterinya. Lama.

“Maafkan abang kerana buat sayang risau. Terimalah abang sayang,” rintih Fakrul seolah-olah Ezani dapat mendengar akan luahan hatinya itu. Perlahan-lahan Fakrul bangun dan mengangkat Ezani naik ke katil. Risau juga dia melihat Ezani tertidur duduk di lantai. Silap-silap demam pula Ezani ni nanti. Setelah menyelimutkan Ezani hingga ke paras dada. Kemudian Fakrul pula mengambil tempat di sebelah Ezani. Perlahan ditarik Ezani tidur dilengannya. Setelah puas mencium rambut dan kepala isterinya, akhirnya Fakrul terlelap kembali.

Pabila azan Subuh berkumandang Ezani terjaga. Terasa ada tangan yang memeluk dirinya. Ezani terkaku seketika. Terasa kasih suaminya itu meresap ke dalam diri. Entah mengapa kadangkala dirinya seakan dapat merasakan bahawa suaminya itu telah benar-benar menyayanginya tetapi sebahagian hatinya pula masih lagi ragu. Setelah agak lama termenung di dalam pelukan Fakrul, Ezani akhirnya dengan perlahan mengalihkan tangan suaminya itu. Fakrul terjaga. Pantas Fakrul memegang tangan Ezani. Kejap sekali. Ezani terkedu.

“Sayang.. Maafkan abang. Bukan niat abang nak merisaukan sayang semalam. Abang hanya inginkan perhatian daripada sayang. Bukan orang lain. Hanya sayang yang abang dambakan.. Hanya sayang..” serentak dengan itu Fakrul mencium pipi dan dahi isterinya seraya melepaskan isterinya.

“Marilah kita solat subuh bersama. Permintaan abang insyaallah akan Hanna fikirkan,” balas Ezani tenang setelah agak lama menyepikan diri.

Alhamdulillah.. Getus hati Fakrul. Walaupun Ezani masih lagi belum menyatakan persetujuannya untuk terus hidup bersama. Namun, bunga-bunga harapan di hati Fakrul telah pun mekar. Tersiat juga senyuman lega di bibirnya.

Setelah membersihkan diri, Fakrul dan Ezani sama-sama menunaikan kewajiban ke hadrat Illahi dengan penuh khusyuk dan tawaduk. Di akhir solat, panjang doa yang dipanjat oleh Fakrul. Di pinta dibukakan hati isterinya untuk menerimanya dan juga keharmonian keluarganya.

“Ya Allah Ya Tuhanku yang maha pengasih dan penyayang. Sesungguhnya aku sebagai hamba-Mu dengan penuh rasa rendah diri ingin memohon dari pada-Mu kebahagian kami sekeluarga. Kau bukakanlah hati-hati kami untuk saling sayang menyayangi. Kau rahmatilah Ibuku. Kau rahmatilah Isteriku yang amat aku cintai. Sesungguhnya tiada insan lain yang lebih aku sayangi melainkan kedua insan ini.

“Ya allah Ya Tuhanku.. Jadikanlah ujian-Mu di awal perkahwinan kami ini sebagai suatu petanda bahawa kebahagian akan menyusul nanti. Ya Allah jangalah dipisahkan aku dengan isteriku. Sesungguhnya aku amat mengasihinya. Amin Ya Rabbal Alamin..” menitis air mata Fakrul tatkala menyatakan doanya itu. Bersungguh-sungguh. Harapannya tinggi menggunung.

Sayu hati Ezani mendengar akan doa suaminya itu. Melihatkan Fakrul yang teresak-esak semasa menitipkan doa tersebut membuatkan hatinya terharu. Tiba-tiba rasa berdosa menyelimuti diri. Ya Allah.. Selama ini puas aku berperasangka terhadap dirinya. Sesungguhnya dia amat mengasihiku.

Di saat Fakrul berpaling untuk bersalam dengan isterinya, Ezani terus menerpa dan menyambar tangan Fakrul. Terkejut sebentar Fakrul. Tidak disangka akan tindakan isterinya itu.

“Abang.. ampunkan Hanna. Ampunkan Hanna abang. Hanna dah banyak buat dosa pada abang sejak kita mula nikah lagi. Ampunkan Hanna,” teresak-esak Ezani sambil mencium tangan Fakrul. Perlahan-lahan Fakrul menggosok kepala Ezani tanda memujuk. Diharapkan agar Ezani dapat bertenang.

“Sayang.. abang ampunkan Hanna. Lagi pun sayang tak ada buat sebarang dosa pun pada abang. Abang sedar. Hanna sukar nak terima abang bila Hanna rasakan diri Hanna hanyalah sebagai pengganti Nina. Mungkin Hanna ada terdengar sesuatu perbualan abang dengan mak suatu masa dulu. Tapi percayalah. Segalanya berubah tatkala abang melafazkan akad buat sayang. Terimalah abang sayang,” pinta Fakrul bersungguh-sungguh. Ya Allah Ya Tuhanku. Aku bersyukur. Secepat ini Kau makbulkan doaku ini.

“Abang.. bimbinglah Hanna menjadi isteri yang solehah. Tegurlah Hanna. Ampunkan Hanna kerana minta dilepaskan. Sesungguhnya abang, Hanna sangat sayangkan abang. Sebab itu Hanna tidak mahu menjadi beban pada abang,” kata Ezani lagi dalam esak tangisnya.

“Hanna, dengar sini sayang. Kehadiran Hanna bukanlah suatu beban buat abang. Tetapi suatu anugerah yang tidak ternilai. Mungkin Hanna hadir tanpa abang pinta namun ketiadaan Hanna mungkin mampu membuat abang hilang nyawa. Jangan pinta untuk berpisah lagi ya sayang. Lupakanlah segala yang telah berlaku. Kita bina keluarga kita semula ya sayang”, pujuk Fakrul. Esak tangis Ezani masih lagi kedengaran. Juraian air matanya juga masih belum berkurang.

“Abang.. Hanna menyerah,” lantas itu Ezani terus dapat merasakan Fakrul memeluknya. Kejap sekali. Ya Allah aku bersyukur. Lafaz Fakrul buat sekian kalinya.


Dua bulan kemudian…

“Hai sayang..!” tegur Fakrul tiba-tiba sambil memeluk belakang Ezani.

“Ish abang ni. Terkejut Hanna dibuatnya. Masuk bilik tak reti bagi salam ke?” tegur Ezani kepada suaminya. Fakrul hanya tersengih sambil memandang wajah Ezani. Wah! Rindunya.. Sudah seminggu dia tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas. Selama dia terpaksa ke Singapura untuk memantau perjalanan projeknya di sana. Mereka hanya berhubung menggunakan video call sahaja. Melihat wajah isteri tersayang, terbang segala kepenatan yang dirasakan semasa berada dalam flight tadi.

“Tersengih je dia bila kena tegur. Nasib baik Hanna tak dak sakit jantung. Kalau tidak dah ‘jalan’ agaknya Hanna,” saja berniat untuk menggiat suaminya.
Papp!!

Aduh!! Ezani menjeling suaminya.

“Kenapa tiba-tiba abang jentik mulut Hanna? Sakitlah..” tanya Ezani dengan riak yang tidak puas hati. Tangannya masih lagi menggosok-gosok hujung mulutnya yang masih lagi terasa pedih akibat dijentik Fakrul tadi.

“Baguslah. Sebut lagi benda-benda macam tu. Matilah apelah. Ringan je eh mulut tu cakap benda-benda macam tu!” marah Fakrul. Dah.. Dia dah start nak membebel nih! Hehe..

“Lah itu ke sebabnya. Semua orang matilah abang. Cuma cepat dengan lambat je..” balas Ezani selamba. Tiba-tiba Fakrul bingkas. Aik! Aku siram minyak pada api ke? Alamak..

“Cakap sekali lagi abang nak dengar. Kalau nak rasa penampar pulak kali ni,” bersungguh benar marah Fakrul kali ini. Bergetar hatinya tatkala mendengar perkataan mati dari dua ulas bibir yang comel itu. Sudah payah benar dirinya hendak memujuk isterinya itu untuk menerimanya. Baru dua bulan sahaja mereka berbaik, sedap pula Ezani bercakap fasal mati dengannya. Tiba-tiba terasa tanggannya ditarik lembut oleh Ezani. Dia hanya menurut.

“Abang.. Hanna gurau jelah. Hanna mintak maaf eh kalau abang tak suka,” pujuk Ezani lembut. Perlahan tangan suaminya itu dibawa ke bibir. Dicium perlahan belakang tangan suaminya. Kemudian dikucupnya pula pipi suaminya tanda minta maaf. Moga hati suaminya itu cepat sejuk.

Huh!! Pandai je dia nak pujuk aku. Cium-cium aku macam tu. “Pandai eh. Nak pujuk abanglah tu,” kata Fakrul sambil tersenyum. Cair sudah amarahnya tadi.

“Hehe.. Abang dah ok dah?!” tanya Ezani dengan gaya sedikit menggoda.

“Hah! Ni nak ape pulak ni? Goda-goda abang semacam je ni?!” tanya Fakrul dengan mimik muka yang nakal. Sengaja mukanya didekatkan ke muka isterinya itu. Alamak!! Ezani dah cuak.

“Eh.. Tak ada apa-apalah.. Erm.. Abang dah makan?” Ezani cuba menukar topik. Wajah Fakrul sudah lain macam padanya. Hehe.. Tau pun cuak. Nak larilah tu. Getus Fakrul di dalam hati.

“Dah.. Tapi…” terus lampu biliknya dipadamkan. Terkejut bukan kepalang hati Ezani tatkala itu namun diikutkan saja kehendak Fakrul. Sebenarnya dirinya pun turut kerinduan.

Gembira hati Mak Cik Limah melihat akan perubahan anak dan menantunya. Terbang sudah kerisauan yang sentiasa terbit dihatinya mengingatkan gelagat anaknya tadi. Terburu-buru menyalami tangannya dan mencium pipinya lalu terus berlari ke bilik untuk menemui Ezani. Alhamdulillah.. Semoga ada sinar bahagia untukmu nak. Doanya buat anak dan menantu kesayangannya itu.


“Sayang.. jom kita gi honeymoon nak tak?” usul Fakrul suatu malam ketika Ezani sedang melipat baju di dalam bilik.

“Aik! Nape tiba-tiba nak gi honeymoon ni?” tanya Ezani sambil tersengih. Ezani melipat baju yang terakhir lalu mengangkat semua baju yang telah dilipatnya itu lalu disimpan di dalam almari. Kemudian, perlahan dia berbaring di dada suaminya.

“Ala.. Kita tak pernah pergi honeymoon lagi kan?” rengek Fakrul lagi. Alahai suaminya ini. Makin lama makin manja pula gelagatnya. Bukan patutnya aku ke yang manja? Tanya Ezani pada dirinya.

“Erm.. Nak kena pergi jugak ke bang?” tanya Ezani lagi. Dilangutkan kepalanya untuk memandang wajah suaminya. Dahinya agak berkerut-kerut. Ibarat keberatan.

“Kenapa? Ezani dah tak sayang Ayul ke?”, hah..! dah tukar bahasa dah ni. Merajuk la pulak. Ish! tanya sikit pun tak boleh. Bebel Ezani di dalam hati lagi. Raut wajah Fakrul direnungnya lembut.

“Ish.. Ada ke patut cakap sayang tak sayang abang. Sayang. Tapi Hanna banyak kerja sekarang ni. TNA procedure dah nak start. Lepas tu nak analysis findings lak,” terang Ezani lagi. Bukan dia tak tau hujung tahun macam ni aku sibuk. Hatinya masih lagi mengomel.

“Tengok.. Sayang lagi pentingkan kerja dari abang. Macam tu ke sayang kata sayang sayangkan abang?!” balas Fakrul lagi. Kelat sungguh wajahnya. Ternyata masih lagi merajuk.

“Sayang.. Mana lagi penting? Abang ke kerja sayang tu?” Fakrul memberi kata dua pada isterinya. Bukan Fakrul tidak tahu pada hujung tahun begini isterinya akan sibuk mengadakan TNA atau Training Need Analysis. Jawatan isterinya sebagai Pegawai Latihan Bahagian Sumber Manusia sudah amat dimakluminya. Namun sebab itulah Fakrul ingin mengajak isterinya pergi waktu begini. Jika dibiarkan isterinya mengetuai TNA procedure itu nanti, sudah tentu Ezani tiada masa lagi buat dirinya. Entah hilang ke mana sikap profesional yang ada dalam dirinya. Sedangkan dirinya juga bekerja dalam bidang profesional.

“Ya Allah.. Sampai macam tu sekali abang curiga pada Zani ye. Kenapa sampai nak kena pilih-pilih pulak ni? Abang tau kan kerja Zani macam mana?!” tanya Ezani pula. Sungguh dia tidak puas hati. Fakrul buat tidak endah terhadap pertanyaan Ezani. Masih lagi asyik melayan rajuknya. Dirinya sanggup melakukan apa sahaja asalkan perhatian Ezani tidak lari daripadanya. Ezani memeluk lembut badan suaminya namun Fakrul masih lagi mengeraskan diri.

“Abang.. Zani expect abang faham situasi dan kerja Zani macam mana Zani faham dan redha dengan situasi kerja abang. Cuma enam minggu je bang. Kita pergi lepas tu ye?” pujuk Ezani. Ezani berada dalam dilemma. Suami dan kerja. Sudah semestinya suaminya paling utama namun tanggungjawab terhadap kerjanya juga tidak boleh dipandang enteng. Apabila melihat suaminya itu masih lagi membatu akhirnya Ezani kembali bersuara. Biarlah dia berkorban kali ini asalkan suaminya bahagia.

“Baiklah. Zani ikut kata abang. Tapi Zani mohon agar kita pergi tiga minggu lagi ye bang?” Ezani sangat mengharapkan pengertian daripada Fakrul. Akhirnya Fakrul tersenyum terhadap Ezani. Lega hati Ezani tidak terhingga.

“Syarat..” sambung Fakrul tiba-tiba.

“Ape?” tanya Ezani lembut.

“Sayang tak boleh balik lewat dari pukul lapan malam start dari esok. Esok procedure TNA start kan?” tenang Fakrul memberikan syarat. Sungguh dia tidak mahu kehilangan perhatian dari isterinya. Bukan Fakrul tidak kenal Ezani. Jika bekerja sanggup tidak makan, tidak tidur. Asalkan kerjanya siap dengan sempurna.

Terkilan hati Ezani mendengar syarat yang diberikan. Namun, demi melihat senyum terlakar di bibir suaminya lalu dia pun terus mengangguk tanda bersetuju dengan syarat suaminya.

“Jika sayang mungkir janji, abang tak nak makan,” ugut Fakrul. Fakrul tahu Ezani sangat menjaga akan pemakanannya. Ezani paling takut kalau dirinya diserang gastrik. Ketakutan melampau isterinya itu sering digunakan sebagai senjata dan dia tahu akhirnya isterinya itu akan tunduk jua pada kehendaknya.

Berubah wajah Ezani tatkala mendengar ugutan daripada Fakrul. Suatu keluhan lembut kedengaran. Fakrul tidak pernah berubah. Sering mengugut dan kadangkala hanya pentingkan diri sendiri. Namun Ezani tetap jua mengangguk. Fakrul tersenyum senang lalu diraih isterinya kepelukkannya. Suatu ciuman dihadiahkan ke pipi.

“Thanks. Abang tau Hanna sayangkan abang,” kata Fakrul dengan gembira. Namun hati Ezani masih sayu. Tetapi dengan sedaya upaya cuba disembunyikan dari pengetahuan Fakrul. “Tapi abang yang macam tak sayang Hanna bila sering ugut untuk tidak makan”, balas Ezani di dalam hati.

---------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino