Product from Adobe

Selasa, Mei 5

Yang Kupinta Part 11 - Finale


“Abang, boleh Aida tanya sesuatu?” lambat-lambat Aida bersuara ketika mereka berada di bilik selepas makan. Hatinya ragu-ragu untuk bersuara. Bimbang menyinggung hati kecil suaminya itu. Namun, Aida tidak lagi mampu menahan seribu satu pertanyaan yang asyik menggugat akan ketenangan hatinya. Wajah Hamdan direnungnya dalam. Di wajahnya tersirat satu keinginan yang bukan sedikit. Dia benar-benar berharap agar suaminya itu mampu meringankan beban persoalan yang tertanggung di benaknya.

“Apa? Tanyalah,” tenang sahaja Hamdan bersuara.

“Err... Aida...” Aida tidak tahu ayat yang bagaimanakah yang sesuai digunakan supaya ianya kedengaran lembut di telinga dan tidak langsung mampu mengusik hati kecil suaminya. Bimbang perubahan yang berlaku ini terbantut kembali.

Hamdan memandang Aida sambil tersenyum. Matanya merenung lembut anak mata Aida. Dengan cara itu dia berharap agar Aida mempunyai kekuatan untuk terus bersuara. Hamdan tahu ada sesuatu yang mengganggu ketenangan hati isterinya ini. Dan dia juga bagai dapat meneka persoalan itu. Namun, biarlah segalanya terzahir melalui bibir mongel Aida sendiri.

“Erm... Boleh Aida tahu macam mana abang boleh... err...”

“Boleh berubah tiba-tiba? Itu yang Aida nak tanyakan pada abang?” pintas Hamdan apabila melihat Aida yang terkesut-kesut untuk meneruskan bicara. Hamdan menarik tubuh Aida supaya berbaring di dadanya. Tangan Aida pula dicapainya sebelum dia meramas lembut tangan halus itu.

Aida hanya tersenyum sumbing. Hamdan pula hanya menarik nafas dalam.

“Entahlah Aida. Abang sendiri tak tahu. Abang sendiri masih keliru dengan apa yang sedang abang rasai ini. Hati abang seperti merasakan sesuatu sewaktu abang terdengar perbualan antara Aida dan kawan Aida tempoh hari,” ucap Hamdan perlahan. Entah berapa kali dia mengeluh sepanjang dia bersuara. Hatinya sering kali rasa tidak enak dan berdebar-debar setiap kali teringatkan kata-kata sahabat Aida itu.

Tertegak mata Aida mendengarkan kata-kata Hamdan tadi. Hatinya tertanya-tanya. Apakah yang didengari oleh Hamdan? Bimbang suaminya itu tersalah sangka.

“Apa yang abang dengar?” tanya Aida bersama debar di hati.

Hamdan menarik nafas dalam. Cuba mencari kekuatan untuk meneruskan kata-kata. Hamdan meletakkan tapak tangannya ke dada. Berharap agar debaran di dadanya dapat dikurangkan dengan cara begitu. Namun, entah mengapa telinga Hamdan bagai terdengar-dengar ejekan dan kata-kata sinis dari dalam dirinya mengiringi debaran hatinya. Debaran itu seolah-olah mengetawakan dirinya. Masakan tidak. Dahulu, hatinya ini sering saja melaungkan benci pada kehadiran Aida di sisinya. Hati yang menjerit rasa ingin menghapuskan Aida dari dalam diari kehidupannya seharian. Namun kini hati yang sama juga berdegup kencang dengan hanya mendengar bahawa Aida ingin meminta untuk dilepaskan.

“Abang...” tegur Aida apabila dia melihat suaminya itu seperti sedang mengelamun. Wajahnya pula seperti sarat dengan seribu satu macam emosi. Terloncat-loncat bagai ulat pinang.

“Abang dengar Aida nak mintak fasakh,” perlahan sahaja Hamdan bersuara.

Serta-merta Aida tertunduk. Hatinya rasa bersalah. Sungguhpun memang itu adalah niatnya. Namun adalah tidak wajar apabila Hamdan mengetahui perkara tersebut bukan dari mulutnya sendiri.

“Aida...” sungguh Aida tidak tahu bagaimana harus dia beriaksi.

“Abang tak salahkan Aida. Lagi pun dah lama Aida terseksa. Abang tak salahkan Aida,” balas Hamdan pula. Hati Hamdan keliru dengan apa yang sedang dirasainya kini. Separuh dari hatinya menginginkan Aida untuk terus berada di sisinya. Namun separuh lagi pula mendesak supaya Aida diberikan peluang untuk mencari bahagianya sendiri. Tanpa disedari, setitis air mata lelakinya jatuh ke pipi. Murahan sungguh air matanya kini.

Aida masih lagi menundukkan wajahnya. Terasa bagai tidak lagi mampu mengangkat wajah di hadapan suaminya itu. Rasa bersalah pula bertimpa-timpa di dalam diri.

“Abang tak tahu apa puncanya. Abang akui, memang sejak dari awal pernikahan kita dulu abang sangat membenci kehadiran Aida. Abang benci apabila mak suruh abang kahwini Aida yang sebatang kara pada waktu itu. Abang benci Aida. Abang sangat-sangat bencikan Aida,” bergetar suara Hamdan sewaktu dia meluahkan segala yang terbuku di hatinya sejak sekian lama. Sejak rumah tangga mereka mula di bina tiga tahun yang lalu.

Luahan hati Hamdan benar-benar manarik minat Aida untuk terus mendengar kisah selanjutnya. Selama ini dirinya sering tertanya-tanya. Aida tahu Hamdan tidak sukakan dirinya. Tetapi dia tidak tahu apakah puncanya.

“Tapi, kenapa abang kahwin jugak dengan Aida?”

“Abang kahwin sebab abang nak lepaskan geram abang pada mak,” sambung Hamdan lagi.

Aida terkejut. Sedikit sebanyak hati kecilnya tersentuh. Betapa dirinya itu tidak berharga. Dijadikan tempat melepaskan geram dan rasa tidak puas hati pada emak sendiri. Hinggakan dirinya ini dilayan seolah-olah tidak mempunyai maruah dan rasa hati. Kini, mata Aida pula basah. Basah dengan air mata kesal yang mula mengasak hati.

“Abang gunakan diri Aida, tubuh Aida dan maruah Aida untuk melepaskan geram pada mak?” sungguh Aida tidak mahu percaya akan telinganya. Hatinya pedih tidak terkira.

“Maafkan abang, Aida. Abang jahil pada waktu itu. Yang abang tahu, abang hanya nak lepaskan apa yang terbuku di hati abang. Abang lupa yang Aida juga seorang insan yang perlu dihormati,” Aida hanya menggeleng kesal. Selama ini dirinya hanya berteka-teki sendiri punca dirinya dibenci. Dan selama itulah hatinya sedih. Namun, tidak pula disangkanya rasa sedih itu bertukar pedih apabila mendengar hakikat itu terbit dari bibir suaminya sendiri. Sungguh hina rasa dirinya.

Hamdan menelan liur. Pahit rasanya. Wajah Aida yang sayu benar-benar menyentap tangkai hatinya. Walaubagaimana pun, Hamdan tetap mencekalkan hati untuk terus bercerita. Dia perlu membongkarkan segala-galanya sebelum terlambat. Moga ada peluang kemaafan untuk dirinya.

“Sebelum kita kahwin dulu, emak pernah cakap pada abang yang isteri ini merupakan anugerah buat seorang suami. Hadirnya seorang isteri itu bersama-sama rezekinya yang tersendiri,” Hamdan terdiam seketika setelah menuturkan kata-katanya. Terlayar seketika mengingati saat dia bertegang urat dengan emaknya dulu.

***

“Ham tak nak kahwin mak. Lagi pun, kalau Ham nak kahwin, Ham boleh cari sendiri,” tegas Hamdan pada Hajah Khadijah.

“Tapi bila lagi Ham? Mak risau tengok gaya hidup Ham yang entah apa-apa. Tak menentu saja. Silih berganti bagai ombak di tepi pantai. Risau mak Ham. Risau,” luah Hajah Khadijah pada anaknya. Kesal sungguh rasa hatinya. Anaknya itu berubah benar lakunya semenjak dia berhijrah ke kota. Tidak lagi menjaga adap dan susilanya. Yang lebih membimbangkan hati tuanya apabila dia seperti dapat merasakan bahawa satu-satunya anaknya itu sudah jauh dari landasan agama yang sebenar. Hatinya bimbang apabila anaknya itu kini liat untuk menyentuh tikar sejadah, apatah lagi untuk pergi berjemaah di surau seperti dahulunya.

“Ham kahwin ye, Ham. Mak pasti Ham mesti akan sukakan Aida nanti,” pujuk ibu tua itu lagi. Hatinya benar-benar berharap agar hati anaknya itu lembut dan sudi menerima saranan darinya. Tambahan pula, hatinya sudah cukup terpaut pada budi pekerti Aida. Anak gadis malang yang telah kehilangan ibu bapa. Sifat-sifat kelembutan dan kesabaran yang ada pada diri Aida telah meyakinkan Hajah Khadijah bahawa satu hari nanti anaknya itu pasti akan kembali ke pangkal jalan. Hanya Aida yang mampu melenturkan buluh yang sudah kaku itu.

Hamdan mengeraskan dirinya. Langsung tidak disahut kata-kata pujukan ibunya. Dirinya benci dan marah. Dirinya merasakan bahawa ibunya itu masih cuba untuk mengawal dirinya sedangkan dia sudah pun besar. Sudah mampu untuk menentukan haluan hidupnya sendiri.

Hajah Khadijah mendekati anaknya. Diusapnya lembut belakang Hamdan dengan penuh kasih sayang. Keras badan anaknya tidak diendahkan. Dia tahu benar gerak laku anaknya itu. Anak yang dikandungnya selama sembilan bulan sepuluh hari. Anak yang dibesarkannya dengan penuh kasih sayang sejak tapak kakinya hanya sebesar dua jari.

“Ham, dengar sini kata mak. Isteri itu merupakan anugerah dari Allah. Hadirnya seseorang isteri itu bersama rezekinya yang tersendiri. Di dalam surah An-Nur Allah telah pun berjanji, firman-Nya, “Dan berkahwinlah orang bujang (lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu,dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan mereka kekayaan dari limpah kurniaNya,kerana Allah SWT Maha Luas (rahmatnya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” Itu janji Allah Ham. Dan Allah tidak pernah engkar pada janji-janji-Nya,” panjang lebar Hajah Khadijah memujuk anaknya.
Hamdan bosan. Dia rimas. Tidak suka apabila emaknya sudah mula mengaitkan hadis dan Al-Quran yang entah apa-apa. Sejak dia berjihrah ke kota metropolitan Kuala Lumpur, dirinya bukan sahaja sudah hilang minat untuk terus membaca kitab suci itu tetapi sedikit sebanyak keyakinannya terhadap isi kandungan kitab suci umat Islam itu semakin pudar. Hatinya tidak lagi percaya pada semua itu. Karut. Rasuah, arak dan judi semuanya dilarang Islam, sedangkan hatinya begitu gembira tatkala mendampingi perkara-perkara yang terlarang itu.

“Beginilah mak. Ham dah malas nak dengar mak membebel terus-terusan begini. Baiklah. Ham akan kahwin kalau itu yang mak hendak. Tapi Ham nak mak tahu yang segala-gala yang mak katakan hanyalah karut. Mana datangnya duit kalau kita tak membanting tulang empat kerat dan menggunakan kepandaian otak yang ada ini, mak? Mak ingat kalau Ham kahwin dengan Aida yang mak puja-puja sangat tu, Ham akan hidup senang? Mak silap. Ham hanya akan buktikan caranya nanti pada mak. Mak tunggu sajalah,” disebabkan janji itulah Hamdan mempergunakan Aida sebaik mungkin untuk mendapatkan rezeki dalam hidupnya. Padanya, itulah ‘rezeki’ yang telah dijanjikan oleh emaknya melalui Aida. Dan bermula pada detik itulah, satu demi satu dosa dikumpulnya. Semuanya dosa terhadap Aida, isteri yang telah dianugerahkan kepadanya.

***

Hamdan pantas mengelap air matanya yang mengalir lesu di pipinya. Kemudian, Hamdan tunduk dan mencium lembut tangan Aida. Hatinya kini berasa penat. Penat dengan rasa bersalah yang penuh mengusai jiwa. Masihkah ada ruang kemaafan untuk dirinya?

“Maafkan abang, Aida,” mohon Hamdan sekali lagi. Dan maafnya kali ini diiringi oleh air mata kekesalan.

Aida tersenyum memandang Hamdan. Moga senyuman itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan perasaan yang ditanggung oleh suaminya itu. Sungguhpun matanya sendiri turut basah dengan air mata. Padanya, cukuplah segala yang berlaku. Tidak perlulah di panjang-panjangkan lagi. Sementelah suaminya itu pun sudah mula menunjukkan minat untuk terus bertaubat dan berubah.

“Boleh tapi dengan syarat,” Hamdan mengerut dahi. Tidak faham hujung pangkal bicara Aida.

“Apa maksud Aida?” Hamdan cuba mendapatkan kepastian.

“Aida cakap boleh. Aida boleh maafkan abang tapi dengan syarat,” ucap Aida sambil tersenyum manis.

“Betul?” lapang sungguh rasa hatinya tatkala itu. Mendengar kata maaf dari Aida benar-benar menimbulkan rasa gembira dalam hatinya. Rasa teruja pula usahlah ditanya. Walaupun kesudian Aida itu ada syaratnya. Namun dia tidak peduli.

“Apa syaratnya?” tanya Hamdan tidak sabar.

“Aida nak solat dengan abang. Aida teringin sangat nak solat dengan abang. Nak jadi makmum abang. Dah tiga tahun Aida pendam keinginan Aida ni. Aida harap abang sudi untuk menunaikannya,” ucap Aida penuh berharap.

“Sungguh?” tanya Hamdan lagi. Dia seperti tidak percaya akan permintaan Aida itu. Aida benar-benar sudi untuk solat bersamanya.

“Betul bang. Abang nak tahu tak, dulu Aida ingat Aida tak akan berpeluang untuk berjemaah dengan abang sehinggakan Aida pernah terdetik, kalaupun Aida tak berpeluang jadi makmum abang semasa hidup, abang jadi imam pada jenazah Aida pun cukuplah,” ucap Aida bersama ketawa kecil. Tidak masuk akal rasanya.

“Ish... Tak baik Aida cakap macam tu,” tegur Hamdan. Wajah Aida direnungnya mesra. Lapang sudah rasa hatinya.

“Betul bang. Aida tak tipu,” bersungguh-sungguh Aida meyakinkan suaminya itu.

“Ye ke?” usik Hamdan pula.

“Yelah. Takkan Aida nak tipu pulak,” jawab Aida dalam nada yang lembut dan manja. Hamdan tersenyum senang melihat wajah gembira Aida. Moga dia ada masa yang lebih untuk terus menatap wajah isterinya yang bersinar bagaikan bulan itu.

“Hurm... Kalau macam tu, apa kata Aida pergi bersihkan diri dulu. Lagi pun, dah azan dah tu. Nanti kita Maghrib sama-sama,” ucap Hamdan sambil tersenyum.

Dengan senang hati Aida menurut. Hatinya juga teruja. Tidak sabar-sabar untuk berjemaah bersama suami buat pertama kalinya.

“Aida,” panggil Hamdan semasa Aida menarik tuala di penyidai. Aida menoleh.

“Abang rasa abang dah mula sayangkan Aida,” Aida hanya tersenyum nipis sebelum berlalu ke bilik air. Namun langkahnya itu terhenti apabila terdengar pintu rumahnya diketuk bertalu-talu. Tidak sabar benar tetamunya itu.

“Eh, siapa tu bang?” tanya Aida. Hatinya sedikit cuak. Lain macam benar rentak ketukan di pintu rumah mereka. Ada sesuatu yang tidak kenakah?

“Entah, biar abang pergi tengok sekejap,” ucap Hamdan seraya berlalu.

***

Bukk!!

Satu tumbukan padu hinggap di wajah Hamdan sebaik sahaja daun pintu diseleak. Hamdan jatuh terlentang dek tujahan tumbukan yang begitu kuat dan padu. Habis terbalik rak kasut yang berada tidak jauh dari pintu rumah. Kasut-kasut pula berterabur hingga ke tengah rumah.

“Hoi, bila kau mau bayar?” jerkah Ravi. Dev dan Shiva pula pantas memegang erat kedua-dua belah tangannya. Satu tumbukan padu hinggap ke perut Hamdan. Hamdan mengerang hebat. Kecederaannya yang semakin pulih kini kembali tercedera.

Sementera itu, Aida yang berada di dalam bilik berasa aneh apabila terdengar bunyi bising dari arah ruang tamu. Lantas pintu biliknya di buka. Terkejut dia apabila melihat keadaan ruang tamu yang kucar kacir serta kehadiran tiga orang lelaki India yang tidak dikenali. Aida menjadi bertambah panik apabila melihat keaadan Hamdan sedang mengerang kesakitan sambil dipegang oleh dua orang lelaki.

“Abang!!” jerit Aida. Aida menjadi panik.

Jeritan Aida telah menarik perhatian Ravi.

“Aida, lari masuk bilik sekarang,” arah Hamdan pada Aida. Hamdan menyesal kerana tidak mengingati tempoh masa yang diberikan oleh Ravi seminggu yang lalu. Jika tidak, pasti Aida sudah diletakkannya di satu tempat yang lebih selamat.

“Aahhh... Abang!!” jerit Aida lagi sebaik sahaja dirinya dipegang oleh Ravi sebelum sempat dia melarikan diri. Aida panik. Dia cuba meronta demi meloloskan diri dari pautan lelaki yang tidak dikenali itu. Matanya meliar mencari sesuatu untuk mempertahankan diri.

Hamdan yang melihat Aida berada di tangan Ravi, terus meronta hebat. Hamdan nekad, biar apa pun yang berlaku maruah Aida akan dipertahankannya. Cukuplah dulu dia telah memperdangangkan maruah Aida demi kepentingan dirinya. Kini, jika perlu dirinya rela untuk menjadi galang-gantinya.

“Hamdan, ini kau punya bini ka?” tanya Ravi.

“Bukan. Dia bukan isteri aku!!” jerit Hamdan. Sedaya upaya dia cuba untuk menyelamatkan maruah Aida. Aida isterinya. Selayaknya dia mempertahankan insan yang bergelar isterinya.

Ravi ketawa jahat. Begitu juga Dev dan Shiva. Langsung mereka tidak percaya perempuan itu bukanlah isteri Hamdan. Tambahan pula perempuan itu memanggil Hamdan dengan panggilan abang. Jika bukan isteri, mungkin adiknya. Apa pertalian antara Hamdan dan perempuan itu, langsung mereka tidak mahu tahu. Yang pasti, mereka mahu Hamdan melunaskan hutangnya pada hari ini juga.

“Kau bohong,” jerkah Ravi lagi. Beberapa lagi tumbukan padu hinggap di tubuh Hamdan. Aida menangis tidak keruan apabila melihat Hamdan yang terus-terusan dibelasah oleh lelaki-lelaki itu.

Aida sudah tidak tahan lagi. Pantas dia menggigit tangan Ravi dengan sekuat hati. Akibat dari gigitan itu, Ravi menempeleng Aida hingga jatuh tersungkur di sudut dinding. Kepalanya pula terhantuk kuat ke lantai. Kepala Aida mula rasa berpinar-pinar. Penglihatannya kelihatan berlapis-lapis. Mula-mula satu. Kemudian dua, tiga dan lima. Aida memegang kepalanya. Dalam keadaan diri yang kurang stabil, tiba-tiba Aida terlihat ada tin Ridsect yang berada tidak jauh daripadanya. Lantas dia mencapai tin tersebut seraya menyembur ke muka Dev dan Shiva yang berada tidak jauh daripadanya. Tapi sempat juga Aida menjerit supaya Hamdan memejamkan matanya.

Semburan yang tepat mengenai mata Dev dan Shiva telah menyebabkan pegangan mereka terhadap Hamdan menjadi lemah. Kepedihan mata yang mereka rasai telah memberi peluang kepada Hamdan untuk meloloskan diri. Pantas dia memulas kedua-dua tangan penyangak tersebut. Mereka berdua jatuh tersungkur.

Ravi yang berang melihat kedua-dua orang anak buahnya yang tersungkur, pantas mengeluarkan pisau yang disisip di pinggangnya. Hatinya berang. Hamdan dan perempuan itu sama-sama telah menyusahkan hidupnya. Pisau tersebut diacukannya terhadap Hamdan. Meskipun begitu, pisau tersebut tercampak ke bawah kerusi apabila Hamdan menyepak tangan Ravi. Kemudian, Ravi dan Hamdan mula bergelut.

Dev dan Shiva yang semakin pulih terus menerpa untuk membantu bos mereka. Aida yang melihat pergelutan tersebut pantas mencari idea untuk membantu Hamdan. Dia cuba sekali lagi untuk menyembur mata penyagak-penyangak itu menggunakan Ridsect yang berada di tangannya seperti tadi. Tetapi nasibnya malang apabila tin tersebut telahpun kosong. Spontan dengan itu, Aida mengetuk kepala Dev dengan menggunakan tin Ridsect tersebut. Cubaannya gagal. Malah Dev telah menolaknya kuat hingga dia jatuh terlentang. Aida cuba bangun. Dan...

“Abang...” jerit Aida apabila melihat bilah mata pisau Ravi menderu laju tepat ke dada Hamdan. Dan tidak lama kemudian, segalanya menjadi gelap dan sunyi.

***

Alunan bacaan Yasin memenuhi perkarangan rumah. Di satu sudut yang agak tersorok, kelihatan seseorang yang sedang berteleku seorang diri. Air matanya pula tidak henti-henti mengalir.

Hajah Khadijah mendekati anak itu. Lantas dipeluknya erat. Tangisan bisu tadi telah berubah menjadi esakan yang memilukan. Hajah Khadijah turut sebak.

“Sabarlah Ham. Tak elok kalau Ham terus-terusan menangis begini,” pujuk Hajah Khadijah lembut. Dia tahu akan kesedihan yang ditanggung oleh anaknya ini, tetapi membiarkan anaknya untuk terus hanyut dalam kesedihannya yang tidak bertepi itu bukanlah tindakan yang bijak.

“Ham berdosa mak. Ham banyak buat dosa pada Aida,” ucap Hamdan bersama esak tangisnya.

“Mak yakin Aida dah maafkan Ham. Aida anak yang baik. Mak pasti Aida takkan berdendam,” pujuk Hajah Khadijah lagi. Dipeluknya erat bahu anaknya itu. Sungguh hatinya kesal apabila mendengar pengakuan anaknya mengenai segala perlakuannya terhadap Aida selama ini. Sangkanya mereka berdua hidup bahagia. Namun apakan daya. Nasi sudah menjadi bubur. Segala sesalan tidak lagi berguna.

“Ham banyak dosa dengan dia mak,” ngongoi Hamdan lagi. Terasa seperti ingin meraung sekuat hati bagi melepaskan segala yang terbuku di hatinya kini.

“Sabarlah nak,” Hajah Khadijah sudah tidak tahu hendak berkata apa lagi bagi menenangkan anaknya itu.

“Kenapa Aida buat begitu mak? Sepatutnya Ham yang kena tikam. Bukan Aida. Tapi kenapa dia buat macam tu? Aida tak adil mak. Tak adil. Aida sengaja nak bagi Ham hidup dalam rasa bersalah ni seumur hidup. Aida tak adil mak. Kenapa Aida tak nak bagi peluang pada Ham walau sekali untuk mempertahankan diri dia mak? Sekurang-kurangya bagilah Ham peluang untuk membuktikan yang Ham sayangkan Aida. Aida tak adil mak. Aida tak adil,” sedih sungguh rasa hati Hamdan di kala ini. Masih terbayang-bayang Aida yang tercungap-cungap sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya. Hati yang sedih menjadi bertambah pilu sebaik sahaja matanya tertancap pada kain terlekung Aida yang bersidai elok di dalam almari. Terkilan hatinya apabila mengenangkan satu-satunya permintaan Aida semenjak mereka bergelar suami isteri tidak sempat ditunaikannya.

Terngiang-ngiang kata-kata lembut Aida beberapa minit sebelum kejadian malang itu berlaku. Semuanya berlaku dengan terlalu pantas. Tidak disangkanya permintaan Aida itu menjadi permintaan terakhir hidupnya.

“Betul bang. Abang nak tahu tak, dulu Aida ingat Aida tak akan berpeluang untuk berjemaah dengan abang sehinggakan Aida pernah terdetik, kalaupun Aida tak berpeluang jadi makmum abang semasa hidup, abang jadi imam pada jenazah Aida pun cukuplah”

Menitis air mata Hamdan. Jadi imam pada jenazah Aida? Ya, hanya itu sahaja yang tinggal untuknya kini. Satu-satunya permintaan terkakhir Aida yang tinggal untuk ditunaikannya. Hamdan terus sebak di situ hinggalah ada suara yang memanggilnya untuk turut sama ke surau untuk melakukan tanggungjawab terakhirnya buat Aida. Satu-satunya isteri yang dia cintai. Sungguhpun rasa cinta itu lambat tiba tetapi Hamdan yakin, rasa cinta itu akan terus mekar dan subur selamanya. Hingga nafas yang terakhirnya.


TAMAT


Kongsi ilmu:

Terkesut-kesut = susah dan ketakutan.
Terloncat-loncat bagai ulat pinang = sangat gelisah.
Silih berganti bagai ombak di tepi pantai = kehidupan yang tidak tetap.


Sumber rujukan:

http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_..._kamus_dbp.aspx

http://jomkahwin.wordpress.com/2007/04/02/dalil-perkahwinan/

--------------------------------------------------------------------------

Salam,

akhirnya tamat juga kisah ini. Semoga kengkawan semua berpuas hati dengan penamat cerita ini. Walaubagaimana pun, Lea mengharapkan komen daripada kengkawan mengenai keseluruhan cerita ini. Kerjasama daripada semua amatlah Lea harapkan dan Lea dahului dengan ucapan terima kasih.

Ikhlas;

15 komen yang diterima:

nadiah_abdllah on 5 Mei 2009 pada 2:26 PG berkata...

Hua....
Kenapa Aida mati???
Tak adil...
isk...
nak nangeh dah ni...
:((

miss nina on 5 Mei 2009 pada 9:05 PG berkata...

sedihlah cerita ni :(
--missnina--

Nia Arissa on 5 Mei 2009 pada 10:33 PG berkata...

ala sedehnya..hu3..

-Ain-Dak In- on 5 Mei 2009 pada 1:06 PTG berkata...

good job lea...hehehehe......

LiNa on 5 Mei 2009 pada 2:50 PTG berkata...

sedihla..aida mati..

keSENGALan teserlah.. on 5 Mei 2009 pada 4:53 PTG berkata...

kak lea...!!!
menci2...huhu....
npe aida mati??
huhu...xm02..
isk2...
menci2..
npe dorang xidop bhgie??
huhu...
leleh airmte ku..
sgguh besr pengorbanan aida nieh..
h0h0h...

Nin berkata...

aik..diluar jangkaan endingnya.. syabas lea.. mmg lain dr yg lain..

mmg sedih aida mati.. wpn x sm4 nk sembahyang berimamkan hamdan tpi hamdan tetap mnjadi imam pd jenazahnya..

pada hamdan peluang ttp tbuka buat dia dan aida wpun hanya menikmati kebahagian sekejap tapi rasanya aida puas wpn menikmatinya cuma sekejap..

chaiyok lea!!! syabas sbb bjaya mbuat sy bdebar mbaca ending cite ni..

~candlesky~ on 6 Mei 2009 pada 10:21 PTG berkata...

great kak lea!=)

mmg at 1st ingatkan Hamdan yang akan pergi,
tp rupanya Aida yang tinggalkan Hamdan tanggung derita keseorangan...

Congrzt akak!!!

Tanpa Nama berkata...

oho..
adra lewat dah membacanya.
wah! wani mmg sengaja kejam pd lelaki jht mcm hamdan eyh hehehe...
agree ngan ending dia.
aja2 fighting! bagus..

misz nana on 8 Mei 2009 pada 3:31 PG berkata...

daku sangat2 la x menyangka Aida pulak yang meninggal.. huhuhu..

Farah Shamsudin on 9 Mei 2009 pada 1:08 PG berkata...

ishk3..
sedey ler..
nanges saye dpan pc neh...
ingatkan hamdan tu yg meninggal rupe2nyer..
aida lak yg meninggal..
huhuhuhu...

mama nursaafia & zafwan on 13 Mei 2009 pada 3:45 PTG berkata...

sedihnya....huhuhuhu...nice story...

Tanpa Nama berkata...

this is the second story ive read after a few yrs lost contact wit u. hehe...really amazing story. great job!

Unknown on 20 Mei 2009 pada 8:33 PTG berkata...

walaupun ending nyer aida meninggal..tp xpe la...
bg pengajaran kt hamdan...
hihihi...
nice story...
xsmua cite ending ngan kegembiraan...

Tanpa Nama berkata...

awat mati plak si aida ni~~~~
ksian lak aku kat si hmdan ni...bru jer nk rse nkmat rmah tangga sbnar...sob3xxx

Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS

Belajar Buat Ebook. Jual sendiri karya anda. Klik sini.

Mentor Jutawan. Klik sini.

Belajar Bermain Gitar Cara Pantas. Klik sini.

Kuasai Bahasa Inggeris dengan Mudah. Klik sini.

 

Laman Karya

Kalam Coretan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino