Product from Adobe

Selasa, Februari 17

Yang Kupinta Part 4


“Amir, cuba duduk elok-elok sikit. Ini terlompat-lompat dari tadi. Penatlah mama tengok. Dah... Dah.. Duduk diam-diam, nanti kacau papa nak bawak kereta,” marah Asyiekin pada anaknya.


Farouq yang sedang memandu hanya tersenyum tenang mendengar bebelan isterinya. Begitulah setiap kali apabila mereka dalam perjalanan pulang ke kampung. Ada sahaja telatah anaknya yang bakal mengudang bebelan isterinya. Tidak perlu radio dan tidak perlu pemain VCD di dalam keretanya. Kerenah dua beranak ini sudah cukup untuk menghilangkan rasa mengantuknya.


“Yang abang ni senyum sorang-sorang ni kenapa?” tegur Asyiekin tiba-tiba. Mungkin sisa bebelan pada anaknya tadi masih lagi berbaki maka tempiasnya terkena pada Farouq. Ketawa kecil kedengaran dibibir Farouq.


“Awak ni, saya senyum pun dah tak boleh ye? Awak marahkan si Amir dengan saya sekali kena marah sama ya,” giat Farouq pada isterinya. Kuntuman senyum masih lagi berbunga dibibirnya. Asyiekin menarik muka.


“Mana ada. Iekin tegur sikit pun dah tak boleh ke abang ni?” rungut Asyiekin pula. Tidak terlintas di hatinya untuk memarahi atau meleteri suaminya. Sampai hati Farouq berkata begitu padanya. Farouq tersenyum lagi melihat wajah isterinya yang mencuka.


“Awak ni, sejak ada baby baru pantang tercuit sikit ek? Bukan ke abang usik Iekin je tadi?” ucap Farouq bersama suatu senyuman yang meleret. Biarlah masam mencuka bagaimana sekali pun wajah isterinya namun wajah itu tetap manis dipandangan matanya.


“Papa jauh lagi ke nak sampai rumah nenek? Amir dah tak sabar nak main dengan mak cu dengan adik cik Pa’e...” tanya Amir sambil melingkarkan tangannya ke leher Farouq.


“Tak lah sayang. Dah tak jauh sangat dah...” jawab Farouq lembut.


Hooreeyyy!!”


“Amir... Mama cakap duduk diam-diam kan? Degil ye...” marah Asyiekin pada anaknya. Farouq menggelengkan kepala. Bukan Asyiekin tidak tahu yang Amir akan menjadi semakin nakal kalau dimarah-marah dan dibentak-bentak begini. Namun mungkin keadaan Asyiekin yang berbadan dua menyebabkan isterinya itu mudah naik darah pada kenakalan Amir. Farouq mengusap lembut lengan isterinya dan menyuruhnya bertenang.


“Amir, nak cepat sampai tak?” tanya Farouq pada anaknya.


“Nak... Nak...”


“Hmm.. kalau macam tu Amir duduk diam-diam ya. Kalau Amir lompat-lompat macam tadi lagi lambat kita sampai. Amir nak main dengan adik cik Pa’e kan? So, duduk diam-diam. Jangan lompat-lompat, ok?”


“Ok papa...” ucap Amir dengan senang hati. Farouq tersenyum senang. Asyiekin pula menghela nafas lega. Sungguh pun Amir tidak melompat-lompat lagi seperti tadi namun mulutnya tetap becok bertanyakan itu dan ini pada mama dan papanya.


Dalam keasyikkan Amir bercerita mengenai guru tadikanya yang garang, tiba-tiba Amir menjerit kuat.


“Papa, apa tu?” ucap Amir sampi menunjukkan pada suatu objek yang kelihatan merentangi jalan raya. Farouq memperlahankan keretanya. Cuba mengamati daripada jauh apakah objek yang merentangi jalan mereka ini. Semakin mereka mendekati objek tersebut, semakin berlapis dahi Farouq.


“Orangkah?” telah hati Farouq sendiri. Farouq memberhentikan kereta sebelum dia turun dan mendekati objek tersebut. Begitu juga dengan Iekin dan Amir.


“Ya Allah, orang!!” terkejut sungguh mereka apabila mendapati objek yang merintangi jalan mereka itu merupakan seorang wanita. Wajahnya lebam dan biru-biru. Di hidungnya pula terdapat kesan darah yang sudah pun kering.


“Kita nak buat apa ni bang?” tanya Asyiekin panik.


Berbekalkan ilmu yang pernah dipelajarinya ketika menyertai Pasukan Bulan Sabit Merah semasa di sekolah dahulu, Farouq memegang pergelangan tangan wanita tersebut demi mencari nadi. Dia menarik nafas lega apabila denyutan nadi wanita tersebut dapat dikesannya. Sungguhpun begitu, denyutan itu terlalu lemah.


“Kita bawak dia ke klinik berdekatan,” ucap Farouq pada isterinya. Asyiekin mengangguk setuju. Pantas dia membukakan pintu penumpang sementara Farouq mengangkat tubuh wanita malang itu ke dalam kereta.


“Amir duduk tempat mama, biar mama duduk belakang je...” kata Asyiekin pada anaknya. Tanpa bantahan Amir menurut. Setelah memakaikan tali pinggang keledar pada Amir, Farouq meneruskan pemanduannya menuju ke klinik berdekatan. Suasana di dalam kereta tersebut yang pada mulanya riuh rendah dengan suara yang tingkah meningkah antara anak beranak kini menjadi sepi. Masing-masing melayan perasaan sendiri demi mencari jawapan bagi setiap satu persoalan yang muncul dibenak mereka. Siapakah wanita malang ini? Dan bagaimana dia boleh berada di tengah-tengah jalan raya yang sunyi ini?


Dua puluh minit memandu, akhirnya Farouq memberhentikan keretanya di hadapan sebuah klinik – Klinik Rasyidah. Dengan penuh berhati-hati Farouq mengangkat tubuh wanita malang itu lalu dibawanya terus ke bilik rawatan.


***


Di dalam bilik rawatan, terbuntang mata Dr. Rasyidah tatkala matanya menyapa wajah yang lebam dan bengkak pesakit di hadapannya. Matanya tegak merenung sepasang suami isteri bersama seorang anak mereka yang sedang berdiri dengan riak cemas di hadapannya kini.


“Apa pertalian encik dengan pesakit?” tanya Dr. Rasyidah perlahan. Di wajahnya terlakar riak keliru dan ingin tahu.


“Tak ada pertalian, doc. Kami jumpa perempuan ni terbaring merentangi jalan lebih kurang sepuluh kilometer dari sini,” jawab Farouq tenang. Dr. Rasyidah mengangguk kepala tanda faham.


“Tak mengapa. Beginilah encik, wanita ini sebenarnya merupakan kenalan lama saya, so encik tak perlu risau saya akan akan menguruskan hal selanjutnya nanti. Terima kasih kerana membawa dia ke sini,”


“Alhamdulillah syukur. Sekurang-kurangnya ada insan yang mengenali wanita malang ini. Entah apalah yang terjadi padanya hinggakan dia boleh terdampar begitu seorang diri di tengah-tengah jalan raya yang sunyi tu. Kalau begitu kami minta diri dulu...” ucap Asyiekin sambil bersalaman dengan Dr. Rasyidah. Dr. Rasyidah hanya menganggukkan kepalanya.


“Terima kasih pada tuan dan puan yang sudi menyelamatkan sahabat saya ini”


“Tak apa-apalah doc, itu memang sudah menjadi tanggungjawab kami. Sesiapa pun yang berada ditempat kami pasti akan melakukan perkara yang sama,” ucap Farouq sebelum mereka sekeluarga terus berlalu untuk meneruskan perjalanan mereka menuju ke destinasi.


BERSAMBUNG

Yang Kupinta Part 3


Hamdan panik. Dikerlingnya Aida kaku disebelahnya. Tangannya menggigil dan hatinya tidak keruan. Rasa takut dan panik semakin menjalar dalam diri hingga Hamdan tidak lagi mampu berfikir secara waras. Otaknya kini galak memikirkan tindakan selanjutnya untuk menyembunyikan ‘tubuh’ Aida. Hamdan memandang ke arah jalan raya yang agak lengang dan sunyi. Tiba-tiba sebuah lori balak yang menderu laju dari arah bertentangan menarik perhatiannya. Lori tersebut melanggar sebuah botol minuman kosong yang kebetulan berada di tengah-tengah jalan raya tersebut. Hamdan dapat melihat botol tersebut pecah. Sepantas kilat Hamdan mendapat satu idea. Brek keretanya ditekan secara mengejut. Berkeriut bunyi tayar keretanya. Mujur sahaja tiada kereta lain yang berada di belakang keretanya. Jika tidak, pasti satu kemalangan jalan raya bakal berlaku.

Hamdan memandang ke sekeliling bagi memastikan tiada orang yang bakal melihat akan perbuatannya. Apabila yakin, pantas Hamdan membuka pintu keretanya dan menarik keluar tubuh Aida dan dibaringkan di tengah jalan raya. Fikirnya adalah lebih baik tubuh Aida ini hancur dilanggar lori balak atau kenderaan yang lalu lalang di sini. Sekurang-kurangnya kematian kali kedua Aida tidak lagi akan dikaitkan dengannya. Suatu kemalangan. Itu jawapan mudah yang mampu diberikannya kepada ibunya apabila ditanya kelak. Hamdan tersenyum berat. Setelah dipastikan bahawa kedudukan Aida adalah cukup ideal bagi menghasilkan sebuah kemalangan terancang, Hamdan terus memecut keretanya untuk pulang ke rumah. Hatinya yang serabut perlu ditenangkan. Jika tidak, silap-silap nanti dia akan dituduh menjadi punca.


***


Setibanya di rumah, Hamdan membaringkan badannnya di sofa. Hari ini memang adalah hari malang untuk dirinya. Hyper Mega Construction gagal untuk merebut tender sub-kontraktor bagi pembinaan Mega Sutra Heights. Buntang matanya tatkala mendengar keputusan tender pagi tadi. Semalam hatinya cukup yakin bahawa tender itu adalah milik mereka tatkala melihat wajah puas Mr. Chew namun ternyata usahanya sia-sia. Atas rasa tidak berpuas hati, Hamdan terus bersemuka dengan Mr. Chew bagi mendapatkan alasan kegagalan Hyper Mega Construction.


Hayya.. Sapa cakap sama lu kalau lu kasi itu perempuan sama wa, wa akan bagi lu ini tender? Wa talak mintak ma, lu sendiri offer sama wa... Lu lupa ka?”


“Tapi lu happy sama wa punya bini kan bos? Bukan calang-calang perempuan wa kasi...”


“Memang loh... Tapi perempuan sama luit mana sama loh. Itu perempuan lu kasi wa amik tapi wa talak pernah janji wa akan kasi ini tender. Company lu punya proposal talak cukup bagus ma... Mana wa boleh kasi sama lu... Lugi la wa...”


Arghh!! Hamdan menjerit bagi mengurangkan bebanan dijiwanya. Hatinya geram mengenangkan tindakan Mr. Chew yang menghalaunya ibarat anjing kurap apabila dia terus-terusan mendesak supaya Mr. Chew menimbangkan kembali keputusannya. Hamdan memegang pipinya yang terasa bengkak akibat ditumbuk oleh pengawal peribadi Mr. Chew tadi. Hatinya yang geram kini berubah dendam. Di tambah pula dengan kejadian yang menimpa Aida tadi. Hamdan terkedu dan terfikir-fikir sendiri. Adakah sudah hancur badan Aida dilanggar kenderaan atau belum? Di dalam keadaan kepenatan emosi akhirnya Hamdan terlelap sendiri.


***


Hamdan menggaru pipinya yang gatal. Ditampar tangan dan kakinya yang dihurung nyamuk. Akibat tidak tahan dengan rasa gatal, Hamdan membuka matanya. Gelap. Telefon bimbitnya yang terletak di meja tidak jauh dari sofa yang menjadi alas tidurnya tadi dicapai. Satu butang telefon ditekan dan telefon bimbitnya mengeluarkan cahaya. 7.30 malam. Hamdan mengerutkan dahinya. Kenapa keadaan rumahnya yang bergelap? Ke mana perginya Aida? Kenapa lampu rumah semua tidak dibuka? Selalunya pada waktu ini Aida akan kelam kabut memasak sebelum dia menunaikan solat maghrib.


“Aida...!! Aida...!!” jerit Hamdan. Hatinya berang. Oleh kerana kelalaian Aida yang membiarkan dia tidur di dalam gelap, habis badannya bintat digigit nyamuk. Memang dasar perempuan tak guna.


“Aida...!!!” jerit Hamdan sekali lagi namun dalam nada yang lebih kuat. Hatinya dijentik rasa pelik namun langkah kakinya dibuka menuju ke bilik. Lampu bilik dibuka. Sebaik sahaja bilik menjadi terang, Hamdan terpandang pada beg Garfield yang terletak di atas katil. Ingatannya kembali terlayar pada kejadian petang tadi. Serta merta Hamdan tersedar. Hamdan berlari kembali ke ruang tamu dan membuka televisyen.


Hamdan membuang pandang pada muka jam yang tergantung di dinding ruang tamu. 7.45 malam. Dengan penuh debar, Hamdan menantikan siaran Buletin Utama bermula. Hatinya tertanya-tanya mengenai nasib ‘tubuh’ Aida yang ditinggalkannya petang tadi. Sudah hancurkah digilis lori? Hamdan yakin jawapan pada persoalannya akan terjawab sebentar lagi.


BERSAMBUNG


Yang Kupinta Part 2


Hamdan bersenang-lenang di ruang tamu rumahnya sambil menonton channel Astro Super Sports. Kedengaran suara Aida yang menjerit kesakitan serta rayuan agar dirinya dilepaskan berselang-seli dengan dekahan suara Mr. Chew. Hamdan tersenyum senang. Semakin kuat dekahan ketawa Mr. Chew menandakan peluang untuk mereka mendapatkan tender sebagai sub-kontraktor bagi pembinaan Mega Sutra Heights adalah semakin cerah. Tidak sedikit pun jeritan serta rayuan Aida singgah dijiwanya. Yang terbayang di matanya hanyalah wang serta tawaran kenaikan pangkat seperti yang dijanjikan oleh En. Mansor sekiranya dia berjaya membawa masuk tender tersebut ke dalam Hyper Mega Construction.


Tidak lama kemudian pintu biliknya terbuka. Mr. Chew keluar dengan wajah yang puas dan gembira. Wajahnya kusut masai manakala butang bajunya tidak dibutangkan dengan sempurna. Hamdan bangun lalu terus mendekati Mr. Chew yang sedang tersenyum sambil menghulurkan tangan. Mr. Chew menyambut huluran tangan tersebut dan pantas menepuk bahu Hamdan beberapa kali.


“Amacam bos wa punya bini? Ok?” tanya Hamdan penuh makna. Hatinya penuh debar mendengarkan kata putus yang bakal keluar dari bibir Mr. Chew. Padanya, jawapan Mr. Chew itu ibarat busar bermata dua. Satu jawapan, dua makna.


Mr. Chew hanya ketawa mendengarkan soalan Hamdan tadi. Matanya dikerdipkan beberapa kali sebelum tangannya mengesat bibirnya dengan penuh gaya. Terpancar aura lelaki miang yang lupa dunia.


“Oh itu lu punya bini ka? Wa manyak suka. Okeylah, kita jumpa lagi nanti. Wa balik dulu. Next time kalau wa rindu boleh datang sini lagi ka?” kata-kata akhir Mr. Chew di akhiri dengan suatu jenaka yang penuh bermakna.


“Boleh. Tak dak hal ma. Itu wa punya bini, bila-bila masa lu mau nanti bos lu cakap sama wa. Nanti wa suruh dia bagi special treatment lagi untuk lu...” ucap Hamdan tanpa ragu-ragu. Hatinya kini berlagu riang. Dirinya yakin, tender, wang serta kenaikan pangkat kini adalah miliknya.


Sebaik sahaja Mr. Chew melangkah keluar daripada rumahnya, Hamdan pantas mengunci pintu sebelum berlalu ke biliknya. Di bilik kelihatan keadaan Aida yang sangat menyedihkan dan mengaibkan. Dengan keadaan yang bogel tanpa seurat benang, tangan dan kakinya yang masih lagi terikat, pergelangan tangannya yang mula membengkak serta wajah yang lebam-lebam membiru akibat dipukul. Air mata Aida lesu mengalir di juring matanya. Hamdan merenung Aida lama. Nafsunya muncul secara tiba-tiba. Dengan tergesa-gesa Hamdan membuka pakaian yang tersarung di badannya dan dia mendekati Aida.


“Aida, kau layan aku pula,” katanya sebelum secara rakus dia memperkosa seorang insan yang telah diamanahkan padanya suatu ketika dulu atas nama seorang ISTERI.


***


Pantas tangan Aida memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam sebuah beg Garfield. Aida nekad. Walauapa pun yang berlaku, hari ini dia akan cuba melarikan diri daripada seorang lelaki yang bergelar suaminya. Dahulu Aida ragu-ragu akan tindakannya ini. Hatinya bimbang andai dirinya digelar nusyuz sekiranya dia melarikan diri daripada rumah ini. Meninggalkan rumah tanpa izin suami adalah dilarang Ilahi. Namun hari ini dirinya baru teringat akan kata-kata ustazahnya suatu ketika dahulu, “Hormat dan taatlah kamu wahai isteri-isteri kepada suamimu selagi dia tidak memaksa kamu melakukan sesuatu yang berada diluar batasan Syarak”.


Aida sedar. Perbuatan suaminya itu sudah melampau. Lalu atas kesedaran itu, Aida nekad untuk melepaskan diri daripada lelaki durjana ini. Aida menyelongkar lagi almari pakaian itu. Dia perlu mencari kad pengenalan dirinya yang dirampas oleh Hamdan ketika di awal perkahwinan mereka dahulu. Jika tidak, mesti sukar untuknya melarikan diri nanti. Satu per satu laci ditariknya kasar. Dia perlu cepat sebelum Hamdan pulang daripada tempat kerjaya. Badannya yang berasa lemah tidak lagi diendahkannya. Tangannya yang sakit dan bengkak juga tidak dihiraukannya. Hanya satu perkara yang bermain-main di benaknya iaitu melarikan diri.


Dalam keasyikkan Aida menggeledah almari pakaiannya, pintu biliknya terbuka secara kasar dan tiba-tiba. Berdentum bunyinya. Aida terkejut dan kaget tanpa kata. Kakinya menggeletar dan wajahnya ditunddukkan. Tidak berani memandang Hamdan yang terpacak dihadapan pintu bilik bersama wajah yang bengis. Mata Hamdan tajam merenung beg pakaian yang terdampar di atas katil.


“Kurang ajar, kau cuba nak larikan diri ya...!” jerit Hamdan. Satu penampar melayang tepat mengenai wajah Aida. Belum pun sempat Aida mengaduh tiba-tiba Aida rebah di kaki Hamdan dan kaku di situ. Darah pekat mula mengalir laju daripada hidungnya. Hamdan panik melihat Aida yang tiba-tiba rebah. Pantas dia meletakkan dua jari di hidung Aida bagi mengesan nafas. Namun kosong. Hamdan semakin panik. Otaknya gagal berfungsi dengan waras. Pantas tubuh Aida digendong menuju ke keretanya.


BERSAMBUNG

-----------------------------------------------------------------------------


Salam buat kengkawan semua, maaf andainya n3 kali ini kurang menarik. Yang Kupinta merupakan cerpen eksperimental daripada Lea - Lea cuba untuk menulis sebuah cerita yang bukan bersifat romantis. Hope kengkawan dapat meninggalkan komen buat panduan Lea.


Salam ikhlas daripada;

~LeaQistina


n3 kali ini adalah sempena penghargaan buat diri sendiri apabila sudah dua hari penuh Lea wat revision dengan penuh dedikasi... :D

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino