Product from Adobe

Jumaat, September 19

Air Mata Hati Bab 4


Jam telah berdenting sebanyak empat kali tatkala Fakrul kembali menjejakkan kakinya ke bilik setelah puas memujuk hatinya yang pilu. Mujurlah pemergian dan kepulangannya itu langsung tidak disedari oleh sesiapa. Jika tidak, hari yang tenang itu mungkin akan bertukar kecoh. Mana tidaknya. Pengantin lelaki keluar rumah di malam pengantin. Memang tidak pernah dibuat orang.

Sayu hatinya apabila melihat Ezani yang tidur merekot di atas lantai. Tanpa sebarang alas. Tanpa sabarang kain yang menyelimuti dirinya. Perlahan Fakrul mendekati isterinya itu. Wajah yang lembut ayu itu ditenungnya lama. Sebuah kucupan hinggap di dahi Ezani. Fakrul sendiri tidak memahami dengan dirinya. Segalanya berubah tatkala mereka sah diijabkabulkan. Nama Nina ibarat terkubur tanpa nisan di hatinya. Langsung tiada kesan. Entah mengapa? Fakrul tiada jawapannya. Kucupan sayang hinggap lagi di dahi isterinya itu. Tidak tertahan rasa hatinya dengan rasa sayang itu. Hanna abang sayangkan Hana, jerit hati kecil Fakrul. Jangan tinggalkan abang, sayang...

Fakrul mengambil bantal dan mengalas kepala Ezani perlahan-lahan. Suhu penghawa dingin ditinggikan dan sehelai selimut diambil untuk menyelimuti isterinya itu. Setelah memastikan isterinya berada dalam keadaan yang lebih selesa akhirnya Fakrul juga sama-sama merebahkan diri di sisi isterinya. Wajah sendu isterinya itu ditenungnya lama. Tidur dengan bantal yang sama membuatkan wajah mereka hanya sejengkal jaraknya. Tangannya melingkari pinggang isterinya dan akhirnya dia juga turut terlelap. Di wajahnya juga terlukis sendu yang teramat.

Kokokan ayam pada pagi itu telah mengejutkan Ezani dari lenanya yang panjang. Terasa seperti ada tangan yang melingkari pinggangnya. Terkejut apabila melihat Fakrul ada disebelahnya. Perlahan Ezani mengalihkan tangan suaminya itu. Ezani berteleku di sebelah Fakrul yang nyenyak. Ezani tidak tahu bila Fakrul pulang dan tidur disebelahnya. Rasa kasihan menyelinap di hatinya apabila melihat Fakrul tidur tanpa alas. Ezani memberanikan tangannya untuk membelai rambut suaminya itu. Wajah Fakrul ditenungnya dengan rasa kasih yang mendalam. Bukan aku tidak sudi menjadi suri hidupmu cuma aku mahu kau berbahagia disamping insan yang kau sayangi. Diriku bukanlah insan yang bertuah itu yang terpilih untuk mendapat kasih sayangmu itu.

Gerakan kecil oleh Fakrul telah menyebabkan Ezani berdiri secara spontan. Risau kelakuannya itu disedari oleh Fakrul. Risau andai perlakuannya itu berjaya mengaburi permintaannya pada Fakrul malam tadi. Hakikatnya Fakrul telah lama sedar. Tindakannya telah lama diintip oleh Fakrul. Lenanya sejak malam tadi asyik terganggu. Fikirannya kacau dan berserabut. Perbuatan Ezani itu menyebabkan Fakrul yakin dengan keputusan yang telah dibuatnya malam tadi. Hatinya gembira. Fakrul tahu kasih Ezani buat dirinya masih seperti dulu. Masih belum berubah.

Tidak lama kemudian Fakrul berpura-pura mengeliat. Meregangkan urat-urat di badannya. Sakit juga badannya kerana tidur di lantai tanpa alas. Namun untuk tidur seorang diri di atas katil serba nan indah itu seorang diri Fakrul tidak sanggup. Ezani kelihatan terpaku melihatnya. Fakrul melemparkan senyum.

“Err.. bangunlah. Subuh,” itu sahaja yang mampu Ezani lafazkan. Hatinya masih gabra. Bimbang perbuatannya itu disedari Fakrul. Dirinya pasti akan diketawakan oleh Fakrul seandainya perbuatan itu disedari. Senyuman yang dihadiahkan oleh Fakrul sebentar tadi sedikit-sebanyak telah menceriakan hatinya.

Ezani terus berlalu. Selepas mengambil tualanya lalu terus menghilang ke bilik mandi. Tidak lama kemudian Ezani keluar kembali dari bilik mandi menuju ke almari. Sepasang baju kurung dikeluarkannya lalu kembali menghilang ke dalam bilik mandi semula. Tersenyum Fakrul melihat gelagat isterinya itu. Malulah tu, kata Fakrul sambil ketawa dalam hatinya. Senyuman kecil terbit di bibirnya.

Setelah selesai membersihkan diri, Fakrul dan Ezani sama-sama menunaikan tanggungjawab yang satu itu secara berjemaah buat pertama kalinya. Tenteram dan damai rasa hati Ezani tatkala dirinya mengucup lembut tangan suaminya. Sebagai balasan Fakrul menghadiahkan suatu kucupan tulus di dahinya. Terlupa sebentar konflik yang tercetus malam tadi. Yang ada hanyalah suasana suami isteri yang solehah.

Auchh!! Ezani bersin. Selepas itu Ezani terus bersin dan bersin lagi. Nampaknya Ezani telah diserang selesema. Merah sungguh hidung Ezani. Tergeleng kepala Fakrul melihat Ezani yang mudah diserang selesema itu. Itulah katil ada nak jugak tidur di lantai. Inilah padahnya, hati kecil Fakrul bersuara. Tetapi tidak pula disuarakan pada isterinya itu. Bimbang mood isterinya akan berubah kembali. Fakrul tidak rela melihat sendu di wajah isterinya. Setelah bersiap ala kadar, mereka sama-sama keluar dari bilik.

“Aik, awalnya pengantin kita bangun. Tidur tak nyenyak ke malam tadi?” usik Nek Leha. Belum sempat Fakrul menjawab usikan Nek Leha itu, Ezani kembali bersin. Auchh!! Bukan sekali dan bukan juga dua kali. Tetapi berkali-kali. Pantas Fakrul mencapai kotak tisu yang berada berhampiran dengannya dan memberikannya kepada Ezani. Tanpa sepatah kata Ezani terus mengambilnya dan terus bersin. Buat sekian kalinya Fakrul menggelengkan kepalanya. Hanna.. Hanna.. Terselit senyuman dibibirnya. Ezani kelihatan sangat comel dengan hidungnya yang merah.

“Lah, demam ke kau ni Zani?” kata Mak Cik Limah sambil meletakkan tangannya di dahi Ezani. Namun wajahnya dipalingkan ke muka anaknya, Fakrul untuk mendapatkan sebarang penjelasan.

“Kau buat apa pada si Zani ni Ayul sampai demam-deman dibuatnya dia?” terkeluar soalan itu dari mulut Nek Piah. Terkelu Fakrul seketika. Ezani pula hanya tertunduk malu. Faham dengan apa yang dimaksudkan. Eh, ke situ pulak Nek Piah ni? Terdengar ada suara-suara yang ketawa. Setelah menyepi beberapa ketika barulah Fakrul menjawab soalan emaknya. Soalan Nek Piah itu dibiar terus berlalu tanpa jawapan.

“Agaknyalah mak. Kejap lagi lepas sarapan Ayul bawakkan Hanna ke klinik,” balas Fakrul. Tersenyum Mak Cik Limah mendengar panggilan Fakrul pada Ezani telah berubah. Baguslah jika begitu. Kemudian Fakrul berpaling kepada Ezani.

“Hanna, nanti lepas makan Hanna siap ye. Abang bawakkan Hanna ke klinik Dr. Ain,” beritahu Fakrul pada isterinya. Ezani yang masih asyik dengan bersinnya itu hanya mengangguk. Bersin yang tidak henti-henti itu menyebabkan Ezani tidak mampu bersuara. Pada kali ini, bukan sahaja Fakrul yang menggelengkan kepala tetapi juga Mak Cik Limah, Nek Leha dan Mak Uteh. Anak-anak Kak Shiedah yang berada di situ ketawa melihat bidadari yang asyik bersin itu. Ezani tidak peduli. Apa yang pasti kotak tisu itu adalah miliknya..!

Pagi itu semasa bersarapan pagi, sempat Ezani menuangkan minuman dan menyendukkan bihun goreng kepada Fakrul. Itulah tanggungjawab pertama sebagai isteri yang dijalankan oleh Ezani sejak pernikahan mereka semalan. Fakrul menerimanya dengan senang hati. Senyuman Fakrul sentiasa dibibir. Bahagia sungguh rasanya bila ada isteri. Indah sungguh perasaan itu hingga terlupa terus permintaan isterinya semalam.

Malah semua yang berada di situ turut berasa senang hati melihat kelakuan mereka berdua. Ezani hanya makan sedikit sahaja. Dia tiada selera. Memang begitu kebiasaannya. Apabila dirinya dijangkiti selesema, selera makannya pasti hilang. Ezani makan sedikit pada pagi itu pun hanya kerana paksaan oleh Fakrul. Fakrul bertegas supaya Ezani perlu makan walaupun sedikit. Kata-kata Fakrul itu pula disokong oleh Mak Cik Limah dan Tok Hassan, suami kepada Nek Leha. Setelah selesai bersarapan mereka pun keluar menuju ke klinik.

“Teruk benar sayang bersin pagi ni. Itulah lain kali tidur atas katil. Hanna tidur atas lantai tu kenapa? Tak fasal-fasal dah sakit,” tegur Fakrul. Ezani memandang Fakrul yang sedang tenang memandu. Belum sempat Ezani menjawab, sekali lagi Ezani bersin. Fakrul tersenyum. “Tak apelah, abang bawak Hanna ke klinik Dr. Ain,” kata Fakrul lagi.

“Abang, jauhnya..” baru Ezani tersedar lidahnya telah tersasul kata. Serta merta wajahnya bertukar merah. Sama merah dengan hidungnya yang telah sedia merah. Tidak jadi Ezani hendak meneruskan kata-katanya.

“Alhamdulillah.. Akhirnya dapat jugak abang dengar Hanna panggil abang, abang,” sebut Fakrul. Girang benar hatinya. Luka hatinya semalam hilang begitu sahaja. Fakrul tertawa kecil. Wajahnya berseri-seri. Terasa ingin dicatatkan tarikh dan detik masa itu di dalam diari peribadinya supaya dapat diabadikan buat selamanya. Sungguh hatinya bahagia.

“Tak apelah, saja je abang nak bawak Hanna ke klinik Dr. Ain,” kata Fakrul lagi dalam maksud yang tersirat.

“Kenapa tak pergi ke klinik Dr. Ammar je. Dekat sikit kan?” tanya Ezani lagi.

“Err.. err.. tak apelah. Ammar… Klinik Dr. Ammar… err.. ha.. tutup hari ni. Sayang tak tau ke?” tergagap Fakrul memberi balasan.

“Eh, hari ni bukan public holidaykan? Rasanya klinik tu tak pernah tutup walaupun public holiday. Biar Zani check kad dia dulu,” balas Ezani dalam kepelikan.

“Tak.. abang dah called Ammar tadi dia cakap dia cuti,” Fakrul masih cuba mempertahankan alasannya. Pelik Ezani melihat gelagat Fakrul pada pagi ini. Akhirnya Ezani ikutkan sahaja kata-kata suaminya itu. Malas nak bertelagah lagi.

“Oklah.. Pergi jelah Ayul. Zani tak kisah,” lega hati Fakrul mendengar kata-kata Ezani itu. Tak mahu kisah keengganannya membawa Ezani ke Klinik Dr. Ammar diperkatakan lagi.

“Isteri encik ini hanya mengalami demam selsema biasa saja. Encik tidak perlu bimbang. Saya akan berikan ubat dan harap encik dapat memastikan isteri encik makan ubat tersebut tepat pada masanya,” pesan Dr. Ain kepada Fakrul. Ezani yang berada disebelah sekadar mendengar.

“Antibodi badan puan agak lemah. So, saya sarankan puan banyak makan buah-buahan dan bagus juga kalau puan ambil multivitamin,” tambah Dr. Ain lagi. Khusyuk Fakrul mendengar kata-kata Dr. Ain perihal Ezani.

“Saya bagi pada puan ubat demam, ubat selema, ubat batuk dan juga vitamin. Makan tepat pada masanya. Ok puan boleh ambil ubat puan diluar,” setelah mengucapkan terima kasih pasangan suami isteri itu pun berlalu.

“Sampai je rumah nanti Hanna terus pergi makan tengah hari, lepas tu makan ubat and tidur,” arah Fakrul sebaik saja mereka melangkah masuk ke dalam kereta. Ezani berpaling pada Fakrul.

“Alah.. tapi Zani nak tolong mak kemas-kemas. Takkanlah nak tidur tengah-tengah hari rembang ni,” sanggah Ezani. Sesungguhnya Ezani segan dengan ahli keluarga yang lain. Sungguh pun dirinya tidak sihat, Ezani tidak mahu mereka menganggap yang dirinya terlalu manja pula. Sakit sedikit sudah tidak boleh buat kerja. Mentang-mentanglah dirinya itu masih lagi bergelar pengantin baru.

“Ha.. Tengok tu.. Hanna ni memang degil tau! Hanna dengar cakap abang ni. Tak payahlah sibuk nak fikir fasal nak kemas rumah tu. Nanti abang buatlah.. Abang tolong mak kemas. Hanna tidur je. Mak pun mesti tak bagi Hanna kemas punyalah..” bebel Fakrul panjang lebar. Sifat Fakrul yang satu itu sangat Ezani ketahui. Fakrul sangat pandai membebel. Sabar ajelah hati.. Lagi pun bukannya tak biasa sebelum ni..

“Ha.. buat muka macam tu.. muka lawa pun dah jadi muka jebon,” tegur Fakrul lagi bila melihat Ezani seolah-olah tidak mahu mendengar kata-katanya. Malah menunjukkan muka yang tidak puas hati. Kebiasaan bercakap lepas dengan Ezani masih tidak dapat diubah.

“Hmm.. kalau dah tau muka Zani macam jebon buat apa nak simpan Zani. Lepaskan ajelah,” ringan sahaja mulut Ezani membalas kata-kata Fakrul itu. Fakrul pula tercengang dengan bidasan Ezani itu. Sungguh Fakrul tidak sangka isu semalam akan dibangkitkan kembali pada saat ini. Menyimpang sungguh balasan dari Ezani itu. Harmoni sungguh suasana antara mereka tadi. Kelu lidah Fakrul untuk bersuara. Ezani pula masih lagi menunggu balasan daripada suaminya itu.

“Kenapa Ayul diam? Jawablah..!” cabar Ezani lagi bila melihat Fakrul seolah tidak mahu menjawab kata-katanya tadi. Ezani masih lagi menunggu reaksi daripada Fakrul. Tiada sepatah kata keluar dari mulut Fakrul. Tetapi Ezani pasti Fakrul sedang menahan marah pada waktu itu. Cengkaman yang kuat pada stereng dan juga muka yang merah menggambarkan perasaan Fakrul pada waktu itu. Setelah tiba di selekoh terakhir sebelum masuk ke perkarangan rumah barulah Fakrul bersuara.

“Nantilah kita bincangkan hal ini. Buat masa ini abang nak Hanna pergi makan ubat dan tidur. Lagi satu abang harap sangat Hanna tak bercakap mengenai hal ini di depan mak. Abang tak nak mak sedih nanti. Mak sayang sangat pada Hanna,” balas Fakrul perlahan. Sayu sungguh rasa hatinya saat itu. Pedih juga hatinya apabila gurauannya telah disalahertikan. Tersentuh juga hati Ezani mendengar kata-kata Fakrul itu. Namun apakan daya. Sudah terlajak kata tidak boleh diundur.

“Zani, dah balik dah nak. Hm.. Zani pergilah makan di dapur tu. Lepas tu Zani naik berehat di bilik ye nak..” kata Mak Cik Limah pada menantunya itu. Menantu yang disayanginya ibarat anaknya sendiri.

“Baiklah mak,” balas Ezani pendek. Tersenyum Mak Cik Limah melihat kepatuhan Ezani itu.

“Ayul, kau pergilah temankan si Zani ni makan,” arah Mak Cik Limah pada Fakrul pula. Namun, tangannya masih lagi meraba-raba di dahi Ezani. Ingin merasa sendiri suhu badan Ezani. Risau juga hati tuanya. Bimbang menantunya itu menghadapi penyakit yang serius.

“Jom..” kata Fakrul sambil menarik tangan Ezani. Ezani terkejut. Mahu saja Ezani menepis pegangan Fakrul itu. Namun demi memikirkan maruah dan air muka Fakrul di hadapan keluarga akhirnya Ezani diamkan saja.

Sebaik tiba di dapur, Ezani menyuruh Fakrul duduk di meja makan. Dirinya terus bergerak ke dapur untuk mengambil pinggan dan menyendukkan nasi buat Fakrul. Entah mengapa dalam permintaannya untuk dilepaskan oleh Fakrul namun dirinya masih lagi menjalankan tugas seolah-olah dirinya itu isteri yang solehah. Belum sempat Ezani bergerak ke dapur, terasa pergelangan tanggan ditarik. Ezani terus berpaling.

“Hanna duduk. Biar abang yang pergi ambilkan pinggan dan nasi”

“Tak apelah. Zani bukan nak mati lagi. Boleh lagi nak pergi..” belum sempat Ezani menghabiskan kata-katanya. Ezani terasa pipinya ditampar oleh Fakrul. Tamparan tersebut tidaklah terlalu kuat. Namun masih mampu membuatkan Ezani terpana dengan tamparan itu. Terkejut hatinya dengan tamparan tersebut. Tamparan pertama dari suaminya. Tamparan akibat keceluparan mulutnya.

“Tak ada ayat yang elok lagi ke nak guna? Kenapa? Rasa tak puas hati tadi tu tak habis lagi ke? Cakap tu pernah fikir ke tak? Ikut sedap mulut dia je. Tak fikir langsung orang sakit hati ke tak ke? Suka-suka dia je. Masih nak cari fasal.. Tak penat-penat lagi ke? Kaki dah lah capit tangan pula berjahit.. Duduk jelah.. Saja nak tunjuk keras kepala dia,” marah Fakrul. Suaranya tidak ditinggikan. Bimbang dikesan oleh ahli keluarga yang lain. Namun ketegasan suaranya sudah cukup untuk membunuh keberanian di hati Ezani untuk terus menentang Fakrul. Setelah melihat Ezani duduk di kerusi meja makan barulah Fakrul bergerak ke dapur.

Setelah lauk disusun di tengah meja dan nasi telah dihidang akhirnya Fakrul mengangkat menadah tangan untuk membaca doa makan. Tanpa disuruh Ezani turut menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibaca oleh Fakrul itu. Fakrul telah memulakan suapannya yang pertama. Namun Ezani masih lagi menguis-nguis nasi dalam pinggannya. Sungguh seleranya tiada. Perbalahan dengan Fakrul tadi sedikit sebanyak juga telah membunuh seleranya. Namun itu semua salah dirinya. Asyik mencari fasal. Ezani sendiri tidak tahu apa yang dikehendakinya.

Suapan Fakrul terhenti apabila mendapati Ezani masih lagi belum makan nasi yang berada di hadapannya. Fakrul merenung Ezani disebelahnya. Ezani hanya menguis-nguis nasi dipinggannya. Fakrul bingung dengan tindakan Ezani dua hari ini. Benci sangatkah dia pada aku? Bukankah dahulu aku sering melihat renungan sayang dari matanya padaku? Bukankah dahulu tindakan dan cakap-cakap Ezani lebih menunjukkan perasaan yang sarat dengan perasaan sayang kepadaku? Sungguhkah Ezani tidak bahagia dengan perkahwinan ini? Daripada membiarkan perkara ini dari terus berlarutan dan memudaratkan semua, mungkin inilah masa yang terbaik untuk menghuraikan semua masalah ini.. Tapi perlukah aku melepaskannya? Sungguh hati Fakrul tidak rela.

“Baiklah..” kata-kata Fakrul secara tiba-tiba itu mengejutkan Ezani dari lamunannya. Cuak juga hatinya mendengarkan kata-kata Fakrul yang hanya sekerat jalan itu. Apa maksudnya? Dah nak lepaskan aku ke? Tiba-tiba badan Ezani terasa seram sejuk dan tangannya pula terus menggelar. Kuatkah hati aku untuk menghadapi saat ini?

Fakrul mengumpul kekuatan untuk terus bersuara. Wajah Ezani yang tiba-tiba berubah pucat ditenung dengan perasaan yang berbaur. Ya Allah berilah petunjuk pada hamba-Mu yang hina ini. Peliharalah rumah tangga yang baru terbina ini.

“Sayang makanlah.. Lepas ni kita keluar dan berbincang. Kalau abang terus ikat sayang tapi sayang tak bahagia pun tak guna jugak. Mungkin abang hanya layak untuk ditinggalkan. Tak apelah..” selepas menuturkan kata-kata itu Fakrul terus mengangkat pinggan nasinya yang baru makan separuh itu lalu beredar. Seleranya mati.

Ezani terpana dengan tindakan dan kata-kata Fakrul itu. Sudah tiba masanyakah?! Wajahnya berubah pucat. Takut. Sedih dan tidak rela pula yang bersarang dihatinya kini. Abang?! Rintih hati Ezani..


“Hanna dah fikir masak-masak tentang permintaan Hanna itu?” tanya Fakrul.

“Betul yang sayang takkan menyesal?” tanya Fakrul lagi. Hanna hanya menundukkan mukanya. Tidak berani untuk menatap wajah Fakrul. Satu-satunya wajah kesayangannya di muka bumi ini. Perit rasa hatinya dengan soalan itu. Hanya anggukan kepala yang mampu diberikan sebagai jawapan.

“Pandang muka abang, Hanna. Abang tak faham bahasa isyarat. Mana suara Hanna? Abang nak dengar kata-kata tu dari mulut Hanna sendiri!” tegas Fakrul. Sengaja dia ingin mendera hati Ezani. Secebis dari hatinya masih yakin masih ada sayang dihati Ezani untuk dirinya.

“Betul Hanna memang dah tak boleh terima abang sebagai suami? Even to give it a try for our marriage?” soal Fakrul lagi.

“Tak!! Kenapa Ayul tak nak faham ni?” jerit Ezani tiba-tiba. Sungguh hatinya pedih dan tidak tahan dengan segala soalan-soalan Fakrul yang bertalu-talu itu. Hatinya terdera. Hatinya tertekan. Kenapa Fakrul sengaja nak mendera hatinya lagi?

“Ok, kalau itu yang Hanna nak. Abang akan lepaskan Hanna. Kita akan cari saksi untuk selesaikan perkara ini,” tertegak pandangan Hanna mendengar ayat yang baru sahaja meluncur dari mulut Fakrul itu.

“Kenapa Hanna pandang abang macam tu? Hanna yang mintakkan?” provok Fakrul lagi. Manik-manik jernih sudah mula kelihatan di wajah Ezani. Hati Fakrul sendiri tidak tertahan apabila melafazkan kata-kata itu tadi. Namun hatinya itu dicekalkan. Aku perlu lakukan sesuatu. Dayus sekiranya aku hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa. Hanya mendengar permintaan Ezani yang berkali-kali untuk dilepaskan.

“Tapi dengan syarat. Abang hanya akan lepaskan Hanna dengan kehendak Hanna sendiri sekiranya semua syarat yang abang tetapkan itu telah Hanna patuhi. Setuju?” sekali lagi Ezani terpana dengan kata-kata Fakrul.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
"Jangan bicara soal perjuangan, jika gentar akan kekalahan, Jangan bicara soal cinta, jika bimbang akan kehilangan"

4 komen yang diterima:

Unknown on 11 Oktober 2008 pada 10:22 PG berkata...

salam..best la novel akak..hope smbg cpt ea..=)

dina on 18 Disember 2008 pada 11:52 PG berkata...

Uwaaaa.... jangan la cerai2... hukhukhuk...

lea, kamu hebat! (speechless)

LeaQistina on 18 Disember 2008 pada 11:56 PG berkata...

apalah hebatnya lea kak.. lea cuma budak baru belajar.. thanx atas kesudian akak baca citer ni.. ;)

thanx tu nanie naqi juga.. lea sangat menghargainya..

dixie dollz on 5 November 2009 pada 1:16 PTG berkata...

waa... makin best la cita ni hihii~
x mo la cerai2

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino