”Eh.. nak ke mana tu nak?”, tegur Mak Cik Limah apabila melihat Ezani seperti sedang bersiap-siap untuk keluar.
”Zani nak keluar dengan abang jap lagi, mak”, jawab Ezani pula. Pakaiannya dirapikan lagi. Hatinya cukup gembira apabila dapat mendengar pesanan suara yang ditinggalkan oleh Fakrul di telefon bimbitnya.
”Betul mak..”, kata Ezani lagi apabila melihat wajah mak mertuanya seolah-olah meragui apa yang dikatakan olehnya.
”Mak tak percaya cuba mak dengar ni..”, kata Ezani sambil mengunjukkan telefon bimbitnya. Mak Cik Limah menyambut telefon bimbit tersebut sebelum meletakkannya ke telinga.
”Sayang.. jangan lupa siap tau.. Hari ni kita nak kena pergi ambil baju sanding yang kita tempah semalam.. Pukul empat tau.. Bye sayang.. Mmmuah..”, mengalir air mata Mak Cik Limah mendengarkan isi pesanan suara tersebut. Pesanan suara tersebut telah ditinggalkan oleh Fakrul, lebih sebulan yang lalu.
”Ya Allah Zani.. sedarlah nak.. Ayul belum balik lagi..”, kata Mak Cik Limah sambil memeluk Ezani. Dia kini sudah tidak mampu lagi untuk melihat keadaan Ezani. Suara Fakrul yang didengarinya tadi, sedikit sebanyak turut mengubati rindunya pada anak tunggalnya itu. Ya Allah.. Ke mana kau menghilang nak..?
”Eh.. kenapa mak menangis ni?”, tanya Ezani. Aneh pula melihatkan emak mertuanya yang tiba-tiba menangis.
”Mak nak ikut kita orang pergi tak? Jomlah mak.. Dah lama kita tak keluar makan sama-sama kan? Hari ni kita suruh abang belanja kita makan seafood eh mak? Zani teringinlah..”, ucap Ezani lagi sambil tersenyum. Seolah-olah dia tidak menyedari keadaan yang sedang berlaku kini. Makin laju air mata Mak Cik Limah gugur.
”Cepatlah siap mak.. Abang sampai pukul empat nanti..”, gesa Ezani.
Jarum jam sudah menginjak ke pukul empat setengah. Namun, Fakrul masih belum lagi pulang. Ezani mundar-mandir sendiri di ruang tamu.
”Ish.. mana abang ni.. Tadi cakap nak balik pukul empat. Sekarang dah pukul empat setengah ni. Takut tak sempat pulak nak ambil baju nanti..”, rungut Ezani sendiri.
Bunyi kereta diluar membuatkan perasaan Ezani yang sebetar tadi gundah melonjak gembira. Pantas Ezani menjenguk ke luar rumah. Wajah Ezani bertukar hampa apabila melihat bukan wajah Fakrul yang terpacul dihadapan rumah. Tetapi wajah Dr. Ammar dan Haikal, sahabat baik suaminya.
”Siapa tu nak?”, laung Mak Cik Limah daripada dapur.
”Err.. Dr. Ammar dengan Abang Haikal mak..”, jawab Ezani. Ternyata wajahnya menunjukkan rasa hatinya yang hampa. Dalam hatinya telah berazam untuk merajuk dengan suaminya malam ini. Biar dia rasa. Siapa suruh mungkir janji, rungut Ezani di dalam hati.
”Oh.. Ammar, Haikal.. Masuklah nak..”, jemput Mak Cik Limah sambil mengelap tangannya yang basah ke baju yang dipakainya. Huluran tangan Ammar dan Haikal disambutnya.
”Ni ha mak cik, barang yang mak cik pesan tadi..”, kata Haikal sambil menghulurkan beberapa beg plastik kepada Mak Cik Limah.
”Eh.. apa tu mak? Mak pesan apa?”, tanya Ezani ingin tahu.
”Ni ha.. Mak pesan sotong, udang dengan ketam dengan si Haikal ni tadi. Bukan ke Zani cakap teringin nak makan seafood tadi? Hm.. malam ni kita masak tom yam seafood nak?”, tanya Mak Cik Limah pada menantunya. Berubah muka Ezani.
”Buat apa mak pesan barang semua ni? Kejap lagi kan abang dah nak balik, nanti kita ajak abang makan seafood kat luarlah mak..”, protes Ezani. Nadanya seolah-olah mahu marah.
Mak Cik Limah memandang Ammar dan Haikal. Wajah Haikal ternyata terkejut dengan apa yang didengarinya. Namun tidak pada Ammar.
”Ok.. ok.. hmm.. macam ni.. Oleh sebab Abang Haikal dah belikan barang-barang ni semua, malam ni kita makan kat rumah dulu ya... Takut nanti membazir pulak.. Ayulkan tak suka orang membazir..”, pujuk Dr Ammar. Dia cuba bermain psikologi dengan Ezani. Dr Ammar sedar, Ezani kini berada dalam fasa penafian. Dirinya sedaya upaya untuk menafikan apa yang berlaku kini. Sesungguhnya hati Ezani kini sudah tidak mampu menahan kesedihan yang sedang dialaminya.
Ezani terdiam mendengar kata-kata Dr. Ammar itu. Hujung bajunya ditarik dan dipintal-pintal seketika. Tiba-tiba wajah Ezani berubah cerah.
”Hmm.. kalau macam tu malam ni bagi Zani lah yang masak. Boleh ya mak? Nanti mesti abang suka.. Lagi pun dah lama Zani tak masak untuk abang..”, kata-kata Ezani tiba-tiba berubah menjadi bersemangat.
Mak Cik Limah memandang ke wajah Dr Ammar. Meminta pendapat bagi jawapan yang sepatutnya dia berikan. Dr Ammar menganggukkan kepalanya.
”Hm.. baiklah.. Nanti kita masak sama-sama..”, ujar Mak Cik Limah pula.
”Eh.. tak pelah mak.. Hari ni bagi Zani sorang je masak ok? Zani nak masak makanan yang sedap-sedap untuk abang..”, kata Ezani dengan ceria lantas dia melangkah masuk ke dalam bilik untuk menukar pakaian. Satu persatu menu yang ingin dimasaknya kini terlakar diminda. Semuanya menu kegemaran Fakrul.
”Macam mana ni, Ammar? Mak Cik dah tahu apa yang mak cik nak buat sekarang ni..”, adu Mak Cik Limah.
”Selalu ke dia macam tu, mak cik?”, tanya Haikal pula.
”Macam tulah dia. Sejak Ayul hilang dulu sampai sekarang, asyik menangis je kerjanya. Tapi mak cik pelik hari ni, tiba-tiba je dia bersiap-siap, nak keluar dengan Fakrul katanya.. Entahlah.. bingung mak cik dibuatnya..”, kata Mak Cik Limah sambil mengelap air mata yang mengalir di pipinya dengan lengan bajunya.
Dr Ammar diam sambil berfikir seketika.
”Ammar rasa kita kena tolong dia, mak cik. Bahaya kalau dibiarkan dia macam ni terus-terusan. Tambahan pulak Zani tu sedang mengandung sekarang ni. Dengan keadaan emosi dia yang macam tu, Ammar bimbang akan menjejaskan kandungan dia nanti”, ujar Ammar pula.
”Tapi macam mana? Mak cik dah buntu, Ammar..”, kata Mak Cik Limah lagi.
”Begini.. Kita kena berlakon seolah-olah Fakrul ada. Kita ikut sahaja dulu rentak si Zani ni. Tapi secara perlahan-lahan kita akan sedarkan dia tentang apa yang berlaku sekarang ni..”, kata Ammar sebelum beralih untuk memandang wajah Haikal yang berada disebelahnya.
”Hmm.. Kal, aku nak kau mainkan peranan sebagai Ayul. Kau kan peguam, so aku rasa kau yang paling layak untuk handle peranan ni”, usul Ammar.
Haikal hanya menganggukkan kepalanya tanda bersetuju. Haikal sedar, Ammar agak kurang pandai untuk memutarbelitkan kata jika dibandingkan dengan dia. Almaklumlah, peguam berbanding doktor. Sudah tentu kemahiran itu berpihak lebih kepadanya.
”Ok.. but macam mana aku nak menyamar jadi Ayul pulak ni?”, tanya Haikal yang masih belum memahami rancangan yang terangka di minda Dr. Ammar.
”Guna SMS lah.. Kau menyamar seolah-olah Ayul sekarang ni sedang outstation ke luar negara. Kau rekalah sebarang cerita. So, bila dia dah percaya yang Ayul ada kat luar negara, dia dah sedikit tenang. Barulah kita ceritakan perkara yang sebenarnya”, terang Dr. Ammar lagi.
”Hmm.. aku harap Ayul akan balik tak lama lagi..”, kata Haikal menyatakan apa yang terbuku dihatinya.
”Aku pun sama Kal. Kita semua pun mengharapkan benda yang sama. Tapi walau apa pun yang terjadi, ni amanah kita sebagai sahabat untuk menjaga Ezani”, kata Ammar lagi. Haikal mengangguk lagi.
”Terima kasihlah Ammar, Haikal sebab sudi nak tolong mak cik”, kata Mak Cik Limah dalam nada yang terharu.
”Ni dah jadi tanggungjawab kami mak cik. Lagi pun, Ayul tu bukan orang lain pada kami.. Kami bertiga ni dah berkawan sejak kecil lagi..”, kata Haikal pula.
”Mak..”, panggilan Ezani menyebabkan perbualan mereka terhenti.
”Eh.. cantiknya Zani.. Bersiap-siap gini nak ke mana?”, tanya Mak Cik Limah.
”Tak ada ke manalah, mak. Saja bersiap. Zani nak tunggu abang balik..”, kata Ezani dengan penuh ceria.
Mak Cik Limah mengalihkan pandangannya kepada Dr Ammar dan Haikal disebelahnya. Mak Cik Limah tidak tahu hendak menjawab apa.
”Err.. Zani.. Tadi Ayul called. Dia cakap dia ada hal urgent. Bos suruh dia ke Australia serta merta”, kata Haikal spontan. Dr Ammar memberi isyarat kepada Haikal supaya meneruskan sahaja cerita dongengnya itu.
Wajah Ezani kali ini berubah muram.
”Kenapa tak suruh abang cakap dengan Zani sendiri?”, soal Ezani kepada Haikal.
”Tak sempat.. Tadikan Zani tengah sibuk memasak.. Ayul pesan malam nanti dia mesej Zani ya..”, pujuk Haikal pula.
”Betul..?”, tanya Ezani cuba untuk meminta kepastian.
”Betul..”, Haikal menekankan katanya supaya Ezani berasa lebih yakin.
”Hmm.. oklah kalau macam tu.. Abang yang rugi.. Tak dapat makan masakan special Zani hari ni..”, wajah yang muram tadi tiba-tiba berubah cerah.
”Jomlah makan..”, jemput Ezani sebelum dia terus melangkah ke dapur.
Buntang mata mereka bertiga melihatkan juadah yang tersedia di hadapan mata. Tom yam seafood, daging masak merah, sotong goreng tepung, kailan ikan masin, ikan siakap tiga rasa, sambal belacan bersama ulam timun dan satu jag air kiwi. Menitis air mata Mak Cik Limah melihat juadah yang terhidang dihadapannya. Semuanya juadah kegemaran Fakrul.
”Mak, lain kali kalau mak beli udang dengan sotong lagi, mak masak tom yam macam ni lagi eh..? Ish.. dapat dengan daging masak merah, lepas tu sotong pulak mak goreng dengan tepung, buat sambal belacan sikit.. Fuh!! Memang menjilat jarilah mak..”, teringat kata-kata yang pernah dituturkan Ayul dahulu kepadanya. Ayul.. Ke mana kau nak? Mak rindukan kau..
”Eh.. kenapa tenung saja? Makan lah..”, kata Ezani sambil menceduk nasi ke dalam pinggan.
--------------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"