Hamdan menggelisah sendiri dipembaringannya namun tidak sekali Aida menjengukkan wajahnya. Adakah Aida sudah meninggalkan dirinya? Hati Hamdan semakin rawan. Entah mengapa rasa berdosa datang menghimpit jiwanya tanpa dipinta. Hatinya pula bagaikan meronta untuk melihat wajah mulus Aida. Rasa apakah ini? Sungguh rasa itu terasa bagai terlalu menggigit-gigit hatinya. Hamdan menjadi semakin tidak keruan. Ya Allah, apakah rasa ini?
Allah?
Sungguh Hamdan tidak percaya bahawa lidahnya menyebut kalimah Allah. Apakah yang berlaku terhadap dirinya? Seingat dia, sudah bertahun dirinya tidak menyebut kalimah agung itu melainkan sewaktu dia berpura-pura solat di hadapan ibunya ketika berada di kampung dulu.
Allah. Allah. Allah.
Kalimah agung itu disebutnya berulang-ulang kali. Terasa bagaikan ada kelainan dalam jiwanya. Apakah makna semua ini? Adakah ini merupakan rahmat daripada Ilahi yang ingin menjemputnya pulang ke jalan kebenaran?
“Ya Allah,” ucap Hamdan setulus hati. Serentak dengan itu, rasa sebak mula menguasai jiwa. Satu persatu perbuatan zalim serta sejarah dosa masa silamnya bermain-main di depan mata. Semakin dikenang semakin sebak dan sesak rasa dihatinya.
“Ya Allah, berdosanya aku,” akhirnya Hamdan hilang dalam esakannya yang panjang. Rasa sedih, takut serta berdosa kejap menguasai jiwa.
***
“Ya Allah, kenapa ni tuan? Kenapa menangis macam ni? Sakit sangat ye?” Aida sedikit cuak apabila melihat Hamdan yang teresak-esak seperti anak-anak kecil. Pertama kali dalam hidupnya melihat suaminya itu berkelakuan seperti ini. Selalunya Hamdan sangat bengis dan keras hati orangnya. Apakah yang sudah berlaku pada suaminya ini?
“Tuan...” panggil Aida lagi. Sungguh hatinya risau. Apa yang perlu dilakukannya? Esakan Hamdan semakin menjadi-jadi tatkala mendengar suara Aida lembut menyapanya. Ada rasa risau di situ. Sungguh mulia hatimu Aida, ucap hati Hamdan. Rasa sedih itu semakin menyengat. Rasa berdosa pula tidak lagi mampu diucap. Lalu hanya esakan dan air mata yang menzahirkan segala rasa dijiwa.
Aida menjadi semakin serba salah. Hatinya bingung. Dia hilang punca. Hatinya tertanya-tanya mengapa Hamdan menangis dan teresak begini. Lalu, atas rasa simpati yang mengunung serta rasa sayu yang mula singgah di hatinya, perlahan tubuh Hamdan ditarik ke pelukannya. Rambut Hamdan dibelainya lembut. Esakan Hamdan dibiarkan lepas sehingga ia berhenti sendiri. Mungkin ada sesuatu yang mengusik jiwa suaminya ini, telah Aida sendirian. Akhirnya, Hamdan terlena di ribaan Aida.
***
Laungan azan sayup-sayup kedengaran. Hamdan terjaga dari lenanya. Dia mendongak. Kelihatan Aida yang terlena sambil bersandar di kepala katil. Tangan Aida pula masih berada di kepalanya. Wajah mulus Aida direnungnya lama. Rasa tenang meresap dalam jiwa. Laungan azan yang masih lagi belum berakhir kembali kedengaran. Hamdan termenung sebentar. Terus mengamati laungan seruan yang sudah lama tidak diendahkannya. Sudah lama laungan ini tidak diamatinya dengan jelas. Tiba-tiba timbul satu keinginan dalam hatinya. Hamdan sedar dia perlu melakukan sesuatu. Lalu tangan Aida yang berada di kepalanya disentuh perlahan. Dengan susah payah, nama Aida dipanggilnya.
“Aida... Aida...” terasa bagai ada kahak yang memenuhi tekaknya hingga menyukarkan dia untuk memanggil Aida yang sedang lena. Suaranya serak. Lalu dia cuba berdehem beberapa kali bagi membetulkan suaranya.
“Aida...” panggil Hamdan sekali lagi. Kali ini suaranya sedikit jelas berbanding sebelumnya. Usahanya kali ini nampaknya telah membuahkan hasil. Aida yang lena kini mula tersedar. Terpisat-pisat dia sebentar.
“Ya tuan, tuan lapar ya,” tanya Aida lembut.
Hamdan hanya menggelengkan kepalanya. Bukan itu yang dia inginkan. Entah mengapa hari ini, perutnya ini langsung tidak merungut lapar. Ada perkara lain yang dia inginkan. Dan untuk melaksanakannya dia perlukan bantuan Aida. Dia berharap agar Aida sudi untuk melakukannya.
“Tuan, rasa tak selesa? Nanti Aida lapkan badan tuan ya,” usul Aida lagi.
Hamdan hanya mengangguk.
Perlahan Aida mengalihkan kepala Hamdan yang berada di ribaannya. Aida bangun. Cepat-cepat Aida mengerakkan kedua-dua belah kakinya demi menghilangkan rasa kebas. Kemudian, sebiji bantal disisipkan di bawah kepala suaminya. Kedudukan bantal tersebut dibetulkan beberapa kali supaya Hamdan berasa lebih selesa.
“Aida pergi ambil air dulu ya tuan,” pesan Aida pada suaminya. Hamdan hanya memandang Aida melalui ekor matanya sebelum dia mengangguk perlahan, tanda faham. Aida berpaling untuk menuju ke dapur. Hatinya sedikit aneh melihat perlakuan Hamdan kini. Apa yang sudah berlaku? Mengapa Hamdan tidak lagi membentak dan membengis kepadanya seperti pagi tadi dan hari-hari semalam? Dalam keasyikannya berfikir, langkah kakinya di buka jua. Namun belum pun sempat dia melangkah jauh, kedengaran suara Hamdan lembut memanggil namanya.
“Aida...” suara itu sedikit serak dan sebak.
Aida menoleh.
“Ya tuan, kenapa?” Aida pantas mendekati tubuh suaminya. Tangan suaminya yang terdedah itu diusapnya lembut. Aida sedikit kaget apabila melihat juraian air mata kembali membasahi wajah yang bengkak nan membiru itu.
“Shh... kenapa ni tuan? Cuba cerita pada Aida,” pujuk Aida lembut apabila melihat Hamdan seolah-olah sukar untuk melafazkan bicara.
“Aa..ab..bang nak solat. Boleh Aida tolong ajarkan?” ucap Hamdan dalam sebutan yang terputus-putus.
“Alhamdulillah...” serta merta kalimah syukur itu terbit di bibir Aida. Badannya terasa segar seolah-olah disirami air azimat. Hatinya gembira tatkala mendengar bibir suaminya ini mengucapkan keinginan untuk melakukan ibadah yang telah lama ditinggalkannya. Sekali lagi Aida melafazkan syukur. Nampaknya doanya selama ini supaya Allah memberikan hidayah buat suaminya ini telah pun dimakbulkan. Terima kasih Tuhanku. Sesungguhnya aku yakin dan pasti akan janji-janjiMu bahawa setiap yang berlaku itu terselit hikmahnya yang tersendiri. Alhamdulillah.
Aida tersenyum. Setitis air mata syukur tumpah dari tubir matanya.
“Boleh tuan, apa salahnya. Mari Aida bersihkan diri tuan dulu, kemudian Aida ajarkan tuan solat ya,” berbunga rasa hatinya. Rasa girang terpancar jelas di wajah mulus Aida. Tanpa berlengah lagi Aida berlari-lari kecil menuju ke dapur. Sungguhpun ada persoalan yang bermain-main di benaknya mengenai punca perubahan Hamdan, namun Aida sedar sekiranya Dia berkehendakannya maka tiada apa yang mampu menghalang. Sesungguhnya Aida bersyukur akan kurniaan ini.
BERSAMBUNG
2 komen yang diterima:
ahhh...
lega hamdan dah sedar n insaf...
tp lea plzzz buat hati aida keras tok terima hamdan..
ajor hamdan cukup2 dulu...
geram ngan dia nih...
huhu..
insaf gak hamdan nieh..
tabik arh kat aida coz aty dye baek sgt..
huhuhu..
tol2..
ajar hamdan ckop2 dlu,,bru kasi dorang bersme blek..
bley kak lea??
hehe..smbung cpat2..
Catat Ulasan