Product from Adobe

Ahad, November 9

Cerpen: Suite 6019


Hakim tiba di The Putri Pacific, Johor Bahru tepat jam satu setengah pagi. Memandu sendiri dari Penang ke Johor menyebabkan badannya terasa sangat penat sekali. Pada mulanya, Hakim bercadang untuk menaiki kapal terbang seperti selalu. Tambahan pula arahan mengejut ayahnya itu sampai ke pengetahuannya sudah agak lewat. Namun, entah mengapa cadangannya itu ditegah kuat oleh ayahnya. Maka terpaksalah dirinya memandu seorang diri juga.


Sebaik sahaja tiba di hadapan pintu utama, Hakim terus memberhentikan keretanya lalu menyerahkan kunci kereta kepada jookey yang bertugas. Dengan langkah yang longlai Hakim menuju ke meja pendaftaran bagi mengambil kunci bilik. Mujur sahaja segala urusan pendaftaran bilik telah dilakukan oleh ayahnya. Entah apa agenda ayahnya sehingga beriya-iya menyuruhnya datang ke Johor Bharu hari ini. Secara mengejut pula tu. Katanya lagi semuanya sudah sedia. Dirinya hanya perlu mengikuti jadual yang telah disusun untuknya. Ada individu yang telah ditugaskan untuk menguruskan jadualnya di sana. Untuk melihat projek tapak masjid katanya. Pelik juga rasa hatinya. Sejak bila Rahaman Logistic and Transportation Holdings terlibat dengan projek pembinaan? Masjid pula tu?


Setelah menyebut namanya, akhirnya kunci bilik bertukar tangan. Hakim melihat nombor yang terdapat pada kad yang berada ditangannya. Suite 6019. Sebaik sahaja tiba di dalam lif, tangannya pantas menekan butang bernombor enam. Keluar sahaja daripada lif, langkah kakinya laju sahaja menuju ke bilik yang tertulis ‘Suite 6019’ pada pintunya. Pintu bilik dibuka. Tanpa membuka sebarang lampu, dengan hanya bertemankan cahaya samar biasan dari celahan pintu bilik air, Hakim membuka baju dan tinggal hanya berseluar pendek. Lalu dia terus hilang disebalik gebar yang tebal.


Dendangan lagu nasyid yang semakin kuat telah mengganggu lenanya.


“Argghh!! Mana pula datangnya lagu nasyid pagi-pagi buta ni..!!”’ marah Hakim kerana lena nyenyaknya terganggu. Tangannya yang enak memeluk sesuatu dikalihkan. Lingkaran tangan di pinggangnya juga dilepaskan. Tiba-tiba Hakim terfikir sesuatu. Eh, aku peluk apa tu, dan siapa pula peluk aku? Bantal ke? Kenapa rasa macam orang je, tak pun, hantu.. kalau tidak takkan dia boleh peluk aku.., Hakim berkira-kira sendiri. Ish.. seram pula rasa. Dengan perlahan-lahan kelopak matanya dibuka. Sedikit demi sedikit. Sebaik sahaja Hakim membuka mata, dia dapat melihat wajah seorang wanita yang tidak sampai sejengkal jarak wajah mereka.


Dalam masa yang sama, tanpa diduga, wanita tersebut juga membuka matanya. Buntang mata keduanya melihat satu sama lain. Mereka sama-sama terjerit seraya bingkas mereka duduk. Kedua-duanya pantas menarik selimut. Hakim dapat melihat wanita tersebut cuba menutupi lurah di dadanya yang mengkal akibat leher baju berbentuk-v yang agak besar. Hakim sendiri pula ingin menutup dadanya yang terdedah. Mereka terlalu taksub menarik selimut hingga ke dada tanpa menyedari selimut di bahagian kaki semakin tiada.


“Aaaah!!”, jerit wanita itu lagi apabila melihat bulu-bulu di kaki Hakim. Wa.. Aku pakai seluar pendek je semalam. Lupa. Suara jeritan wanita itu terasa membingit ditelinganya. Pantas mulut wanita itu ditekup.


“Shh..!! Bisinglah..”, marah Hakim.


“Apa kau buat kat sini?”, tanya perempuan itu sebaik sahaja Hakim melepaskan mulutnya. Wajah wanita itu kelihatan bingung.


“Aku yang patut tanya kau, apa yang kau buat kat dalam bilik aku ni? Macam mana kau boleh masuk?”, soalan wanita itu dibalas dengan soalan juga oleh Hakim.


“Eh, apa pula bilik kau. Ini bilik aku lah..!!”, jawab wanita itu tegas.


“Bilik aku..”, kata Hakim pula. Pantas tangannya mengambil kad yang diberikan oleh pekerja hotel kepadanya awal pagi tadi. Wanita itu menelek sebentar kad yang berada di tangan hakim. Suite 6019’. Wanita itu menggaru kepalanya yang tidak gatal.


Eh, betullah ni bilik Suite 6019. Tapi macam mana pula boleh sama dengan nombor bilik aku. Takkanlah..? Secara tiba-tiba Fazureen bingkas seraya pergi ke meja solek untuk mengambil kunci biliknya pula. Ingin melihat, siapa yang salah sebenarnya. Fazureen bangun sambil menarik selimutnya bersama. Bimbang lelaki yang tidak dikenali dihadapannya ini melihatnya dalam gaun tidur yang sangat jarang itu. Hiss..!! Seksi..


Setelah kunci biliknya dicapai, Fazureen melangkah kembali ke arah lelaki itu. Sekali lagi Fazureen terjerit apabila melihat lelaki itu yang tidak berbaju dan hanya berseluar pendek itu. Wanita tersebut terus berselubung dalam selimut. Menutupi seratus peratus tubuhnya. Dah macam kura-kura, rupanya..


Hakim yang terkejut dengan jeritan wanita itu buat sekian kalinya, baru tersedar akan keadaan dirinya.Pantas dia terjun ke atas lantai sambil merangkak ke bahagian penyidai untuk mencapai tuala yang tersidai. Selepas mengikat tuala tersebut dengan kemas dipinggangnya, barulah Hakim mendekati wanita tersebut.


“Dah ke..?”, tanya wanita itu perlahan.


“Dah..”


“Eh, tu tuala aku lah..!”, tegur wanita itu sebaik sahaja mengalihkan selimut dimukanya.


“Habis.. kau nak aku londeh kat sini ke?”, tanya Hakim sinis. Hal tuala pun sibuk nak berkira, getus hati Hakim. Eh, aku pun ada tuala la..!


“Err.. tak pe.. tak pe.. kau pakai je..”, gelabah Fazureen mendengarkan kata-kata lelaki tersebut.


“Hah.. mana kunci engkau..?”, tanya Hakim untuk mendapatkan kebenaran. Tanpa banyak soal, wanita tersebut menyerahkan kunci padanya. Hah? ‘Suite 6019’ juga??!


Ketukan dipintu yang bertalu-talu telah menggandakan rasa terkejut di dada Hakim. Namun, rasa terkejut itu ibarat telah dikuasatigakan apabila insan-insan yang berada di hadapan pintu itu mendakwa mereka daripada Pejabat Agama, Johor Bahru.


“Ah.. sudah..”, kata hati Hakim.


* * *


“Apa yang kau dah buat ni, Hakim?”, tanya Encik Rahaman, papa kepada Hakim. Buntang mata Hakim tatkala dia disergah begitu sebaik sahaja dia tiba di suatu bilik yang terdapat di Pejabat Agama tersebut.


“Cepatnya papa sampai ke sini, naik private jet ke?”, sempat lagi Hakim hendak berculacon. Sengihan kelat pula sengaja ditayangkan buat ayahnya. Jegilan mata papanya cuba tidak diendahkannya. Tidak mahu suasana disitu makin tegang. Mata Hakim sempat mengerling pada seorang lagi lelaki yang seusia ayahnya yang turut berada disitu. Ayah wanita ini barangkali, telahnya.


“So, macam mana ni Bang Aji”, tanya lelaki yang tidak dikenalinya itu kepada pegawai yang ‘mencekup’ mereka tadi.


“Melihatkan kepada keadaan mereka berdua ni semasa diserbu, rasanya lebih baik mereka ini dinikahkan”


“Apa nikah?!!”, jerit wanita itu. Terkejut Hakim dibuatnya. Kuat menjerit betullah dia ni, kutuk Hakim di dalam hati.


“Reen.. kamu diam..!!”, marah lelaki itu lagi.


“Tak naklah papa.. Reen tak salah. Pihak hotel yang salah. Diorang kasi kunci bilik yang sama kat kita orang. Lepas tu kita orang pulak tak perasan. Semuanya ni salah faham je, papa, pak cik.. tok aji lebai..”, bangkang wanita itu selamba sambil tangannya membetul-betulkan rambutnya yang serabai. Isk.. rimas aku..


“Hah.. kamu Hakim, tak mahu cakap apa-apa?!”, tanya papa sinis.


“Nak cakap apa? Betullah apa yang perempuan ni cakap..”, jawab Hakim acuh tak acuh. Wah!! Memang selamba habis mereka berdua nih..


“Hmm.. kalau macam tu kita nikahkan sajalah budak berdua nih!! Konon-kononnya tak kenal.. Pihak hotel salah bagi kunci bilik… Tapi belum apa-apa jawapannya sudah sepakat. Kalau macam tu kita berbesan ajelah, Encik Fauzi..”, terbeliak mata dan terlopong mulut Hakim dan Fazureen mendengarkan usul Encik Rahaman itu. Biar betul? Ingat berjaya bela diri tadi.. Rupa-rupanya kantoi juga. Isk..


“Yelah. Nampak gayanya itulah yang terbaik buat masa sekarang nih. Kalau macam tu, saya minta pernikahannya dibuat dua hari dari sekarang boleh, Pak Aji? Sebab saya ingat nak suruh budak berdua ni ambil kursus kahwin dulu hari ni. Esok pula, kita buat persediaan apa yang patut. Walaupun, perkahwinan ini sebab tangkap basah. Tapi saya nak juga meraikannya. Almaklumlah, Reen ni anak tunggal saya…”, balas Encik Fauzi panjang lebar. Pegawai yang digelar Pak Aji itu pula hanya mengangguk kepala tanda bersetuju dengan usul yang diberikan oleh papa Fazureen tadi.


“Yelah..”, kata Encik Rahaman tanda memberikan persetujuan sambil menepuk bahu Encik Fauzi. Mereka ketawa dan terus berlalu meninggalkan Fazureen dan Hakim yang terpinga-pinga. Wah!! Gembiranya mereka nak dapat menantu..


* * *



“Woi.. kau tak bosan ke?”, tanya Hakim. Sudah lebih enam jam mereka dikurung bersama di dalam bilik itu bagi menghadiri kursus perkhawinan. Awal pagi tadi, setelah bapa masing-masing telah mengambil kata sepakat untuk menikahkan mereka, mereka hanya diberikan satu jam untuk membersihkan diri, bersiap dan bersolat. Setelah itu mereka terus kembali dikurung di dalam bilik ini. Sekarang mereka sedang menantikan juadah makanan tengah hari mereka tiba.


“Bosanlah.. tak fasal-fasal hari ni satu hari kena dengar ceramah..”, rungut Fazureen pula. Adeh.. lusa dah nak kena kawin dengan mamat ni..


“Weh.. kau kerja apa? Kau ada planning ke nak buat apa lepas ni?”, tanya Fazureen pula.


“Perlu ke kau tau aku kerja apa? Kenapa kau nak tau apa planning aku, kau nak ajak aku pergi dating ke?”, tanya Hakim dengan wajah yang sangat kerek. Nyampah pula Fazureen melihatnya. Satu cebikkan diberikan kepada Hakim.


“Hek eleh.. Perasan la kau ni. Mesti la aku kena tau kau kerja apa. Naya la aku kalau kahwin dengan perompak ke ape..?”, balas Fazureen selamba.


“Hoi..! Aku sikit punya hensem cenggini ko cakap aku ni penyamun… Kureng asam boi betullah kau nih..!! Hmm.. fasal apa kita nak buat lepas ni malam nanti aku fikirkan. Malam nikah kita aku bagi tau kau..”, kata Hakim pula. Fazureen pula hanya mengangguk kepala. Malas untuk memanjangkan bicara.


* * *



“Aku terima nikahnya Fazureen binti Fauzi dengan mas kahwinnya sebanyak seratus dua puluh ringgit, tunai..”, dengan sekali lafaz sahaja Hakim dan Fazureen kini sudah bergelar suami-isteri. Fuhh!! Hakim menarik nafas lega. Selesai juga semuanya akhirnya. Mujur juga nama si Fazureen itu pendek saja. Kalau tidak mahu terbelit lidahnya.

* * *


“So, apa perancangan kau?”, tanya Fazureen sebaik sahaja Hakim melangkah masuk ke dalam bilik mereka setelah penat melayan tetamu-tetamu yang hadir pada kenduri pernikahan mereka. Kenduri pada malam ini hanyalah kenduri kecil-kecilan sahaja. Majlis resepsinya hanya akan diadakan dua bulan dari sekarang. Kata mama, bagi peluang untuk mereka berdua saling bermesraan dahulu. Huh!! Bermesraan..


“Sabarlah, bagi la aku duduk dulu. Kau ni gelojoh betullah..”, balas Hakim pula seraya melabuhkan punggungnya di atas katil yang berhias indah. Isk.. perempuan nih.. tak menyempat-nyempat.


“Kau nak bilik asing ke?”, Hakim memulakan bicara.


“Kalau kau tak kisah..”, jawab Fazureen ringkas. Hmm.. best jugak kalau boleh dapat bilik asing. Selamat sikit aku, kata hati Fazureen sambil ketawa kecil.


“Hm.. aku ok je. Tapi kita tetap akan tunaikan tanggung jawab kita sebagai suami isteri. Ni kiranya sebagai syarat ajelah. Syarat bagi lepas tanggung jawab kau dengan aku. Ok?”, Hakim menyambung bicara.


“Maksud kau?”


“Macam ni.. Dalam kursus semalam ada cakapkan, tanggungjawab suami adalah untuk memberikan nafkah zahir dan batin kepada isteri. So, kita buat apa yang wajib je sebagai syarat tak senget bahu aku kat akhirat nanti”, terang Hakim panjang lebar.

“Maksudnya, kau nak suruh aku tidur dengan kau ke?”, tanya Fazureen pula. Cuba mendapat kepastian tentang maksud ayat Hakim tadi.


“A’ah, tapi sebagai cukup syarat je..”


“Aku tak faham.. Macam mana pula tu?”, tanya Fazureen sambil menggaru lehernya yang tiba-tiba terasa gatal.


“Macam ni.. hmm.. hari ni hari ape..?”, isk.. ada kaitan ke dengan hari rancangan dia ni, rungut Fazureen dalam hati.


“Rabu..”, jawab Fazureen ringkas. Hari pun tak tahu.


“Ok.. Gini.. Setiap hari rabu kau akan tidur dengan aku sebagai syarat untuk melepaskan tanggungjawab aku pada kau. Zahir dan batin. Duit sara hidup aku bagi kau dua ribu sebulan. Kira tu untuk tanggungan perbelanjaan rumahlah. Hari-hari lain kita boleh buat aktiviti sendiri.. “, terang Hakim pada Fazureen akan rancangannya.


Fazureen pula kelihatan seperti terkulat-kulat cuba untuk mencerna apa yang telah diterangkannya tadi. Logik ke?


“Hah.. ada lagi.. Dalam sebulan kau kena tidur dengan aku sekurang-kurangnya empat kali..”, tambah Hakim lagi.


“Eh.. mana boleh macam tu. Dalam sebulan paling tidak aku seminggu datang bulan. Mana boleh tidur dengan kau waktu tu..”, sanggah Fazureen pula. Boleh ke kita orang buat macam ni..


“So, aku akan bagi nafkah untuk ko bagi minggu yang ko uzur tu secara in-advace lah. Harinya biar aku saja yang pilih. Kalau aku suruh kau takut kau segan pulak nanti. Hmm.. sama gak kalau ada minggu yang aku kena pergi outstation. Semuanya akan kita selesaikan secara in-advance. Tapi kalau tak dapat jugak kira aku berhutang la dengan kau. Hmm.. macam mana.. setuju?”, tanya Hakim lagi bagi mendapatkan persetujuan daripada Fazureen.


“Perlu ke kita buat macam tu? Kalau kita buat bodoh je and hidup sendiri-sendiri tak boleh ke?”


“Masalahnya tanggungjawab tu wajib. Kau nak ke tanggung dosa free macam tu? Tak nak aku.. Dah la aku cakap kat papa yang aku dah bertaubat. Sekali kau pulak nak ajak aku buat dosa. Kau nak tanggung dosa tu kat akhirat nanti?”, tanya Hakim lagi. Fazureen hanya menggeleng.


“Hah..!! Dah tu tunggu apa lagi. Jomlah..”


“Sekarang ke?”


“Yelah.. hari ni kan hari Rabu”, kata Hakim sambil meraih tangan Fazureen sebelum lampu bilik mereka dipadamkan.


* * *

Sebulan telah berlalu…


“Weh.. minggu depan aku outstation seminggu. So, malam ni ‘hari rabu’. Ko jangan balik lambat pulak..”, pesan Hakim ringkas sebelum meletakkan telefon.


Fazureen menepuk dahinya tatkala mendengarkan pesanan dari Hakimi melalui peti simpanan suara telefon bimbitnya. Adeh!! Malam ni ‘hari rabu ‘ la pulak.. Aku baru planning nak pergi enjoy dengan Sarah. Pantas diari dihadapannya dibuka dan ditandanya pangkah pada tarikh hari ini. Entah mengapa Fazureen akan menanda pada diarinya setiap kali ‘hari rabu’ menjelma.

Tiga bulan kemudian…


“Reen, hari ni kita duduk kat rumah sajalah ye. ‘Hari rabu’ in-advance. Esok aku ada kerja nak buat..”, Fazureen menggaru kepalanya. Pelik. Rasa seperti ada yang tidak kena. Serasa seperti kerap benar ‘hari rabu’ menjelma. Pantas diarinya dibuka. Silang pangkah yang berada di dalam bahagian planner di dalam diari tersebut dikiranya. Dua puluh lima silang pangkah. Eh.. Jap.. Macam mana boleh sampai dua puluh lima kali silang pangkah ni? Dalam empat bulan bukan ke hanya ada lebih kurang enam belas kali hari Rabu? Masakan pula ‘hari rabu’ mereka mencecah dua puluh lima kali??

* * *



“Weh.. Aku nak tanya sikit..”, kata Fazureen pada suatu malam ketika dia berada di bilik Hakim.


“Hmm.. apa?”, Hakim menoleh sambil melihat wajah Fazureen. Cuba untuk memberikan perhatian kepada apa yang bakal Fazureen tanyakan. Renungan lembut dari matanya menyapa wajah bersih dihadapannya.


Fazureen mengambil diari yang berada di atas meja solek, lalu diunjukkan kepada Hakim.


“Kau buka dan kiralah..”, kata Fazureen pula. Hakim membuka diari tersebut lalu diselaknya helaian muka surat yang berada di dalam diari itu. Setelah menyelak beberapa muka surat, Hakim memandang wajah Fazureen sambil mengangkat kening. Sebagai maksud – Nak suruh kira apa?.


“Kiralah silang pangkah yang ada dalam tu..”, jawab Fazureen seakan dapat memahami pertanyaan bisu Hakim tadi.


“Berapa?”, tanya Fazureen setelah beberapa ketika Hakim mendiamkan diri.


“Dua puluh lima..”, jawab Hakim acuh tak acuh. Keningnya dikerutkan. Tidak faham apa maksud tanda silang pangkah itu.


“Silang pangkah ni untuk apa?”, terpacul jua soalan yang berlegar dibenaknya.


“Hari rabu”, jawab Fazureen ringkas.


“Adeh.. kantoi.. Maksudnya kau memang tanda setiap kali ‘hari rabu’ kita?”, tanya Hakim sambil menepuk dahinya. Sengihan kerang busuk pula terselit dibibirnya. Fazureen tidak faham maksud kantoi Hakim itu, tetapi kepalanya mengiyakan pertanyaan Hakim.


“Jadi kau dah sedarlah ya..”, tanya Hakim lagi.


“Apa maksud kau?”, tanya Fazureen sambil mengerutkan dahi.


“Bilangan ‘hari rabu’ kita.. lebih daripada sepatutnya..”


“Macam mana boleh jadi macam tu?”, sungguh Fazureen tidak faham.


“Reen.. aku sayang kau lah ngok..!! Sebab tu aku saja cakap ada kerja la itu ini.. Kau tak perasan ke, sejak kita kahwin mana pernah aku pergi outstation lagi…?”, tanya Hakim sambil tersengih. Lega hatinya kerana dapat meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya sejak selepas dua minggu pernikahan mereka. Entah mengapa hatinya terpaut pada Fazureen, isterinya.


“Ya Allah.. terkena aku..”, kata Fazureen sambil menggosok kepalanya tanda tidak percaya. Dia tertipu selama ini. Isk.. aku ni..


“Sebenarnya aku plan nak bagi tau perkara ni bila kau pragnent nanti. Sebab tu banyak sangat ‘hari rabu’ kita. Hehe.. Aku risau kalau aku bagi tau awal-awal kau nak lari pulak dari aku. Atleast kalau dah ada baby kau memang confirm tak boleh lari..”, wah..!! licik betul perancangan si Hakim ni. Macam tak percaya Fazureen mendengarnya.


“Sejak bila kau mula suka aku?”


“Entah.. Dua minggu lepas kita nikah kot..”, jawab Hakim sambil angkat bahu.


“Kalau macam tu aku pun ada benda nak bagi tahu ni..”, Hakim mengangkat keningnya sambil tersenyum.


“Aku pragnent..”


“Hah.. Yuhuuuuuuuuuuu!!”, kata Hakim sambil terloncat gembira. Jadi juga planning aku akhirnya.. Yaaaahooooooo….!!! Fazureen pula hanya tersenyum melihat telatah suaminya…


* * *



“Papa.. mama.. kita orang ada news nak bagi tahu..”, kata Hakim kepada ibu bapa dan mertuanya. Sengaja dia mengajak mereka semua makan malam di restoran pada malam itu. Jari jemari Fazureen digenggamnya erat dibawah meja.


“Papa.. mama semua bakal dapat cucu..”, kata Hakim lagi. Fazureen pula tertunduk malu.


“Yes..!! Menjadi juga planning kita..”, kata Encik Rahaman kepada Encik Fauzi sambil membuat high-five.


“Hah..!! Planning..”, bulat mata Hakim dan Fazureen. Rupanya kejadian tangkap basah itu semua adalah rancangan ayah mereka bersama.


“Cis..!! Terkena lagi aku..”, kata Fazureen tiba-tiba.


Pecah tawa mereka semua yang berada di meja itu. Suara yang paling kuat sudah semestinyalah Hakim sendiri. Faham akan maksud Fazureen itu. Merintik merah muka Fazureen ketawakan oleh ibu bapa dan mertuanya.


“Reen..”, Fazureen menoleh pada Hakim.


“I love you so much. Thank you..”, ucap Hakim dalam nada yang cukup romantis. Mata mereka juga turut beradu. Dan hati mereka juga turut menyanyikan lagu yang sama – Aku cinta padamu.

Cerpen : Hanyalah Kerna Nama


“Haritz dah balik ke abahnye?”, tanya Mak Temah kepada suaminya.


“Hm.. sudah..”, Pak Lebai Hashim menjawab.


“Kenapa dia ke sini bang?”, risik Mak Temah lagi.


“Eh, awak ni. Yang dok sibuk tanya saya itu ini kenapa? Adalah hal orang lelaki.. Itu pun awak nak ambil tahu jugak”, tegur Pak Lebai Hashim kepada isterinya. Kadang-kadang rimas juga bila isterinya itu asyik banyak tanya.


“Alah awak ni, takkan saya nak tanya pun tak boleh. Yang tiba-tiba awak nak marah saya kenapa?”, kata Mak Temah sambil menarik muka. Tidak puas hati dengan sikap Pak Lebai Hashim yang kadang-kala cepat naik marah.


“Nak kata awak tu datang bulan, awak tu lelaki. Hiss!! Entah la tak faham saya”, bebel Mak Temah sambil melangkahkan kaki ke dapur. Juadah makan malam mereka masih belum tersedia. Semuanya gara-gara dia menghendap suaminya bersama Haritz tadi.


“Eleh cakapkan orang. Awak tu pun masih datang bulan ke?”, usik Pak Lebai Hashim sambil ketawa-ketawa. Sengaja ingin mengusik isterinya. Sudah tua-tua begini apa lagi lah yang boleh mereka lakukan di rumah ini. Aku tengok kau, kau renung aku. Aku jeling kau, kau jelirkan aku. Hehe.. Rasa macam zaman muda-muda dulu pula. Dahlah anak-anak pun tak ada…


“Eh.. eh.. abahnye.. Ke situ pulak perginya..”, bebel Mak Temah sambil membawa pisau ke depan rumah. Pisau itu disuakan kepada suaminya.


“Mak aih.. Takkan sebab saya cakap awak dah tak datang bulan, awak dah nak tikam saya. Biar betul Mak Temah ooii.!!”, kata Pak Lebai Hashim sambil mengesot sedikit ke belakang. Menjauhkan diri dari pisau.


“Tak ada maknanya saya nak tikam awak. Saya pun takut jugak nak jadi janda, abahnya. Dah la tuh. Jangan dok ngarut lagi. Abahnye, tolong saya amikkan serai, bunga kantan, daun kaduk dengan daun-daun ulaman yang ada kat baruh sana”, pinta Mak Temah. Cadangnya hari ni, dia ingin memasak nasi ulam sebagai juadah makan malam mereka. Sedap dan berkhasiat, kata hatinya.


“Nak buat nasi ulam ke, maknye?”, tanya Pak Lebai Hashim.


“Gitulah cadangnya, abahnye”, jawab Mak Temah sambil berlenggang masuk ke dalam rumah. Namun langkahnya dihentikan apabila terdengar jeritan daripada suaminya.


“Bakulnya mana?”


“Lah.. Nak buat apa bakul-bakul ni abahnya..? Amik secekak udah la. Nak makan pun kita berdua aje..”, balas Mak Temah sambil mengerut dahi. Isk.. nak buat kenduri ke ape abahnye ni..



* * *



“Mak aih, abahnye. Nak buat apa daun banyak-banyak sangat ni? Ingat kita ni kambing ke nak makan ulam saja?!! Kalau ye pun awak suka nasi ulam saya, tak payah la sampai cenggini sekali awak amiknya”, terkejut benar Mak Temah melihat pekakas nasi ulam yang dibawa oleh suaminya itu. Ulam raja, bunga kantan, daun kaduk, daun sekentut, daun limau purut dan juga beberapa jenis ulaman lain lagi. Setiap satunya satu plastik banyaknya. Kalau macam ni, dua orang makan, mahu sebulan pun belum habis nasi ulam aku, getus hati Mak Temah.


“Lada, bawang dengan ikan keringnya ada banyak ke emaknye?”, tanya Pak Lebai Hashim. Soalan isterinya itu dibiarkan sahaja berlalu.


“Setakat nak melantak kita dua je cukup la, abahnye”


“Hmm.. kalau macam tu saya pergi kedai dululah. Takut pekakasnya tak cukup tak sedap pula nanti..”, kata Pak Lebai Hashim pula. Masih mahu berahsia dengan isterinya.


“Banyak-banyak nak buat apa, abahnya? Hiss..!! Tak faham lah saya”, kata Mak Temah sambil menggaru kepalanya. Apa kena dengan laki aku ni? Dah buang tebiat ke?


“Yelah.. kalau nak makan berdua memang la cukup. Masalahnya, malam nanti Haritz sekeluarga nak bertandang ke sini. Nak meminang katanya..”, terang Pak Lebai Hashim dengan panjang lebarnya.


“Hah? Datang meminang. Siapa? Arijah ke Arifah?”, Mak Temah mula kalut dengan berita itu.


“Entah. Tak pula saya tanya tadi. Tapi bukan ke si dak Haritz tu berkawan dengannye si Ijah. Sejak bila pula dia kawan dengan si Ipah?”, setahunya Haritz dan Arijah sebaya. Takkan pula nak meminang adiknya kalau dah berkawan dengan kakaknya.


* * *


Ayam ke kebun mengais padi

Habis bersepah berserakan

Datang kami bersama hajat dihati

Menuai padi penuh dilaman


Bah Leman, bapa saudara Haritz menjual pantun kepada Pak Lebai Hashim dan isteri sebagai tanda memulakan adat meminang.


“Hah? Tuai padi, abahnye?”, spontan terpacul pertanyaan itu dari bibir Mak Temah. Padi ke? Bukan selalu orang cakap ‘menyunting bunga di taman’ ke? Kenapa pulak dekat anak aku dah tukar jadi padi pulak ni?


“Eh, silap. Mahapkan saya. ‘Nerbes’ bak kata orang putih. Dah tiga hari saya hafal pantun tu. Tapi tak sangka masih salah juga”, kata Bah Leman sambil disambut dengan ketawa dari ahli keluarga yang mengikuti rombongan meminang. Begitu juga dengan Mak Temah dan Pak Lebai Hashim.


“Kalau begitu mahal sikit la harganya. Tak gitu Bah Leman?”, seloroh Pak Lebai Hashim. Sekali lagi ruang rumah Pak Lebai Hashim bergema dengan ketawa.


“Beginilah. Saya rasa tak perlulah kita berpantun seloka pula. Nanti yang nak minangnya tak jadi, lain pula ceritanya”, sampuk Karim Keding, adik kepada Bah Leman.


Pak Lebai Hashim hanya menganggukan kepalanya tanda bersetuju.


Bah Leman berdehem seketika sebelum membuka bicara.


“Kedatangan kami pada malam ini sebenarnya membawa hajat. Hajat nak petik bunga yang sedang mekar di taman Abang Lebai. Dengar katanya, masih belum berpunya”, Bah Leman selaku ketua rombongan memulakan bicara.


“Oh.. Begitu rupanya hajat semuanya datang ke mari. Tapi, nak juga saya tanyakan di sini. Ada dua jambangan bunga di taman kami, mana satu yang jadi pilihan hati?”, balas Pak Lebai pula juga dalam ayat yang berkias.


“Pilihan teruna kami adalah Ari.. “, huk..huk.. huk… terkejut Bah Leman dengan batuk Karim yang tiba-tiba. Tanpa sedar bibirnya menyebut satu nama.


“Arifah…”

* * *



“Apa mak? Kenapa pulak Ipah yang nak kena kahwin dengan abang Haritz? Dia kekasih kakak la mak..”, protes Arifah. Sungguh dia tidak mengerti mengapa dirinya yang disunting oleh Abang Haritz dan bukan kakaknya, Arijah.


“Entah-entah mak salah dengar tak?”, tambah Arifah lagi.


“Ish.. kamu ni. Takkanlah mak tak tahu nama anak mak sendiri. Dah jangan banyak songeh. Abah kau dah terima dah pun peminangan tu..”, malas Mak Temah nak melawan protes dari Arifah itu.


“Ipah tak nak mak. Kesian kat Kak Ari.. Ipah tahu Kak Ari sayangkan Abang Haritz”, Arifah cuba memohon pengertian ibunya. Bimbang sekiranya semua ini bakal melukakan hati kakaknya. Selama ini mereka berdua rapat dan saling berkongsi cerita. Mustahil baginya tidak mengetahui siapa insan yang sentiasa bertakhta di hati kakaknya dari dulu hingga kini. Tak sanggup rasanya nak mengkhianati kakaknya. Tambahan pula, dirinya tidak pernah ada hati pada Abang Haritz.


“Itu mak pun tahu. Tapi mak nak buat macam mana? Dia datang nak pinang Ipah. Bukannya Kak Ari..”, balas Mak Temah pula.


“Dah.. hujung minggu ni Ipah balik. Ahad ni Ipah bertunang. Minggu depannya terus nikah. Abahnye kata si Haritz tu nak nikah cepat sebab dia nak kena pergi ‘obersea’ dua bulan lagi”, arah Mak Temah pada Arifah.


“Ya Allah.. Cepatnya mak.. Tak naklah Ipah”, protes Arifah lagi.


“Dah..! Kau jangan nak banyak songel. Jangan nak cuba malukan mak dengan abahnye. Mak tak pernah ajar anak-anak mak jadi anak derhaka. Dah balik je. Jangan banyak bunyi”, marah Mak Temah apabila Arifah masih lagi ingin menyanggah kata-katanya.



* * *



“Maafkan Ipah, kak. Ipah dah cuba tak nak terima. Tapi mak tetap paksa Ipah. Takut abah malu katanya”, ngongoi Arifah pada Arijah, malam sebelum majlis pertunangan bakal dilangsungkan. Pedih hati Arifah melihat wajah kakaknya yang masih cuba tersenyum walaupun hakikatnya Arifah tahu hati kakaknya menangis di dalam. Siapa tidak sedih bila kasih yang ditanam sejak empat tahun yang lalu, membuahkan hasil di taman larangan. Langsung tak boleh disentuh atau dipegang. Apatah lagi untuk menjamahnya.


“Tak pelah, dik. Bukan jodoh akak. Nak buat macam mana”, kata Arijah sambil tersenyum pahit.


“Tapi malu jugalah akak rasa. Mana tidaknya, selama ini akak rasa macam Haritz cintakan akak. Rupanya dia cintakan Ipah. Semoga bahagia ye dik..”, sedaya upaya ditahannya air mata dari mengalir di hadapan adiknya, bimbang Arifah berasa serba salah. Dia mahu adiknya bernikah dengan tabah.


* * *



Majlis pertunangan berjalan dengan meriah. Arifah dihias indah dengan baju kebaya berwarna hijau muda bersama selendang dikepala. Disisinya pula terdapat Arijah yang sentiasa menemani adiknya disepanjang majlis pertunangan itu berlangsung. Cahaya kamera tidak berhenti-henti berkelip. Katanya itu permintaan daripada Haritz sendiri. Buat bekal rindu. Almaklumlah sepanjang majlis ini berlangsung, Haritz tiada disini. Dia berada di Johor Bharu atas urusan kerja. Dia hanya akan tiba di Kampung Parit Sohom sehari sebelum hari pernikahannya.


* * *


“Pojie, cepatlah hantar email pada abang gambar majlis tunang semalam”, sudah tidak sabar rasanya hati untuk melihat wajah insan tersayang yang kini bergelar tunangan. Tidak sangka kasih yang disemai sejak empat tahun yang lalu akhirnya akan membuahkan hasil tidak lama lagi. Yosh!! Tak sabar rasanya hati nak menantikan hadirnya hari bersejarah itu. Hari pernikahan aku dan si dia.


“Kejap la bang. Pojie tengah upload gambar ni. Banyak tahu..”, marah Pojie apabila terus-terusan didesak oleh Haritz sejak malam majlis pertunangan itu berlangsung lagi.


“Alah.. Satu pun tak ape lah dulu. Abang dah rindu ni”


“Ha.. yelah. Abang nak gambar yang mana satu?”, tanya Pojie lagi.


“Hmm.. Abang nak gambar waktu mama sarung cincin”, balas Haritz dengan rasa teruja yang amat sangat.


75%... 81%... 85%..


“Lama lagi ke Pojie”, jerit Haritz dari dalam telefon. Rasanya terlalu lama masa yang diambil oleh adiknya itu untuk meng’upload’ satu gambar.


“Kejaplah.. Abang ni tak sabar-sabarlah. His.. malang sungguh tunang abang ni dapat bakal suami macam ni”, bebel Pojie pula.


99%.. Completed


Send.


“Wokeh, bang. Pojie dah send. Hmm.. tengoklah gambar Kak Ari..”, belum sempat Pojie menghabiskan ayatnya, Haritz telah memutuskan talian. Bersemangat benar Haritz ingin melihat gambar majlis pertunangannya itu.


* * *



Buntang mata Haritz apabila melihat gambar yang telah dihantar oleh Pojie tadi. Kelihatan mamanya yang sedang menyarungkan cincin pertunangan ke jari Arifah. Manakala Arijah pula duduk tertunduk elok disebelah adiknya. Pakaiannya pula hanyalah biasa-biasa. Tidak seperti orang bertunang lagaknya. Haritz cuba membandingkan Arifah dan Arijah. Biar betul? Kenapa aku bertunang dengan Arifah pula? Kenapa bukan Arijah? Atau adik sengaja buat gimik? Ni gambar super-imposed sebenarnya? Kalut Haritz memikirkan segala kemungkinan yang ada. Gambar yang dicetaknya sebentar tadi direnung lama. Wajah Arijah ternyata muram sahaja. Begitu juga dengan Arifah. Nampak sangat senyuman dibibirnya adalah senyuman plastic. Bukan comel seperti selalunya.


“Ya Allah.. Pak Lang salah pinang ke hari tu?”


* * *



“Ari.. Ari kena dengar penjelasan dari Haritz dulu”, pujuk Haritz. Semenjak menyedari kesilapan yang berlaku, serta merta Haritz pulang ke kampung. Semuanya harus diperbetulkan dengan segera. Ini soal masa depan dan kebahagiaan. Dirinya tidak mencintai Arifah tetapi Arijah.


“Haritz.. Apa yang Haritz nak katakan lagi? Ari faham. Semenjak Ari dapat tahu berita Itz pinang Ipah hari tu pun Ari dah faham semuanya. Ari dah faham yang selama ini Ari perasan sendiri, rupanya. Tak malunya Ari. Perasan orang sukakan kita, rupa-rupanya orang sukakan adik sendiri”, kata Arijah sebelum berlalu. Belum pun tiga langkah Arijah pergi, Haritz telah menangkap lengan Arijah kejap. Tidak mahu Arijah pergi.


“Ari.. dengar dulu..”


“Nak dengar apa lagi? Sekarang ni Itz tunangan Ipah. Adik Ari sendiri. Dah la Itz, biarkan Ari pergi. Tak elok kalau orang nampak kita di sini”, kata Arijah sambil cuba meloloskan diri.


“No.. Tak boleh. Itz tak cintakan Ipah. Itz cintakan Ari. Jangan harap Itz akan lepaskan Ari pergi. Lantaklah apa pun yang nak terjadi”, kata Haritz tekad.


“Itz jangan nak buat gila ya.. Itz tunangan Ipah.. Bukan Ari..”, jerit Arijah lagi. Mutiara jernih yang ditahannya sejak dulu akhirnya jatuh juga. Kalah dihadapan Haritz. Lelaki yang sangat dia cinta.


“No.. Come..”, jawab Haritz tegas sambil mengheret tangan Arijah menuju ke rumah. Sesampainya di perkarangan rumah, Haritz melaung memberikan salam dan memanggil nama abah. Tidak lama kemudian, abah keluar dengan dahi yang berkerut.


“Eh… apa yang terjadi ni? Haritz.. Ari?”, tanya Pak Lebai Hashim. Aneh pula rasanya melihat Haritz yang sedang erat memegang pergelangan tangan Arijah.


“Pak cik, saya ada suatu perkara yang nak dibincangkan”, kata Haritz kalut. Lelah dia mengheret Arijah tadi masih belum hilang. Walaupun cuma 50 meter sahaja jaraknya, namun keadaan Arijah yang meronta membuatkan tenaga yang perlu digunakannya berganda.


“Kalau begitu, jemput naiklah Haritz”, Pak Lebai Hashim menjemput bakal menantunya naik ke rumah. Haritz melangkah masuk ke rumah. Namun, pegangan pada tangan Arijah masih belum dilepaskannya.


Arijah merentap tangannya sebaik sahaja mereka berada di ruang tengah rumah. Jelingan tajam mak begitu membuatkan hatinya kecut.


“Duduklah Haritz. Hmm.. Apa hajatnya kamu datang ke mari ni?”, tanya Mak Temah pula. Entah mengapa dia rasa tidak sedap hati dengan kunjungan Haritz kali ini.


Ada perkara yang perlu saya bincangkan, pak cik, mak cik..”, kata Haritz sambil mundar-mandir di ruang tengah rumah itu. Melihatkan keadaan bakal menantunya yang tidak tentu arah, Pak Lebai Hashim bangun dan memegang bahu Haritz. Haritz disuruhnya bertenang dan duduk.


Cuak pula rasa hati Arijah melihatkan keadaan Haritz yang sebegitu. Haritz selalunya lelaki yang tenang. Lelaki yang panjang akal. Namun, entah mengapa semuanya hilang pada hari itu. Perlahan-lahan Arijah pergi ke dapur lalu mengambilkan air buat Haritz. Mungkin kegugupan Haritz boleh dikurangkan dengan meminum air.


“Terima kasih”, ucap Haritz sebaik sahaja Arijah meletakkan minuman dihadapannya. Minuman tersebut diambilnya dan dihirup sedikit. Setelah merasakan kegugupannya semakin berkurang, barulah Haritz bersuara.


“Pak cik, mak cik. Sebenarnya ini semua satu kesilapan. Pak Lang saya hari tu salah pinang orang”, buntang mata Mak Temah mendengar kata-kata Haritz itu.


“Kamu biar betul, Haritz”, seru ayah.


“Kamu jangan nak mengarut Haritz. Kamu dah bertunang dengan Ipah. Hujung minggu ni dah nak nikah. Kamu tak kesian ke kat Ipah? Kamu nak malukan dia? Tidak. Mak cik takkan benarkan kamu buat macam tu”, pintas Mak Temah tiba-tiba sebelum Haritz mampu berkata apa-apa.


“Tapi..”, Haritz masih cuba untuk memperbaiki keadaan.


“Dah.. tak ada tapi-tapi..”


* * *



Akad dan nikah akhirnya terlafaz sudah. Maka status Haritz kini telah bertukar sudah. Namun air matanya menitis sebaik sahaja lafaz sah disebut oleh Pak Lebai Hashim, yang menikahkannya tadi. Pak Lebai Hashim menepuk bahu menantunya itu sebagai tanda suruh bersabar. Walauapa pun yang berlaku, kini segalanya berjalan lancar. Apa yang berlaku biarlah terus berlalu.


Kini tibalah masa untuk upacara membatalkan air sembahyang. Haritz bangun. Samping songket yang dipakainya dibetulkan sedikit oleh Pojie sebelum Haritz melangkahkan kaki menuju ke bilik pengantin. Isterinya sedang menanti disitu.


“Assalamualaikum”, ucapnya sebelum tangan isterinya diraih bagi menyarungkan cincin ke jari manis isterinya. Menggeletar tangan keduanya.


“Waalaikumussalam”, salam Haritz dijawab. Haritz dapat mendengar salamnya itu dijawab dengan suara yang bergetar. Kemudian, Haritz dapat merasakan ada air hangat yang menitis ke tangannya. Haritz juga cuba menahan rasa sebak dihati. Dahi isterinya itu dikucupnya lama.


“Tahniah, Kak Ari. Selamat pengantin baru..”, ucap Arifah dalam nada yang terharu. Ceria sungguh dia pada hari itu. Akhirnya kak Arijah selamat diijabkabulkan dengan insan yang paling dicintainya selama ini. Mujurlah kesungguhan Abang Haritz akhirnya mampu memujuk emak untuk membetulkan keadaan. Jika tidak, sudah pasti mereka bertiga sama-sama menderita.


“Perkara yang berlaku ini semuanya hanyalah kerna nama. Jika nama mereka jauh berbeza, sudah pasti derita ini tidak akan kunjung tiba. Oleh itu, Arifah berazam supaya anaknya nanti tidak akan diberikan nama yang hampir sama. Supaya kisah yang berlaku kini tidak akan berulang lagi. Huhu.. Semuanya hanyalah kerna nama”, kata Arifah sendiri.


-------------------------------------------------------------------------------------

Hai kengkawan.. Cerita ini merupakan cerpen pertama hasil nukilan Lea. Sebelum ini Lea tak pernah ada pengalaman dalam menulis cerpen. Hehe.. Almaklumlah.. Lea ni suka tulis panjang berjela.. So, bila nak kena tulis pendek-pendek ni tak reti pula jadinya.. Harapnya kengkawan semua dapat memberikan sedikit komen buat panduan Lea dimasa hadapan. Maaf andai kualitinya agak kurang memuaskan.

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino