Product from Adobe

Ahad, Disember 14

Menggapai Pelangi Cinta Bab 8


“Elyeen, sebenarnya tujuan Fendi bawa Elyeen ke sini bukanlah untuk bercuti semata-mata tapi Fendi ada hajat lain”, Fendi memulakan bicara.


“Hajat, hajat apa Fendi. Eh, Fendi tau tak ayat yang Fendi gunakan ini macam orang nak meminang”, ujar Elyeen dengan nada berseloroh.


“Elyeen, kalau betul macam mana?”, Fendi cuba menduga.


“Apa yang betul.?”, Elyeen masih tidak dapat menangkap maksud tersirat disebalik kata-kata Fendi tadi. Berkerut dahi Elyeen mendengar pertanyaan Fendi tadi. Fendi cuba untuk menyusun kata agar ayat yang bakal dikatakan terhadap Elyeen tidak janggal untuk didengari.


“Err.. Fendi.. err… Fendii”, tergagap-gagap Fendi bertutur. “Fendi, Fendi, Fendi apa?!”, Elyeen sudah tak mampu bersabar. Dari tadi perkataan yang keluar dari mulut Fendi hanyalah Fendi, Fendi dan Fendi. Jerkahan Elyeen membuatkan Fendi tersentak lantas lancar aje perkataan meluncur keluar dari mulutnya.


“Tak mengapalah, biar Fendi berterus-terang saja dengan Elyeen. Sebenarnya Fendi dah lama sukakan Elyeen. Sejak kita di bangku sekolah lagi”, Fendi memandang tepat ke mata Elyeen. Elyeen sudah faham pucuk bicara Fendi. Muka Elyeen berubah serta-merta. Lantas Elyeen melarikan anak matanya ke arah pantai. Elyeen tahu yang dia tidak mungkin akan mampu melawan panahan mata Fendi itu. Penuh dengan emosi dan membawa maksud yang tersirat. Bukan maksud malah harapan lebih tepat lagi. Elyeen kaku sebentar. Otaknya ligat mencari ayat yang sesuai untuk diberikan kepada Fendi.


“Nanti dulu Fendi ! Siapa cakap Elyeen tak sayangkan Fendi”, Elyeen bermukadimah. Fendi hanya merenung Elyeen lembut. “Elyeen pun sayangkan Fendi ta.. tapi..”, Elyeen tak mampu meneruskan kata-katanya. Elyeen risau Fendi akan tersinggung.


“Tapi apa Elyeen”, Fendi kurang senang dengan kata-kata Elyeen itu. Terpercik keresahan di wajah Fendi. Tambahan pula melihatkan Elyeen yang seoalah-olah serba-salah untuk terus berkata-kata. Debaran di hati Fendi semakin dirasa.


“Tapi… cukuplah hanya sekadar sebagai seorang abang atau sahabat karib. Fendi, maafkan Elyeen. Fendikan tahu prinsip Elyeen. Fendi kawan karib Elyeen sepatutnya Fendi faham dan tahu apa jawapan Elyeen”, Elyeen cuba memberikan klu tentang jawapannya. Rasanya mungkin Fendi akan faham apabila prinsip yang disebut-sebut sejak di bangku sekolah itu diingatkan kembali.


“Ya, Fendi tahu”, lirih benar suara Fendi kedengaran. Bagaikan hendak menitis air mata Elyeen mendengar nada suara Fendi yang sesayu itu.


“Habis tu kenapa Fendi masih lagi katakan semua ni pada Elyeen?. Fendi tahu tak yang keadaan sekarang ni boleh menghalang perjalanan persahabatan kita yang telah terjalin sejak sekian lama.”, Elyeen agak tidak keruan. Tubir matanya dirasakan bagai tidak tertahan lagi. Kecewa.


“Tapi Elyeen, kita bukan lagi berada dalam alam persekolahan atau di alam cinta monyet. Kita masing-masing sudah dewasa dan Elyeen pun sudah memenuhi prinsip diri Elyeen tu. Sekarang Elyeen merupakan seorang graduan bukan pelajar sekolah menengah !”, bentak Fendi sambil melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Air mata yang cuba ditahan sebentar tadi luruh tanpa dipinta. Tak sangka pula Elyeen perkara yang sebegini akan berlaku ke atas dirinya. Dia sangkakan yang Fendi merupakan insan yang paling memahami dirinya. Ternyata sangkaannya melesat.


“Elyeen, bukan itu yang Fendi minta. Fendi tak kisah kalau Elyeen tak cintakan Fendi. Cukuplah sekadar Elyeen bersetuju menjadi kekasih Fendi. Fendi harap Elyeen tidak akan mengecewakan Fendi. Tolonglah Elyeen”, kata Fendi seperti merayu. Elyeen memandang wajah Fendi yang sugul itu untuk meminta sedikit pemahaman daripada lelaki di hadapannya kini. Namun, semuanya sia-sia belaka. Fendi seoalah-olah tidak memahami apa yang terbuku di hati Elyeen ketika ini sedangkan selalunya Fendilah yang paling memahami isi hati Elyeen. Tapi kenapa tidak hari ini. Bentak Elyeen di dalam hati. Elyeen menunduk namun tidak lama kemudian Elyeen memanggungkan kembali wajah.


“Maafkan Elyeen, Fendi. Elyeen tak sanggup nak melakukan ini semua. Kalau Elyeen setuju dengan permintaan Fendi ni bermakna Elyeen telah mengorbankan Fendi. Satu-satunya kawan karib yang Elyeen ada di dunia ni. Fendi faham tak?!”, sedaya upaya Elyeen berusaha untuk menjelaskan keadaan yang sebenar kepada Fendi. Namun Elyeen tahu Fendi tidak akan menerima kata-katanya bulat-bulat.


“Elyeen tak perlu risau akan semua ni. Fendi dah fikirkan semua ni dan Fendi sanggup!”, Fendi cuba untuk meyakinkan Elyeen. Dalam hatinya masih mengharap agar Elyeen bersetuju dengan permintaanya ini.

Buat seketika kedua-dua mereka diam membisu. Fendi mengharapkan persetujuan daripada Elyeen tetapi Elyeen pula mengharapkan sedikit pengertian dalam diri Fendi. Kicauan burung yang hendak pulang ke sarang sahaja yang memukul pendengaran mereka sekarang ini. Air mata masih lagi lancar mengalir. Sedu-sedan juga telah mula kedengaran.


“Baiklah, sebelum Elyeen mempertimbangkan permintaan Fendi ini Elyeen nak tanya Fendi satu soalan. Fendi kena jawab dengan jujur !”


“Fendi cuba”


“Andaikanlah Elyeen terima permintaan Fendi ni. Tidak lama kemudian muncul pula seorang lelaki yang berjaya mencuri hati Elyeen. Kemudian Elyeen akan memutuskan perhubungan kita ini yang sekali gus akan mengecewakan Fendi. Adakah Fendi sanggup untuk menghadapi semua ini?”, tanya Elyeen untuk mendapatkan kepastian.


Fendi terdiam mendengar pertanyaan Elyeen itu. Tidak sangka bahawa Elyeen mampu berfikir sejauh itu. Agak terkilan juga hatinya memikirkan persoalan itu. Dia sendiri menyoal dirinya. Adakan dia sanggup untuk menghadapi situasi sebegitu andai kata ianya berlaku? Fendi menunduk seketika memikirkan jawapan yang harus dikeluarkannya. Dalam diam Fendi berperang dengan perasaanya sendiri. Akhirnya Fendi mendapat satu kata putus.


“Fendi sanggup malah Fendi takkan sesekali menyalahkan atau menghalang Elyeen andai ianya berlaku”, kata Fendi ringkas.


Tak sangka pulak Elyeen dengan jawapan yang diberikan oleh Fendi itu. Pada sangkaanya Fendi tentu tak sanggup. Sebenarnya jauh di sudut hati Fendi tetap meronta mengatakan bahawa dia tidak akan sanggup untuk menghadapinya. Cuma demi mendapatkan Elyeen Fendi berani untuk mempertaruhkan jawapan tersebut. Dalam hatinya telah menyimpan suatu nekad. Andainya Elyeen bersetuju untuk menjadi kekasihnya, Fendi akan pastikan bahawa Elyeen akan jatuh sayang padanya dan akhirnya akan menjadi miliknya yang sah. Fendi cuba membina impian di dalam kegelapan.


Fikiran Elyeen runsing dibuat dek permintaan Fendi tadi. Fendi masih lagi menanti jawapan dari Elyeen. Entah di mana tersangkutnya lamunan mereka . Mereka masing-masing melayan perasaan .


“Maafkan Elyeen, Fendi. Elyeen rasa Elyeen lebih sayangkan persabahatan kita yang berusia belasan tahun ini. Elyeen tak sanggup mengorbankan usia persahabatan serta diri kita semata-mata hendak memenuhi hasrat Fendi yang sedang hanyut dek arus percintaan yang mungkin sia-sia”, kata Elyeen lembut namun masih terselit ketegasan di dalam kelembutannya itu. Aduh.. Tak aku sangka kata-kata Elyeen yang lembut selembut sutera itu mampu menghiris hatiku separah ini.


“Maafkanlah Elyeen, Fendi. Elyeen tahu, kata-kata yang Elyeen lafazkan tadi akan menghiris perasaan Fendi. Tapi Elyeen tak berdaya, hanya kata-kata itu sahajalah yang mampu Elyeen lafazkan buat Fendi masa ini”, selepas menamatkan kata-kata tersebut Elyeen terus berlalu meninggalkan Fendi yang disirami cahaya bulan purnama. Hari ini menjadi episod duka dalam jurnal persahabatan mereka. Sesuatu yang tidak pernah dipinta malah terlintas difikran bahawa perkara ini akan berlaku. Linangan air mata terus membasahi pipi Elyeen. Elyeen kecewa. Elyeen sedih kerana sahabat karib yang disangkanya paling memahami dirinya, rupa-rupanya sama seperti orang lain tidak memahami dirinya. Elyeen bagun untuk meninggalkan Fendi. Tiba-tiba Fendi menyambar tanggannya.


“Elyeen berilah Fendi peluang untuk Fendi buktikan cinta dan kasih sayang Fendi terhadap Elyeen”, Elyeen kaget apabila melihat Fendi melutut sambil merayu. Bagi Fendi dia tidak kisah andainya dia melupakan egonya buat sementara waktu. Semuanya semata-mata kerana cintanya yang tidak berbelah bahagi terhadap Elyeen.


“Maafkan Elyeen”

Menggapai Pelangi Cinta Bab 7


Fendi mundar-mandir dalam biliknya seorang diri. Hatiya gelisah. Sekarang ini hatinya dan otaknya tidak lagi sehaluan. Otaknya mengatakan bahawa esok saja sampaikan rasa hatinya itu tapi hatinya kuat mendesak supaya memberitahu Elyeen sekarang jugak. Untuk menenangkan hatinya, lantas Fendi menekan punat on pada radio. Sejurus kemudian kedengaran lagu Keliru nyanyian Nurul dan Ajai ke udara. Macam perli aku saja deejay radio ni.. Ini stesen radio mana nih, biar aku saman dia sebab memerli kehidupan peribadi aku..! Gila ke aku nih.. Dah memang tugas dia mengkeudarakan lagu pilihan pendengar kenapa sedap-sedap pulak aku nak saman dia. Ish ! Dah gila agaknya aku ni. Semua ni Elyeen punya pasal. Akhirnya Fendi tertidur bersama kekeliruan yang melanda hatinya.

* * *

Deringan telefon yang panjang telah mengejutkan Fendi dari tidurnya. Lantas tangannya mengangkat gagang telefon.

“Hello, Fendi sini. Siapa tu?”, katanya dengan suara yang serak.

“Hello, Fendi ini Elyeenlah.. Fendi cepatlah bangun. Jom kita pergi beli baju. Takkan Elyeen nak pakai baju semalam balik”, kata Elyeen separuh merengek. Memang begitulah perangai Elyeen yang sebenarnya, manja. Mana tidaknya, Elyeenkan anak bongsu Datuk Azmin dan Datin Maznah. Abang Elyeen, Azman, juga sangat memanjakan Elyeen. Oleh sebab itulah Elyeen berperwatakan manja, panas baran apabila kehendaknya tak dituruti, namun Elyeen tetap seorang yang sopan, lemah-lembut dan bijak.

“Elyeen, tak perlu pergi beli. Beg pakaian Elyeen ada dalam kereta. Mama Elyeen dah siapkan”, kata Fendi.

“Apa, mama siapkan beg pakaian Elyeen. Jadi, mama dan papa tahu yang kita datang ke PD ni. Ini komplot ke apa ni ? Apa lagi yang Elyeen tak tahu, Fendi !”, soalan-soalan Elyeen menerjah telinga Fendi. Dalam kelembutan suara Elyeen itu teselit ketegasan.

“Elyeen, relaks ok. Nanti Elyeen akan tahu semuanya. Elyeen datang ke bilik Fendi ambil kunci kereta . Fendi tak mandi lagi lah”, kata Fendi dengan slumbernya. Letih akibat memandu semalam masih terasa namun Elyeen punya fasal tak kisahlah. Begitulah kata hati Fendi. Kau akan jadi milikku Elyeen!

* * *

Fendi menekan-nekan punat telefon dibiliknya berpandukan kod yang telah disediakan. Talian sedang disambungkan dan tidak lama kemudian kedengaran satu suara lembut di corong satu lagi.

“Hello, Elyeen bercakap di sini. Boleh saya tahu siapa cakap di sana?”, kata Elyeen dengan lemah-lembut dan sopan-santun. Aduh! Terpikat aku Ini bukan kali pertama Fendi berbuat demikian tapi begitulah keadaannya setiap kali Fendi menghubungi Elyeen melalui telefon di talian tetap. Jika Fendi menghubungi Elyeen di telefon bimbitnya alamat tak dapatlah Fendi mendengar suara lunak menyambut panggilan telefon itu.

“Elyeen, ini Fendilah”, katanya ringkas.

“Laa, kenapa Fendi tak call handphone Elyeen je.. Kan lagi senang, Elyeen pun tak tertanya-tanya siapa yang call Elyeen. Ingatkan ada secret admire Elyeen yang call”, kata Elyeen sengaja hendak berseloroh.

“Kiranya sekarang ini tengah frustlah ni sebab Fendi yang call”, terdapat sedikit perubahan pada riak wajah Fendi. Wajah yang tadinya ceria dan cerah secerah sinar mentari mendung bagaikan ada awan hitam yang berarak lalu.

“Yelah..”, kata Elyeen dan kemudiannya diikuti dengan ketawa kecil.

“Bukannya apa, nanti kalau Fendi call handphone Elyeen tak dapatlah Fendi dengar operator cakap ‘hello, Elyeen di sini siapa disana?’”, kata Fendi mengejek. Saja hendak mengusik buah hati pengarang jantungnya itu. Hanya tuhan saja yang tahu betapa bahagianya dia waktu itu. Elyeen, kalaulah kau tahu betapa aku menyayangimu.. Sampai bila lagi harus aku pendamkan hasrat hatiku ini. Aku tahu kita berkawan bukannya baru sehari dua tapi sudah bertahun-tahun. Aku melihat kau membesar bersamaku. Dan setiap kali itulah kasihku terhadapmu bertambah-tambah.. Hanya engkau yang tidak mengetahuinya.. Kadang-kala aku sendiri tidak pasti samada engkau benar-benar tidak mengetahuinya atau sengaja dibuat-buat tak tahu..

“Fendi, apa schedule kita pada hari ni.. Tapi walau apa pun kita pergi breakfast dulu ok?”, usul Elyeen. Fendi tahu sangat akan perangai Elyeen. Benda lain boleh dia tangguhkan tapi kalau bab makan sanggup bunuh orang tau !

“Ok”, jawab Fendi ringkas.

“Jadi kita nak jumpa kat mana?”, tanya Elyeen.

“Bilik Fendi, boleh ?”, kata Fendi sambil tersengih.

“Hish, Fendi ni tak gentleman langsunglah. Dahlah pagi tadi Elyeen dah pergi bilik Fendi untuk minta kunci, sekarang nak pergi makan pun Elyeen kena pergi bilik Fendi. Ini tak adil ni. Nanti bila balik nanti, Elyeen cakap kat mama, papa dan abang Man yang Fendi buli Elyeen. Biar papa dan mama marah Fendi, padan muka !”, kata Elyeen seperti kanak-kanak yang merajuk sebab tak diberikan gula-gula. Lalu Elyeen terus meletakkan gagang.

Setelah meletakkan gagang telefon Fendi keluar ke beranda untuk menikmati keindahan alam ciptaan tuhan. Memang sudah menjadi tabiatnya suka memerhatikan alam sekitar. Tak kiralah samada hutan, bukit-bukau, sungai, air terjun mahupun pantai. Semuanya mampu menarik minat Fendi. Minat ini bukan minat Fendi sorang tapi juga minat Elyeen. Tabiat Elyeen lebih teruk jika hendak dibandingkan dengan tabiat Fendi. Bukannya apa, Elyeen kalau sudah mula termenung janganlah ada sesiapa yang mengganggunya jika tidak pasti akan disemburnya. Eee.. takut. Dari jauh kelihatan Elyeen berjalan sambil melenggang-lenggang dan tersenyum apabila mendekati Fendi.

“Jom”, kata Elyeen ringkas.

Mereka berdua pun berjalanlah beriringan menuju ke warung yang terdekat.

* * *

“Mak cik, roti canai dua, roti telur dua, nasi lemak dua, air kosong dua dan teh tarik dua”, jerit Elyeen mengorder makanan. Fendi hanya memandang Elyeen dengan mata yang juling dan mulut yang ternganga. Terkerut dahi Elyeen melihat reaksi Fendi yang sebegitu rupa.

“Fendi, kenapa muka Fendi macam tu.. Macam orang tak betul jer?”, kata Elyeen dengan bersahaja. Boleh dia tanya kenapa aku buat muka.. Eh, yang dia order tadi tu untuk aku dan dia atau untuk dia sorang saja..

“Eh, Fendi! Lupa pulak Elyeen nak tanya Fendi nak makan apa? Minuman Elyeen dah tolong orderkan tapi Elyeen tak tau pulak Fendi nak makan apa ? Sorry ”, sebenarnya Elyeen sudah dapat membaca apa yang bermain di dalam kepala Fendi cuma saja nak mengenakannya.

“Eh, bangun! Aku kata bangun!”, tiba-tiba Fendi menengking Elyeen yang sedang duduk di hadapannya. Elyeen yang tadinya khusyuk memerhatikan rupa Fendi yang masih lagi terkejut dengan apa yang didengarinya tadi, terkejut.

“Hei, apa kena dengan Fendi ni hah! Dah tak betul ke ? Kenapa Fendi tengking Elyeen kemudian suruh Elyeen bangun pulak ? Dah buang tabiat ke ?!”, kata Elyeen dengan marah. Muka Fendi kelihatan begitu serius dan bengis. Elyeen pula semakin tertanya-tanya.

“Hei, pompuan baik kau bagi tahu aku mana kau sorokkan Elyeen. Jangan cuba-cuba nak menyamar jadi Elyeen”, kata Fendi dengan bengis. Elyeen semakin keliru akan sikap Fendi ni. Eh, Fendi ni.. Siapa pulak yang menyamar jadi Elyeen. Ini Elyeenlah .. Buang tabiat agaknya si Fendi ni..

“ Fendi, ini Elyeenlah.. Siapa pulak yang nak menyamar jadi Elyeen ni..? Apa faedahnya menyamar jadi Elyeen ni!”, kata Elyeen yang berada antara hendak ketawa, marah dan keliru.

“Hei, kau jangan nak tipu aku laa.. Aku kenal Elyeen. Walaupun kau mempunyai rupa yang begitu seiras dengan Elyeen, kau tetap takkan dapat nak tipu aku tau!”

“Eh, Fendi ni dah melebih dah ni.. Siapa pulak yang tipu Fendi. Ini Elyeenlah”
Sedang mereka bertekak, datang seorang kakak yang menatang dulang yang berisi makanan-makanan yang telah diorder oleh Elyeen.

“Haah, sekarang tengok berapa banyak makanan yang kau dah order. Elyeen tu walaupun dia kuat makan tapi dia bukan yang jenis buruk lantak tau ! Kalau dia nak makan pun takat dua keping roti canai jer tau. Sekarang biar aku bagi tau kat kau suatu benda yang pasti akan mengecewakan kau”

Seraya dengan itu Elyeen ketawa terbahak-bahak hingga lupa adat dan kesopanan sebagai anak gadis melayu. Sepasang kekasih yang berada di hujung warung terkedu sebentar melihat keadaan Elyeen yang tawanya tidak dapat dihentikan. Laa.. Ini semua hanya kerana Elyeen order makanan banyaklah ni.. Amboi sedapnya mulut kata Elyeen seorang yang buruk lantak. Tak mengapa, apa kata kalau aku layan ajerlah si Fendi ni..

“Oh, ye ! Apa dia cik abang sayang oii”, kata Elyeen sambil tersengih. Eh, dia panggil aku sayanglah.. Eee, best nyer.. Tidakk!! Oooh.. Pompuan ini cuba nak teruskan penipuan dia dengan menggoda aku yer.. Nanti kau ?!!

“Hei, pompuan aku nak bagi tahu yang penipuan kau ini tidak berjaya di siniiiiii”

“Oh, kecewanya saya!”, Elyeen bernada mengejek. “Hooi cik abang sayang, orang di sini nak bagi tau jugak satu benda yang akan mengecewakan orang di sana. Nak tau tak?”, balas Elyeen. Eleh, dah dia kecewa nak balas dendam konon! Nak bagi aku kecewa.. Pieeeerah.. aku takkan terkecewalah.. Tiru P. Ramlee lah konon tue..
“Ha apa bagitaulah? Gempak sangatlah konon!”

“Yang sebenarnya ini Elyeenlah. Elyeen order semua makanan tu untuk kita berdua. Sengaja Elyeen nak sakat Fendi tapi tak sangka pulak Fendi akan bertindak macam ni”, kata Elyeen sambil ketawa. Meleleh air mata Elyeen akibat terlalu banyak ketawa.

“Kenapa, Fendi tak percaya ke ? Dengar sini Saudara Effendi bin Datuk Mansur Syed Zain. Saya ialah Nur Elyeenawati binti Datuk Azmin. Saya merupakan sahabat awak daripada dahulu sehinggalah sekarang, Saudara Effendi bin Datuk Mansur oiii”, Elyeen cuba menarik keluar Fendi daripada curiganya sendiri. Muka Fendi menjadi merah akibat malu akan perbuatannya sendiri. Sikapnya yang terburu-buru menyebabkan dia telah memalukan dirinya sendiri. Elyeen tentu gembira habis dengan peristiwa tadi. Bolehlah dijadikan modal untuk mengejek dan mengenakan aku nanti. Setelah selesai makan mereka pun beredar. Sepanjang hari itu Elyeen dan Fendi keluar bersiar-siar, membeli belah dan bersantai di tepi pantai sambil melihat matahari terbenam.

Menggapai Pelangi Cinta Bab 6


“Ha ah, ingat kenapa?”, kata Elyeen setelah kembali ke alam nyata. Matanya melirik melihat perwatakan Fendi yang semakin pelik. Eh, peliklah Fendi ni, tadi asyik tersenyum macam kerang busuk tapi sekarang serius pulak dia..


“Banyak kenangan yang telah kita lalui bersama kan Elyeen”, nada suara Fendi mula berubah. “ Elyeen, setelah apa yang kita lalui bersama, Fendi rasa kita memang telah ditakdirkan untuk mengharungi segala pahit getir kehidupan ini bersama. Betul tak?”. Elyeen hanya mendengar apa yang disampaikan oleh Fendi. Elyeen cuba untuk mengecam apa yang hendak Fendi sampaikan kepadanya, namun buntu. Dalam hatinya tertanya-tanya apakah hal sebenar yang hendak Fendi sampaikan kepadanya ini.


Sesekali Fendi menjeling melihat gadis yang amat disayanginya ini. Kalau diikutkan hati mahu saja dia cium gadis ini. Itulah bisikan hati Fendi acap kali dia melirik ke arah Elyeen yang berada di sebelahnya. Geli hatinya melihat Elyeen yang hilang dalam khayalan semenjak tadi tersenyum sendirian.


“Ok, kita dah sampai”, tiba-tiba Fendi bersuara dengan kuat. Elyeen yang dari tadi hilang dalam khayalan tiba-tiba tercampak jauh dari lamunannya.


“ Eh Fendi, tak boleh cakap perlahan sikit ke ha?! Terkejut Elyeen dibuatnya “, kata Elyeen dengan marah. Hish, Fendi ni ! Kalaulah aku ada kapak sekarang ni dah lama aku tetak dia tau.. Geramnya aku..


“Alah Elyeen ni takkan itu pun nak marah. Bukannya salah Fendi, tapi salah Elyeen sendiri. Fendi dah panggil Elyeen elok-elok tapi Elyeen yang asyik mengelamun saja. Jadi terpaksalah Fendi panggil jerit-jerit” , kata Fendi dengan memik muka yang membencikan. Saja Fendi berbuat begitu untuk menyakitkan hati Elyeen. Hee.. Padan muka Elyeen, kena goreng habis-habisan.. Itulaa lain kali jangan asyik nak menindas aku, kau tu selalu mengelamun. Kalau aku cium kau tadi pun kau takkan tahu tau !


“Hoi, Fendi ! Apa yang sengih sorang-sorang kat sini ni.. Sekarang dah sampai kita nak buat apa kat sini?”, panggil Elyeen dengan kasar. Sebenarnya, panas hatinya itu dah lama hilang cuma saja nak balas dendam.


Fendi melompat sambil menjerit. “Oh, mak!”. Sejurus dengan itu Elyeen ketawa terbahak-bahak. Lupa sebentar etika kewanitaannya. Muka Fendi merah padam, marah agaknya. Tidak pun cuba untuk menahan malu. Elyeen masih lagi keras ketawa. Melihatkan keadaan Elyeen yang sedang ketawa, hatinya yang panas sepanas larva gunung berapi itu menjadi sejuk sesejuk air di kutub utara. Akhirnya Fendi tersenyum melihat gelagat Elyeen. Elyeen yang sejak tadi ketawa terdiam apabila tersedar yang Fendi asyik merenungnya. Rasa malu menyelinap masuk ke dalam hatinya. Kenapa dengan Fendi ni.. Semacam saja dia renung aku, macam nak makan saja.. Namun, riak-riak ingin meneruska ketawa terukir di wajah Elyeen. Hanya TUHAN saja yang tahu bagaimana rasa tergeleteknya perasaan Elyeen dengan gelagat Fendi tadi.


O.Klah, sekarang kita chek-in dulu, nanti baru Fendi cakap apa yang Fendi nak cakap O.K”, Fendi memberi cadangan. Elyeen hanya mengangguk.

Menggapai Pelangi Cinta Bab 5


Kini, waktu yang dinanti telah tiba. Elyeen telah berjaya menjadi salah seorang daripada mahasiswi cemerlang di Universiti Sains Malaysia ini. Elyeen bangga, mama dan papa juga bangga. Hari ini kelihatan Fendi begitu ceria sekali, seolah-olah dia yang mengecapi kejayaan ini. Senyumnya lebar hingga ke telinga.

“Tahniah, Elyeen. Fendi harap kejayaan ini dapat diteruskan hingga ke peringkat yang tertinggi. Elyeen usahlah risau, doa Fendi tetap bersama Elyeen, Fendi yakin yang Elyeen akan lebih berjaya lagi di masa hadapan. Jika berkesempatan Fendi nak tanggung pembelajaran Elyeen” Eh, apasal pulak Fendi yang nak tanggung pembelajaran Elyeen, mama dan papa’kan ada. Pelik…

“Walau macam mana sekalipun Fendi terima kasihlah sebab Fendi tetap yakin akan kemampuan Elyeen. Selama ini Fendi tak jemu-jemu menyokong Elyeen sehinggalah ke hari ini”

“Elyeen, malam ini kita keluar” kata Fendi ringkas.

“Keluar, ke mana?”, langkah kaki mereka dihayun seiring bersama.

“Jalan-jalan, menikmati keindahan alam. Ada hal penting yang ingin Fendi katakan”, setelah mendengar kata-kata Fendi ini, mama hanya tersenyum seolah-olah ada sesuatu perkara yang di luar pengetahuanku tetapi telah diketahui oleh mama. Seperti biasa Elyeen akan menyuruh Fendi meminta izin daripada papa dan mama terlebih dahulu tetapi Fendi buat tak kisah saja.

“Fendi, kita bukan baru kenal tau! Macam biasalah kalau nak ajak Elyeen keluar, Fendi mesti meminta kebenaran daripada papa dan mama dulu ”, kata-kata Elyeen langsung tak dihiraukan oleh Fendi tapi dia hanya tersenyum sambil berlalu. Tiba-tiba Fendi berhenti seketika, ”Oh, jangan lupa ya Elyeen malam ini Fendi jemput Elyeen pukul 8.30 ”.

Melihatkan perangai Fendi yang aneh itu, Elyeen pun terus berlalu menuju ke kereta . Papa sudah lama menantiku di dalam kereta. Sebaik sahaja Elyeen memasuki kereta, mama dan papa tersenyum sesama sendiri. Sekali lagi Elyeen kehairanan.


* * *


Jam telah menunjukkan pukul 8.15 malam, lebih kurang 15 minit lagi Fendi akan sampai. Elyeen masih lagi belum siap. Elyeen tidak tahu sama ada Elyeen harus pergi atau tidak kerana selalunya sebelum pergi Fendi atau sesiapa sahaja yang ingin keluar dengannya terpaksa meminta kebenaran daripada papa dan mama terlebih dahulu, tetapi hari ini Fendi tak pula meminta kebenaran daripada papa dan mama.

Tuk, tuk ,tuk, pintu bilikku diketuk.

“Masuk”, perlahan-lahan pintu bilik Elyeen dikuak. Buntang mata Kak Tini melihat Elyeen masih bermalas-malas di atas katilnya dan masih lagi belum bersiap sedangkan Fendi telah pun sampai. Berborak dengan mama dan papa.

“Elyeen, lekaslah Fendi tengah tunggu kat bawah tu”, kata Kak Tini. Mukanya ada riak kehairanan melihatkan keadaan Elyeen yang masih lagi berpakaian biasa. Tanpa banyak soal Elyeen terus turun ke bawah berjumpa dengan Fendi. Di ruang tamu kelihatan papa, mama dan Fendi sedang berbual. Setibanya Elyeen di anak tangga yang terakhir, empat pasang anak mata tersorong ke arah Elyeen. Mama menjegilkan matanya. Papa hanya memandang Elyeen sambil menggelengkan kepala manakala Fendi pula hanya merenung Elyeen dengan wajah selamba. Namun, Elyeen faham benar dengan riak wajah sedemikian. Elyeen tahu di hati Fendi tidaklah setenang yang terpamir di wajahnya.


“Eh, Elyeen. Fendi tu nak ajak Elyeen keluar, takkan Elyeen nak keluar dengan pakaian macam tu”. Eh, mama macam tak kisah aje. Bila pulak si Fendi ni mintak kebenaran daripada papa dan mama.

“Bila Fendi mintak kebenaran mama dan papa untuk bawa Elyeen keluar malam ini?”, mama langsung tidak mengendahkan pertanyaan Elyeen dan namun matanya terus merenung Elyeen.

Melihatkan reaksi papa, mama dan Fendi itu Elyeen terus bergegas ke bilik dan bersiap ala kadar. Elyeen hanya mengenakan blaus rona biru muda, jeans dan tudung yang senada. Mukanya pula hanya terpalit sedikit gincu warna lembut dan sedikit bedak asas. Ringkas. Sungguh pun begitu, keayuan dan kejelitaan Elyeen cukup terserlah. Setelah selesai bersiap, Elyeen pun turun menemui Fendi yang telah lama menantinya di ruang tamu.

Di dalam kereta, Fendi hanya mendiamkan diri. Mungkin marah kot. Janji pukul 8.30 malam tapi pukul 9.00 malam baru keluar daripada rumah. Elyeen sikit pun tidak rasa bersalah sebab Fendi langsung tak memberitahunya awal-awal bahawa dia sudah meminta kebenaran daripada papa dan mama.

“Kita nak pergi mana Fendi?”, pertanyaan Elyeen memecahkan suasana yang sejak awal tadi lagi sepi. Namun tiada jawapan.

“Fendi, Elyeen tanya ni kita nak ke mana?”, ulang Elyeen sekali lagi tetapi dengan suara yang agak tinggi berbanding tadi. Dirinya berasa pelik kerana jalan yang dilalui oleh Fendi ini jauh menyimpang dari pusat bandaraya.

“Port Dickson”, selamba.

“Hah, PD? Kau dah gila ya Fendi. Kalau kita pergi PD mana sempat nak balik malam ini”

“Siapa kata nak balik malam ini?”, soal Fendi dengan selamba.

“Habis apa nak jawab kalau papa dan mama tanya?”, Elyeen masih lagi belum berpuas hati dengan kata-kata Fendi. Ah, bingung macam ni . Sejak bila pulak Fendi ni pandai buat plan tanpa bincang dengan aku dulu. His ! Kacau macam ni.

“Jawab ajelah yang kita pergi ke PD takkan nak tipu kot”, balas Fendi selamba seperti tadi. Sedikit pun Fendi tidak melihat wajah Elyeen . Dia lebih suka untuk melihat muka jalan dihadapannya daripada melihat wajah Elyeen yang masam mengalahkahkan kulit limau purut yang berkedut.

“Tapi Elyeen tak bawa baju, takkan esok pun balik nak pakai baju ini jugak”, Fendi hanya tersenyum. Senyumannya itu cukup menyakitkan hatiku. Hei apa semua ini, kenapa sejak akhir-akhir ini semua orang berperangai pelik. Elyeen tak boleh tahan lagi kalau keadaan seperti ini berterusan. Elyeen tak tahan…

“Oh ya Fendi, petang tadi kata yang ada hal penting yang nak Fendi sampaikan. Apa dia?”, kata Elyeen sejurus dia teringat kata-kata Fendi setelah selesai majlis penutupan Konvokesyen USM tadi. Tanya Elyeen untuk mengubah topik.

“Kalau ya pun, biarlah kita sampai dulu. Takut accident pulak nanti”, jawab Fendi ringkas. Fendi mengerling sedikit ke arah Elyeen. Dari riak wajah Elyeen, Fendi dapat mengagak bahawa hati Elyeen menggelegak hebat ketika ini. Fendi tersenyum di dalam hati.

“Accident? Gempak sangatkah perkara tu sampai nak accident ni”, kata Elyeen dengan gaya yang berseloroh. Sebenarnya Elyeen sedang cuba untuk menenangkan dirinya. Namun, Fendi seperti tadi hanya tersenyum.

“Elyeen, ingat tak bagaimana kehidupan Elyeen sebagai palajar sekolah menengah bermula”, Fendi seolah-olah mahu memancing kembali perhatiannya.


Elyeen masih ingat lagi, ketika itulah bermulanya kehidupannya sebagai seorang pelajar menengah yang penuh bermasalah. Cukup membuatkan jiwanya tersiksa. Mustahil dapat dia lupakan detik tersebut. Fendilah satu-satunya sahabat yang selalu membantunya dan sanggup bersusah-senang bersama dengannya. Hati kecil Elyeen mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana masih lagi mengekalkan hubungan persahabatan antaranya dengan Fendi. Bagi Elyeen, Fendi tak lebih daripada seorang abang dan sahabat. Banyak sungguh kenangan antara Fendi dengannya.

Menggapai Pelangi Cinta Bab 4


Danial Haikal masih sibuk di pejabat walaupun sudah lewat pukul 2 petang. Begitulah tabiat Danial setiap hari. Tekun bekerja sehingga melewakan keperluan dirinya sudah menjadi perkara biasa. Kerja –kerja di pejabat sahaja sudah cukup untuk buat Danial kenyang. Rutin hariannya hanyalah pergi ke pejabat dan pulang ke rumah. Dia hanya akan keluar itu pun jika terpaksa. Jumpa klien!


Keadaan inilah yang membuatkan Datin Sufiah bingung. Umur anak lelakinya itu sudah menjangkau 28 tahun namun anaknya itu masih lagi single. Manalah nak ada girlfrend kalau asyik ke pejabat dan pulang ke rumah. Itu pun hanya memerap di dalam bilik kerjanya. Rungut Datin Sufiah di dalam hati. Bukan tidak pernah Datin Sufiah menyuakan perempuan-perempuan cantik anak kawan-kawannya. Namun semuanya ditolak mentah-mentah oleh Danial.


“Alah mak, Danial masih muda lagilah. Mak janganlah risau nanti Danial akan kahwin jugak!”, itulah jawapan Danial apabila Datin Sufiah membuka topik kahwin.


“Bilalah kau nak kahwin Danial? Umur kau dah hampir 30 tahun tapi kau masih lagi tak ada girlfriend mak tengok”, Datin Sufiah masih lagi tidak berpuas hati dengan jawapan anaknya tadi.


“Alah mak ni, Danial bukannya tak nak kahwin. Danial nak. Cuma Danial belum jumpa yang sesuai”, balas Danial lagi. Dirinya bagaikan cacing yang kepanasan setiap kali maknya membuka topik kahwin. Apalah yang dirunsingkan sangat oleh mak aku ni.. Orang lelaki umur 30 kira muda lagi. Nanti-nantilah dulu, belum readylah..


“Nak jumpa apanya kalau kamu asyik pergi pejabat lepas tu balik. Hmm.. apa kata kalau mak aje yang carikan kau jodoh”, Datin Sufiah cuba mencucuk jarum. Manalah tahu mengena cubaannya kali ini. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Sebenarnya Datin Sufiah sudah berangan-angan untuk menggandingkan Danial dengan Emylia Suhnaida anak Datin Zainab yang akan pulang daripada England dua minggu lagi. Keindahan namanya sudah cukup untuk menggambarkan paras rupa Emylia. Bagi Datin Sufiah Emylia mempunyai semua kriteria yang diperlukan untuk menjadi menantunya. Cantik, berpendidikan tinggi dan juga berbudi bahasa orangnya. Datin Zainab pun dah bersetuju. Kini dia cuma memerlukan persetujuan Danial. Selepas itu semuanya pasti akan berjalan lancar.


Masih terbayang-bayang lagi di layar matanya akan kecantikan, kelembutan dan kesopanan Emylia. Datin Sufiah harap anaknya itu akan jatuh cinta pandang pertama pada Emylia.


Terbelak mata Danial mendengar kata-kata emaknya itu. Biar betul mak aku ni, dah jauh benar orang tua ni berangan.. Tak semena-mena Danial ketawa. Datin Sufiah hairan melihatkan Danial yang tiba-tiba ketawa. Apa yang lucunya? Salah ke apa yang aku cakap?. Datin Sufiah mengerutkan dahinya tanda tidak memahami keadaan anaknya itu.


“Eh Danial apa yang lucunya ni? Kau ingat mak ni main-main ke? Mak serius ni tau”, bentak Datin Sufiah. Dia terasa bagaikan anaknya itu sedang mentertawakan dirinya.


“Mak.. hah.. mak”, Danial masih lagi tidak dapat berkata-kata akibat dek ketawanya yang masih bersisa. Azab benar Danial menahan rasa sakit perutnya akibat terlalu banyak ketawa. Lucu sungguh usul Datin Sufiah di pendengaran Danial. Hingga mengalir air matanya kerana terlalu banyak ketawa. Datin Sufiah masih lagi mengerutkan dahinya. Tak faham..!


“Danial tahu mak serius tapi mak siapa yang nak kahwin ni? Mak ke Danial?”, ketawa Danial masih lagi bersisa.


“Eh kamu ni Danial. Mestilah kamu takkan mak pulak yang nak kahwin? Mana mak nak letak abah kamu tu?”, semakin pening Datin Sufiah di buat dek kerenah anaknya ini. Ketawa Danial yang semakin reda itu meledak kembali. Semakin keras bunyinya. Ketawa Danial itu bergema hingga ke seluruh rumah.


“Habis tu yang mak nak sibuk-sibuk carikan tu kenapa? Mak ingat ni zaman dulu-dulu ke? His, tak nak lah Danial”, kata Danial kemudian terus berlalu menuju ke bilik kerjanya. Baik aku siapkan kerja-kerja yang tertangguh tu lagi bagus daripada dengar celoteh mak yang asyik nak suruh aku kahwin. Kahwin, kahwin, kahwin!


“Eh kamu nak ke mana tu Danial? Mak belum habis cakap lagi ni!”, jerit Datin Sufiah namun Danial langsung buat tak tahu. Bagaikan tidak mendengar jeritan emaknya itu. Akhirnya Datin Sufiah terduduk di sofa seorang diri.


Di bilik kerjanya, Danial Haikal meneruskan kerja-kerjanya yang tertangguh tadi. Fokusnya langsung tidak terganggu dek perkara yang diutarakan emaknya sebentar tadi. Sebenarnya Danial betul-betul tidak faham mengapa ibunya tidak habis-habis menyuruhnya berkahwin. Kalau hendak dikatakan teringin hendak bermenantu, mustahil! Kak Diya , Syatrina dan Kamarul bukankah menantu emak. Kalau hendak dikatakan teringin menimang cucu pun mustahil jugak. Bukannya emaknya itu tak ada cucu. Tidak cukup lagikah cucu yang ada sekarang. Bukannya seorang dua tapi lima orang. Tiba-tiba Danial teringat akan karenah anak-anak buahnya, terutama sekali Fitriyah, anak Kak Diya dan Abang Armand. Memang dalam banyak-banyak anak buahnya itu Fitriyahlah yang paling rapat dengannya. Sikap Danial yang suka memujuk Fitriyah yang kuat merajuk itu telah menyebabkan Fitriyah lebih rapat dengannya berbanding pak cik- pak ciknya yang lain. Eh mengapa riuh benar di bawah tu.. Apa yang berlaku ni.. Macam suara Iti je.. Sahlah tu memang suara Iti… Danial tahu, sekejap lagi mesti si gadis cilik itu akan ke bilik kerjaya. Alamatnya riuh rendahlah bilik kerjanya ini sekejap lagi. Namun demi Iti dia tak kisah.


Uncle, uncle Dany !”, jerit Firtriyah sambil berlari-lari menaiki tangga menuju ke bilik Danial. Sambil melompat-lompat kecil Fitriyah terus memanggi-manggil pak ciknya.


“Iti, uncle Dany ada kat bilik keje dia..” jerit Datin Sufiah. Datin Sufiah tahu benar fiil cucunya yang sorang itu. Kalau datang ke sini pasti Daniallah yang dicarinya dulu.


“Hei Iti, mari salam nenek dulu sayang..”, jerit Kak Diya. Namun langsung tidak diendahkan oleh Fitriyah. Fitriyah terus berlari menuju ke bilik Danial. Kak Diya hanya mampu menggelengkan kepala melihat karenah anaknya. Datin Sufiah hanya tersenyum bahagia melihat telatah cucunya.


Setibanya Fitriyah di hadapan bilik Danial, dengan perlahan dia memulas tombol pintu. Aik ! Tadi nenek kata uncle Dany ada kat dalam bilik tapi kenapa kosong je.. Fitriyah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Baru sahaja Fitriyah berura-ura untuk kembali ke ruang tamu untuk bersama mama dan neneknya tiba-tiba dia disergah oleh satu suara dari balik pintu.


“Bahh..!”, Danial menyergah anak buahnya itu dari belakang. Terjerit-jerit Fitriyah kerana terkejut. Riuh rendah bilik itu jadinya. Itulah Danial dan Fitriyah. Jika tidak Danial yang mengenakan anak buah kesayangannya itu bermakna dialah yang akan dikenakan oleh kenakalan Fitriyah.


“Aaaaaaaaaaaaaaa”, bingit telinga Danial mendengar jeritan Fitriyah. Apabila ternampak sahaja batang tubuh Danial, Fitriyah terus meluru mendapatkannya dan memeluk erat tubuhnya.


Danial ketawa terbahak-bahak melihat reaksi Fitriyah. Ketawa Danial itu mampu didengari sampai di ruang tamu. Setelah rasa terkejut yang bermukim di dalam diri Fitriyah reda tanpa meleraikan pelukan satu cubitan hinggap di lengan Danial.


“Aduh.. macam semut ah”, ejek Danial. Danial tahu Fitriyah merajuk namun Danial tidak kisah kerana dia memang suka memujuk Fitriyah. Setiap kali Fitriyah merajuk Daniallah yang akan pujuk dan apabila Danial pula merajuk Danial jugaklah yang akan memujuk Fitriyah.


“Eee.. apa ni tak malu. Dahlah cubit orang pastu dia peluk orang lak.. heee .. Tak malu !”, ejek Danial. Muncung Fitriyah semakin mendepa.


“Eleh ikut suka oranglah. Yang orang peluk ni uncle orang, nak malu apa?”, balas Fitriyah pula.


“Ye tak ye jugak eh.. Uncle Dany inikan uncle Iti nak malu ape”, seraya itu Danial memeluk Fitriyah dan menghadiahkannya satu ciuman di pipi. Fitriyah melentok manja.


Datin Sufiah, Kak Diya dan Abang Armand hanya mampu menggelengkan kepala sahaja mendengar telatah Fitriyah dan Danial. Begilah lazimnya apabila Kak Diya dan Abang Armand pulang. Rumah yang selama ini sunyi dari kekekan kanak-kanak menjadi hingar-bingar dan riuh-rendah dek telatah mereka berdua.


Uncle, jom temankan Iti pegi Mid Velly”, ajak Fitriyah. Berkerut dahi Danial mendengar ajakan Fitriyah. Setahunya Fitriyah bukanlah seorang yang suka membeli belah.


“Nak buat ape kita pegi Mid Valley?”


“Alah, uncle tamankanlah Iti.. Iti datang ni pun sebab nak ajak uncle pegi Mid Valley untuk beli baju”


“Iti nak pegi mana pakai baju baru tu?”, tanya Danial lagi. Danial tidak suka Fitriyah menjadi seorang pemboros.


“Iti ada function kat sekolah minggu depan. Iti kena nyanyi untuk persembahan pembukaan dan penutupan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah!”, jelas Fitriyah.


Menggapai Pelangi Cinta Bab 3


“Hoi, Elyeen apa yang kau senyum sorang-sorang tu?”, tiba-tiba Elyeen dikejutkan dengan satu suara. Elyeen tersenyum. Aliah rakan sebilik Elyeen semakin pelik dengan perangai ‘room-mate’nya itu.


“Elyeen, aku tau la hari ini merupakan hari yang berbahagia buat kita, tapi takkan sampai jadi macam ni kot. Termenung lepas tu senyum sorang-sorang. Eh, orang lain pun happy jugak tau tapi tak adalah sampai jadi macam kau. Oklah Elyeen, aku nak keluar sekejap”


Belum sempat Aliah menutup pintu, ingatannya telah menerawang kembali. Kali ini Elyeen terkenang kembali segala cabaran yang telah Elyeen tempuhi dalam tahun 5 dan tahun 6 dahulu.

Ah, sungguh seksanya. Terlalu banyak tekanan. Masih lagi terngiang-ngiang di telinga Elyeen kata-kata Miera di awal pembelajaran dahulu.


“Hoi, Elyeen kau jangan tunjuk besar kat sini. Kau ingat dapat langkau kelas tu, kira kau dah pandai sangat ke..”, kata-kata inilah yang menyebabkan azam Elyeen untuk membuktikan kepada Miera dan rakan-rakan lain yang Elyeen bukan seburuk yang disangka telah membuak-buak. Tetapi baginya, pada tahun 6 merupakan tahun yang paling mencabar . Elyeen telah dipulaukan, tiada seorang pun yang ingin berkawan dengannya kecuali Fendi. Elyeen hanya bersabar dan berdoa dengan harapan pada suatu hari mereka semua akan sedar. Sepanjang dua tahun tersebut, Fendilah yang banyak memberikan semangat kepada Elyeen untuk terus belajar tanpa menghiraukan tanggapan orang lain. Kadang-kadang terfikir jugak Elyeen, apakah salah dirinya hingga dipulau dan dibenci oleh rakan-rakan yang lain? Dengan mudah Fendi memberi jawapan. Kata Fendi mereka semua tu cemburu akan kejayaan aku dan selebihnya risau aku akan melebihi mereka. Tentulah malu andai ditewaskan oleh aku yang lebih muda daripada mereka. Mungkin ada benarnya kata Fendi itu.


“Aliah, Elyeen ada tak?” tanya Fendi.


“Elyeen. Hmm, pergilah tengok puteri kau tu ada kat dalam bilik. Liah rasa dia sakit kot”


Mendengar perkataan sakit, terus mukanya berubah. Tanpa banyak cakap, Fendi terus mempercepatkan langkahnya. Hati Fendi dirundung rasa kebimbangan. Setibanya Fendi di hadapan bilik Elyeen, tangan Fendi bertalu-talu mengetuk muka pintu bilik tersebut. Resah di hatinya menjadi-jadi apabila pintu bilik yang diketuk bertalu-talu itu tidak mendapat jawapan. Fendi tahu Elyeen berada di dalam bilik. Tanpa berfikir panjang, Fendi terus memulas tombol pintu tersebut. Tak berkunci !


Tiba-tiba Elyeen terasa seperti seseorang memegang bahunya. Elyeen melompat terjun dari kerusi tempat yang didudukinya. Lantas menoleh ke belakang untuk melihat siapakah gerangan manusia itu. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat Fendi tercegat dengan riak muka yang cemas.


“Fendi , kenapa masuk tanpa kebenaran Elyeen ni, tak ketuk pintu pulak tu!”, agak keras suaraku. Sebenarnya aku cuba menutup rasa malu akibat dikejutkan Fendi tadi.


“Amboi, sedapnya kata orang tak ketuk pintu.. Dah naik lenguh tangan ini mengetuk pintu tu tahu tak? Agaknya kalau pintu tu boleh bercakap mahu Fendi ni dimakinya tau tak! Buat orang risau saja”, kata Fendi dengan suara yang separuh meninggi. Suara Fendi masih lagi berbaur kebimbangan walaupun hatinya sudah lega apabila melihat Elyeen berada dalam keadaan selamat. Elyeen mencemikkan mukanya.


“Yang Fendi risau sangat ni kenapa?”, Elyeen kehairanan.


“Iyelah, orang ketuk-ketuk pintu tapi tak berjawab. Manalah tahu Elyeen pengsan ke atau apa-apa yang buruk berlaku pada Elyeen siapa yang tahu”. Elyeen hanya memandang Fendi tanpa sebarang kata. Eh, kenapalah pulak dengan mamat sorang ini, risau semacam je. Elyeen bukannya nak mati lagi.


“Ok, sudah Fendi, sudah. Elyeen tak apa-apa. Eh, sekarang ini dah pukul berapa?”


“Pukul dua belas setengah”


“Apa?? Alamak Elyeen dah lambat ni, dah pukul 12.30 tapi Elyeen belum siap lagi ni. Yang Fendi tak ingatkan Elyeen tu kenapa ?”, kata Elyeen separuh jerit. Salah aku lagi, tadi kata aku masuk tak ketuk pintu.. Sekarang salahkan aku sebab tak ingatkan dia pulak. Fendi jadi bingung lalu terus melangkah keluar.

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino