Product from Adobe

Jumaat, Oktober 31

Cinta Si Baju Kebaya Bab 7


”Kau ni betul ke tidak?”, Madihah cuba meminta kepastian. Wajah Darius direnung dalam seolah-olah cuba mencari jawapan yang sebenar dari dalam diri lelaki itu.


”Betullah, apa yang tak betulnya pula. Tengok ni, dah siap beli cincin dah pun”, jawab Darius romantis.


”Wah! Syoknya..”, jerit Hanim sambil memeluk Pooh pemberian Iqram erat. Kemudiannya dia menyembamkan wajahnya ke perut Pooh sambil tersenyum. Cuba menghayati detik-detik romantis antara Darius dan Madihah dalam drama bersiri Dunia Baru 2. Alangkah indahnya kalau Iqram pun lamar aku macam ni..


”Hoi!!”, jerkah Farah Aqilah sambil membaling bantal ke arah Hanim.


Tersentak Hanim apabila bantal tersebut singgah ke kepalanya. Habis musnah angan-angan dan bicara romantis Darius sebentar tadi.


”His kau ni. Kacau jelah..”, marah Farah Hanim. Baru aku nak cuba menghayati aura kebahagiaan yang wujud, si Qila ni pulak kacau, rungut Hanim.


”Banyaklah kau punya kacau. Dah berpuluh kali kau ulang part tu. Sampai naik geli aku rasa”, bebel Farah Aqilah. Hanim menarik muka sambil mencapai remote vcd player.


”Hah! Kau jangan nak cari fasal nak rewind balik part tadi. Nanti baik VCD tu dengan kau-kau sekali aku humban masuk tong sampah depan tu. Bosanlah..!”, ugut Farah Aqilah. Dia sudah benar-benar tidak tahan dengan pengulangan babak yang sama. Jiwang sangatlah si Hanim ni. Tahulah nama buah hati kesayangan Hanim tu Iqram, tapi janganlah sampai asyik berangankan si Iqram aje kerjanya, kutuk Farah Aqilah di dalam hati.


Muncung Hanim bertambah panjang. Pantas tangannya menekan butang ’Stop’ dan mengeluarkan VCD tersebut daripada VCD player.


”Yelah.. yelah.. aku tutup la ni..”, kata Hanim malas.


Farah Aqilah tersenyum. Farah Aqilah mencium pipi Hanim sekilas sebelum mengutip bantal yang dibalingnya tadi sebagai tanda memujuk. Serta merta Hanim tersenyum.


”Thanks. Sayang kau”


”Banyaklah kau punya sayang..”, pantas tangan Hanim menampar kuat punggung Farah Aqilah.


Auuwww!! Jerit Farah Aqilah. Spontan tangannya membaling bantal yang dikutipnya tadi ke muka Hanim.


Dush!! Tepat sekali balingan tersebut. Bermula dengan balingan tersebut, maka bermulalah adegan kejar-mengejar di dalam rumah tersebut. Suara mereka berdua riuh saling meningkah. Peperangan antara Pooh dan bantal busuk kini bermula. Bantal dan Pooh berterbangan di udara mencari mangsa. Ketawa mereka kedengaran lagi. Ruang tamu yang sebelumnya kemas, kini sudah berselerak. Mujur sahaja ruang tamu mereka itu tidak sarat dengan barang-barang perhiasan. Jika tidak, mesti semuanya hancur berderai.


Mata masing-masing kini meliar seperti helang. Tekun mengawasi gerak-geri satu sama lain. Farah Aqilah yang berada dibelakang sofa tiga berangkai, mengintai dari celahan kusyen mencari kedudukan Hanim.


”Oh! Hanim ada kat situ ye..”, kata Farah Aqilah perlahan sebaik sahaja dia ternampak toncet rambut Hanim yang terjulur keluar dari sebalik almari buku yang tingginya hanya separas pinggang. Hati Farah Aqilah ketawa sendiri. Apalah Hanim ni. Konon nak sembunyi belakang almari. Tapi toncet kat kepala tu nampak. Kalau macam tu baik tak payah sembunyi...


Mata Farah Aqilah kembali meliar mencari alat yang boleh digunakan untuk menyerang Hanim. Matanya tertancap pada selimut Hanim yang berada ditengah rumah. Selimut yang digunakan oleh Hanim ketika menonton Dunia Baru sebentar tadi.


Terjengket-jengket Farah Aqilah mendapatkan selimut tersebut dan menyusup perlahan merapati almari buku. Badannya sengaja dirapatkan ke almari supaya bayangnya tidak kelihatan. Perlahan-lahan Farah Aqilah bergerak mendekati Hanim dari arah belakang.


”Hah!!”, sergah Farah Aqilah. Hanim yang terkejut mendengar sergahan Farah Aqilah itu lantas berpaling. Sungguh tidak disangkanya Farah Aqilah akan menyergah dari belakangnya. Sedangkan matanya sejak tadi berjaga-jaga bimbang Farah Aqilah menyergahnya dari hadapan.


Selimut di tangan Farah Aqilah pantas melilit badan dan tangan Hanim. Maka berlakulah pergelutan antara mereka. Tangan Hanim yang terperangkap disebalik lilitan selimut telah memudahkan Farah Aqilah untuk menggeletek Hanim sepuas hati.


Hanim menjerit kegelian. Sedaya upaya dia cuba melepaskan tangannya daripada lilitan selimut. Akhirnya berjaya. Ya.. dan kini tiba giliran Farah Aqilah pula yang tergolek kegelian. Mereka saling menggeletek antara satu sama lain. Ketawa mereka riuh memenuhi ruang rumah.


Bunyi loceng pintu telah menghentikan adegan antara mereka. Tertegak badan Farah Aqilah. Hanim juga begitu. Serentak mereka menutup mulut yang riuh bergelak ketawa sedari tadi.


”Ops..!! Lupa. Tu Kak Kiah. Nak marah kita sebab bising sangat”, kata Farah Hanim sambil ketawa kecil.


”Agak-agaknya, baby Danial terkejut sebab kita gelak kuat sangat kot”, tambah Hanim pula. Sisa ketawa mereka masih berbaki.


Kedengaran bunyi pintu pagar ditolak dan diikuti oleh bunyi ketukan di pintu rumah. Farah Aqilah yang menyangka ketukan pintu tersebut adalah daripada Kak Kiah, pantas membuka pintu bersama suatu sengihan. Namun sengihan itu kaku sebaik sahaja melihat tetamu tersebut bukanlah Kak Kiah seperti disangkakan.


”Syamir!!”, jerit Farah Aqilah. Spontan dia merampas majalah Gila-gila yang kebetulannya sedang dipegang oleh Syamir. Majalah tersebut dibuka dan diletakkan ke atas kepalanya. Menutup rambutnya daripada pandangan Syamir. Hanim yang turut terkejut akan jeritan Farah Aqilah yang menyebut Syamir turut terjerit. Pantas Hanim terjun ke atas sofa sambil menutup kepalanya dengan selimut.


Terkejut beruk Syamir mendengar jeritan kedua-dua gadis dihadapannya. Dia juga tergamam tatkala melihat aksi spontan mereka. Tiba-tiba Syamir ketawa. Lucu rasanya melihat akan keadaan itu. Tambahan pula apabila melihat Farah Aqilah yang sedang bertudungkan Majalah Gila-gilanya. Ketawanya makin menjadi-jadi. Kemudian, dengan selamba Syamir melangkah masuk walaupun tanpa dipelawa.


”Ya Allah!! Kenapa macam tongkah pecah ni?”, terkejut Syamir sekali lagi dengan apa yang dilihatnya. Diorang ni tengah wrestling ke tadi?, desis hati Syamir nakal.


Pipi Hanim dan Farah Aqilah berubah warna mendengarkan teguran Syamir itu.


”Er.. er.. pandai-pandai Amirlah kalau nak duduk ye. Qila pergi salin pakaian sekejap”, Farah Aqilah gugup. Hakikatnya, Farah Aqilah malu. Cepat-cepat Farah Aqilah berlari menaiki tangga menuju kebiliknya. Kalaulah dia mempunyai kuasa ajaib tadi, sudah lama dia menghilangkan diri. Malu sungguh rasanya. Kenapalah mesti Syamir yang datang, bukannya Kak Kiah?


Hanim bingkas tatkala melihat Farah Aqilah yang sudah berlari menaiki tangga. Selimut dikepalanya dibetulkan sedikit. Sengihan kerang dihadiahkan buat Syamir yang masih memerhatikan gelagat mereka sedari tadi. Kepalanya sedikit dianggukan sebelum dia turut berlari ke biliknya.


”Mak.. malunya..”, kata Hanim perlahan. Namun kata-kata tersebut tetap singgah ke telinga Syamir. Pecah tawa Syamir sekali lagi.


Syamir memerhatikan keadaan disekeliling ruang tamu tersebut. Dia menggelengkan kepala tanda tidak percaya. Ini rumah anak darakah? Kusyen yang berselerak diangkatnya lalu disusun. Majalah dan surat khabar yang berterabur dikutip dan diletakkan di satu sudut. Sekali lagi mata Syamir meliar melihat sekeliling. Ruang tamu tersebut kini sudah berubah rupa. Kemas kembali. Syamir tersenyum puas. Kemudian Syamir berpaling pula ke arah pintu tempat Farah Aqilah terkaku tadi, secara tidak sengaja matanya tertancap pada Pooh dan bantal yang berada di situ. Syamir tersenyum lagi.


”Entah bantal busuk siapalah ni?”, kata Syamir sendiri.


”Jangan pegang bantal tu..!”, jerit Farah Aqilah sebelum sempat Syamir menyentuh bantal busuknya. Tangan Syamir terhenti. Terkejut dengan jeritan yang tidak disangkanya itu. Tidak jadi untuk memungut bantal dan Pooh yang terdampar di tepi pintu.



Farah Aqilah berlari mendapatkan bantal busuknya. Bantal tersebut diciumnya sekali sebelum disorokkannya ke belakang badan.


”Oloh comelnya”, kata Syamir sambil ketawa lucu.


”Datang sini nak apa?”, tanya Farah Aqilah sambil menarik muka. Tidak suka dengan kata-kata Syamir tadi. Malunya jadi berganda. Serta merta matanya dilarikan daripada wajah Syamir. Dia sedikit kagum melihat keadaan ruang tamu yang kembali kemas. Pandai juga mengemas rupanya dia ni, puji Farah Aqilah di dalam hati.


”Amir ada benda nak cakap dengan Farah”


”Nak cakap apa? Kalau Amir nak mintak maaf, Qila dah tak nak dengar. Qila dah muak”, balas Farah Aqilah acuh tak acuh.


”Bukan. Amir..”


”Qila..”, jeritan Hanim dari arah tangga telah mematikan ayat Syamir. Farah Aqilah menoleh ke tangga. Hanim turun dengan wajah yang cemas sambil menjinjit sebuah beg pakaian.


”Kau nak ke mana?”, tanya Farah Aqilah kehairanan.


”Iqram call. Dia cakap mak dia kemalangan. Kejap lagi dia sampai”, cemas suara Hanim.


”Innalillah.. Dah tu kira kau tak datang kerjalah Isnin ni?”, Farah Aqilah meminta kepastian. Hanim dilihatnya muram.


”Aku tak sure. Tengok keadaan macam mana. Kalau tak teruk sangat, Ahad aku baliklah tapi kalau teruk mungkin aku stay sana dalam seminggu. Tak sampai hati nak tinggalkan Iqram sorang-sorang macam tu”, jawab Hanim. Farah Aqilah mengangguk tanda faham. Syamir yang berada disebelah Farah Aqilah langsung tidak dihiraukan. Fikirannya melayang memikirkan keadaan bakal emak mentuanya.


Hanim berlari menjenguk ke luar sebaik sahaja terdengar bunyi kereta. Iqram dah sampai. Pantas dia berlari mengambil beg pakaiannya dan memeluk Farah Aqilah seketika. Farah Aqilah menepuk bahu Hanim perlahan.


”Aku pergi dulu”, kata Hanim sebelum terus berlalu.


”Take care..”, jerit Farah Aqilah. Tidak lama kemudian kereta Iqram hilang dari pandangan.


”So, macam mana sekarang?”, Syamir meminta kepastian.


”Kita keluarlah. Takkan nak bercakap kat sini pulak”


Syamir tersenyum. Dia faham apa yang bersarang dihati Farah Aqilah ketika ini. Sudah pasti Farah Aqilah takut kejadian tujuh tahun lalu berulang kembali. Takut mereka diserbu lagi.


”Kenapa Farah takut ke?”, usik Syamir. Farah Aqilah membalas usikan itu dengan sebuah jelingan yang tajam.


”Alah.. jangan la marah Farah. Amir main-main je. Tapi kalau betul-betul kena cekup pun Amir suka. Senang sikit kerja Amir. Tak payah susah-susah nak tackle Farah lagi. Confirm Farah jadi milik Amir”, kata Syamir sambil tersengih. Benar. Itulah yang berada dihatinya kini. Kedegilan Farah Aqilah yang enggan menerima kata maaf darinya telah menyebabkannya kadang-kadang terfikir untuk mendapatkan Farah Aqilah dengan cara kotor.


”Amir jangan main-main ya..”, Farah Aqilah memberikan amaran. Tangannya pantas mencapai kunci rumah yang tersangkut disebelah pintu sebelum melangkah keluar. Dengan langkah yang berat Syamir juga terpaksa melangkah keluar.


”Naik kereta Amir”, kata Syamir sebaik sahaja Farah Aqilah selesai mengunci pintu rumahnya. Farah Aqilah berfikir seketika.


”Jangan risau. Amir takkan culik Farahlah”, sambung Syamir lagi apabila melihat Farah Aqilah yang agak keberatan untuk menerima pelawaannya. Pintu kereta dibukanya sementara menantikan kedatangan Farah Aqilah. Syamir menutup pintu itu kembali sebaik sahaja Farah Aqilah masuk dan berlalu ke bahagian pemandu.


”Ok jom!”, kata Syamir sebaik sahaja menghidupkan enjin keretanya.



* * *



Sudah dua puluh minit mereka berada di atas jalan raya. Namun masing-masing masih lagi membisu. Enggan memulakan sebarang bicara. Mata Syamir sekejap-sekejap melirik pada Farah Aqilah yang berada disebelahnya.


Farah Aqilah semakin tidak tahan dengan suasana itu. Cakera padat yang separuh terkeluar itu pantas ditolaknya masuk. Serta merta ruang kereta tersebut dipenuhi dengan suara hasil nyanyian kumpulan nasyid UNIC. Spontan mata Farah Aqilah melirik pada Syamir disebelah. Amir masih minat nasyid?


Ketika mula bertemu

Terasa bagai telah lama bersua

Kau sambut hulur tanganku

Bertegur sapa penuh mesra

Masa terus berlalu

Dan kita tetap seiringan berjalan

Menempuh onak liku

Lalui semua suka dan duka bersama

Biarlah apa pun rahsia dan kelemahanmu

Tetap engkau temanku

Riangnya saat kita ketawa

Asyik senda dan bercerita

Walau sesekali pandangan kita berbeza

Akhirnya tetap serupa

Adakalanya kita juga saling terluka

Namun diakhirnya kita tetap bersama

Dan kini dipisahkan

Dua benua saling mengejar cita

Tak pernah ku lupakan

Detik yang indah bersamamu temanku

oh.. oh..

Ketika mula bertemu

Terasa bagai telah lama bersua

Kau sambut hulur tanganku

Bertegur sapa penuh mesra

Masa terus berlalu

Dan kita tetap seiringan berjalan

Menempuh onak liku

Lalui semua suka dan duka bersama

Biarlah apa pun rahsia dan kelemahanmu

Tetap engkau temanku

Riangnya saat kita ketawa

Asyik senda dan bercerita

Walau sesekali pandangan kita berbeza

Akhirnya tetap serupa

Adakalanya kita juga saling terluka

Namun diakhirnya kita tetap bersama

Ku pasti suatu masa

Engkau dan aku kan bertemu semula

Kembali menjalinkan detik nan indah

Untuk kenangan bersama

Tetapkan bersama.. Bersama..


”Macam kisah kita kan Farah. Bertemu, bersahabat, bergaduh, berpisah dan akhirnya bertemu kembali...”, kata Syamir sebaik sahaja lagu itu tamat.


Farah Aqilah tidak memberikan sebarang tindak balas. Dia hanya diam menantikan lagu selanjutnya berkumandang. Beberapa detik kemudian lagu kedua berkumandang. Tetapi dahi Farah Aqilah berkerut sedikit apabila dia perasan bahawa lagu yang sama kembali berkumandang. Amir disebelahnya dipandang hairan. Tanda meminta jawapan.


”Amir suka sangat lagu ni. Setiap kali Amir dengar lagu ni, mesti Amir teringatkan Farah. Lagu inilah yang menjadi pendorong kepada Amir untuk terus mencari Farah selama ini.


Amir paling suka rangkap ’ku pasti suatu masa, engkau dan aku kan bertemu semula..’ Rangkap tersebut seolah-olah menjanjikan pada Amir yang Amir pasti akan dapat menemui Farah semula. Rangkap yang sering meniupkan kembali semangat pada diri Amir tiap kali Amir dah mula putus asa sebab tak jumpa jalan nak cari Farah.


Sebab tu Amir copy lagu ni banyak-banyak. Dalam CD ni semuanya lagu tadi. Lagu yang sama. Amir sengaja buat macam tu sebab Amir nak dengar hari-hari. Nak dengar berulang-ulang kali. Lagu ni sentiasa Amir dengar setiap kali Amir driving sepanjang tujuh tahun ni. Semuanya ibarat peringatan buat Amir agar Amir tak lupa yang Amir mesti kena cari Farah semula sampai jumpa”, jawab Amir panjang lebar. Setiap bait yang diucapkannya sarat dengan emosi dan perasaan.


Farah Aqilah sayu dan terkejut akan jawapan yang diberikan Syamir tadi. Sungguh tidak disangkanya sampai begitu sekali tekad Syamir untuk bertemu dengannya kembali. Mungkin sebab itu Allah tidak mengkabulkan doanya supaya dijauhkan dirinya dari Syamir. Usaha Syamir ternyata lebih berganda darinya.


Farah Aqilah tunduk mengeluh kemudian membuang pandangnya ke luar tingkap. Baru Farah Aqilah perasan yang perjalanan mereka bukannya menuju ke arah pusat bandar Georgetown.


”Amir kita nak ke mana ni?”


”Adalah..”, jawab Syamir ringkas.

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino