Product from Adobe

Selasa, Januari 13

Sambungan Suite 6019: Jom papa..!


EMPAT TAHUN KEMUDIAN…


“Haikal…” jerit Hakim dari dapur pada anaknya. Haikal yang sedang melakukan operasi ‘mengemas’ surat khabar lama papanya, lari terkedek-kedek ke dapur untuk mendapatkan Hakim.

“Papa nak buat apa, papa?” bulat mata Haikal apabila melihat keadaan dapur yang turut sedang ‘dikemaskan’ oleh papanya. Meja yang terletak diruang masak, penuh dengan pelbagai bahan masakkan.

“Kita masak, nak tak?” ajak Hakim pada anaknya.

“Nak.. nak..” Haikal menggedik keseronokkan. Sayur kacang panjang yang berada di atas meja dicapainya.

“Papa nak masak ape?” tanya Haikal lagi. Ternyata dia berasa begitu teruja dengan aktiviti yang dianjurkan oleh papanya hari ini. Hakim menggaru kepala apabila mendengar soalan daripada anaknya. Betul juga ya kata Haikal, hendak masak apa? Hakim berfikir-fikir sendiri.

“Haikal nak makan ape?” tanya Hakim pula pada anaknya.

“Asyam pedash..” jawab Haikal pelat. Pelik sungguh Hakim. Anaknya itu tidak ada masalah dalam percakapan tapi apabila tiba pada makanan kegemarannya iaitu asam pedas, mesti jadi pelat. Hakim menggelengkan kepala.

“Ok tak papa?” Haikal menarik-narik baju papanya. Tinggi harapannya agar papanya bersetuju dengan menu cadangannya.

“Er.. ok tapi papa tak pandai masak asam pedas la sayang. Mama pandai la..” jawab Hakim sambil tersengih. Pantas Haikal menarik muka, ingin merajuk. Kakinya pula sudah mula dihentak-hentak di atas kerusi.

“Ok..ok.. gini.. Kita masak moi nak? Haikal nak masukkan apa pun papa tak kisah. Nak tak?” pujuk Hakim. Bimbang anaknya itu menangis dan bakal menggegarkan seluruh kawasan perumahan itu dengan suara anaknya yang lantang. Haikal memang mewarisi sifat mamanya yang kuat menjerit.

“Yes..!!” jerit Haikal. Ternyata umpan Hakim mengena. Wajah anaknya yang mendung tadi semakin cerah.

“Ok, jap. Papa basuh beras ni dulu..” Hakim membuka tong yang menyimpan stok beras lalu menceduk dua cawan beras masuk ke dalam mangkuk. Mangkuk tersebut diunjukkan pada Haikal.

“Cukup tak Haikal?” tanya Hakim. Haikal menjenguk beras yang terdapat dalam mangkuk.

“Macam sikit je papa”

“Ye ke? Kalau macam tu kita tambah lagi sikitlah,” cekap tangan Hakim menceduk satu cawan beras lagi. Kemudian, beras itu dibawa ke sinki untuk dibasuh sebelum beras itu diletakkan di dalam periuk. Air diletakkan pada kadar sesuka hati dan kemudiannya periuk tersebut ditelakkan di atas dapur sebelum api dibuka.

“Dah ke papa?”

“Belum. Kita belum letak bahan-bahan dia lagi,” ucap Hakim pada anaknya. Hakim beralih ke meja. Dia memerhatikan barang-barang masakan yang telah dia keluarkan tadi.

“Ok. You choose. Nak masukkan ape?” kata Hakim pada anaknya.

“Ni papa..” ucap Haikal sambil menunjuk ke arah frozen vege yang berwarna-warni. Hatinya bagai teruja apabila melihat sayuran yang berwarna-warni dihadapannya.

“Ok..” pantas sahaja Hakim mengambil segengam sayur-sayuran tersebut dan mencampakkannya ke dalam periuk. Haikal bertepuk tangan apabila melihat sayuran yang berwaran-warni itu masuk ke dalam periuk.

“Next..” ucap Hakim kepada Haikal sambil mengangkat keningnya. Suka dia melihat anaknya ceria.

“Udang.. udang..” jerit Haikal lagi. Seperti tadi, pantas sahaja enam ekor udang terjun ke dalam periuk yang sedang mendidih.

“Erm.. tak payah cuci dulu ke papa?” tanya Haikal.

“Tak payah. Mama dah cuci dah hari tu..” balas Hakim selamba.

“Lagi?”

“Erm.. ni apa papa?” tanya Haikal sambil merujuk kepada kotak kuning yang sedang dipegangnya – Kiub Pati Ayam Knorr.

“Hah!! Kiub ayam. Pandai Haikal. Papa rasa moi kita hari ni mesti sedap giller. Silap-silap lebih sedap dari yang mama masak..” ucap Hakim bangga. Seronok pula melakukan aktiviti bersama begini bersama anaknya. Mulut becok anaknya benar-benar menghiburkan. Dua biji kiub dilepaskan ke dalam periuk. Sesekali Hakim mengacau bubur nasi yang berada di dalam periuk.

“Ada lagi tak?” tanya Hakim sebaik sahaja dia berpaling ke arah anaknya. Aik? Anaknya tidak kelihatan. Mana Haikal?

“Haikal,” panggil Hakim.

“Ini pulak papa..” kata Haikal. Rupa-rupanya dia sedang menyelongkar peti sejuk mamanya. Hmm.. pasti Reen mengamuk lepas ni, Hakim ketawa di dalam hati.

“Apa pulak ni, sayang?” Hakim membelek-belek isi yang terdapat dalam plastik merah ditangannya. Ikan bilis.

“Oh, ni ikan bilis la sayang. Ok jom kita letak..”

“Papa, Haikal nak letak pulak..” pinta Haikal sambil menarik seluar papanya.

“Ok.. ok.. sayang berdiri kat sini..” ucap Haikal sambil menarik sebuah kerusi mendekati dapur.

“Tapi hati-hati tau. Panas ni..” Hakim mengingatkan anaknya.

“Ok papa..” ucap Haikal dengan senang hati. Ikan bilis pula masuk ke dalam periuk nasi mereka. Setelah memasukkan ikan bilis, Haikal mendongak ke arah kabinet yang menyimpan barang-barang kek mamanya.

“Papa, tepung pulak..” cadang Haikal lagi.

“Opss.. tepung tak boleh la sayang. Mana ada orang masak moi letak tepung.. Tepung ni orang buat macam ni..” Hakim pantas mengangkat anaknya menjauhi periuk yang panas, kemudian sedikit tepung dicalit ke hidung anaknya. Habis comot wajah Haikal. Hakim ketawa melihat wajah anaknya. Haikal yang berasa tidak puas hati kerana ditertawakan oleh papanya pantas mengambil segenggam tepung dan dicampakkan ke wajah papanya. Habis putih selepung muka Hakim. Haikal ketawa dengan gembiranya. Tidak lama kemudian, berlakulah aksi kejar-mengejar sambil berbalas baling tepung. Habis bersepah rumah.


***


“Astaghfirullahalazim… apa yang kamu berdua ni buat?” tegur satu suara.

Opss!! Hakim yang sedang bergomol dengan anaknya mendongak untuk melihat siapakah gerangan yang sedang bersuara itu.

“Mama..” ucap Hakim sambil tersengih. Haikal yang berada di atas badannya diangkat dan diletakkan di tepi sebelum dia bangun dan bersalam dengan ibunya.

“Haikal, salam nenek..” arah Hakim pada anaknya. Tanpa berlengah, si kecil itu pergi mendapatkan neneknya. Hajah Mariam menghulurkan tangan pada cucunya. Tubuh kecil itu didukungnya.

“Ni kenapa comot-comot ni sayang?” tanya Hajah Mariam. Haikal hanya tersengih sambil dia bermain-main dengan jarinya.

“Bau hangit apa pula ni Hakim?” tanya Hajah Mariam apabila hidungnya terbau sesuatu yang terbakar.

“Allah mama, moi Hakim..” berlari Hakim kembali ke dapur untuk melihat moi yang dimasaknya tadi bersama Haikal.

Haikal menarik nafas lega. Mujur sahaja moi yang dimasaknya tadi tidak rentung, cuma nyaris-nyaris rentung sahaja. Hajah Mariam menggelengkan kepalanya. Patutlah Hakim enggan apabila dia suruh supaya dua beranak ini makan dirumahnya selama Fazureen berada di hospital. Rupa-rupanya ada ‘projek’ sendiri, ujar Hajah Mariam sambil ketawa sendiri.


***


“Haikal, mari makan. Ajak nenek sekali,” arah Hakim pada anaknya.

“Jom nenek, jom..” ucap si kecil itu sambil menarik tangan neneknya menuju ke meja makan.

“Haikal dengan papa yang masak.. Sedap tau nek,” petah mulut Haikal bercerita pada neneknya mengenai aktiviti bersama papanya tadi. Mereka duduk di meja makan. Setelah menceduk moi untuk Hajah Mariam dan Haikal. Mereka sama-sama merasa hasil ‘air tangan’ Hakim dan Haikal.

“Ok ke sayang?” tanya Hakim. Tak sabar hendak mengetahui feedback dari anaknya.

“Sedap.. sedap..” ucap Haikal sambil bertepuk tangan. Terangkat kening Hakim mendengar pujian daripada anaknya.

“Makanlah mama..” jemput Hakim.

“Nanti, mama nak ke dapur. Ambil air dulu..” Hajah Mariam berkata sambil bergerak ke dapur.

“Ya Allah.. selambak korang masak?!” jerit Hajah Mariam dari dapur.

Hakim dan Haikal hanya tertawa sambil jari menuding ke arah satu sama lain.


***


“Hai sayang.. apa khabar?” ucap Hakim sambil mencium dahi Fazureen yang sedang berbaring di katil.

“Baik..” jawab Fazureen sambil tersenyum.

“Hai anak mama, meh sini mama nak sayang sikit..” panggil Fazureen pada Haikal. Haikal memanjat katil mamanya. Tubuh mamanya dipeluk. Fazureen mencium wajah anaknya.

“Anak mama ni nakal tak?” tanya Fazureen.

“Tak.. tak.. kan papa?” pantas Haikal menjawab. Wajah papanya direnung. Hakim hanya menggangguk. Mengiyakan saja kata-kata anaknya.

“Mama.. Haikal nak tengok adik..”

“Tu.. tapi jangan bising tau..” Fazureen menunjuk ke arah baby cot yang berada di sebelah katilnya.

Haikal cuba menjengket untuk melihat adiknya.

“Aik mama, kenapa ada dua? Same la muka baby ni?” ucap Haikal pada mamanya. Hakim mendukung anaknya supaya Haikal mudah untuk melihat adik-adiknya.

“Ni la adik Haikal. Yang ni Fasha and yang ni pulak Fisha..” beritahu Hakim pada Haikal.

“Aik? Diorang girl ek papa?”

“A’ah.. Girl..”

“Kalau macam tu nanti boleh la kita ajak adik masak sama-sama dengan kita, kan papa?” shh.. Hakim meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Sudah diberitahu pada anaknya bahawa aktiviti mereka itu adalah rahsia mereka bersama.

“Alamak.. Haikal lupa..”

“Apa? Abang dengan Haikal masak?” terkejut Fazureen tembelang dua beranak itu pecah. Hakim dan Haikal sama-sama tersengih.

“Habislah dapur aku..” akhirnya mereka bertiga ketawa bersama-sama.

Sabtu, Januari 10

Air Mata Hati Bab 18[b]


Buah tangan buat pembaca yang sentiasa menyokong Lea dan cerita Air Mata Hati ini. Semoga terhibur hendaknya..

Fakrul mundar-mandir di dalam bilik kurungannya. Hatinya masih gelisah. Tidak pasti sama ada tawaran yang disampaikannya pada Komeng tadi akan diterima. Tidak pasti sama ada harapan untuknya kembali semula ke pangkuan Ezani pada kadar yang secepat mungkin akan terlaksana. Namun, apa yang pasti hatinya kini sedang bengkak kerana sarat menanggung rindu yang tak keruan di hatinya. Rindu yang sarat dijiwa kini nyaris bernanah akibat terlalu lama dipendamkan.

Tidak semena-mena pintu bilik kurungan terbuka. Komeng datang bersama orang suruhannya. Fakrul didekati.

“Ikat mata dia..” arah Komeng pada Zack dan dua orang lagi anak buahnya. Pantas mereka memegang Fakrul yang cuba meronta apabila Zack cuba untuk mengikat matanya dengan menggunakan sehelai kain hitam. Fakrul cuba meronta dengan sekuat hatinya, namun keadaan tangannya yang terikat telah membuatkan segala usahanya tidak berhasil.

“Arrghh.. Korang nak buat apa dengan aku ni?” tanya Fakrul dengan marah. Tidak suka mereka memperlakukan sesuka hati pada dirinya. Terselit juga rasa bimbang andai mereka ingin membunuhnya, gara-gara dia sudah lama berdegil dan tidak mahu memberikan kerjasama pada mereka. Doanya, seandainya telah ditakdirkan umurnya tidak panjang, hanya satu yang dia pinta – dia ingin melihat dan mengucup dahi Ezani buat kali terakhir. Biarlah surut sedikit rindu yang mencengkam dijiwanya.

“Diamlah.. kau jangan banyak tanya..” bentak Komeng. Satu tumbukan padu dihadiahkan ke perut Fakrul. Tertunduk Fakrul menahan rasa senak yang teramat. Hatinya cuba disabarkan. Tidak mahu bertindak bodoh. Dalam situasi sekarang ternyata bahawa kelebihan lebih berpihak pada Komeng dan konco-konconya. Dia perlu bertindak bijak dan pada perkiraannya kini, menurut merupakan langkah terbaik.

“Dah, korang bawak dia..” arah Komeng lagi.

“Baik bos..” sahut anak-anak buahnya.

“Jalanlah..” Fakrul terasa badannya ditolak-tolak dari belakang. Pandangan matanya yang gelap telah menyukarkan perjalanannya. Bunyi keriuk pintu memberitahu Fakrul bahawa dia sedang dibawa keluar dari bilik kurungannya. Mungkin mereka sedang membawanya untuk berjumpa dengan ketua penyangak-penyangak ini. Sekiranya benar, ini bermakna umpan yang ditaburnya semakin mengena. Harapannya untuk kembali bersama emak, Ezani dan anaknya semakin mekar berbunga.

Kedengaran bunyi pintu dibuka sekali lagi. Fakrul berandaian bahawa mereka sedang memasuki sebuah bilik lain. Mungkin bos penyangak-penyangak ini sedang menunggunya di sini, fikir Fakrul sendiri.

“Duduk..” arah Komeng. Fakrul hanya menurut. Ikatan tangannya dibuka dan diikat semula ke kerusi yang sedang didudukinya. Kemudian, ikatan kain hitam dimatanya pula dibuka. Sebaik sahaja ikatan di matanya dibuka, Fakrul memandang sekeliling. Ternyata telahannya tadi benar. Dia kini sedang berada di suatu bilik yang asing. Bilik yang lebih besar tetapi agak bersih. Dihadapannya pula terdapat suatu tabir yang berwarna hitam.

Zack dan rakan-rakannya bergerak meninggalkan Fakrul, yang tinggal hanyalah Komeng. Setelah melihat anak-anak buahnya keluar dari bilik tersebut barulah Komeng bergerak mendekati tabir hitam tersebut lalu menghilang disebaliknya.

“Semuanya sudah beres bos,” lapor Komeng.

“Baiklah, kau boleh keluar,” terkejut Fakrul mendengar akan perbualan tersebut. Memang telah dijangkanya bahawa dirinya diheret untuk ditemukan dengan ketua penyangak-penyangak durjana ini tetapi tidak pula dia menyangka bahawa ketua penyangak-penyangak ini akan bersembunyi disebalik tabir begitu.

“Baik bos..” ucap Komeng sebelum dia berlalu keluar dari bilik tersebut.

Suasana berubah sepi buat seketika. Fakrul hanya menanti apakah yang bakal dikatakan oleh insan yang berada disebalik tabir dihadapannya.

“Kau dah setuju?” tanya suara itu.

“Aku akan setuju tetapi bersyarat,” balas Fakrul ringkas.

“Apa syaratnya?” tanya suara itu pula, jelas menunjukkan bahawa dia tiada masa untuk berdolak-dalih mengenai perkara ini. Hanya persetujuan Fakrul yang dia inginkan.

“Kau akan setuju apa sahaja syarat yang aku?” balas Fakrul pula.

“Apa syaratnya?” suara itu sudah mula membentak. Tidak suka dengan cara Fakrul yang seolah-olah cuba untuk bermain tarik tali dengannya.

“Sebelum aku bersetuju dan menyatakan syarat-syarat aku, aku nak tahu dulu sebab aku dipaksa untuk mengahwini Nina”

“Kau tak perlu tahu,” jawab suara itu tegas.

“Aku perlu tahu jika kau nak aku setuju”

“Baiklah”



Judul terbaik bagi Air Mata Hati??!


Assalamualaikum semua dan selamat pagi,

Pada pagi ini, sebaik sahaja Lea buka mata n selepas solat Subuh habit Lea adalah untuk menjenguk ke kotak email Lea dahulu. Hari ini, sebaik sahaja kotak email dibuka, Lea menerima satu email daripada syarikat penerbitan supaya Lea cuba untuk menyediakan 5 cadangan judul terbaik bagi cerita Air Mata Hati.

Oleh itu, Lea ingin berkongsi bersama kawan-kawan semua detik ini. Marilah kita sama-sama memberi cadangan judul bagi cerita ini atau dalam erti kata lain, Lea berharap agar kawan-kawan sekalian dapat membantu Lea untuk memilih 5 cadangan judul terbaik bagi cerita ini untuk dihantar kepada syarikat penerbitan.

Sokongan dan bantuan yang kawan-kawan berikan amatlah hargai.
Sekian.

Ikhlas;
~LeaQistina

Khamis, Januari 8

Yang Kupinta Part 1


Aida termenung menghadap laut. Matanya pula merenung jauh hingga tembus ke ufuk barat. Memerhatikan bola merah yang semakin tenggelam ke dasar laut. Sesekali tangannya menguis lembut rambutnya yang terjurai di sekitar matanya. Perlahan-lahan kelihatan bola merah itu semakin menghilang bersama cahayanya. Alam jingga kini berubah gelap. Namun Aida masih lagi setia bertenggek di batu nan satu. Aida berpaling tatkala dia merasakan ada cuitan yang hinggap dibahunya.


“Apa?” tanya Aida sepatah.


“Jomlah. Apa lagi yang kau tunggu di sini? Burung pun pandai balik mencari sarang bila hari mulai kelam tapi kau pula masih lagi di sini? Cukup-cukuplah dilayan rasa kecewa dalam hati tu,” suatu tepukan hinggap di bahu Aida sebagai tanda semoga bersabar.

“Dahlah tu, jom kita balik,” tanpa sebarang bicara Aida melompat turun dari batu besar yang menjadi tempat persinggahannya sepanjang seminggu dia berada di Pulau Lagenda yang begitu terkenal dengan kisah lagenda sumpahan Mahsuri itu. Mereka bersama-sama bergandingan pulang ke chalet.


***


“Aida..!! Mana air aku ni? Dahlah aku penat, haus, kau yang duduk dirumah bersenang-lenang menggoyang kaki, takkan air pun kau tak boleh buatkan untuk aku!!” bentak Hamdan sebaik saja kakinya melangkah masuk ke ruang tamu dan mendapati air minumannya masih lagi belum tersedia. Terkedek-kedek Aida berlari sambil menatang gelas di dulang yang berisi air oren yang baru dikisarnya sebentar tadi. Dengan penuh berhati-hati Aida meletakkan dulang tersebut ke meja bulat yang terletak di tengah-tengah ruang tamu yang tersergam mewah itu.


“Huh!! Bodoh. Itu pun kau tak boleh buat,” maki Hamdan lagi. Melotot matanya merenung Aida yang masih lagi berdiri kaku sambil tertunduk di hadapannya. Dulang yang ditatangnya tadi kini disisip ke celah ketiaknya. Menantikan arahan seterusnya daripada Hamdan.


“Dah, kau jangan nak berdiri macam patung kat depan aku ni. Menyampah aku menengoknya. Sekarang kau bukakan stoking aku ni dan kau bersihkan kasut kerja aku, keluarkan baju bersih untuk aku dan kemudian aku nak kau bersiap. Pakai baju yang aku belikan untuk kau hari tu. Malam nanti kawan bos aku akan datang ambil kau, kau buatlah apa yang patut. Yang penting tender tu nanti kita orang dapat,” Hamdan memberikan arahan seterusnya kepada Aida. Tertegak kepala Aida mendengarkan arahan yang menjijikkan daripada Hamdan. Dirinya diperdangangkan lagi buat sekian kalinya.


“Aida tak nak..!!” entah dari mana datangnya kekuatan yang berjaya membuatkan Aida membuka mulutnya dan membantah arahan daripada insan yang berada dihadapannya.

Pangg!! Satu tamparan keras hinggap di pipi mulus Aida. Aida dapat merasakan bibirnya luka. Darah yang terbit di pinggir bibirnya dikesat perlahan. Hatinya sedih dan perit. Begitu juga dengan pipinya yang terasa pijar dan basah dek lelehan air mata yang mengalir lesu.


“Kau jangan berani nak membantah kata-kata aku. Sebelum kau teruk aku belasah, baik kau pergi buat apa yang aku suruh tadi,” Hamdan memberikan amaran kepada Aida supaya akur akan kehendaknya.


“Hah!! Kau tercegat apa lagi di situ. Nah.. cepatlah..” tengking Hamdan sambil melunjurkan kakinya. Dalam linangan air mata, Aida tunduk lalu memegang kaki Hamdan untuk menanggalkan stoking yang tersarung dikakinya. Terkial-kial Aida ketika cuba untuk menanggalkan stoking tersebut kerana Hamdan sengaja mengejungkan kakinya supaya kakinya menjadi lebih berat dan menyukarkan Aida untuk melakukan tugasnya.


“Tuan, Aida sanggup lakukan apa saja yang tuan arahkan tapi tolonglah Aida. Aida tak nak lakukan kerja-kerja yang terkutuk itu,” rayu Aida kepada Hamdan. Hamdan yang menyampah mendengar rayuan demi rayuan yang singgah ditelinganya, pantas menendang Aida yang berada dihujung kakinya. Dia paling benci untuk berkompromi! Tersungkur Aida ke belakang. Mujur saja kepalanya tidak terhantuk bucu tajam rak buku yang berada tidak jauh darinya. Aida mengaduh kesakitan. Hamdan melihatnya dengan segaris senyuman sinis yang menguntum dibibirnya. Tiada langsung riak belas yang terpancar diwajahnya. Wajah yang menjadi pantulan terus dari jiwanya.


“Sudah aku katakan, kau jangan berani-berani melawan aku, pasti buruk padahnya..” tengking Hamdan lagi.


“Dah, kau pergi bersiap sekarang”


Dalam masa yang sama kedengaran suara azan Maghrib berkumandang. Perlahan-lahan Aida bangun dan menuju ke biliknya. Dia perlu membersihkan diri sebelum dia menghadapkan diri pada Allah yang Maha Esa. Bermohon, meratap dan merayu akan nasib malang yang menimpa dirinya.


Setelah selesai membersihkan diri, telekung yang berada di dalam almarinya dicapai sebelum takbir diangkat dan dia akhirnya hanyut dalam kekhusyukkan solat yang menenangkan. Tiada lain yang kini berada dalam ingatannya melainkan hanya Dia yang satu. Hamdan melangkah masuk ke bilik tatkala Aida sedang hilang dalam kekhusyukkan solatnya. Hatinya panas tatkala dia melihat Aida yang masih lagi bertelekung dan belum bersiap seperti yang diarahkannya. Berani betul dia, marah Hamdan. Dia mendekati Aida yang sedang rukuk di rakaat yang kedua lalu menendang punggung Aida yang menyebabkan Aida jatuh tersungkur buat kali kedua dengan wajahnya tersembam ke lantai. Warna merah pekat mula mewarnai kain telekung putih yang sedang dipakainya. Dalam linangan air mata yang lebat bercucuran dipipinya, Aida cuba bangkit namun gagal apabila tangannya berasa terlalu sakit apabila digerakkan. Mungkin terseliuh semasa dia cuba menahan dirinya dari terus tersungkur sebentar tadi. Aida mula menangis teresak-esak. Hamdan mendekati Aida yang sedang menangis lalu dicabutnya telekung yang berada dikepalanya. Baru sahaja Hamdan berura-ura untuk menghadiahkan sebuah penampar ke wajah Aida demi melempiaskan rasa geram yang bersarang dihati, tindakannya itu terbantut apabila bunyi loceng yang bertalu-talu membingitkan telinga. Hamdan menunjal kepala Aida sebelum bangun dan menuju ke luar untuk melihat siapakah gerangan tetamu yang hadir di hadapan pintu rumahnya?


“Bos, you datang sendiri ka? Tadi you bilang lu mau hantar Ah Lam untuk datang sini ambil,” terkejut Hamdan tatkala melihat Mr. Chew terpacak dihadapan pintu rumahnya sebaik sahaja daun pintu diselak.


“Haiyya, wa sudah talak sabar lo mau seronok sama itu perempuan. Itu fasal wa sendiri datang sini mau ambil itu perempuan,” ucap Mr. Chew sambil diikuti oleh suatu ketawa yang berdekah-dekah.


“Haiyya bos, ada satu problem la. Itu perempuan tarak mau keluar, so apa kata you seronok sama dia di sini saja,” usul Hamdan pula. Mr. Chew pula hanya ketawa sambil menganggukan kepalanya tanda bersetuju. Dia mengusap-usap perutnya sebagai tanda dia sudah tidak sabar untuk menemui wanita yang telah dijanjikan untuknya. Hamdan ketawa senang hati apabila Mr. Chew bersetuju tanpa sebarang soal. Hamdan menjemput Mr. Chew masuk dan menunjukkan jalan menuju ke bilik tidurnya bersama Aida.


Sementara itu, di dalam bilik Aida sedaya upaya berusaha mencari jalan untuk menyelamatkan dirinya dari terus menjadi mangsa nafsu buas binatang yang bertopengkan manusia. Dengan susah-payahnya Aida cuba bangkit, dia bercadang untuk melarikan diri dengan cara terjun dari balkoni biliknya. Aida tidak kisah andai dirinya cedera asalkan dirinya tidak lagi menjadi mangsa. Aida nekad. Dia menolak kerusi meja solek menuju ke arah balkoni. Kerusi meja solek yang berat telah menyebabkan pergerakkannya menjadi perlahan. Ditambah pula dengan kecederaan yang dialaminya sebentar tadi. Namun segalanya tidak menjadi penghalang kepada Aida untuk terus berusaha menyelamatkan dirinya.


“Kurang ajar...” jerit Hamdan sebaik sahaja Aida baru sahaja meletakkan sebelah kakinya di atas kerusi bagi memudahkan dia untuk melangkah pagar balkoni yang boleh tahan juga tingginya. Pantas Hamdan mendekati Aida dan mencekak rambutnya sebelum dia mengheret Aida masuk ke dalam rumah. Aida meraung kesakitan. Seterusnya Hamdan memukul dan menyepak terajang tubuh Aida. Terpekik terlolong Aida menjerit kesakitan. Mr. Chew yang turut berada di situ hanya memerhatikan Hamdan membelasah Aida tanpa sebarang riak kasihan. Tentu sahaja mereka sama-sama berhati syaitan.


Hamdan membelasah Aida sehingga hampir separuh nyawa. Setelah hatinya agak puas, Hamdan menoleh pada Mr. Chew.


“Bos, you tunggu sekejap...” ucap Hamdan sebelum dia keluar sebelum kembali bersama segulung tali raffia di tangan. Aida diheret ke katil lalu tangan dan kakinya diikat di setiap penjuru katil. Kemudian dengan penuh rakus Hamdan menanggalkan pakaian yang tersarung ditubuh Aida. Satu demi satu. Aida cuba untuk meronta namun usahanya itu hanyalah sia-sia. Ikatan yang kuat pada kaki dan tangannya telah menyebabkan dia tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya linangan air mata yang menjadi bukti keperitan hati yang melanda. Hamdan menepuk pipi Aida beberapa kali sebelum bangun dari katil bersama ketawa.


“Ok bos, now she is yours...” ucap Hamdan sebelum berlalu keluar. Ketika melalui Mr. Chew, sempat lagi Hamdan berbisik “Have fun..!!”



BERSAMBUNG

Rabu, Januari 7

Sticky Notes: Pengumuman mengenai Air Mata Hati


assalamualaikum buat semua,

sebenarnya baru2 ini lea ada dihubungi oleh satu syarikat penerbitan dan mereka menyatakan bahawa mereka bersedia untuk menerbitkan cerita ini. Oleh sebab itu, mereka berharap agar lea memberhentikan aktiviti meng'upload' n3 baru di mana-mana blog termasuk di blog peribadi lea sendiri.

walaubagaimana pun, oleh kerana lea menjangkakan penerbitan cerita ini akan mengambil masa yang agak panjang akibat lea sendiri juga yang sedang sibuk dengan pelajaran maka lea mengambil keputusan untuk tetap memberikan beberapa n3 baru buat kengkawan semua namun pada mode kekerapan yang 'jarang-jarang'.

lea mengharapkan sokongan daripada kengkawan semua. Doakan lea agar dapat menerbitkan cerita ini secepat mungkin ek..

Salam sayang;
~LeaQistina

Cinta Si Baju Kebaya Bab 10


[Villa Cendana Wira, Balik Pulau, Pulau Pinang ~ 2015]

”Assalamualaikum..” kedengaran suatu suara memberikan salam. Farah Aqilah yang sedang duduk-duduk di bangku taman mini Villa Cendana Wira menjengukkan kepala. Ingin mengetahui siapakah gerangan insan yang memberikan salam.

Dari kejauhan kelihatan seorang perempuan yang sedang berdiri di hadapan pintu masuk villa sambil menjinjit sebuah beg pakaian di tangan. Tidak lama kemudian, Syamir pula kelihatan. Farah Aqilah dapat melihat riak wajah Syamir bertukar ceria. Wanita itu berkata sesuatu sebelum tangannya meraih tangan Syamir lalu tunduk dan mencium tangan itu. Tangan kiri Syamir pula menggosok perlahan kepala wanita itu. Kemudian, Syamir mencium dahi wanita itu lama. Hati Farah Aqilah tiba-tiba berdenyut aneh. Muncul suatu rasa yang kurang selesa. Hati Farah Aqilah bertambah tidak keruan tatkala melihat Syamir dan wanita itu masuk seiringan dengan tangan berkait lengan. Ah!! Aku ni kenapa? Marah Farah Aqilah sendiri.

Perlahan-lahan Farah Aqilah bangun dan mendekati kolam ikan yang berada tidak jauh dari bangku yang didudukinya. Dia bercangkung di situ. Dagunya disangkut ke lutut sambil tangannya mencapai batu-batu kecil dan mencampakkannya ke dalam kolam. Simboliknya, Farah Aqilah cuba membuang rasa tidak enak yang tiba-tiba bersarang di lubuk hatinya tatkala dia melihat perlakuan ’mesra’ antara Syamir dan wanita yang tidak dikenalinya tadi. Farah Aqilah melamun dan melayan rasa hatinya sendirian.

Setelah agak lama Farah Aqilah berteleku begitu, akhirnya dia melabuhkan punggungnya di tepi kolam ikan. Kakinya mula berasa semut-semut. Mungkin akibat daripada perjalanan darahnya yang agak terganggu apabila dia bercangkung terlalu lama. Dia melunjurkan kakinya seketika untuk membuang lenguh sebelum dia bersimpuh di situ. Tangannya pula mencapai satu ranting halus yang berada di sisinya dan mula melakar sesuatu dipasir di hadapannya tanpa sebarang tujuan.

Lamunan Farah Aqilah telah membawanya untuk mengingati kembali akan perbualannya bersama Syamir pagi tadi, setelah mereka selesai bersarapan pagi.

”Farah tengok ni, habis tangan Amir bintat-bintat kena gigit nyamuk,” ucap Syamir pada Farah Aqilah yang sedang mengemas meja makan sambil mengunjukkan tangannya. Bulat mata Farah Aqilah melihat kesan merah-merah pada tangan Syamir akibat digigit nyamuk. Warna kulit Syamir yang agak cerah telah menyebabkan kesan gigitan nyamuk itu nampak ketara.

”Banyaknya...” Farah Aqilah mendekati Syamir dan cuba meneliti kesan di tangan Syamir dengan lebih dekat. Syamir menayangkan raut wajah kasihan.

”Erm... Farah tak kesiankan Amir ke?” tanya Syamir lagi.

”Huh? Amir nak suruh Farah buat apa? Carikan Mopiko untuk Amir ke?” Farah Aqilah kurang mengerti akan maksud Syamir itu.

”Bukan. Gatal-gatal ni Amir dah letakkan ubat dah tadi. Farah tu lah... Tak kesiankan Amir ke, kena tidur kat Pondok Undang tu sorang-sorang? Dah la banyak nyamuk pula tu...”

”Erm... Amir nak suruh Farah balik ke? Farah tak kisah. Kejap lagi Farah siap, kita balik eh...” balas Farah Aqilah pula. Sangkanya sudah pastilah Syamir berkecil hati apabila dia terpaksa tidur di Pondok Undang, gara-gara dirinya berada di situ.

”Eh... bukan tu maksud Amir, Farah. Farah ni betul-betul tak faham atau saja buat-buat tak faham,” Syamir sudah mula membentak. Geram apabila setiap kata yang dituturkannya sampai pada Farah Aqilah dengan maksud yang berbeza. Sudah teruk sangatkah skill komunikasi yang ada padanya sehingga semua katanya di salah anggap dan tidak tepat maksudnya?

”Err... habis tu?” tanya Farah Aqilah sambil menggaru kepala. Kain buruk yang sebentar tadi digunakannya untuk mengelap meja, disangkutnya ke kepala kerusi. Syamir menarik keluar satu kerusi meja makan sebelum menepuknya beberapa kali. Isyarat supaya Farah Aqilah duduk di situ. Farah Aqilah yang turut mengerti menarik kerusi tersebut jauh sedikit dari Syamir sebelum melabuhkan punggungnya.

”Amir nak tanya Farah, Farah memang betul tak pernah sayangkan Amir ke? Farah memang dah tak sukakan Amir?” tanya Syamir dengan riak wajah yang serius. Glup... Farah Aqilah menelan air liurnya. Soalan apakah ini?

”Apa maksud Amir?”

”Farah, susah sangat ke nak faham ayat Amir hari ni? Kenapa semua yang Amir cakap pun Farah tak faham ni? Amir cakap bahasa Urdu ke? Apa yang Farah dengar itulah yang Amir maksudkan. Susah sangat ke soalan Amir tu?” ucap Syamir yang ternyata sudah mula berang.

”Ish, Amir ni. Cepat sangat naik darahnya. Cubalah bawak-bawak bersabar sikit. Ni sama je, dari dulu sampai sekarang perangai tak pernahnya berubah...” tegur Farah Aqilah perlahan. Sedaya upaya dia cuba untuk menggunakan intonasi yang bakal mengundang rasa tidak senang pada hati Syamir. Bimbang kemarahan Syamir akan terus meledak dan memuncak. Tiga tahun tempoh mereka bekerjasama sudah cukup untuk Farah Aqilah mengenali tindak tanduk insan yang diberi nama Syamir Mustaqim ini.

”Yelah... Farah tu yang asyik-asyik ’apa maksud Amir’...” rungut Syamir pula. Namun ternyata suhu kemarahannya sudah mula berkurangan. Ternyata Farah Aqilah masih lagi tahu cara untuk mengawal sifat amarahnya.

Farah Aqilah hanya diam. Tidak mahu memberikan sebarang respon buat Syamir.

”Farah tak kesian tengok Amir kena tidur di Pondok Undang sorang-sorang?” Syamir mengulangi soalannya kembali. Masih lagi menanti jawapan dari ulas bibir Farah Aqilah.

”Kesian tapi Amir nak Farah buat apa? Tak pe, ginilah. Malam nanti Farah hantarkan ubat nyamuk buat Amir ek? Nanti Amir tak adalah kena gigit nyamuk lagi”

”Hmm... masalah nyamuk memang la boleh selesai dengan cara Farah hantarkan ubat nyamuk buat Amir tapi Farah tak kesian ke bila tengok Amir kena tidur kat luar sorang-sorang?”

Farah Aqilah merenung wajah Syamir seketika. Cuba berfikir akan mesej yang cuba disampaikan oleh Syamir kepadanya.

”Dah tu apa yang boleh Farah buat? Takkan Farah nak temankan Amir pula? Ataupun macam ni je, malam ni kita tukar, Amir tidur kat dalam and Farah tidur kat Pondok Undang,” usul Farah Aqilah. Syamir menarik nafas panjang. Cuba untuk menyabarkan dirinya. Kenapalah Farah ni slow sangat hari ni?

”Dah berani sangat ke Farah nak tidur kat Pondok Undang tu sendiri?” sinis Syamir bertanya.

”Apa lagi yang boleh Farah buat Amir? Kalau Amir tak nak tidur kat Pondok Undang, biar Farah ajelah. Tu je jalan yang ada,” kini Farah Aqilah pula yang sudah mula membentak. Mula marah dengan karenah Syamir yang entah apa-apa.

”Amir nak tanya Farah, kenapa mi tak bagi Amir tidur dalam rumah?”

”Sebab Farah ada”

”Kenapa kalau Farah ada Amir tak boleh tidur dalam rumah?”

”Sebab bukan muhrimlah...”

”Macam mana nak bagi kita dua-dua boleh tidur bersama dalam satu rumah?”

”Kita kahwinlah...” opss!! Farah Aqilah menggigit bibir tatkala menyedari jawapan yang telah dikeluarkannya tadi. Syamir tersenyum manis mendengar jawapan Farah Aqilah. Itulah, lain kali bila nak menjawab soalan fikir dulu. Bukan main redah je, ucap Syamir dalam hati.

”So, Farah... Kita kahwinlah! Tapi bila ye?” ucap Syamir pula. Sengaja dia mengajuk kata-kata Farah Aqilah tadi. Gembira benar hatinya tatkala mendengar perkataan kahwin keluar dari dua ulas bibir Farah Aqilah.

Farah Aqilah bingkas. Rasanya seperti sudah agak keterlaluan apabila Syamir bergurau begitu.

”Gila!!” marah Farah Aqilah sebelum berpaling untuk meninggalkan Syamir di situ. Pantas Syamir menyambar lengan Farah Aqilah.

”No, Farah. Amir serius. Itulah antara salah satu sebab utama kenapa Amir tekad nak cari Farah semula. Please Farah bagi Amir peluang,” rayu Syamir.

”Amir nak peluang apa lagi? Tak cukup lagikah kisah kita dulu? Sudah la Amir. Farah dah penat!!” Farah Aqilah cuba untuk merentap tangannya yang berada digenggaman Syamir.

”Farah dengar dulu,” pegangan tangannya diperkemaskan. Tidak mahu Farah Aqilah pergi melarikan diri.

”Amir tak nak paksa tapi itulah niat Amir. Amir harap Farah dapat tunaikannya...”

Farah Aqilah menoleh. Tajam matanya merenung anak mata Syamir.

”Tapi kenapa? Kita tak pernah ada hubungan selama ini, yang ada hanyalah suatu kisah aib yang melukakan. Lebih daripada tu, tak ada...”

”Ada, Farah. Ada!! Selama ini kita tak sedar, tiga tahun kita berhubung dan bekerjasama telah mengikat hati kita tanpa kita sedari. Percayalah kata Amir. Sungguh Amir pernah meleraikan suatu ikatan suci antara kita dulu. Amir sendiri masih lagi ingat akan kata-kata nista yang Amir lemparkan buat Farah pada waktu itu. Tapi Farah, pada waktu itu Amir buta. Buta akibat kemarahan yang merajai jiwa Amir ketika itu. Amir buta untuk menilai peribadi Farah sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas seperti itu. Amir akui Amir bersalah dan Amir nak minta maaf dari Farah. But, Farah Amir benar-benar mengharap agar kita dapat bersatu semula. Kita bina rumah tangga kita semula...” ucap Syamir panjang lebar. Menggunung harapan di jiwanya agar Farah Aqilah dapat menerimanya kembali. Sudah berbakul doanya pada Illahi agar dilembutkan hati Farah Aqilah.

Kelu lidah Farah Aqilah untuk membalas kata rayu dari Syamir. Hatinya masih sakit akan kenangan lalu. Lukanya juga masih lagi berdarah. Mampukah dia memaafkan dan menerima Syamir kembali dalam hidupnya? Sementelah mereka memang tiada pernah ada hubungan perasaan selama ini? Mampukah dia?

”Farah, Amir janji Amir tidak akan memaksa. Farah ambillah berapa banyak masa yang Farah suka. Namun Amir memang mengharap sangat agar kita dapat membina keluarga bahagia kita bersama...” janji Syamir bersungguh-sungguh. Farah Aqilah menarik nafas dalam. Cuba untuk memanggil agar akal rasionalnya supaya berfungsi. Setelah agak lama berfikir akhirnya Farah Aqilah bersuara.

”Baiklah. Farah akan mempertimbangkannya tapi Farah tak nak janji apa-apa dengan Amir. Farah tak janji,” akhirnya Farah Aqilah memberikan kata putusnya. Sebenarnya Farah Aqilah sudah tidak mahu mendengar kata rayu dari Syamir. Hatinya rimas.

Farah Aqilah terkejut apabila merasa ada tangan yang menyentuh lengannya.

”Apa yang dimenungkan tu Farah? Jauh benar nampaknya...” tegur Mak Dah. Farah Aqilah tersenyum.

”Tak ada apa-apalah Mak Dah. Saja je...”

”Hmm.. kalau begitu marilah. Kita minum petang dulu. Lagipun ada orang yang teringin sangat nak kenal dengan Farah. Jom...”

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino